Anda di halaman 1dari 9

asal Usul Perkataan Gasing Gah Berpusing

Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan. Di sesetengah tempat, buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia alba). Buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. Dalam permainan buah berembang, buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang. Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Perkataan gasing berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu gah berpusing. Gah dalam istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak. Gasing Berasal Daripada Permainan Laga Telur Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal daripada permainan laga telur ayam. Permainan memusing dan melagakan telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama. Gasing Berasal Daripada Peralatan Memburu Binatang Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan bahawa gasing dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan melempar gasing ke sasaran.

Struktur Gasing
Gasing memiliki tiga bahagian utama iaitu kepala, badan dan buritan gasing. Terdapat sedikit lekukan di bahagian bawah kepala gasing dan bahagian ini dipanggil leher gasing. Gunanya adalah untuk melilit tali gasing. Paksi diletakkan di bagian buritan gasing untuk menjaga keseimbangan putaran gasing di atas lantai.

Bahan Buatan Gasing Pada masa kini terdapat gasing yang dibuat dengan menggunakan paku dan bahan plastik. Namun, gasing tradisional dibuat dengan menggunakan kayu. Kayu-kayu yang sering digunakan untk membuat gasing ialah dari jenis kayu merbau (sympetalandra borneensis), leban tanduk (vitex quinta), jeruk, bakau, kempas, sepan (gymnopetalum cochinchinensis), keranji (cynoptera polyandra), manggis, jambu batu, ciku (achras zapota) dan kayu asam jawa.

Jenis-jenis dan bentuk-bentuk Gasing Selain Malaysia, permainan gasing turut terdapat di negara-negara lain di Asia , Afrika serta Eropah. Pun begitu, gasing-gasing di setiap negara tidaklah begitu serupa dari segi namanya, bentuknya, cara permainannya dan orang-orang yang memainkannya. Keadaan ini dikatakan dipengaruhi oleh faktorfaktor seperti penghijrahan, penjajahan dan perdagangan yang berlaku pada masa lalu. Gasing timah dan gasing leper hanya terdapat di Kelantan. Gasing paku di Kuala Selangor pula mempunyai persamaan dengan gasing yang terdapat di Kedah dan di Patani. Gasing Riau pula dikatakan berasal dari Melaka. Terdapat beberapa jenis gasing. Permainan gasing ini mempunyai bentuk dan fungsi yang berbeza: Gasing Leper Kelantan Berbentuk leper dan rendah. Berat sekitar 8 kg. Lilitan 48 cm. Tinggi 6 cm. Gasing ini hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional kerana harganya sangat mahal. Gasing ini berat dan itulah sebabnya ia mampu berpusing lebih ligat dan lebih lama. Simpaian gasing ini meliputi 60% berat asal gasing ini. Gasing Uri Berbentuk rendah dan agak pipih, beratnya 6 kg, berdiameter 60 cm dan tinggi 8 cm. Gasing jenis ini cukup terkenal di Kelantan. Biasanya dibingkai dengan timah, besi atau plumbum (zat logam berwarna putih kebiru-biruan). Jika bahan dasar gasing ini dibingkai dengan timah, maka gasing tersebut digunakan untuk pemutaran saja, tetapi jika bahan dasar gasing menggunakan bingkai besi, maka gasing tersebut digunakan untuk permainan pangkah-memangkah. Gasing Kuno atau Gasing Pangkah Gasing kuno yang berbentuk sederhana dan berimbang, beratnya 0.6 kg dengan diameter 30 cm dan tinggi 8 cm. Gasing jenis ini boleh ditemui di beberapa negeri di Malaysia, seperti Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, Johor dan Kelantan. Struktur gasing ini merupakan bentuk lama seperti buah perepat yang hanya digunakan untuk permainan pangkah-memangkah dan dibuat daripada kayu merbau, keranji, meranti dan cengal. Gasing Baba atau Gasing Wang Seringgit Berbentuk seperti telur, beratnya 0.6 kg dengan diameter 38 cm dan tinggi 20 cm. Gasing jenis ini boleh ditemui di daerah-daerah sekitar negeri Pahang, Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Gasing Jantung atau Gasing Lundu Berbentuk seperti jantung dengan berat sekitar 0.25 kg, berdiameter 20 cm dan tinggi 12 cm. Selain Kelantan, gasing ini juga terdapat di daerah Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Di Kelantan, gasing ini dibentuk daripada kayu merbau, manakala di negeri-negeri lain, gasing ini dibuat dengan menggunakan kayu melawis (ramin: gonystylus bancanus), mengaris dan saga (ormosia parviflora). Gasing Tanjung atau Gasing Labu Lemak Gasing tanjung yang tinggi dan berimbang, mempunyai berat beratnya 0.6 kg dengan diameter 30 cm dan tinggi 10 cm. Gasing ini dimainkan oleh orang-orang dari Muar (Johor) sebagai gasing pemangkah. Bahan dasar gasing ini adalah kayu keranji, kempas, cengal dan merbau. Di negeri Selangor, gasing ini dipanggil gasing labu lemak.

