Anda di halaman 1dari 28

KANDUNGAN

KANDUNGAN................................................................................................................................................1

PENGHARGAAN Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin kurnianya dapat juga tugasan bagi subjek Pendidikan Seni Visual ini disempurnakan. Sepanjang menjalankan kerja kursus ini, pelbagai pengalaman telah dilalui. Pengalaman yang diperolehi sepanjang menjalankan tugasan ini mungkin hanya akan datang sekali sahaja dalam hidup saya Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang menjayakan tugasan ini. Terutamanya kepada pensyarah saya kerana beliau telah banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang menjalankan ini, dan telah banyak membantu saya dalam tugasan yang diamanahkan ini. Oleh itu, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga yang telah banyak memberi sokongan moral dan bantuan kewangan bagi menyelesaikan tugasan ini. Selain itu, saya turut berterima kasih kepada rakanrakan seperjuangan kerana telah banyak menghulurkan bantuan dan kerjasama bagi merealisasikan usaha menyempurnakan tugasan ini dengan jayanya. Ucapan ini juga ditujukan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan tugasan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Segala bantuan yang telah anda hulurkan amatlah saya hargai kerana tanpa bantuan dan sokongan anda semua, tugasan ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Pengenalan kepada tembikar

Seperti peribahasa Melayu mengatakan Hendaklah seperti tembikar, pecah satu pecah semuanya. Di sini ia bermaksud hendaklah kita hidup bermuafakat, senang, sama-sama senang, susah, sama-sama senang. Seni tembikar ialah hasil seni kraftangan yang dibuat dari bahan tanah liat yang dibakar dan digilap. Rupabentuk yang dicipta didasarkan kepada fungsi gunaannya untuk menakung air, sebagai bekas minuman, bekas makanan dan menyimpan bahan-bahan makanan untuk jangka masa panjang seperti jeruk atau pekasam. Tembikar yang telah dibakar di dalam tanur memiliki kekuatan yang lebih dan kalis air. Salah satu tembikar yang terkenal di Malaysia ialah labu-labu yakni alat untuk menyimpan dan menyejukan air minuman. Di negara kita, kegunaan tembikar telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan serpihan-serpihan tembikar di Bukit Tanjung Lembu, Perlis, di Gua Cha, Kelantan dan Ulu Tembeling, Pahang. Selain seni tembikar, Malaysia juga kaya dengan penghasilan seni-seni kraf yang lain contohnya gasing dan wau. Berbanding dengan tembikar yang merupakan salah satu material asas hidup suatu masa dahulu, manakala wau dan gasing pula wujudnya atas konsep riadah. Permainan wau adalah merupakan salah satu daripada permainan tradisional orang-orang Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Permainan ini mengandungi unsur-unsur budaya Melayu asli. Ini dapat dilihat pada bentuk dan rekaan corak yang terdapat pada wau tersebut. Gasing pula merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Sejarah Tembikar

Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan Melayu tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah zawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya. Terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan ialah di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak. Dari beberapa tempat ini, Perak merupakan kawasan yang masih mempertahankan nilai pembentukan secara turun temurun, baik dari segi proses pembuatan mahupun rekabentuk tembikar. Jenis-jenis tembikar dan fungsi kraf Berikut adalah jenis-jenis tembikar: (a) Geluk Pada asalnya diperbuat daripada tempurung dan berfungsi sebagai bekas air. Geluk mempunyai ragam hias dari motif-motif yang kecil dan ringkas. (b) Buyung Pada asalnya buyung dibentuk tanpa bahagian kaki seperti labu lesap. Buyung berkaki hanya diperoleh dari Sayong. Umumnya buyung mempunyai bahagian leher dan badan. Kebiasaannya permukaan buyung dibiarkan licin tanpa dihias. Saiznya besar dan bahagian badan atau perut berbentuk bulat penuh. (c) Jambangan Jambangan berfungsi sebagai tempat meletak bunga. Saiznya boleh mencapai sehingga ketinggian 0.6 m -0.9 m. bahagian badannya seperti labu yang ditinggikan menjadi seperti tempayan atau buyung berkaki. (d) Labu

