disediakan oleh :
Pengenalan
Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia semasa memperkenalkan Wawasan 2020 di Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28hb. Februari, 1991 telah mencetuskan hasrat untuk meningkatkan status negara Malaysia daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara perindustrian yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Dalam perkembangan berkaitan, Y.A.B Perdana Menteri telah menegaskan: "Daripada pengalaman yang menakjubkan selama dua dasawarsa yang lalu di kalangan semua negara yang dulunya terbatas 'sumber alamnya', maka amatlah jelas bahawa sumber yang paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang paling utama. Tanpa ragu-ragu lagi, pada tahun 1990-an dan seterusnya Malaysia mestilah memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini. (Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 20-21)
Matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 boleh dilaksanakan melalui pembangunan sumber manusia yang lengkap, seimbang dan bersepadu. Proses pembangunan sumber manusia juga mestilah bersifat total atau menyeluruh. Dengan lain perkataan, kita mestilah memastikan bahawa tidak ada mana- mana golongan di dalam negara kita yang tercicir atau diabaikan dalam proses tersebut dan menurut Y.A.B Perdana Menteri:
"Dalam pembangunan sumber tenaga manusia, kita tidak harus mengabaikan separuh jumlah penduduk kita, yakni golongan Bumiputra. Jika golongan ini tercicir, jika kemungkinankemungkinan yang ada pada mereka tidak diperkembangkan, jika mereka dibiarkan menjadi rintangan terhadap pertumbuhan kebangsaan kita, maka kemajuan kita pastilah akan pincang. (Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21-22)
Wadah utama kepada pembangunan sumber manusia pula sudah pasti sebahagian besarnya bergantung kepada sistem pendidikan negara. Dengan lain perkataan, apabila kita memperkatakan tentang isu pembangunan sumber manusia, maka mahu ataupun tidak kita mesti menyentuh tentang sistem pendidikan negara. Untuk mencapai matlamat pembangunan sumber manusia yang yang lengkap, seimbang, bersepadu dan menyeluruh, maka sistem pendidikan juga mestilah berupaya menyediakan peluang yang secukupnya kepada semua lapisan rakyat. Apabila kita berbicara mengenai isu peluang dalam pendidikan, maka kita sebenarnya telah menyentuh tentang pendemokrasian dalam pendidikan.
Pendidikan pula bolehlah diertikan sebagai "the knowledge or skill obtained.2 Walau bagaimanapun dalam mendefinisikan pendidikan dalam konteks negara kita, rujukan terbaik haruslah berdasarkan kepada apa yang telah diungkapkan di dalam Falasafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi teras dan tonggak kepada pembangunan sistem pendidikan negara iaitu:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. (Akta Pendidikan, 1996)
Berdasarkan definisi-definisi yang tersebut di atas, pendemokrasian dapatlah dikonotasikan sebagai prinsipprinsip kesamarataan hak-hak sosial setiap individu yang menganggotai sesuatu masyarakat.
Manakala pendidikan pula yang dikaitkan dengan satu usaha adalah merupakan satu proses mendidik atau dididik (the act or process of educating or being educated) untuk memanusiakan manusia. Apabila kita memperkatakan tentang usaha mendidik dan dididik, ia pula berkait rapat dengan proses yang berkaitan dengan pengajaran dan pemelajaran (the field of study concerned with teaching and learning).
Justeru itu, secara `simplistic' dapatlah disimpulkan bahawa pendemokrasian pendidikan adalah persamaan hak yang sama rata bagi setiap individu dalam proses pengajaran dan pemelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara.
Ini secara langsung bermaksud tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam bidang atau sektor pendidikan di semua peringkat individu atau masyarakat.
Konsep pendidikan untuk semua bukanlah sekadar meliputi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan semata-mata tetapi pendemokrasian pendidikan yang dihajati haruslah juga merangkumi peluang bagi semua individu untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Dengan lain perkataan, tidak harus wujud sebarang perbezaan dan diskriminasi di mana-mana peringkat masyarakat dari segi peluang dan mutu dalam pelaksanaan sistem pendidikan pendidikan negara. Menurut Nor Aziah bt. Alias dan Azni Zain bt. Ahmed (1995) pendidikan seharusnya merangkumi dan terbuka kepada segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja dari segi geografi bahkan juga dari segi golongan jenis dan sektor ekonomi.
Oleh yang demikian, sistem pendidikan haruslah memastikan tidak ada mana-mana golongan di negara ini yang tercicir dari memperolehi peluang untuk mendapat pendidikan yang bermutu kerana jika keadaan sedemikian berlaku maka kemajuan yang akan kita kecapi pada tahun 2020 nanti pastinya menjadi pincang.
Secara `simplistic' dapatlah disimpulkan bahawa dari segi konsepnya pendemokrasian pendidikan adalah berkaitan dengan keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara kita dalam menyediakan peluang untuk menikmati pendidikan yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta bermutu untuk semua lapisan rakyat Malaysia.
