Anda di halaman 1dari 13

APA ITU PENGAJARAN MAKRO???

Konsep Pengajaran Makro Pengajaran Makro merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap bermula dari pendahuluan, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup.[1] Dalam erti kata lain, pengajaran makro ialah satu sesi pengajaran yang lengkap bermula dari set induksi hingga penutup. Pelaksanaannya perlulah mengandungi elemen-elemen berikut; dilakukan di kelas yang besar, perlu murid sebenar, guru mengajar sepenuh waktu, tumpu kepada pelbagai kemahiran mengajar dan situasi sebenar.[2] Pengajaran makro juga merupakan kesepaduan teknik-teknik pengajaran mikro yg disokong oleh perancangan pengajaran pembelajaran yang sekian lama dipelajari. Proses pengajaran makro yang dijalankan di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman umpamanya, mesti dipraktikkan oleh guru pelatih dengan diperhatikan rakan pelatih yang lain. Pengajaran makro tersebut berdasarkan masa pengajaran sebenar seperti yang ditetapkan sama ada menggunakan masa 30 minit atau 40 minit. Ianya bertujuan membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran, di samping mereka dapat memperbaiki kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran sebenar di bilik darjah di sekolah.

Prinsip Pengajaran Makro Antara prinsip pengajaran makro ialah:[3] Objektif Pengajaran dan Pembelajaran Dalam pengajaran makro, guru mempunyai objektif yang besar dan luas merangkumi aras pengetahuan pelajar. Guru hendaklah menyatakan objektif secara tepat dan jelas bagi setiap pengajaran yang dirancang berasaskan tajuk-tajuk yang dikenal pasti. Jumlah Pelajar Jumlah pelajar yang terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada bilangan pelajar di dalam kelas sebenar. Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari lakonan rakan-rakan. Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan karenah para pelajar.

Strategi Pengajaran Dalam pengajaran makro, guru perlu mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya sesi pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik. Jangka Masa Pengajaran Jangka masa yang ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan kepada jadual waktu kelas yang memakan masa selama antara 30 hingga 40 minit satu masa. Ekoran itu, guru perlu bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan masa yang ditetapkan. Bahan Pelajaran Dalam pengajaran makro, guru perlu menyampaikan keseluruhan isi pengajaran yang telah dirancang dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai sepenuhnya bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan adalah menyeluruh. Perbincangan dan Refleksi Penilaian kendiri perlu dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai refleksi atau muhasabah berkaitan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran perlu diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang perlu dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid di samping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.

Prosedur Pengajaran Makro (Sebelum, Semasa dan Selepas)

Sebelum Pengajaran (Persediaan Pengajaran) Sebelum melaksanakan sesuatu sesi pengajaran makro, guru pelatih perlulah merancang dan menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik. Perancangan yang lengkap dan baik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu pengajaran yang berkesan. Pengajaran yang berkesan akan meningkatkan pencapaian akademik murid dan mengurangkan masalah-masalah disiplin. Berikut ialah aspek-aspek penting dalam persediaan sebelum pengajaran:-[5]

1 Perancangan pendahuluan Penentuan topik Kebolehan sedia ada murid-murid

Objektif/hasil pembelajaran

2 Perancangan penyampaian Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran Penentuan masa Pemeringkatan isi Pemilihan sumber