Bentuk labu diilhamkan daripada buah labu. Bahagian pucuk berbentuk separti kubah masjid. Berfungsi sebagai bekas untuk mengambil air atau menyimpan air. Corak hiasan labu bersumberkan alam sekeliling dan berupa bentuk geometri. Labu ini hanya dihasilkan oleh kaum wanita di Sayong, Perak. Jenis tembikar ini adalah yang paling popular di Malaysia. (d) Bekas Perasapan/Bekas Bara Dalam kepercayaan magis, bekas ini digunakan untuk membakar kemenyan. Ia masih digunakan sehingga hari ini dalam upacara pengubatan dan kematian masyarakat tertentu. Proses pembuatan tembikar secara tradisional Berikut adalah bahan-bahan yang digunakan. (i) Tanah liat (ii) Piring (iii) Pisau buluh (iv) Penepek berukir (v) Batu sungai (vi) Sekam padi (vii) Tanur pembakaran (viii) Damar (ix) Dawai pemotong. (x) Jarum Berikut adalah proses menghasilkan tembikar: (i) Penyediaan tanah liat 1. Tanah liat diambil dari lokasi seperti tanah busut, tebing sungai dan sawah padi

2. Tanah liat diproses terlebih dahulu untuk mengasingkan benda asing/organik yang tidak diperlukan seperti akar-akar kayu, daun, batubatu kecil dan lain-lain.

Rajah 1: Tanah ditapis untuk mengasingkan bendasing

3. Ia kemudiannya dijemur untuk dikeringkan. 4. Seterusnya ia ditumbuk dengan lesung kaki hingga menjadi serbuk. 5. Serbuk halus yang dihasilkan diayak dengan tepung. 6. Ia kemudiannya dicampurkan dengan air daun pepulut (secukupnya, lebih kurang 25% air), dan diperam semalaman. (ii) Proses menguli tanah 1. Tanah diuli agar sebati untuk menyingkirkan gelembung udara yang terperangkap. 2. Terdapat dua teknik menguli iaitu secara spiral atau bullhead. 3. Setelah diuli, tanah liat dipotong dengan dawai untuk memastikan tiada gelembung udara atau bendasing.

Rajah 2: Cara menguli

(iii) Proses membentuk 3. Secara picitan: Membuat lingkaran dan diletakkan di dalam pinggan untuk membuat bahagian badan. Tembikar dibentuk dari bawah dan bergerak ke atas dari tahap ke tahap. Semasa membentuk, permukaan tanah liat ditekan dengan kayu di sebelah dalam dan ditahan dengan tangan untuk menguatkan tembikar.

Rajah 3: Membentuk tembikar

Pisau buluh digunakan untuk melicinkan permukaan tembikar. Tekan dan gerakkan bahagian mata pisau dari bawah ke atas. Tapak atau kaki tembikar yang telah dibuat secara berasingan dicantumkan kepada bahagian badan tembikar yang telah siap dibuat semasa tanah liat tersebut dalam keadaan separuh kering.

Sambung bahagian tengkuk dan muncung tembikar. Rata dan kemaskan bahagian muncung tembikar. Potong lebihan muncung tembikar untuk kemasan.

4. Secara lingkaran Tekan dan ratakan bentukan kepingan untuk dijadikan tapak. Membuat lingkaran tanah liat dengan kedua belah tangan di atas permukaan datar seperti meja.

Guris bahagian tepi tapak dan bahagian lingkaran dengan jarum, sapu dengan lumpur tanah liat menggunakan berus. Cantumkan lingkaran dan tekan pada bahagian tapak. Ulang proses ini sehingga mendapat bentuk yang dikehendaki. Ratakan bahagian sambungan pilihan dengan berus atau alatan memodel

5. Secara kepingan Membuat templet dari kadbod mengikut skala sebagai panduan. Buat kepingan tanah liat dengan penggelek setebal 2 kepingan kayu yang diletakkan di kiri kanan tanah liat Letakkan templet di atas kepingan tanah liat dan potong. Potong bahagian tepi kepingan secara menyerong 45 darjah. Guris bahagian-bahagian tepi yang akan disambung dengan menggunakan jarum. Sapu / celup bahagian bahagian hujung yang akan disambung dengan lumpur tanah liat. Sambungkan bahagian bahagian kepingan yang telah disediakan sehingga menjadi bentuk yang dikehendaki.

