Anda di halaman 1dari 22

Koleksi Roman Picisan 09-12

n.m.i.s

DEDIKASI
Untuk kau yang sentiasa ada dalam susah dan senang, tenang dan gundah, tawa dan duka, sedih dan gembira. Moga-moga kau sentiasa tahu bahawa kau adalah satu.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

PENDAHULUAN
Koleksi ini adalah penceritaan bebas menurut kata hati dan pengalaman penulis. Ia adalah media penghubung kepada atma yang lebih luas antara dunia interpersonal dan intrapersonal penulis. Penceritaan yang terkandung dalam lembaranlembaran ini adalah sama dalam blog dengan tambahan bahan dan roman-roman baru untuk tatapan pembaca. Karangan dan cerpen adalah pasti sukar ditemui dalam lembaran-lembaran seterusnya. Yang ada hanya roman-roman yang berbentuk picisan. Selamat membaca.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

SRENGENGE
2 SEPTEMBER 2012 Satu hari lagi gagal berunding dengan matahari dan memintanya untuk terus menerangi laman ini. Walaupun ia sudah biasa terjadi, rasanya aku wajib untuk terus meminta. Malah mungkin aku harus terus menuntut agar si adithya terus kekal pada paksi yang sama. Agar ia terus terang dan gemilang melakukan apa yang sapatutnya di laman ini. Malah dalam siri tuntutanku, pernah juga aku memaki awan dan pohon-pohon rendang yang secara azali sengaja menghalang cahaya untuk terang di laman ini. Tapi apakan daya, awan juga mahu berarak. Pepohon juga mahu menari lemah dan gemalai. Benar, walaupun aku perit dengan panahan panas teriknya sang cahaya, aku lakukan semua ini kerna bersebab. Kerna aku tahu tanpa matahari, tanpa cahaya dan sinarnya, manusia yang bertebaran di laman ini akan lari jauhjauh mencari teduhan kerna disangka hari akan hujan. Tanpa rasa peritnya, bagaimana mungkin "aqua" bisa dijual kepada mereka yang berlalu lalang melihat-lihat. Hatta, tanpa panasnya sang suria, mana mungkin kau dan dia mahu menuntun basikal sambil berbicara. Bergambar ria dan tersenyum lagi bila melihat gambar dan aksi yang baru sahaja berlaku tadi. Aku masih disini, tegak berdiri walau matahari sering mengundurkan diri. Kala senja memberi amaran agar aku berhati-hati dan jangan lagi cuba untuk meminta-minta cahaya tadi, aku rupanya harus terus sadar bahawa gelap sudah mula meniti. Dan bila bintang dan bulan mula menemani, aku pasrah untuk menunggu esok hari. Mungkin keberadaanku akan diperhati. Aku kota lama yang makin berusia. Apa lagi yang bisa aku lakukan? Selain menuntut dan meminta agar tidak dilupa dan dipersia. Kerna satu masa dulu, aku juga muda dan berjiwa seperti kau wahai seisi dunia.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

GERAH
30 OGOS 2012 Dalam temasya yang indah dengan keramaian persona yang berbeda ini, sepatutnyakah kita... Bertemu dan cuba menafikan hubungan yang ada antara kita? Berselisih bahu tanpa menyapa dan berbual mesra? Duduk dan diam di pojok sana dan bersendiri di sudut ini? Berepilog sendiri tentangku dan bicara sendiri berkaitanmu? Melirik dengan hujung mata dan mendengar-dengar dengan telinga? Berharap sapa untukmu dan mendamba soalan tentangku? Merasa gerah, kurang selesa dan tanpa ghairah merasa-rasa. Bukankah kita seharusnya... Bahkan bukankah sewajibnya kita Meraikan ikatan murni ini dengan penuh rasa gembira. Menyapa saat tiba dan memujuk-mujuk supaya tidak pulang. Bersenggol, berpelukan dan bermesra sebati, senada dan seirama. Berbicara tentangku dan berkisah tentang kisahmu. Melihat mesra dengan manja dan mendengar dengan beria-ia. Mula bicara tanpa penghabisan kata. Merasa istimewa, selesa dan penuh ghairah untuk bermesra. Namun ia hanyalah harapan... Harapan yang lebih membikin gerah seperti sebelum datangnya waktu hujan.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

