Anda di halaman 1dari 42

Sukan antarabangsa tarik pelancong ke Langkawi

21 September 2012 LANGKAWI - Beberapa kejohanan sukan bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung di Langkawi sepanjang hujung tahun ini dijangka membantu pulau legenda itu mencapai sasaran lebih dua juta pengunjung tahun ini. Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Langkawi Pishol Ishak berkata antara acara berkenaan ialah kejohanan Boling Padang Antarabangsa Langkawi bagi merebut Piala Mahsuri dari 10 hingga 15 Okt ini. Selain itu, Langkawi juga menjadi tuan rumah kejohanan Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi dari 15 hingga 20 Okt, Kejohanan Paintball Dunia/Asia (8-11 Nov) dan kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Langkawi (7-11 Dis). "Kami yakin acara-acara itu akan memberi impak yang besar terutama dalam industri pelancongan Malaysia dan Langkawi," katanya kepada Bernama, di sini hari ini. Sementara itu, Anggota Parlimen Langkawi Datuk Abu Bakar Taib berkata liputan rangkaian telekomunikasi di pulau itu akan pertingkat selaras dengan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Beliau berkata perbincangan untuk tujuan itu telah diadakan di antara syarikat telekomunikasi baru-baru ini bagi mencari jalan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan. "Hasil kajian sebuah syarikat menunjukkan liputan telekomunikasi 3G di Pulau Langkawi masih berada di tahap yang tidak memuaskan. "Saya berharap dapat liputan yang baik di seluruh Langkawi dengan mengambil kira acara-acara antarabangsa yang akan berlangsung seperti pertunjukan maritim dan udara pada Mac 2013 dan kejohanan-kejohanan lain sepanjang hujung tahun ini," katanya. - Bernama

Terbuka Malaysia merupakan kejohanan badminton yang biasanya diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia. Kejohanan ini telah diadakan sejak 1937 dan telah berlangsung di beberapa venue berlainan seperti Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Penang, Selangor. Kejohanan ini tidak diadakan dua kali: dari 1942 hingga 1946 disebabkan oleh Perang Dunia II dan 1967 ke 1982. Ia menjadi salah satu daripada Kejohanan BWF Super Series mulai 2007, dan dikenali sebagai Kejohanan Super Series Terbuka Malaysia.
Litar Antarabangsa Sepang ialah litar yang digunakan untuk perlumbaan Formula Satu, Grand Prix A1 dan Grand Prix Motosikal dan sukan permotoran yang lain. Litar ini terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 60 km di Selatan Kuala Lumpur.

Grand Prix Malaysia 2012 : Hafizh kini antara Pelumba Bertaraf Dunia.
Monday, 22 October 2012 11:36 Hafiz Roslan

SEPANG 21 Okt - Pelumba Moto2 Negara Hafizh Syahrin Abdullah berjaya memberi saingan kepada pelumbapelumba dunia yang lain sejurus keputusan cemerlang rakan pelumba dari Moto3 Zulfahmi Khairuddin yang menaiki podium tempat kedua dalam Perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia di Litar Sepang. Beliau yang merupakan penunggang pasukan Petronas Raceline Malaysia bersaing atas tiket 'wild card' telah menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan 15 pusingan dari 19 pusingan tatkala pertaruhan terpaksa diberhentikan atas faktor cuaca. Sebelum tamat perlumbaan, pelumba berusia 18 tahun itu bermula di petak ke-27 sebelum memintas para pelumba berpengalaman yang lain.

Pada satu peringkat, Hafiz berjaya mendahului tiga pusingan sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 37 minit 00.734 saat di belakang Alex De Angelis dari pasukan NGM Mobile Foward Racing, Anthony West (QMMF Racing Team) dan Gino Rea (Federal Oil Gresini Moto2 Suter). "Selepas Zulfahmi berjaya meraih tempat kedua pada perlumbaan Motor3, kejayaan beliau memberi semangat kepada saya untuk berada di hadapan. Tiada erti putus asa dan memang kegemaran saya berlumba dalam hujan. Saya percaya pada diri yang saya boleh buat di hadapan penonton, saya tidak berputus asa untuk pergi lebih ke hadapan" katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan di sini petang semalam. Berikut merupakan keputusan Perlumbaan Moto2 Grand Prix Motosikal Malaysia 2012 :-

Mohammad Azizul Hasni bin Awang (lahir 5 Januari 1988) adalah seorang pelumba basikal trek profesional Malaysia. Azizul Hasni terkenal selepas memenangi kejuaraan lumba basikal dunia di Melbourne Australia pada Januari 2009 serta pingat emas acara keirin dan pecut 200m Kejohanan Trek Asia pada April 2008. Dia adalah pembawa bendera untuk pasukan kebangsaan Malaysia di Sukan Olimpik Beijing 2008. Dia disebut Azizul the pocketrocketman kerana tubuh badannya yang kecil. Azizul Hasni merupakan pelumba yang kini menduduki Ranking Pertama di Dunia bagi acara Keirin. Selain kejayaannya, Azizul juga terkenal kerana menunjukkan sikap tidak mengaku kalah apabila meneruskan kayuhan meskipun betisnya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20sm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI (International Cycle Union) di Manchester, England pada Februari 2011. Beliau berjaya menamatkan perlumbaan itu di tempat ketiga.[2] Datuk Lee Chong Wei (Cina Ringkas: ; Cina Tradisional: ; pinyin: L zng wi, lahir pada 21 Oktober 1982 di Bagan Serai, Perak[2]) ialah seorang pemain badminton professional dari Malaysia yang kini menetap di Bukit Mertajam.[3] Lee merangkul pingat perak di temasya Sukan Olimpik 2008 dan 2012 [4] , maka menjadi rakyat Malaysia pertama yang layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekaligus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak tahun 1996. Pencapaian ini mengurniakan gelaran Datuk kepadanya, serta sanjungan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai wira kebangsaan.[5] Lee menduduki tangga teratas dalam ranking pemain badminton lelaki perseorangan selama 199 minggu berturut-turut, iaitu pada 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.[6] Beliau ialah pemain badminton Malaysia ketika yang mencapai tangga teratas selepas Rashid Sidek dan Roslin Hashim (semenjak ranking rasmi dimulakan pada 1980-an), dan juga satu-satunya jaguh badminton Malaysian yang mempertahankan kedudukan teratasnya selama lebih dua minggu. Nicol Ann David ialah seorang pemain skuasy profesional wanita berbangsa Malaysia yang menjadi wanita Asia pertama yang menduduki tangga #1 dunia dalam sukan skuasy wanita. Beliau pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008, dan juga gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.

Nicol merupakan pemain skuasy pertama yang menjuarai Kejohanan Skuasy Junior Sedunia dua kali; iaitu pada tahun 1999 dan 2001 di bawah bimbingan Richard Glanfield. Beliau kekal satu-satunya pemain skuasy wanita yang berbuat demikian, sehingga Raneem El Weleily menyamai pencapaian beliau ini dengan memenangi Kejohanan Junior Sedunia keduanya pada tahun 2007. Nicol menyertai WISPA lalu mencapai status profesional pada tahun 2000 apabila memenangi gelaran WISPA sulungnya hanya sebulan selepas penyertaannya itu. Kemenangan itu tercapai pada bulan Februari apabila beliau menewaskan Salma Shabana di pusingan akhir Terbuka Finland Savcor. Pada 7 Jun 2008, Nicol David dikurniakan gelaran Darjah Bakti sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Nicol turut diundang untuk membawa obor Olimpik untuk Malaysia sewaktu persediaan ke Sukan Olimpik di Athens pada tahun 2004 di samping dilantik sebagai Duta Muhibah Kebangsaan Malaysia oleh UNDP. Antara pencapaian lain Nicol David termasuk Kejohanan Skuasy Asia yang dijuarainya tujuh kali (1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 dan 2010). Beliau juga mempertahankan tempoh kejuaraan demi kejuaraan selama 13 bulan dan 51 perlawanan mulai Mac 2006, hingga tewas di tangan Natalie Grinham di Terbuka Seoul pada April 2007. Bagaimanapun, beliau sekali lagi membuat rentetan tanpa kalah selama Nicol turut meraih Pemain Terbaik WISPA enam kali berturut-turut, dari tahun 2005 hingga 2010.

Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menganjurkan sukan pada peringkat antarabangsa dengan jayanya. Huraikan kesan positif penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa kepada negara kita. Rangka Karangan Pendahuluan - Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat - menaikkan nama Malaysia di persada dunia Isi-isi i. kedatangan pelancong asing semakin meningkat ii. mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia iii. dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama iv. wadah untuk perpaduan v. meningkatkan mutu sukan negara Penutup - penganjuran sukan di peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif Karangan Contoh Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat seluruh warga dunia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sukan juga merupakan suatu instrumen untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek. Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, Di mana ada gula, di situ ada semut. Para pelancong berkunjung ke

Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita. Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia . Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia. Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek. Di samping itu, kita sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi bagai aur dengan tebing. Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini demikian kerana, ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan negara sendiri yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mreka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada penyokongpenyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia Boleh. Konklusinya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti serampang dua mata. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa akan menjadi kenyataan. Oleh Nurul Natasha Shahduddin, 6A2.

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini terhadap masyarakat. Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti Facebook, My Space, Frienster, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang muda h serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia. Penggunaan laman sosial seperti Facebook yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti. Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol. Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti. Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial

tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti Facebook dan My Space diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti Black Metal, Punk, Gothic, dan Skin Head akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat. Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Oleh; Raja Muhammad Hanafi b. Raja Iskandar 6A1 SMKBBST

Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini. Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas. Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anakanak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas. Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau

maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada mengubati. Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilainilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat. Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anakanak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi. Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2 Contoh karangan faktor kes pembuangan bayi Dalam dunia yang dilingkari arus kemodenan ini, tidak dapat dinafikan bahawa masalah sosial turut menghambat masyarakat , maka wujudlah kes pembuangan bayi yang kian meningkat saban hari.Hal ini satu pembaziran terhadap sumber manusia atau sumber tenaga kerja bagi membangunkan negara kita.Secara tidak langsung,masalah ini menyebabkan dasar kependudukan yang diutarakan pada zaman pentadbiran Perdana Menteri yang ke-4 iaitu Dr.Mahathir bin Muhammad tidak kesampaian bagi mencapai jumlah penduduk optimum menjelang 2020. Kes pembuangan bayi umpama penyakit barah yang perlu diatasi dengan segera. Bagi mengatasi masalah ini, pemangkin atau faktor permasalahan yang merobek nilai-nilai kemanusian ini perlu dikaji dengan teliti hingga ke akar umbinya. Kita juga tidak dapat menafikan bahawa, terdapat faktor lain yang menjadi punca masalah pembuangan bayi selain daripada kepincangan keluarga. Sememangnya,tidak dapat dinafikan bahawa kepincangan keluarga adalah faktor atau pemangkin utama permasalahan ini. Sesebuah keluarga yang berantakan akan menyebabkan anak-anak dalam keluarga tersebut mencari jalan alternatif bagi melupakan masalah yang dihadapi . Anak-anak tersebut akan terlibat dalam kegiatan-kegiatan seperti pergaulan bebas.Hal ini dikatakan demikian kerana