Rajah 4: Antara proses secara kepingan

Tekan bahagian sambungan di sebelah dalam supaya rata, kemudian tambahkan lingkaran kecil pada bahagian sambungan tersebut dan ratakan.

Ratakan seluruh permukaan menggunakan span basah.

(iv) Proses hiasan Ragamhias dibuat dengan menggunakan penepek berukir, sewaktu permukaan masih dalam keadaan lembut. (v) Proses melicinkan Kemudian dilicinkan dengan batu sungai tembikar yang telah siap dibiarkan kering sebelum dibakar.

Rajah 5: Proses melicinkan tembikar menggunakan batu sungai

(vi) Proses pembakaran 1. Teknik tanur Tembikar yang telah kering dimasuk dan disusunkan dalam tanur untuk pembakaran. Pembakaran dilakukan sekurang-kurangnya 8-12 jam.

2. Teknik penggunaan para Tetakkan tembikar di atas para dengan menghalakan mulutnya ke atas api untuk disalai sehingga lebih kurang 6-8 jam

Rajah 6: Proses penyalaian

3. Teknik diangkan pada unggun api a. Diangkan tembikar pada unggun api sehingga benar-benar kering dan keras. (vii) Proses mewarna Apabila tembikar itu telah masak, dalam keadaan yang masih panas ia dikeluarkan daripada tanur dan dimasukkan ke dalam sekam padi selama 10 minit sehingga menjadi hitam seakan-akan sepuh. Damar disapu di bahagian bawah tembikar untuk menghindarkan ketelapan.

Rajah 7: Tembikar dimasukkan dalam sekam padi

Tembikar di dalam Dimensi Baru Penghasilan tembikar telah dipraktikkan sejak dari zaman Neolitik lagi.Sehingga kini, perusahaan tembikar masih wujud namun pembuatannya tidak lagi seperti dahulu. Semakin arus berkembang, pembuatan tradisional terpaksa menempuh cabaran dengan bersaing dengan pembuatan moden yang lebih efisyen dan pelbagai. Usahasama dari pihak kerajaan telah memastikan perusahaan tembikar tidak pupus di Kuala Kangsar terutamanya, dan juga beberapa tempat lain. Tanpa inisiatif awal ini, berkemungkinan berakhir seperti yang terjadi di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Sedangkan, ia sudahpun membuktikan yang ia mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan buat masyarakat setempat. Selain itu, masyarakat juga telah menerima baik penggunaan barangan tempatan dan juga menghargai warisan negara. Sehingga kini, pembuatan labu sayong misalnya masih mengekalkan keaslian budaya setempat tanpa pengaruh dari luar. Walaupun, pengaruh China telah pun wujud seawal Abad ke-7 Masihi lagi, namun teknik pembuatan dan corak tembikar di Perak tidak menunjukkan tanda-tanda dipengaruhi. Jelas (L. Wray, 1903:24), The interesting attaching to Malayan pottery; as made in the state of Perak, arise from the great antiquity of the art, and from the certainty of its having coming down to present time without influence from the more highly civilized nations, who have, from time to time, imparted arts and ideas to the Malayan inhabitants of the Peninsula (Wray, 1903:24) Memang kini, budaya dan pengaruh luar telahpun dipraktis bagi mempelbagaikan kreativiti dalam produk dan seni tradisi ini. Malah, dari segi pembuatan yang lebih moden juga memastikan penghasilannya lebih produktiviti dan mengurangkan tenaga kerja. Jika dilihat dari segi motif dan hiasannya juga, lebih kreatif dan kompleks berbanding yang dihasilkan dahulu. Ini memastikan pasaran yang luas dan minat yang lebih mendalam daripada pengumpul tembikar dan pembeli biasa.

Namun begitu, seni tradisi yang lebih lama haruslah dikekalkan. Ini adalah kerana, ia merupakan satu warisan buat negara kita. Ciptaan asalnya yang merupakan salah satu keperluan hidup dan kelamaannya menjadi permulaan kepada suatu seni, mengingatkan kita kepada sejarah kita sendiri.

