Anda di halaman 1dari 3

Rukun Negara Matlamat utama melahirkan Rukun Negara adalah seperti mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan

seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak serta membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Berikut adalah lima prinsip dalam Rukun Negara:

Kepercayaan Kepada Tuhan

Kesopanan Dan Kesusilaan

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Kedaulatan UndangUndang

Keluhuran Perlembagaan

Menurut Sufean Hussin (1993), Rukun Negara merupakan ideologi dan pancasila kewarganegaraan yang digubal urutan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan ianya adalah salah satu dari usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Negara Malaysia. Rukun Negara ini telah diilhamkan sebahagiannya daripada pancasilla Negara jiran iaitu Negara Indonesia. Di dalam Rukun Negara telah digariskan norma dan etika budaya hidup, daya usaha dan pemikiran yang perlu diterapkan ke dalam sanubari rakyat Negara ini. Ia juga menggariskan ikrar yang perlu dihayati oleh warganegara Malaysia. Ianya boleh dianggap sebagai falsafah hidup rakyat Malaysia. Bagi merealisasikan cita-cita yang digariskan dalam rukun Negara, perlunya penghayatan rohaniah dan kesedaran serta semangat yang sentiasa ditingkatkan dari

masa ke semasa. Peningkatan semangat dan kesedaran ini bukanlah melalui amalan yang kerap tetapi melalui unsur-unsur yang dijalinkan bersama dalam kurikulum pendidikan. Aspek kurikulum tersirat yang paling utama adalah pemahaman dan penghayatan Rukun Negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pendidik untuk sentiasa peka mengenai cita-cita dan prinsip rukun Negara agar pembentukan masyarakat seperti yang dihasratkan dapat dicapai. Rukun Negara menjadi tunjang kepada pembentukan Falsafah Pendidikan Negara dengan melihat kepada elemen dalam Falsafah Pendidikan Negara itu sendiri. Ini dapat dilihat melalui elemen yang menyebutkan : ...untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Dasar Ekonomi Negara Menurut Sufean Hussin (1993), Dasar Ekonomi Baru telah digubal bersama-sama Rukun Negara akibat tragedi 13 Mei 1969. Ia merupakan satu usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan Negara dengan mengurangkan perbezaan dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dan lain-lain. Ini adalah berlandaskan hakikat bahawa terdapat ketidakimbangan penyertaan kaum dalam kegiatan ekonomi khususnya di antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Ketidakimbangan ini dipercayai menjadi bibit polarisasi yang menghalang proses pembentukan masyarakat yang bersatu padu. Dasar Ekonomi Baru mempunyai dua matlamat besar yang juga dijadikan strategi untuk melaksanakan rancangan pembangunan di bawahnya iaitu mengurangkan dan membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Pembasmian kemiskinan dijalankan dengan memajukan wilayah luar bandar dan sektor pertanian agar rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih tinggi dan bermutu. Penyusunan semula masyarakat pula dijalankan dengan meningkatkan mobiliti sosioekonomi masyarakat bumiputera melalui kaedah pemberian kemudahan dan kelonggaran dalam penyertaan bidang perdagangan dan perindustrian dengan cara pemberian bantuan dan perhatian yang lebih dalam penyertaan pendidikan.

Dasar pendidikan yang berkait dengan Dasar Ekonomi Baru menuruti Falsafah Pendidikan Barat iaitu progresivisme dan perenialisme kerana ia menekankan pencapaian keperluan masyarakat yang seimbang dan pembelajaran yang lebih mengutamakan pemerolehan pengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan

keupayaan bersaing dalam kehidupan. Pendidikan bukan sahaja telah menjadi ejen sosialisasi tetapi juga telah menjadi ejen bagi mengurangkan jurang status sosioekonomi antara kaum dan wilayah. Ini dapat dilihat dalam elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu elemen yang menyebutkan : ...melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.