Anda di halaman 1dari 26

PERANAN BAHASA KEBANGSAAN SEBAGAI LAMBANG JATI DIRI BANGSA-Yusmariza bt Mohd Yusoff [diselenggarakan oleh Rozali Rajab[

Abstrak Tidak ada tamadun yang dibangunkan tanpa menggunakan bahasa ibundanya sendiri. Di Tanah Melayu ini, mungkinkah tamadun Melayu terus terbina? Jati diri adalah elemen yang mendasari citra dan imej sesebuah bangsa. Jati diri merangkumi adat, agama, bahasa dan budaya. Ibarat rumah dengan 4 tiang yang kukuh, bayangkan apa yang bakal terjadi jika salah satu tiangnya ditumbangkan? Tidak ada tolak ansur dalam soal jati diri sehingga memungkinkan bahasa Melayu ditolak ke tepi dan digantikan oleh bahasa asing. Dalam catatan sejarah, bahasa Melayu yang sarat dengan nilai jati diri bangsa Melayu telah menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan pelbagai bangsa rantau ini terutamanya pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka. Setelah negara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan pula. Bahasa kebangsaan adalah bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Apabila bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka bahasa itu telah menjadi milik semua kaum dan rakyat di negara ini. Bahasa Melayu dipilih kerana bahasa itu merupakan bahasa yang diterima, difahami dan digunakan oleh rakyat Malaysia sebagai alat komunikasi serta peranannya yang dapat merentasi pelbagai aspek kehidupan yang lain. Bersandarkan hakikat tersebut, justeru kertas kerja ini akan membincangkan tentang `peranan bahasa Kebangsaan sebagai lambang jati diri bangsa kerana bahasa melambangkan jiwa bangsa dan bahasa menunjukkan bangsa. Tidak akan maju sesuatu bangsa itu tanpa bahasanya. PENGENALAN Orang tua-tua sering mengungkapkan, Bahasa Jiwa bangsa, Hilang bahasa, lenyaplah bangsa, Bahasa Teras Budaya, dan Budaya Cerminan Bangsa. Begitulah suatu penyataan yang cukup sentimental tentang nilai dan harga diri sesuatu bahasa.. Negara yang merdeka dan berdaulat lazimnya memerlukan bahasa, lagu, negara atau bendera sebagai lambang kemerdekaan dan kedaulatannya. Penerimaan dan pengiktirafan lambang kebangsaan berkenaan oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya di negara berkenaan amat penting dari segi pembentukan negara bangsa. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, sesebuah negara memerlukan bahasa Kebangsaan sebagai alat dan pemangkin untuk membentuk jati diri dan keperibadian sebagai negara bangsa. Sesungguhnya bahasa kebangsaan bertindak sebagai alat pemersatu selain menimbulkan kesedaran tentang identiti di peringkat kebangsaan. Alexis de Tocqueville menyatakan bahawa ikatan bahasa mungkin merupakan ikatan yang paling teguh dan paling tahan lama yang dapat menyatukan manusia. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama menyatakan bahawa adalah wajar bagi sesebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa sendiri. Jika bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan, negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian apa yang boleh saya ungkapkan, sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh. Tanpa jiwa dan roh, tentulah sesuatu bangsa dan negara itu akan lesu dan seterusnya mati kerana pasti akan berhadapan dengan masalah untuk menyatukan penduduknya. Bukan sebarang bahasa yang dapat diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Nida E.A menghuraikan tiga ciri yang perlu dimiliki oleh setiap bahasa kebangsaan. Yang pertama, perlunya bahasa itu berkecuali dari segi politik. Yang kedua, bahasa itu hendaklah mempunyai perkaitan dengan pelbagai bahasa di rantau itu dan yang ketiga, terdapat bilangan penutur yang ketara supaya mereka dapat menjadi penutur contoh kepada orang lain untuk mempelajarinya. Sebaliknya dengan adanya bahasa kebangsaan sebagai lingua franca, rakyat pelbagai etnik dapat disatukan, penduduk pelbagai daerah dapat diikat serta kota dan desa dapat dijambatani. Singkatnya bahasa kebangsaan dapat menyerap mesra ke dalam seluruh pelosok kehidupan masyarakat

