Anda di halaman 1dari 1

Selepas menuruni bukit, kami meneruskan perjalanan menyusuri pantai sehingga sampai ke kawasan mata air tawar.

Di sinilah kami semua berasa kagum dan mensyukuri kebesaran Ilahi kerana wujudnya lopak air tawar di sekeliling air masin. Masing-masing tidak ketinggalan untuk merasa sendiri air keajaiban alam ini. Kami juga mengumpul 7 helai daun herba bagi setiap kumpulan yang boleh dijadikan ubatan seperti yang diminta oleh Ustaz Hishamuddin untuk kegunaan dalam aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Perjalanan pulang kami sekali lagi menguji ketahanan mental dan fizikal di mana kami terpaksa mendaki bukit yang lebih mencabar kerana laluannya licin dan curam di samping laluannya berakar dan penuh semak-samun. Ramai peserta perempuan menitiskan airmata. Kami sentiasa bantu-membantu agar semua rakan dapat meneruskan perjalanan. Saya sendiri menjadi salah seorang peserta yang terakhir kerana menemani dan memapah seorang rakan iaitu Arbayah yang hilang semangat akibat keletihan teramat. Saya terus-terusan memberikan kata-kata semangat bagi membantu beliau. Pada sebelah malam, aktiviti masih diteruskan. Selepas makan malam dengan penuh berselera sekali, kami bersolat berjemaah dengan diimamkan oleh Ustaz Ilham Rushdi. Sesi tazkirah dilakukan bersama En Mohd Tahir dan beberapa jurulatih lain. Aktiviti terakhir pada hari pertama ialah aktiviti LDK bersama Ustaz Hishamuddin. Kami diminta membuat imbasan aktiviti yang berlangsung sepanjang hari, di samping merenung kelebihan dan kelemahan diri. Kemudian, kami tidur di dalam khemah dengan rasa selamat kerana ada rakan-rakan yang mengawasi keselamatan kami menjadi sentri. Walau bagaimanapun, secara jujur, saya langsung tidak dapat melelapkan mata. Mungkin akibat terlalu letih ditambah lagi dengan suasana di tempat baru serta tidur beralaskan plastik khemah yang hanya menjadi pengalaman hampir 20 tahun yang silam.