KEHILANGAN SESUATU YANG HILANG


10 MAY 2012 Pulang dari Subang kebelakangan ini, sendi dan ruas-ruas anggota badanku sering benar memujuk manja minta berehat. Aku ternyata tidak mampu menolak hasutan cinta itu kerana aku benar-benar memerlukannya. Bila kaki sering kejang, tangan kian lenguh, tekak makin rasa perit, mata selalu benar pedih, hati kian gusar dan fikiran kian lama kian melayang dan menerawang, "REHAT" bagiku sangat aku perlukan. Suatu masa dahulu "REHAT" itu sentiasa bersamaku. "REHAT" itu menjadi kemestian dan kebutuhan yang perlu ada. Namun kini "REHAT" itu telah hilang. Hilang seperti hilangnya bayang-bayang bila tenggelamnya fajar. "REHAT" itu dirampas. Ditarik-tarik ganas dariku akibat darjat, pangkat dan harta yang tidak aku punya. Alasannya setiap manusia memahukan kebaikan dan kesempurnaan. Ia lalu hilang... Aku kini rindu akan "REHAT" yang dahulu kami lalui secara bersama. Aku rindu akan "REHAT" yang dahulu pernah menjadi tulisan dalam buku rancangan perjalanan dan ekpedisi bersama. Kini "REHAT" itu telah hilang. Hilang dan mungkin sukar untuk kembali semula.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

BARATHAYUDA
22 JANUARI 2012 Aku membuka tulisan maya tahun 2012 ini dengan suatu judul yang tidak masuk akal (aku rasa). Begitu juga dengan gambar hiasan yang aku rasa juga tidak kurang ketidakmasukakalnya dalam konteks prolog tulisan ini. Yang aku harapkan adalah ia bisa menjadi tinta pertama dalam tahun ini sebagai jambatan untuk aku meluahkan idea, rasa, emosi dan kata-kata yang tidak boleh aku ungkapkan secara interpersonal apatah lagi tidak wajar bagiku mengungkapkan serta membahasnya dalam ruang lingkup intrapersonal. Aku gusar, ia bisa membarah dan jika disimpan akan mengakibatkan mati. Tahun 2012 adalah tahun baru yang sememangnya tahun kritikal bagi aku sebagai seorang insan. Kritikal dari segi emosi, kritikal dari segi motivasi, kerjaya dan sebaginya. Semuanya jika disatukan dalam satu hela nafas yang panjang, sangat mencemaskan. Ia bagai perang besar bagiku. Aku berhadapan dengan musuh yang rupanya diriku sendiri dan senjata untuk menentang musuh itu juga digunakan musuh untuk menentangku. Kalaulah aku ada anak panah seperti Pasupati, pasti aku mula-mula lagi telah memenangi pertempuran maha dasyat ini. Sebenarnya aku capek (letih). Capek dengan perang yang tidak pernah ada kesudahanannya. Ungkapan "the war is within ourselves" yang menjadi moto kempenku pada pilihanraya kampus suatu masa dahulu, rupanya kekal lama dalam kehidupanku kini. Sampai bila? Mungkin sampai ku menutup mata. Mungkin ada kaitan juga tajuk diatas dengan roman picisanku ini. Siapa tahu mungkin ada 2 kerajaan yang sedang bertelingkah dan berperang dalam jiwa seorang insan yang bernama aku. Mungkin...

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

KISAH
13 OGOS 2011 NYATAKAN padaku bahawa kisah ini tidak mungkin akan tamat. Berikan aku keyakinan bahawa kisah ini nanti bersambung dalam kata, ayat, frasa dan perenggan seterusnya. Bilanglah padaku bahawa kisah ini akan terus menjadi kisah yang secara berterusan dibicarakan kerna jalan ceritanya yang lengkap dan sempurna. Bertambah dari satu muka ke satu muka surat yang lain. Katakanlah bahawa ia tidak pernah akan habis dan tidak lekang dek panas dan luntur dek hujan. Firmankan dan sabdakanlah padaku agar ia sentiasa menjadi buah mulut ramai, dikisah dan diperdengarkan bertahun dan berzaman lamanya. Namun kisah itu rupanya seketika cuma. Jauh daripada mencapai status hikayat atau lagenda. Mudah dilupa dan sering tersirna dari bicara dan minda semua. Mungkin kerana manusia kecewa dengan jalan cerita yang sama, atau mungkin kerana aku sahaja yang beria-ia mahu ia jadi sesuatu yang istimewa.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

