Anda di halaman 1dari 4

Nabi Sulaiman dan Keistimewaannya Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu `alaikum W.B.T. Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.

Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guruguru, rakan-rakan, hadirin dan hadirat, muslimin dan muslimat yang diRahmati Allah S.W.T. sekalian. Pada hari ini, saya ingin menyampaikan sebuah kisah yang bertajuk Nabi Sulaiman dan keistimewaannya. Nabi Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan daripada Allah S.W.T., sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia boleh berbicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Di dalam al-Quran, dalam surah an-Naml ayat 16 adalah contoh daripada sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini. Yang maksudnya : Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata. Kawan-kawan nak tahu? Nabi Sulaiman itu tenteranya daripada golongan jin, manusia dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib dalam sebuah barisan sehingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka itu tidak menyedari. Maka Nabi Sulaiman pun tersenyum dan tertawa kerana mendengar perkataan si semut itu. Kata Nabi Sulaiman, sebagaimana di dalam surah an-Naml ayat 19 yang maksudnya : Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan dia berdoa : "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat- Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh. Kisah semut ini disebutkan sebagai contoh tauladan bagi umat manusia supaya mereka memahami keadaan makhluk-makhluk, dan bagaimana semut itu bersatu-padu untuk menyelamatkan diri daripada kebinasaan, demikian juga mereka bersatu-padu untuk mencari kebaikan bersama. Sesungguhnya setiap makhluk itu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Justeru itu, kita hendaklah menghormati setiap kelemahan dan kelebihan agar kita tidak merasa bahawa diri kitalah yang paling sempurna dan hebat. Yang sempurna dan hebat itu hanya Allah S.W.T. sahaja. Justeru itu, kita tentu merasa terkilan dan sedih kerana dewasa ini kita sering melihat hutan-hutan digondolkan dengan sewenang-wenangnya, demi kemajuan dan pembangunan yang hanya bersifat sementara. Sehingga ianya telah mengorbankan dan mengganggu gugat kesejahteraan habitat di hutan.

Pihak pemaju langsung tidak memikirkan tentang adanya flora dan fauna yang amat berharga kepada sumber ekosistem. Akibatnya ekosistem menjadi tidak stabil dan berlakulah banyak bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya lagi. Kawan-kawan nak tahu lagi tentang Nabi Sulaiman? Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut, Wahai semut! Berapa banyakkah engkau memperoleh rezeki daripada Allah S.W.T. dalam waktu satu tahun? Sebesar biji gandum, jawab si semut. Kemudian, Nabi Sulaiman pun memberi si semut itu sebiji gandum lalu memeliharanya di dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Nabi Sulaiman membuka botol tersebut untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian daripada biji gandum itu. Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya? tanya Nabi Sulaiman. Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah S.W.T., jawab si semut. Dengan tawakal kepadaNya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian daripada biji gandum itu sebagai bekal untuk tahun berikutnya. Lihatlah kawan-kawan. Semut yang kecil pun pandai untuk mengamalkan sifat berjimat-cermat, kerana sesungguhnya berjimat-cermat itu merupakan suatu amalan yang mulia. Hidup kita ini umpama roda. Kadang-kadang hidup kita sentiasa di dalam kesenangan, namun ada ketikanya Allah S.W.T. menguji kita untuk merasai kesusahan. Dengan mengamalkan sifat berjimat-cermat, ia akan melatih diri kita untuk sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi saat-saat kesusahan, dan sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah S.W.T. Kata orang, Beringat sebelum kena. Namun, apa yang dapat kita lihat, masyarakat pada hari ini kurang menitik-beratkan tentang amalan berjimat-cermat. Lihat sahajalah ketika kita mengunjungi bazaar Ramadan ataupun membeli-belah di pasaraya. Kebanyakannya lebih suka membeli tanpa membuat sebarang perancangan. Akhirnya, berlaku pembaziran. Kan pembaziran itu amalan syaitan. Mereka lebih suka mengikut hawa nafsu daripada kata hati berpandu akal yang sentiasa mengingatkan agar sentiasa berpada-pada di dalam membuat perbelanjaan. Sesungguhnya manusia tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi manusia sentiasa gagal untuk merancang. Kawan-kawan nak tahu? Betapa besarnya kerajaan Nabi Sulaiman sehinggakan angin menjadi kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai utusannya. Semua yang Nabi Sulaiman perolehi ini, adalah satu kurniaan daripada Allah S.W.T. atas doa yang dipohon olehnya sendiri. Namun, ini bukan bermakna Nabi Sulaiman seorang yang gilakan kuasa dan cintakan dunia. Tetapi, semua ini dipinta adalah semata-mata untuk memudahkan usaha penyebaran dakwah di atas muka bumi ini dan menentang kezaliman serta kemungkaran yang dilakukan oleh umat manusia.

