Anda di halaman 1dari 7

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

MEMBINA HUBUNGAN ULAMA DAN UMARA (1 MAC 2013 / 18 RABIULAKHIR 1434H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan perhimpunan ulama dan umara dan Asnaf pada 5 Mac di Stadium Putra, Kuala Lumpur, maka mimbar akan membincangkan tajuk khutbah: MEMBINA HUBUNGAN ULAMA DAN UMARA. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Jika diingat kembali, sejarah perkembangan Islam telah membuktikan bahawa apabila hubungan kesalingan antara ulama dan umara menjadi erat dan kental, maka sesebuah kerajaan itu pasti bertambah kuat, nasib ummah akan terbela, negara akan bertambah maju dan aman damai. Persoalan besar timbul disini siapakah ulama dan umara yang sebenarnya dan apakah bidang tugas mereka? Ini sangatlah penting kerana di saat ini, masih ramai masyarakat yang keliru dengan istilah dan juga peranan ulama dan umara kerana sesiapa sahaja boleh mengakui dirinya sebagai
1

ulama. Secara ringkasnya, ulama ialah mereka yang arif tentang hukum hakam Allah SWT berbanding dengan orang lain, manakala umara pula ialah mereka yang mempunyai mandat dan kuasa untuk membuat orang lain mematuhinya. Malah para ulama sendiri pernah menduduki barisan kepimpinan yang memimpin negara dengan adil dan saksama sebagaimana yang berlaku di zaman kesultanan Melaka dan Aceh pada suatu masa dulu. Golongan ini senantiasa menjadi perhatian masyarakat dan amat berpengaruh. Kerana itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama diangkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada Sultan atau Raja. Pengiktirafan yang begitu tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama dan selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA:

Maksudnya: Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan. Alhamdulillah, kesinambungan pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan ulama ini sedikit pun tidak pernah dilupakan malah terus dimartabatkan oleh pemerintah negara dengan mengangkat golongan ini ke kedudukan yang sewajarnya dan telah mewujudkan pelbagai jawatan, skim dan platform supaya ulama terus boleh berbakti pada agama dan negara. Mimbar ingin menyatakan bahawa tanpa ulama semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata dan tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurnanya. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.
2

Menjelaskan betapa besar peranan sebagai umara ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asyari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa: Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan. Manakala Maulana Iqbal pernah bermadah di dalam syairnya: Bangsa itu lahir daripada tangan penyair (ulama), manakala jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan politikus (umara). Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama dan umara pada zamannya pula menyatakan bahawa: Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Bayangkan, apakah kesannya pada agama Islam dan masyarakat jika wujudnya golongan ulama yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama dan ummah. Percayalah bahawa di saat ini, masyarakat dan pemerintah sangat memerlukan ulama yang sentiasa teguh pendirian berpaksikan al-Quran dan hadith
3

dan meletakkan tanggungjawabnya pada agama dan masyarakat melebihi kepentingan peribadi dan politik. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Percayalah, berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama tersebut ternyata hubungan antara ulama dan umara merupakan tunjang kepada kekuatan ummah dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu. Lihatlah sebagai contoh kejayaan negara kita pada hari ini, dengan tertubuhnya institusi dan instruman berdasarkan Islam seperti Universiti Islam, Bank Islam, Pusat rawatan Islam dan lain lain lagi adalah hasil pemikiran ulama yang ingin melihat sesbuah negara itu dibangunkan. Sebaliknya, apabila dua golongan ini bermusuhan, maka pemerintahan menjadi lemah, ummah tidak terbela, negara kucar kacir dan akan ditimpa kehancuran. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimana kaedah untuk membina hubungan ulama dan umara?. Mimbar ingin menegaskan bahawa memperkasakan kaedah nasihat dan saling hormat menghormati merupakan sebagai satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan antara ulama dan umara. Setiap ulama mestilah berintegriti, bersifat ikhlas, jujur, jati diri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu. Begitu juga dengan umara, mereka mestilah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama yang baik dengan manamana pihak. Inilah masanya, golongan umara dan ulama mesti bersatu hati atas
4

dasar kepentingan Islam dan saling hormat menghormati antara satu sama lain demi untuk masa depan agama dan bangsa walaupun berbeza pandangan ataupun fahaman. Seorang ulama terkenal Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk para pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu dibawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah. Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakan peranan ulama di tempat yang sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama, dalam sistem pemerintahan negara. Iman al-Turtusyi di dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata: Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah. Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya. (Riwayat Muslim). Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Selari dengan tanggungjawab ulama, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan bahawa sebagai seorang ulama tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya. Kepada para ulama mereka perlulah membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira tahap kedudukan dan kecenderungan pemikiran mereka. Para ulama juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri di dalam dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata. Ingatlah bahawa hubungan ulama dan umara ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara dan ummah. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28:

Maksudnya: Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama (orang yang berilmu). Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita sama-sama mengembeleng tenaga menyepadukan peranan ulama agar negara dan ummah terus dirahmati. Percayalah bahawa tanggungjawab membangunkan negara bukan hanya terletak pada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak lebih-lebih lagi golongan ulama yang semestinya memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat. Inilah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam. Kepada golongan ulama mimbar ingin menyatakan mereka perlulah berani menyatakan kebenaran sekalipun pahit dan mampu memberi penyelesaian terhadap permasalahan ummah hari ini. Yakinlah, penglibatan ulama pasti mampu untuk menyelamatkan umat Islam negara dari terus berpecah belah yang akhirnya akan merugikan umat Islam itu sendiri. Mimbar amat yakin dengan langkah pemerintah menjemput ulama dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 15-16:

Maksudnya: Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan).

Anda mungkin juga menyukai