Anda di halaman 1dari 9

KEPERLUAN AKTIVITI KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN BAHASA ARAB SEKOLAH MENENGAH

Dr. Muhammad Azhar Bin Zailaini Prof Madya Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya azhar@um.edu.my hasbri@um.edu.my

Abstrak
Kurikulum Bahasa Arab Komunikasi Sekolah Menengah menuntut guruguru mengajar bahasa Arab dengan menggunakan bahasa tersebut di dalam bilik darjah agar pelajar dapat berkomunikasi dengan baik. Tugas ini bukanlah satu yang mudah kerana mereka terpaksa mengajar pelajar yang kurang kemahiran berbahasa. Lebih-lebih lagi ada antara guru yang tidak begitu fasih berbahasa Arab. Artikel ini cuba membincangkan beberapa konsep dan strategi yang boleh digunakan oleh guru bahasa Arab untuk membantu tugas mereka.

1. 2.

Latar Belakang
Kurikulum Bahasa Arab untuk sekolah menengah menurut Zainal Abidin (1990) mula digubal secara rasmi pada tahun 1977 dengan penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Usaha menerima pendekatan pengajaran Bahasa Arab secara komunikatif pula bermula pada tahun 1980 sehinggalah apabila Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dilaksanakan, Kurikulum Bahasa Arab juga digubal semula dan dilaksanakan di semua sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah berasrama penuh dan kelas aliran agama mulai tahun 1991. Dalam Akta Pendidikan 1996 dinyatakan dengan jelas status bahasa Arab sebagai

bahasa asing bersama dengan bahasa Jepun, Jerman dan Perancis. Pelaksanaan bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah adalah bahawa Bahasa Arab

Komunikasi sebagai Mata Pelajaran Tambahan dan Bahasa Arab Tinggi sebagai Mata Pelajaran Elektif. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1997) Matlamat pengajaran Bahasa Arab Komunikasi seperti yang dinyatakan dalam Kementerian Pendidikan (2002b) adalah pengajian bahasa Arab di sekolah menengah bermatlamat kepada membolehkan murid menguasai kemahiran-kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dengan memberi perhatian kepada kemahiran bertutur; menguasai perbendaharaan kata dan meningkatkan kepekaan mereka bagi menggunakannya dengan tepat serta meningkatkan penghayatan akhlak mulia dan nilai-nilai murni. (m.s : 1 ) Pernyataan matlamat di atas jelas menunjukkan bahawa matlamat Bahasa Arab Komunikasi adalah untuk membolehkan pelajar berkomunikasi terutama secara lisan menggunakan bahasa Arab. Manakala objektif Bahasa Arab Komunikasi pula adalah menjurus kepada kemahiran berbahasa yang empat iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis di samping penguasaan tatabahasa Arab dan penambahan perbendaharaan kata.

2.

Pengajaran Keupayaan Komunikasi Bahasa Arab Di Bilik Darjah

Matlamat kurikulum Bahasa Arab Komunikasi sebagaimana yang telah dinyatakan adalah untuk membolehkan pelajar berkomunikasi secara lisan dalam kehidupan seharian mereka. Mereka diharap dapat menguasai kemahiran-kemahiran berbahasa iaitu

mendengar, bertutur, membaca dan menulis dengan memberi perhatian kepada kemahiran bertutur. Bahkan antara objektif penting mata pelajaran tersebut ialah agar pelajar membiasakan diri mendengar bahan bahasa Arab di samping dapat bertutur dengan fasih dan lancar mengeluarkan pendapat dalam situasi-situasi tertentu. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002)

Bagi membolehkan pelajar mampu berkomunikasi, peluang hendaklah diberikan kepada mereka bertutur dalam bilik darjah dengan menyempurnakan tugas komunikasi yang perlu diselesaikan. Allwright (1984) berpendapat bahawa, mempraktik komunikasi dalam bilik darjah sangat berguna kepada pelajar bagi membolehkan mereka menggunakan bahasa-bahasa yang dipelajari di dunia luar. Komunikasi disini bermaksud pertuturan sesama guru dan pelajar, sehingga mereka bertukar-tukar peranan sebagai penutur dan pendengar. Ini bermakna, komunikasi bahasa mestilah menjadi aktiviti dalam bilik darjah bahasa Arab. Guru hendaklah menyediakan peluang yang akan menjadikan pengajaran bahasa Arab sebagai suatu yang hidup dan bukan hanya menghafal tatabahasa dan perkataan. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi dalam cadangan

