Anda di halaman 1dari 22

Bincangkan karya-karya utama, peranan dan sumbangan Kala Dewata dalam perkembangan sastera Melayu moden.

Riwayat Hidup Kala Dewata.


Dalam eseinya yang berjudul Beberapa Persoalan Drama dari Segi Penulisan , Mustapha Kamil Yassin dengan tegas semacam menolak drama-drama Bangsawan dan sandiwara yang meskipun sudah meninggalkan alam fantasi dan mula membawa tema dan plot yang menjejak bumi, masih belum membawa pembaharuan ke arah konsep moden dalam sejarah perkembangan drama Melayu.1

Mustapha Kamil Yassin atau nama penanya Kala Dewata telah berjaya membawa satu pembaharuan dalam bidang drama di Malaysia dengan aliran realisme. Kala Dewata membentangkan tema masalah kehidupan seharian dan berbicara secara pendek, kemas dan tepat di samping mempunyai maksud untuk membetulkan masyarakat.
Dalam penelitian saya, Kala Dewata dengan dramanya Atap Genting Atap Rumbia adalah orang yang pertama mempelopori kegiatan drama moden yang beraliran realisme di Malaysia. Membaca dengan kritis akan skrip-skrip dramanya, kita dapati Kala Dewata merupakan penulis yang penuh daya fikir, berdisiplin, komitmen dan memahami keadaan dan situasi masyarakatnya. Ia meninggalkan di belakangnya unsur-unsur tradisionalisme, romantisme dan idealisme, meninggalkan unsur-unsur lagenda, magis, mitos, dan apa saja bentuk khayal. Kala Dewata mula menyingkap dunia di depan matanya, mencari masalahnya, mempertikaikan kewujudannya, lalu cuba menyuguhkan penyelesaiannya.2

Mana Sikana meletakkan kekuatan drama Atap Genting Atap Rumbia pada kejayaan Kala Dewata menggambarkan naluri antara konsep kehidupan di kota dengan keharmonian hidup di desa. Ini membuktikan kebolehan Kala Dewata mengutarakan kejadian sosial yang masih relevan hingga ke hari ini dan menjadi panduan kepada pembaca untuk menyelesaikan masalah yang serupa.
1

Zakaria Ariffin (Penyelenggara). Drama Melayu Moden dalam Esei ( Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981) hlm 7 2 Mana Sikana, Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor Darul Ehsan, 1989) hlm 93 - 94

Mustapha Kamil Yassin lahir pada 1 Julai 1925 di Kajang, Selangor Darul Ehsan. Beliau belajar di sekolah rendah aliran Melayu dan menerima pendidikan menengah di aliran Inggeris. Belaiu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, Singapura sehingga meraih ijazah Sarjana Muda Sastera. Kemudian beliau mengikuti kursus Ilmu Pengurusan dan Pendidikan selama setahun di Universiti Malaya. Selepas itu beliau bekerja sebagai guru. Sekolah pertama beliau ialah Maktab Tentera Persekutuan, kemudian ditukarkan ke Sekolah King George V di Seremban dan ke Sekolah Inggeris Sungai Udang, Rembau, Negeri Sembilan. Dalam tahun 1959, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur.

Kala Dewata telah berpeluang melanjutkan pelajarannya ke Universiti Indiana di Amerika Syarikat dan berjaya memperolehi ijazah Sarjananya pada tahun 1967 dengan tesis berjudul An Introduction to Childrens Theatre In Malaysia. Setelah pulang ke tanahair, beliau menjawat tugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dalam bidang drama dan penulisan kreatif. Beliau adalah pelopor yang memperkenalkan pengajian drama di universiti tersebut. Beliau telah ke Amerika Syarikat untuk meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah di universiti yang sama iaitu Universiti Indiana dan berjaya memperolehinya pada sesi 1974/75 dengan tesis bertajuk Transitional Threatre of the Malay World. Seterusnya, beliau pulang ke Malaysia dan bertugas sebagai profesor di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,

Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau kemudian meletakkan jawatan untuk menceburkan diri dalam lapangan perniagaan di Diriwisma Sendirian Berhad bertempat di Bangunan UDA Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Kala Dewata telah melibatkan diri dalam bidang penulisan kreatif3 sejak tahun 1953. Beliau telah mencuba berbagai cabang penulisan di antaranya ialah drama, novel, cerpen, puisi, kritikan sastera dan rencana-rencana budaya.

Karya-karya Utama Yang Dihasilkan.