,kawan-kawan merupakan insan yang memahami diri mereka dan mereka mempercayai kawan-kawan melebihi ahli keluarga sendiri. Hal ini memungkinkan hubungan seks diluar nikah terjadi, setelah berlakunya keterlanjuran. Jalan mudah yang akan diambil ialah membuang bayi yang tidak berdosa tersebut sekaligus menolak nilai kemanusian. Walaubagaimanapun,terdapat faktor-faktor lain yang menjadi pemangkin kepada permasalahan ini faktor individu yang kurang penghayatan terhadap amalan dan nilai-nilai keagamaan. Seseorang yang berpegang teguh kepada rukun-rukun agama tidak akan berani ingkar atau melanggar hukum agama dan sesungguhnya tiada agama di dalam dunia yang merelakan umatnya melakukan maksiat dan dosa. Seseorang yang terlibat dalam kes pembuangan bayi ini, tergolong dalam golongan manusia yang kurang pengetahuan tentang keagamaan. Sekiranya seseorang itu sedar dan berpegang teguh kepada ajaran agama maka,tidak akan timbullah masalah pembuangan bayi ini. Sudah terang lagi bersuluh, ternyata bahawa peranan media massa juga menjadi faktor permasalahan ini. Kebanyakan siaran di rangkaian televisyen setelit tidak ditapis sepenuhnya oleh oleh pihak berkenaan. Budaya-budaya negatif dari barat diserap sepenuhnya oleh golongan remaja di negara kita akibat terpengaruh dengan siaran-siaran yang di tonton di televisyen .Unsur-unsur seks yang dipaparkan akan mempengaruhi golongan remaja akan melakukan seks di luar nikah. Apabila telah keterlanjuaran , jalan penyelesaian yang diambil ialah pembuangan bayi bagi menjaga maruah diri sedangkan maruah diri remaja itu sudah ternodai atau tercalar. Remaja adalah golongan yang dikategorikan sebagai golongan yang mempunyai daya inkuiri yang tinggi. Semangat inkuiri yang tinggi ini menyebabkan rasa ingin tahu dan mencuba sesuatu baik mahupun buruk menebal dalam diri remaja.Sebagai contoh, pasangan remaja yang sedang hangat bercinta akan cenderung ingin mencuba perkara yang dilakukan orang yang sudah berumah tangga lakukan, tanpa berfikir akan kesannya. Apabila nasi sudah jadi bubur, biasanya golongan remaja ini akan lari dari tanggungjawab dan jalan yang terbaik bagi mereka untuk lari dari tanggungjawab ialah dengan membuang bayi tersebut. Satu lagi punca masalah pembuangan bayi ini ialah aktiviti pelacuran. Golongan yang terlibat dalam aktiviti ini adalah untuk mendapatkan wang dengan masa yang singkat dan lumayan. Hal ini dikatakan demikian kerana sokongan ini terdesak untuk memperolehi wang bagi menampung perbelanjaan yang melebihi kemampuan tambahan lagi jika tinggal di kawasan Bandar yang sememangnya memerlukan kos sara diri yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan golongan ini terlibat dalam masalah pembuangan bayi. Mereka malu hendak memelihara bayi tersebut kerana bayi itu hasil daripada kegiatan pelacuran dan tanpa ikatan yang sah.Bagi menutup malu mereka,bayi tersebut dibuang tanpa belas kasihan. Konklusinya, masalah ini bukan hanya disebabkan masalah kepincangan keluarga tetapi turut dipengaruhi oleh individu itu sendiri dan pelbagai unsur luaran yang lain. Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak haruslah berganding bahu dan bukannya menunding jari kepada satu pihak sahaja. Kerajaan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama badab bukan kerajaan (NGO) bekerjasama menubuhkan Tabung DNA bagi memudahkan proses mengesan ibu bapa kepada bayi yang dibuang. Di samping itu,masyarakat hendaklah bekerjasama membantu dalam menjayakan usaha ini agar nilai kemanusian dapat dijunjung sekaligus dapat mengelakkan remaja dari terjerumus ke dalam lembah kejahilan. -Hasil pena: Henryson (Tingkatan 6 Atas Arif SMKSA
Kes buang bayi semakin meningkat. Sebanyak 517 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, jumlah itu merangkumi 203 orang bayi lelaki, 164 orang bayi perempuan dan 150 orang bayi yang tidak diketahui jantinanya. Bagi kes tidak dikenal pasti jantina, ini adalah kerana keadaan mayat yang reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan," Daripada 517 bayi itu, sebanyak 230 merupakan bayi yang hidup, manakala 287 pula bayi yang telah meninggal dunia. Seramai 37 orang suspek telah ditangkap dari 2005 hingga tahun ini termasuk empat orang pada Januari ini berhubung kes pembuangan bayi. Menurutnya, hasil kajian mendapati lokasi yang paling popular untuk jenayah ini adalah di kawasan perumahan dan tempat pembuangan sampah selain di tepi jalan, masjid, sungai, semak dan dalam tandas. Bernama

Sumber: http://zonfiniti.blogspot.com/2011/02/statistik-kes-buang-bayi-2010-jan-2011.html#ixzz2Ape9rVvT Sila baca lagi di http://zonfiniti.blogspot.com

Untuk tahun 2012 sahaja [sehingga jun] statistik pembuangan bayi adalah sebanyak 31 kes, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Singh.Menurut beliau, peningkatan bilangan itu disebabkan oleh kekerapan laporan yang dibuat dan masyarakat menjadi lebih prihatin.

Negeri yang mencatat kes buang bayi tertinggi adalah negeri Selangor kemudiannya di ikuti negeri Johor. Majoriti kes pembuangan bayi adalah terdiri dari kaum melayu. Tambah beliau, input dari maklum balas sesi kaunseling dan kajian kes di beberapa rumah kebajikan untuk remaja di bawah umur 18 tahun mendapati faktor tekanan dan kurang pengetahuan mengenai kesihatan mempengaruhi kepada kehamilan yang tidak diingini. Juga dikatakan kebanyakan remaja tidak memahami kesan serta risiko hubungan intim tanpa perkahwinan. Kemahuan untuk menyesuaikan dengan kebanyakan remaja telah mempengaruhi gaya hidup mereka, katanya selepas melancarkan seminar Katakan Tidak Pada Pembuangan Bayi di sini.

Harjeet berkata, remaja hari ini bergaul bebas dan kurang pengawasan daripada ibu bapa. Faktor terlalu inginkan kebebasan dan tidak mahu dikongkong menjadikan remaja lebih berani dengan bertindak tanpa berfikir dengan panjang.

Bagaimanapun, faktor keagamaan yang semakin longgar adalah fakor utama bagi kes kes seperti ini. Kadang-kadang, perkara yang menjadi trend di kalangan mereka adalah pergi berparti dan mengadakan hubungan intim bersama pasangan, kata beliau. # Untuk info, seawal tahun baru 2012 sahaja 7 kes buang bayi di catatkan dalam tempoh seminggu. Bermakna ianya memang satu perkara yang sangat2 membimbangkan. Jadi apakah pandangan anda tentang pengenalan baby hatch di Malaysia?

Punca-Punca Pemanasan Global Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya. Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana, perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas. Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum nasi menjadi bubur. Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana, kegiatan perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat lagi. Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana, pantulan daripada matahari yang menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor berlakunya pemanasan global. Kesimpulannya, nilai kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Diharapkan agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata, kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita.

Oleh Munirah bt. Ali Mohamed (6A2) Soalan: Perniagaan Internet semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dalam era globalisasi ini. Huraikan kelebihan dan kelemahan perniagaan Internet pada masa ini. Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui Internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan Internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa kini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi negara. Di samping itu, perniagaan Internet bukan sahaja khusus kepada syarikat-syarikat besar, malah terdapat juga syarikat kecil yang menjalankan perniagaan Internet, walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan Internet semakin mendapat sambutan hangat iaitu memberi kebaikan kepada peniaga mahupun pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan Internet juga mempunyai keburukan yang tidak dapat dijangka. Perniagaan Internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini demikian kerana, pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan Internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa untuk membuat tempahan di kedai malah boleh membuat tempahan melalui Internet sahaja. Di samping itu, perniagaan Internet juga dapat meluaskan pasaran di serata dunia. Sebagai contohnya, produk Malaysia seperti pencuci muka berjenama murah bukan sahaja tertumpu di dalam negara sahaja, malah boleh meluaskan pasarannya ke luar negara juga seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, mahupun Amerika Syarikat. Penjualan barang di luar negara bukan sahaja memperkenalkan jenama produk Malaysia, malah memberi keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini berikutan

wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara Malaysia dengan negara luar mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan mula menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka. Selain itu, perniagaan Internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara, lebih-lebih lagi dari aspek pelancongan. Dalam sektor pelancongan, kebiasaannya setiap hotel dan pusat pelancongan akan menjual produk pelancongan mereka iaitu dengan membuat promosi mereka melalui Internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan sahaja meningkat, malah persaingan antara negara maju yang lain juga dapat diatasi. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi tinggi. Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila menceburkan diri dalam perniagaan Internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin meningkat maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak mahir menggunakan teknologi maklumat. Peniaga juga terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam Internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang lain itu semula demi kepuasan pengguna. Selain itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan Internet. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum menghantar barangan.

Di samping itu, pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko juga perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu, seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini demikian kerana ditakuti produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam Internet tidak secantik mana, seperti mana yang ditunjukkan melalui iklan dalam Internet. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan, malah mendapat tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan. Sebagai kesimpulannya, perniagaan Internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada peniaga. Di samping itu, bukan sahaja rakyat yang menerima kebaikan dan faedahnya, malahan hal ini turut memberikan impak yang besar juga kepada negara. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia kini mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Walau bagaimanapun, pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang bakal dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan kerajaan haruslah mengawal penggunaan Internet dalam bidang perniagaan, supaya kemudahan ini tidak disalahgunakan kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.

KUALA LUMPUR: Majoriti kes keganasan rumah tangga ketika awal perkahwinan berpunca daripada perselisihan faham antara suami isteri yang mencatatkan sehingga 54 peratus daripada keseluruhan kes bagi tempoh 2007 sehingga Februari lepas. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei berkata, faktor lain ialah kewangan, di bawah pengaruh alkohol, cemburu dan masalah anak-anak. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tempoh itu sebanyak 18,124 kes dilaporkan iaitu 3,756 kes( 2007) ; 3,769 (2008); 3,643( 2009); 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun ini. Bercakap pada sidang media bersama mangsa keganasan rumah tangga di sini Selasa, Heng berkata, walaupun statistik menunjukkan trend mendatar, kementerian itu tetap memandang serius kes berkenaan. "Justeru, kementerian telah melaksanakan program bersesuaian antaranya program 'Smart Start' yang telah dilaksanakan semenjak 2009 demi memastikansegala mesej yang ingin disampaikan kepada pasangan yang ingin berkahwin atau yang sudah mendirikan rumah tangga tidak kurang dari lima tahun mendapat pengetahuan asas dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan," katanya. Katanya, statistik PDRM juga menunjukkan kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga adalah golongan wanita yang berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun, iaitu 35 peratus daripada jumlah kes. "Mereka yang melakukan keganasan rumah tangga ini juga kebanyakannya berusia 26 hingga 35 tahun yang mana ada antara mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga," katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih banyak kes keganasan rumah tangga yang tidak dilaporkan atas faktor budaya masyarakat timur yang konservatif serta malu dan tidak mahu hal rumah tangga diketahui umum. Bagi memastikan pihak polis dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga ini secara efektif, kementerian akan mencadangkan kepada PDRM untuk memasukkan silibus berkenaan cara untuk berhadapan dengan mangsa keganasan rumah tangga ini kepada pelatih polis supaya apabila mereka keluar bertugas kelak, mereka mempunyai kemahiran untuk menyelia kes seperti itu memandangkan kes tersebut merupakan kes yang sensitif dan

membabitkan maruah, katanya. Sementara itu, salah seorang daripada mangsa berusia 20-an yang enggan namanya didedahkan menceritakan pengalamannya dipukul suami sehingga mengalami kecederaan fizikal yang parah. Katanya, dia menyedari suaminya penagih dadah selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2010. "Selepas saya melahirkan seorang anak, suami kerap memukul saya terutama sekali apabila dia berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol dan kami juga sering kali berselisih faham sehingga dia pernah mengugut untuk mengancam keluarga saya. "Pada mulanya, saya berasa takut untuk membuat laporan polis tetapi selepas berfikir saya akhirnya membuat laporan polis," katanya. Katanya, dia berkongsi pengalaman itu bagi mengelakkan lebih ramai wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga. -BERNAMA