pengalaman pembelajaran turut mencadangkan aktiviti komunikatif kepada guru-guru untuk pelaksanaannya dalam bilik darjah. Toimah (2004) telah membawa konsep situasi komunikasi. Situasi ini di dalam bilik darjah ialah tempat latihan seumpama kolam renang yang menjadi persediaan untuk mengharungi lautan. Oleh yang demikian, guru-guru perlu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat kurikulum Bahasa Arab Komunikasi. Hal ini kerana merekalah yang akan memastikan pendekatan pengajaran secara komunikatif terutamanya aktiviti komunikatif dapat dijalankan. Pengajaran yang dijalankan mengikut prinsip-prinsip pendekatan pengajaran secara komunikatif yang baik akan melahirkan pelajar yang dapat menguasai bahasa Arab daripada segi sistem bahasa dan juga kemahiran berbahasa.

3.

Pendekatan Semulajadi Dalam Pengajaran Bahasa

Pendekatan yang sesuai dengan pengajaran aktiviti komunikatif dalam bilik darjah ialah pendekatan semula jadi. Pendekatan ini yang diasaskan oleh Krashen (1979) telah Yang

mencadangkan bahawa orang dewasa boleh memperolehi bahasa kedua.

membezakan mereka dengan kanak-kanak kecil ialah kemahiran penyelesaian masalah yang membolehkan mereka memproses secara sedar tatabahasa bahasa kedua. Oleh itu

orang dewasa mempunyai dua cara dalam mempelajari bahasa kedua iaitu pemerolehan (acquisition) dan pembelajaran (learning), sedangkan kanak-kanak kecil yang cuba

menguasai bahasa ibundanya hanya mempunyai satu cara sahaja iaitu pemerolehan. Oleh itu, pelajar-pelajar di sekolah yang sedang mempelajari bahasa Arab perlu diberi peluang memanfaatkan kedua-dua cara ini iaitu pembelajaran dan pemerolehan. Oleh sebab itu, Krashen dan Terrel (1983) memberikan fokus utama pengajaran kepada kebolehan berkomunikasi dan makna disebabkan mereka menganggap bahawa komunikasi adalah fungsi utama bahasa. perbendaharaan kata dan melihat bahasa Mereka menekankan kepentingan sebagai alat untuk berkomunikasi

menyampaikan makna dan mesej. Dengan itu, pemerolehan bahasa akan hanya berlaku apabila seseorang itu dapat memahami sesuatu mesej tersebut dalam bahasa kedua yang dipelajarinya. Bahasa menurut pandangan Krashen dan Terrel (1983) adalah terdiri daripada item-item leksikal, struktur-struktur dan mesej. Leksikon yang melibatkan persepsi dan pengeluaran adalah penting untuk mengorganisasi dan menginterpretasi mesej. Pendekatan ini melihat pemerolehan bahasa adalah asimilasi semula jadi peraturanperaturan bahasa dengan menggunakan bahasa tersebut untuk tujuan komunikasi. Ini bermakna keupayaan linguistik akan dapat dicapai melalui input yang mengandungi struktur-struktur yang boleh difahami (comprehensible input). Input yang mengandungi struktur-struktur yang boleh difahami ini hanya dapat diperolehi melalui komunikasi. Oleh itu guru perlu mewujudkan situasi sebenar

kehidupan di dalam kelas dan meminta pelajar melakukan aktiviti komunikatif. Dengan itu, pelajar akan dapat mempelajari bahasa yang sesuai dalam pelbagai bentuk situasi. Melalui aktiviti komunikatif juga pelajar akan dapat menggunakan bahasa untuk melakukan pelbagai tugas komunikasi dan dapat menggunakan bahasa tersebut untuk interaksi sosial dengan orang lain.

4.

Aktiviti Komunikatif Dalam Pengajaran Bahasa


Aktiviti komunikatif sangat penting dalam pengajaran bahasa kerana menurut

Littlewood (1981) aktiviti ini akan dapat menyediakan amalan-amalan keseluruhan tugas (whole-task practice), meningkatkan motivasi dalam pembelajaran, membolehkan wujudnya pembelajaran semula,jadi (natural learning), dan mewujudkan konteks atau situasi yang dapat menyokong pembelajaran. Terdapat pelbagai jenis aktiviti komunikatif. Littlewood (1981)