Cara bermain gasing


Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing. Melilit tali Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri. Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.

Melilit gasing Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing. Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang. Memusing gasing Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat. Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan. Memangkah gasing Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang. Pangkah totok Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada

bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini. Pangkah hentak Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan. Pangkah layang Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing. Pangkah tebang Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat. Mengangkat gasing Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi. Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.

Kronologi Perkembangan Permainan Gasing Usaha-usaha untuk Meningkatkan Populariti Permainan Gasing di Malaysia 1971: Pembentangan Mengenai Gasing di Kongres Kebudayaan Malaysia di Universiti Malaya Setelah mendapati populariti permainan gasing mula merosot, para pemain dan peminat gasing mula memikirkan cara-cara untuk meningkatkan kembali populariti permainan gasing. Pada 16 April 1971, ketika Kongres Kebudayaan Malaysia berlangsung di Universiti Malaya, satu kertas kerja berkaitan dengan pertukangan wau, gasing dan patung wayang kulit telah dibentangkan oleh Tan Sri Datuk Haji Mubin Sheppard. 1972: Usaha-usaha Menyeragamkan Permainan Gasing menerusi Kongres Kebudayaan Melayu Antara penyebab kenapa permainan gasing sukar untuk dipopularkan di setiap negeri ialah faktor-faktor ketidakseragaman dalam peraturan permainan gasing, bentuk gasing dan corak permainan gasing di kebanyakan negeri. Menyedari betapa pentingnya keseragaman dalam permainan gasing diwujudkan, maka pada tahun 1972, Kongres Kebudayaan Melayu telah diadakan. Seminar Penyatuan Undang-undang Gasing telah diadakan di Sekolah Dato Seri Amar DiRaja, Muar, Johor, bertujuan menyeragamkan permainan gasing di seluruh negeri.

Antara perkara yang dibincangkan menerusi seminar ini ialah kaedah-kaedah untuk mengesan persamaan dalam permasalahan yang wujud dalam permainan gasing, dan kaedah-kaedah untuk menyatukan permainan gasing. Pada peringkat awal perbincangan, beberapa negeri telah membantah kerana mahu mengekalkan bentuk dan peraturan gasing seperti sediakala. Kemudian, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 23 September 1972 iaitu kira-kira lima bulan selepas seminar Penyatuan Undang-undang Gasing dibentuk di Muar. Mesyuarat pertama yang diadakan di Rumah Persinggahan Melaka akhirnya bersetuju untuk mencuba peraturan yang telah digubal. 1973: Perlaksanaan Format Permainan Gasing yang telah diseragamkan Pada 5 Ogos 1973, corak permainan yang telah diseragamkan ini mula dilaksanakan dalam pertandingan gasing di negeri Melaka yang disertai oleh tiga buah negeri. 1974: Mesyuarat Penyelarasan Permainan Gasing di Kuala Lumpur dan Johor Dua mesyuarat penyelaras telah dibentuk. Mesyuarat penyelaras pertama pada 10 Februari 1974 di Wisma Belia, Kuala Lumpur, manakala mesyuarat penyelaras kedua pada 10 Julai 1974 di Bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru, Johor. 1975: Cadangan Penubuhan Lembaga Pengadil Gasing Cadangan menubuhkan Lembaga Pengadil Gasing telah dicetuskan dalam mesyuarat penyelaras kali ketiga pada 20 Mei 1975, di Wisma Belia. Cadangan ini dipersetujui dan majlis penubuhan Lembaga Pengadil Gasing telah berlangsung di Pejabat Daerah Kelang pada 20 Jun 1975. Di dalam majlis ini juga, perbincangan mengenai penubuhan Persekutuan Gasing Malaysia diwujudkan. 1977: Tertubuhnya PEGAMA Pada 5 Disember 1977, Persekutuan Gasing Malaysia (PEGAMA) telah ditubuhkan dan didaftarkan di Melaka setelah melalui beberapa perbincangan.

Cara membuat gasing


Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja CARA PEMBUATAN GASING Bahan : Kayu Tualang,Keranji Alat : Mesin Pelarik, parang, tatah, gergaji

Potongan kayu mentigi dibubut langsung membentuk Gasing yang dikehendaki, Gasing Uri, Gasing Pemangkak dan Gasing Penahan.

Setelah berbentuk gasing, kemudian dihaluskan. Kayu sepanjang 50 cm, biasanya bisa menjadi tiga buah gasing.

Kemudian bagian tengah gasing diberi kawat supaya putaran tahan lama, dan langsung di balancing dengan cara memutar gasing di atas sebuah papan.

Anda mungkin juga menyukai