Sejarah dan Tokoh bagi Wau Asal-usul permainan wau yang sebenarnya tidaklah diketahui walaupun dalam beberapa buku Sejarah Melayu sudah menceritakan tentang permainan ini. Namun begitu, ramai orang berpendapat bahawa permainan wau ini bermula pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Pendapat ini berdasarkan kepada buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang mana ada menceritakan tentang permainan wau. Permainan wau merupakan salah satu daripada hobi penduduk-penduduk di kawasan pendalaman terutama bagi negeri-negeri di Utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis dan Kelantan. Permainan wau telah menjadi satu permainan tradisi selepas musim menuai. Mereka bermain wau untuk menghilangkan rasa penat setelah bekerja di sawah. Mereka juga berasa gembira ketika bermain dan bertemu di antara satu sama lain sehingga ada di setengah-setengah tempat dan daerah mereka akan mengadakan satu pesta tahunan dan pertandingan wau yang tercantik di antara daerah-daerah. Pada masa ini, seluruh dunia meminati permainan wau. Malaysia merupakan tuan rumah bagi pertandingan wau sedunia. Ia dijadikan acara pertandingan tahunan dan sebagai tarikan pelancong. Antara tokoh yang masih menjaga keaslian wau ini adalah: 1. Hashim B. Awang Berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Mula membuat wau sewaktu kanak-kanak lagi.Beliau pernah memenangi pertandingan wau hiasan selama tiga tahun berturut-turut. Karya wau beliau menjadi hiasan di Bangunan Suruhanjaya Malaysia di London.

2. Wan Su b Wan Othman Berasal dari Besut, Terengganu. Beliau juga merupakan seorang pengukir terkenal. Melalui kemahiran mengukir, beliau menghasilkan corak-corak wau bermotifkan bunga ukir. Jenis-jenis wau Di Malaysia terdapat pelbagai jenis Wau Tradisi. Tiga jenis wau yang diangkat sebagai Wau Tradisional Kebangsaan adalah wau bulan, wau kucing, wau jalabudi.

Wau bulan

Wau Kucing Rajah 8: Wau-wau paling popular

Wau Jalabudi

Manakala wau-wau lain pula diterima sebagai Wau Tradisi Negeri-Negeri. Pembuatan Wau Kerja-kerja penghasilan sesuatu wau adalah rumit. Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau tradisional ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau. Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Pemilihan buluh juga amat penting dan bagi orang-orang lama yang yang membuat wau, banyak pantang larang yang harus diikuti. Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka

wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia. Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerjakerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan. Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :1. 2. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa. 3. 4. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk. Selapas semua buluh diraut, ia akan digosok pula dengan kertas pasir.

Rajah 9: Buluh sayap yang telah diraut terlebih dahulu diukur menjadi dua bahagian sama panjang.

Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh. Rangka bingkai wau kemudian akan diikat: 1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut. 2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu. 3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang. 4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah. 5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap. 6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau. 7. Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang. Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil tanah akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah: 1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.

2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai. 3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk V. 4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji. Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat: 1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor. 2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap. 3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau. 4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi. 5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya. 6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal

kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna. Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Jambu biasanya diperbuat daripada kertas crepe yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu. Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau. Seterusnya adalah proses memasang busur. Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu bok, daun ibus, inas dan buluh penyepit: 1. Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau. 2. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi yang dikehendaki. 3. Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur. 4. Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang nilon.

