Anda di halaman 1dari 4

SK TAMAN SRI PULAI PIDATO : Berjimat Cermat Amalan Mulia

Berkelah ke hilir membawa jamu, Singgah sebentar di rumah Siti; Dari jauh datang bertamu, Berpidato itulah hajat di hati.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, panel juri yang adil penjunjung saksama, sidang pendidik bestari dan para hadirin yang dikasihi dekat di hati. Assalamualaikum...... dan Salam Satu Malaysia. Pada hari ini, saya warnai dengan pidato yang berjudul, Berjimat Cermat Amalan Mulia. Hadirin sekalian, Dalam Kamus Dewan berjimat didefinisikan sebagai amalan perbelanjaan kewangan secara berhemat atau penggunaan sesuatu dengan tidak boros. Marcapada ini, negara kita menghadapi krisis sekonomi dan kemelut kejatuhan nilai mata wang. Bagi mengatasi masalah ini, maka sikap berjimat cermat patut diamalkan oleh setiap rakyat dalam mengendalikan bahtera hidup agar tidak kecundang pada kemudian hari. Sikap rakyat yang suka berjimat cermat akan mengelakkan meningkatnya kadar inflasi, yakni satu keadaan apabila permintaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan melebihi penawaran barangan perkhidmatan tersebut yang akan menyebabkan kenaikan harga barang.

Hadirin sekalian, Sikap boros dilarang oelh Allah s.w.t . malah kerajaan Malaysia juga menyeru rakyat supaya berjimat cermat, bukan sahaja untuk mematuhi ajaran agama tetapi membantu memulihkan ekonomi negara serta tidak menyusahkan diri dan keluarga. Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap ini adalah dengan menanamkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan untuk memantapkan ekonomi diri dan keluarga.

Para hadirin yang dikasihi, Ibu bapa memainkan peranan yang sangat dominan dalam menerapkan amalan berjimat cermat dalam diri anak-anak. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan peribahasa yang sangat sinonim dalam menyemai amalan menabung dalam diri anak-anak. Tanpa menabung, ibu bapa akan menghadapi masalah jika anak-anak mereka ingin melanjutkan pelajaran nanti. Anak-anak boleh menabung dalam pelbagai bank yang menawarkan skim tabungan seperti Bank Rakyat iaitu Tabung Simpanan NURI. Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) agar masa hadapan anak-anak terjamin dalam pendidikan.

Hadirin sekalian, Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang hendak dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Sewaktu berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggunggan hutang dan akan mengalami masalah kewangan. Justeru, masyarakat wajar berpegang pada peribahasa beringat sebelum terkena, berjimat sebelum habis.

Berjimat cermat bukan sahaja dari segi kewangan malah dari segi kewangan malah dari segi penggunaan air dan tenaga elektrik .Contohnya kita tidak perlu membiarkan pili air tidak ditutup sementara menggosok gigi dan membuka air sepanjang mencuci kereta atau menyiram pokok bunga. Ini akan menyebabkan kita membazirkan penggunaan air dan sentiasa membayar bil yang tinggi setiap bulan. Penggunaan elektrik juga tidak seharusnya kita bazirkan. Sebelum keluar rumah, pastikan semua suis kipas, lampu, pendingin hawa dan suis televisyen telah dipadamkan. Hal ini dapat membantu kita menjimatkan tenaga elektrik malah dapat menjimatkan kos pembayaran bil pada setiap bulan kerana berjimat cermat adalah amalan mulia.

Kesimpulannya, berjimat cermat amalan mulia dan sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta menjamin masa hadapan . Kata tokoh Mahatma Ghandi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini.Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur. Sekian, terima kasih . Wabilahhitaufikwalhidayah wasamualaiakum warahmatullahiwabarukatuh.

Anda mungkin juga menyukai