Anda di halaman 1dari 29

ISI KANDUNGAN Perkara Muka Surat

PRAKATA PENDAHULUAN 1. PENGENALAN : SENI MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM

2 3 4

1.1 1.2 1.3 1.4 1.5

Definisi Seni Definisi Seni Dalam Islam Konsep Seni Dalam Islam Bahagian-bahagian/Jenis-jenis Seni Dalam Islam Sejarah dan Perkembanagn Seni

4 5 6 7 7

2. SENI BOLEH MENDIDIK JIWA MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM 2.1 2.2 2.3 2.4 Perspektif Islam Terhadap Seni Ciri-ciri Kesenian Mengikut Perspektif Islam Peranan Seni Dalam Masyarakat Islam Seni Mengikut Perspektif Islam Boleh Mendidik Jiwa Melalui Seni Suara, Rupa, Pakaian dan Sastera. 2.4.1 2.4.2 2.4.3 2.4.4 KESIMPULAN Pendidikan Melalui Seni Suara Pendidikan Melalui Seni Rupa Pendidikan Melalui Seni Pakaian Pendidikan Melalui Seni Sastera

7 8 10 13 14

14 18 21 23 26

BIBILIOGRAFI

28
SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 1

PRAKATA

Segala puji bagi Allah (s.w.t) Tuhan yang mencipta alam semesta. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w), keluarga dan para sahabat baginda. Saya amat bersyukur kepada Allah (s.w.t) di atas hidayah dan pertolongan-Nya, tugasan bagi kursus Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (SADN 1013) yang bertajuk Sejauh Manakah Seni Boleh Mendidik Jiwa Mengikut Perspektif Islam ini dapat disempurnakan sepenuhnya. Tugasan ini disusun dan dibahagikan kepada beberapa isi utama bermula dengan Pengenalan : Seni Mengikut Perspektif Islam; diikuti dengan Seni Boleh Mendidik Jiwa Mengikut Perspektif Islam Melalui Seni Suara, Seni Rupa, Seni Pakaian Dan Seni Sastera. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang menjayakan tugasan ini. Terutamanya kepada pihak pensyarah dan sebagai penyelia tugasan ini di atas tunjuk ajar beliau sepanjang meyiapkan tugasan ini. Ucapan ribuan terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan kerana telah meluangkan masa untuk menjalankan sesi perbincangan bersama. Kerjasama dan keperihatinan semua pihak amat saya hargai. Sesungguhnya, tugasan ini banyak memberi manfaat kepada diri saya dan saya berharap agar ia dijadikan salah satu sumber rujukan pelajar lain seterusnya dapat mendidik jiwa dengan nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan nilai-nilai bersifat keagamaan termasuklah nilai-nilai akidah, akhlak dan etika Islamiyah melalui pembelajaran kesenian Islam. Semoga Allah (s.w.t) memberkati usaha murni ini dalam meneroka dunia ilmu tanpa sempadan.

Januari 2013

Awang Azmee Ag. Kati

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 2

PENDAHULUAN Kursus Tamadun Islam Dan Asia (SADN 1013) menyediakan beberapa tugasan yang perlu dilakukan oleh para pelajar termasuklah tugasan yang bertajuk Sejauh Manakah Seni Boleh Mendidik Jiwa Mengikut Persdpektif Islam ini. Tugasan ini adalah membincangkan serta menjelaskan beberapa ilmu kesenian Islam bermula dengan pengenalan umum seni dan seni Islam iaitu konsep kesenian Islam dan ciri-cirinya. Kemudian diikuti dengan perkara penting yang dihuraikan dalam tugasan ini iaitu Pengenalan : Seni Mengikut Perspektif Islam (Definisi Seni, Definisi Seni Dalam Islam, Konsep Seni Dalam Islam, Bahagian-bahagian/Jenis-jenis Seni Dalam Islam dan Sejarah dan Perkembanagn Seni). Seterusnya diikuti dengan penjelasan tentang Seni Boleh Mendidik Jiwa Mengikut Perspektif Islam (Perspektif Islam Terhadap Seni, Ciriciri Kesenian Mengikut Perspektif Islam, Peranan Seni Dalam Masyarakat Islam, Seni Mengikut Perspektif Islam Boleh Mendidik Jiwa Melalui Seni Suara, Seni Rupa, Seni Pakaian dan Seni Sastera). Tugasan ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang kehebatan seni Islam yang sudah berkembang sejak zaman silam lagi yang mana ia dicorakkan oleh konsep tawhid yang tinggi kepada Allah (s.w.t.); memberi kesedaran kepada pelajar bahawa kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik; seterusnya melahirkan para pelajar yang berkemahiran menghasilkan seni sebagaimana hasil ciptaan seni Islam yang dikatakan telah berkembang sejak zaman Nabi Daud (a.s.) dan puteranya Nabi Sulaiman (a.s.) dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad (s.a.w.) dan zaman selepas kewafatan baginda sehingga kini sehinggalah terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitik beratkan kesejajaran dengan tuntutan tawhid dan syara.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 3

1. PENGENALAN : SENI Pada diri insan Allah kurniakan jiwa, akal dan indera yang tiap-tiap satu berfungsi dan memerlukan tuntutan yang perlu dipenuhi bagi kesempurnaan keinsanannnya. Jiwa menuntut kerohanian, akal menuntut keilmuan dan indera menuntut kesenian. Sedang tiap-tiap bidang pula tidak berdiri sendiri sahaja tetapi bersatu pada puncaknya di lautan intelek dan falsafah mencari kebenaran. Agama Islam mengharuskan perasaan cinta kepada kesenian dan keindahan. Allah sentiasa menyeru manusia supaya memerhati keindahan yang terdapat dalam alam ini. Tamadun Islam telah menghidupkan pelbagai jenis seni dan seni-seni ini telah berkembang dalam tamadun Islam sehingga menjadi sebuah tamadun yang unik dan berbeza dengan tamadun-tamadun lain. Islam adalah agama yang melengkapi keperluan realiti kehidupan. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia keseluruhannya sama ada aspek rohani, jasmani, pemikiran ataupun perasaan. Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan. Kebudayaan pula suatu nilai hidup yang dijelmakan oleh faktor-faktor daya akal dan daya rasa manusia dan kesanggupan daya akal dan daya rasa itulah yang melahirkan kebudayaan. Dengan itu kebudayaan bermaksud bidang-bidang sosial, ekonomi, politik, ilmu, seni dan falsafah. Seni adalah fitrah manusia yang menggerakkan untuk mencipta karya seni yang membawa nikmat dan kesenangan. 1.1 Definisi Seni Seni mempunyai definisi-definisi tertentu yang perlu kita ketahui antaranya secara umum seni bermaksud sebahagian daripada kebudayaan; indah, halus, lembut, senang didengar atau ditutur, senang dilihat dan menerangkan sesuatu. Dalam Bahasa Inggeris disebut art yang berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud kecekapan dan kebolehan. Seni mengikut definisi-definisi Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) bermaksud halus (kecil, elok); tipis dan halus; karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang dicipta