FIAT SAPIENTIA VIRTUS


23 JUN 2011 Aku mencari oasis yang katanya menenangkan jiwa, merehatkan minda dan menghambat segala kesusahan.Tapi khabarnya oasis ini tidak menawarkan kesempurnaan. Khabarnya kesempurnaan harus dicari. Tapi bisakah aku temui ?

KOTA
21 JUN 2011 Aku ingin menceritakan tentang kisah "KOTA" yang aku kenal. Dan "KOTA" yang aku kenal ini rupanya tidak cocok dengan hidupku sebagai seorang yang layaknya tinggal di perkampungan. "KOTA" ini terlalu sesak bagiku yang tidak suka akan hingar bingar manusia dan bunyi kenderaan yang lalu lalang. Aku adalah seorang anak desa yang mahu dirinya tenang dan menikmati hidup ini dengan tidak perlu bersusah payah menjadi manusia yang perlu menindas manusia lain untuk berjaya. Aku mahu tenang. Tidak suka marahmarah dan suka akan sesuatu yang manusia lain raikan. Aku tidak suka akan kekangan. Aku tidak suka akan kecaman, apatah lagi kalau kecaman itu bertujuan untuk sekadar mempermain-mainkan. Aku adalah anak desa yang suka tersenyum dan berbicara ala desa dan mahu dirinya dimengertikan secara seorang manusia. "KOTA" ini kaya tapi aku tidak menginginkan hartanya kerana aku hanya mahu sedikit rasa untuk aku terus bernyawa di antara "KOTA-KOTA" lain yang punya roh dan semangat mendesa.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12

SELEPAS TERBENAM MENTARI DARSAWARSA


19 JUN 2011 Cahaya mentari darsawarsa yang pernah aku rasai, aku nikmati dan aku hargai kini menjadi secalit memori dalam setiap denyut nadi. Tatkala gelap perlahan-lahan memenuhi ruang yang kosong ini, aku rasa sejuk terus menghantui dan urat sarafku seperti terasa kembali membeku lagi. Dalam saat yang susah ini... wajarkah aku menanti cahaya dan hangat mentari itu untuk datang kembali? Untuk terus menerangi hati dan diri ini? Atau aku harus bergerak perlahan-lahan lagi sehingga matahari baru terbit kembali membawa kasih dan cinta yang hangatnya kekal sehingga aku pergi?

SI PENDODOI & PENGADOI


4 MAY 2011 Tatkala manusia kecewa dengan manusia lain dan mengambil tindakan untuk melangkah meninggalkan keresahan dan ketidakselesaan, Tuhan mendamaikan hati-hati yang gelisah ini dengan menghadirkan manusia lain sebagai teman untuk meneruskan perjalanan jauh dan panjang penuh berliku ini. Dunia semakin tua dan aku semakin kecewa dengannya. Namun siapalah aku kerna aku tak punya apa-apa untuk aku bawa kesana. Alam yang lebih nyata penuh asyik gembira.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 10

AKUDIA & MIMPI KITA


28 APRIL 2011 Malam itu sebelum kau tidur aku rangkul kuat tubuh badanmu agar kau sentiasa rasa selesa denganku. Malam itu sebelum kau tidur, aku cium mesra dahimu tanda kasih dan sayangku agar kau tahu perasaan sebenarku. Malam itu juga sebelum kau tidur aku sentuh mesra pipi comelmu selembut mungkin agar kau tahu bahawa aku selamanya akan menjagamu. Dan pada malam itu sebelum kau tidur, aku juga memeriksa jari tanganmu agarku tahu yang semuanya masih kuat menggenggam tanganku dan semoga ku tahu bahwa kau masih bersemangat untuk meneruskan kehidupan bersamaku. Malam itu pada waktu sebelum tidurmu, aku bacakan Ummul Kitab dan ku sedekahkan kepadamu agar kau sentiasa berada mesra disisi naungan Nya tuhanku dan tuhanmu. Dan pada malam itu sewaktu sesaat sebelum tidurmu aku kisahkan cerita mesra dan kasih bagaimana indahnya ciptaanmu selama berada di kantung ibumu. Kau yang bernama indah. Kau yang bernama mesra. Kau yang bernama cinta. Kau yang bernama kasih dan kau yang bernama sayang. Hadirmu terlalu utama dan perdana. Mengingatkanku kepada AKU, DIA dan MIMPI KITA.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 11