Perancangan dan penyelenggaraan sumber-sumber secara berkesan dan saksama akan memastikan agenda pendemokrasian pendidikan diteruskan seadilnya dari segi peluang dan pendidikan mutu di semua peringkat pendidikan.
Oleh kerana pendidikan adalah sebenarnya milik masyarakat, maka isu pendemokrasian pendidikan turut penting kepada semua golongan masyarakat. Kepada masyarakat umum isu ini penting dalam memberi kesedaran tentang kepentingan dan keperluan pendidikan terutamanya dalam aspek pendemokrasian.
Ini bertujuan untuk meningkatkan keprihatinan mereka terhadap perkembangan terkini dan seterusnya menimbulkan minat terhadap pendidikan secara amnya dan khususnya terhadap pendidikan anak-anak mereka. Dengan ini adalah diharapkan agar wujudnya perkongsian idea dalam menangani pelbagai masalah pendidikan. Justeru itu, masyarakat umum dapat menjadi penyumbang terhadap maklum balas terhadap keberkesanan pelaksanaan sistem pendidikan.
Isu pendemokrasian pendidikan juga adalah penting kepada para pelajar khususnya dalam menimbulkan kesedaran dalam jiwa mereka tentang peluang yang luas yang disediakan oleh sistem pendidikan negara. Adalah diharapkan dengan kesedaran tersebut mereka akan untuk berlumba-lumba mencapai kecemerlangan. Mereka juga harus sedar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan diri serta kepentingannya dalam menentukan kelangsungan atau kesinambungan kegemilangan negara.
Pendidikan Sarwajagat
Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam aspek pendidikan sarwajagat mendapati bahawa mulai pada tahun 1965 telah dilaksanakan sistem pendidikan komprehensif. Semua pelajar secara automatis meningkat dari sekolah rendah ke Tingkatan Satu dan pendidikan sarwajagat diperluaskan dari enam tahun kepada sembilan tahun iaitu hingga ke Tingkatan Tiga di mana Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Lower Certificate of Education (LCE) dan kini dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijadikan sebagai sekatan atau sempadan. Keputusan peperiksaan tersebut dijadikan kayu pengukur untuk melayakkan seseorang individu meneruskan pendidikan. Hanya yang melepasi piawai yang ditetapkan sahaja yang layak ke Tingkatan Empat dan seterusnya ke Tingkatan Lima.
Bagi meneruskan agenda pendemokrasian pendidikan, kini pendidikan sarwajagat telah dilanjutkan kepada 11 tahun walaupun bukan secara automatis, iaitu dengan meletakkan syarat yang jauh lebih mudah dan longgar dari sebelumnya.
Kini, dengan keputusan yang paling minimum seseorang pelajar boleh meneruskan pendidikan formalnya ke Tingkatan Empat walaupun dengan keputusan yang tersebut beliau sebelum ini dikira tidak layak ke Tingkatan Empat dan langkah pelaksanaan ini adalah selaras dengan dengan perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, 1979.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha memperbaiki prasarana pendidikan luar bandar diteruskan umpamanya dengan membina asrama desa di setiap daerah, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan pendalaman.
Daripada segi kemudahan dan infrastruktur pendidikan luar bandar, Malaysia boleh dikatakan di antara negara membangun yang mencatat rekod yang cemerlang. Namun begitu, ini tidaklah pula bermakna kita harus cepat berpuas hati kerana kita tidak wajar mencatat rekod kejayaan berbanding dengan negara-negara yang lebih mundur dan dhaif.
Sebenarnya apabila kita katakan pendemokrasian, kita harus juga melihatnya daripada segi perbandingannya dengan negara-negara yang lebih maju sekurangkurangnya berbanding dengan negara-negara maju di rantau ini.
PENUTUP
Walaupun dapat disimpulkan bahawa dari segi pendekatan, pelaksanaan serta amalan pendemokrasian pendidikan di Malaysia berada di landasan yang betul, kita tidak harus cepat berpuas hati. Pendidikan adalah sesuatu yang bersifat dinamis dan kita sebenarnya tidak hidup dalam satu kekosongan. Sebaliknya, kita hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan persaingan.
Dalam konteks negara, persaingan tersebut adalah terutamanya ialah antara bandar dan luar bandar dan antara kaum.
Tugas kita ialah memastikan bahawa kita menggunakan peluangpeluang yang disediakan dengan sebaik mungkin.
Namun begitu, kita haruslah memperluaskan skopnya kerana:
Daya saing yang mesti ada pada kita bukan sekadar daya saing atau competitiveness di kalangan kita sama sendiri. Daya saing itu harus diperluas dalam konteks kawasan, dalam konteks rantau, dan dalam konteks dunia yang menjadikan persaingan itu global sifatnya, iaitu persaingan yang ada hubungkaitnya dengan competitive advantage negara kita dengan negara-negara lain.