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 4

dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan; kebolehan mencipta sesuatu; (orang yang mempunyai) kebolehan untuk mencipta sesuatu yang luar biasa. Menurut buku The Hutchincon Encyclopedia (1977 Edition), seni secara umumnya bermaksud semua proses dan produk kemahiran manusia, imiginasi dan ciptaan iaitu sesuatu yang berlawanan dengan sifat semulajadinya. Di dalam penggunaan semasa, seni didefinisikan sebagai sesuatu kriteria yang estetika dan ia meliputi kesusasteraan, muzik, drama, lukisan dan ukiran. Herbert Read di dalam bukunya The Meaning of Art mengatakan seni sebagai percubaan untuk mencipta sesuatu yang menyenangkan hati kerana perasaan yang menyenangkan hati itu merupakan perasaan yang mengalami keindahan. Oleh itu, sesuatu objek yang diciptakan untuk menimbulkan keindahan bukan sahaja bertujuan untuk digunakan tetapi ia bertujuan supaya keindahan itu dapatmelahirkan rasa dihargai, mengembirakan dan menyenangkan hati.

1.2

Definisi Seni Dalam Islam Drs Sidi Gazalba dalam bukunya Pandangan Islam Tentang Seni menjelaskan

bahawa seni adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera rasa yang lima. Ini menjelaskan kepada kita bahawa manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasaan hati melalui pancaindera rasa. Seterusnya menurut Lois Lamya al-Faruqi, seni dalam Islam itu bukanlah terhad kepada hasil ciptaan yang dihasilkan atau bangunan yang berunsur keagamaan semata-mata; kesenian juga meliputi semua hasil ciptaan yang dihasilkan melalui kemahiran dan mempunyai nilai estetika; dan seterusnya menyampaikan perutusan Islam tidak mengira sama ada digunakan untuk tujuan keagamaan atau tidak.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 5

1.3

Konsep Seni Dalam Islam Sebagaimana yang dijelaskan Mahayudin Hj. Yahaya (2001) di dalam bukunya

Tamadun Islam bahawa Islam diturunkan untuk memberi petunjuk dan menuntut kemanusiaan mewujudkan keselamatan dan kesenangan di dunia dan di akhirat. Justeru, seni berfungsi mencipta bentuk-bentuk kesenangan di samping mendapat petunjuk dan bimbingan daripada Islam agar kesenangan yang dibentuknya itu tidak merosakkan keselamatan sebaliknya hendaklah tunduk kepada undang-undang syariat. Islam juga telah menyediakan asas-asas yang kukuh dalam kelahiran seni terutama dari segi jiwa yang menyuluh ke arah seni tertinggi. Seni di dalam Islam merupakan persoalan mendatang, tumbuh dan berkembang subur bersama perkembangan budaya menerusi ruang zamannya selepas melalui siri pembentukan penyesuaian dan penghalusan yang selaras dengan nilai Islam. Turut dijelaskan oleh Mahayudin Hj. Yahaya (2001) di dalam bukunya Tamadun Islam kesenian Islam merupakan usaha dan daya upaya serta buah fikiran umat Islam untuk menghasilkan sesuatu yang indah; seni Islam dapat juga didefinisikan sebagai satu seni yang dihasilkan oleh seniman Islam; dan setiap keindahan yang dihasilkan oleh seniman Islam hendaklah menggambarkan sikap pengabdian kepada ajaran atau petunjuk agama Islam atau mengikut pandangan hidup seorang muslim. Secara konklusinya, sebarang bentuk seni yang dapat menyemai dan

mempertingkatkan cita-cita beriman, bertaqwa dan beramal salih adalah dihalalkan Allah (s.w.t.) manakala seni yang menyebabkan berlakunya maksiat, kemungkaran, merosakkan akhlak, menimbulkan perasaan putus asa, menyedihkan dan sebagainya adalah haram di sisi Allah (s.w.t.).

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 6

1.4

Bahagian-bahagian/Jenis-jenis Seni Dalam Islam Berdasarkan penjelasan didalam buku Tamadun Islam oleh Mustafa Hj. Daud

(1991), terdapat empat bahagian seni dalam Islam iaitu seni melalui pendengaran muzik, deklamasi puisi, prosa, seni suara dan sebagainya; seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya; seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya; seterusnya seni yang dinikmati melalui bacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.

1.5

Sejarah Dan Perkembanagan Seni Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang

telah berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah (s.w.t.). Kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam dikatakan telah berkembang sejak zaman Nabi Daud (a.s.) dan puteranya Nabi Sulaiman (a.s.) dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad (s.a.w.) dan zaman selepas

kewafatan baginda sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitik beratkan kesejajaran dengan tuntutan tawhid dan syara.

2. SENI BOLEH MENDIDIK JIWA MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM Dalam perbahasan tentang seni boleh mendidik jiwa mengikut perspektif Islam ini, kita perlulah mengetahui beberapa perkara penting yang mempunyai hubungan kait dengan sejauh mana seni boleh mendidik jiwa mengikut perspektif Islam. Perkara-perkara tersebut ialah Perspektif Islam Terhadap Seni; Ciri-ciri Kesenian Mengikut Perspektif Islam; Peranan

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 7

Seni Dalam Masyarakat Islam; dan Seni Mengikut Perspektif Islam Boleh Mendidik Jiwa Melalui Seni Suara, Seni Rupa, Seni Pakaian dan Seni Sastera.

2.1

Perspektif Islam Terhadap Seni Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Buku Tamadun Islam oleh Mustafa Hj.