3 Perancangan penilaian Pencapaian Penganalisisan maklum balas Pengubahsuaian

Semasa Pengajaran (Pelaksanaan Pengajaran) Semasa hendak melaksanakan pengajaran makro ini guru pelatih perlulah merancang set induksi pengajaran yang baik dan menarik perhatian serta minat murid kepada pengajaran yang hendak disampaikan dan dapat menggalakkan pembelajaran. Set induksi juga digunakan bagi mengaitkan pelajaran yang lepas atau dengan pengetahuan sedia ada murid. Jangka masa yang baik bagi set induksi adalah antara tiga hingga lima minit. Seterusnya, perkembangan pengajaran yang merujuk kepada langkahlangkah mengajar yang disusun berperingkat-peringkat berdasarkan prinsip-prinsip pengajaran. Guru pelatih juga perlu merancang langkah-langkah pengajaran yang berturutan, disusun dengan baik dan mencatat anggaran masa yang sesuai. Langkah-langkah yang dirancang ada kaitannya dengan objektif khusus yang sudah dicatatkan. Guru pelatih juga perlu memilih dan menyusun isi pelajaran yang hendak disampaikan. Ia perlulah sesuai dengan kebolehan serta minat murid. Isi pelajaran tersebut perlu dipertingkatkan dan diperkembangkan dengan teliti supaya situasi pembelajaran yang unggul dapat diwujudkan. Ketika melakukan pemeringkatan isi, guru pelatih hendaklah menyenaraikan semua topik yang hendak diajar, kemudian fikirkan sub topik atau isi yang manakah yang perlu diawalkan dan yang boleh diajar kemudiannya. Untuk itu guru pelatih perlulah melihat prinsip-prinsip berikut:

Dari yang susah diketahui kepada belum diketahui Dari mudah kepada kompleks Dari konkrit kepada abstrak Dari dekat kepada jauh Dari yang dalam pengalaman kepada yang di luar pengalaman

Bagi menyampaikan sesuatu isi pelajaran dengan berkesan, guru pelatih hendaklah memikirkan strategi yang akan digunakan. Pemilihan strategi yang bijaksana akan menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu pelajaran, strategi pengajaran yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan mutu penyampaian malahan akan menjadikan satu-satu pelajaran itu lebih bermakna serta menyeronokkan murid-murid. Selain itu, guru pelatih juga harus menjalankan aktiviti untuk mengukur sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai. Aktiviti penilaian boleh dijalankan secara pemerhatian terhadap aktiviti susulan, pemeriksaan kerja murid atau melalui ujian lisan atau tulisan. Maklumat-maklumat yang didapati dari pentafsiran penilaian ini akan menjadi asas untuk membuat pengubahsuaian terhadap pengajaran seterusnya. Bahagian penutup yang merupakan bahagian terakhir dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran di mana guru membantu murid menyimpul dan membuat rumusan yang berkaitan isi-isi penting serta memberi latihan atau aktiviti pengukuhan kepada murid-murid. Guru juga perlu memberikan rasa kepuasan belajar dan menggerakkan murid-murid supaya bersedia untuk pelajaran akan datang. Hal ini bertepatan dengan pernyataan Ee Ah Meng (1991) yang membahagikan penutup kepada dua bahagian, iaitu penutup kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif biasanya digunakan apabila guru menyenaraikan isi-isi penting sesuatu pelajaran dengan tujuan mengukuhkan apa yang telah dipelajari. Manakala penutup sosial pula bertujuan memberikan suatu perasaan pencapaian kepada murid-murid di hujung pengajaran satu-satu topik.[6] Di sepanjang proses pengajaran makro ini dilaksanakan pelbagai kemahiran dapat diterapkan dan dikuasai oleh para guru pelatih setelah mereka melalui proses pengajaran mikro sebelum ini. Ini sejajar dengan tujuan pengajaran makro itu sendiri iaitu untuk membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran. Antara kemahiran-kemahiran tersebut ialah

kemahiran penyampaian set induksi; kemahiran menerang dengan menggunakan contoh, ilustrasi dan sumber pengajaran dan pembelajaran; kemahiran penggunaan penyoalan; kemahiran pengelolaan variasi rangsangan; kemahiran penggunaan papan kapor; kemahiran pengurusan aktiviti pengukuhan; dan kemahiran

pelaksanaan penutup.