Sejarah dan Tokoh bagi gasing Permainan ini asalnya adalah bagi mengisi lapang di antara kegiatan sara diri bagi masyarakat Melayu statu masa dahulu. LIGAT seperti gasing! Begitu besar martabat gasing sehingga terbitnya ungkapan Melayu yang menyamakan sifat manusia seumpama gasing. Tidak dinafikan gasing yang dimainkan hari ini adalah sebahagian daripada nadi perjuangan pencinta seni tempatan walaupun penerimaan masyarakat generasi baru semakin hambar. Ada beberapa sumber tertentu tentang kewujudan gasing ini. Antaranya: 1. Asal Usul Perkataan Gasing Gah Berpusing Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper.Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Dikatakan perkataan gasing berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu gah berpusing. Gah dalam istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak. 2. Gasing Berasal Daripada Permainan Laga Telur Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal daripada permainan laga telur ayam. Permainan memusing dan melagakan telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut rupa bentuk telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama. 3. Gasing Berasal Daripada Peralatan Memburu Binatang Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan pula bahawa gasing dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang

berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan melempar gasing ke sasaran. Antara tokoh di Malaysia yang meminati permainan gasing ini terdahulu ialah Mat Kilau. Salah seorang pembuat gasing yang masih lagi berjuang mengekalkan agar permainan tradisional ini tidak pupus ialah Koh Kim Bok. Beliau berasal dari Kampung Bukit Rambai, Melaka yang mahir membuat dan bermain gasing pangkah. Bakatnya bermain gasing diasah sejak lebih 45 tahun lalu dan kini mengambil inisiatif menghasilkan alat permainan dan cenderamata gasing secara kecil-kecilan di belakang rumahnya. Baba Kim Bok kini merupakan Pengerusi Persatuan Pengadil Gasing Malaysia dan Pengerusi Persatuan Gasing Melaka. Struktur Gasing Gasing memiliki tiga bahagian utama iaitu kepala, badan dan buritan gasing. Terdapat sedikit lekukan di bahagian bawah kepala gasing dan bahagian ini dipanggil leher gasing. Gunanya adalah untuk melilit tali gasing. Paksi diletakkan di bagian buritan gasing untuk menjaga keseimbangan putaran gasing di atas lantai.

Jenis-jenis dan bentuk-bentuk Gasing Selain Malaysia, permainan gasing turut terdapat di negara-negara lain di Asia , Afrika serta Eropah. Pun begitu, gasing-gasing di setiap negara tidaklah begitu serupa dari segi namanya, bentuknya, cara permainannya dan orang-orang yang memainkannya. Keadaan ini dikatakan dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti penghijrahan, penjajahan dan perdagangan yang berlaku pada masa lalu. Terdapat beberapa jenis gasing. Permainan gasing ini mempunyai bentuk dan fungsi yang berbeza: 1. Gasing Leper Kelantan

Rajah 10: Gasing leper Kelantan

Berbentuk leper dan rendah. Berat sekitar 8 kg. Lilitan 48 cm. Tinggi 6 cm. Gasing ini hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional kerana harganya sangat mahal. Gasing ini berat dan itulah sebabnya ia mampu berpusing lebih ligat dan lebih lama. Simpaian gasing ini meliputi 60% berat asal gasing ini. 2. Gasing Uri

Rajah 11: Gasing Uri

Berbentuk rendah dan agak pipih, beratnya 6 kg, berdiameter 60 cm dan tinggi 8 cm. Gasing jenis ini cukup terkenal di Kelantan. Biasanya dibingkai dengan

timah, besi atau plumbum (zat logam berwarna putih kebiru-biruan). Jika bahan dasar gasing ini dibingkai dengan timah, maka gasing tersebut digunakan untuk pemutaran saja, tetapi jika bahan dasar gasing menggunakan bingkai besi, maka gasing tersebut digunakan untuk permainan pangkah-memangkah. 3. Gasing Kuno atau Gasing Pangkah

Rajah 12: Gasing Pangkah

Gasing kuno yang berbentuk sederhana dan berimbang, beratnya 0.6 kg dengan diameter 30 cm dan tinggi 8 cm. Gasing jenis ini boleh ditemui di beberapa negeri di Malaysia, seperti Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, Johor dan Kelantan. Struktur gasing ini merupakan bentuk lama seperti buah perepat yang hanya digunakan untuk permainan pangkah-memangkah dan dibuat daripada kayu merbau, keranji, meranti dan cengal. 4. Gasing Baba atau Gasing Wang Seringgit

Rajah 13: Gasing Baba

Berbentuk seperti telur, beratnya 0.6 kg dengan diameter 38 cm dan tinggi 20 cm. Gasing jenis ini boleh ditemui di daerah-daerah sekitar negeri Pahang, Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

