Anda di halaman 1dari 5

ANALISIS SITUASI DAN MODEL YANG SESUAI UNTUK MENANGANI SALAH LAKU DALAM BILIK DARJAH Terdapat tiga

orang pelajar lelaki dan dua orang pelajar perempuan dalam sebuah kelas Tahun 6 Bunga Raya yang mempunyai tingkah laku berikut: Tingkah laku pelajar lelaki Bergaduh Buli Tidak menyiapkan kerja rumah Mencuri Tingkah laku pelajar perempuan Tidur dalam kelas Bercakap-cakap semasa guru mengajar Makan Menconteng

Setelah meneliti masalah tingkah laku murid 6 Bunga Raya di atas, masalah tingkah laku tersebut boleh ditangani melalui dua model yang saya rasa sesuai, iaitu Model Akibat Logikal Dreikurs dan Model Kelompok Kounin. Bagi masalah tingkah laku seperti bergaduh, tidak menyiapkan kerja rumah, mencuri, tidur dalam kelas dan menconteng, model yang sesuai digunakan ialah Model Akibat Logikal Dreikurs. Manakala tingkah laku seperti buli, bercakap semasa guru mengajar dan makan akan ditangani menggunakan Model Kelompok Kounin. Masalah Tingkah Laku Yang Sesuai Ditangani Menggunakan Model Akibat Logikal Dreikurs Bagi masalah tingkah laku bergaduh dan mencuri bagi murid lelaki dan menconteng bagi murid perempuan, murid tersebut mempunyai motif membalas dendam seperti yang dinyatakan oleh Dreikurs. Masalah tingkah laku ini mungkin berpunca daripada perasaan dendam atau tidak puas hati murid terhadap guru dan dilepaskan kepada murid lain. Matlamat murid yang berdendam ini bercampur dengan emosi yang terpendam sekian lama. Guru mestilah sedar dan perihatin terhadap tindakan sesetangah murid yang cuba membangkitkan kemarahan guru dan pihak sekolah adalah disebabkan mereka berasa tertekan dan disakiti. Dalam hal ini, guru harus merangka strategi dan mengambil pendekatan yang bijak dalam percubaan mengawal dan memahami emosi murid tersebut. Guru perlu mengenal pasti punca kepada masalah tingkah laku. Guru tidak boleh terus menghukum, tetapi perlu mencari punca dan faktor salah laku murid agar dapat memberikan bimbingan dan hukuman yang sesuai jika perlu. Tambahan pula, guru hendaklah membimbing murid untuk

memahami peraturan bilik darjah di samping kesan dan akibat melanggar peraturan yang dikuatkuasakan. Seterusnya, masalah tidak menyiapkan kerja rumah merupakan antara tindakan murid yang mengundang kemarahan guru. Salah laku ini sering berpunca daripada murid-murid yang ingin mendapatkan perhatian guru. Untuk menangani masalah ini, penting bagi guru untuk menganalisa terlebih dahulu dan mencari punca kepada salah laku tersebut. Sekiranya tindakan yang salah dikenakan kepada salah laku tersebut, mungkin salah laku tersebut akan menjadi lebih teruk. Guru tidak boleh terus memarahi murid tersebut sebagai hukuman kerana murid tersebut akan berasa dimalukan di hadapan rakan sekelas yang lain dan masalah itu akan diulanginya lagi. Guru perlu memikirkan cara yang boleh mendatangkan kesan yang positif. Misalnya, guru memberikan pujian apabila murid tersebut berjaya menyiapkan kerjakerja dengan baik, sekaligus memberikan perhatian kepadanya. Hal ini akan membuatkan murid tersebut berfikir sama ada mahu menyiapkan kerja yang diberikan dan mendapat perhatian guru atau sebaliknya. Cara guru menangani salah laku mengikut Dreikurs bagi masalah murid tidur dalam kelas pula adalah dengan dengan menarik perhatian mereka dalam aktiviti bilik darjah secara perlahan. Beri peluang mereka menunjukkan keupayaan dan idea mereka dan hargai usaha mereka. Jangan membandingkan mereka dengan murid lain. Hal ini kerana mereka berkelakuan seperti itu adalah bermotifkan untuk menunjukkan kekurangan diri mereka sekaligus menginginkan perhatian guru serta murid lain juga. Keadaan ini sering kali terjadi dalam keadaan kelas yang muridnya mempunyai perbezaan pencapaian yang jauh dan perhatian guru tertumpu kepada murid yang pandai. Dalam hal ini, guru perlu pandai mengenal pasti minat mereka tanpa menyisihkan murid-murid lain dalam kelas. Selain itu, guru juga boleh bertanya terus kepada murid sebab perlakuannya, sama ada murid itu ada masalah lain di rumah, atau sememangnya inginkan perhatian dari guru. Masalah Tingkah Laku Yang Sesuai Ditangani Menggunakan Model Kelompok Kounin Antara masalah yang sesuai ditangani dengan menggunakan model ini makan, buli dan bercakap semasa guru mengajar. Masalah salah laku seperti makan dalam kelas tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Hal ini kerana perbuatan tersebut mengganggu konsentrasi murid lain dan menarik tumpuan murid lain kepada perbuatan makan tersebut seterusnya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Bagi menangani situasi ini, guru perlu memberikan teguran atau tindakan yang berkesan yang akan turut sama memberi kesan kepada