Selepas Pengajaran (Refleksi Sesi Makro) Setelah selesai sesi pengajaran, guru mestilah membuat penilaian kendiri sebagai refleksi atau muhasabah berkenaan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran tersebut perlu dibaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang boleh dibuat refleksi ialah pencapaian objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid serta keazaman guru bagi membaiki pengajarannya.

[1] Ahmad Mohd Salleh. (2011). Kurikulum, Metodologi dan Pedagogi Pengajian Islam Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. h. 214. [2] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 2/3 Unit 3, 4, dan 5 Pengajian Islam Major j-QAF KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 50. [3] Mohd Khairi b Mohd Shaari. Pengajaran Makro Pendidikan Islam. Diperoleh 19 Disember, 2011 dari http://mokhairisha.blogspot.com/2009/02/pengajaran-makro-pendidikan-islam.html [4] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 2/3

Unit 3, 4, dan 5 Pengajian Islam Major j-QAF KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 74. [5] Ahmad Mohd Salleh. (2011). Op. Cit. h. 215. [6] Ibid. h. 200.

Rakaman Pengajaran Makro dan Mikro

Rakaman Pengajaran Makro dan Mikro


Pengajaran makro dan mikro merupakan salah satu subjek pelajaran yang perlu dilalui oleh semua pelajar yang mengambil kursus pendidikan. Oleh itu, di sini saya ada menyediakan contoh rakaman pengajaran makro dan mikro yang telah saya rekodkan semasa sesi pengajaran dilakukan didalam kelas. Sebelum itu mari kita ketahui apakah itu pengajaran makro dan mikro. Menurut sharifah alwiah (1986), pengajaran mikro itu adalah satu teknik pengajaran untuk meningkatkan kemahiran pengajaran guru dalam aspek-aspek tertentu seperti set induksi atau motivasi, penyoalan, variasi rangsangan, penggunaan white board atau papan hitam, alat bantuan mengajar, pengukuhan, penutup dan lain-lain lagi. Dan menurut Mok Soon

Sang (2008), pengajaran mikro adalah suatu teknik pengajaran yang mengambil masa mengajar selama 5 hingga 15 minit untuk mengajar sesuatu kemahiran pelajaran dalam sesuatu kumpulan guru pelatih, yang biasanya terdiri daripada 5 hingga 10 orang sahaja.

Laporan Refleksi Pengajaran Makro dan Pengajaran Semula Sains

Laporan Refleksi Pengajaran Makro dan Pengajaran Semula Sains Pengenalan


Pada 13 September 2012, bersamaan dengan Hari Khamis yang lepas, saya telah menjalankan pengajaran makro mengenai topik pembelajaran Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kadar Penyejatan Air di bawah tema Menyiasat Alam Bahan, Sukatan Pelajaran Sains KBSR Tahun 5, terhadap 15 orang guru pelatih yang bertindak sebagai murid-murid Tahun 5. Pengajaran makro yang dijalankan selama satu jam (60 minit) tersebut dijalankan bersama-sama dengan dua orang lagi ahli kumpulan saya di bawah seliaan pensyarah kursus saya. Pada pengajaran makro tersebut, saya telah mengajar bahagian

perbincangan berdasarkan pemerhatian dan membimbing murid untuk membuat kesimpulan pada peringkat penstrukturan semula idea, membincangkan lembaran kerja dan kepentingan-kepentingan penyejatan dalam kehidupan seharian kita di bawah peringkat aplikasi idea, dan seterusnya membuat penutup akademik dan menguji kefahaman murid untuk peringkat Refleksi. Borang-borang maklum balas telah kami edarkan kepada guru-guru pelatih untuk menilai dan memberikan komen mereka terhadap kami sepanjang kami menjalankan pengajaran makro tersebut. Walaupun terdapat banyak gangguan dan kekangan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut, namun bersyukur kepada Tuhan kerana saya telah berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan lancar. Terdapat banyak perkara yang telah saya pelajari daripada pengajaran makro ini. Oleh itu, refleksi ini akan membincangkan kekuatan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti semasa menjalankan pengajaran makro, memberikan cadangan-cadangan

penyelesaian untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang telah saya kemukakan, serta proses-proses dan perasaan semasa menjalankan pengajaran semula makro berdasarkan rakaman, maklum balas rakan-rakan sebaya, dan pensyarah.