5. Gasing Jantung atau Gasing Lundu

Rajah 14: Gasing Jantung

Berbentuk seperti jantung dengan berat sekitar 0.25 kg, berdiameter 20 cm dan tinggi 12 cm. Selain Kelantan, gasing ini juga terdapat di daerah Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Di Kelantan, gasing ini dibentuk daripada kayu merbau, manakala di negeri-negeri lain, gasing ini dibuat dengan menggunakan kayu melawis (ramin: gonystylus bancanus), mengaris dan saga (ormosia parviflora). 6. Gasing Tanjung atau Gasing Labu Lemak

Rajah 15: Gasing tanjung

Gasing tanjung yang tinggi dan berimbang, mempunyai berat beratnya 0.6 kg dengan diameter 30 cm dan tinggi 10 cm. Gasing ini dimainkan oleh orang-orang dari Muar (Johor) sebagai gasing pemangkah. Bahan dasar gasing ini adalah kayu keranji, kempas, cengal dan merbau. Di negeri Selangor, gasing ini dipanggil gasing labu lemak.

Tujuan Permainan Gasing Gasing bukan sahaja menjadi permainan pada masa lapang tetapi turut berperanan sebagai pengerat hubungan antara penduduk setempat. Permainan gasing menguji kemahiran, kecekapan, kemahiran mengatur strategi, di dalam pasukan. Pada masa kini, gasing merupakan salah satu tarikan pelancong di Malaysia. Proses Penghasilan Gasing 1. Pemilihan kayu Hanya kayu keras sahaja yang dipilih untuk menghasilkan gasing yang tahan lama, keras dan tidak mudah pecah apabila dipangkah oleh gasing lain. Gasing selalunya dibuat daripada kayu bakau, koran, sepan, penaga, keranji dan leban tanduk. Kayu jenis lembut juga digunakan seperti kayu manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa kerana senang didapati. Kayu tersebut akan ditarah dengan kapak dan mula dibentuk seperti dua piring yang bertangkup. Proses ini perlu dilakukan dengan hati-hati supaya kayu tidak retak atau terbelah. 2. Menebuk lubang Kemudian, satu lubang akan ditebuk. Pada zaman dahulu, kayu ditebuk terus menggunakan paku yang akan dijadikan paksi. Kini, gerudi digunakan untuk menebuk lubang kerana lebih mudah dan cepat serta risiko gasing pecah tidak timbul. 3. Memasukan paksi Lubang yang dibentuk dan ditebuk dimasukkan paku yang berukuran enam sentimeter panjang. Paku itu dibenamkan dan dikeluarkan kira-kira 2.5 cm di bahagian luar yang akan berfungsi sebagai paksi. Paksi perlu lurus dan keras, jika tidak, gasing tidak berpusing dengan ligat atau tersekat-sekat.

4. Melarik Proses melarik dilakukan untuk melicinkan permukaan gasing agar dapat berputar dengan seimbang. Pada zaman dahulu, proses ini menggunakan pahat, tetapi kini mesin digunakan supaya gasing dapat dilicinkan dengan sempurna. 5. Memasang timah Bagi masyarakat Kelantan, gasing akan dipasang dengan logam timah di bahagian tepi labu untuk melancarkan pusingan gasing. Gasing yang dipasang timah mempunyai kualiti yang tinggi. 6. Menggilap Selepas itu, gasing akan digilap dengan menggunakan kertas pasir atau daun mempelas. Gasing yang telah licin dicat atau divarnis untuk kelihatan lebih menarik. 7. Menyediakan tali Tali gasing diperbuat daripada benang, tali guni atau jut. Tali ini dibuat dengan memintal dan pada salah satu hujung tali diletakkan gam agar apabila gasing dihayunkan, tali tidak terurai. Bahagian yang satu lagi diikat pada kepingan logam sebagai penahan tangan supaya menjadi kukuh sewaktu melakukan hayunan. Panjang tali adalah antara 300 cm hingga 450 cm. ada juga yang lebih panjang dari itu.