Hasil-hasil Karya Kala Dewata : 1. Hati dan Hasrat (Novel. Pustaka Melayu, Kuala Lumpur, 1966) 2. Yang Dihempas dan Dipulas (Cerpen. Penerbitan Federal, Kuala Lumpur, 1963) 3. Perempuan dan Peristiwa (Cerpen. Penerbitan Federal, Kuala Lumpur, 1965) 4. Ruangan Sari dan Cari, Berita Minggu. Drama : 5. Robohnya Kota Lukut (1957) 6. Tiga Drama (Kumpulan Drama. Pustaka Melayu Baru, 1965) 7. Atap Genting Atap Rumbia (1963) 8. Di Balik Tabir Harapan (1966) 9. Dua Tiga Kucing Berlari (1966) 10. Bujur Lalu Melintang Patah 11. Pegawai Khalwat 12. Manusia Hina 13. Si Tanggang 14. Titik-titik Perjuangan 15. Jalan yang Benar Esei: 1. Drama dan Persoalan Masyarakat. 2. Beberapa Persoalan Drama dari segi Penulisan. 3. Aspek-aspek Teknikal Dalam Pementasan. 4. Berlakon dan Bersolek Dalam Seni Drama.
3

Berdasarkan drama-drama utamanya seperti Atap Genting Atap Rumbia,

Di Balik Tabir Harapan dan Dua Tiga Kucing Berlari, Kala Dewata telah dapat
menampilkan kekuatannya sebagai dramatis terulung di Malaysia dengan membentang pelbagai tema yang beraliran realisme untuk penghayatan peminat seni drama.

Sinopsis Drama Di Balik Tabir Harapan. Drama ini menceritakan perihal keluarga Mohd Zain Tajuddin Syah dengan dua orang anaknya. Dia meletakkan harapan yang tinggi terhadap kedua-dua anaknya. Kepada anaknya Laili, dia ingin melihat Laili berkahwin dengan seorang yang berketurunan dan kaya. Manakala Ramli pula, dia berharap anak lelakinya itu akan menjawat jawatan yang tinggi dan baik. Baginya, kejayaan anak-anak akan menjamin kesenangan hidup dan keharuman statusnya. Sementara itu, orang kampungnya mempelawa dia balik ke kampung untuk mengetuai rancangan pembangunan di kampung tetapi dia menolak dengan hinaan kerana dia memandang rendah terhadap usaha mengendalikan 90 buah keluarga padahal dia sebagai pegawai M.C.S berpencen sudah biasa mengendalikan 900 000 manusia. Mohd Zain dianggap sebagai manusia yang lupa asal usul dalam mengejar harapan untuk hidup senang melalui anak-anak dan usahanya. Laili dibenarkan bergaul bebas tanpa batasan dengan anak-anak leleaki orang ternama. Ayah Laili tahu bahawa dia sudah ada pilihan sendiri iaitu Ariff untuk menjadi

suaminya, tetapi Mohd Zain melarang mereka. Ramli diarahkan untuk melanjutkan pelajaran hingga ke universiti biarpun minatnya hanya dalam bidang sukan. Mohd Zain sendiri melaburkan segala wang simpanannya ke dalam syarikat gali bijih timah. Akhirnya, segala impian dan usahanya kecundang. Laili mengambil keputusan untuk kahwin lari dengan Ariff, sementara Ramli berhenti sekolah untuk meneruskan cita-citanya dalam bidang physical culture. Pulangan pelaburannya juga merosot kerana syarikat mengalami kerugian dan orang gajinya suami isteri itu sudah lama tidak mendapat gaji. Dia mula sedar bahawa harapannya sudah musnah dan dia redha dengan penentuan Allah. Kebetulan rombongan dari kampung datang menjemputnya berunding semula, kali ini dia bersetuju dan dia sedar bahawa kebahagiannya sekeluarga masih ada biarpun tidak seperti yang diinginkan pada awalnya. Drama ini mengajak semua kepala keluarga menyedari keupayaan diri sendiri untuk mengecapi hidup bahagia.

Sinopsis Drama Dua Tiga Kucing Berlari . Drama ini memaparkan soal perkauman. Ia berkisar pada watak seorang gadis Melayu bernama Rosdiah. Dia telah bercinta dengan seorang pemuda Cina bernama Kuan. Mereka tidak mendapat restu untuk meneruskan perhubungan cinta mereka. Ayah Rosdiah, Dahalan masih beranggapan bahawa anak lelakinya mati di tangan komunis. Dari itu, semua orang Cina adalah komunis. Di samping itu, soal agama menjadi hambatan cinta mereka. Ini ditambah

dengan penolakan peminangan Zarim. Melalui watak Kuan, Kala Dewata menyatakan betapa kurangnya kefahaman orang Melayu terhadap agama orang Cina. Kuan digambarkan hanya menurut perbuatan ibu bapanya sahaja. Kuan sanggup menukar agamanya. Tekanan keluarga Kuan supaya mengahwini Swee Lan yang tidak disukainya menyebabkan Kuan melarikan diri dari rumah. Hasratnya kini hanya untuk berkhidmat pada negara. Sepeninggalan Kuan, keluarga Dahalan menjadi penganut Islam yang sejati. Kemudian Kuan datang ke rumah Rosdiah untuk mendapat kepastian cintanya. Malangnya Rosdiah terus menolak cinta Kuan yang sudah meninggalkan Swee Lan, keluarga dan agamanya. Kuan rasa ditipu oleh cinta Rosdiah yang dianggapnya palsu. Drama ini diakhiri dengan babak di Tugu Kebangsaan yang dihadiri oleh Dahalan, Swee Lan, Zarim, Suriah dan ibu Rosdiah. Kematian Kuan sebenarnya menunjukkan penolakan Kala Dewata ke atas perkahwinan campuran dalam proses mengwujudkan perpaduan kaum.