Daud (1991), perspektif Islam terhadap seni adalah seperti berikut : i. Keindahan merupakan salah satu ciri kesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah (s.w.t.). Keindahan merupakan salah satu kesempurnaan Allah (s.w.t).Allah (s.w.t.) menyintai keindahan. Lantas segala yang dicipta-Nya juga merupakan pancaran keindahan-Nya. Manusia dijadikan makhluk-Nya yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. ii. Allah (s.w.t.) bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah, mengatasi segala makhluk yang lain. Allah (s.w.t.) juga menjadikan naluri cinta kepada keindahan di dalam diri manusia. Di sinilah letaknya salah satu keistimewaan manusia iaitu makhluk yang cinta akan keindahan atau kesenian yang tidak dimiliki oleh makhluk yang lain sama ada Malaikat, Jin atau haiwan. Manusia menyenangi segala keindahan terhadap sesuatu yang berkaitan dengan hidup di dalam segala bidang kesenian. iii. Al-Quran mengakui dan menerima kecintaan dan kerinduan manusia kepada keindahan atau kesenian sebagai salah satu fitrah semula jadi anugerah Allah (s.w.t.) kepada manusia. Segala sesuatu yang bersifat fitrah adalah sesuatu yang digalakkan oleh Al-Quran. iv. Islam sebagai ad-Din yang serba-serbi lengkap juga mengambil kira hal kesenian di dalam perundangannya. Justeru, Islam telah datang untuk menyempurnakan

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 8

fitrah semula jadi manusia yang cinta kepada kesenian dengan menentukan garis panduan seni yang diredhai Allah (s.w.t.) iaitu segala kesenian yang tidak bercanggahan dengan akidah, syarak dan akhlak. v. Seni yang diterima oleh Islam dapat dibezakan daripada seni yang bertentangan dengannya adalah berdasarkan kepada niat penciptaan dan nilai akidah, syarak dan akhlak yang dijelmakan oleh kesenian tersebut. Kesenian Islam dicetuskan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah (s.w.t.). Sementara kesenian yang tidak berbentuk Islam diciptakan untuk tujuan takbur, riak, menaikkan nafsu syahwat, merosakkan akidah, syarak dan akhlak. vi. Seni Islam mementingkan nilai-nilai akidah, syarak dan akhlak. Sedangkan seni yang tidak mempunyai nilai-nilai ini dikatakan sebagai seni yang tidak digalakkan oleh Allah (s.w.t.) seperti seni ukir patung kerana konsep pengukiran patung itu sendiri bercanggahan dengan akidah Islamiah dan sebagainya. vii. Kesenian Islam menjadikan Al-Quran, As-Sunnah dan ijmak sebagai sumbernya. Segala sesuatu yang indah itu ialah penyempurnaan dan penghayatan akidah, syarak serta akhlak. Seni lukis yang dapat menaikkan nafsu syahwat contohnya dapat merosakkan syarak dan akhlak adalah juga dilarang olh Islam. Seni suara dan seni muzik dan lain-lain yang mengandungi unsur lucah dan melalikan manusia daripada mengingati Allah (s.w.t.) juga merupakan seni yang ditegah oleh Islam kerana bertentangan dengan syarak dan akhlak yang mulia. viii. Seni sememangnya mempunyai kepentingan dan merupakan tuntutan Islam kerana seni yang dapat menambahkan keimanan, ketakwaan dan amal salih adalah sesuatu yang mendatangkan kebajikan, ganjaran pahala, syurga di akhirat kelak dan kenikmatan hidup di atas dunia. Bertepatan dengan tuntutan ini, Allah (s.w.t.)

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 9

telah menegaskan hal ini di dalam firman-Nya yang bermaksud : Dan tuntutlah akan negeri akhirat dan jangan lupa habuan engkau di dunia.

2.2

Ciri-ciri Seni Mengikut Perspektif Islam Islam membenarkan seni yang mempunyai ciri-ciri tidak bercanggah dengan undang-

undang syariat Islam. Berdasarkan huraian di dalam buku Tamadun Islam oleh Mahayudin Hj. Yahaya (2001), ciri-ciri tersebut pertama ialah keindahan yang mana seni merupakan sebahagian daripada fitrah manusia manakala manusia pula suka melihat perkara-perkara yang indah, kemudian Islam pula menggalakkan seni dan ciptaan yang indah-indah. Sabda Nabi Muhammad (s.a.w.) yang bermaksud : Allah itu indah dan sukakan keindahan Sabda Baginda lagi : Keindahan itu mengenengahkan segala hati dan ubat untuk luka, sesungguhnya keindahan adalah perhiasan dan kebahagiaan hidup. Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya Pandangan Islam Tentang Kesenian telah menyatakan bahawa teori-teori tentang keindahan yang dibahagikan kepada teori-teori lama yang bersifat metafizik dan teori-teori moden yang bersifat psikologikal. Plato, Plotinus dan Hegel berpegang kepada teori-teori metafizik tentang keindahan. Bagi mereka keindahan itu dapat disamakan dengan kebenaran, kebaikan dan kesempurnaan. Sebagai objek penilaian, keindahan itu bersifat ideal bukan fakta. Suatu karya atau bahan yang dikatakan indah, keindahannya itu sebenarnya satu perasaan yang dihayati oleh manusia ketika meneliti karya atau bahan tersebut. Sifat keindahan yang lahir itu dapat menimbulkan rasa kesenangan atau kepuasan yang tertentu dalam diri seseorang iaitu disebut sebagai estetika. Dalam menghayati estetika atau keindahan ini seseorang itu seolah-olah ditarik ke dalam objek keindahan itu menyebabkan timbulnya rasa persatuan yang penuh dengan objek itu dan juga rasa kebebasan dan kesempurnaan. Justeru, Islam menggalakkan penghasilan karya-karya seni yang tidak bercanggah dengan nilai dan hukum Islam.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 10

Ciri kedua ialah unsur moral iaitu seni dan moral saling berkait antara satu sama lain; dengan adanya unsur-unsur agama dalam seni maka dengan sendirinya ia mengandungi unsur moral. Dalam Islam Allah (s.w.t.) menyuruh melakukan perkara yang baik dan melarang melakukan perkara yang buruk. Suruhan dan larangan itulah yang membentuk syariat. Ia berlaku dalam agama Islam sendiri, kebudayaan Islam termasuklah seni Islam. Islam adalah untuk kebaikan dan bukan sebaliknya, maka karya seni Islam yang dihasilkan atas nama Islam mestilah membawa ciri-ciri akhlak atau moral. Islam membentuk akhlak dan akhlak membentuk seni. Ini bermaksud seni adalah pantulan agama pada kebudayaan. Seni merupakan refleksi daripada agama Islam yang mengandungi nilai-nilai akhlak. Kesenian Islam juga adalah berpaksikan akidah dan akhlak dan satu garis panduan mengenainya telah ditetapkan oleh Allah (s.w.t.) antaranya ialah niat. Ini bermaksud kesenian Islam dicetuskan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah (s..w.t.). Hal ini telah dinyatakan oleh Drs. Sidi Gazalba bahawa seni Islam adalah seni yang mementingkan nilai akidah, syariat dan akhlak. Manakala sumber utama kesenian Islam pula adalah AlQuran, As-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Ciri ketiga ialah kepelbagaian dalam kesatuan iaitu Islam telah tersebar luas dan menembusi batas-batas geografi dan politik dunia; Islam juga dianuti oleh pelbagai bangsa; seterusnya Islam dan tulisan Arab menjadi factor-faktor pengikat dalam menyatukan uamt Islam. Demikianlah kepelbagaian dalam kesatuan telah dianggap satu daripada ciri kesenian Islam. Kesenian Islam dapat memberi sumbangan kepada kesatuan hidup seseorang Islam. Kesatuan ini terbentuk dalam pekerjaan seharian, ketika berehat atau berhibur sesuai dengan identiti Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh sama ada agama, politik, ekonomi. Social dan kebudayaan. Kesenian dalam Islam harus diselaraskan berdasarkan konsep kesatuan yang lebih besar seperti yang dipancarkan pada motif yang diukur atau