Kekuatan-Kekuatan yang Dikenalpasti


Sepanjang menjalankan pengajaran makro, saya sedar bahawa saya dapat mengurus dan mengawal bilik darjah dengan tersusun dan berkesan. Hal ini demikian kerana saya telah menggunakan pelbagai cara dan cue untuk mengawal keadaan dalam bilik darjah. Sebagai contoh, saya telah meminta murid-murid untuk mengangkat tangan sebagai tanda sudah bersedia atau sudah siap melakukan lembaran kerja. Apabila saya mendapati bahawa murid-murid mula berbual-bual semasa sendiri atau kurang memberikan fokus kepada pembelajaran, saya akan bertepuk tangan atau bertanya beberapa soalan untuk mendapatkan perhatian mereka. Menurut Haliza dan Joy (2009), pengurusan bilik darjah merujuk kepada semua tindakan guru semasa mengendalikan kelas supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk mengalakkan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, dengan menggunakan cara-cara seperti ini, saya percaya bahawa keadaan murid-murid akan lebih terkawal dan dapat menumpukan perhatian mereka terhadap apa yang telah kita ajar. Selain itu, saya juga sedar bahawa saya berupaya untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan dan interaksi dua hala dengan murid dengan baik. Daripada pemahaman yang lepas, saya sedar bahawa komunikasi yang berkesan dapat menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif dan murid-murid akan lebih aktif dalam proses P&P (Mok, 2008). Oleh itu, semasa mengajar, saya sering mengutarakan soalan-soalan yang sesuai dengan tahap kognitif murid-murid kepada mereka. Semasa membincangkan lembaran kerja, saya akan berinteraksi dengan murid dan melibatkan murid dalam perbincangan dengan meminta murid-murid memberikan pendapat atau jawapan mereka, dan bertanya kepada murid-murid yang lain sama ada mereka bersetuju dengan jawapan murid tersebut. Pelbagai teori, kaedah, dan teknik juga saya aplikasikan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut. Antaranya ialah teknik penyoalan, semasa saya bertanya soalan terhadap murid-murid saya. Selain itu, kaedah pembelajaran koperatif juga telah saya gunakan apabila saya meminta murid-murid berbincang untuk mendapat satu jawapan yang dipersetujui sesama mereka dalam kumpulan. Menurut Tay (2000), pembelajaran koperatif bermaksud sekumpulan murid

bekerjasama belajar dalam kumpulan kecil bagi mencapai matlamat pendidikan

yang dikongsi bersama. Malah, saya turut menggunakan pengajaran ekspositori apabila saya bersyarah dan memberitahu murid-murid tentang kepentingan proses penyejatan dalam kehidupan harian kita. Saya juga mengaplikasikan teori pembelajaran behavioris, apabila saya meminta murid-murid bertepuk tangan apabila murid-murid mampu menjawab soalan dengan betul sebagai satu usaha untuk memotivasi murid-murid agar mereka terus aktif dalam pembelajaran. Situasi ini memberikan satu iktibar yang amat penting kepada saya bahawa sebagai seorang guru yang berkaliber dan dedikasi, kita perlulah bijak mengaplikasikan pelbagai teori, kaedah, dan teknik semasa mengajar supaya kita dapat menyampaikan kandungan pengajaran kita dengan sempurna di samping muridmurid tidak bosan dengan pengajaran kita. Di samping itu, saya berpendapat bahawa saya mempunyai keyakinan diri yang amat tinggi sepanjang menjalankan pengajaran makro saya. Walaupun saya tidak pernah mengajar sebelum ini, namum saya tetap bertindak seperti saya seorang guru yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan semasa menjalankan pengajaran makro tersebut. Pada saya, keyakinan diri ini adalah amat penting kerana murid hanya akan mendekati, menghormati, dan mencontohi tindakan gurunya apabila gurunya sentiasa berkeyakinan dalam menjalankan semua tugasannya. Kesannya, pengajaran saya berjaya dan semua murid membuat apa yang saya minta tanpa menimbulkan sebarang masalah disiplin. Kefasihan dan kelancaran bahasa yang ada pada diri saya juga membantu saya menyempurnakan pengajaran makro pada hari tersebut. Walaupun saya perlu bebahasa Melayu dan berhadapan dengan banyak soalan yang dikemukakan oleh murid-murid, namun saya masih dapat menyampaikan segala kandungan

