Anda di halaman 1dari 11

1.

0 PENDAHULUAN

Sesungguhnya penciptaaan manusia adalah lengkap dan sempurna sebagaima


firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Sesungguhnya aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari
kalangan kamu,sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan)
dari setengahnya yang lain..”
Surah Al-Imran ,ayat 195.

Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di
dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan
bahawa:

“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat
perlindungan sama rata di sisi undang-undang “.

Jelas Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat


perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama,bangsa dan jantina
seseorang. Di sudut Islam,martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah tetapi tidak
pula menyamakan antara lelaki dan perempuan. Apa yang penting Isalam menghormati kaum
wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam.
Pembangunan berasal dari perkataan ‘bangun’ iaitu bererti bangkit atau berubah
kedudukan ataupun berlakunya transformasi. Proses transformasi ini melibatkan individu
ataupun masyarakat secara progresif. Perkataan transformasi ini juga merujuk kepada
manusia dan perubahan yang dialaminya secara berperingkat-peringkat ke arah kemajuan.
Dalam memastikan pembangunan berjalan dengan lancar, maka peranan wanita tidak
boleh diketepikan. Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial
dan politik di kebanyakan negara-negara di dunia begitu dominan sekali. Nama-nama seperti
Magaret Thatcher, Indra Ghandi, Benazir Bhutto, Corazon Aquino, Sirimavo Bandaranaike, dan
lain-lain sudah menjadi sinonim kepada pemimpin-pemimpin dunia. Senario kepimpinan wanita
dalam sesebuah negara telah merebak ke dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Kaum wanita
telah diberi peluang dalam memegang beberapa portfolio dalam kabinet seperti Datin Paduka
Rafidah Aziz, Datin Paduka Zaleha Ismail, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil.

1
Penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara
sememangnya tidak dapat disangkal. Jumlah wanita yang mewakili separuh daripada
penduduk Malaysia iaitu sebanyak 13.1 juta dan membentuk hampir 5.0 juta keluarga
menjadikan peranan wanita hari ini amat besar. Jika dahulu, wanita sering dikaitkan dengan
suri rumah, tetapi segalanya-galanya berubah sesuai dengan 50 tahun kemerdekaan yang
dicapai oleh negara.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), wanita telah memberikan
sumbangan yang ketara kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Pencapaian pendidikan yang lebih tinggi mendorong penyertaan wanita dalam tenaga buruh
dan pelbagai aktiviti perniagaan.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9),usaha akan diambil untuk
menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan wanita yang lebih
berkesan dalam pembangunan negara. Wanita akan dilengkapkan dengan pengetahuan yang
sesuai menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran
ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sama ada dunia ini adil atau tidak, bukan lagi isu yang mencengkam wanita pada hari
ini. Justeru, integrasi ekonomi dunia atau globalisasi ekonomi, beriringan dengan kemajuan
teknologi yang pesat telah membentuk realiti ekonomi kaum wanita dalam pelbagai cara.
Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita yang bermula kira-kira dua dekad yang lalu dan kini
semakin bertambah dalam hampir-hampir semua bahagian dunia, wanita mula mengorak
langkah mengharungi cabarannya untuk memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan
diiktiraf. Semakin bertambahnya penglibatan wanita dalam tenaga kerja dan meningkatnya
pendapatan dan kekayaan mereka maka, peranan wanita semakin berpengaruh, baik dalam hal
rumah tangga, organisasi, mahupun negara.

2.0 PERANAN DAN FUNGSI WANITA DI MALAYSIA


Dalam masyarakat tradisional, peranan kaum wanita adalah terhad kepada peranan
pembantu (supporting role) kepada kaum lelaki. Ini dapat dilihat daripada jenis-jenis tugas
yang mereka lakukan, umpamanya peranan mereka dalam pekerjaan sawah adalah untuk
membantu suami mereka seperti menyemai, mengubah dan menuai. Dalam membangunkan
keluarga masing-masing, wanita zaman tradisional menjalankan tugas seperti mencucuk atap,
membela ayam itik dan lain-lain sebagai membantu peranan lelaki yang lebih besar dan pokok
dalam kehidupan keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