Sinopsis Drama Atap Genting Atap Rumbia . Drama beraliran realisme ini mengisahkan dua keluarga yang dijurangi oleh martabat dan penempatan antara keluarga pegawai di bandar dengan keluarga petani di kampung. Pemasalahan sosial yang di hadapi dua keluarga ini diseiringkan apabila anak gadis dari keluarga atap genting dengan anak teruna dari keluarga atap rumbia berjanji untuk berkahwin.

Shamsiah berasa bimbang kalau rombongan pinangan Shamsuddin ditolak oleh ibu bapanya. Mak Temah dan Pak Abu mencari akal lalu bersetuju untuk menerima rombongan itu dengan menyamar sebagai ibu bapa Shamsiah. Cik Hindon, ibu Shamsiah tidak bersetuju jika anak gadisnya dikahwinkan dengan Shamsuddin. Dia ingin memulangkan balik cincin tanya belah rotan kepada keluarga Shamsuddin. Setelah ke rumah Shamsuddin di kampung, Mak Piah ibu Shamsuddin menyangkakan bahawa ibu bapa Shamsiah yang datang itu adalah tukang masak dan tukang kebun keluarga Shamsiah. Kemudian adegan lucu dan tegang itu dapat diselesaikan di mana pendirian Cik Jamal dan Cik Hindon yang membenarkan anak gadis mereka berkahwin dengan pemuda kampung. Kaum lelaki berbincang bagaimana kedua pasangan itu harus menambung dahulu sebelum berumahtangga. Pasangan itu bersetuju dengan syarat itu.

Keistimewaan Kala Dewata Sebagai Dramatis. Isi : Tema 1. Sosial 1.1) Membentangkan Pemikiran Rakyat. Kala Dewata menonjolkan pertemburan pemikiran rakyat yang bersikap modenisme dan tradisionalisme, konflik ekonomi di mana bandar dipandang sebagai membawa kemewahan manakala desa yang terlihat hanyalah

kemiskinan dan kemelaratan seperti mana yang dipaparkan dalam drama Atap

Genting Atap Rimbia.


Sikap hidup, jaminan keselamatan dan masyarakat merupakan persoalan penting drama realisme.4 Kala Dewata mempertahankan bumi di mana dia pijak, sambil menyindir, kadang-kadang menusuk dengan tajamnya. Ini merupakan satu lakaran yang akan menjauhkan lagi jurang dalam masyarakat. Tema begini amat sesuai dengan negara yang sedang membangun yang masih mempertikaikan nilai dan justifikasi kehidupan. Kala Dewata menekankan akibat dari kemerdekaan yang cara pengisiannya kurang sempurna. Watak Shamsuddin yang ingin mengajar di desa bertentangan dengan kerisauan Shamsiah untuk mengikutnya setelah berumahtangga kerana melanggar normanorma dan kehendak keluarga Shamsiah. Bersesuaian dengan aliran realisme, Kala Dewata memberi kemenangan kepada pihak desa, secara tegas kemenangan ini merupakan kemenangan bagi orang Melayu yang hendakkan perubahan, tetapi mestilah setiap orang bekerjasama bagi menjayakan perubahan-perubahan itu. Dalam Atap Genting Atap Rumbia, Cik Jamal orang bandar yang terkenal dengan keras hatinya telah tunduk dengan kemahuan Mak Piah, orang desa. Kala Dewata juga seolah-olah membentangkan jalan penyelesaian bagi drama-dramanya dengan memberi nasihat diakhir cerita. 1.2) Percintaan antara Kaum Pengolahan tema masalah hidup sehari-hari dan berbincang secara pendek, kemas dan tepat di samping mempunyai tujuan-tujuan untuk
4

Victor Geirge, Social Security and Society (Londan, Routledge & Kagen Paul, 1973) hlm 24 - 25

membetulkan masyarakat membuktikan era yang ditempohi oleh dramatis Malaysia adalah satu era yang gemilang dan penuh bererti dalam karier mereka sebagai pengarang dramatis. Realiti kehidupan di dalam drama Dua Tiga Kucing Berlari memperkuatkan daya ciptanya dengan membentangkan permasalahan percintaan antara kaum yang agak hangat diperkatakan waktu negara baru mencapai kemerdekaan sebagai satu cara untuk mencapai perpaduan. Kuan Tie Che, protagonisnya jatuh hati dengan gadis Melayu Rosdiah, tetapi kedua-dua keluarga mereka tidak merestuinya. Namun cinta tidak mengenal kulit di samping tidak mempedulikan akibat-akibat pertentangan keagamaan, kebudayaan dan etika kedua-duanya untuk meneruskan percintaan mereka. Di kemuncak ceritanya, Kala Dewata telah mentragiskan drama ini dengan mematikan Kuan Tie Che, yang menjalankan tugas sucinya sebagai seorang tentera. Di sini Kala Dewata mengambil keputusan bahawa kahwin campur bukanlah satu cara untuk memadukan rakyat. 1.3) Pertentangan Kota dan Desa Kota diangggap sebagai memberi harapan-harapan yang indah, tetapi bila seseorang itu tidak dapat mengikut norma-norma kosmopolitan, berlakulah pergelutan identiti. Desa pula digambar sebagai sesuai dengan masyarakat Melayu ketika itu kerana hendak mencari penempatan yang tetap dan kesimbangan dengan kota. Inilah pertentangan dua daerah hidup yang menjadi pusat konflik dalam drama Kala Dewata : gelagat kehidupan yang penuh