murid lain, iaitu Kesan Gelombang (Ripple Effect). Arahan atau teguran yang diberikan mestilah jelas, tegas dan serius supaya kesan gelombang itu berjalan secara efektif. Contoh arahan, Ani, berhenti makan sekarang dan buat latihan A muka surat 217. Jika masalah salah laku seperti buli pula berlaku, guru mestilah berusaha mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku dan murid yang memulakannya. Hal ini penting supaya guru dapat memberikan perhatian lebih kepada murid tersebut dan dalam masa yang sama mengawasi semua perkara yang berlaku dalam bilik darjahnya pada setiap masa (withitness). Hal ini adalah untuk memastikan masalah salah laku dalam bilik darjah tersebut tidak menjadi salah laku displin yang lebih teruk. Sebagai contoh, dalam gerak kerja kumpulan, guru sedang memberikan penerangan kepada kumpulan Amin, murid yang membuli murid lain. Dan dalam masa yang sama, guru tersebut memberikan tugasan lain pula kepada kumpulan lain seperti menyalin semua beberapa perenggan petikan ke dalam buku tulis. Keadaan ini akan memastikan semua murid mempunyai tugasan dan aktiviti. Ataupun, guru boleh melibatkan Amin secara aktif dalam aktiviti kelas yang pelbagai tanpa meminggirkan murid lain. Bercakap dengan rakan semasa guru sedang mengajar merupakan perkara lazim yang sering dilakukan oleh murid masa kini. Hal ini disebabkan tumpuan dan minat mereka sudah hilang terhadap pembelajaran. Bagi menanganinya, guru mestilah menggunakan teknik dan kaedah yang menarik, dengan menyediakan aktiviti seperti permainan yang melibatkan keseluruhan kelas. Teknik pertindanan (overlapping) juga sesuai digunakan oleh guru bagi menangani masalah ini. Tanggungjawab guru untuk mengawal keseluruhan murid dalam satu bilik darjah akan menjadi mudah jika guru menggunakan teknik ini. Sebagai contoh, guru memberikan arahan 2 dalam 1, seperti Siti, baca petikan di muka surat 68. Amni, perhatikan bacaan Siti dan sambung bacaan di tempat yang Siti akan berhenti. Dengan ini, tumpuan Amni akan terarah ke petikan tersebut dan akan berhenti bercakap dengan rakan yang lain. Hal yang sama turut akan berlaku kepada rakan yang lain juga. Kesimpulannya, pemilihan model yang sesuai adalah perlu kepada situasi dan motif salah laku, tanpa guru bertindak dengan melulu menjatuhkan hukuman kepada murid tanpa usul periksa.