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 11

diterapkan kepada beberapa seni Islam seperti pertukangan logam, tembikar, tekstil dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan kehendak Al-Quran yang mana dalam Al-Quran setiap kata merupakan satu unit yang penting bagi mendukung susunan dan makna ayat. Hal ini samalah dengan seseorang Islam yang menjadi satu unit penting dalam kesatuan umat. Demikianlah yang berlaku pada bentuk-bentuk seni bina Islam dari segi prinsip dan fungsinya masih memperlihatkan kesatuan. Ini dapat membezakan bentuk hasil seni bina Islam antara sebuah negara Islam dengan negara yang lain. Kesatuan ini juga berlaku pada seni khat (Kaligrafi) yang digunakan untuk menulis atau mengukir ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah (s.a.w.) atau kalimah Allah atau Muhammad yang melambangkan unsur akidah dan tawhid dan ketinggian agama Islam. Ciri yang keempat ialah hubungan antara agama, etika dan estetika iaitu hubungan antara yang indah dengan yang baik bermakna hubungan antara agama, etika dan seni seperti dinyatakan dalam firman Allah (s.w.t.) dalam Surah Al-Kahf ayat 46 yang bermaksud : Kekayaan dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia dan kerja yang baik lagi kekal adalah lebih banyak pahalanya. Fungsi perhiasan adalah untuk keindahan, manakala keindahan ialah akar kesenian. Tujuan perhiasan ialah kesenangan. Dalam ayat tersebut tersimpul hubungan antara seni, etika dan estetika.Ini membuktikan bahawa dalam seni Islam itu terdapat hubungan erat antara agama, etika dan estetika. Seni dilahirkan oleh agama, etika pula merumuskan ajaran agama tentang yang baik dan yang buruk. Hubungan ini bukan sahaja terjalin antara agama dengan seni atau agama dengan etika, tetapi juga antara seni dengan etika.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 12

2.3

Peranan Seni Dalam Masyarakat Islam Peranan seni yang paling penting dalam masyarakat Islam seperti yang diterangkan

dalam buku Tamadun Islam oleh Mahayudin Hj. Yahaya (2001) adalah terletak kepada kebolehannya memperkuatkan semangat tawhid di kalangan ummah. Dalam dunia seni terdapat dua aliran iaitu aliran seni untuk seni dan seni untuk sesuatu yang lain. Seni untuk seni tidak membenarkan kesenian dipergunakan untuk sesuatu selain seni itu sendiri. Ia memerlukan kebebasan. Ghairah untuk mencipta akan timbul dengan serta-merta tanpa dipaksa atau diarah. Paksaan dan arahan akan melenyapkan kebebasan. Jika hilang kebebasan maka akan mematikan daya cipta. Ini bermaksud seni untuk seni hanya akan mengabdikan diri kepada seni itu. Demi seni semuanya dibolehkan asalkan tidak mencabuli prinsip-prinsip seni. Seniman pula mencipta kerana rangsangan keindahan iaitu untuk tujuan keindahan semata-mata. Sesuai dengan fungsi seniman iaitu mencipta bentuk-bentuk yang menyenangkan untuk seniman sendiri. Oleh sebab itu, maka aliran kedua menuduh aliran seni untuk seni sebagai aliran yang egois iaitu hilang fungsi sosial daripada kesenian kerana ia tidak mengabdi kepada masyarakat, tetapi kepada diri sendiri. Sebab itulah, seni untuk seni dipandang sebagai seni liberal, seni kapitalis dan individualis. Manakala aliran seni untuk sesuatu yang lain memberikan tujahan kepada yang lain selain seni itu sendiri, seperti agama, masyarakat, politik dan sebagainya. Tujuan utamanya bukan keindahan tetapi aspek-aspek lain yang dinyatakan di atas. Aliran seni untuk sesuatu yang lain inilah terletaknya aliran seni Islam. Jika seni untuk seni dalam ciptaannya dikendalikan dari hujung iaitu keindahan. Namun seni untuk Islam dikendalikan dari pangkal iaitu niat untuk menganggungkan Maha Pencipta menerusi

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 13

keindahan. Dengan kata lain, keindahan itu bukanlah menjadi tujuan utama, tetapi hanya sebagai suatu cara untuk menyampaikan tujuan yang sebenar iaitu tawhid.

2.4

Seni Mengikut Perspektif Islam Boleh Mendidik Jiwa Melalui Seni Suara, Seni Rupa, Seni Pakaian dan Seni Sastera Seni mengikut perspektif Islam sememangnya mampu dan boleh mendidik jiwa. Hal

ini menyentuh beberapa perkara utama iaitu pendidikan melalui seni rupa, pendidikan melalui seni pakaian, pendidikan melalui seni sastera. Pendidikan yang berlaku dalam keempat-empat seni tersebut akan memperlihatkan kepada kita bahawa seni mengikut perspektif Islam boleh mendidik jiwa insan sejagat. Berikut adalah penjelasan tentang sejauh mana seni boleh mendidik jiwa mengikut perspektif Islam :

2.4.1 Pendidikan Melalui Seni Suara Menurut pandangan Islam, seni suara dibahagikan kepada dua kriteria iaitu seni suara yang baik dan seni suara yang buruk. Seni suara yang baik merangkumi bacaan al-Quran dengan suara yang merdu, syahdu dan lunak, melagukan azan, menyanyikan lagu-lagu jihad, berzikir, mendendangkan nyanyian hari-hari raya, menyanyikan selamat jalan dan selamat kembali kepada para jemaah haji, berzanji dan lain-lain. Seni suara yang buruk pula merangkumi nyanyian-nyanyian yang sering menimbulkan nafsu berahi, lagu-lagu joget dan tarian yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, lagu-lagu yang boleh merosakkan budi pekerti muda mudi serta melalaikan mereka dari beribadat kepada Allah. Bacaan Al-Quran merupakan salah satu seni suara yang baik. Al-Quran adalah kalam Allah dan kitab suci umat Islam. Ia bukan sahaja mempunyai nilai sastera yang amat indah dan tinggi tetapi juga mempunyai seni bacaan yang unik. Oleh itu, membaca al- Quran