pertentangan dalam negara yang sedang bergulat dengan perubahan fizikal dan mental.
Shamsuddin: Mak Piah: Minah: Mak Piah: Mak Piah: Er tidak. Dia pegawai tinggi. Ah, pegawai tinggi macam mana pun, kalau dengan masjid takkan berdiri depan. Mencelah-celah di belakang sajalah dia. (Manis lagi) Dia orang kaya; duduk di bandar pula. Aku, orang kaya di bandar itu aku tak hairan. Kalau lebih bukan boleh tempat bergantung. Kalau lebat bukan boleh tempat berteduh. Dia mengira batang dia aja.5 (Beria-ia) Ya, Din. Bapa kau tu, puaslah mak tegang leher nak menegakkan kau. Tapi dia berkeras juga. Macam-macamlah katanya. Kita ini pipit, orang tu enggang. Takkan dapat sama. Kita ni dahlah miskin, katanya, besok anak pula hilang diambil orang. (Bangun dan dengan tegas) Mak, pada Din tak ada soal kaya miskin. Tak ada soal tinggi rendah. Din mahu menegakkan rumahtangga dengan Shamsiah. Rumahtangga kami sendiri. Rumahtangga yang hendak kami bina dari awalnya dengan titik peluh kami sendiri. Kebetulan mak dan bapak berumah di kampung ini, beratap rumbia. Kebetulan mak dan bapak Shamsiah berumah di bandar beratap genting. Takkanlah atap genting dan atap rumbia ini menahan Din dan Shamsiah hendak membuat rumah baru. Entahkan lain pula atapnya.6

Shamsuddin:

Kota dikatakan ekstrem, agresif dan tidak mempedulikan manusia, sementara desa diselaputi oleh unsur-unsur tradisional yang kukuh. Dari polarisasi dan susun lapis masyarakat yang digambarkan, terdapat semacam tindas-menindas, pertentangan antara golongan bawahan terhadap atasan dan kelas. Nilai kota terletak pada wangnya, jika orang desa hendak ke kota mestilah memahami permintaan itu dan jangan mudah terpedaya oleh kepalsuan. Disebabkan perkembangan yang tidak seimbang, kota menjadi tamak dan sombong. Di sinilah pengarang mengutarakan nilai-nilai keadilan sosial. Desa diberi kemenangan biarpun di akhir cerita mereka berdamai. Bagaimanapun, talian persaudaraan harus ada.
5

Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm 342 6 Ibid., hlm 347

10

1.4)

Konflik Keluarga Kesombongan kota dipaparkan juga di dalam drama Di Balik Tabir

Harapan.7 Penulis mggambarkan tragedi keluaraga rumahtangga Mohd. Zain


dengan anak-anaknya Ramli dan Laili. Mereka dikatakan sebagai penderhaka kepada cita-cita ayah yang menentukan dasar jalan hidup mereka. Ramli ingin menjadi jurulatih sukan tetapi ayahnya mahukan dia menjadi:
(Terdiam sebentar, kemudian bertempik) Bodoh! Bodoh! Kau tengok dia melepek di kampung. Dan aku di sini, di kota, telah menjadi pegawai tinggi. Datuk,datuk kepada 90 buah rumah, datuk apa itu? Ramli kau tidak mengerti. Kau tak tahu. Bila aku katakan pelajaran tinggi, aku mahu kau belajar ke sekolah tinggi, ke universiti, belajar ilmu undangundang, ilmu ekonomi, ilmu politik dan lain-lain lagi supaya bila engkau keluar engkau ternama, terkenal. Ramli: (Perlahan-lahan) Ya bapa! Mohd.Zain: Baik! Besok pergi kepada guru ... guru bodoh engkau itu katakan engkau mahu masuk unversiti; bukan jasa ... jasa ... jasmani.8 Mohd. Zain:

Mohd. Zain juga mengharapkan anaknya Laili yang gagal dalam persekolahan itu agar dapat mendirikan rumahtangga yang bahagia dari dasar yang teguh:
Mohd.Zain: Ah, budak itu! Budak pekerja biasa saja. Apa yang dapat diharapkan daripada dia, bapanya pun orang ulu. Laili, kau mesti berumahtangga dengan orang baik-baik supaya keluarga kita juga menjadi orang baikbaik. Laili: (Dengan pahitnya) Jadi sekarang belum lagi baik. Mohd.Zain: (Berang) kau anak memang tidak mengerti. Perempuan, perempuan tolol! Membuat sesuatu mahu ikut sedap sahaja. Mahu ikut nafsu ... Laili: (Dengan kuatnya) Bapa! Jangan bapa berkata begitu! Ada orang yang hendak hidup dengan Laili, yang Laili suka, bapa tidak mahu terima. Bapa suruh dia pergi. Bapa mahu Laili menunjukkan diri ke sana ke mari, supaya Laili dapat menangkap orang besar, orang ternama, supaya martabat bapa tinggi, bapa menjadi orang baik-baik. Bapa jadikan Laili korban supaya tercapai kemahuan bapa. Sekarang Laili yang bapa salahkan. Siapa yang mahu ikut ... ikut ...9

