Anda di halaman 1dari 8

Punca dan Cara Mengatasi Masalah

Pengajaran Bahasa Inggeris Di Sekolah


Posted by Cikgu Azleen | April 3, 2008 .

Cikgu Zulham telah meminta saya berkongsi masalah-masalah pengajaran bahasa inggeris di
sekolah. Jadi saya rasa alang-alang saya tulis emel kat Cikgu Zulham, elok juga saya siarkan aje
di sini.. Anda semua pun pasti ada idea dan pendapat yang boleh dikongsi bersama saya kan?

Pertama sekali, saya ingin mengingatkan bahawa saya juga bukan guru bahasa inggeris di
sekolah. Saya mengajar bahasa inggeris mulanya atas dasar suka-suka untuk membantu anak-
anak di kawasan perumahan saya, dan lama-lama saya dapati saya sangat suka ajar bahasa
inggeris berbanding subjek-subjek lain kerana pengajaran bahasa tidak terhad atau mempunyai
kekangan dari segi silibus dan sebagainya.

Justeru, apapun pandangan dan pendapat saya di sini tidak boleh dianggap sebagai pendapat
seorang profesional mahupun pakar bahasa. Bahkan saya tidak melakukan apa-apa kajian secara
formal di sekolah, dan hanya sekadar membuat pemerhatian dari jauh.

Punca 1# Guru Tidak Kreatif Dalam Pengajaran

Bagi saya, punca utama adalah guru tidak kreatif sewaktu menyampaikan pelajaran. Chalk and
talk tidak lagi sesuai pada masa sekarang (Dulu pun tak sesuai juga!). Dengan adanya pelbagai
bahan multimedia, guru sepatutnya boleh membina pengajaran dan pembelajaran yang mampu
menarik minat murid, walaupun pada asalnya murid tersebut tidak berminat. Lagipun, itulah
tujuan guru dihantar ke sekolah bukan?

Saya faham bahawa tugas guru di sekolah bukan sekadar mengajar, malahan guru adalah arkitek,
tukang paip, babysitter, tukang kebun, jurutera dan macam-macam lagi peranan guru di sekolah.
Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak dapat membina PnP yang menarik.

Murid dilihat sebagai individu yang sebenarnya masih belum dapat mengenalpasti minat dan
bakat mereka. Justeru, guru perlu dedahkan mereka dengan seberapa banyak perkara dan
berusaha menjadikan perkara tersebut menarik.

Dari pengalaman saya berada dibeberapa sekolah (dalam tempoh yang singkat-singkat saja), saya
dapati murid di kawasan luar bandar sangat gemarkan PnP berasaskan multimedia. Mereka rasa
kalau dapat belajar menggunakan komputer dan LCD projektor tuh, macam menonton tayangan
filem. Berbeza dengan murid sekolah bandar, mungkin sebab peralatan kat rumah lebih canggih,
mereka tak begitu teruja bila menggunakan multimedia.

Mungkin juga, guru tidak kreatif kerana mereka banyak bergantung kepada buku teks dan buku
kerja yang dibekalkan. Jadi, kebanyakan mereka enggan berfikir lebih untuk menjadikan
pengajaran mereka unik berbanding hanya membaca buku teks yang ada.

Memang saya ada beberapa kejayaan mengubah murid yang gagal bahasa inggeris sehingga
mendapat A, tetapi pengajaran saya tidak tersekat dengan buku teks mahupun silibus sekolah
kerana saya mengajar bahasa inggeris di luar waktu sekolah.

Cara Mengatasi: Guru perlu lebih kreatif - saya pun tak tahu macamana nak hasilkan guru yang
kreatif, agaknya kena tanya pensyarah kat IPG kot

Punca 2# Murid Tidak Minat

Ini banyak berkaitan dengan punca #1 dan saya rasa sebab utamanya murid tidak minat adalah
kerana gagal melihat kepentingannya mereka belajar bahasa inggeris ini. Pendek kata mereka
tidak tahu kenapa perlu belajar bahasa inggeris.

