Anda di halaman 1dari 5

SKRIP

Apakah yang dimaksudkan skrip? Skrip adalah suatu bentuk karangan yang mengikut format khas, untuk dijadikan satu bahan pengarahan bagi penerbitan persembahan pandang dengar melalui media elektronik termasuklah animasi. Jenis skrip pula bergantung kepada corak cerita itu sendiri. Sekiranya cerita itu berkisarkan kisah permasaalahan masyarakat bandar atau luar bandar, maka jenis skrip itu tergolong ke dalam kategori Drama Masyarakat atau Sosial. Jika skrip itu berkenaan kisah pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap tetapi lebih kepada unsur humor, maka itu dikategorikan kepada cerita Aksi Komedi. Pereka cerita yang telah mempunyai idea atau ilham akan menulis sinopsis dan mengembangkannya di dalam bentuk skrip. Skrip akan membentuk pergerakan cerita. Di dalam sebuah skrip akan dinyatakan petunjuk atau bilangan adegan, situasi tempat, lokasi, masa, kerja asas kamera, arahan aksi, watak, dialog dan arahan khusus watak. Seorang penulis skrip tidak perlu menulis dalam gaya penulisan yang berbungabunga di dalam skripnya kecuali pada dialog yang memerlukan watak itu berkata demikian seperti di babak romantik perbualan suami dan isteri atau pasangan kekasih. Penulis skrip perlu menulis bagi melahirkan idea atau ilhamnya agar dapat difahami oleh pengarah filem supaya ia tidak lari dari idea sebenar. Ini bermakna seseorang penulis skrip bukan sahaja perlu mewujudkan 'komunikasi' bersama pengarah malah terhadap penonton supaya jalan cerita dan mesej dapat difahami. Seseorang penulis skrip perlu menulis dengan gaya bahasa yang mudah difahami, ringkas dan tepat. Penulis skrip juga harus memastikan setiap urutan cerita dan adegan dapat difahami apabila seluruh cerita itu telah diikuti atau ditontoni para penonton. Skrip biasanya ditaip di atas kertas bersaiz A4. Berikut adalah contoh penulisan skrip yang biasa digunakan oleh golongan penulis skrip professional.

ADEGAN: 05 EXT. TEPI SUNGAI. PAGI.

PERLIHATKAN PEMANDANGAN DI SUNGAI YANG TENANG DI PINGGIR HUTAN. SANG KANCIL DATANG KE TEBING SUNGAI DAN BERDIRI DI ATAS AKAR POKOK BESAR YANG MENJALAR KE ARAH AIR SUNGAI. SANG KANCIL MEMBAWA BERSAMANYA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING.

SANG KANCIL:

Wahai buaya-buaya sungai sekalian. Dengar sini semua! Aku datang dengan membawa perkhabaran baik dari Istana Segumpal.

DENGAN MIMIK MUKA YANG BERSAHAJA SANG KANCIL MEMBUKA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING DI TANGANNYA DENGAN TENANG. LIMA EKOR BUAYA BERWARNA KELABU, BIRU, MERAH, UNGGU DAN MERAH JAMBU TIMBUL DI PERMUKAAN AIR SUNGAI YANG TENANG DENGAN MENUNJUKKAN KEPALANYA.

Raja Al-Baladi telah menjemput semua buaya penghuni sungai ini ke istana pada esok pagi. Baginda mengadakan makan kenduri. Aku juga telah diperintahkan untuk mengambil buah-buahan di seberang sana.

SANG KANCIL MENUNJUKKAN KE ARAH KEBUN BUAH-BUAHAN DI SEBERANG SUNGAI DENGAN MENGANGKAT TANGAN KANANNYA. BUAYABUAYA DI DALAM SUNGAI BERPALING MELIHAT ARAH KEBUN BUAHBUAHAN.

BUAYA BIRU: Tahukah kau berenang wahai Sang Kancil?

BUAYA BIRU BERTANYA SEAKAN-AKAN MENYINDIR SAMBIL TERSENYUM SINIS MENGANGKAT KENING BERULANG KALI.

BUAYA MERAH JAMBU: Apa kau tidak takut menjadi sarapan kami?

BUAYA KELABU, BUAYA MERAH DAN BUAYA BIRU: Aha ha ha ha ha ha.

KETAWA TERBAHAK-BAHAK MENAMPAKKAN ANAK TEKAK YANG TERJELIR HAMPIR SAMA PANJANGNYA DENGAN LIDAH MEREKA SAMBIL TANGAN MEMEGANG PERUT YANG LAPAR.

SANG KANCIL:

Hai! Sang Bedal berlimaDi antara kalian menjamah aku, dibandingkan dengan hidangan kenduri di istana esok pagiYang mana satukah kalian idamkan?

KELIMA-LIMA EKOR BUAYA TERDIAM DAN MENELAN AIR LIUR SALING BERPANDANGAN SESAMA SENDIRI SETELAH MENDENGAR KATA-KATA SANG KANCIL.