Terlintas juga di fikiran, adakah lelaki bergelar suami kini semakin menipis kesabarannya dan kurang kewarasan apabila diselubungi kemarahan. Lebih membimbangkan apabila statistik menunjukkan peningkatan demi peningkatan kes keganasan rumah tangga saban tahun dengan jurang besar. Pada 2006, sebanyak 463 kes dilaporkan membabitkan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan meningkat kepada 517 kes pada 2007, 513 kes (2008), 502 kes (2009) dan 663 (2010). Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Fadzil Che Din berkata, individu panas baran ini jika dilihat daripada luaran sama seperti orang lain dan berada dalam keadaan stabil, namun mereka ini boleh dilabel sebagai bom jangka yang boleh meletup secara tiba-tiba. Apabila rangsangan diberi, lebih-lebih lagi yang tidak kena di mata mereka, ia akan disusuli tindakan agresif, baik secara verbal mahupun perlakuan fizikal. Panas baran ini sebenarnya berkait rapat dengan kelakuan, di mana mereka disifatkan sebagai individu sensitif dan mudah tercuit apabila berlaku sesuatu yang tidak seperti mereka harapkan. Faktor kelakuan merangkumi tabiat, kelangsangan, ajukan atau tiruan dan gerak balas baru yang akhirnya menjurus kepada tingkah laku agresif yang menyakitkan, mencederakan dan memusnahkan, katanya
KEGANASAN terhadap wanita bukan sahaja merupakan satu bentuk pencabulan ke atas hak asasi manusia malah ia juga boleh dikategorikan sebagai satu jenayah. Dengan jumlah yang semakin meningkat ketika ini, usaha untuk menghentikan keganasan terhadap wanita mendapat banyak sokongan tetapi jelas sekali ia masih belum mencukupi. Mengikut rekod, sejak 1994, polis menerima lebih 3,000 laporan keganasan rumah tangga di seluruh negara setiap tahun. Malah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), menunjukkan Januari hingga Julai lalu, sebanyak 1,926 laporan diterima mengenai keganasan domestik manakala rogol sebanyak 1,962 kes. Kajian yang dilakukan oleh sebuah organisasi bebas bukan kerajaan, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), pada 1992 menganggarkan satu daripada 10 wanita menjadi mangsa dera suami mereka. Walaupun WAO berusaha memperkenalkan pelbagai program mendidik dan menyedarkan masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga setiap tahun, namun jumlahnya tidak pernah berkurangan. Menurut Pengarah Eksekutifnya, Ivy Josiah, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 88 kes keganasan rumah tangga yang mewakili 70.4 dan 20 kes untuk hamil luar nikah iaitu 16 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan wanita.

Tambahnya lagi, tidak mustahil angka-angka tersebut akan bertambah sekiranya tiada kesedaran yang diambil oleh kaum wanita itu sendiri. "Kes keganasan terhadap wanita berlaku sejak sekian lama. Ia boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa saja. "Usaha membendung jenayah keganasan terhadap wanita bukan sahaja bergantung kepada seorang individu, satu organisasi atau di bahu kerajaan tetapi ia membabitkan kerjasama semua rakyat di negara ini. "Pelbagai kempen telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenayah ini tapi ia tidak akan dapat dibendung sepenuhnya andai mangsa (wanita) hanya berdiam diri," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen You can make a difference now! di Selangor, baru-baru ini. Katanya lagi, walaupun isu itu sering diperkatakan, hakikatnya ia merupakan satu isu yang perlu diambil berat oleh masyarakat sekeliling. Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, jelas Ivy, laporan statistik tahunan WAO menunjukkan sebanyak 44 peratus atau 55 wanita yang meminta bantuan di WAO pernah terfikir untuk membunuh diri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kes telah dicatatkan dan statistik turut menunjukkan seramai 125 wanita yang mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan WAO dengan 88 daripada mereka adalah mangsa keganasan domestik. Sementara itu, WAO yang merupakan sebuah organisasi bebas, tidak berasaskan agama dan bukan kerajaan, komited untuk menangani keganasan terhadap wanita. Selain menyediakan rumah perlindungan bagi mereka yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, ibu tunggal, wanita pendatang yang didera termasuk pembantu rumah dan wanita yang diperdagangkan, WAO turut menyediakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak (CCC) untuk kanak-kanak. Sejak Januari hingga September tahun ini, WAO telah melindungi 70 wanita dan 16 kanak-kanak daripada pelbagai kes. Laporan statistik tahunan WAO turut menunjukkan sebanyak 70 peratus wanita meminta bantuan perlindungan daripada suami, pasangan, teman lelaki, ahli keluarga atau majikan. Dalam pada itu, bagi menampung kos pengurusan, WAO memerlukan dana sebanyak RM1 juta setiap tahun untuk rumah perlindungan, CCC dan Pusat WAO (kerja advokasi). Setakat ini WAO berjaya mengumpulkan RM700,000 (setakat Oktober lalu) tetapi masih kekurangan RM300,000 dan bagi mengumpul dana, kempen You Can Make A Difference Now! telah dilancarkan. Kempen tersebut bertujuan mendidik masyarakat dalam menangani isu keganasan wanita yang berlaku di samping mengajak orang ramai menderma bagi wanita memerlukan. Mensasarkan orang ramai menjadi penyokong diikuti dengan seruan amalan menderma, ia dilihat memberi impak positif dalam kehidupan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan. "WAO berhasrat membentuk kesedaran di kalangan orang awam mengenai peningkatan jumlah wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga seperti seksaan fizikal dan penderaan seksual. "Hasil dana berkenaan diperlukan bagi membantu mangsa yang mahu 'berhijrah' dari 'alam ngeri' kepada kehidupan baru. "Kempen ini diharap dapat mendidik orang awam mengenai isu yang semakin dibelenggu wanita serta ingin mendapatkan lebih banyak sokongan," kata Ivy lagi. Menurut beliau, WAO percaya setiap individu mempunyai kuasa untuk menyumbang dan membawa perubahan dan itulah mesej asas kempen tersebut. Kepada golongan wanita yang mahukan bantuan persatuan ini bolehlah menghubungi WAO di talian 03-7957 0636 atau 7987 2372.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixzz2AqQI C3RN Utusan Melayu (M) Bhd

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixzz2AqQ C1lMr Utusan Melayu (M) Bhd

Kes keganasan rumah tangga sering berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kes seperti ini berlaku disebabkan oleh tekanan hidup yang dihadapi oleh individu terbabit. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini? Mohd Syamil Akhtar bin Rizani (6A1), SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Kes keganasan rumah tangga semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita. Peningkatan kes berkenaan seperti duri dalam daging yang boleh mengancam keharmonian institusi kekeluargaan di negara ini. Sikap majoriti suami dan bapa yang merupakan ketua dalam sesebuah keluarga yang memukul isteri dan anak-anak serta mendera mereka untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan kemampuan mereka merupakan fenomena yang amat menyedihkan. Oleh hal yang demikian, semua pihak dalam masyarakat perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini. Jika perkara ini tidak dilakukan pastinya semakin banyak isteri dan anak yang akan menjadi mangsa keganasan lelaki yang dayus itu. Tekanan hidup yang dihadapi oleh segelintir individu dikatakan menjadi punca kes berkenaan berlaku. Tekanan untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar individu seperti menghadapi masalah kewangan menjadi sebab individu terbabit tidak mampu lagi mengawal diri mereka daripada bertindak ganas. Di samping itu, seseorang bapa dan suami yang sering diharapkan untuk memenuhi kehendak isteri dan anak-anak mereka, dianggap sebagai bebanan oleh suami yang mempunyai masalah kewangan yang serius. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, suami atau bapa yang menghadapi tekanan tersebut akhirnya hilang kawalan lalu menyeksa isteri atau anak-anak dari segi mental dan fizikal. Fenomena sedemikian akan merumitkan keadaan kerana tidak ada pihak yang beroleh manfaat daripada tindakan sedemikian. Selain masalah kewangan, bebanan hutang yang banyak turut mengakibatkan tekanan mental yang serius terhadap seseorang itu. Seperti harapkan pagar, pagar makan padi, individu berkenan sanggup pula menjual isteri atau anak-anak kepada pihak tertentu semata-mata kerana mereka dianggap merupakan senjata terakhir yang dimiliki oleh mereka untuk melunaskan hutang. Setelah didera secara kejam oleh individu yang diharapkan bagi melindungi dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka, kemudiannya mereka akan dipaksa untuk melakukan kerja yang mudah untuk mendapatkan wang seperti menjadi pelacur. Jika perkara yang sedemikian tidak dibendung, maka individu yang bergelar bapa dan suami tidak boleh dipercayai lagi bagi melindungi seseorang yang bergelar isteri atau anak. Di samping itu, masalah seperti dibebani dengan tugas yang banyak di tempat kerja turut menyebabkan seseorang individu merasakan isteri dan anak-anak boleh dijadikan kuda tunggangan. Kuda tunggangan yang dimaksudkan adalah sebagai tempat mereka melepaskan geram dan kemarahan mereka dengan cara kekerasan terhadap keluarga mereka. Jika di tempat kerja, mereka dileteri dan dimarahi oleh majikan mereka, selain dibebani dengan kerja yang banyak. Oleh itu, dendam yang terbuku dalam hati terhadap majikan mereka ditujukan pula kepada isteri dan anak-anak mereka yang sepatutnya dilimpahi dengan kasih sayang yang secukupnya daripada seorang bapa dan suami. Jika perkara yang sebegini tidak diatasi, pastinya kebahagiaan yang diimpikan dalam gerbang perkahwinan hanyalah impian yang sia-sia. Masalah perkelahian dan perselisihan pandangan dengan individu-individu tertentu terutamanya yang amat dihormati dan dikasihi seperti ibu bapa, adik-beradik mahupun isteri sendiri menjadi punca tekanan perasaan. Hal ini akan mendorong mereka bertindak secara kekerasan terhadap anak-anak dan isteri kerana mereka gagal mengawal emosi dan perasaan, iaitu seperti mencurah minyak ke dalam api yang marak. Seseorang isteri wajar memahami bebanan atau masalah yang sedang ditanggung oleh suami tanpa menambahkan tekanan kemarahan terhadap suami. Jika perkara sedemikian dilakukan juga, maka

pertengkaran yang lebih serius akan berlaku antara suami dengan isteri yang mendorong suami memukul isterinya. Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kegagalan mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Kecenderungan untuk seseorang individu bagi merasai kekecewaan yang berpanjangan tanpa sokongan individu yang dikasihi mendorong perasaan kecewa tersebut menjadi perasaan marah yang seterusnya bertukar menjadi ganas. Harapan menggunung yang diimpikan daripada keluarga seperti sokongan moral dan semangat tidak menjadi kenyataan kerana kesibukan masing-masing mendorong seseorang suami dan bapa bertindak kasar seperti memukul isteri dan anak-anak mereka. Namun demikian, perkara itu dapat dielakkan sekiranya masing-masing memahami kehendak hati orang yang tersayang. Oleh hal yang demikian, tekanan individu terbabit yang berpunca daripada banyak sebab merupakan faktor utama berlakunya kes keganasan rumah tangga. Jika perkara ini dapat dibendung, tidak mustahil kes ini akan berkurangan dan akhirnya tidak kedengaran lagi. Untuk mencapai matlamat berkenaan, semua pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu padu agar pisang tidak berbuah dua kali. Oleh itu, sebelum kes ini mengorbankan nyawa manusia, semua pihak perlulah sedar dan bersama-sama untuk membanterasnya iaitu dengan memenuhi dada dengan ilmu agama yang sewajarnya sebelum nasi menjadi bubur.