berbanding dengan dialek etnik atau bahasa asing. Objektif kertas kerja ini ialah menghuraikan peranan bahasa Melayu sebagai pembentukan negara pascamerdeka serta menerangkan peranan bahasa kebangsaan sebagai lambang jati diri bangsa serta langkah-langkah memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kertas kerja ini menjurus kepada perbincangan bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan peranannya sebagai jati diri bangsa. Penulis membincangkan tentang peranan bahasa Melayu pascamerdeka, setelah negara mencapai kemerdekaan serta langkahlangkah memperkasa bahasa Melayu sebagai lambang jati diri bangsa. Peranan Bahasa Melayu Dalam Pembinaan Negara Pascamerdeka Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara pascamerdeka telah pun bermula paling lewat sejak abad ke-7 Masihi iaitu dengan kemunculan kerajaan Sriwijaya. Kerajaan Sriwijaya telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa pengajian agama(Buddha). Peranan bahasa Melayu semakin kukuh, kian jelas dan meluas peranannya dengan kemunculan kesultanan Melayu di segenap rantau. Kepulauan Melayu seperti kerajaan Melaka, Pasai, Acheh, dan Patani. Menurut catatan Marco Polo, Kesultanan Melaka yang diasaskan pada awal abad ke15 merupakan kerajaan yang paling berpengaruh dan luas jajahan takluknya serta luas pula hubungannya dengan kuasa-kuasa dan bangsa asing. Peranan bahasa Melayu ketika itu meliputi seluruh aspek tamadunnya. Bahasa Dalam Sistem Pentadbiran Bahasa Melayu juga berjaya merentas segala bidang kehidupan utama iaitu berfungsi sebagai tunjang kehidupan tamadun yang lain seperti pentadbiran yang meluas terutama dalam zaman pemerintahan Sriwijaya. Dalam zaman kerajaan Sriwijaya, bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pentadbiran, termasuklah di wilayah-wilayah jajahannya yang sampai di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu yang dikenal sebagai Segenting Kera. Bahasa Melayu ketika ini menjadi jati diri dan citra kepulauan Melayu. Di peringkat antarabangsa pula, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa utama dalam warkah dan perutusan serta perjanjian dengan kuasa-kuasa dan pihak-pihak asing. Dalam zaman Kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu bertambah kukuh sebagai bahasa pentadbirannya yang kian canggih. Dengan kata lainnya, bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan diplomatik. Bahasa Melayu menjadi bahasa supra iaitu bahasa yang mencapai tahap penyebaran dan penggunaan yang luas. Selain merentas etnik di peringkat wilayah, negara, bahasa Melayu juga merentas batas geopolitik. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Sebagai bahasa ilmu pula, Bahasa Melayu menjadi wasilah pengungkapan dan pengembangan ilmu yang cukup luas cakupannya. Bahasa Melayu begitu kaya dengan ilmu dan menjadi bahasa pengembangan ilmu dalam masyarakatnya sejak berabad-abad bermula dengan benih awalnya sebagai bahasa pengajian agama Buddha dalam zaman pra-Islam iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7. Apabila Islam datang ke alam Melayu, tradisi ilmu menjadi mercu tanda utama kebudayaan Melayu dalam zaman kesultanan Melayu di seluruh kepulauan Melayu. Pusat kebudayaan Melayu seperti Pasai, Melaka, Terengganu, Acheh dan Johor-Riau merupakan pusat kebudayaan Melayu yang cemerlang dengan tradisi ilmu. Bahasa Melayu dengan bantuan tulisan jawi yang dipadankan dengan aksara Arab telah menjadi pengungkap yang berkesan dalam segala bidang ilmu yang dibawa oleh pendakwah Islam khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama Islam seperti akidah, fiqah dan tasawuf selaras proses pengislaman yang sedang pesat berlangsung pada waktu