2
Dalam bidang politik dan pemerintahan status kaum wanita telah bertambah baik dan
jika dilihat dalam perkembangan status mereka sama tinggi dengan lelaki. Ini dapat
dilihat apabila kaum wanita diberikan hak mengundi seawal-awal usia penubuhan negara kita
ini.
Dalam bidang ekonomi, adalah bidang yang sudah diterokai oleh kaum wanita dan di
mana kaum lelaki agak bersikap liberal dalam membuka pintu kepada kemasukan dan
penyertaan wanita. Pada masa dahulu peranan dan fungsi kaum wanita dalam bidang ini amat
terbatas. Jumlah wanita yang bekerja dalam perkhidmatan kerajaan maupun swasta semakin
bertambah dan begitu juga pembahagian pendapatan. Walaupun jumlah pekerja-pekerja
wanita ramai, hampir keseluruhannya termasuk pada peringkat pekerja-pekerja kurang mahir
mendapat jumlah gaji yang kecil sahaja.
Perubahan pada peranan ekonomi mempunyai kesan yang amat besar dan meluas
terhadap kaum wanita yang terlibat dari segi peranan dan fungsi sosial. Nilai sosial lama masih
lagi menganggap wanita sebagai makhluk yang dicipta untuk kesenangan kaum lelaki di mana
timbulnya institusi-institusi ekonomi moden yang khusus memperdagangkan wanita seperti
pelacuran, teman sosial, kelab-kelab khusus dan lain-lain. Peranan wanita sebagai isteri
adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumah dan keluarga dan lebih utama lagi mereka berjaya
menentang diskriminasi .

3.0 PERANAN WANITA DARI SUDUT POLITIK


Menerusi cetusan ideal Wawasan 2020, ternyata hasrat kerajaan untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju begitu tinggi sekali. Berbagai perubahan telah, sedang
dan akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Ini termasuklah di dalam bidang politik
negara supaya sistem perundangan dan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar
tanpa wujud sebarang pertelingkahan serta bangkangan yang boleh membantutkan
pembangunan negara. Oleh yang demikian penglibatan semua pihak adalah amat diambil
berat untuk menguruskan pembangunan negara. Dan ini tidak terkecuali penglibatan kaum
wanita di dalam pembangunan negara.
Apabila membicarakan politik, Imam Al-Ghazali mendefinasikan politik sebagai suatu
kehidupan manusia. Setiap manusia yang berkecimpung dalam bidang politik memerlukan diri
mereka terlibat dengan masyarakat. Justeru, politik amat berkait rapat di antara individu
dengan masyarakat. Oleh yang demikian apabila wanita melibatkan diri di dalam politik
menyebabkan penyertaan mereka di dalam bidang-bidang di luar rumah tangga untuk bersama

3
dengan masyarakat untuk turut sama menyumbangkan kepada pembangunan negara.
Oleh yang demikian jika diteliti akan peranan yang boleh diberikan oleh wanita dalam
membangunkan negara khususnya dari segi politik antaranya ialah wanita itu boleh menjadi
penasihat kepada suami mereka. Ini dapat kita lihat jika seseorang wanita itu bersuamikan
orang politik maka ianya boleh melibatkan dirinya secara tidak langsung dengan memberi
nasihat dari segi keputusan yang telah dibuat atau dilaksanakan oleh suaminya yang mungkin
tidak bersesuaian dengan kaum wanita yang mungkin tidak sesuai dengan pembangunan.
Sebagai contoh mungkin di setengah-setengah negeri tidak membenarkan kaum wanita
melibatkan diri mereka secara aktif dalam bidang perniagaan yang bertentangan dengan ajaran
agama dan adat sopan. Sebagai isteri mereka boleh memberi pandangan bahawa peraturan
yang dilaksanakan itu mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pembangunan masa kini
yang mahukan kaum wanita sama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara.
Menurut sebahagian ulama, wanita boleh berpolitik termasuk menjadi wakil rakyat sama
ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Malah dalam sejarah sendiri telah tercatit
bahawa khalifah Umar ibn Al khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam
melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara dari kaum muslimah pada masa zaman
pemerintahan khalifah. Ini menunjukkan peranan wanita dalam pembangunan sesebuah
negara adalah tidak boleh disisihkan dan diketepikan.
Demikian juga, wanita boleh melibatkan diri untuk membangunkan negara secara aktif
melalui pelbagai pertubuhan NGO seperti PERTIWI dan HAWA. Melalui pertubuhan-
pertubuhan inilah mereka boleh menyalurkan pelbagai idea dan cadangan dalam usaha untuk
membangunkan negara sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan
ekonomi. Melalui NGO juga mereka boleh membantu membangunkan negara dengan
memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya mengemaskinikan
undang-undang dan akta-akta yang boleh mengawal kemakmuran. Sesuai dengan
perkembangan zaman dan tuntutan semasa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM), iaitu kementerian yang khusus dalam menjaga hal-ehwal dan
pembangunan wanita turut diberi tempat dalam barisan kabinet kepimpinan negara.
Wanita terus diberi kepercayaan oleh kerajaan dalam perkongsian kuasa dan pembuat
keputusan sama ada dalam bidang politik atau ekonomi ,suara wanita diambil kira. Sekalipun
sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar masih belum mencapai
matlamat, keupayaan wanita memberikan kerjasama membangunkan negara amat
membanggakan.

