Anda di halaman 1dari 5

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak :

mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya ; memelihara satu cara hidup demokratik ; mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama ; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak ; dan membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA KELUHURAN PERLEMBAGAAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG KESOPANAN DAN KESUSILAAN

PENDAHULUAN:

Salah satu daripada naluri semulajadi manusia ialah ingin hidup berkelompok dan bermasyarakat. Maka untuk memastikan tercapainya hasrat tersebut manusia berusaha dengan sedaya upaya agar kehidupan bermasyarakat tersebut terlaksana sepertimana yang dikehendaki dan diimpikan mereka. Maka juga mahu atau tidak mahu mereka akan terpaksa mengenepikan beberapa kepentingan diri sendiri demi untuk mencapai matlamat murni bermasyarakat. Sikap murni ini juga dipanggil toleransi.

Walau bagaimanapun, disebabkan juga oleh lagi satu naluri semulajadi, iaitu kelemahan manusia sendiri maka seringkali tercetusnya juga permusuhan, perkelahian dan adakalanya sehingga membawa kepada peperangan. Permusuhan dan peperangan sering terjadi sekalipun dalam satu keluarga, bangsa dan juga seagama. Permusuhan dan peperangan tercetus apabila kesabaran sudah tidak dapat dipertahankan dan apabila godaan kebendaan, keegoan dan kepentingan diri sendiri mula menguasai fikiran seseorang.

Sebenarnya tidak ada kebaikan yang dapat dihasilkan menerusi permusuhan dan peperangan. Peperangan merosakkan harta benda, memusnahkan segala kemudahan yang telah sedia ada, memutuskan silaturahim, di samping banyak melahirkan orang-orang yang cacat, yatim piatu. Malah bagi sesuatu bangsa, peperangan dan permusuhan akan melemahkan bangsa itu sendiri sekalipun tidak melenyapkannya dari muka bumi ini. Renungkan semula kepada Krisis Balkan 1998 dahulu yang telah menyaksikan perpecahan negara Yugoslavia yang juga dikenali sebagai Krisis Bosnia dan Serbia. Justeru, setiap ugama mengingatkan umatnya supaya sentiasa hidup rukun dan damai serta berpadu erat antara antara satu sama lain.

DEFINISI PERPADUAN

Perkataan perpaduan ini asalnya dari perkataan padu iaitu mampat, pejal dan padat. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi perpaduan ialah permusuhan, kehancuran dan perpecahan. Jadi, perpaduan dilihat adalah sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara yang sangat keji dan tidak baik.

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa punca kesejahteraan itu ialah keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Keharmonian hidup ini tentulah sukar dicapai tanpa adanya perasaan hormat menghormati, menerima seadanya keadaan, keikhlasan, kasih sayang dan semangat persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu yang menganggotai sesebuah masyarakat itu. Oleh itu, para pemimpin negara kita senantiasa membimbing dan menunjuk jalan kepada kita semua demi memastikan wujudnya nilai kasih sayang dan perpaduan itu.

Sesungguhnya keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat dan bernegara ini adalah salah satu nikmat kehidupan yang sangat besar yang dikurniakan kepada manusia. Bayangkan jika anda telah ditakdirkan sebagai seorang rakyat Yugoslavia ketika Krisis Bosnia Serbia dahulu? Bayangkan juga jika anda terpaksa mengharungi detik cemas dan gelap Perang Dunia Kedua? Kita semua bernasib baik kerana sebagai warga negara Malaysia yang megah Merdeka, kita hanya perlu membaca semua ini dalam buku mata pelajaran Sejarah, laman internet dan menonton segala kesengsaraan mereka hanya daripada kaca televisyen kita sahaja. Hakikat ini nyata sekali baik di zaman lampau mahupun zaman kini. Sesiapa saja yang tinggal dalam sebuah negara yang aman akan dapat berusaha membangunkan kemajuan negaranya dan dapat hidup sejahtera. Sebaliknya mereka yang tinggal di negara yang kacau bilau, berperang dan berbunuhan, ternyata mereka hidup sengsara, kelaparan dan keperitan

HALANGAN KEPADA PERPADUAN

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri dan tidak kurang juga datangnya dari luar diri kita sendiri.

Sifat sombong, berfikiran sempit dan terlalu bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

BAHAYA AKIBAT PERPECAHAN

Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat membinasakan. Perpecahan dikutuk kerana ia boleh melemahkan kita sebagai rakyat Malaysia di persada dunia hari ini dan juga esok. Perpecahan hanya akan melemahkan kita dalam pelbagai keadaan serta menjadikan negara lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada dan akibatnya kita akan dijajah semula oleh kuasa-kuasa asing secara penjajahan politik ataupun melalui penjajahan ekonomi.

Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat kurniaan Tuhan yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi anda golongan pelajar dan remaja, secara khusus perpaduan ini lebih penting dan sangat mahal harganya kerana dengan keamanan dan kemakmuran yang ada pada hari ini maka dapatlah usaha-usaha ditingkat bagi kebaikan diri anda dan masa depan anda.

Harga sebuah keamanan dan kemakmuran itu sangat penting kerana rakyat di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologiberbanding dengan apa yang telah dicapai oleh kita di Malaysia hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini.

Tata kelakuan dan gerak-geri masyarakat juga perlu dibentuk supaya selaras dengan tuntutan harmoni, toleransi dan perpaduan. Tingkahlaku yang kasar, biadap, tidak sopan serta tidak pandai menghormati orang lain terutama ibubapa, orang-orang tua, guru-guru dan pemimpin-pemimpin sering menimbulkan rasa benci antara satu sama lain. Oleh itu, dalam usaha membina perpaduan umat maka peningkatan rasa hormat dan kasih sayang mestilah dipupuk dan dipelihara. Dalam konteks masyarakat penyayang yang hendak dibangunkan itu, maka bidang-bidang ini mestilah diberi perhatian. Para guru-guru perlu menjadikan diri mereka sebagai teladan yang baik dalam hal ini.

SIKAP YANG DI PERLUKAN

Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta

berusaha menjaga dan memperelokkannya. Kita juga mestilah mengajak masyarakat supaya menjauhi gejala-gejala yang boleh membawa perpecahan di samping mengajak mereka berpegang dengan nilainilai hidup murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya. Namun yang paling utama, kita sendiri mestilah memulakan cara hidup yang mulia ini sebelum kita mengharapkan orang lain dapat mengamalkannya pula. Kesimpulannya, kesedaran bermula daripada anda sendiri.

PENUTUP

Demikianlah sedikit penjelasan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kesinambungan kepimpinan mana-mana negara jua. Tanpa kesedaran yang tinggi dan usaha yang gigih dan teratur, masa depan kita semua dalam bahtera Malaysia ini masih belum pasti lagi arahnya. Maka ayuhlah saudara dan saudariku semua, marilah kita bersama menjayakannya demi hari esok untuk kita semua.

PERPADUAN SATU MALAYSIA

Marilah kita semua bersama-sama menjayakannya. Mulakan dengan anda!

Nota penulis: Saya sering menerima e-mel daripada rakan-rakan siber memohon kebenaran untuk copy and paste artikel yang mungkin menarik minat serta mempunyai nilai kegunaan kepada mereka. Saya sedia berkongsi apa-apa sahaja yang terdapat dalam laman ini. Sila juga emelkan apa-apa sahaja pandangan agar dapat kita sama-sama berkongsi minda demi masa depan pelajar dan negara kita yang tercinta ini. Terima kasih.