Anda di halaman 1dari 6

KHUTBAH JUMAAT 19 REJAB 1431H/02 JULAI 2010M

AL-QUR'AN ASAS PANDUAN HIDUP MUKMIN


Oleh: Ustaz Janis @Ahmad Jani bin Nawawi

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT. Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melakukan segala yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Mudah-mudahan dengan sifat taqwa akan membawa kita hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah yang bertajuk: Al-Qur'an Asas Panduan Hidup Mukmin. JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA. Sesungguhya kejayaan hidup manusia di dunia ini ialah apabila mereka menjadikan Al-Qur'an sebagai panduan dalam kehidupan. Sebaliknya Kelemahan Umat Islam pada hari ini adalah kerana mereka lalai dan alpa memahami isi kandungan Al-Qur'an yang diturunkan oleh Allah SWT dan tidak mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Al-Qur'an adalah mukjizat agung yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Rasul pilihan-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita sebagai Umat Islam yang mengaku beriman tidak perlu ragu-ragu akan kebenaran Al-Qur'an sebagai kitab pegangan hidup manusia kerana telah jelas sekali disebut dalam Al-Qur'an, Allah SWT berfirman :

Maksudnya: "Jika kamu dalam ragu-ragu tentang ( Qur'an ) yang Kami turunkan kepada hamba Kami ( Muhammad ), maka perbuatlah olehmu satu surat seumpamanya dan panggillah saksi-saksimu lain selain daripada Allah, jika kamu orang yang benar. Kalau kamu tidak perbuat dan takkan kamu dapat memperbuatnya, maka takutlah akan api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu-batu, disediakan untuk orang-orang kafir". ( Surah Al-Baqarah,ayat: 23-24 ) JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN. Kita pasti bahagia dan sejahtera jika membangun dunia, memakmurkan bumi ini dengan mengikut landasan Al-Qur'an. Sebaliknya cahaya kebahagiaan tidak akan terbit dari jiwa masyarakat yang mahu membangunkan negara sekiranya mereka meminggirkan nilai-nilai AlQur'an. Kenapa kemusnahan terjadi di muka bumi? Jawabnya kerana manusia menyisihkan AlQur'an. Al-Quran menolak segala nilai yang membawa kemusnahan dan kebinasaan baik elemen-elemen yang boleh memusnahkan diri, merosakkan jasad, membinasakan orang lain dan menjejaskan alam sekeliling. Manusia juga tidak akan tersesat selagi berpegang teguh dengan kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu, Kitabullah dan Sunnah pengajaranku". (AlHadith) Beberapa perkara yang serius dan parah lagi apabila manusia yang sudah jauh daripada nilai ajaran Al-Qur'an di mana mereka dengan tanpa perasaan malu, sudah berani meminum arak dan bermain judi di khalayak ramai. Arak sebagai ibu segala maksiat dan kemungkaran. Ianya boleh mendatangkan penyakit dalam badan dan menjejaskan kewarasan akal. Arak juga boleh menularkan penyakit-penyakit yang lain seperti perkelahian dalam rumahtangga dan masyarakat. Ianya akan melahirkan manusia yang berfikiran kalut, tiada matlamat hidup dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Seperti juga halnya dengan judi, kerana perbuatan tersebut akan melahirkan jenis manusia yang suka berangan-angan kosong, tidak mahu berusaha, malas, hanya mengharap nasib dari kegiatan yang sia-sia itu. Justeru itu, maka sudah tentulah mereka terjebak dalam pencarian nafkah dari sumber yang tidak halal dan sebagainya. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung adalah ( pekerjaan ) keji dari perbuatan Syaitan. Sebab itu hendaklah kamu menjauhkannya. Mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan". (Surah Al-Ma'idah, ayat: 90 ) JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN Selain daripada itu, ajaran-ajaran sesat dan menyeleweng juga menjadi punca kepada ketidaktenteraman kepada manusia. Ini kerana kesesatan telah menjejaskan akidah dan boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Amat benar sekali disebut dalam Hadith Nabi yang telah dibacakan tadi bahawa jika manusia berpegang dengan pusaka peninggalannya iaitu Al-Qur'an dan Sunnah sudah tentu manusia tidak akan sesat dan menyesatkan, tersesat dan disesatkan, kerana kitabullah dan Sunnah Nabi SAW memberikan ajaran yang jelas dan lengkap untuk mengatur kehidupan berakidah manusia. Tiada yang tersembunyi dalam ajaran Al-Qur'an, seperti yang disembunyikan oleh ahli kumpulan ajaran sesat. Ajaran Al-Qur'an juga menjadi asas kepada kebahagiaan dan kesejahteraan. Ini kerana orang yang benar-benar menghayati ajaran Al-Qur'an akan memiliki nilai ukhwah dan perpaduan yang tulen serta mengelak daripada berlaku sebarang persengketaan sesama insan khususnya saudara seagama. Dalam konteks berkeluarga pula, apakah keluarga yang dibentuk telah digilap, dijaga dan diasuh dengan nilai-nilai Al-Qur'an? Pembentukan keluarga adalah bergantung kepada kedua ibu bapa. Bagaimana mereka mencorak anak-anak yang bakal membesar, membina keluarga dan seterusnya membentuk masyarakat. Kriteria yang terdapat pada anak-anak adalah berdasarkan acuan yang telah dipilih oleh ibu bapa kerana anak-anak dilahirkan dalam keadan fitrah Islami, yakni, suci bersih seperti kain putih, kedua ibu bapanyalah yang mencorakkan warnanya, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam keadan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menyebabkan dia menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi" (Al-Hadith) Persoalan-persoalan ini terjawab dengan sendirinya dengan fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antara gejala-gejala sosial yang kita lihat sekarang ini ialah: 1. Keruntuhan akhlak di kalangan muda mudi. 2. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim 3. Budaya lepak dan membuang masa di kompleks-kompleks membeli belah. 4 .Gejala samseng dan black metal. 5. Gejala penagihan dadah, Syabu, dan menghidu gam.