4
4.0 PERANAN WANITA DALAM PENDIDIKAN
Wanita memainkan peranan yang penting di dalam pelbagai bidang khususnya dalam
bidang pendidikan. Dari perspektif Islam, Islam telah menyebarkan dasarnya dengan jelas
mengenai wanita di dalam segala aspek kehidupan terutamanya di dalam bidang pendidikan.
Rasullullah s.a.w. bersabda, "mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan
perempuan". Dasar ini telah ditegaskan sejak kemunculan Islam pada abad ke enam Masihi,
dan ianya masih terpakai dan terus menjadi tunjang kepada dasar pengajaran Islam hingga
ke hari ini.
Islam bukan sahaja meletakkan wanita di tempat yang paling wajar sebagai manusia
dan sebagai teman hidup bagi seorang lelaki, tetapi Islam menghargai sifat kehalusan dan
ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak untuk memegang tugas sebagai
seorang pendidik dibandingkan dengan kaum lelaki. Sebab itulah dari satu aspek, wanita lebih
penting diberi pengajaran atau pendidikan yang secukupnya kerana kaum wanita merupakan
pendidik atau guru yang paling layak untuk mendidik anak-anak dan anak bangsa mereka.
Wanita berperanan mempersiapkan diri dengan ilmu yang bukan hanya tertumpu
kepada ilmu undang-undang dan politik tetapi juga ilmu syariah. Ilmu tersebut akan
membawa kepada keimanan dan akhirnya melahirkan amalan-amalan yang baik bagi
membentuk sebuah masyarakat madani. Justeru bagi alaf abad ke- 21 ini merupakan
pemangkin bagi penghijrahan bagi kaum wanita agar berjaya memikul tanggungjawab ini dalam
membentuk sebuah masyarakat yang berketrampilan .
Berdasarkan petikan ucapan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,dalam sidang kemuncak
yang bertemakan “Wanita Nadi Pembangunan”,pada tahun 1959 golongan wanita yang
bergelar siswazah di Universiti Malaya hanya 77 orang atau 10.7 peratus. Namun demikian,
kini nisbah menunjukkan jumlah tersebut telah melangkaui jumlah pelajar lelaki dengan 61: 39.
Peningkatan tahap pendidikan ini sudah tentu memperlihatkan keupayaan wanita dalam
memberikan kerjasama membangunkan masyarakat dan ekonomi negara.
Sesuatu bangsa akan berjaya apabila wanitanya mendapat pendidikan yang lengkap
dan tinggi harga diri dan akhlaknya kerana kehalusan sifat wanita serta ketajaman perasaan
seseorang ibu boleh memindahkan segala kebaikan yang ada padanya untuk diwarisi oleh
anak-anaknya. Menurut seorang ahli falsafah Islam, "bila pendidikan telah begitu lengkap bagi
wanita, biarlah kaum lelaki tidak begitu dipentingkan pendidikannya, kerana wanita-wanita
itulah
kelak akan mendidik kaum lelaki".
Peranan wanita dalam bidang pendidikan di Malaysia, boleh dilihat dengan kemunculan