. Kes penipuan pembelian 400 rumah disiasat Kes penipuan pembelian 400 rumah disiasat. KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kerajaan akan menjalankan siasatan berhubung kes penipuan membabitkan pembelian 400 buah rumah di Selangor sebelum mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terlibat dalam insiden itu.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ser utusan_malaysia/Jenayah - 24/10/2012 4. Lima syarikat pemaju, 6 bank disiasat Lima syarikat pemaju, 6 bank disiasat Oleh AZIAN AZIZpengarang@utusan.com.my. SHAH ALAM 22 Okt. - Polis sedang menyiasat lima syarikat pemaju dan enam bank tempatan berhubung kes penipuan pembelian 400 buah rumah termasuk banglo dan teres di negeri ini sejak 2000 hingga 2006.Siasatan dibuat berikutan utusan_malaysia/Jenayah - 23/10/2012 5. Siasat pemaju tiada lesen Siasat pemaju tiada lesen. KUALA LUMPUR 21 Okt. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemaju perumahan tidak berlesen serta pegawai bank dan arkitek yang bersekongkol sehingga menyebabkan berlakunya projek rumah terbengkalai. utusan_malaysia/Dalam_Negeri - 22/10/2012

Konsep bina, jual mulai 2015


Konsep bina, jual mulai 2015 Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHApengarang@utusan.com.my. KUALA LUMPUR 18 Okt. - Semua pemaju perumahan akan diwajibkan melaksana konsep bina kemudian jual mulai 2015 bagi mengelakkan pembeli teraniaya akibat projek terbengkalai.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ser utusan_malaysia/Dalam_Negeri - 19/10/2012 7. Empat GLC sedia laksana rumah konsep BKJ Empat GLC sedia laksana rumah konsep BKJ. KUALA LUMPUR 18 Okt. - Empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia melaksanakan projek perumahan berkonsepkan bina kemudian jual (BKJ) tahun depan.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata kaedah itu diperkenalkan sebagai inisiatif membend utusan_malaysia/Dalam_Negeri - 18/10/2012 8. Pembeli rumah terbengkalai dinasihat tidak guna khidmat ejen Pembeli rumah terbengkalai dinasihat tidak guna khidmat ejen. KUALA LUMPUR 17 Okt. - Pembeli rumah yang menghadapi projek terbengkalai dinasihat mendapatkan bantuan terus daripada bank yang menyediakan pinjaman, dan tidak menggunakan ejen untuk menyelesaikan masalah mereka.Presiden Institusi Perban utusan_malaysia/Dalam_Negeri - 17/10/2012 9. 90 pembeli tanggung hutang 90 pembeli tanggung hutang Oleh AZMAN MD. NOORutusankedah@utusan.com.my. SEBAHAGIAN daripada pembeli melahirkan bantahan sambil menunjukkan dokumen pembelian rumah yang tidak siap di Taman Sentoasa Kupang Baling, Kedah.BALING 8 Okt. - Seramai 90 pembeli rumah di Taman Sentosa, Kupang di sini merayu syarikat pemaju seg Pada masa ini, timbul masalah rumah yang telah siap dibina tetapi belum dijual oleh syarikat pemaju perumahan. Huraikan pendapat anda tentang punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku dan kesan-kesannya. Di Malaysia, fenomena rumah yang tiada pembeli semakin kerap dilaporkan di media massa, tidak kira di bandar seperti Kuala Lumpur bahkan di pinggir kota juga turut mengalami masalah yang sama. Perkara ini seolah-olah tiada penyelesaian kerana semakin banyak perumahan baru muncul, bak cendawan tumbuh

selepas hujan. Tindakan yang diambil oleh pihak berwajib pula bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Akibatnya, banyak perumahan yang terbiar dan kosong tanpa penghuni yang boleh disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jadi, masalah ini seharusnya mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab agar dapat diselesaikan dengan segera. Sebenarnya, masalah ini bukannya berlaku dengan tiba-tiba tetapi banyak faktor penyebabnya yang akhirnya memberikan kesan kepada kita. Rumah yang tidak dapat dijual oleh pemaju kebanyakannya disebabkan oleh ketiadaan Sijil Kelayakan Menduduki Rumah (CF). Sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai tanda kelulusan atau pemberitahuan bahawa sesebuah rumah selamat daripada bahaya dan boleh diduduki oleh penghuninya. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam pemberian CF ini ialah kualiti bahan binaan yang digunakan dan ketahanan bangunan tersebut untuk menampung penghuni. Kadang-kadang, CF lambat atau gagal diberi, kerana ketidaksempurnaan kerja atau berlaku penipuan dalam meluluskan projek perumahan ini. Hal ini akan menyebabkan pengguna tidak mahu membeli rumah kerana mereka khuatir keselamatan dan nyawa mereka akan terancam. Selain itu, kos rumah yang terlibat seperti harga yang diletakkan oleh pemaju terhadap rumah-rumah yang telah dibina itu tinggi dan mungkin terlalu mahal untuk individu yang berpendapatan sederhana dan rendah. Hal ini berlaku demikian kerana, bahan-bahan mentah yang digunakan seperti simen, rangka besi, dan pasir dibeli dengan harga yang mahal berikutan pemborong meletakkan harga mengikut pasaran semasa. Oleh itu, untuk mendapatkan pulangan modal, pemaju terpaksa meletakkan harga yang bersesuaian dengan kos pembinaan tersebut. Harga yang tinggi ini menyukarkan penduduk yang berpendapatan sederhana atau rendah untuk memiliki sebuah kediaman untuk mereka kerana khuatir bahawa perbelanjaan mereka melebihi anggaran yang sepatutnya. Oleh hal yang demikian, pemaju perlulah meletakkan harga yang berpatutan agar masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah mampu untuk memiliki rumah sendiri. Kawasan perumahan yang tidak strategik turut mempengaruhi penjualan sesebuah rumah tersebut. Kebiasaannya, para pemaju perumahan akan menjadikan tanah atau kawasan baharu yang terletak di pinggir kota atau jauh dari bandar sebagai kawasan perumahan yang baharu. Hal ini berlaku demikian kerana, di kawasan tersebut terdapat tanah yang lapang, luas dan tiada lagi penduduk yang menghuninya. Walau bagaimanapun, kawasan perumahan yang baru itu selalunya tidak mempunyai prasarana atau kemudahan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pengangkutan awam, sekolah, kedai dan klinik. Selain itu, jarak yang jauh dari kota atau tempat kerja meningkatkan ketidakinginan masyarakat untuk membeli rumah itu. Akhirnya, kawasan perumahan baharu itu terus menjadi projek gajah putih iaitu terbiar tanpa pembeli, sekali gus akan merugikan pihak pemaju perumahan. Masalah ini akan menimbulkan kesan terhadap masyarakat dan juga negara amnya. Masalah tersebut ialah masalah sosial dalam kalangan warga tempatan atau pun yang dilakukan oleh warga asing. Perkara ini disebabkan kawasan perumahan yang banya rumah kosong dan terbiar lebih mudah disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti penagih dadah untuk melakukan aktiviti mereka kerana tiada orang untuk mengawasi dan memantau kawasan tersebut. Rumah-rumah kosong ini juga dijadikan tumpuan oleh pelajar-pelajar yang ponteng sekolah. Di samping itu, kawasan perumahan tersebut seolah-olah menggalakkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dijalankan tanpa rasa segan silu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, jawatankuasa penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan terpaksa melakukan rondaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak elok daripada berlaku. Hasil kutipan cukai oleh kerajaan turut terkena tempiasnya apabila rumah-rumah tersebut tidak laku di

pasaran kerana pihak pemaju tidak mendapat pulangan yang disasarkan akibat rumah yang dibina itu tidak dapat dijual sepenuhnya. Jadi, pihak pemaju tidak dapat membayar cukai keuntungan syarikat yang akan digunakan untuk membangunkan negara dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Di samping pendapatan kerajaan akan menguncup, terdapat juga pekerja sesetengah syarikat perumahan yang terpaksa memberhentikan pekerjanya dan hal ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada pekerja yang diberhentikan itu. Oleh itu, taraf hidup yang sepatutnya meningkat sejajar dengan peredaran zaman berlaku penurunan dan impaknya akan dirasai oleh rakyat Malaysia. Kesimpulannya, pembangunan sesuatu kawasan yang disokong oleh pertumbuhan rumah-rumah baharu sepatutnya mampu dimiliki oleh penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku malahan jualan yang disasarkan tidak dapat dicapai akibat kesilapan pihak pemaju itu sendiri yang mengharapkan untung yang berlipat kali ganda. Harapan pemaju peruamahan tidak menjadi kenyataan, malahan masalahmasalah lain pula yang berlaku. Oleh hal yang demikian, pemaju perumahan hendaklah sentiasa memikirkan cara-cara untuk menjalankan promosi yang bersesuaian agar dapat menarik minat pembeli rumah untuk membeli produk mereka itu dengan kerjasama pihak kerajaan. Diharapkan juga, pada masa akan datang tiada lagi rumah yang terbiar kerana ketiadaan pembeli, dan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah mereka sendiri. Karangan ditulis oleh : Nadia A. Jalal (Pra-U Atas Sastera)

Fokus Utama : Manfaat Dasar 1 Murid 1 Sukan Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.

Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-

pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan. Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan. Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, sekadar melepaskan batuk di tangga. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA

FOKUS UTAMA : Punca dan Usaha untuk Menangani Keracunan Makanan dalam kalangan Murid Sekolah.

Sejak kebelakangan ini, kes keracunan makanan kerap berlaku di sekolah-sekolah. Isu ini bukanlah isi baharu kerana sebelum ini kes yang sama juga telah sering dilaporkan. Oleh itu, sebagai manusia yang dijadikan sebagai khalifah oleh Allah di dunia ini, kita perlu prihatin dengan kes keracunan makanan yang hangat dibincangkan ini. Malangnya, masyarakat kita kurang faham akan masalah ini sehinggakan pelbagai usaha untuk membendungnya masih kurang berhasil. Persoalannya di sini, apakah punca-punca yang menyebabkan belakunya masalah ini? Oleh itu, pelbagai pihak harus bekerjasama memikirkan punca-punca dan usaha-usaha untuk menangani kes keracunan makanan ini. Kes keracunan makanan yang sering berlaku di kebanyakan sekolah pada hari ini disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah kaedah penyediaan dan penyimpanan makanan yang tidak bersih. Pihak pengusaha kantin tidak memastikan bahan-bahan mentah yang hendak dimasak, dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Akibatnya, sayur-sayuran yang dimasak masih lagi mengandungi

sisa-sisa racun perosak, manakala bahan-bahan seperti ikan, daging dan ayam pula dicemari oleh bakteria yang berbahaya. Tempat penyediaan makanan yang tidak bersih seperti tempat memasak yang kotor dan udara yang tercemar oleh habuk juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Selain itu, minuman dalam tin atau kotak yang mudah basi juga menjadi penyebab berlakunya permasalahan ini jika minuman ini dibiarkan terdedah tanpa disimpan di tempat yang sewajarnya. Pendek kata, penyediaan makanan secara tidak bersih akan menyebabkan kes keracunan makanan berlaku. Di samping itu, keadaan persekitaran kantin yang kotor menjadi punca kepada keracunan makanan. Lantai kantin tidak pernah dibasuh dan terlalu kotor, terutamanya di bahagian tempat memasak. Meja makan tidak pernah dilap dan masih terdapat tumpahan makanan yang melekat di atas meja. Makanan yang disediakan pula jarang sekali ditutup atau disimpan di tempat yang lebih sesuai dan bersih. Kawasan longkang dan persekitaran kantin yang kotor pula menjadi tempat pembiakan serangga pembawa penyakit seperti lalat, lipas, dan tikus. Tanpa diketahui oleh sesiapa, serangga dan haiwan pembawa penyakit ini kemudian akan mensasarkan bahan mentah yang belum dimasak, malah makanan yang telah disediakan sebagai makanan. Sikap pengusaha kantin yang lalai dan tidak mementingkan kebersihan ini akan menyebabkan kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat. Keracunan makanan di sekolah amat berbahaya dan boleh membawa maut kepada murid-murid. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk menangani masalah ini. Pengusaha-pengusaha kantin perlu mematuhi syarat-syarat penyediaan makanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan arahan supaya semua penjual makanan memakai apron dan menggunakan peralatan yang bersih untuk menyediakan makanan, tetapi arahan ini sering diabaikan oleh pengusaha dan pekerja di kantin sekolah. Pengusaha-pengusaha kantin harus memastikan makanan dan minuman disimpan dalam keadaan yang bersih. Mereka harus menutup makanan agar tidak terdedah kepada habuk dan lalat. Selain itu, pihak kantin harus memastikan dan menjaga kebersihan kantin. Pihak kantin perlu sentiasa membersihkan kawasan kantin, terutamanya di bahagian tempat memasak. Tindakan yang tegas tanpa kompromi harus dikenakan kepada pengusaha-pengusaha kantin yang ingkar kepada arahan tersebut. Selain itu, murid-murid juga disarankan agar mengutamakan kebersihan diri semasa makan di kantin. Murid-murid sepatutnya mencuci tangan terlebih sebelum makan supaya makanan yang dimakan tidak tercemar. Pihak sekolah juga boleh mengalakkan pelajar menjaga kebersihan diri melalui kempen atau ceramah tentang kepentingan kesihatan diri. Melalui kempen dan ceramah ini, pelajar boleh dididik tentang cara pemakanan yang bersih. Mereka juga dapat dididik untuk memilih makanan yang bersih serta berkhasiat demi kesihatan diri. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan kes keracunan makanan, malah dapat memupuk generasi muda tentang kepentingan menjaga kebersihan pemakanan yang berkhasiat. Selanjutnya, pihak sekolah hendaklah memastikan kawasan sekolah terutamanya kantin sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran, di samping memastikan pengusaha kantin mengutamakan mengikut pertauran pada setiap masa. Pihak sekolah perlu mengarahkan pengusaha kantin membersihkan kawasan persekitaran kantin sekiranya kotor. Meja, kerusi dan peralatan yang lain yang digunakan oleh pelajar untuk makan juga mestilah bersih. Kualiti makanan yang disediakan kepada murid juga perlulah dipantau selalu oleh pihak sekolah agar tiada makanan yang basi atau tercemar dijual kepada murid. Pihak sekolah harus memastikan pelajar-pelajar juga mempunyai tanggungjawab agar tidak membuang sisa-sisa makanan di merata-rata kawasan sekolah terutamanya kantin. Kesimpulannya, keracunan makanan yang berlaku di sekolah hendaklah dipandang serius oleh pelbagai pihak. Hal ini demikian kerana kantin sekolah merupakan tempat yang menjual makanan kepada murid sekolah dan murid pula tiada pilihan lain untuk mendapatkan makanan. Kesihatan murid yang datang bersekolah untuk menimba ilmu wajib dijaga. Maka, sewajarnya kantin sekolah