Perbandingan di antara Gasing dan Wau Wau Asalnya merupakan satu permainan tradisi selepas musim menuai Komponen utamanya adalah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu, kertas dan lain-lain komponen tambahan Seni tradisional yang menjadi tarikan pelancong luar Pembuatannya lebih rumit Dunia moden masih mengekalkan ciriciri asli pembuatannya. Seni tradisional yang hampir pupus. Pembuatan tidak serumit wau Produktiviti yang lebih di dunia moden menggunakan komponen plastik, hanya menghasilkan yang berciri asli secara tidak komersial.
Rajah 16: Perbandingan di antara wau dan gasing

Gasing Merupakan aktiviti mengisi lapang suatu masa dahulu Kayu keras, paku, pahat dan tali

Melalui rajah di atas, dapat disimpulkan bahawa seni tradisional jenis wau adalah lebih popular di dalam masyarakat kini berbanding seni gasing. Walaupun, pembuatannya lebih rumit, tetapi keasliannya masih terpelihara dan ciri-ciri budaya Melayu masih terpahat dalam rekabentuknya. Malah seni gasing yang lebih komersial memilih penggunaan plastik dalam penghasilannya atas dasar lebih mudah dan produktiviti. Malaysia juga terkenal di persada dunia dengan keunikan dan pesta waunya setiap tahun.

Bibliography

Said, Tajul Suhaizam. (Nov, 2007). Estetika Tembikar Tradisi, Mambong Kelantan. Retrieved September 22, 2011, from http://eprints.usm.my/10170/1/ESTETIKA_TEMBIKAR_TRADISI_MAMBONG,_K ELANTAN.pdf. Visual, Pendidikan Seni. (October 29, 2009). Pendidikan Seni Visual. In Tembikar - Teknik Pembuatan Labu Sayong. Retrieved September 20, 2011, from http://senivisual1.blogspot.com/2009/10/tembikar-teknik-pembuatan-labusayong.html. Azmi Arifin , and Muhamad Luthfi Abdul Rahman, and Tarmiji Masron, (2010) Warisan tembikar labu sayong di Kuala Kangsar, Perak: Sejarah, perkembangan dan masa depan. SARI: Jurnal Alam dan Tamadun Melayu. Retrieved September 20, 2011 from http://journalarticle.ukm.my/1263/1/SARI_28%5B2%5D2010_%5B06%5D.pdf Abdul Karim, Ramli. (2001). Utusan Online: Uniknya seni kraf Malaysia Kunjungi Karnival Cintai Kraf 7 -10 Jun. http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp? y=2001&dt=0603&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_09.htm&arc=hive Wray, L. (1903). JSTOR: The Journal of the Anthropological Institute of Great Britain and Ireland, Vol. 33 (Jan. - Jun., 1903), pp. 24-35:. In The Malayan Pottery of Perak. Retrieved September 21, 2011, from http://www.jstor.org/pss/2842987. Yaakub, Ghazali. (). Memori. In Wau - Pengenalan. Retrieved September 21, 2011, from http://memori-kedah.com/page_pengenalan.php? p=1&idstopic=12&mtopic=1#.

Wikipedia. (2010). Wikipedia Ensiklopedia Bebas: Wau Seri Bulan. Retrieved September 21, 2011, from http://ms.wikipedia.org/wiki/Wau_seri_bulan#Teknik_pembuatan_wau_tradisional Wikipedia. (2011). Wikipedia Ensiklopedia Bebas: Gasing. Retrieved September 21, 2011, from http://ms.wikipedia.org/wiki/Gasing Rizan, Nurl Norbaini (2011). Permainan Gasing di Kelantan. Retrieved September 21, 2011, from http://newpaces.com/forum/topic/739 CintaSeni. (2010). Pendidikan Seni Visual: Seni Kraf Wau - Khazanah Tradisional Negara. Retrieved September 21, 2011, from http://senivisual1.blogspot.com/2010/02/seni-kraf-wau-khazanah-tradisional.html Amiene, Rev. (2008). Sejarah dan Asal-Usul Gasing: Permainan Tradisional. Retrieved September 21, 2011,from http://dukeamienerev.blogspot.com/2008/04/sejarah-dan-asal-usul-gasingpermainan.html

Anda mungkin juga menyukai