7 8

Kala Dewata, Di Balik Tabir Harapan (Kuala Lumpur, Federal Berhad, 1966) Ibid., hlm 15 9 Ibid., hlm 24

11

Kehendak bapa tidak sehaluan dengan kehendak anak-anak. Lalu si anak merasakan bahawa tidak perlu mematuhi kehendak bapa mereka. Anak zaman merdeka ini ingin kebebasan untuk memilih haluan sendiri kerana di negara yang merdeka dan demokrasi, inilah gambaran masyarakat yang membangun. Konflik keluarga diberi kemenangan kepada pihak anak-anak. Pemikiran utama yang hendak disampaikan ialah gejala penyakit masyarakat terhadap ibu bapa yang materialistik, mereka lahir dari pembangunan negara yang mengabaikan aspek kerohanian di mana manusia hanya mementingkan kediri, kemewahan, pangkat dan nama.10 Bidasan sinis Kala Dewata amat sesuai dengan konteks dan ruang. Konflik orang-orang tua dan muda digambarkan di dalam drama ini. Kehendak dan prinsip kota mestilah diikuti jika hendak berjaya. Mohd.Zain terperangkap dengan kemegahan kota. Hidupnya semakin sombong dan ego untuk mewakili konflik seorang ayah pada zaman moden. Drama ini bukan sahaja hendak memaparkan kebenaran, tetapi ingin menunjukkan cara-cara untuk membentuk masyarakat yang dikehendaki. 1.5) Masalah moral dan agama Dalam Di Balik Tabir Harapan, Kala Dewata mengutarakan kesanggupan seorang ayah yang inginkan keduniaan sehingga sanggup membenarkan anak perempuannya bergaul dengan lelaki-lelaki yang bukan muhrim. Mujurlah anak perempuannya berkahwin dengan seorang lelaki pilihannya secara sah. Perhatikan petikan berikut:
10

Mana Sikana Di Balik Tabir Harapan Memperkuat Kala Dewata dlm Berita Harian, 13 Mac 1975

12

Ramli: Ya. Tetapi bapa membenarkan Laili dibawa ke sana ke mari oleh anak datuk-datuk dan anak orang besar-besar yang mulia. Apabila mereka mahu kahwin mereka semua sudah ada plilihan-pilihan mereka yang tertentu. Laili mereka ketepikan, Laili hanya untuk berfoya-foya, untuk penghibur, sudah murah 11

Dalam drama Dua Tiga Kucing Berlari pula, Kuan Tie Che telah sanggup memeluk Islam atas kesedaran fahaman agama Islam bahawa untuk berkahwin dengan seorang muslim, pasangannya juga mesti seorang muslim, baharulah sah. Bukti pendirian Kuan seperti yang tertera dalam petikan berikut:
Kuan: Apa? Begini mudah sekali? Begini senang? Kerana kau aku telah memutuskan kasih sayang Swee Lan padaku. Aku memutuskan kasih sayang hidupku dengan keluargaku. Aku meninggalkan agamaku! Tetapi sekarang apakah balasan yang aku dapat? Kau campakkan aku begitu saja. Dengan mudah kau putuskan segala-galanya. Kau putuskan? Mana letaknya jantung hati kau, Ros? Mana letaknyanya perasaan kau? Mana letaknya kasih sayang yang kau tunjukkan padaku? Palsu! Palsu belaka!12

1.6)

Kedudukan wanita Lagi satu pusat pemikiran Kala Dewata ialah kedudukan wanita. Rosdiah

dalam Dua Tiga Kucing Berlari contohnya, membayangkan status wanita Melayu baru dalam negara membangun. Sikapnya yang pemalu tetapi sudah sanggup menerima unsur-unsur kemajuan kota, merupakan satu satira bahawa kaum wanita ini sedang berada dalam satu ambang kemodenan. Wanita sudah memilih profesionalisme sendiri. Ini menimbulkan gejala baru. Kita dapat menyaksikan perubahan-perubahan akibat kemerdekaan. Secara sejagatnya, ini adalah kebangkitan hasil dari sistem pendidikan yang lebih moden. Contohnya:
11

Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm 281 - 282 Ibid.,hlm 205

12

13

Mak Timah:

Awak tak tahukah sekarang, orang perempuan dalam bandar sudah maju dengan orang lelaki. Semua sama pandai, sama kerja dan sama dapat gaji.13

2)