SILKY COLORED
19 APRIL 2011 Kesediahan yang mencengkam jiwa dalam sukmaku yang terpaksa membisu, batin ini bagai disiksa-siksa terik mentari yang mengganas. Kepanasan yang membakar dalam jiwaku yang meronta-ronta, susuk tubuh ini tercari-cari sebuah oasis yang khabarnya sebuah telaga pengubat segala derita. Aku berhenti lalu berlari bila dari kejauhan melihat fatamorgana yang rupanya wap panas yang membara. Berjalan jauh dan hampir tidak berkuasa menuntun rasa rindu yang beratnya seakan-akan sengaja menyiksa. Aku lemah dan tidak punya upaya untuk terus berada dalam perjalanan mencari telaga cinta. Tapi aku tidak mahu mati ditengah padang pasir dengan rasa hina kerana menderita. Aku mahu mati dengan penuh nada dan irama serta mati bernyawa dan gembira. Dan saat aku temukan telaga itu, airnya seperti secerah mata. Bagaikan mata air yang baru terbit di lembah tandus sengaja menghamburkan isinya yang suci lagi bersih untuk mengubat jiwaku yang menderita kerana rindu yang membarah asmara. Alirannya indah dan menggiurkan. Ia mengalir dengan liuk lentoknya penuh kegairahan. Dan bila ia mengalir cepat, ia mencipta lurah dan alur yang ditepinya tumbuh subur tanaman ranum. Bila ia mengalir deras melalui batuan lembut dan keras, ia mencipta air terjun yang indah dan mempersona. Dan bila ia mengalir perlahan, ia mencipta sungai dimana haiwan dan manusia menjadikannya sumber kehidupan. Tapi bila ia berhenti dan sepi, aku akan mencari dan menderita lagi ;(

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 12

MOKSHA
15 APRIL 2011 ROMEO SAYS : O, wilt thou leave me so unsatisfied? JULIET'S REPLY : What satisfaction canst thou have to-night? ROMEO SAYS AGAIN : The exchange of thy love's faithful vow for mine. Kali ini aku sama sekali tidak bisa menafikan bahawa ia adalah cliche. Dan bagiku lelaki dan perempuan yang normal pasti ada rasa dan jiwa untuk melalui hari-hari seperti ini yang rasa aku telah ditetapkan oleh tuhan agar semua manusia merasainnya. Begitu juga aku (kerana aku rasa aku normal). Sejak semalam aku memikirkan apakah kata dan bahasa yang sesuai untuk aku gunakan untuk melambangkan perasaan dan gelora dijiwa yang membungkam hati sanubariku setiap hari sejak tarikh itu. Dan setiap masa bila aku melalui hari-hari penuh cabaran yang bercampur-campur suka dan duka, aku mengenang kembali bagaimana indahnya aturan tuhan yang telah menetapkan bahawa aku akan menjadi miliknya dan dia milikku. Kesyukuran dalam gembira dan sedih, waktu duduk dan berdiri harus aku panjatkan kepada tuhan sekelian alam dan berterima kasih pada alam dan manusia kerana sama-sama berdoa dan menyokong setiap hal yang berlaku. Lalu aku teringatkan firman Allah tentang bagaimana Dia akan menguji manusia dalam bentuk-bentuk dan mekanisme yang berbeza sebelum manusia bisa menyatakan keimanannya kepada tuhan. Dan firman Allah inilah yang menjadi tangkal penguat untuk aku meneruskan niat suciku melalui hari-hari kedewasaan seterusnya melengkapkan agama sebelum menjelang kehadiran ajal yang tidak tahu bila masanya. Mehnah dan tribulasi datang dan pergi namun aku tak betah untuk undur selangkah kebelakang