dipersalah apabila berlakunya kes keracunan makanan. Pihak sekolah pula perlu memantau kantin sekolah dari semasa ke semasa agar kes keracunan makanan tidak berulang lagi. Janganlah apabila sudah berlaku barulah hendak beringat peribahasa sudah terantuk baru tengadah. FOKUS UTAMA : kepentingan menyertai kokurikulum dan strategi-strategi untuk menarik minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita sering kali memaparkan pelbagai isi yang berlingkar dalam kalangan masyarakat sewarjagat. Antara isu yang semakin popular dalam kalangan masyarakat kita ialah isu kepentingan kegiatan kokurikulum. Secara konseptualnya, kokurikulum diinterprestasikan sebagai pelbagai aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan, dan sukan dan permainan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai taraf negara maju, kegiatan kokurikulum di sekolah haruslah dipergiatkan. Oleh itu, pelbagai kepentingan kegiatan kokurikulum dan strategi yang sesuai untuk menarik minat pelajar menyertainya akan dibincangkan. Pada pendapat saya, kepentingan utama aktiviti kokurikulum yang perlu dibincangkan ialah dapat membentuk kecergasan mental dan fizikal para pelajar. Umum mengetahui bahawa para pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya dua aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu pelajar sentiasa aktif dan cergas sepanjang masa. Dalam hal ini, para pelajar seharusnya tahu bahawa tindakan mereka bergiat aktif dalam bidang kokurikulum akan menjadikan meraka seorang pelajar yang cergas dan cerdas. Biar kita ambil contoh, aktiviti sukan seperti olah raga memerlukan seseorang pelajar berlatih pada setiap hari untuk menjadi seorang atlit yang baik dan merangkul banyak anugerah. Kesemua ini membuktikan bahawa aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang sihat mental dan fizikal. Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang boleh dihuraikan ialah kita dapat membenteras gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Sesungguhnya, masalah ini berpunca daripada para pelajar yang tidak tahu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah. Fenomena ini berlaku lantaran mereka mudah terpengaruh dengan pujukan rakan sebaya. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menyertai kegiatan kokurikulum kerana banyak aktiviti yang berfaedah dan menyeronokkan telah disediakan oleh guru penasihat untuk mereka. Mari kita mengambil contoh, dalam kegiatan pengakap pelajar akan melakukan aktiviti masakan rimba, kawat kaki, merentas hutan, unggun api dan sebagainya. Jelaslah terbukti bahawa aktiviti kokurikulum dapat membenteras masalah sosial dalam kalangan pelajar. Sudah jelas lagi nyata, kepentingan aktiviti kokurikulum yang perlu diteliti ialah kita dapat memupuk perpaduan kaum dalam kalangan pelajar. Kita sedia maklum bahawa pelajar yang terlibat dengan aktiviti kokurikulum terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, dan kepercayaan. Sebab itulah jika dilihat pelajar-pelajar yang menyertai kegiatan kokurikulum dapat menjalinkan muhibah dan perasaan kekitaan sesama mereka. Menyedari perkara ini, para guru penasihat biasanya menerapkan budaya bekerjasama, bertolenransi dan tolong-menolong dalam semua aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah. Sebagai contohnya, elemen kebudayaan, kesenian, dan

keagamaan setiap suku kaum sentiasa dipersembahkan semasa pelajar-pelajar berkumpul menjalankan aktiviti kokurikulum. Memang tidak dapat dipertikaikan bahawa aktiviti kokurikulum mampu melahirkan generasi 1Malaysia yang bersatu padu. Hakikatnya, terdapat beberapa strategi untuk menarik minat pelajar menyertai aktiviti kokurikulum. Memang tidak dapat dinafikan, strategi yang perlu diberikan perhatian ialah kita harus memperkasakan lagi peranan sekolah. Kita sedia maklum bahawa sekolah merupakan institusi formal yang membentuk pelajar menjadi generasi yang berguna. Hal ini demikian kerana sekolah diamanahkan untuk mendidik, mengasuh, melatih dan memperkembang bakat pelajar dalam semua aspek. Keadaan ini sekali gus memerlukan pihak sekolah sentiasa proaktif dalam membangkitkan minat pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Biar kita lihat, sekolah perlu mengadakan karnival badan beruniform, karnival sukan dan permainan, minggu bahasa, minggu sains dan matematik, minggu kemanusiaan dan sebagainya supaya pelajar terlibat dengan aktif. Jelaslah kepada kita bahawa peranan sekolah amatlah penting dalam menggalakkan pelajar menyertai kokurikulum. Di samping itu, strategi yang tidak boleh dikesampingkan ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menerapkan elemen kerjaya dalam aktiviti kokurikulum yang dirancang di sekolah. Umum mengetahui bahawa ibu bapa mengharapkan kegiatan kokurikulum mampu mendatangkan manfaat kepada masa depan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana persaingan untuk mendapatkan pekerjaan semakin sengit. Oleh sebab itu, para pelajar hendaklah menyertai kegiatan kokurikulum yang membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baik pada masa depan mereka kelak. Biar kita ambil contoh, pelajar yang aktif dalam Kadet Polis boleh memohon menjadi polis selepas menamatkan alam persekolahan. Jelaslah bahawa penerapan elemen kerjaya dalam setiap kegiatan kokurikulum merupakan strategi yang berkesan dalam usaha ini. Berdasarkan huraian yang telah diberikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kegiatan kokurikulum amatlah penting kepada para pelajar. Dengan ini masyarakat harus mempunyai kesedaran untuk menggalakkan anak-anak mereka terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolah. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah menyediakan ruang dan peluang yang cukup luas kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum selepas mereka menamatkan alam persekolahan. Dengan ini kita berharap para pelajar tidak memandang remeh usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang, dan terbilang akan menjadi kenyataan. PETUA CIKGU ZUL

FOKUS UTAMA : Kesan-kesan dan langkah-langkah mengatasi masalah buli.

Gejala buli semakin di sekolah semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu bapa. Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli mental dan buli fizikal. Buli mental

ialah aktiviti buli yang melibatkan kutuk-mengutuk, ejek-mengejak, dan menyindir seseorang. Buli fizikal pula melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli di sekolah. Pada pendapat saya, kesan utama gejala buli di sekolah ialah pelajar-pelajar yang dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan kerana takut dengan pembuli. Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Jelaslah bahawa kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah. Selain itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli secara tidak langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana mereka sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan dan sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka selalu ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli. Ini menyebabkan prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan. Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka tanggung. Sudah terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma dan ketakutan sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang diperoleh, terdapat kes-kes yang tragik di mana mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang berumur 13 tahun telah membunuh diri di dalam rumahnya di Manchester, England. Di dalam diarinya dia telah mendedahkan kesengsaraannya akibat dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa wangnya dirampas pada hari Isnin, hari Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula baju uniform dikoyakkan, hari Khamis badannya disimbah dengan darah, dan, hari Jumaat semuanya telah berakhir. Hari Sabtu dia telah mendapat kebebasan. Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri. Gejala buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini hendaklah dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala buli di sekolah adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap saling menghormati dan bertolenransi pada setiap masa. Kasih sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan sempurna. Anak yang berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak akan tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah menyemai ajaran-ajaran yang baik dan berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Seterusnya, peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah diperhebat. Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru kaunseling kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru tersebut. Oleh itu, guru bimbingan dan kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan dan memberikan kaunseling motivasi kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya, mangsa buli tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Dengan ini, guru bimbingan dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat. Selanjutnya, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan ke atas mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan perlakuan buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak atau digantung persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga. Kesimpulannya, masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini. KES PENYELUDUPAN MANUSIA Fokus : Kesan kepada negara dan langkah-langkah untuk mengatasi.

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru negara kita tentang kes penyeludupan manusia Oleh itu, sebagai warganegara yang berwawasan dan berpandangan jauh ke hadapan, kita hendaklah prihatin dengan isu yang semakin hangat

dibincangkan ini. Secara konseptualnya, kes penyeludupan manusia merupakan satu kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan juga integriti kedaulatan negara ini. Kes penyeludupan manusia ini tidak wajar berlaku kerana jenayah sebegini adalah melanggar hak asasi manusia ke atas individu yang diperdagangkan. Oleh itu, kesan-kesan kes penyeludupan manusia kepada negara dan langkah-langkah untuk mengatasi jenayah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Pada pendapat saya, kes-kes penyeludupan manusia ke negara ini atau ke luar dari negara ini jika tidak dibendung dengan segera akan menyebabkan integriti keselamatan negara dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Dunia antarabangsa akan melihat aspek keselamatan negara kita begitu lemah. Masyarakat negara ini pula akan mula hilang kepercayaan dengan keupayaan pasukan-pasukan penguatkuasaan untuk membenteras kegiatan penyeludupan manusia ini daripada terus berleluasa. Golongan yang berkepentingan mengaut keuntungan daripada kegiatan jenayah ini juga akan meremehkan tindakan penguat kuasa kerana menyedari tindakan mereka sukar untuk dikesan. Jelaslah bahawa kewibawaan negara akan dipersoalkan oleh banyak pihak jika kita gagal mengekang jenayah penyeludupan manusia di negara kita. Secara tidak langsung, imej negara juga turut terjejas di peringkat antarabangsa. Di samping itu, kegiatan penyeludupan manusia juga akan meningkatkan masalah sosial dalam negara kita. Sebagai contohnya, kegiatan pelacuran melibatkan warga asing yang diseludup masuk akan meningkat. Tambahan lagi, kes-kes orang hilang juga akan meningkat, terutamanya melibatkan kanak-kanak atau golongan remaja untuk dieksploitasi oleh golongan yang cuba mengaut keuntungan. Kegiatan jenayah terancang juga boleh bertambah jika manusia yang diseludup masuk merupakan penjenayah-penjenayah yang bermatlamat untuk mengembangkan kegiatan haram mereka. Keadaan ini menyebabkan penduduk tempatan akan berasa keselamatan mereka tidak terjamin. Mereka seolah-olah menjadi tebusan atau tawanan hidup di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, jenayah penyeludupan manusia menyebabkan masalah sosial di negara kita semakin berleluasa. Kes penyeludupan manusia hendaklah dibendung kerana banyak membawa implikasi buruk kepada rakyat dan negara kita. Bagi membendung masalah ini, pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlulah bersama-sama memainkan peranan. Ahli-ahli pertubuhan sukarela ini boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang menjadi tumpuan tenaga buruh atau manusia yang diseludup masuk ke negara ini. Mereka juga boleh menggembleng tenaga untuk melancarkan kempen-kempen yang melibatkan majikan di seluruh negara bagi memberikan kesedaran agar tidak bersaubahat dengan penyeludup manusia dengan menggaji orang yang diseludup sebagai pekerja. Memang tidak dapat dinafikan penglibatan aktif NGO dalam mengatasi masalah ini amatlah dituntut kerana golongan ini sentiasa mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai program yang dirancang. Langkah lain yang tidak boleh dikesampingkan dalam usaha mengatasi masalah ini ialah penguatkuasaan pencegahan perlulah dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa. Serbuanserbuan di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan, dan sektor-sektor industri perlu dilakukan secara kerap untuk mengesan buruh-buruh yang digaji secara tidak sah. Di samping itu, kawalan sempadan juga perlu dipertingkatkan dan laluan hijau di sempadan dan semua pintu masuk perlu dimansuhkan jika kemudahan ini didapati sebagai penyumbang kepada peningkatan kegiatan penyeludupan manusia. Dalam pada itu, akta dan undang-undang yang berkaitan dengan kes penyeludupan manusia hendaklah dikaji semula. Pihak yang ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan kes penyeludupan orang hendaklah didakwa dan dikenakan hukuman yang setimpal untuk memberikan amaran kepada orang lain supaya tidak terlibat dengan jenayah sebegini. Selanjutnya, peranan media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik perlulah diperhebat dalam mengatasi masalah ini. Media elektronik seperti televisyen, radio dan internet perlu menyalurkan maklumat mengenai kes penyeludupan manusia secara berterusan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk di negara ini mengenai bahaya jenayah sebegini. Dengan adanya

