Anda di halaman 1dari 2

Warkah Kasih Buatmu

Murid-murid yang dikasihi, Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tidak ada jalan mudah dan tidak ada laluan pintas untuk kita mendaki puncak kecemerlangan. Bagi mencapai kejayaan kita perlu berusaha, berusaha dan terus gigih berusaha. Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu.Tidak ada satu bangsa di dunia ini yang mencapai kemajuan dengan hanya bermodalkan kata-kata, sebaliknya bangsa yang maju adalah mereka yang gigih berusaha! Manusia boleh mengubah hidup , hanya dengan mengubah sikap. Murid-murid semuanya boleh berjaya, hanya dengan mengubah sikap ke arah yang positif. Teruskan kegigihan dan ikutlah segala panduan yang telah disemai oleh guru-guru. Yakinlah kepada kemampuan diri sendiri segalanya begitu mudah. Cikgu telah mengorbankan waktu rehat pada malam hari buat beberapa minggu semata-mata untuk menjayakan projek kelas malam dan kelas bimbingan selepas persekolahan. Niat cikgu cukup ikhlas, yakni menyediakan murid-murid untuk menghadapi peperiksaan. Seandainya dengan bantuan sebegini kamu masih tidak mahu belajar berjumpalah dengan doktor pakar untuk mendapatkan vitamin yang sesuai untuk mengaktifkan sel dalam otak kamu. Makanlah lebih banyak makanan yang berupaya menjana pemikiran cemerlang seperti limau, kismis,kurma ,badam dan madu. Murid-murid yang dikasihi, Kamu semua merupakan putera-puteri harapan keluarga,bangsa ,agama dan negara. Harapan ayah bonda mengapa kau sia-siakan? Teguran guru-guru mengapa kau persendakan? Maruah bangsamu mengapa kau calarkan? Keluhuran agamamu mengapa kau cemarkan? Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Hargailah pengorbanan ibu bapa kamu semua yang telah berbelanja ribuan ringgit,mengalirkan keringat dan menitiskan air mata kasih demi membesarkan dan mendidik kamu semua.Tiada keluarga yang yang inginkan keluarganya menjadi sampah masyarakat.Tiada guru yang inginkan anak-anak didiknya kecundang dalam pelajaran. Segala-galanya telah tersedia .Tepuk dada,bukalah minda. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Murid-murid luangkanlah waktu untuk hadir ke sekolah kerana selepas ini cikgu akan tetap meneruskan sesi ulangkaji dan latih-tubi. Murid-murid yang cikgu kasihi, Doakanlah semuga cikgu dipanjangkan umur dan kita akan bersua kembali akhir tahun ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.Sudikah kamu untuk

berjumpa cikgu semula agar kita dapat mengimbas kembali kenangan pahit manis yang telah kita tempuhi bersama. Murid-murid yang dikasihi. Sudah terlalu padat rasanya warkah kasih yang sedang cikgu bacakan ini. Namun, selautan kasih cikgu tidak mungkin dapat cikgu lafazkan menerusi katakata. Cikgu amat gembira membimbing kamu semua. Perjuangan paling manis ialah perjuangan di medan ilmu.Justeru akhirilah perjuangan kalian di sekolah ini dengan semanis-manis kejayaan. Ingatlah , kasih ibu tiada sempadan, kasih guru sepanjang zaman. Selautan kasih segunung harapan usahlah lagi kau sia-siakan. Teruskanlah kegigihan, teruskanlah perjuangan meredah cabaran demi menjejaki istana kejayaan.

Salam sayang. CIKGU Sayang