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 13

malah aku mahu berlangkah-langkah maju kehadapan bersama apa yang aku ada dan bakal akan ada. Kehadiran rasa (cinta) ini ibarat pelangi selepas hujan lebat dengan guruh yang berdentum disebalik awan mega. Ia (cinta) sangat eksklusif dan sangat kondusif. Kombinasi dari titisan air hujan yang turun lemah gemalai mengusap lembut dada langit yang terbentang luas memberi ruang matahari yang baru sedar untuk menerobos cahaya dewatanya ke dalam setiap titis air hujan ini untuk menghasilkan spektrum warna yang pelbagai. Aku fikir dan kagum benar. Maka aku buat kesimpulan ringkas. Inilah Moksha bagiku. Pembebasan yang abadi.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 14

YANG TERBAIK (UNTUK AKU & KAMU)


30 MAC 2011 Malam ini bila tuhan berbicara keras denganku, aku layu menerima wahyu yang rupa-rupanya bukan untuk kejayaanku. Malam ini bila kisah duka dan suka bercampur dan menghembus laju menampar kemukaku, aku tahu bahawa hari-hari yang mendatang bukanlah milikku. Dan setelah masa yang kerap cemburu bersama nilai-nilai agung yang kini telah menjadi abu, aku sekali lagi bersujud kaku tanpa doa yang wajar untuk keterangan jiwa dan ragaku. Siapalah aku tanpa cinta-cinta mereka yang tidak setia denganku. Siapalah aku tanpa mereka yang buta dan mahu tunjuk ajar serta kasih dan sayangku. Aku hanya dunia bagi mereka yang mahu melihat jatuhku dan bagaimana teruknya aku tersungkur tatkala aku hilang pertimbangan. Tatkala emosi yang ditimbang dacing jiwaku menunjukkan aku harus akur, inilah kasih dan sayangku yang mampu aku kongsi denganmu. Akulah hamba paling lemah yang tidak bisa lari dari undang-undang dan syarat-syarat buku. Aku adalah tetap aku. Aku menunggu dia yang selalu hormat kepadaku. Yang kasih dan selalu cinta akan diriku. Aku mahu dia yang selalu mencium pipiku seraya berkata "aku cinta padamu". Dan bila aku dipelukmu, aku mahu tidur lena tanpa ada bunyi asing yang menggangu. Aku mahu dia itu yang selalu mohon nasihatku. Yang sering dengar dan memberi komentar untuk kebaikanku. Dia yang aku cari siang dan malamnya hanya mengabdi buat cinta dan cita-citaku. Adakah aku terlalu meminta-minta dan menuntut untuk mendapat hormat darimu? Perlukah aku berlutut dengan tangan tergengam rapi mohon kasih cintamu satu? Adakah ini yang aku mahu? Atau sekadar nafsu yang tidak menentu. Kau hina dan caci makilah aku jika ini tidak sewajarnya berlaku pada dirimu.

KAU yang kucari selama ini telah kutemu.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 15

HUJAN DI KUALA LUMPUR


20 MAC 2011 Hujan disepanjang perjalanan tadi mengingatkan aku kepada suasana hujan disebuah bandaraya. Memori waktu hujan itu bagaikan menggamit ingatanku akan suka duka para pejuang cinta yang mempertahankan rasa kasihnya dan kepada pencinta yang mempertahankan cintanya. Aku lalu membuka buku Ramayana dan membaca semula tentang kisah Rama dan Shinta. Kedua puteri dan putera raja ini disatukan buat hanya seketika. Walaupun ramai yang membuat andaian ia persis kepada kisah cinta agung Taj Mahal, ia pada hakikatnya kisah cinta tragis. Shinta adalah isteri yang dilarikan oleh musuh Rama. Setelah lama mencari, Shinta ditemukan namun diragui kesuciannya oleh si suami. Rama meminta Shinta untuk membuktikan kesuciannya dengan membakar dirinya sendiri. Untuk membuktikan kasih dan sayangnya pada Rama, Shinta lantas cuba membakar dirinya namum dihalang oleh Rama. Maka percayalah Rama bahawa si isteri masih lagi suci. Walaubagaimanapun, Shinta terusik dengan kecurigaan Rama. Dia lalu mendiamkan diri dan mengasingkan dirinya jauh dari istana. Kematian Shinta hanya dapat dikesan oleh Rama selepas itu. Rama seperti biasa, menyesali perbuatannya tidak mempercayai isterinya. Rama bertanya sendiri dalam hujan. Dimanakah Shinta yang aku rindui dan aku kasihi? Suara menjawab. Dia ada dalam denyut nadimu dan tiap hela nafasmu. Secerahnya Chandra dan seterangnya Adithya.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 16