REFLEKSI: Alhamdulillah, selesai sudah tugasan yang diamanahkan ke atas bahu hamba Allah ini. Bersyukur sangat mendapat tugasan ini, kerana daripadanya saya dapat mempelajari banyak perkara berkaitan pengeurusan disiplin dalam bilik darjah, yang mana pastinya berlaku di setiap sekolah. Namun, tugasan ini banyak menjurus kepada dua model yang dipertanggungjawabkan, iaitu Model Akibat Logikal Dreikurs dan Model Pengurusan Kelompok Kounin. Ditambah lagi, untuk soalan ketiga, saya merasakan dua model ini paling sesuai bagi menangani masalah disiplin bilik darjah yang dinyatakan. Jadi, tumpuan saya lebih ke arah dua model ini. Bila mana berada dalam bilik darjah, banyak masalah salah laku yang akan dihadapi oleh guru, sama ada yang dijangka ataupun yang tidak dijangka oleh guru itu sendiri. Justeru, guru perlu pandai dan bijak bermain peranan dan langkah dalam menanganinya. Daripada lima model disiplin yang dipelajari, guru perlu bijak menggunakannya atau menggabungkan beberapa model bagi memberikan kesan yang efektif kepada murid. Rupanya, salah laku murid adalah berpunca daripada banyak faktor. Oleh itu, guru tidak boleh bertindak melulu menjatuhkan hukuman, tetapi mestilah menganal pasti motif salah laku tersebut agar tindakan yang akan dikenakan bersesuaian dan tidak memberikan kesan negatif kepada murid. Murid yang menerima tindakan guru sebagai negatif, bukan sahaja akan mengulangi salah laku bahkan akan menyimpan rasa tidak puas hati terhadap guru serta meluahkannya dalam perbuatan yang tidak sepatutnya. Selain itu, sebagai bakal guru, saya perlu memberi dan membuka peluang kepada murid untuk menyatakan masalah yang dihadapi dan memberi pilihan untuknya bertindak. Sebelum itu, saya perlu menyatakan apa tindakan yang sesuai dan akibat dan kesan dari setiap tindakan yang akan diambil. Memperaktikkan model Dreikurs, dengan mewujudkan bilik darjah yang mengamalkan demokrasi akan mengurangkan salah laku. Dalam membuat peraturan bilik darjah, insyaALLAH saya sebagai bakal guru akan berbincang dengan murid-murid mengenai penguatkuasaan peraturan bilik darjah, agar murid faham dan mengerti sebab peraturan tersebut dijalankan dan mengambil peringatan akan akibat yang akan dihadapi sekiranya peraturan tersebut tidak dijalankan di dalam kelas. Pada perhatian saya, dendaan tidak sepatutnya digunakan oleh guru kepada murid yang melakukan salah laku selain mengelakkan memberikan pujian kepada murid

berpencapaian baik. Hal ini kerana peneguhan berupa ini tidak mendatangkan tindak balas ataupun tindakan yang berterusan daripada murid. Sekali guru menghentikan peneguhan tersebut, maka murid akan berhenti daripada melakukan tindak balas atau perbuatan yang diinginkan oleh guru. Oleh itu, sebagai guru, ianya adalah tindakan yang tidak mendatangkan hasil dan kesan yang berpanjangan kepada murid. Di samping itu, saya juga melihat bahawa guru perlu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mempunyai momentum yang berterusan demi mengelakkan murid daripada hilang tumpuan dan minat terhadap isi pembelajaran. Justeru, sebagai bakal guru saya perlu mengediakan rancangan pengajaran yang menarik, mempunyai pelbagai aktiviti dan berpusatkan murid. Saya perlu lebih mendalami kaedah dan teknik yang sesuai untuk digunakan mengikut tajuk yang akan diajar demi memastikan kelancaran p&p. Antara lain, saya juga perlu, saya juga perlu mengkaji cara untuk menguruskan bilik darjah dan mentadbir bilik darjah. Perkara ini adalah sukar kerana ianya melibatkan perancangan aktiviti yang boleh memotivasikan murid, aktiviti yang mencabar murid, dan setiap peraturan atau aktiviti yang dibuat mesti dirangka berdasarkan kemampuan murid dalam bilik darjah tersebut. Tambahan pula, saya perlu belajar cara memberi arahan yang jelas dan ringkas kepada murid agar murid mudah faham dengan arahan yang diberikan. Akhir sekali, sepanjang proses menyiapkan tugasan ini, saya sedar banyak lagi yang perlu saya pelajari untuk menjadi seorang guru yang berkualiti, iaitu pandai menguruskan bilik darjah, memotivasikan pelajar, mengawal disiplin murid dalam bilik darjah, mengawal perasaan ketika berhadapan dengan murid bermasalah dan penyediaan rancangan pengajaran yang baik supaya murid lebih fokus terhadap pembelajaran dan mengurangkan salah laku dalam bilik darjah. Wallahualam.