Ekonomi Konflik modenisme dan tradisionalisme disamakan dengan fahaman kota

dan desa. Kota dilambangkan sebagai mewah dan kesenangan sementara desa sebagai miskin dan melarat contohnya:
Pak Salleh: Cuma aku nak beri peringat. Kita datang dari kampung, budi bahasa sopan santun tinggi. Jangan kerana dek berteduh di rumah batu atap genting, hilang pulak semuanya itu. Orang kampung yang beratap rumbia ini, itu sajalah modalnya kita budi bahasa, sopan santun. Orang di bandar macam-macam, banyak duit, banyak harta. Tapi modal bahasa dari dunia sampai akhirat.14

Namun Kala Dewata yang penuh daya fikir, berdisiplin, komitmen dan memahami keadaan masyarakatnya, telah berjaya dengan mesej dramadramanya untuk memperbaiki tafsiran mereka mengenai kota dan desa dalam konteks negara yang sedang membangun dan baharu sahaja mencapai kemerdekaan. Pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sosial adalah rapat di antara satu dengan yang lain. Pertama, perkembangan sosial biasanya merupakan syarat utama bagi pertumbuhan ekonomi. Kedua, pertumbuhan ekonomi satu-satunya faktor yang paling penting untuk menentukan perubahan sosial. Dalam perkembangan ekonomi banyak perubahan sosial yang berlaku.

3)
13

Politik

Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm 362 14 Ibid., hlm 347

14

Kala Dewata tidak berbicara soal politik dengan secara langsung dalam drama pertamanya. Namun tidak dapat dinafikan akan wujudnya implisitan politik itu. Kebiasaannya, penulis-penulis yang mendukung konsep modenisme dan realisme akan melibatkan dirinya dalam persoalan politik. Penulis yang teruji akan segera sensitif dan menentang godaan kezaliman, rasuah, anarkisme dan hipokrit politik. Dia akan membersihkan dirinya daripada segala maksiat dan bertindak sebagai amar makruf nahi munkar15 dan melakukan koreksi terhadap sesuatu yang pincang secara tegas. Sebagaimana yang digambarkan dalam petikan di bawah:
Hassan:Ya, Encik Mohd Zain, betullah sebagai dalam suratkhabar itu. Perusahaan lombong bijih itu terpaksa ditutup, dan ditangguhkan perjalanannya buat sementara. (Dia memandang pada Mohd Zain, tetapi dia tidak mahu menoleh) Sungguhpun begitu, sebenarnya bukanlah perusahaan itu yang bersalah. Keadaan dunia yang memaksa.16

Daripada petikan di atas dapatlah ditafsirkan bahawa ahli politik yang memerintah mempunyai kuasa untuk menentukan kegiatan perusahaan sama ada patut diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada pulangan ekonomi iaitu menguntungkan atau merugikan negara. Sumbangan Kala Dewata dalam Perkembangan Sastera Melayu Moden 1) Konsep Realisme Kelahiran realisme membuktikan adanya sistem hidup seperti ekonomi, pendidikan dan sosial yang berjalan tidak mengikut ukuran-ukuran yang
15

Inilah sebenarnya intisari dari pengertian firman Allah di dalam al-Quran, yang mengajak setiap Muslim itu harus kritis terhadap pergolakan masyarakatnya. Menjadi manusia mengajak kepada kebaikan dan membetulkan kesalahan. 16 Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm 270

15

menguntungkan manusia. Realisme tidak berdasarkan pada khayalan, tetapi mencari ketepatan: the objective representation of contemporary social

reality.17 Dari segi logiknya, realisme mempunyai hubungan yang rapat dengan
dasar dan corak pemerintahan sesebuah negara itu. Protes sosial atau realisme hanya akan muncul di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Ia memperlihatkan ciri-ciri yang demokratik serta perkembangan ekonominya, biasanya bergantung banyak pada bahan-bahan mentah, industrialisme dan pertanian. Realisme menyedarkan pengertian demokrasi di mana penulis bebas untuk berbicara dengan masyarakat mengenai permasalahan dan kucar-kaciran yang wujud untuk membentuk masyarakatnya agar menjadi baik. Demokrasi melahirkan negara moden dan realisme membayangkan masyarakat moden. Kala Dewata adalah orang yang pertama memperkenalkan drama moden yang beraliran realisme di Malaysia dengan munculnya drama Atap Genting Atap

Rumbia. Aliran terbaru ini telah menukarkan corak drama-drama Melayu


terutamanya sandiwara yang sudah menjadi satu bentuk yang masyhur di tahuntahun lima puluhan. Kala Dewata menegaskan bahawa citrawara sebagai satu pegangan yang serius terhadap seni drama. Menurut dramatis ini, citrawara merupakan sebuah wara yang mengemukakan citra. Ia berbentuk sebuah lakonan terus-menerus. Tidak ada lagi selingan yang merosakkan suasana sebelum dan sesudah adegan. Tidak ada lagi tabir yang diturunkan tetapi berlatar alat yang realistik. Tidak ada lagi kata bual yang dibuat-buat sekejapsekejap tetapi dialog yang mesti dihafal dan difahami oleh para pelakon
17