KEPULANGAN
16 JANUARI 2011 SUNYI dan sendiri aku benci...bila sudah lama menyepi, kadangkala rasa sakit dan malas terus menerus bersarang di hati. Setiba aku ke lembah klang bersama yang lain dari pantai timur semalam, adalah sangat penting rasanya berinteraksi. Terutama sekali menulis bila ada kelapangan. Kehendak inilah yang sering aku nafikan sedangkan ada kekuatanku disitu. Kepulangan ini adalah sesuatu yang baru. TIba masanya aku menulis sebuah "memoir". tak kira tentang apa sahaja. Bukan tujuan kerana sudah bosan dengan hidup tapi kerana aku perlu memenuhi kehendakku untuk menulis.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 17

MALAM PERTAMA
23 NOV 2009 Z : Panas ya? N : Kalau panas mengapa aku tidak merasa kehangatannya. Z : Mungkin rasa yang lain. N : Mungkin kah sejuk? Kalau sejuk mengapa tidak menggigil? Z : Mungkin tidak bernyawa, tiada roh dan semangat? N : Ya, mungkin juga. Z : Seperti cinta kita? N : Eh tak..cinta kita tiada kaitan dengan suhu. Z : Tak mungkin. Jika tiada kaitan masakan kau berubah sekelip mata? N : Berubah? Dari segi apa? Z : Cintamu kepadaku. Kau sering bertukar keputusan. Bagai malam dan siang gayanya.Mahu atau tidak? N : Jangan kau bandingkan cinta dengan bergantinya siang dan malam itu. Cinta itu suci. Datang dari hati. Z : Jadi apakah ini? Cinta katamu? N : Ya, cinta kataku. Tapi tak bermakna ia hanya khusus padamu. Z : Kepada siapa lagi cintamu kau berikan? Beri tahu aku dengan segera. Jangan lagi kau siksa batinku. Bukan malam ini. N : Aku cinta kepada yang mencintaiku. Z : Siapa? N : Dia? Z : Dya? Siapa kah geranyannya Dya? Nadya?Sadya?Adya? Siapa? N : Dia... Z : ?????? N : Dia yang maha kuasa. Penguasa kerajaan langit dan bumi dalam sedar dan mati. Z : Oh, begitu. Bercintalah denganNya.Bercintalah semahumu. Ku serahkan seluruh jiwa ragaku kepadamu agar aku juga merasakan CINTA itu. N : Jom solat syukur dulu.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 18

BERMULA
23 NOV 2009 RASA seperti hari-hari yang dahulunya dihujani dengan hilai tawa yang menyegarkan. Aku duduk dihujung beranda melihat ikan-ikan kecil peliharaan ayah gembira berenang-renang merebut makanan. Aku kagum dan gembira kerana Maha Esa memberikan aku kekuatan dan pancaindera ini untuk menyelami atmaku kedalam daerah paling jah untuk mengerti tentang titik mula penciptaanNya. Lalu aku tuliskan di atas buku coretanku bahawa aku akan bermula semula.

TIME TO TAKE A BREAK


16 JULAI 2009 AKU perlu sesuatu yang menyegarkan. Jauh dari segala rasa. Biar ia kosong dari hingar dan segala kebisingan. Aku perlu masa sendiri. Aku rindu dibelai alam semulajadi. Aku mahu pergi. Ke suatu tempat yang tiada tepi.