Cara Mengatasi: Guru perlu berikan sebab dan rasional belajar bahasa inggeris. Maklum ajelah,
budak sekarang ni sentiasa nak tahu ganjarannya mereka lakukan sesuatu - termasuklah belajar.

Punca 3# Saiz Kelas Terlalu Besar/ Kebolehan Murid Tidak Sama

Jika saya diberikan peluang untuk memberitahu menteri pendidikan, inilah perkara pertama yang
saya akan cakap. 1 guru = 40 orang murid. Sungguh tidak munasabah.

Maafkan saya kalau ada yang rasa pandangan saya ini negatif, tapi bagi saya selagi masalah
nisbah guru murid ini tidak diatasi, apapun usaha lain dilakukan untuk meningkatkan mutu
pendidikan, agak sukar untuk berjaya.

Kumpulan kelas bahasa inggeris saya juga kecil, maksima 12 orang sahaja bagi setiap sesi. Ini
kerana saya rasa saya tidak dapat memberikan tumpuan individu jika jumlah murid melebih
angka tersebut.

Apatah lagi apabila kebolehan murid dalam kelas itu tidak sama. Ini tambah menyukarkan
keadaan dan menyulitkan guru mengajar. Banyak sekolah tidak lagi membuat pengajaran secara
berkumpulan, sebaliknya murid dalam kelas dianggap lebih kurang sama.

Cara Mengatasi: Jika sekolah membuat streaming class, jumlah murid bagi kelas yang pandai
bolehlah lebih banyak berbanding kelas yang tidak pandai. Pada pendapat saya, semakin mundur
kelas tersebut, semakin kecil jumlah murid dalam kelas itu. Contohnya, murid kelas A ada 40
orang, murid kelas B ada 35 orang, murid kelas C ada 30 orang dan murid kelas D hanyalah 25
orang. Itu lebih baik berbanding setiap kelas dipuratakan.
Selain daripada itu, murid juga boleh ditukarkan kelas bagi subjek tertentu contohnya bahasa
inggeris. Contohnya, bagi kedudukan tahun seseorang murid itu mungkin berada di kelas A,
tetapi jika beliau lemah dalam bahasa inggeris, waktu bahasa inggeris beliau perlu ke kelas C
atau D mengikut tahap penguasaan beliau.

Punca 4# Guru Galakkan Murid Malas Secara Tidak Langsung

Walaupun tidak semua, tetapi banyak guru bahasa inggeris mengajar bahasa inggeris dalam
bahasa melayu. Macamana ya? Memang bunyinya pelik, tapi pemerhatian saya dapati itulah
yang berlaku.

Cuba bayangkan, sudahlah ibubapa murid tidak bertutur dalam Bahasa inggeris, waktu bahasa
inggeris di sekolah adalah satu-satunya waktu murid akan mendengar bahasa ini. Tup-tup murid
diajar bahasa inggeris dalam bahasa melayu. Jadinya macamana ya nak pandai?

Selain daripada itu, saya lihat sekarang ni murid juga tidak lagi diwajibkan mempunyai kamus.
Ada murid yang langsung tidak tahu bagaimana nak gunakan kamus. Kita semua pun tahukan
kepentingan kamus dalam pembelajaran bahasa.

Cara Mengatasi: Guru perlu tegas dalam penggunaan bahasa. Memang ada masalah murid tidak
faham apabila guru mengajar dalam bahasa inggeris, tetapi guru perlu gunakan alternative lain
untuk membuatkan murid tersebut faham. Contohnya, apabila guru kata sit down murid tidak
faham. Jangan ubah kepada sila duduk. Sebaliknya gunakan bahasa isyarat atau buat contoh
perbuatan tersebut.

Ada baiknya juga sekiranya guru bahasa inggeris bercakap bahasa inggeris sepanjang masa
mereka berinteraksi dengan murid di sekolah, walaupun diluar waktu PnP. Secara tidak langsung,
murid akan terdesak untuk berkomunikasi dalam bahasa ini.

Kempen-kempen yang diadakan di sekolah sekarang cukup baik, cuma saya rasa penguatkuasaan
tidak dilakukan dengan sempurna. Sewaktu minggu bahasa inggeris, pastikan semua guru dan
murid bertutur dalam bahasa inggeris dan kenakan denda ke atas mereka yang melanggarnya -
termasuklah guru. Kepimpinan melalui tauladan kan?