Rene Wellek, Concept of Criticism, hlm 242

16

semuanya. Konsep realisme ini ditekankan lagi oleh Kala Dewata dengan lebih lanjut dalam eseinya yang berjudul Aspek-aspek Teknikal Dalam Pementasan. Dia menyatukan kemahiran seni sastera dengan keperluan pentas dan juga menyatukan antara pemikiran, estetika dan etika yang dihubungkan dengan keperluan masyarakat. Kala Dewata sebenarnya menyederhanakan tekniknya, sehingga mudah difahami oleh semua audiens. Drama realisme adalah drama intim interaksinya dengan masyarakat. Ia adalah dari masyarakat dan untuk masyarakat yang seiringan dengan amalan demokrasi negara yang menganjurkan realisme ini. 2) 2.1) Gaya Komedi
Saya berasa ada tanggapan pemikiran yang dapat ditarik di sini: bahawa dalam sikap kejenakaan orang Melayu, tersembunyi dalam jiwa mereka , peribadi yang kuat luhur dan dapat bertindak dengan bijak dalam suatu keadaan yang rumit dan genting."18

Kala Dewata menganggap bahawa orang-orang Melayu walaupun suka berseluruh, mereka masih bertata susila bila berhadapan masalah yang meruncing. Watak-watak komedi Kala Dewata yang diikuti dari gelagat manusia Melayu itulah sebenarnya menjiwai dan dalam beberapa, ia memberi kelancaran dan kesegaran kepada drama. Peranan komedi sungguh besar dalam Atap

Genting Atap Rumbia. Jika diberi perhatian dengan halusnya, banyak cara
pengarang mengetengahkan unsur-unsur komedi:
Hindon:
18

Memang awak dah tak ada fikiran lagi. Dah habis, dah out! Kalau satu itu, satu itu sajalah!. Bukan tahu nak berikhtiar macam orang lain,

Mana Sikana, Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor Darul Ehsan, 1989) hlm 96

17

nak berakal. Jamal: (Berdiri dan berjalaan perlahan-lahan) Baiklah aku masukkan iklan dalam suratkhabar Anak dara sudah besar mahu kahwin. Siapa yang berhajat hantar permintaan pada Cik Hindon dijamin.19

Komedi di atas dijadikan umpan untuk melancarkan dan menyegarkan drama. Ia mengandungi ironi dramatik. Komedi Kala Dewata menghala kepada tujuan untuk memperbaiki masyarakat. Dia membandingkan secara realiti akan hubungan manusia yang berbeza dari segi fahaman dan konsep hidup. Dia mengutarakan falsafah masyarakat iaitu kehidupan sebenarnya tidak semudah yang disangkakan dan peranan setiap individu itu sangat penting. 2.2) Plot Sebagai sebuah model kepada drama Melayu moden, Atap Genting Atap

Rumbia dibina dari babak ke babak hingga kepada klimaksnya. Setiap adegan
diolah dengan berbagai suasana, mood dan unsur-unsur dramatik yang terkenal. Bahasa harian digunakan untuk menyerlahkan suasana komedi yang diselitkan dan menimbulkan kemesraan dengan khalayaknya. Kala Dewata membina drama-dramanya dengan teliti, memajukan plot beransur-ansur sehingga tiba pada kilmaks dengan dialog yang menyegarkan. Klimaks beberapa buah drama yang telah dibicarakan bolehlah dikatakan kebanyakannya berakhir dengan tragedi. Drama-drama Kala Dewata seperti Di

Balik Tabir Harapan dan Dua Tiga Kucing Berlari jelas sekali tragedinya. Di akhir
drama Di Balik Tabir Harapan, Mohd. Zain terpaksa mengambil senapang hendak
19

Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm 309

18

menembak sesiapa saja bila mendengar kegagalan harapannya, si anak melencong ke arah cara hidupnya sendiri dan pelaburan wang si ayah yang begitu banyak telah kerugian besar. Manakala drama Dua tiga Kucing Berlari pula, watak Kuan Tie Che telah dimatikan untuk meleraikan ketegangan yang dihadapi oleh Rosdiah untuk memilih bakal suaminya.

3)

Esei Dalam bidang penulisan esei, Kala Dewata memperlihatkan kematangan

dan kesungguhannya untuk menyatukan seni sastera dengan keperluan pentas. Keempat-empat esei Kala Dewata yang dimuatkan di dalam buku Zakaria Ariffin20 telah dapat membantu bagi perlaksana pementasan supaya lebih lancar dan teratur. Dalam drama Atap Genting Atap Rumbia Kala Dewata menegaskan latar yang diinginkan sebagai berikut:
Dalam bilik tetamu sebuah rumah batu. Perkakas di dalam bilik itu kelihatan lengkap sesuai dengan taraf rumahnya. Kerusi mejanya jenis baharu, moden, berkusyen tebal, beralas kain corak mahal. Warna kain kusyen itu berpasang pula dengan kain langsir jendela cermin yang terbuka luas; juga dengan warna tikar permaidani yang terbentang di lantai. Di satu sudut nampak sebuah radiogram tersergam indah. Di sudut lain pula sebuah almari cermin yang dipenuhi oleh buku-buku. Di atas almari itu 21