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 14

diberikan prioriti yang pertama dan utama dalam Islam. Kita dituntut oleh syariat Islam supaya membaca Al-Quran mengikut tajwidnya yang betul dan dengan suara yang baik bukan dengan cara berlagu sebagaimana lagu-lagu qasidah. Ini kerana ia boleh merosak dan mungkin akan menambah atau mengurangkan huruf-huruf Al-Quran dan dianggap suatu bidaah pula. Menurut Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya Kaff al-Ria al-Muharramat asSama , kesengajaan membaca al-Quran secara berlagu dengan menambahkan huruf atau menguranginya untuk memperelokkan dan memperhiaskannya adalah fasiq.

Bahkan menurut fatwa Imam al-Nawawi mengenai golongan yang membaca al-Quran dengan berlagu yang buruk serta banyak perubahannya, maka hukumnya adalah haram menurut ijmak para ulama. Pemerintah wajib mengancam dan meminta mereka bertaubat, malah setiap orang yang mukallaf hendaklah mengingkarinya sedaya upaya yang mungkin. Dengan membaca Al-Quran, seseorang itu akan mendapat ketenangan (sakinah)

Sebagaimana hadis Rasulullah (s.a.w) berikut : Daripada Barra dan daripada Azib r.a. telah berkata : Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad (s.a.w). dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah sakinah (ketenangan) yang turun disebabkan bacaan al-Quran. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Selain itu, seseorang muslim itu yang mempelajari serta membacanya akan mendapat keberkatan dan keharmonian hidup. Manakala nyanyian dan seni muzik boleh mengubah sikap di samping memiliki kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi kepada terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 15

jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia. Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi. Pandangan Imam al-Ghazali terhadap nyanyian dan seni muzik adalah tidak terdapat keterangan yang jelas dari sunnah Rasulullah yang melarang penggunaan alat-alat muzik. Sebahagian instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang dalam Islam. Seni muzik yang dilarang ialah seni muzik yang berada di dalam keadaan yang bersekongkol dengan kumpulan pemabuk, perzinaan dan perbuatan dosa yang lain. Mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram. Imam al-Ghazali mengklasifikasikan lagu-lagu kepada tujuh jenis iaitu lagu-lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah dan Madinah; lagu yang mengobarkan semangat untuk berjuang mempertahankan aqidah dan negara; lagu yang memperihalkan pertarungan dan sikap kelelakian yang pantang mengalah di saat-saat genting; lagu yang mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedihan yang positif. serta mengingatkan diri terhadap hakikat hidup yang sebenar; lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya selama yang mungkin; lagu bercorak ghazal yang sopan memperihalkan kisah cinta dan membayangkan harapan untuk bertemu dan pertautan yang lebih erat di masa yang akan datang; seterusnya lagu yang memperihalkan keagungan sifat-sifat tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesaran Allah (s.w.t.).

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 16

Pandangan Imam Shafii menyatakan bahawa nyanyian itu adalah makruh dan melalaikan di dalam kitab beliau Adab al-Qada . Ia menyamai kebatilan dan sesiapa yang mendengarnya maka dia adalah seorang safih dan penyaksiannya ditolak. Mendengar nyanyian dari wanita yang bukan mahram tidaklah harus dalam apa jua keadaan samada di tempat terdedah atau di tempat tertutup, samada wanita yang merdeka atau hamba. Jika tuan kepada hamba abdi wanita mengumpulkan orang ramai agar mendengar nyanyian abdinya itu, maka dia juga seorang safih dan penyaksiannya ditolak. Menggunakan seruling adalah makruh kerana menurut beliau itu adalah perbuatan kaum Zindik untuk memesongkan orang dari mendengar Al-Quran. Dr.Yusuf al-Qardhawi pula membuktikan mengenai hukum seni muzik yang pada asalnya bersifat harus tetapi boleh berubah kepada hukum-hukum lain berdasarkan beberapa syarat iaitu bukan semua lagu itu harus. Isi kandungannya hendaklah bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajarannya. Nyanyian-nyanyian yang menyanjung pemerintah yang zalim, taghut dan fasiq adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam melaknat para pelaku kezaliman dan para pengampunya. Cara persembahannya juga mesti diambil kira. Kadangkala tajuk lagunya tidak menjadi masalah tetapi cara penyampaian penyanyinya itu yang boleh menyebabkan hukumnya haram, syubhah atau makruh. Ini termasuklah cara nyanyian yang memberangsangkan ghairah seks para pendengar melalui tematemacinta berahi. Hendaklah nyanyian itu tidak diiringi dengan perkara yang haram seperti meminum arak, mendedahkan aurat atau bercampur diantara lelaki dan perempuan tanpa batas dan had. Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah tidak dilebih-lebihkan terutama nyanyian yang menyentuh perasaan dan kerinduan yang berlebihan. Sekiranya unsur-unsur yang berlebihan ini tidak dikawal, ianya akan mengabaikan hak akal, rohani dan kehendak seseorang, masyarakat dan agama. Sekiranya

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 17

terdapat unsur nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan ibadah maka menjadi kewajipan ke atas pendengar untuk menjauhinya, menutup pintu fitnah tersebut demi memelihara dirinya dan agama. Beralih kepada seni tari, Islam tidak dapat menerima apa yang dikenali kini sebagai budaya rock. Bahkan semua perbuatan yang membawa kepada keghairahan syahwat seperti nyanyian-nyanyian lucah dan drama-drama liar meskipun ianya dianggap sebagai seni dan dikatakan kemajuan. Ini kerana, nilai dan kemajuan dalam Islam berbeza dengan Barat yang tidak mengambil kira agama sebagai panduan atau kayu pengukurnya. Islam mengharamkan sebarang interaksi bebas insan yang berlainan jantina tanpa perkahwinan yang sah. Demikian juga sebarang perbuatan atau kegiatan yang membawa kepada yang diharamkan seperti perbuatan zina di mana Islam tidak saja melarang dengan sebutan jangan berzina tetapi semua yang membangkitkan syahwat dan keghairahan nafsu.