peringatan yang berterusan sebegini, mereka akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mudah terperdaya dengan penipuan yang dilakukan oleh penjenayah yang terlibat dengan kes penyeludupan manusia. Dokumentari dan filem berkaitan dengan kes penyeludupan manusia hendaklah ditayangkan kepada orang awam supaya mereka melihat kesan-kesan dan cara-cara untuk menghindari diri daripada menjadi mangsa kes penyeludupan manusia. Dengan adanya pengetahuan yang mencukupi, masyarakat dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini. Kesimpulannya, kes penyeludupan manusia merupakan jenayah terancang yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Untuk keselamatan negara dan keharmonian negara, jenayah penyeludupan manusia ini perlulah dicegah dengan perundangan dan ketegasan. Dalam pada itu, masyarakat kita hendaklah mempunyai kesedaran untuk membantu pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini dengan melaporkan kes penyeludupan manusia yang berlaku dan tidak bersaubahat dengan penjenayah. Jika semua pihak bersatu padu, kes penyeludupan manusia tidak akan berlaku di negara kita. Mudah-mudahan, negara yang kita cintai ini akan bebas daripada kes penyeludupan manusia yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia ini.

Fokus

Usaha-usaha

mengatasi

masalah

penyakit

berjangkit.

Sejak akhir-akhir ini, wabak penyakit berjangkit seperti denggi dan chikung. unya semakin berleluasa di negara kita. Jangkitan penyakit biasanya berlaku apabila bakteria, virus, atau protozoa masuk ke dalam tubuh manusia lalu menyebabkan tindak balas dalam badan. Jika daya tahan badan kita terhadap penyakit adalah lemah, kita akan jatuh sakit. Keadaan ini mungkin membawa maut kepada pesakit jika lewat mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital. Pada umumnya, penyakit berjangkit dapat dikawal dengan cara-cara yang tertentu. Oleh itu, cara-cara untuk mengatasi masalah penyakit berjangkit ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Pada pendapat saya, kemajuan perubatan dapat mengatasi masalah penyakit berjangkit yang semakin berleluasa di negara kita. Kita boleh mendapatkan suntikan atau imunisasi penyakit berjangkit untuk menjamin kesihatan kita. Dengan ini, kita akan lali terhadap penyakit tertentu melalui suntikan imunisasi ini. Sebagai contohnya, suntikan imunisasi seperti suntikan B.C.G. dapat mencegah penyakit tibi. Suntikan imunisasi hepatitis membolehkan kita menjauhi penyakit hepatitis yang disebabkan oleh makanan, khususnya makanan laut yang tercemar. Di samping itu, pencegahan penyakit berjangkit dapat dilakukan dengan pengambilan antibiotik seperti streptomaisin, penisilin, dan kloromaisin. Tambahan lagi, kita wajar menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Tindakan ini dapat mengelakkan diri kita daripada dijangkiti penyakit berjangkit, bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Seterusnya, kita mestilah menjaga kebersihan dan kesihatan diri untuk mengelakkan diri daripada diserang wabak penyakit berjangkit. Penyakit kulit seperti kurap dan panau mudah merebak jika seseorang tidak mementingkan kebersihan tubuh badan. Amalan mandi sekurangkurangnya dua kali sehari dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi barang peribadi dengan orang lain seperti tuala dan pakaian dapat mengelakkan penyakit kulit merebak kepada seseorang. Dalam pada itu, kawasan tempat tinggal kita hendaklah sentiasa bersih. Rumah yang bersih dapat mengelakkan penghuninya daripada penyakit deman denggi, chikugunya dan malaria. Di samping itu, senaman yang secukupnya dapat menguatkan daya tahan badan seseorang terhadap penyakit. Kita hendaklah bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan kiraan masa sekurangkurangnya 30 minit pada setiap sesi. Kita harus sedar bahawa kebersihan merupakan cermin diri kita dan tiada yang lebih baik daripada kesihatan. Selanjutnya, wabak penyakit berjangkit dapat dicegah melalui amalan mementingkan kebersihan alam sekitar. Pencemaran sungai yang biasanya berlaku di kawasan setinggan menyebabkan sumber air akan tercemar. Penduduk di kawasan itu pula akan menggunakan sumber air dari sungai yang berhampiran untuk kegunaan harian. Pada masa yang sama, mereka turut membuang sampah secara merata-rata di kawasan setempat dan sungai tersebut. Akibatnya, kes-kes taun mudah berlaku. Persekitaran yang kotor pula akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Sebagai contohnya, kawasan penternakan khinzir yang kotor mendorong pembiakan virus Nipah. Virus tersebut telah menyebabkan banyak nyawa terkorban pada tahun 1999. Oleh itu, kita haruslah menjadi masyarakat bertanggungjawab melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan hidup kita. Wabak penyakit berjangkit juga dapat dihindari melalui amalan pemakanan yang sihat. Aspek utama yang perlu diberikan perhatian ialah kebersihan makanan yang kita makan. Makanan yang bersih dapat mengelakkan pemakannya daripada keracunan makanan dan menghidap penyakit hepatitis. Dalam pada itu, makanan dan air mesti dimasak dan hendaklan sentiasa ditudung untuk mengelakkan kes keracunan makanan. Sebagai contohnya, sayur-sayuran dan buah-buahan hendaklah dibasuh dengan betul untuk menyingkirkan racun perosak atau bahan-bahan kimia padanya. Sekiranya makan diluar, pilihlah gerai makan yang terjamin kebersihannya. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana kesihatan lebih berharga daripada segala-galanya. Selain itu, wabak penyakit berjangkit seperti selsema burung, H1N1, dapat dilakukan dengan mengkuarantinkan dan mengasingkan pengidap penyakit tersebut daripada orang awam agar penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain. Sekirannya tindakan ini diambil, pastinya penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri pelancongan juga tidak terjejas. Selanjutnya, pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengesan haba 'thermoscan' perlu diletakkan di lapanganlapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut. Sekiranya mereka telah dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan dan juga dikuarantin. Kesimpulannya, kesihatan merupakan aset penting bagi setiap insan yang bernafas di bumi Allah ini. Kekayaan tidak dapat membeli kesihatan. Malangnya, kes-kes wabak berjangkit masih berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu, kempen haruslah diadakan untuk menggalakkan amalan hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat. Kita tidak boleh memandang sebelah mata sahaja terhadap masalah ini kerana penyakit berjangkit boleh mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Mudah-mudahan, kesedaran dan keinsafan akan bersemarak dalam jiwa setiap warga untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

(736 patah perkataan) Sedasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia dari segenap empat penjuru dunia tentang fenomena pemanasan global. Fenomena pemanasan global menyebabkan suhu bumi menjadi begitu tidak stabil, malah sering berubah mengikut masa. Akibat daripada pemanasan global, ais di kutub utara mencair dan hal ini menyebabkan aras air laut meningkat. Hal ini akan menyebabkan kejadian atau fenomena banjir. Untuk mencegah keadaan ini daripada terus menjadi semakin serius, tindakan yang efisien dan efektif perlu diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan. Punca-punca yang menunjangi fenomena pemanasan global ini perlu diselidiki hingga ke akal umbi bagi mengelakkan daripada fenomena ini menjadi semakin serius. Pembakaran terbuka merupakan salah satu punca yang menyebabkan fenomena pemanasan global. Pembakaran terbuka menyebabkan pemanasan global apabila bahan-bahan yang dibakar mengeluarkan gas yang boleh menipiskan lapisan ozon. Apabila lapisan ozon menipis cahaya daripada matahari akan diserap masuk dengan kualiti yang banyak. Hal ini akan menyebabkan persekitaran di bumi terasa panas. Buktinya di kawasan padang pasir, pada waktu siang keadaan di sana sangat panas apabila malam pula keadaannya begitu sejuk mencecah sehingga 1C. Kesimpulannya, pembakaran terbuka adalah salah satu punca yang menyebabkan pemanasan global, perkara ini perlu dielakkan agar fenomena ini tidak menjadi begitu serius. Penggunaan bahan yang mengandungi kloroflorokarbon [CFC]. Gas kloroflorokarbon berfungsi sebagai penyejuk, pembebasan gas kloroflorokarbon juga boleh menyebabkan lapisan ozon bumi menjadi nipis. Dalam kehidupan seharian kita sama ada kita sedar ataupun tidak, kita sering menggunakan bahan yang mengandungi gas kloroflorokarbon. Antaranya ialah, peti sejuk dan penyaman udara. Bahan atau alat ini membebaskan gas kloroflorokarbon. Memang tidak dapat dinafikan bahan atau alatan ini membawa bermacam-macam faedah untuk kehidupan seharian kita. Pada masa kini pelbagai inovasi telah dilakukan oleh kerajaan kita bagi mencegah penggunaan gas kloroflorokarbon ini, kerajaan telah mencipta alatan yang berunsur mesra alam bagi mengatasi masalah penipisan lapisan ozon. Kita haruslah menyahut seruan kerajaan dengan menggunakan alatan-alatan mesra alam bagi mencegah fenomena pemanasan global. Pada masa kini, aktiviti pembangunan giat di jalankan bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat sekeliling. Oleh hal yang demikian, aktiviti penyahutanan perlu dilakukan bagi mendapatkan tempat atau ruang untuk melakukan aktiviti pembangunan. Aktiviti penyahutanan akan menyebabkan kadar gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia tidak lagi dapat diserap oleh pokok-pokok dan tumbuhtumbuhan. Gas karbon dioksida ini akan dilepaskan ke ruang atmosfera. Oleh hal itu, aktiviti pembangunan dan aktiviti penyahutanan perlulah dikurangkan bagi membolehkan gas karbon dioksida digunakan oleh tumbuh-tumbuhan. Pelepasan asap daripada kilang-kilang dan kenderaan juga merupakan punca yang menyebabkan fenomena pemanasan global. Asap daripada kilang dan kenderaan bukan sahaja boleh menyebabkan pencemaran udara ia juga turut memberi implikasi kepada lapisan ozon dan suhu bumi. Gas yang dilepaskan oleh kilang dan kenderaan mengandungi gas beracun yang boleh menyebabkan lapisan ozon menjadi semakin nipis. Pihak kerajaan juga telah menjalankan kempen kongsi kereta bagi mengurangkan kadar atau jumlah pembebasan asap daripada kerajaan. Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga boleh digunakan bagi mengurangkan jumlah asap yang dibebaskan ke udara. Bagi pengusaha-pengusaha kilang mereka perlulah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Pembinaan bangunan pencakar langit, kini setiap negara di dunia berlumba-lumba untuk membina bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia. Pembinaan bangunan yang tinggi boleh menyebabkan suhu dunia bertambah kerana kejadian pulau haba. Pulau haba merupakan salah satu faktor yang menyebabkan suhu semakin meningkat. Apabila suhu meningkat keadaan muka bumi akan menjadi lebih

panas. Apabila berasa panas ia akan mendorong seseorang untuk menggunakan penyaman udara. Puncapunca yang menyebabkan fenomena pemanasan global adalah saling berkaitan di antara satu sama lain. Setiap anggota masyarakat tidak kira bangsa perlulah saling membantu dan bersama-sama berganding bahu bagi mengelakkan fenomena pemanasan global daripada terus berlarutan sehingga menjadi semakin serius, bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada setiap anggota masyarakat, punca-punca pemanasan global ini tidak akan mampu dielakkan.