Begitu juga dengan terhasilnya buku Tiga Drama yang menjelaskan bahawa dramanya yang bercorak citrawara dan purbawara ini ditujukan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Ini disebabkan sandiwara manjadi semakin rancak perkembangannya selepas perang apabila setiap sekolah Melayu

20

Zakaria Ariffin (Penyelenggara). Drama Melayu Moden dalam Esei ( Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981) 21 Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm 295

19

sekurang-kurangnya, mengadakan satu malam sandiwara tahunan (biasanya lepas sukan tahunan sekolah). Renungan dan Penilaian Kritis mengenai Kala Dewata A. Samad Said seorang penulis realisme pernah menyatakan: Pengarang mesti mengasah otak, menghirup kehidupan yang senang, getir dan memeningkan dan mengolahnya semula sebagai hasil cipta yang dapat membuka dada dan fikiran pembaca-pembacanya. Mendorong pembacapembaca itu untuk memikirkan lebih jauh lagi segala soal yang dikemukakannya, menyedarkan mereka tentang kekotoran dan kepincangan yang meliar gagah di sekelilingnya, dan menaruh jantung mereka seganas-ganasnya supaya diri mereka tahu bahawa mereka tidak harus berdiam diri dan berdiam diri...".22 Dengan pegangan di atas. Kala Dewata telah berjaya menghasilkan dramadrama yang tinggi nilai sasteranya untuk dijadikan sebagai pedoman hidup dan bahan sejarah perkembangan sastera Melayu. Rahmah Hj Bujang memandang tinggi usaha Mustapha Kamil Yassin atau Kala Dewata dengan menyelenggarakan hasil-hasil dramanya dibukukan untuk dibuat rujukan oleh guru-guru, pelajar-pelajar dan bacaan orang ramai. Prof Rahmah menyatakan:
Drama-drama Kala Dewata memaparkan kejadian sosial yang menjadi persoalan masa itu. Apa yang terbukti ialah betapa persoalan itu masih menjadi isu sosial masa kini, telah hampir 30 tahun drama-dramanya itu ditulis. Masalah keluarga Mohd.Zain masih wujud baik dahulu mahupun sekarang. Pengisian drama-drama Kala Dewata yang memaparkan kejadian hidup yang terus segar inilah yang menjadi daya tarikan kepada penerbitan semula karya-karya dalam buku ini.23
22

Usman Awang dan A.Samad Said, Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden(Kuala Lumpur, Federal Berhad, 1963) hlm 60 23 Rahmah Hj Bujang(Penyelenggara), Drama-drama Kala Dewata(Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990) hlm xix

20

Ungkapan di atas memang tidak disangkal lagi kerana aliran realisme Kala Dewata telah dapat perhatian pengamat-pengamat sastera yang memuji penampilan karya-karyanya dan juga peminat-peminat drama baik yang persembahan terus di atas pentas atau persembahan perantaraan yang ditonton oleh orang ramai pada wayang gambar ataupun televisyen atau yang didengar dari peti radio. Dengan mengikuti dan meneliti adegan-adegan tragedi dan komedi, watak-watak dalam drama-dramanya begitu hidup dan benar. Tidak kurang juga kesedaran yang timbul hasil dari tontonan atau pembacaan drama-dramanya kerana motif aliran realisme ini juga ingin mendidik dan membetulkan masyarakatnya dengan landasan yang dipersetujui oleh hukum-hukum agama dan negara. Drama-drama Atap Genting Atap Rumbia, Dua tiga Kucing Berlari

dan Di Balik Tabir Harapan serta lain-lain dramanya membimbing manusia


supaya melaksanakan tugas sosial dengan baik untuk menentukan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan kesejahteraan rakyat umumnya. Jika pengamat drama telah tahu tipu daya yang dipraktikkan dalam sesebuah masyarakat, maka senanglah masalah kejahatan dan penipuan dileraikan. Kala Dewata telah dapat menambat hati pengamat drama dengan tragedi-tragedi dan juga adeganadegan komedi dalam karya-karya dramanya. Perjalanan cerita dramanya dipenuhi dengan perbualan yang pendek tetapi terus-menerus dan diselangi dengan pergerakan dan perlakuan yang cergas. Bahasanya pula pada

21

keseluruhannya adalah bahasa perbualan yang pendek, tetap, tegas dan bernas. Dari itu, pembaca dan peminat drama dapat mengikuti hasil-hasil karyanya dengan senang sekali dan berkesan. Penutup Daripada karya-karya Kala Dewata yang telah dibicarakan, ternyatalah bahawa dia telah dapat menyuguhkan pemikiran yang sesuai dengan zamannya. Sumbangannya yang menitikberatkan gambaran nyata dan benar, seiringan dengan konsep realisme yang didukungi dan tugasnya sebagai seorang pengarang, akan menjadi catatan sejarah yang dapat meningkatkan pemikiran masyarakat sezaman dan yang akan datang. Sebagai pelopor gerakan realisme dalam perkembangan Drama Melayu Moden di Malaysia, dia telah diterima secara terbuka oleh masyarakat dan ini membuktikan lagi bahawa realisme sebagai satu aliran kesusasteraan yang sesuai.

22