2.4.2 Pendidikan Melalui Seni Rupa Secara umumnya para ulama membahagikan seni rupa kepada dua bahagian iaitu seni rupa yang mempunyai imej ataupun bentuk dan hasilnya dinamakan patung dan seni rupa yang tidak mempunyai imej mahupun bentuk dan hasilnya dinamakan gambar atau lukisan. Contoh bagi seni rupa ini ialah seni ukir Islam. Ia mempunyai nilai yang tinggi baik dalam susunan komposisi cara pengisian bidang yang dihias ataupun dalam cara mensejajarkan motif-motif ukirannya pembahagian bidang diatur berdasarkan geometri, motif-motif tabii seperti daun, akar, bunga dan sebagainya. Dalam seni ukir Islam wujud paduan yang harmoni antara rasa dan akal. Ia juga dikenali sebagai seni pahat yang merangkumi apa-apa sahaja yang diukir atau yang dipahat.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 18

Islam mengharamkan patung di dalam rumah yang dijadikan perhiasan dan sebagainya kerana malaikat rahmat akan menjauhi rumah tersebut. Jika si pembuat patung tersebut mengetahui bahawa patung itu akan disembah maka dia adalah seorang kafir. Jika si pembuat patung itu tidak sengaja dan tidak mengetahui bahawa patung itu akan disembah, maka dia berdosa sahaja dengan perbuatannya itu. Terdapat hadith yang menyatakan bahawa si pembuat patung akan dipaksa memberi nyawa kepada patungnya. Dia akan diseksa selama mana ia tidak dapat memberikan nyawanya kepada patung tersebut. Segolongan ulamak berpendapat bahawa Islam tidak mengharamkan patung yang tidak sempurna atau yang cacat kerana ia tidak dapat disembah kerana tidak lengkap anggotanya. Bahkan membuat patung cacat, hukumnya mubah. Tetapi, patung separuh badan yang dibina bagi mengagungkan pemimpin-pemimpin tertentu, pengharamannya lebih tegas daripada patung kecil yang lengkap anggotanya yang hanya sekadar menjadi hiasan rumah. Bagi patung permainan kanak-kanak, tidak terdapat larangan khusus mengenainya dalam Islam kerana ia sekadar lukisan atau ukiran untuk hiburan kanak-kanak bukan bermaksud untuk disembah. Menurut Imam al-Syawkani, anak-anak kecil boleh bermain dengan boneka (patung). Tetapi Imam Malik melarang lelaki membelikan boneka kepada anak perempuannya Qadi Iyad pula membolehkan anak-anak kecil perempuan bermain-main dengan boneka kerana ada kelonggaran (rukhsah). Jika lukisan seni berbentuk sesuatu yang disembah melainkan Allah seperti gambar Nabi Isa (a.s.) atau al-Masih bagi orang-orang Kristian atau lembu bagi orang-orang Hindu dan sebagainya, maka pelukisnya tidak lepas daripada azab Allah. Orang yang melukis sesuatu yang tidak dapat disembah tetapi dengan niat untuk menandingi ciptaan Allah, pelukis itu bukan saja terkena ancaman sebagai orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat malah dia juga terkeluar dari agama Islam.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 19

Filem Islam ialah filem yang menemukan kefahaman-kefahaman Islam dengan Allah, alam semesta, kehidupan dan manusia sebagai pertemuan yang menyeluruh dan sebahagiannya yang hanya terhad kepada sifat-sifat keIslamannya. Mengenai panggung wayang, Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi menjelaskan bahawa kadarnya harus munasabah dengan masyarakat yang menggalakkan keprihatinan bukan masyarakat yang lalai dan leka. Panggung wayang janganlah menjadi tempat mengobarkan syahwat, merosak komitmen terhadap nilai-nilai unggul, menghakis akhlak belia atau meracuni akal mereka dengan idea-idea asing yang bertentangan dengan aqidah dan pegangan ummah. Waktu-waktu tayangan hendaklah tidak bercanggah dengan waktu sembahyang. Panggung wayang tidak boleh menjadi tempat atau sarang untuk muda mudi memadu kasih secara haram serta berleluasa menginjak batasan syarak. Janganlah panggung menjadi institusi yang membolot harta rakyat kerana dimonopoli oleh sesetengah pihak dan mereka menjual tiket-tiket dengan harga yang mahal tanpa ada pengawasan daripada pihak bertanggungjawab. Khat merupakan seni yang mengandungi keindahan estetika dan merupakan kesenian yang paling asas di dalam Islam kerana ia merupakan wadah kepada pengaliran ilmu. Kaligrafi atau seni khat berasal daripada perkataan latin iaitu kalios yang bererti indah manakala graph bermaksud garisan atau tulisan. Ahli dalam seni khat dipanggil Khattat. Seni khat bermula serentak dengan turunnya wahyu Ilahi kepada Rasulullah kerana pada zaman jahiliah, orang-orang Arab berpegang kepada tradisi lisan untuk menyimpan maklumat dan komunikasi mereka. Ahli-ahli kaligrafi sangat dimuliakan. Mereka diberi hadiah dan kedudukan yang istimewa oleh para raja dan orang-orang besar di seluruh dunia Islam. Karya-karya mereka memaparkan kewibawaan luar biasa para seniman silam malah menjadi sumbangan yang hidup kepada tamadun Islam yang melahirkan mereka.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 20

Seni bina Islam telah berkembang seiring dengan seni ukir dan seni khat Islam. Seni bina Islam mempunyai ciri-cirinya tersendiri dan bersifat unik iaitu mengandungi seni khat, bentuk arabesque, corak geometrid dan motif seni reka. Wujud pengaruh yang kuat daripada ayat-ayat al-Quran, hadith dan syair-syair bahasa Arab. Selepas kewafatan Rasulullah, seni bina terus berkembang terutama di zaman Khulafa al-Rasyidin khususnya melalui pembinaan masjid yang dihias dengan tulisan khat. Pada zaman Bani Umayyah, istana-istana khalifah turut diukir dengan seni ukir yang unik. Buktinya, istana Amarah yang terletak di timur Laut Mati dan di Masjid al-Haram tersergam indah dengan seni bina Islam dan ukiran yang bercirikan Islam. Pada zaman kerajaan Islam di Sepanyol (Andalusia), unsur-unsur seni bina Islam amat terserlah pada bangunan dan istana seperti yang terdapat pada Istana Alhambra dan Masjid Cordova. Pada zaman kerajaan Islam Abbasiyyah, seni bina Islam mencapai zaman keemasan kerana ciri-ciri seni bina Islam mampu bersepadu dengan seni bina Parsi yang tidak mempunyai unsur-unsur seni yang bertentangan dengan Islam. Kerajaan Dawlah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki turut mencatatkan kehebatan di dalam perkembangan seni bina Islam. Buktinya, pembinaan Masjid Mihrimah, Sehzade, Suleymaniye dan Selimiye. Seni bina ini terhasil dengan kepakaran para arkitek Islam seperti Sinanuddin Yusuf b. Abdullah, Khayruddi dan Ahmad Pasha.

