Anda di halaman 1dari 5

KEMAHIRAN KOMUNIKASI Dalam sesuatu sesi kaunseling, hubungan di antara kaunselor dan klien adalah berbentuk interpersonal yang

melibatkan interaksi antara individu melalui komunikasi secara dua hala. Justeru, kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi amat penting sekali untuk diaplikasikan kerana ia melibatkan penyampaian idea, maklumat, perasaan dan ekspresi tingkah laku antara satu sama lain seperti kenyataan dalam Mohammad Aziz Shah et. al. (2009). Kepentingan kemahiran komunikasi dalam sesi kaunseling sememangnya kerap kali ditegaskan dalam pelbagai rujukan. Contohnya menurut Okun (1997) dalam Amla Salleh et. al. (2009) yang menyatakan bahawa kemahiran yang paling banyak digunakan dalam proses kaunseling adalah kemahiran berkomunikasi, selain daripada pengetahuan tentang perkembangan manusia dan kemahiran membuat penilaian. Berdasarkan pendapat Okun tersebut, terbukti bahawa kemahiran

komunikasi juga merupakan kemahiran yang penting untuk dimiliki oleh guru bimbingan bagi menjalankan proses bimbingan. Menurut Okun (1997) lagi, bagi seorang kaunselor komunikasinya perlulah memenuhi tujuan berikut: 1. Kaunselor menyatakan yang dia sedang mendengar dan cuba memahami klien dari perspektif mereka 2. Kaunselor menyatakan kemampuannya membantu, kemesraannya,

penerimaannya, hormatnya dan keprihatinannya terhadap klien 3. Kaunselor cuba membantu klien meningkatkan pemahaman tentang dirinya dan orang lain. Oleh itu, setiap kaunselor perlulah mempunyai kemahiran berkomunikasi yang membantu dan sentiasa mengamalkannya sehingga menjadi sebati dengan diri, supaya dia dapat membina hubungan kaunseling yang berkesan Komunikasi di antara kaunselor dengan klien dalam proses kaunseling melibatkan komunikasi lisan dan bukan lisan. Komunikasi lisan memudahkan kaunselor memahami dan menyampaikan mesej kepada klien manakala komunikasi bukan lisan digunakan bagi menjelaskan sesuatu keadaan yang ditunjukkan.

KOMUNIKASI LISAN Definisi komunikasi lisan ditakrifkan menurut Dr. Maznah Baba et. al. (2007) sebagai interaksi tutur kata secara timbal balas di antara pembimbing dan klien dalam memahami dunia klien dengan lebih jelas. Dengan adanya kemahiran komunikasi lisan, seseorang kaunselor dapat menjalankan proses kaunseling dengan lancar dan berkesan kerana kemahiran ini membolehkan kaunselor membuat refleksi, konfrontasi, prafasa dan mengenal pasti masalah seperti yang dinyatakan oleh Mohammad Aziz Shah et. al. (2009). Seperti yang diketahui, peranan guru sebagai agen sosial sudah semestinya membuktikan bahawa guru tersebut mempunyai kemahiran sosial dan kemahiran komunikasi lisan yang tinggi. Namun dalam aspek bimbingan dan kaunseling, masih terdapat beberapa perkara mahupun etika yang perlu diambil kira oleh guru bimbingan sewaktu berkomunikasi bersama murid atau klien. Antara perkara penting yang terkandung dalam komunikasi lisan menurut Dr. Maznah Baba et. al. (2007) ialah: o Memahami dan dapat menggunakan sesuatu istilah berkaitan perasaan tertentu dengan jelas o Memahami dan dapat menggunakan istilah yang berkaitan dengan pemikiran o Bertanya sesuatu soalan dengan jelas dan dapat difahami o Menggunakan bahasa yang mudah, jelas difahami dan sesuai dengan tahap umur dan latar belakang klien o Menyampaikan sesuatu maklumat dengan jelas, tepat dan tidak mengelirukan o Menyampaikan apa yang difahami dengan tepat dan jelas makna o Menggunakan analogi yang mudah difahami oleh klien o Bertutur kata dengan tenang dan nada yang sesuai o Menggunakan susunan perkataan yang teratur o Menggunakan bahan sokongan bagi mengukuhkan pendapat, pandangan atau maklumat