**Karangan ini dihasilkan oleh pelajar saya ketika beliau menduduki peperiksaan akhir tahun, dan dimuat turun tanpa proses edit. Terdapat beberapa aspek perlu dimurnikan khususnya pengolahan karangan. Namun demikian, bagi tahap tingkatan 6 Rendah, kemahiran mengarang masih banyak yang perlu digilap dan pelajar berikut memiliki potensi cerah untuk skor dalam kertas 2.

Read more: http://bm-stpm.blogspot.com/2011/11/karangan-punca-punca-pemansanglobal.html#ixzz2AkoMKglu Gejala pembuangan bayi merupakan fenomena jahiliah moden. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa. Hamka pernah mengungkapkan, Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita. Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, sudah terhantuk baru nak terngadah. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana nasi sudah menjadi bubur. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan. Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segan-segan menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini. Selain itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurleburkan kehidupan anakanak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana malang tidak berbau. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah. Konklusinya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat kita.

Anda mungkin juga meminati: KARANGAN BAHASA MALAYSIA STPM ISU SOSIAL ISU UTAMA KARANGAN 2011 ISU SOSIAL : PELAJAR WANITA LEBIH RAMAI DARIPADA PELAJAR ... LinkWithin SOALAN Anda telah diminta menyampaikan ceramah kepada persatuan ibu bapa dan guru sekolah anda tentang tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar. Sediakan teks ceramah tersebut. JAWAPAN LENGKAP Selamat pagi, saya selaku pengerusi majlis ucapkan kepada pengetua, Encik Vincent Liong Shuan Chuan, guru-guru, para ibu bapa, adik-adik pelajar, dan seterusnya hadirin dan hadirat sekalian. Gangterisme dalam kalangan pelajar boleh didefinisikan sebagai tindakan seseorang pelajar melanggar undang-undang dan peraturan sekolah dengan melakukan kesalahan jenayah dalam pelbagai bentuk. Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Seri Muhiddin Yassin menyatakan bahawa kemelut ini banyak melibatkan pelajar di sekolah menengah. Oleh itu, para ibu bapa diseru supaya dapat memainkan peranan dengan lebih aktif dalam menangani masalah ini. Dengan itu, pada pagi yang mulia lagi sejahtera ini, saya akan menyampaikan ceramah tentang tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar. Hadirin sekalian, Pada hemat saya, tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah gangterisme adalah dengan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka. Sesungguhnya, kehidupan kini menyebabkan masyarakat diburu oleh pelbagai urusan kehidupan yang tidak pernah berakhir. Hal ini disebabkan mereka hanya mementingkan kekayaan dan materialistik. Hasilnya, anak mereka akan terlibat dalam gangterisme seperti merompak, mencuri dan sebagainya untuk menarik perhatian daripada ibu bapa mereka. Dengan itu, ibu bapa seharusnya meluangkan masa menemani dan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka. Hasilnya, mereka akan merasai kasih sayang

daripada ibu bapa dan tidak akan terjebak dalam gejala gangterisme. Tuntasnya, kasih sayang daripada ibu bapa dapat membantu kita dalam menangani masalah gangterisme. Selain itu, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama kepada anak mereka untuk membendung masalah gangterisme. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, agama merupakan benteng yang kukuh untuk menahan segala nafsu jahat. Lebih-lebih lagi, anak-anak mereka dapat membezakan baik dan buruk dengan adanya asuhan agama yang kukuh. Dengan itu, ibu bapa perlu memberi asuhan didikan agama kepada anak mereka sejak kecil lagi. Pepatah Melayu mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya amat bertepatan dengan situasi ini. Hasilnya, anak mereka tidak akan terjebak dalam gejala seperti memeras ugut, mencuri dan membuli. Jelaslah bahawa, didikan agama dapat membendung masalah gangterisme dalam kalangan pelajar. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada anak mereka. Sesungguhnya, ibu bapa yang terbabit dalam gejala gangterisme akan diikuti oleh anak mereka. Perkara ini dapat digambarkan dalam situasi peribahasa yang menyatakan bapa borek, anak rintik. Hal ini demikian kerana, anak-anak mereka dijaga, dibesar dan sentiasa bersama dengan ibu bapa mereka. Lantaran itu, ibu bapa harus mempunyai personaliti diri yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka. Hasilnya, anak-anak mereka akan membesar dalam keadaan yang sihat tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif yang dangkal dan bobrok. Nyatalah di sini, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik untuk mengatasi gejala gangterisme.

Bukan itu sahaja, ibu bapa seharusnya sentiasa peka dan prihatin dengan latar belakang kawan anak mereka. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, pelajar kini sering dipengaruhi oleh kawan sebaya mereka. Lebihlebih lagi, mereka yang ingin menyahut cabaran kawan mereka untuk menyertai kumpulan gangter. Selain itu, mereka yang tidak mahu disish oleh rakan mereka akan terdorong untuk terjerumus ke pelbagai kancah permasalahan sosial seperti gengsterisme. Oleh itu, ibu bapa perlu mengenali semua kawan anak mereka. Lebih-lebih lagi, ibu bapa juga boleh menetapkan masa balik rumah anak-anak setelah keluar dengan rakanrakan. Ibu bapa hendaklah selalau menghubungi anak-anak menggunakan telefon untuk mengetahui tempat mereka berada pada setiap masa. Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa tabiat ibu bapa yang suka ambil tahu latarbelakang kawan anak mereka akan membantu kita untuk membendung masalah gangterisme. Hadirin sekalian, Selanjutnya, ibu bapa juga perlu menyelia dan menetapkan jenis rancangan televisyen yang sesuai untuk ditonton oleh anak mereka semasa berada di rumah. Pada hari ini, banyak rancangan televisyen yang ditayangkan berunsur negatif seperti memaparkan aksi bunuh-membunuh, meragut, mencuri, bergaduh dan sebagainya. Remaja pula sering terikut-ikut dengan aksi ditonton. Hal ini disebabkan, mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Dengan itu, ibu bapa perlu melarang anak-anak mereka menonton rancangan televisyen yang berunsur negatif. Hasilnya, minda anak-anak mereka tidak akan dicemari oleh unsur-unsur negatif negatif. Tegasnya, untuk menangani kemelut ini, ibu bapa perlu melarang anak mereka daripada menonton rancangan yang berunsur negatif. Seterusnya, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang harmoni. Sesungguhnya, suasana keluarga yang porak-peranda akan menyebabkan anak tidak suka berada di rumah. Hasilnya, mereka akan selalu keluar dan keadaan ini akan mendorong mereka terbabit dalam gejala gangterisme. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mewujudkan suasana rumah yang sentiasa aman dan damai. Sementelahan itu, ibu bapa perlu menunjukkan kemesraan dan meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak mereka. Dengan itu, hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak mereka dapat dirapatkan. Berdasarkan kenyataan yang diberi, jelas mengatakan bahawa institusi kekeluargaan yang harmoni dapat mengatasi masalah gangterisme. Intihanya, ibu bapa memainkan tanggungjawab dan peranan yang penting untuk menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar. Analoginya mudah, gangsterisme umpama penyakit H1N1, pelajar pula ialah pengidapnya. Jika penyakit H1N1 ini dapat dikesan lebih awal mangsanya pasti dapat diselamatkan

dengan kepakaran yang kita ada. Walau bagaimanapun, andai kita lambat bertindak sudah pasti mangsanya akan menderita sehingga ada yang menemui maut. Sesungguhnya, dalam konteks gejala gangsterisme di kalangan pelajar ini kita harus mengamalkan prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati. Hal ini demikian kerana, merekalah merupakan generasi muda yang bakal memimpin negara, bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ingatlah seruan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam gagasan Satu Malaysia, yang berselogankan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sekian terima kasih.

KARANGAN INI DIHASILKAN OLEH : Kong Mee Kiong, Tingkatan U6A1 JAWAPAN UNTUK SOALAN 1 PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2

Pada pendapat anda, apakah kepentingan menyertai kokurikulum dan nyatakan strategi-strategi terbaik untuk menarik minat pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum.

Kokurikulum ialah pelbagai aktiviti luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu pembelajaran. Aktiviti kokurikulum merangkumi tiga kategori iaitu aktiviti sukan dan permainan, kelab dan persatuan, dan unit pakaian seragam. Semua pelajar diwajibkan untuk menyertai sekurangkurangnya dua aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana sebanyak 10 peratus markah kokurikulum akan diambilkira semasa pelajar memohon untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Oleh itu, pelbagai kepentingan kegiatan kokurikulum dan strategi yang sesuai untuk menarik minat pelajar menyertainya akan dibincangkan Pada pendapat saya, kepentingan aktiviti kokurikulum ialah dapat membentuk kecergasan mental dan fizikal para pelajar. Realitinya, aktiviti kokurikulum memerlukan ketangkasan dan kekuatan fizikal. Keadaan ini akan membantu mempertingkatkan keupayaan sistem perkumuhan seseorang pelajar. Pada masa yang sama sistem aliran darah akan menjadi lebih sempurna. Natijahnya, daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit akan meningkat. Dengan ini, tahap kesihatan tubuh badan mereka juga turut meningkat. Hasilnya, kesihatan yang baik akan memudahkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran di sekolah. Jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang sihat mental dan fizikal. Selain itu, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat membenteras gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum dapat memupuk gaya hidup yang positif dalam kalangan pelajar. Kebanyakan masa lapang mereka dipenuhi dengan aktiviti berfaedah seperti perkhemahan dan kawat kaki. Dengan ini mereka tidak akan terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat seperti melepak, ponteng sekolah, merokok dan sebagainya. Ini disebabkan mereka telah mempunyai disiplin diri yang mantap. Mereka juga dapat mengurus dan mengatur masa dengan bijak. Tahap pemikiran mereka akan menjadi lebih matang. Mereka tahu menilai baik dan buruk setiap perbuatan yang dilakukan. Tuntasnya, aktiviti kokurikulum dapat membenteras masalah sosial dalam kalangan pelajar. Selanjutnya, aktiviti kokurikulum dapat memupuk perpaduan kaum dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum dapat mempertemukan pelajar daripada pelbagai kaum. Dengan ini, mereka dapat menjalinkan muhibah dan perasaan kekitaan sesama mereka. Budaya bekerjasama, bertolenransi dan tolong-menolong sentiasa ditekankan dalam semua aktiviti kokurikulum. Dalam pada itu, elemen kebudayaan, kesenian, dan keagamaan setiap suku kaum juga turut didedahkan. Hasilnya, sikap prasangka antara kaum dapat dihapuskan. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti kokurikulum mampu melahirkan generasi muda yang bersatu padu. Strategi utama untuk menarik minat pelajar menyertai kegiatan kokurikulum ialah dengan memperkasakan lagi peranan sekolah. Sekolah sebagai institusi formal perlu memperluas penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum. Pihak kerajaan hendaklah proaktif dalam menyokong aktiviti kokurikum yang dikendalikan di sekolah. Peruntukan kewangan dan prasarana untuk aktiviti kokurikulum perlu ditambah. Jika tidak, segala perancangan kokurikulum di sekolah akan terbantut. Dalam pada itu, para pelajar harus diberi kebebasan yang terkawal untuk menganjurkan sebarang aktiviti. Dengan ini, aktiviti kokurikulum akan menjadi lebih menarik dan menyeronokan. Jadi, tindakan memperkasakan lagi peranan sekolah dalam kokurikulum sewajarnya dititikberatkan dalam usaha ini. Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menerapkan elemen kerjaya dalam aktiviti kokurikulum yang dirancang di sekolah. Biar kita lihat, pelajar yang aktif dalam Kadet Polis boleh memohon menjadi polis selepas menamatkan alam persekolahan. Di samping itu, aktiviti sukan dan permainan sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan. Buktinya, Nicol Ann David yang telah dinobatkan sebagai Ratu Squasy Dunia. Dengan ini, minda pelajar akan terbuka untuk bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum yang mereka minati. Mereka sedar bahawa begiat aktif dalam aktiviti kokurikulum bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja. Jelaslah bahawa penerapan elemen kerjaya dalam setiap kegiatan kokurikulum merupakan strategi yang berkesan dalam usaha ini. Di samping itu, peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hendaklah diperhebat. Ibu bapa hendaklah memberi sokongan kepada anak-anak untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Terdapat segelintir ibu bapa yang menghalang anak mereka bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Segala persepsi negatif sebegini hendaklah dilenyapkan. Ibu bapa harus sedar kegiatan kokurikulum akan menjadikan anak-anak mereka lebih berdisiplin. Anak-anak akan menjadi lebih cergas dan cerdas. Ini secara tidak langsung akan membantu mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Perkara perlu disedari oleh ibu bapa. Jadi, sokongan ibu bapa amatlah dituntut dalam usaha ini. Kesimpulannya, kegiatan kokurikulum memang penting untuk menghasilkan modal insan yang berprestasi tinggi dan bersahsiah mulia. Usaha kerajaan untuk mewajibkan setiap pelajar menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah disambut baik oleh semua pihak. Sesungguhnya, kegiatan kokurikulum banyak membantu kita dalam usaha membenteras masalah sosial dalam kalangan pelajar. Oleh itu, jadikanlah kegiatan kokurikulum sebagai sebahagian daripada kehidupan kita semasa masih menuntut di bangku sekolah.