membahagikannya kepada dua jenis iaitu pertama aktiviti-aktiviti prakomunikatif dan kedua, aktiviti-aktiviti komunikatif yang dijalankan secara berperingkat. Pada peringkat aktiviti prakomunikatif para pelajar dilatih dengan separuh kemahiran komunikasi. Latihan dibuat secara berulangan dengan berbagai cara. Ia juga melibatkan soal jawab yang membolehkan pelajar berpeluang berlatih kemahiran komunikasi, melancarkan sebutan dalam sistem bahasa yang bersifat struktural. Ini akan dapat membantu pelajar mempunyai kemahiran bahasa untuk peringkat seterusnya iaitu aktiviti komunikatif. Aktiviti komunikatif pula adalah aktiviti yang menggunakan kemahiran komunikasi sepenuhnya ketika melakukan sesuatu interaksi. Semasa aktiviti ini, pelajar yang telah didedahkan kepada latihan prakomunikatif perlu menggunakan kemahiran dan pengetahuan tersebut untuk berinteraksi. Pelajar akan menjalankan aktiviti komunikasi yang lengkap. Terdapat dua jenis aktiviti komunikasi yang boleh digunakan iaitu aktiviti komunikasi fungsian dan aktiviti interaksi sosial. (Littlewood,1981) Aktiviti komunikasi fungsian ialah aktiviti komunikasi yang berdasarkan tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh pelajar bagi memenuhi jurang maklumat. Prinsip yang terkandung dalam aktiviti komunikatif fungsian ialah guru

membentuk sesuatu situasi supaya pelajar-pelajar menyelesaikan masalah. Rangsangan untuk berkomunikasi serta ukuran kejayaan aktiviti ini terdapat dalam situasi tersebut. Aktiviti-aktiviti ini memberikan penekanan terhadap aspek-aspek fungsian sesuatu komunikasi bagi kegunaan dalam kelas. Secara khusus kejayaan aktiviti ini diukur melalui kebolehan pelajar-pelajar mengatasi keperluan serta-merta dalam sesuatu situasi.

Oleh itu, penekanan aktiviti-aktiviti adalah terhadap keberkesanan fungsian. Ini disebabkan salah satu aspek penting dalam kemahiran komunikatif ialah kebolehan untuk memilih bahasa yang dapat menyampaikan makna yang dikehendaki dengan berkesan dalam situasi-situasi tertentu. (Littlewood, 1981) Manakala aktiviti interaksi sosial pula menurut Littlewood (1981) ialah aktiviti penggunaan bahasa dalam situasi yang hampir menyerupai penggunaan bahasa sebenar. Oleh itu, guru perlu memindahkan situasi penggunaan bahasa sebenar seharian itu ke dalam kelas. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk tujuan tersebut adalah dengan guru menjadikan kelas sebagai persekitaran sosial. Guru juga perlu mewujudkan situasi penggunaan bahasa dalam kelas dengan hanya menggunakan bahasa tersebut tanpa membuat terjemahan.

5.

Aktiviti Komunikatif Di Bilik Darjah


Aktiviti-aktiviti komunikatif yang dijalankan oleh guru hendaklah berdasarkan

aktiviti komunikasi fungsian sebagaimana yang dicadangkan oleh Littlewood (1981) kerana fokus utama aktiviti jenis ini ialah aktiviti di dalam bilik darjah. Tetapi

bagaimanakah kita dapat mengukur sesuatu aktiviti itu dianggap sebagai benar-benar aktiviti komunikatif?. Untuk itu, kita perlu menggariskan ciri-ciri atau kriteria yang berkaitan dengannya. Penulisan ini akan berpandukan kepada kriteria yang

diperkenalkan oleh Harmer (1983) dan Johnson (1982). Daripada segi kriteria aktiviti komunikatif, Harmer (1983) telah menggariskan enam kriteria berikut : 1. Hasrat komunikasi. berkomunikasi. Aktiviti hendaklah menimbulkan hasrat untuk

Pelajar merasakan mereka benar-benar perlu untuk

bercakap dan berkomunikasi. 2. Tujuan komunikasi. Aktiviti hendaklah melibatkan pelajar melakukan komunikasi sebenar dan bukan hanya untuk mempraktikkan bahasa

sahaja.