Punca 5# Buku Teks/ Buku Kerja Tidak Sesuai Dengan Tahap Murid

Sebenarnya saya tidak pernah melihat buku teks bahasa inggeris, tetapi saya telah banyak kali
melihat buku teks bahasa melayu. Pada pandangan saya, buku teks yang ada itu lebih sesuai
untuk kegunaan murid-murid sedia bijak. Kalau buku teks bahasa melayu sebegitu, buku teks
bahasa inggeris pun pastinya sama saja.

Cara Mengatasi: Kalau tidak silap saya, buku teks dipilih mengikut negeri/ zon. Pada pendapat
saya, daripada mengadakan buku teks mengikut negeri atau zon, adalah lebih baik sekiranya
buku teks dibuat mengikut tahap - murid bijak, murid sederhana dan murid lemah. Pemilihan
pula dibuat sendiri oleh sekolah dan bukan pihak negeri.
Maksudnya, sekolah akan menentukan majoriti jenis muridnya - bijak, sederhana atau lemah.
Seterusnya sekolah akan memilih buku teks yang paling hampir menepati tahap majoriti
muridnya. Walaupun ada di kalangan murid-murid sekolahnya yang lebih bijak/ lebih lemah
berbanding majoriti murid, itu menjadi tanggungjawab guru sekolah menyediakan aktiviti
pengayaan atau pemulihan bagi muridnya.

Agaknyalah, kalau betul-betul nak disenaraikan ada banyak punca masalah pengajaran bahasa
inggeris ni, tapi kalau difikir secara mendalam, kesemuanya berpunca dari etika dan sikap yang
salah samada oleh guru mahupun murid.

Bagaimanapun, inilah sedikit perkongsian saya hari ini, saya sangat mengalu-alukan jika ada
kalangan pembaca yang ingin berkongsi pendapat dengan saya. Mungkin tidak semua pendapat
saya di atas itu anda rasa betul, tetapi tidak semuanya juga salah kan?

Apa yang saya harapkan adalah kita semua dapat berbincang secara rasional dan terbuka tanpa
bertindak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Kita mencari jalan penyelesaian dan
bukannya orang untuk bertanggungjawab. Semua ini demi kepentingan anak bangsa kita juga.

Tunggu apa lagi, apa pendapat anda?


Berita Harian Online
Menilai keberkesanan kurikulum pendidikan

FAKTOR penting yang menggerakkan kelancaran sistem pendidikan ialah guru atau pendidik.
Guru adalah kumpulan pelaksana pendidikan formal yang diamanahkan untuk merancang,
melaksana dan menilai kesan pengajaran dan pembelajaran. Oleh kerana tanggungjawab guru
terhadap kejayaan misi dan pengisian wawasan pendidikan adalah tinggi maka wajarlah program
pendidikan guru sentiasa dikemas kini supaya selaras dengan perubahan pesat yang berlaku dalam
sistem pendidikan negara.

Dari segi penyediaan guru, falsafah Pendidikan Negara berhasrat menyediakan guru yang seumur
hidupnya mencari ilmu dan mengamalkannya serta boleh menjadi model kepada insan terdidik
pelajar dan masyarakat.

Perancangan dan pelaksanaan pendidikan guru dalam kurikulumnya mengambil kira matlamat
menyediakan guru berkualiti yang dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai guru yang
berkesan. Antaranya guru yang berpengetahuan, berkemahiran mempunyai nilai murni serta
bersikap positif.

