Anda di halaman 1dari 3

JURNAL MINGGU PERTAMA

Pada hari pertama, saya bersama-sama lima orang rakan yang lain telah melaporkan diri untuk berpraktikum selama dua bulan di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah, Nibong Tebal. Kami terdiri daripada saya dan seorang rakan saya, Aiman yang merupakan guru pelatih subjek major Sains, manakala dua orang rakan saya, Siti dan Shida yang merupakan guru pelatih subjek major Matematik dan dua orang rakan guru pelatih subjek major Pemulihan. Setibanya di sekolah, kami belum berkesempatan untuk bertemu dengan guru besar sekolah kerana beliau sedang bercuti. Kedatangan kami telah telah disambut mesra oleh guru penolong kanan 1, Puan Rohani. Beliau mengalu-alukan kedatangan kami guru pelatih ke sekolah ini. Selepas itu, kami semua telah turun menghadiri perhimpunan mingguan di tapak dataran sekolah. Serba-sedikit mengenai informasi terkini mengenai aktiviti sekolah telah kami ketahui semasa perhimpunan tersebut. Selepas itu, kami berenam telah dibawa ke bilik guru dan diberi meja masingmasing. Saya berasa sangat bersyukur kerana mendapat ruang kerja yang sangat kondusif. Hal ini kerana, lokasi meja saya yang berhampiran dengan penghawa dingin dan dikelilingi oleh meja guru-guru yang lain. Ini secara tidak langsung akan memudahkan interaksi saya dengan guru-guru lain di bilik guru itu. Seterusnya, saya dan rakan-rakan yang lain telah melawat persekitaran kawasan sekolah dan berkenal-kenalan dengan beberapa orang guru dan pekerja di sekolah ini. Rataratanya mereka semua sangat mesra dan peramah. Ini secara tidak langsung telah mengurangkan lagi rasa kekok dalam diri saya untuk bergaul dengan komuniti sekolah yang baru. Guru penolong kanan telah berbincang dengan saya dan rakan-rakan mengenai pembahagian jadual waktu peribadi kami. Saya telah mendapat 10 waktu interaksi p&p iaitu 8 waktu sains dan 2 waktu pjk. Namun begitu, beliau telah memberitahu saya dan rakan-rakan bahawa di sepanjang minggu ini semua murid akan menduduki ujian kemajuan 2. Maka, beliau berharap agar mendapat komitmen daripada pihak guru pelatih untuk menjaga dan memantau perjalanan ujian tersebut

dan tidak perlu masuk mengajar di dalam kelas lagi. Beliau juga telah mengumumkan guru pembimbing kami. Seterusnya, saya dan rakan-rakan segera ke bilik guru mencari guru pembimbing masing-masing. Saya telah berjumpa dengan guru pembimbing saya, Puan Naemah bt Zakaria yang merupakan guru panitia sains di sekolah ini. Hasil interaksi dengan beliau saya telah mendapat tahu bahawa beliau merupakan seorang guru sains yang sangat berpengalaman. Sememangnya inilah peluang keemasan yang perlu saya gunakan untuk mempelajari sesuatu yang berguna daripada beliau. Selain itu, saya juga telah berjumpa dengan beberapa orang guru sains yang lain untuk memaklumkan kepada mereka bahawa saya akan mengambil kelas mereka selama dua bulan. Masing-masing telah mengingatkan saya akan tajuk-tajuk topik sains yang perlu diajar seterusnya pada minggu hadapan. Pada hari kedua, saya dan rakan telah berpeluang berjumpa dengan Guru Besar. Beliau telah mengadakan satu mesyuarat kecil untuk guru-guru pelatih. Semasa perbincangan tersebut, beliau telah mengingatkan kami beberapa perkara seperti etika pemakaian, peraturan sekolah, tugas dan peranan seorang guru dan lain-lain lagi yang sangat berguna kepada diri saya sebagai seorang guru pelatih. Pada hari ketiga di sekolah tersebut, saya telah masuk ke kelas untuk menjaga dan memantau perjalanan ujian yang berlangsung. Saya telah memerhati pelbagai gelagat murid-murid yang sedang menjawab soalan tugasan. Namun begitu, mereka mula membuat bunyi bising tatkala telah habis menjawab soalan ujian. Saya telah menunjukkan muka serius dan menghampiri murid-murid yang bising tersebut sambil memberi amaran supaya menjaga kelakuan dan diam. Pada hari keempat di sekolah tersebut, saya telah berpeluang untuk masuk sebentar ke kelas 4 Excellent yang bakal saya ajar kelak. Saya telah berkenalan dengan murid-murid kelas tersebut. Saya juga telah mengadakan kontrak sosial dengan mereka agar tingkahlaku bermasalah dalam kelas saya dapat dikurangkan kelak. Selain itu, saya juga telah membuat survey mengenai pengajaran dan pembelajaran sains. Rata-rata murid sangat sukakan hands-on. Informasi ini secara tidak langsung telah memberi sedikit gambaran kepada saya untuk memperbanyakkan aktiviti dalam p&p saya.

Pada hari kelima, saya bersama guru-guru yang lain serta murid-murid telah turut serta dalam program bacaan Yassin dan ceramah sempena bulan Ramadhan. Hasil daripada program ini, saya telah berpeluang berinteraksi dengan guru-guru sekolah tersebut. Namun begitu, p&p pada pagi itu tidak dapat saya jalankan kerana ceramah tersebut berlarutan sehingga rehat pertama.

Anda mungkin juga menyukai