BUAYA KELABU: Kami bergurau saja Sang Kancil. Begini, beri kami berbincang dahulu seminit dua.

SANG KANCIL: Baiklah, tetapi jangan lama-lama!

BUAYA KELABU: Ehem hem hem Sudah tentu hanya dua minit sahaja. Buaya - buaya sekalian! Mari kita ke meja perhitungan!

BUAYA KELABU KETAWA KECIL. DENGAN PANTAS BUAYA KELABU MENGARAHKAN EMPAT SAHABATNYA BERKUMPUL KE BAWAH SEBATANG POHON RENDANG DI SEBERANG SUNGAI BERHAMPIRAN KEBUN BUAHBUAHAN. SEMUA BUAYA BERGERAK PANTAS.

CUT-

Pada contoh skrip tersebut terdapat beberapa perkara penting yang berfungsi sebagai petunjuk adegan. Setiap satu daripadanya memainkan peranan penting seperti:

BILANGAN ADEGAN. ADEGAN 05: Terdapat pada awal penulisan skrip merupakan nombor bilangan adegan. Adegan yang dihasilkan pada skrip di atas menunjukkan adegan kelima dalam sebuah cerita. Nombor bilangan amat penting untuk memberi kefahaman terhadap pembaca, di adegan manakah sedang mereka lakonkan atau arahkan.

SITUASI DAN TEMPAT. EXT. Skrip ini menunjukkan lokasinya adalah di kawasan luar. EXT adalah ringkasan bagi exterior. Jika lokasinya adalah di dalam rumah, pejabat, kedai dan lain -lain, ia akan ditulis menggunakan ringkasan INT bagi penggunaan interior. Dari sudut teknikal, ia mampu membantu pengarah sinematografi mewujudkan suasana yang sesuai dengan babak yang dikehendaki oleh sutradara.

LOKASI. TEPI SUNGAI. Setiap watak yang beraksi sudah tentu berlatar belakangkan sebuah tempat seperti di rumah, jalanraya, atas pokok dan sebagainya. Dalam skrip di atas lokasinya adalah di tepi sungai dalam hutan yang mempunyai pokok-pokok besar.

MASA. PAGI. Bagi sesebuah adegan, masa menunjukkan berlakunya sesuatu situasi itu contohnya seperti malam, petang, tengahari atau senja. Masa dalam contoh skrip di atas menunjukkan masa bagi situasi itu berlakunya pada waktu pagi.

CERITA, ARAHAN AKSI DAN KERJA KAMERA. PERLIHATKAN PEMANDANGAN DI SUNGAI YANG TENANG DI PINGGIR HUTAN. SANG KANCIL DATANG KE TEBING SUNGAI DAN BERDIRI DI ATAS AKAR POKOK BESAR YANG MENJALAR KE ARAH AIR SUNGAI. SANG KANCIL MEMBAWA BERSAMANYA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING. Animasi akan digerakkan oleh juruanimasi dan pembantu juruanimasi mengikut arahan pengarah animasi bagi menghidupkan cerita. Setiap gerakan watak animasi itu pula dibuat berpandukan rekaletak babak. Rekaletak babak pula dihasilkan merujuk kepada papan cerita. Dengan membaca perenggan arahan yang ditulis penulis skrip, juga akan dapat membantu gerakan kamera yang diperlukan mengikut gerak dan aksi watak. Ia berfungsi secara tiga dalam satu iaitu membaca adegan cerita, memberi arahan aksi watak dan mencadangkan gerakan asas kerja kamera.

NAMA WATAK. SANG KANCIL:

Nama watak akan ditaip di tengah-tengah dengan jarak selang 'dua' atau 'empat' baris dari kolum 'arahan cerita'. Nama watak pula mesti di taip dengan menggunakan huruf besar.

DIALOG. Wahai buaya-buaya sungai sekalian. Dengar sini semua! Aku datang dengan membawa perkhabaran baik dari Istana Segumpal. Dialog akan di taip selang dua baris dari jarak NAMA WATAK dan di tulis dalam huruf kecil, kecuali huruf bagi permulaan dialog, nama tempat, nama orang, huruf selepas noktah, tanda seruan dan sebagainya.

ARAHAN KHUSUS WATAK. DENGAN MIMIK MUKA YANG BERSAHAJA SANG KANCIL MEMBUKA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING DI TANGANNYA DENGAN TENANG. LIMA EKOR BUAYA BERWARNA KELABU, BIRU, MERAH, UNGGU DAN MERAH JAMBU TIMBUL DARI PERMUKAAN AIR YANG TENANG DENGAN MENUNJUKKAN KEPALANYA. Arahan khusus watak berbeza dengan arahan kamera, aksi watak atau arahan cerita untuk kefahaman pembaca skrip (pelakon watak). Di dalam penulisan skrip, arahan ini dibuat khusus bagi watak sahaja untuk beraksi. Arahan ini ditaip di tengah-tengah, juga dengan menggunakan huruf besar kesemuanya. Arahan ini juga bertindak sebagai panduan untuk membimbing aksi watak.