o Tutur kata yang dapat mencabar minda, perasaan ke arah perubahan tingkah laku Laras bahasa merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan ketika diaplikasikan dalam kemahiran berkomunikasi. Seseorang guru bimbingan itu perlu menggunakan laras bahasa yang bersesuaian dengan latar belakang klien beserta dengan kata-kata yang jelas dan mudah difahami. Guru bimbingan perlu mengelakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan yang sukar difahami oleh klien untuk mengelakkan klien berasa rendah diri dan tidak yakin ketika berkomunikasi bersama guru bimbingan. Sapora Sipon et. al. (2006) menyarankan agar kaunselor perlu cuba untuk menggunakan perkataan yang mudah supaya klien tidak berasa rendah diri apabila berhadapan dengan kaunselor. Di samping itu, kaunselor juga perlu mengelakkan penggunaan ayat-ayat yang panjang dan berbelit-belit untuk mengelakkan klien daripada menjadi keliru dan tidak faham tentang apa yang diperkatakan oleh kaunselor. KOMUNIKASI BUKAN LISAN Komunikasi bukan lisan pula dimaksudkan sebagai mesej yang disampaikan bukan melalui tutur kata tetapi melalui ekspresi muka, pandangan mata dan gerak-geri menurut Dr. Maznah Baba et. al. (2007). Kemahiran ini sememangnya perlu dititikberatkan untuk menjadikan seseorang guru bimbingan itu dapat mentafsirkan komunikasi bukan lisan yang ditunjukkan oleh klien supaya dapat memahami klien dengan lebih mendalam. Untuk memahami masalah klien, tidak semestinya seseorang guru bimbingan itu hanya perlu mendengar kepada permasalahan klien melalui komunikasi lisan daripada klien semata-mata. Sebaliknya, kemahiran komunikasi bukan lisan dapat membantu guru bimbingan dalam mentafsir dan memahami segala butiran lain yang berkenaan dengan masalah klien melalui pemerhatian terhadap segala respon, perbuatan, ekspresi dan tindak balas klien. Hal ini sekaligus memudahkan guru bimbingan untuk memahami permasalahan klien seperti pendapat Mehrabian (1967) dalam Mohammad Aziz Shah et. al. (2009) yang menyatakan bahawa individu menghantar informasi secara berterusan melalui ekspresi muka, pergerakan badan dan tingkah laku mereka. Justeru,

guru bimbingan perlu mengetahui setiap tingkah laku, respon dan riak wajah yang dipamerkan oleh klien supaya dapat membantunya dalam proses sesi bimbingan. Yee (1995) dalam Mohammad Aziz Shah et. al. (2009) menyatakan bahawa komunikasi bukan lisan atau tingkah laku tanpa pertuturan adalah satu cara untuk kaunselor membaca apa yang dirasai oleh klien. Ia juga dapat memberikan gambaran yang lebih cepat berbanding dengan bertutur. Pendapat ini bersesuaian dengan pandangan Tang Chee Yee (1989) berkenaan komunikasi bukan lisan ini dapat memberi gambaran yang lebih cepat, kerana manusia lebih cepat bertindak daripada bertutur. Kemahiran mentafsir komunikasi bukan lisan ini sememangnya dimiliki oleh guru-guru yang berpengalaman mengajar kerana mereka sendiri sudah dapat memahami perasaan, tingkah laku, sikap dan emosi murid yang ditunjukkan berdasarkan pengalaman mengajar tersebut. Selain berkemahiran mentafsir komunikasi bukan lisan yang terdapat pada murid atau klien, guru bimbingan juga perlu menguasai kemahiran komunikasi bukan lisan pada diri mereka sendiri sewaktu menjalankan proses bimbingan. Menurut Dr. Maznah Baba et. al. (2007), Egan (1990) memberi akronim SOLER sebagai singkatan kepada kemahiran komunikasi bukan lisan sebagai peringatan dan garis panduan buat guru bimbingan dan kaunselor. S O L = Face the client Squarely (Menghadap klien dan tiada sekatan di antaranya) = Adopt an Open posture (Postur badan yang terbuka) = Leaning forward (Perbuatan pembimbing mencondong sedikit ke hadapan bagi menunjukkan kemesraan dan penerimaan pembimbing kepada klien) E = Eye contact (Penumpuan pembimbing kepada muka klien dan juga gerak-geri klien bertujuan menimbulkan rasa penerimaan, dipercayai dan keselesaan) R = Relax (Kendalikan sesi dalam keadaan tenang dan tenteram)

Guru bimbingan boleh mengaplikasikan kaedah ini sewaktu mengadakan proses bimbingan bagi kemahiran komunikasi bukan lisan. Mereka juga boleh menggunakan strategi dan teknik komunikasi bukan lisan yang sesuai bagi membantu proses bimbingan berjalan dengan berkesan. Banyak teknik dan kemahiran komunikasi bukan lisan yang didedahkan kepada kaunselor dan guru bimbingan untuk dikuasai. Sapora Sipon et. al. (2006) mencadangkan kaunselor boleh mengangguk kepalanya, membesarkan matanya bagi menunjukkan minat, memberikan postur duduk yang mencondong ke hadapan sedikit dan lain-lain gerak balas yang bersesuaian. Antara kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam komunikasi bukan lisan menurut

Mohammad Aziz Shah et. al. (2009) adalah seperti berikut: 1. Senyuman 2. Kontak mata 3. Posisi badan 4. Kedudukan dan jarak 5. Ekspresi muka 6. Tahap tenaga 7. Sentuhan 8. Nada suara 9. Pergerakan kaki dan tangan 10. Warna dan cara pakaian