5
maktab-maktab perguruan. Untuk merealisasikan peranan wanita sebagai seorang
pendidik, maka sebuah maktab telah ditubuhkan untuk wanita pada tahun 1935 iaitu Maktab
Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka.
Sejak kebelakangan ini, wanita telah mendominasi sistem pendidikan di Malaysia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Penerangan dan Penyelidikan,
Kementerian Sumber Manusia, terdapat 68% wanita terlibat di dalam sektor pendidikan.
Namun demikian, jumlah peratusan kaum wanita yang memegang jawatan penting di dalam
sektor pendidikan adalah kecil. Menurut N.Siva Subramaniam, Setiausaha Agung Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Malaysia, terdapat 5% sahaja kaum wanita yang memegang jawatan
penting di dalam bidang pendidikan seperti Pegawai Pendidikan, Pengetua, Guru Besar dan
Guru Penolong Kanan.
Kebanjiran wanita di maktab-maktab perguruan memang tidak dapat dinafikan. Lebih
75% wanita merupakan pelatih-pelatih dikebanyakan maktab perguruan. Sebagai
contoh Enrolmen Guru Pelatih dan Peserta Kursus, Maktab Perguruan Batu Pahat sehingga
April 1997 menunjukkan bahawa pelatih perempuan lebih ramai dengan jumlah 471 orang
berbanding dengan pelatih lelaki hanya 182 orang. Wanita perlu mendapatkan pendidikan
tinggi bagi menjamin keberkesanan peranannya sebagai salah satu daripada tunjang
pembangunan negara terutamanya dalam bidang pendidikan. Menurut Dr. Nik Safiah Karim
(1976), di dalam ceramahnya anjuran Pertiwi di Kolej Islam Universiti Kebangsaan Malaysia,
antara lain berkata;
"perbezaan antara wanita berilmu dengan wanita terpelajar amat jauh. Wanita terpelajar dapat
bertindak dalam apa jua keadaan; kalau orang berbicara A wanita yang terpelajar boleh
menyambung kepada B dan terus kepada Z. sebaliknya bagi wanita berilmu, pelajaran hanya
menjadi tiket untuk mendapatkan pekerjaan, bukan sebagai kegunaan untuk hidup sempurna".
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil
menegaskan bahawa ketekunan dan sifat rajin wanita sahaja tidak dapat membantu mereka
untuk terus berdaya saing terutama dalam arus globalisasi. Sebaliknya, ilmu pengetahuan
serta kepandaian adalah menjadi tunjang bagi memastikan pada akhirnya kejayaan menjadi
milik mereka.

5.0 PERANAN WANITA DALAM EKONOMI


Ekonomi merupakan sesuatu yang amat penting bagi sesebuah negara. Kekayaan,
status dan jatuh bangunnya sesebuah negara adalah bergantung kepada kepesatan ekonomi

6
yang dialaminya. Wanita telah memainkan peranan yang besar dalam aktiviti ekonomi dunia
dan sesebuah negara melalui peranannya yang produktif dan reproduktif. Penglibatan wanita
dalam ekonomi telah meningkat tidak hanya pada emansipasi (pembebasan dari prasangka
dan kongkongan) malah mengambil berat akan keperluan ekonomi. Perumpamaan “tangan
wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia” dapat dilihat sebagai gambaran
yang paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya bagi
memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi negara yang kukuh.
Di negara kita, wanita merangkumi hampir-hampir separuh daripada sumber tenaga
kerja. Penglibatan tenaga wanita dalam pasaran kerja telah meningkat daripada 2.7 juta
(44.7 peratus ) pada tahun 1995 kepada 3.7 juta ( 46.1 peratus ) pada tahun 2006. Fakta ini
membuktikan bahawa wanita telah memperkayakan bidang masing-masing dan memberikan
sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi negara.
Penglibatan kaum wanita sebagai pencari rezeki sudah diterima sebagai suatu realiti
dalam masyarakat Islam moden. Mungkin kerana kos kehidupan yang semakin meningkat
terutamanya di bandar menyebabkan kaum wanita harus sama-sama keluar mencari rezeki
untuk keluarga. Oleh itu tidak hairanlah ketika ini, ramai wanita yang mempunyai pekerjaan
kerana masing-masing memerlukan sumber pendapatan untuk membantu ekonomi keluarga.
Namun begitu, dengan sumber pendapatan yang ada mereka bukan sahaja boleh membantu
keluarga, malahan juga berperanan untuk membantu masyarakat Islam yang memerlukan.
Menurut bancian Jabatan Statistik 2006,terdapat 518 000 orang usahawan dalam sektor
perkhidmatan, perkilangan dan pertanian dengan 99.1 peratus terdiri daripada usahawan kecil
dan sederhana. Daripada keseluruhan usahawan itu, lebih daripada 82 000 orang atau 16
peratus dimiliki oleh wanita.
Memperoleh pendapatan daripada sumber yang bersih akan lebih berkat sekiranya
kewajipan zakat itu dapat ditunaikan. Di sinilah wanita-wanita yang bekerja memainkan
peranan untuk turut sama membangunkan ummah terutamanya dari segi pembangunan
ekonomi masyarakat yang masih dikekang kemiskinan. Menunaikan zakat bukan hanya
memenuhi tuntutan sebagai seorang Islam tetapi perlu difikirkan tentang manfaat dalam
menyuburkan dan membersihkan pendapatan dan kehidupan. Pelbagai jenis zakat yang boleh
dikaitkan dengan seorang wanita. Antaranya zakat pendapatan, zakat emas, zakat perniagaan,
zakat saham dan sebagainya.
Tidak ketinggalan bagi wanita-wanita yang berniaga. Dewasa ini, semakin ramai wanita
yang menjadi usahawan berjaya. Mereka ini mewarisi bakat wanita-wanita Islam pada zaman
dahulu seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Shifa’ binti Abdullah yang merupakan