pembelajaran saya dengan lancar tanpa sebarang masalah ketidakfahaman bahasa. Penggunaan pelbagai media bahan bantu mengajar, iaitu slaid-slaid power point dan juga video, serta lembaran kerja yang menarik yang telah saya gunakan semasa menjalankan pengajaran makro juga membolehkan murid mengekalkan minat dan motivasi mereka terhadap pelajaran, menyebabkan mereka sentiasa melibatkan diri secara aktif sepanjang proses P&P, dan membolehkan mereka lebih mengingati kandungan pembelajaran yang telah kita ajar. Oleh itu, BBM dan juga lembaran kerja juga memainkan peranan dalam pelaksanaan pengajaran makro yang berjaya dan berkesan.

Secara keseluruhannya, saya mendapat maklum balas daripada rakan-rakan dan pensyarah saya bahawa pengajaran makro yang telah saya laksanakan pada hari tersebut adalah mantap dengan penerangan yang jelas, nada suara yang kuat dan baik, intonasi yang menarik dan arahan yang agak jelas. Sesungguhnya ini amat mengejutkan saya, tetapi gembira memandangkan ini merupakan kali pertama saya menjalankan pengajaran makro terhadap subjek Sains ini.

Kelemahan-Kelemahan yang Dikenalpasti


Walaupun saya dapat melaksanakan pengajaran makro saya dengan agak berjaya, tetapi saya mendapati bahawa murid-murid seakan-akan tertekan dan kurang riang semasa saya mengajar. Pada masa itu saya tertanya-tanya kepada diri sendiri: Adakah saya terlalu garang atau tegas semasa mengajar? Adakah muridmurid tidak dapat mengikuti apa yang sedang saya ajar? Selepas melihat semula proses pengajaran makro saya menerusi rakaman video, saya mendapati dan sedar bahawa rupa-rupanya unsur humor atau kecindaan semasa mengajar masih kurang dalam diri saya. Hal ini demikian kerana saya mendapati bahawa saya agak serius dan tidak senyum semasa mengajar, memandangkan saya agak cemas dan gementar ketika menjalankan pengajaran makro tersebut. Keadaan ini mungkin menyebabkan murid-murid beranggapan bahawa saya ialah seorang guru yang garang, kurang ramah, sukar didekati, dan tegas orangnya. Semasa melihat semula rakaman pengajaran makro saya, saya juga mendapati bahawa saya selalu menggunakan perkataan Ah apabila saya sedang berfikir atau semasa mengadakan interaksi dengan murid-murid. Saya sedar bahawa penggunaan perkataan-perkataan yang tidak diperlukan dengan terlalu kerap seperti ini akan mengganggu kelancaran dan proses pelaksanaan pengajaranpembelajaran. Namun, ia memerlukan satu tempoh masa yang agak panjang untuk saya berubah memandangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada tabiat saya semasa bercakap. Aspek kelemahan lain yang dapat saya kenalpasti semasa menonton semula rakaman pengajaran makro saya ialah saya seakan-akan hanya berdiri statik di sesuatu tempat sahaja dan tidak bergerak ke sana sini untuk mendekati diri dengan murid. Keadaan ini mungkin menyebabkan murid beranggapan bahawa guru ini adalah sukar untuk didekati dan hanya selesa apabila berada di tempat tersebut.

