Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PENGETUA SEMPENA LARIAN SERENTAK 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA DAN KEJOHANAN MERENTAS DESA 2011 Yang

dihormati Encik Lim Joo Swee, Yang Dipertua PIBG, Yang Berusaha Tuan Haji A Talib bin Ismail,Penolong Kanan, Yang Berusaha Puan Zubaidah bt Ahmad Ishak, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ketua-ketua Bidang, Ahli Jawatankuasa PIBG, guru-guru, dan murid sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama menjayakan satu lagi aktiviti perdana yang besar maknanya bukan sahaja kepada diri kita dan sekolah kita, malah kepada seluruh rakyat Satu Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana tepat 7.45 pagi nanti, lebih 3 juta murid sekolah rendah dan murid sekolah menengah seluruh Malaysia akan memulakan larian yang diberi nama Larian Serentak Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia sebagaimana yang diarahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam konteks sekolah kita pula, larian ini turut dipertandingkan sebagai Kejohanan Merentas Desa Antara Rumah Sukan untuk tahun 2011.Oleh itu, besarlah harapan saya agar murid-murid dapat menunjukkan semangat kesukanan yang berkobar-kobar, semangat juang yang meluap-luap, semangat patriotik yang tidak berbelah bahagi, dan semangat perpaduan 1 Malaysia yang gilang-gemilang supaya larian serentak kita pada pagi ini berjaya mencapai objektifnya. Warga sekolah yang saya hormati, Larian Serentak Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia sebenarnya menggariskan beberapa objektif penting. Antaranya, larian ini sejajar dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini juga menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Maka dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun dan larian inilah yang menjadi salah satu aktiviti pengisian yang utama sebagai kesinambungan daripada Karnival Sukan yang telah pun berlangsung pada

bulan April yang lalu. Dengan menjayakan larian serentak ini, maka amalan bersukan dapat dibudayakan selaras dengan Dasar Sukan Negara melalui dua strategi iaitu, Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendukung aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendukung semangat 1 Malaysia.

Murid-murid yang saya kasihi, Era globalisasi pada masa ini tidak lagi menilai seseorang individu itu berasaskan pencapaian akademik semata-mata, tetapi kecemerlangan seseorang itu juga dinilai dari segi kejayaan dalam bidang sukan atau jasmani. Pekembangan diri yang holistik menjadi suatu aspek yang amat dititikberatkan. Sehubungan dengan itu, sukan sesungguhnya satu bidang yang amat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal dan intelek murid selaras dengan slogan, Minda yang cerdas terletak pada tubuh yang cergas. Oleh sebab itu, murid-murid seharusnya aktif bersukan supaya menjadi modal insan yang cergas, produktif dan berkualiti dalam menjanakan perkembangan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa 1 Malaysia. Akhir kata, selaku pengetua SMK Bandar Utama Damansara 4, saya sekali lagi menyeru murid-murid agar menunjukkan kegigihan dan ketabahan bagi menyempurnakan larian ini. Selain itu, saya juga ingin mengingatkan murid-murid agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri semasa berlari di kawasan luar sekolah nanti. Ingatlah, sayangilah nyawa diri demi keluarga tersayang. Dari perspektif yang lain pula, saya turut berharap agar murid dapat menyedari kepentingan kita membudayakan sukan dalam kehidupan sehari-hari di samping memainkan peranan dalam mewujudkan suasana dan perasaan muhibah sepanjang masa demi keakraban masyarakat majmuk Satu Malaysia. Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh Alex Leong Jun Wei

Anda mungkin juga menyukai