Situasi yang jelas dan kerap diperdebatkan ialah program pendidikan guru. Ini sudah pasti
membabitkan kurikulum pendidikan guru itu sendiri. Malah dikatakan model pendidikan guru di
negara ini tidak banyak berubah sejak 1960-an lagi (Prof Dr Abu Bakar Nordin: 1994). Banyak
kritikan terhadap bakal guru yang terhasil daripada kurikulum pendidikan guru ini; banyak
kelemahannya. Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah:

• Kurang pendedahan kepada pengurusan aktiviti kokurikulum;


• Kurang kemahiran menjalankan aktiviti sukan;
• Tidak memahami peraturan dan disiplin sekolah;
• Kurang yakin mengawal disiplin bilik darjah;
• Kurang pengalaman mengenai masalah yang wujud di sekolah;
• Kursus terlalu berpusatkan kepada teori dan kurang amalan latihan;
• Tidak cukup kemahiran dalam pengajaran; dan
• Kurang kemahiran sosial.

Bersandarkan kritikan dan persoalan pendidikan guru masih belum mencapai tahap
penghasilan guru berkualiti, maka perubahan dalam kurikulum pendidikan guru harus
dilakukan.

Pendapat ini turut diketengahkan oleh Asiah Abu Samah (1992) yang menyatakan matlamat
pendidikan guru di Malaysia kini adalah untuk melahirkan guru yang dapat menyesuaikan diri
dengan dunia luar yang mencabar dan tidak lagi dikongkong oleh semangat kedaerahan. Mereka
harus bersikap terbuka, bertoleransi, berdaya tahan dan berdaya saing serta mampu keluar dari
sempadan yang membendung mereka.

Kothagen (1988), Shahrir dan Shahril (1989) menyatakan guru adalah permulaan yang berkesan
dan perlu menjadi pengamal yang mahir serta dapat membuat refleksi secara kritis mengenai
pedagoginya. Idea ini disokong oleh Reynolds (1988) bahawa guru permulaan perlu memiliki
pengetahuan mengenai pelajaran yang diajar dan mempunyai kemahiran analitikal dalam
mendapatkan maklumat mengenai murid dan sekolah. Ini dipersetujui oleh Glasser (1993) dalam
The Quality of Teacher yang menyatakan guru seharusnya sentiasa memimpin dan menggalak dan
tidak memerintah.

Wan Zahid Mohd Nordin (1993) menyenaraikan beberapa ciri guru yang amat rapat kaitannya
dengan kejayaan seseorang guru sebagai pengurus dan pemimpin pendidikan. Oleh itu, seseorang
guru adalah juga seorang pemimpin dan pengurus pembelajaran di bilik darjah.

Antara ciri yang diperlukan oleh guru ialah memiliki ilmu yang luas, sahsiah dan akhlak yang baik,
mengamalkan nilai murni dan akhlak yang baik, bersifat terbuka, dinamik, asertif dan sentiasa
menilai hasil kerja dan menilai diri sendiri.

Namun, ada beberapa andaian bahawa guru yang dilatih menguasai ilmu bidang pengajaran yang
hendak diajarkan di sekolah. Mereka hanya perlukan kaedah. Oleh itu, timbullah beberapa masalah
misalnya guru sains yang kurang pengetahuan sains dan guru bahasa yang kurang pengetahuan
dalam bahasa.

Shulman (1986) menggambarkan mengenai kehilangan pengetahuan dalam pendidikan guru


sebagai 'the lost paradigm' atau paradigma yang hilang, dengan penekanan kepada ilmu tidak
diberi perhatian. Shulman menghuraikan fenomena itu sebagai:

"...In the oversimplification of the process of classroom teaching, investigator ignore one the most
important aspects of classroom life: the subject matter. No one asked how subject matter was
transformed from the knowledge of the teacher into content of instruction."

Kini jelas satu persoalan penting yang ingin dikemukakan ialah mengapakah tumpuan hanya
diberikan kepada kaedah mengajar atau kaedah belajar yang efisien tetapi bukan kepada
pengetahuan khusus yang berguna kepada guru? Penguasaan isi pelajaran adalah penting.

Oleh itu, menurut Relly (1989) anjakan paradigma perlu dibuat dalam sistem pendidikan guru yang
selama ini berfokus kepada sistem pengajaran dan kognitif. Sebaliknya sistem itu harus diubah
supaya berfokus kepada proses pembelajaran dan pelajar.