7
contoh dua orang peniaga dan pengurus perniagaan berjaya dan cekap. Kecenderungan
wanita-wanita kini untuk berniaga tidak wajar dipertikaikan dan keupayaan mereka untuk
merealisasikan impian menjadi usahawan yang berjaya tidak harus diperlekehkan. Oleh itu,
tidak hairanlah jika ada di antara usahawan-usahawan ini mampu untuk mengeluarkan zakat
perniagaan untuk ‘dikongsi’ bersama asnaf yang memerlukan. Walaupun, sumbangan mereka
kecil, tetapi nilainya tetap besar di sisi Allah s.w.t.
Secara dasarnya, penglibatan wanita dalam membangunkan ekonomi memang
disedari. Lantas, sebagai tanda terima kasih kerajaan atas usaha yang dijalankan oleh
golongan wanita, maka Majlis Penasihat Kebangsaan mengenai Integrasi Wanita dalam
Pembangunan (NACIWID) di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan pada 1976. Penubuhan ini
bertujuan menterjemahkan pelan tindakan sedunia tentang wanita dalam pembangunan
negara.
Selain itu, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) pula ditubuhkan pada tahun 1983 yang
berfungsi untuk mengawasi dan menilai perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan
swasta bagi faedah wanita.

6.0 PERANAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN SOSIAL.


Pembaharuan yang dicapai oleh negara sekaligus menuntut perubahan dalam apa jua
tindakan yang diambil. Perubahan minda dan gaya hidup masyarakat, turut menuntut
kaum wanita agar membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti. Selaras
dengan ini, kaum wanita perlu bangkit dengan wajah baru bagi mendapatkan hak yang
sewajarnya dalam masyarakat. Wanita bukan lagi sebagai pendukung dan penyokong kepada
setiap keputusan yang diambil oleh kaum lelaki. Akann tetapi wanita perlu juga diberi tempat
dalam membuat sesuatu keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial.
Jelasnya apabila kita membicarakan soal tanggungjawab sosial dalam pembangunan
negara ini, ianya harus diukur dari segi tahap kemampuan warganegara terutama kaum wanita.
Memang tidak dapat dipersoalkan lagi bahawa peranan kaum wanita dalam pembangunan
yang berperspektif sosial perlu di teliti. Ini kerana ianya akan menentukan ke manakah arah
perkembangan anak-anak yang kebanyakkannya dididik oleh kaum wanita yang digelar ibu.
Oleh itu peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat jelaslah amat penting dalam
membangunkan ummah serta negara.
Peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan
adanya bantuan dari orang gaji, pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta

8
pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka. Tugas sebagai ibu
dan jentera penambah zuriat juga telah mengalami perubahan dalam erti kata wanita tidak lagi
menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada takdir, oleh kerana dengan adanya
pengetahuan sains perubatan yang dapat mencipta alat-alat pencegah kehamilan. Ini
menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan
sikap keluhuran, kemurnian dan tatasusila seorang wanita.
Hari ini para isteri moden mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap
kebajikan suami berbeza dengan masa dahulu. Menurut Ketua Pergerakan Wanita
UMNO, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dalam simposium yang bertemakan "Wanita Alaf Baru
Abad ke 21", wanita hari ini telah mempunyai imej dan tanggugjawab sosial yang berbeza
sesuai dengan kehendak dan perubahan zaman.
Peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar
pembangunan dan kemakmuran negara dapat dimajukan dengan baik tanpa mengorbankan
pembangunan institusi keluarga. Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga,
kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan
generasi yang berpekerti mulia banyak terletak di tangan mereka. Seperti mana yang diulas
oleh Dr. Muhammad Nur Munaty, Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), yang mengatakan
tugas dan peranan ibu adalah penting dalam menghalang anasir dan unsur yang cuba untuk
mempengaruhi pemikiran dan budaya anak-anak.
Dengan senario sosial yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini, kaum wanita
berperanan menangani dengan baik sesuatu perkara yang berbahaya agar masyarakat tidak
terlibat dengan arus ekstrim dan akhirnya akan menimbulkan keadaan yang gawat. Kegawatan
di sini membawa maksud dengan keadaan pembangunan dan modenisasi yang pantas tetapi
menolak beberapa unsur lain yang terdapat dalam zaman tradisional seperti lari daripada
prinsip dalam memuliakan agama kerana terlalu bangga dengan kecanggihan yang dicapai.
Atas peranan yang besar dalam memberikan bimbingan ini, tidak mustahil mereka
mampu membentuk satu generasi yang matang, berwibawa dan berkemampuan dalam
membangunkan negara ke arah perkembangan yang padu dan berwawasan. Ini bertepatan
dengan pandangan Senator Kamilla Ibrahim dalam menjawab persoalan Bicara Wanita 1
anjuran Biro Perpaduan dan Pembangunan Wanita Umno yang menyatakan bahawa perspektif
yang berlandaskan sosial dalam pembangunan wanita adalah penting sebagai kuasa
pembentukan ketamadunan.

9
7.0 KESIMPULAN
Peranan kaum wanita amatlah besar dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum
lelaki dalam pembangunan negara. Rasanya tidak lengkap sekiranya tugas pembangunan
negara hanya disandarkan di bahu kaum Adam kerana maksud pembangunan itu sendiri
adalah amat luas. Pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk
pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah dan
perpaduan ummah. Untuk itu, pembangunan dari unsur-unsur yang melibatkan faktor-faktor
sosial memerlukan tindakan dan perjuangan yang lebih berani dari kaum wanita.
Sememangnya perbezaan fizikal wanita akan menyebabkan perbezaan tugas dan
tanggungjawab dari pandangan umum.
Justeru untuk menampilkan imej wanita sebagai berketerampilan selain memiliki ilmu,
wanita juga hendaklah memiliki sifat ketakwaan. Melalui ilmu, seorang wanita mampu
mempertingkatkan kualiti diri sebagai wanita mithali yang dapat menyumbangkan ke arah
pembangunan negara. Sementara itu ketakwaan menjadikan wanita itu mantap, memiliki
ketahanan diri yang kuat dengan erti kata keimanan menjadi benteng menahan arus cabaran
yang mendatang. Keimanan menjadikan wanita kebal, umpamanya seekor ikan, jika
dicampakkan ke laut masin, ia tetap tidak masin melainkan ia sudah mati dan digaramkan.
Wanita hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kemahiran
pekerjaan kepimpinan dan sebagainya. Keadaan wanita boleh dibanggakan berbanding
lebih lima puluh tahun dahulu. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat hari ini yang
meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan. Ini adalah kerana tuntutan untuk
memperkemaskan generasi dan ummah yang akan datang tidak lagi hanya dibebani pada bahu
lelaki tetapi sebaliknya memerlukan sokongan dan dokongan wanita. Apabila kita mengatakan
wanita itu amat penting dalam masyarakat dan negara ia boleh ditafsirkan sebagai melengkapi
antara satu sama lain.
Memang kita akui wanita sendiri kadangkala tidak dapat melakukan sesuatu kerja
sepertimana lelaki namun dalam sesetengah keadaan golongan lelaki juga tidak boleh
melakukan sesuatu kerja yang boleh dilakukan oleh wanita. Justeru kita harus ingat bahawa
tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rasional. Kita tidak harus meletak wanita sebagai
golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti. Wanita sebagai isteri,
ibu dan tidak kurang juga sebagai pemimpin. Peranan mendidik generasi serta kerjasama
semua pihak samada dalam keluarga, tempat kerja, jiran tetangga dan masyarakat setempat
perlu diperhebat untuk menjadikan wanita kepada penyumbang pembangunan negara.

10
Seterusnya insan inilah yang bakal mewarnai dan menerajui pembangunan tamadun Islam
yang cemerlang dan gemilang serta di redhai Allah s.w.t.

11