Pengambilan orang gaji asing telah menjadi suatu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia. Bincangkan masalah yang timbul akibat pengambilan orang gaji asing bekerja di Negara kita dan usaha-usaha untuk mengatasinya. Dalam keghairahan kita merealisasikan pelbagai visi kudsi negara seperti Wawasan 2010, 1 Malaysia, dan Model Ekonomi Baru, kita harus peka dengan persekitaran sosial yang berlaku di sekeliling kita. Salah satu daripadanya ialah isu pengambilan orang gaji asing. Secara literalnya, orang gaji asing didefinisikan sebagai orang yang bukan warganegara diambil bekerja sebagai pembantu rumah di negara kita. Nampaknya, hari demi hari kit akan berhadapan dengan pelbagai fenomena sama ada baik atu buruk berkaitan dengan pengambilan orang gaji asing ini. Oleh itu, masalah-masalah yang timbul dan usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Sudah terang lagi bersuluh, masalah utama yang wujud ialah penderaan ke atas orang gaji asing semakin membimbangkan. Penderaan tersebut biasanya dilakukan oleh majikan. Majikan cenderung untuk mendera orang gaji mereka disebabkan oleh pelbagai faktor seperti tekanan hidup ataupun sikap cuai orang gaji asing yang bekerja dengan mereka. Pada kebiasaannya, penderaan yang dilakukan ke atas orang gaji adalah dengan menyimbah badan mereka dengan air panas, tidak memberi mereka makan, membiarkan mereka bekerja tanpa berehat, dan sebagainya. Akibatnya, banyak orang gaji yang melarikan diri kerana tidak tahan didera oleh majikan mereka. Jelaslah bahawa penderaan ke atas orang gaji merupakan masalah yang wajar diberikan perhatian oleh pelbagai pihak.

Sudah jelas lagi nyata, masalah perdana yang perlu diteliti ialah hubungan diplomatik antara dua negara boleh terjejas. Pemimpin di negara asal orang gaji tersebut biasanya menyalahkan kerajaan negara kita setiap kali berlakunya kes penderaan ke atas orang gaji yang berasal dari negara mereka. Hal ini demikian kerana mereka terpengaruh dengan laporan berat sebelah yang disiarkan oleh media massa. Kenyataan yang berupa kritikan dan kadang kala amaran boleh menimbulkan perbalahan jika tidak ditangani dengan bijaksana. Akibatnya, penghantaran orang gaji asing ke negara kita mungkin akan diberhentikan. Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengambilan orang gaji asing boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang terbabit. Seterusnya, masalah lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengambilan orang gaji asing memerlukan kos yang tinggi. Kos yang tinggi diperlukan untuk membiayai pelbagai urusan dengan syarikat yang menguruskan pengambilan orang gaji asing. Hal ini demikian kerana kebanyakan syarikat mengenakan pelbagai caj tertentu yang mencecah ribuan ringgit kepada kita. Perkara ini menyebabkan majikan mudah panas hati apabila mereka diberikan orang gaji yang tidak tahu bekerja dan sentiasa menyusahkan mereka. Sebagai contohnya, majikan terpaksa membayar sejumlah RM5000 hingga RM7000 bagi mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah dari Indonesia. Tuntasnya, kos yang tinggi merupakan satu lagi masalah yang wujud ekoran pengambilan orang gaji asing. Masalah ini wajar ditangani segera. Di samping itu, usaha mengatasi yang tidak boleh dikesampingkan ialah menggalakkan rakyat tempatan bekerja sebagai pembantu rumah. Pada masa ini, rakyat tempatan tidak suka menjadi pembantu rumah. Hal ini demikian kerana kerjaya ini dianggap kerjaya yang tidak glamour dan bergaji rendah. Jadi, kerajaan haruslah memikirkan caracara yang lebih sistematik dan pragmatik untuk menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi kerjaya ini. Sebagai contohnya, gaji pembantu rumah boleh dinaikkan sehingga RM800.00 sebulan. Dalam hal ini dapatlah dirumuskan bahawa sekiranya rakyat tempatan berminat menjadi pembantu rumah masalah yang melibatkan orang gaji asing sedikit sebanyak dapat dikurangkan. Selanjutnya, kita juga perlu melihat perkara ini dari aspek penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi orang gaji asing daripada dianiaya dan didera oleh majikan. Sesetengah majikan bertindak kejam dengan melakukan penderaan ke atas pembantu rumah sehingga ada yang cedera parah. Hal ini berlaku disebabkan pelbagai faktor sama ada berpunca daripada majikan mahupun pembantu rumah itu sendiri. Sebagai contohnya, ada pembantu rumah yang disimbah dengan air panas, dicucuh dengan puntung rokok, ditekap dengan sterika, dipaksa bekerja tanpa rehat dan sebagainya. Tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini menyebabkan pembantu rumah asing takut untuk datang bekerja di Malaysia. Jadi, penguatkuasaan undang-undang akan menjadikan nasib orang gaji asing lebih terbela di negara kita. Berdasarkan segala huraian di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengambilan orang gaji asing bekerja di negara kita memang ada pro dan kontranya. Sama ada kita sedar atau tidak, kita terlalu bergantung kepada orang gaji asing untuk menguruskan kehidupan kita sehari-hari. Dengan itu, masyarakat harus berkesedaran bahawa kebahagiaan dan keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan bertungangkan pengorbanan mereka terhadap keluarga mereka sendiri. Kita tidak mahu lambakan orang gaji asing yang bekerja di negara kita menimbulkan pelbagai masalah sosial. Insya-Allah, berkat doa dan usaha yang berterusan segala yang dicita-citakan akan menjadi kenyataan. Anda mungkin juga meminati: Kerja Kursus

1 Pengenalan

Dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Bahasa Melayu yang baharu, komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diterapkan kepada calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu. Melalui PBS, calon dikehendaki menyediakan dua kerja kursus, iaitu kerja kursus pada penggal kedua dan kerja kursus pada penggal ketiga. Wajaran markah bagi komponen kerja kursus sepanjang pengajian tingkatan enam ialah 25%. Markah bagi komponen kerja kursus ini dijumlahkan dengan markah peperiksaan yang dikendalikan oleh MPM dalam setiap penggal bagi menentukan gred mata pelajaran dan Purata Nilai Gred Keseluruhan.

Pada penggal kedua, calon dikehendaki mengarang esei berformat manakala pada penggal ketiga, calon dikehendaki menghasilkan penulisan ilmiah. Panduan dan arahan tugasan akan diberikan melalui portal MPM http://www.mpm.edu.my. Tugasan adalah berkaitan dengan tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

2 Objektif Tujuan kerja kursus ini diadakan adalah untuk menilai dan memperkukuh kebolehan dan keupayaan calon dalam

(a) memahami dan mengaplikasi pengetahuan dan sistem bahasa Melayu (b) menerapkan dan mengaplikasi domain kemahiran insaniah dalam mata pelajaran ini (c) menerapkan kesedaran calon bahawa pembelajaran mata pelajaran ini adalah berasaskan pembelajaran sepanjang penggal (d) mengaplikasi pembelajaran dengan kaedah, teknik, dan strategi yang ilmiah seperti dengan memperoleh ilmu melalui sumber kajian, pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber, dan menyampaikan dapatan dan maklumat dalam bentuk komunikasi yang teratur, jelas, dan sahih.

3 Kerja kursus Penggal Kedua Penulisan Esei Berformat

1 Pelajar dikehendaki menyediakan esei berformat secara individu. 2 Guru hendaklah menyediakan tajuk soalan esei berformat kepada pelajar. 3 Pelajar dikehendaki menulis sekurang-kurangnya tujuh esei, iaitu satu esei bagi setiap format. Ketujuh-tujuh esei tersebut hendaklah disemak dan markah purata akan dihantar kepada MPM.

4 Pelajar dikehendaki menulis esei berformat dalam waktu pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Melayu.

4 Kerja kursus Penggal Ketiga Penulisan Esei Ilmiah

1 Esei ilmiah dihasilkan secara berkumpulan dan dibentangkan oleh setiap ahli kumpulan mengikut bahagian masing-masing. Guru mentaksir pembentangan esei tersebut secara individu. 2 Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat pembentangan selama lima minit.Lima minit lagi diperuntukkan untuk sesi soal jawab bagi setiap kumpulan. 3 Bagi calon persendirian individu, esei ilmiah dihasilkan dan dibentangkan secara individu. 4 Dalam sesi soal jawab, satu soalan daripada guru dan dua soalan daripada pelajar hendaklah dibuka kepada semua ahli kumpulan untuk dijawab. 5 Calon digalakkan untuk menggunakan alat bantu yang sesuai, seperti power point, LCD, OHP, atau lain-lain untuk memaparkan isi penting pembentangan. 6 Calon tidak dibenarkan membaca keseluruhan teks daripada hasil kajian. 7 Semangat kerja berpasukan hendaklah jelas kelihatan semasa membuat pembentangan. 8 Markah penuh pembentangan sebanyak 50 markah diberikan untuk aspek kerelevanan, kelancaran, keterampilan, kebahasaan, dan penggunaan alat bantu. Wajarannya ialah 40%. Pemberian markah kepada setiap individu adalah berdasarkan prestasi pembentangannya. 9 Markah penuh penulisan esei sebanyak 50 markah diberikan untuk tajuk kajian, senarai kandungan, penghargaan, pendahuluan, objektif kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, rumusan kajian, lampiran, dan bibliografi/rujukan. Wajarannya ialah 60%. Setiap ahli kumpulan diberikan markah yang sama bagi penulisan esei yang dihasilkan.

Sumber : Sukatan Pelajaran Sistem Modular Bahasa Melayu

Read more: http://bm-stpm.blogspot.com/#ixzz2AkpOmtAN