2.4.3 Pendidikan Melalui Seni Pakaian Pakaian merupakan kebudayaan manusia yang dibenarkan bahkan dituntut oleh agama Islam agar manusia kelihatan sopan dan cantik : berbeza dengan haiwan yang tidak berakal. Dalam Islam, seni pakaian dari sudut estatikanya diserahkan kepada kebijaksanaan umat Islam sendiri menggubahnya untuk disesuaikan dengan adat, tradisi dan keadaan setempat. Islam amat menitikberatkan soal kebersihan kerana melihatnya sebagai asas bagi

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 21

setiap perhiasan yang baik dan pemandangan yang elok dalam pakaian. Pakaian yang diperbuat daripada bulu kambing, sutera, kulit binatang yang halal, pakaian dari benang guni dan sebagainya adalah dihalalkan. Begitu juga dengan seni memperagakan pakaian. Ia dihalalkan selagi tidak melanggar batas-batas hukum Islam. Pakaian berfungsi sebagai usaha menutup aurat dan untuk menghias diri. Oleh itu, sesuatu pakaian yang tidak dapat menutupi aurat meskipun dapat dijadikan perhiasan diri seperti kain yang jarang adalah dianggap tidak menurut hukum Islam. Pakaian yang dapat memelihara diri dari panas dan kesejukan serta dapat mempertahankan diri dalam peperangan juga dihalalkan dalam Islam. Selain itu, terdapat hadith yang menganjurkan agar kita berpakaian menutup aurat pada setiap masa. Lebih-lebih lagi sewaktu solat dan mengerjakan haji agar dapat dibezakan atau dibanteras amalan orang-orang Arab jahiliah masa lampau. Ini kerana, semasa ingin beribadat mereka membuka seluruh pakaian mereka. Apa sahaja perhiasan yang didapati dari perut laut seperti mutiara, batu-batu berharga dan lain-lain boleh dijadikan pakaian dan perhiasan manusia terutamanya kaum wanita. Dalam hal warna pakaian pula, tidaklah terlalu dititikberatkan oleh Islam. Namun begitu, adalah lebih baik jika berwarna putih. Pakaian yang diperbuat dari sutera dan perhiasan emas dihalalkan bagi kaum wanita memakainya tetapi diharamkan bagi kaum lelaki. Haram bagi kaum lelaki untuk memakai atau mengguna apa saja yang diperbuat daripada emas seperti gelang, rantai, bekas rokok, gigi emas dan sebagainya. Tetapi tidak diharamkan mereka memakai atau mengguna apa sahaja yang diperbuat daripada perak, logam, besi dan sebagainya.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 22

2.4.4 Pendidikan Melalui Seni Sastera Sastera ertinya bahasa, seni sastera ialah seni bahasa. Susastera bermaksud bahasa yang indah. Kesusasteraan pula bermaksud sejumlah tulisan yang menggunakan bahasa yang indah bagi melahirkan perasaan yang indah. Sastera adalah salah satu cabang seni manakala seni itu adalah suatu yang indah yang dapat dihubungkaitkan dengan keindahan mutlak Allah itu sendiri. Kesusasteraan ialah satu bentuk tulisan yang dicipta oleh manusia dengan bantuan bahasa dengan tujuan menikmati penerokaannya ke dalam pengalaman-pengalaman semasa hidup. Bentuk utama sastera ialah sifat pengisahan yang terdapat di dalam pernyataannya. Ahli karya sastera peka bertindak balas ke atas fakta-fakta penghidupan dan mempersembahkan kepada pembaca hasil kesedaran instuitif. Pada umumnya, segala karangan atau karya tulisan yang menggunakan bahasa yang indah dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Prosa Nathr dan Puisi Syir. Prosa Nathr ialah karangan bebas yang tidak terikat dengan sebarang peraturan. Manakala Puisi Syirkarangan atau gubahan perkataan yang terikat dengan peraturan tertentu seperti sajak, pantun, tamthil, ibarat dan sebagainya. Terdapat pengecualian bagi penyair yang rongganya penuh dengan syair-syair memuji Allah atau RasulNya, demikian juga syair-syair yang memuatkan zikrullah dan ajaran-ajaran agama, maka ianya tidaklah dilarang dan tidak dicela sebegitu keras. Para sasterawan tidak dilarang sama sekali malah digalakkan agar mereka menghasilkan karya yang mengandungi nasihat agama, semangat perjuangan untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat. Karya-karya mereka pada zaman dahulu penuh dengan ilmu pengetahuan, menganjurkan kerjasama, persahabatan dan perpaduan ummah serta mengandungi

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 23

puji-pujian terhadap Allah, selawat ke atas nabi, pujian ke atas para sahabat pilihan, para malaikat, kitab-kitab suci dan lain-lain. Syair dan usaha syair juga tidak dilarang jika ianya digarap untuk tujuan meningkatkan semangat jihad, memperbaharui tekad, menghibur juga menghilangkan penat lelah berkerja, menyeru melaksanakan amar maruf nahi mungkar, menyebut syurga neraka, menyelar perbuatan zina, minum arak atau mengambil dadah, menimbulkan keraguan terhadap berhala dan penyembahannya. Bahkan Rasulullah sendiri mengucapkan syair sewaktu menggali parit dalam peristiwa perang Ahzab. Menggarap syair yang baik dan mendengarnya adalah digalakkan dalam Islam. Dalam Islam, menggunakan keupayaan kreatif samada melalui prosa atau puisi amat digalakkan terutama untuk menentang musuh dan membela Islam, bahkan ia dianggap suatu jihad. Termasuk dalam kategori ini juga ialah syair-syair yang memuatkan pujian kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) seperti berzanji, contohnya seperti gubahan al-Bushayri yang diberi nama al-Burdah. Antara isinya adalah seperti berikut : Dia kekasih Pembawa Syafaat diharapkan dapat menghapuskan segala bahaya mendatang. Dia menyeru ke jalan Allah, barangsiapa yang mengikutnya bererti ia berpegang kepada tali yang teguh. Baginda mengatasi para Anbiya dalam kejadian dan akhlaknya. Ilmu dan kemurahan Baginda tiada bandingannya. Semangkuk laut setitik hujan para Rasul memerlukannya. Jika syair-syair yang memuji para Nabi dan Rasul, maka ia digalakkan dalam Islam, seterusnya karaya seperni ini dapat meningkatkan lagi rasa cinta dan kasih kepada para Nabi dan Rasul. Apatah lagi syair-syair yang memuji Allah S.W.T seperti yang digarap oleh penyair-penyair agung dunia di kalangan pujangga-pujangga sufi dan sebagainya. Contohnya, munajat Ibn al-Farid, seorang penyair sufi Mesir yang masyhur: Kala malam Ku lihat api di desa Ku gembirakan keluargaku Tunggulah? Agarku dapat hidayat Semoga. Ku hampiri