Hal ini menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman mempunyai sebuah kerajaan yang sangat hebat, sehingga bukan hanya manusia menjadi kekuatannya, tetapi turut ditunjangi oleh makhluk-makhluk lain. Ini membuktikan bahawa seorang pemimpin yang baik itu, adalah pemimpin yang sentiasa mendapat kerjasama daripada orang bawahannya. Kerana pemimpin dan yang dipimpin itu saling memerlukan. Pemimpin yang baik itu disukai oleh semua orang, bukan kerana kekayaan dan kehebatannya, tetapi disukai kerana keprihatinan dan kesungguhannya untuk membela nasib orang bawahan. Bukan seperti segelintir daripada masyarakat hari ini, apabila mereka memperoleh kuasa, mereka merasakan diri mereka terlalu hebat, sedangkan mereka tidak mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada orang bawahan. Ini adalah kerana, apabila mereka mendapat kuasa, mereka sudah lupa akan baiah yang telah mereka lakukan iaitu berjanji untuk menjadi pemimpin semata-mata untuk memperjuangkan nasib orang yang dipimpin. Mereka mengabaikan tanggungjawab, melakukan penyelewengan dan sebagainya lagi. Akhirnya, kepimpinan mereka akan menghadapi masalah kerana tidak lagi mendapat sokongan dan mandat daripada orang bawahan. Inilah akibatnya apabila seseorang itu mahukan kuasa hanya untuk kepentingan diri dan hawa nafsunya sahaja. Kawan-kawan! Walaupun Nabi Sulaiman itu seorang yang kaya raya dan mempunyai keistimewaan, dia tetap manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui oleh si semut. Kerana itu, dia masih tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya. Tawakal atau berpasrah diri hanyalah kepada Allah S.W.T. semata, bukan kepada manusia. Ini menjadi teladan buat kita semua, bahawa apabila kita mempunyai sesuatu masalah, Allah S.W.T.lah menjadi tempat untuk kita memohon pertolongan. Kepadanyalah kita mengadu segala masalah melalui amalan doa yang sebaik-baiknya disertai dengan ibadah solat samada yang wajib mahupun yang sunat. Sesungguhnya doa itu adalah tali yang mengikat antara manusia dengan Khaliq-Nya dan sesunggunhnya doa itu adalah kekuatan bagi setiap Muslim. Bukan seperti masyarakat pada hari ini, yang segelintir daripada mereka lebih suka meminta pertolongan kepada dukun, pawang dan sebagainya, lantaran mereka merasa bahawa dukun dan pawang itu mempunyai kelebihan dan keistimewaan berbanding manusia lain. Mereka tidak sedar yang mereka itu telah mensyirikkan Allah S.W.T. Sesungguhnya syirik itu merupakan perbuatan yang mendatangkan dosa besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah S.W.T. Dan sesungguhnya dukun dan pawang itu juga merupakan manusia biasa yang nasibnya ditentukan oleh Allah S.W.T. Kelebihan dan kehebatannya adalah atas pertolongan dan sandaran kepada makhluk yang dikutuk Allah S.W.T. iaitu syaitan dan iblis laknatulLah. Sampai di sini sahajalah dapat saya sampaikan kisah Nabi Sulaiman dan keistimewaannya. Moga akan mendapat iktibar dan pengajaran daripada kisah yang saya sampaikan ini. Sekian sahaja, terima kasih. WabilLahit taufiq wal hidayah. Wassalamu `alaikum W.B.T. Ilal liqo wa maas salamah.

Anda mungkin juga menyukai