Cameron-Jones (1988) dan MacKinnon (1987) mencadangkan agar model putaran perkembangan
profesional digunakan dalam pendidikan guru. Dalam model ini ketrampilan profesional
pengajaran, dikaitkan dengan kebiasaan membuat refleksi yang dibuktikan dengan kesungguhan
untuk menyemak pengalaman pengajaran beberapa kali daripada pelbagai perspektif dan teori. Ini
disokong oleh Fawns (1992) yang membuat kajian yang dilakukan berterusan selama 15 tahun ke
atas bekas pelajar. Dia membuat kesimpulan bahawa teori pendidikan tidak banyak memberi
sumbangan kepada pengajaran.

Eqbert (1988) menegaskan pendidikan guru perlu membantu guru supaya mereka boleh secara
sistematik memindah dan menerapkan teori pendidikan dan penyelidikan ke dalam amalan.
Pendapat ini disokong oleh Schon (1987) yang menegaskan kebanyakan pendidik guru bahawa
perkembangan dari segi pemikiran dan amalan perlu ditekankan kepada pendidikan guru untuk
membolehkan mereka berfikir secara reflektif dan bertindak secara inovatif.

Sarason (1982) menyatakan program penyediaan bakal guru memadai hanya dengan pendahuluan
di bilik darjah semata-mata sebaliknya mereka perlu didedahkan dengan isu-isu konkrit mengenai
bilik darjah dan sekolah di samping tindakan segera yang memerlukan bakal guru menilai dan
menggunakan teori dan dapatan kajian yang mereka laksanakan.

Hussien Ahmad (1992) menyatakan bahawa tanggungjawab guru seharusnya menekankan kepada
semua kumpulan pelajar dan guru sewajarnya meningkatkan keupayaan dalam pengurusan
pengajaran dengan lebih cekap bagi meningkatkan keupayaan pelajar mencapai matlamat itu.
Cameron-Jones (1988) dan Korthagen (1988) mencadangkan pendidikan guru mengutamakan ciri
kognitif pengajaran iaitu pengajaran kreatif sebagai prinsip asas dalam pengajaran.

Kini program pendidikan guru berkembang dan diubah suai dari semasa ke semasa. Malah kini ada
pelbagai program pendidikan guru seperti Kursus Perguruan Asas, Kursus Perguruan Lepasan
Diploma (KPLD) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) serta terbaru adalah Kursus
Diploma Perguruan Malaysia (DPM) di maktab perguruan selain Kursus Diploma Pendidikan di
universiti tempatan dan program kembar antara maktab perguruan dengan universiti tempatan
dalam dan luar negara. Sehubungan itu, satu model program pendidikan guru yang berasaskan
sekolah sebagai satu program dan alternatif serta cadangan dicadangkan sebagai satu usaha untuk
menggembleng tenaga dan fikiran semua pihak yang terbabit dalam alam pendidikan dan
memantapkan rantaian kemuafakatan.

Pendidikan berasaskan sekolah adalah cara terbaik yang diharap dapat memenuhi kehendak
negara, profesion perguruan dan pendidikan dalam pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM). Matlamat program ini adalah untuk meningkatkan profesionalisme dan
ketrampilan guru serta merapatkan hubungan antara teori dan amalan pendidikan di sekolah.

Program ini akan menjadikan pengalaman dalam sekolah sebagai sebahagian yang 'integral' dalam
kursus pendidikan bagi mewujudkan kerjasama antara pengamal pendidikan dengan ahli akademik
supaya program pendidikan guru mendapat satu usaha kerjasama semua pihak yang terbabit
dengan pendidikan.

Selain itu, pendekatan ini juga dapat mengintegrasi institusi pendidikan guru dengan sekolah dan
merapatkan teori pendidikan dengan amali dalam pendidikan.

Guru pelatih dari awal lagi hendaklah mengenal pasti isu dan masalah yang timbul di sekolah dan
melihat sama ada teori dalam bilik kuliah dapat membantu menyelesaikan masalah sebenar. Untuk
maksud ini kurikulum pendidikan guru perlu disusun semula.

Apa yang jelas, penyediaan pelbagai profesion lain, sedikit sebanyak dipengaruhi beraneka faktor
kehidupan yang ada di dalam dan luar sekolah.

Anda mungkin juga menyukai