6. 7. 8. 9.

Pelajar mencederakan guru. Budaya peras ugut di kalangan pelajar sekolah. Kejadian ayah kandung mencabul kehormatan anak gadis sendiri. Datuk mencabul kehormatan cucu perempuan sendiri.

10. Abang kandung mencabul kehormatan adik perempuan sendiri. 11. Merompak 12. Berlakunya pembunuhan kejam dan sebagainya. Fenomena ini berlaku adalah disebabkan jiwa manusia kegersangan ilmu, iman dan amal yang bersandarkan ajaran Al-Qur'an. Dalam masyarakat, perpecahan juga menjadi punca lumpuhnya sistem ekonomi, berlaku kecelaruan kepada pentadbiran, siasah serta sistem kemasyarakatan yang lain. Fenomena ini akan memberi ruang kepada musuh menembusi benteng kekuatan kita, malah mereka akan mengambil kesempatan menguasai dan menjajah pemikiran, jiwa, sistem pengurusan negara dan lebih berbahaya lagi apabila mereka mengambil peluang ini untuk melumpuhkan kebebasan dan keselesaan masyarakat dalam menghayati serta mengamalkan ajaran Islam. Jelaslah bahawa segalanya ini berpunca daripada perpecahan dalam masyarakat. Oleh itu, dengan berpegang kepada Al-Qur'an, pasti kita akan menemui nilai-nilai yang menjana kepada perpaduan Ummah. Al-Qur'an menganjurkan agar kita saling bekerjasama dalam perkara kebaikan dan Al-Qur'an juga melarang insan untuk-tolong menolong dalam hal dosa dan permusuhan. Firman Allah:

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya )". (Surah Al-Ma'idah,ayat: 2) Al-Quran dan Sunnah juga mengajar kita untuk menanamkan bibit-bibit yang boleh menyuburkan kasih sayang, berbaik sangka, bekerjasama, cinta mencintai sesama saudara. Dalam masa yang sama Al-Qur'an melarang kita untuk menanam benih permusuhan, seperti hasad dengki, fitnah memfitnah, caci mencaci, mengumpat, mengadu domba, tuduh menuduh dan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain, kerana semuanya ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada perpecahan dan kemusnahan Ummah. JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN . Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai Kitab yang menerangi kegelapan hidup umat manusia, Al-Qur'an Al-Karim menyajikan pelbagai bidang disiplin ilmu yang amat luas. Ia

merangkumi ilmu Tauhid, Akhlak, Ibadat, Jinayat, Munakahat, hukum-hakam, Muammalat di samping maklumat-maklumat sejarah seperti Geografi, Sains, Kesihatan, Perubatan, Pertanian, Peperangan, Politik, Peristiwa-peristiwa akan datang dan banyak lagi. Dengan hal yang demikian, secara kasarnya dapatlah dirumuskan yang isi Al-Qur'an itu mengandungi nasihat, teladan serta panduan berhubung dengan cara bagaimana hendak membina hidup yang lebih bermakna dalam ruang lingkup dunia dan akhirat yang diredhai oleh Allah SWT. Ilmu-ilmu dan maklumat-maklumat tersebutlah yang menjadikan Al-Qur'an sebagai satu-satunya kitab yang sempurna sebagai kekuatan atau rahmat dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN . Al-Quran yang kaya dengan khazanah ilmu dan maklumat itu tidak mungkin memberi sebarang faedah kiranya ia tidak dimanfaatkan seperti yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Justeru itu, dalam rangka menjadi umat yang berkualiti, mampan dan cemerlang, ilmu dan maklumat bermanfaat yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Kitab suci-Nya itu hendaklah dipelajari dan dihayati sepenuhnya seterusnya dilaksanakan secara praktik. Ini boleh dilakukan secara pembacaan dengan meneliti, memahami serta menghayati sungguh-sungguh maksud dan tujuan setiap kalimat dan ayatnya. Ini memandangkan ayat-ayat Al-Quran itu ada yang nyata maksudnya dan ada yang perlu penafsiran yang lebih terperinci lagi. Satu perkara yang amat menyedihkan umat Islam pada hari ini ialah, kalau kita tanya, adakah mereka membaca Al-Qur'an di rumah? Mereka menjawab, tidak ada masa. Itulah alasan yang seringkali diutarakan. tetapi kalau mereka membaca Majalah-majalah, Surat Khabar, ceritacerita Misteri, majalah Porno dan menonton televisyen berjam-jam ada pula masa mereka. Semuanya ini boleh diubah jika kita benar-benar menjadikan Al-Qur'an sebagai teras pegangan hidup dalam mencari kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Disediakan oleh: Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Anda mungkin juga menyukai