HITAM MALAM KELAM


14 JULAI 2009 MALAM itu hitam warnanya, hitam itu kelam sifatnya. hati itu merah warnanya, merah itu cinta sifatnya.

Bila hitam dan merah berinterasi, hitamlah yang akan mendominasi, bila cinta dan kelam berkoloborasi, dunia dalam implikasi.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 19

CINTA MATI
7 JULAI 2009 HARUSKAH aku berapologia dengan tanah airku? Kerana rasa ini jika aku luahkan pastinya mengundang bencana maha hebat dari segenap pelusuk alam. Tapi aku semakin bosan. Hilang daya mahu tahu dan kurang mengeti mengapa rasa ini lebih berpaksi kesana. Adakah kerana skandal yang dulunya dikaitkan dengan orang sana? Aku makin tak mengerti.

BUKAN OFF TAPI LOG OFF SEBENTAR


6 JUN 2009 ANAK MUDA ini bersenandung lagi. Kali ini daripada wakafan "Jematan Bosi" kepada dunia luar yang tanpa sempadan. Kepulangan ANAK MUDA kali ini ke desa tercinta adalah atas urusan rasmi minda dan jiwa. Kebelakangan ini, ANAK MUDA terlalu berkecamuk dan bergejolak tatkala menunaikan fardu ain di Kuala Lumpur. ANAK MUDA bertamu di rumah yang terletak asal usul keturunan dan cintanya. Sangat menenangkan. Hari-hari yang dilalui ANAK MUDA sangat bermakna. Berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari sebelum ini. Musibah yang melanda diri dan keluarga kebelakangan ini cuba disorot dan diceritakan semula dalam konteks yang sangat positif. Nilai musibah dan ujian yang melanda keluarga tidak ternilai harganya. Walaupun tiang-tiang seri istana goyang beberapa bulan lalu, kini telah diikat mati semula serta teguh. Dari sisi berbeza, ia meningkatkan ketakwaan keluarga kepada ALLAH SWT, koreksi kesilapan lalu dan melatih keluarga untuk bersatu. ANAK MUDA juga melalui hari-hari di desa permai ini dengan membaca. Menilai, meneliti dan merancang semula strategi. Kali ini ANAK MUDA harus berubah. Berubah kepada bentuk berbeza untuk DIA & MEREKA kenal siapa ANAK MUDA sebenarnya.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 20

PAGI YANG INDAH


21 MAY 2009 BINGKAS bangun lalu bersyukur atas nyawa dan nafas yang masih lagi bisa dinikmati.Terkesima dan terdiam sebentar apabila pagi-pagi lagi ada dugaan yang menjelma. Aku tahu yang hari ini masih tidak aku ketahui sekiranya tidak aku lalui. Apatah lagi segalanya adalah atas ketentuan Ilahi. Dalam buku acara yang cuba untuk tidak diterjemahkan dalam bentuk fizikal, Aku cuba menuruti dan menjadualkan masa. Rupanya sukar juga. Aku kini semakin kurang membaca. Bila membaca semakin aku sedar ada banyak perkara yang tidak aku ketahui. Aku akan cuba melayari bahtera hari ini seperti biasa. Moga Allah tetapkan iman dan ringankan dugaan. Allah maha besar. Jadi selamat bekerja, belajar atau apa sahaja yang akan aku lakukan. Lakukan dengan penuh tenaga kerana mungkin hari ini hari terakhir kita bersama, bermesra, belajar dan berkerja. Buatlah yang maksimum dan buatlah kerana Allah.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 21

BERMULA LAGI
19 MAY 2009 KEHILANGAN itu suatu perkara lazim yang berlaku dalam putaran hidup manusia. Manusia hilang nyawa di jalanraya, hilang tenaga dalam usaha dan ada juga hilang harta dalam alpa. Dalam kesedaran akan kehilangan harta, nyawa dan tenaga seringkali manusia meletakkan kemarahan sebagai penebus rasa dan kecewa. Persoalannya marah dan kecewa kerana apa dan kepada siapa? Jika disorot dalam-dalam dan dilihat pada sudut sisi yang berbeza, rupanya setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. " No accident in life " jadi pasti ada sebab dan alasannya. Cuma ianya rahsia tuhan. Kita hanya bakal tahu bila kita sudah sadar.

KOLEKSI ROMAN PICISAN 09-12 22