Oleh itu perlu ada jurang maklumat atau idea antara peserta

komunikasi. 3. Kandungan dan bukan struktur. Dalam melaksanakan aktiviti, pelajar perlu menumpukan perhatian terhadap perkara yang mereka perkatakan dan bukan kepada kaedah mereka memperkatakannya. Oleh itu, mereka perlu menumpukan kepada mesej yang hendak disampaikan bukan kepada struktur-struktur bahasa yang digunakan untuk menyampai mesej tersebut. 4. Kepelbagaian struktur bahasa. Aktiviti hendaklah membolehkan pelajar dapat menggunakan pelbagai bentuk atau struktur bahasa. Pelajar akan merasa bebas untuk menggunakan apa jua bentuk atau struktur bahasa yang menjadi pilihannya. 5. Tiada campur tangan guru. Aktiviti yang membolehkan pelajar

melaksanakannya sesama mereka. Pembetulan atau penilaian guru adalah terhadap hasil aktiviti yang telah dijalankan. Penilaian juga hendaklah berasaskan pencapaian pelajar dalam komunikasi dan bukan terhadap penggunaan bahasa sama ada betul atau salah. 6. Tiada pengawalan bahan. Aktiviti tidak akan mengawal bahasa yang akan digunakan oleh pelajar. Tetapi pelajar sendiri yang akan memilih bahasa yang akan mereka gunakan. Johnson (1982) pula telah menggariskan lima kriteria atau prinsip aktiviti komunikatif iaitu : 1. Prinsip pemindahan maklumat. Aktiviti yang melibatkan pemahaman

terhadap maklumat yang diterima dan kemudian memindahkan maklumat tersebut dalam bentuk yang berlainan. Seperti memindahkan maklumat dalam bentuk graf kepada laporan bertulis. 2. Prinsip jurang maklumat. Sebagai contoh, komunikasi akan wujud apabila seorang A tidak mengetahui apa yang diketahui oleh seorang B. Untuk tujuan mendapatkan maklumat, A akan bertanya kepada B bagi mengurangkan jurang maklumat antara keduanya.

3. Prinsip cantuman benda berpisah (jigsaw). Aktiviti yang dapat mengumpulkan maklumat yang terpisah untuk menyempurnakan sesuatu tugas. 4. Prinsip kebergantungan tugas. Sesuatu tugas hanya akan dapat dijalankan dengan menyelesaikan tugas lain yang terdahulu. 5. Prinsip pembetulan kandungan. Penilaian guru adalah kepada hasil bahasa pelajar semasa berkomunikasi dalam menjalankan sesuatu tugas. Tetapi pada peringkat tertentu, guru boleh membetulkan ketepatan tatabahasa pelajar. Kesemua 11 kriteria aktiviti komunikatif sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh Harmer (1983) dan Johnson (1982) dapatlah diringkaskan sebagaimana dalam rajah 1 berikut.

Hasrat komunikasi jurang maklumat pemindahan maklumat

Tujuan Komunikasi

Kandungan dan bukan struktur

KRITERIA AKTIVITI KOMUNIKATIF Harmer (1983) Johnson (1982)

Kepelbagaian struktur bahasa

jigsaw Tiada campur tangan guru kebergantungan tugas pembetulan kandungan Tiada pengawalan bahan

Rajah 1: Kriteria Aktiviti Komunikatif

Rujukan
Allwright, R.L. (1984). The importance of interaction in classroom language learning. Applied Linguistics 5:2. 156-171. Harmer, J, (1983). The practice of english language teaching. New York : Longman. Johnson, K. (1982). Communicative syllabus design and methodology. Pergamon Press. Kementerian Pendidikan Malaysia (1996). Akta pendidikan. Kuala Lumpur : MDC Publication. Kementerian Pendidikan Malaysia (1997). Peraturan-peraturan pendidikan (kurikulum). Kuala Lumpur. Kementerian Pendidikan Malaysia (2002). Sukatan pelajaran Bahasa Arab Komunikasi KBSM. Kuala Lumpur: JAPIM. Krashen (1979). The natural approach : language acquisition in the classroom. London : Prentice Hall. Krashen, S. & Terrel, T. (1983). The natural approach: Language acquisition in the classroom. Oxford: Pergamon Press. Littlewood, W.T. (1981). Communicative language teaching : An introduction. Cambridge: Cambridge University Press. Toimah, R. A. (2004). Al maharat al lughawiyyah : mustawiyatuha, tadrisuha, suubatuha. Kaherah : Dar Al Fikr Al Arabi. Zainal Abidin Abd. Kadir (1990). Pengajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kertas kerja Seminar Perkembangan

Pengajaran Bahasa Arab. Anjuran UIA dengan kerjasama KPM dan Maahad al Ulum al Islamiah Wal Arabiah, Jakarta.

Anda mungkin juga menyukai