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 24

api Itulah api al-Mukallam Sebelumku. Hingga pabila waktu hampir sedikit-sedikit menghimpun sekujur tubuhku. Runtuhlah gunungku dari kebesaran al-Mutajalli. Muncul rahsia sembunyi Bisa diketahui Siapa seperti diri ini. Akulah faqir kesibukan Simpatilah keadaan Kelemahan ini!

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 25

KESIMPULAN Secara konklusinya, kesenian Islam adalah bertunjangkan tawhid, iaitu Keesaaan Tuhan yang bertolak dari pengajaran al-Quran dan as-Sunnah. Seni Islam boleh mendidik jiwa penganutnya melalui pelbagai bentuk pendidikan yang tersurat dan tersirat di dalam seni suara Islam, seni rupa Islam, seni pakaian Islam dan seni sastera Islam. Bacaan al-Quran yang liturgis telah menciptakan suatu cabang muzik baru. Pemeliharaan naskahnya telah melahirkan tulisan atau khat Arab yang indah. Pembinaan masjid-masjid sebagai tempat ibadah kaum Muslimin pula telah mengembangkan seni bina dan seni hias. Di dalam menjaga keseimbangan antara keperluan jasad dan jiwa, Islam telah menganjurkan sikap sederhana dalam semua perkara dan membawa kepada bakat-bakat alami di dalam jurusan-jurusan yang benar dan telah mencuba untuk mengembangkan nilai-nilai akidah yang harmonis dalam diri manusia. Dalam sabda-sabda Nabi, terdapat teks-teks yang menegaskan keprihatinan Islam terhadap pelbagai aspek seni. Misalnya, sabda Baginda Allah itu indah dan sukakan keindahan dan Keindahan itu disuruh di dalam segala sesuatu, biarpun engkau membunuh seseorang, maka bunuhlah dia dengan suatu cara yang baik. Di dalam kehidupan Nabi, kita dapati peristiwa berikut yang bersifat instruktif, di mana baginda pada suatu hari telah melihat sebahagian dari pusara yang tidak diratakan sepenuhnya. Baginda telah memerintahkan kekurangan itu ditimbun sampai rata, sambil menambah bahawa ia tidak akan menjejaskan orang yang mati tetapi ia lebih menyenangkan mata orang yang hidup. Sementara itu, mimbar di dalam masjid yang digunakan oleh Rasulullah telah dihiasi dengan dua bola seperti buah delima dan dua orang cucu baginda amat suka bermain-main dengannya. Ini dapat dikatakan sebagai permulaan seni ukir dalam Islam. Kemudian naskah-naskah al-Quran telah dihiasi dengan pelbagai corak warna. Apabila al-Quran diberi perhatian supaya lebih cantik dan dapat disimpan lebih lama maka lahirlah

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 26

pula seni hias dan seni menjilid buku. Kaligrafi atau tulisan khat sebagai suatu kesenian adalah suatu keistimewaan orang Islam. Ia merupakan kesenian yang mendapat kehormatan yang tertinggi, khasnya tulisan Arab untuk menulis segala firman Allah dan sabda Rasulnya. Dengan kepelbagaian jenisnya, khat Arab telah dipergunakan dengan begitu meluas di dalam dunia Islam. Berhubung dengan muzik dan nyanyian di bawah naungan Raja-raja atau Khalifah-khalifah Islam pula, maka ia telah sampai ke kemuncak perkembangannya yang gemilang. Sarjana-sarjana Islam yang terkenal seperti al-Farabi, Ibn Sina dan lain-lain telah meninggalakan bukan sahaja karya-karya monumental tetapi juga telah membuat penambahan dan peningkatan yang berharga terhadap muzik-muzik Greek dan India. Mereka telah mencipta kod-kod muzik di samping dapat menentukan jenis-jenis alat muzik yang berbeza. Ringkasnya, dalam lapangan kesenian orang Muslimin telah memberi sumbangan yang berharga sekali. Mereka mengikis sifat-sifatnya yang merugikan, mengembangkan aspek-aspek estetiknya dan menemukan sesuatu yang baru dan berfaedah untuk dunia. Seterusnya telah terbukti kepada masyarakat dunia bahawa seni Islam mampu mendidik jiwa menjadi insan yang cemerlang dari sudut akidah, akhlak dan etika Islamiyah melalui setiap bentuk pendidikan yang didisiplinkan atau tersurat serta tersirat dalam seni suara, seni rupa, seni pakaian dan seni sastera yang dibenarkan dalam Islam.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 27

BIBILIOGRAFI Abdullah Yusof (1999), Kegiatan Seni dan Hiburan Dalam Islam Serta Hukumnya, Dalam Seni dan Hiburan Dalam Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Penerbit KAGAT dan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, h. 1.

A. Hasjmy (1970). Bagaimana Islam Memandang Kesenian, Bandar Aceh : Majlis Ulama Aceh, h. 13. Drs. Sidi Gazalba (1977). Pandangan Islam Tentang Kesenian, Kuala Lumpur : Pustaka Antara. Engku Ibrahim Ismail, et. al., (1992), Konsep Seni Dalam Islam, Petaling Jaya : Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, h. 13.

Ensiklopedia Sejarah Islam (1986). Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mahayudin Hj. Yahaya (2001). Tamadun Islam, Selangor Darul Ehsan : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Mohd. Kamal Hassan (1979). Konsep Keindahan Dalam Islam Dan Hubungannya Dengan Seni dan Sastera :Satu Pandangan Umum, Islamiyat Jilid : 3/81, Bangi : Fakulti Pengajian Islam, UKM, h.39. Mustafa Haji Daud (1991). Tamadun Islam, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors. Sdn. Bhd.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 28

Mohd Johari Ab. Hamid (2001). Seni Dan Kritikan, Jurnal Akademik FASSA, Tanjong Malim, Perak : Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kamus Dewan, Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Mohd. Yatim (1989). Warisan Kesenian Dalam Tamadun Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

SADN 1013 : TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA | 29