Murid-murid juga akan beranggapan bahawa guru tersebut hanya akan berada di tempat itu sampai tamat kelas dan tidak akan datang ke meja mereka. Lantas mereka pun mula kurang memberikan fokus dan mula membuat kerja mereka sendiri. Walaupun saya tidak sedar bahawa saya tidak mempunyai banyak pergerakan semasa mengajar, namun, aspek ini begitu ketara dan jelas kelihatan apabila saya melihat semula pengajaran makro saya. Daripada borang-borang maklum balas rakan-rakan yang telah kami kumpulkan, saya mendapati bahawa terdapat sesetengah guru pelatih yang merasakan bahawa kadar percakapan saya adalah terlalu cepat. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan murid-murid tidak dapat mendengar apa yang hendak saya sampaikan semasa mengajar. Kesannya, murid-murid mungkin akan tertinggal dalam pelajaran atau gagal melakukan apa-apa perkara yang telah saya arahkan. Maklum balas pertama saya selepas saya mendapat tahu perkara ini ialah: Adakah pernyataan ini benar? Ataupun tanggapan sesetengah orang sahaja? Selepas mengimbas kembali apa yang berlaku semasa pengajaran makro, saya juga mendapati masalah yang sama. Oleh itu, ini memberikan satu kesedaran kepada saya bahawa apabila saya mengajar kelak, saya perlu bercakap pada kadar yang sesuai dengan tahap kognitif murid-murid dan pastikan bahawa setiap murid faham akan apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya. Tuntasnya, masih terdapat banyak kelemahan yang terdapat pada diri saya semasa menjalankan pengajaran makro, seperti kurang prihatin, tulisan kecil, dan sebagainya selain daripada kelemahan yang disebutkan di atas. Kelemahankelemahan ini mungkin tidak begitu serius atau ketara semasa mengajar, tetapi saya percaya bahawa ia tetap akan memberikan kesan yang tidak baik pada jangka masa yang panjang. Oleh itu, saya perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang dapat saya ketengahkan seperti yang disenaraikan di atas.

Cadangan Penambahbaikan
Untuk mengatasi masalah kekurangan unsur kecindaan atau humor semasa mengajar, saya sedar bahawa saya perlulah sentiasa senyum dan mempamerkan riak wajah yang ceria kepada murid-murid. Hanya dengan ini murid-murid akan berasa bahawa gurunya adalah seorang yang ceria dan mudah didekati. Selain itu,

saya juga boleh mencari atau memikirkan beberapa jenaka lawak yang boleh dikongsikan bersama di kelas semasa rehat atau ketika perantaraan antara peringkat pengajaran. Dengan berbuat demikian murid-murid mungkin akan beranggapan bahawa guru tersebut mempunyai unsur kecindaan yang amat tinggi. Selain itu, saya juga perlulah mencuba untuk mengurangkan penggunaan istilah Ah semasa berfikir atau semasa berinteraksi dengan murid-murid. Apabila saya berfikir panjang, bukan sahaja perkataan Ah sahaja, malah perkataanperkataan seperti lah, kah, ya, eh, dan sebagainya juga haruslah saya kurang sebanyak yang mungkin. Dengan mengurangkan percakapan seperti ini, saya percaya bahawa saya akan dapat menyampaikan kandungan saya dengan lebih lancar dan ia akan lebih mempamerkan sifat profesional saya sebagai seorang guru yang mulia dan beretika. Pada pengajaran makro yang seterusnya atau praktikum yang akan datang, saya juga akan berusaha untuk melakukan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat, dengan kadar yang sesuai. Hal ini demikian kerana saya percaya bahawa pergerakan yang terlampau banyak juga kurang sesuai kerana ia boleh dianggap sebagai satu gangguan kepada murid-murid. Oleh itu, memiliki sedikit pergerakan di dalam bilik darjah nescaya mampu menarik perhatian murid dan menyebabkan mereka fokus kepada pembelajaran tanpa berani melakukan apa-apa perkara yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Di samping itu, saya juga akan mencuba untuk mengawal kadar pertuturan saya agar tidak terlalu cepat atau terlalu perlahan. Mungkin saya boleh berhenti seketika untuk membolehkan murid-murid memikir sejenak apa yang telah saya sampaikan atau bertanya kepada murid-murid sama ada mereka faham atau dapat mengikuti pelajaran sebelum saya meneruskan topik pembelajaran yang seterusnya. Dengan cara ini, saya dapat memastikan bahawa tiada murid yang tidak faham atau tertinggal pelajaran dalam proses pengajaran-pembelajaran saya. Akhir sekali, saya sedar bahawa membuat persediaan awal yang rapi adalah perlu dan mustahak agar dapat merancang apakah yang hendak saya lakukan di samping menguasai penggunaan masa dalam kelas dengan lebih baik. Dengan membuat persediaan awal yang lebih rapi, saya dapat menjalankan rehearsal dan memastikan bahawa saya dapat menyampaikan semua kandungan pengajaran saya pada masa yang telah ditetapkan dengan kadar yang maksima.

Proses Pengajaran Semula Pengajaran Makro


Semasa menonton semula bahagian pengajaran makro yang telah saya laksanakan pada hari tersebut, saya mendapati bahawa saya langsung tidak mempunyai pergerakan apabila saya mengajar peringkat aplikasi idea, iaitu kepentingan-kepentingan penyejatan dalam kehidupan kita. Saya juga banyak menggunakan perkataan Ah semasa berinteraksi dengan murid-murid. Malah, muka saya kelihatan agak murung dan tidak ceria semasa mengajar, sehingga guruguru pelatih memberikan maklum balas seperti tegas dan tidak beramah-tamah pada borang maklum balas saya. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengajar semula bahagian kepentingan penyejatan dalam kehidupan kita, disusuri dengan bahagian refleksi sebagai penutup P&P saya. Saya telah menjalankan pengajaran semula bahagian yang perlu

penambahbaikan ini pada 19 September 2012. Semasa mengajar semula, saya cuba menfokus dan membaiki kelemahan yang telah saya kenalpasti pada pengajaran yang lepas. Oleh itu, saya lebih banyak menggerakkan diri saya ke sana dan ke sini semasa mengajar, melibatkan murid secara aktif, kurangkan penggunaan perkataan Ah, dan menulis respon-respon murid pada kad-kad manila supaya perkataan yang ditunjukkan adalah lebih besar dan cantik. Sesi pengajaran semula berjalan dengan agak sempurna. Selepas pengajaran semula, kebanyakan guru pelatih beranggapan bahawa saya berjaya mengurangkan kelemahan-kelemahan yang telah saya kenalpasti daripada pengajaran makro yang lepas, dan seterusnya menyebabkan proses P&P tersebut berjalan dengan lebih lancar. Saya sangat gembira dan terharu kerana semua usaha saya membuahkan hasil dan menyebabkan saya lebih yakin untuk mengajar.

Penutup
Kesimpulannya, saya telah mempelajari banyak perkara yang tidak dapat saya pelajari dalam kuliah daripada pengajaran makro ini. Ini memberikan keyakinan yang sangat tinggi kepada saya bahawa saya akan dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila saya menjalankan praktikum semester depan kelak. Saya berharap bahawa saya mampu melakukan yang terbaik pada pengajaran yang seterusnya.

Rujukan
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Mok, S. S. (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Tay, L. K. (2000, November). Kaedah Pembelajaran Koperatif: Ke Arah Pembelajaran Bacaan Pemahaman Teks Yang Berkesan. Jurnal Akademik MPSAH, 8, 1-8.