itu. Dalam bidang sastera, pada zaman kesultanan Melayulah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa sastera yang subur, meliputi pelbagai bentuk prosa dan puisi. Peranan bahasa dan kesusasteraan Melayu menjadi kian penting. Islam menjadikannya sebagai bahasa umum yang diolah dan diperkenalkan penyatuannya melalui tulisan jawi yang merupakan tulisan antarabangsa yang praktik dan senang dipelajari. Ribuan manuskrip dan hasil persuratan Melayu sejak awal kedatangan Islam tertulis dalam tulisan ini. Kita dapat membicarakan tokoh-tokoh seperti Syeikh AbdurRauf Singkel, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Muhammad Zain bin Al-Faqih Jalaluddin dari Acheh dan banyak lagi tokoh lain. Daripada karangan mereka, kita dapat mengkaji pemikiran dan kebudayaan bangsa

Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama perkembangan Islam di seluruh Kepulauan Melayu dan Asia Tenggara. Di samping itu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa undang-undang bagi hampir setiap kesultanan Melayu; antaranya yang amat masyhur ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Malahan hampir setiap kerajaan Melayu pada waktu itu mempunyai kitab undang-undangnya sendiri, seperti Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Siak dan Undang-undang Johor. Demikian juga teks yang diukir pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 itu dengan jelas membuktikan kewujudan wacana undang-undang dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu kemudian diperkaya bukan sahaja dengan kitab atau hasil yang bersifat agama, tetapi juga kemudiannya roman, hikayat, ilmu falsafah, sejarah dan disiplin ilmu-ilmu yang lain. Usahlah kita lupakan pula daya pengungkapan bahasa Melayu dalam bidang ilmu lain seperti persenjataan, perubatan dan astronomi. Bahasa Melayu Sebagai Pengikat Perpaduan dan Persefahaman Peranan bahasa ini sebagai bahasa pengikat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik yang ada di Kepulauan Melayu yang ratusan jumlah tidak dapat disangkal lagi. Lebih daripada itu, bahasa Melayu telah diterima oleh bangsa-bangsa lain yang datang bermastautin di rantau ini. Kewujudan Baba Cina di negeri-negeri yang dahulu dikenal sebagai Negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang dan Singapura), dengan ciri jati dirinya amat rapat dengan kebudayaan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu kreol Baba Cina, membuktikan bahawa bahasa Melayu secara alamiah dapat menjadi wasilah perpaduan dan persefahaman antara bangsa yang berlainan. Selain kaum Baba Cina, di Melaka terdapat kaum Ceti India yang juga mengasimilasikan jati dirinya dengan budaya Melayu, termasuk dalam hal penggunaan bahasa Melayu kreol Ceti. Dengan peranannya yang merentas etnik atau supraetnik dan juga merentas bangsa itu, bahasa Melayu memang telah benar-benar menjadi asas pembinaan negara dan jati diri masyarakat yang bermastautin di negara ini. Peranan Bahasa Kebangsaan Sebagai Lambang Jati Diri Bangsa Selepas Merdeka Sejarah perjuangan bangsa mulai awal abad ke-20 menunjukkan cita-cita mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa utama dalam sistem pendidikan negara. Apabila perjuangan memerdekakan negara digerakkan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu turut menjadi agenda utama. Bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kerana bahasa adalah bidang utama kekuatan bangsa dan alat pengucapan budaya. Bahasa yang mampu berkembang menangani perubahan keperluan dan tuntutan baru peradaban manusia akan mampu pula membina tamadun umatnya dan seterusnya melambangkan jati diri sesuatu bangsa itu. Ungkapan bahasa jiwa bangsa bukan sekadar sloga n, tetapi ciri utama yang menentukan jati diri kebangsaan sesuatu bangsa. Melalui bahasa kebangsaan, sesebuah negara dapat membina keperibadian dan tamadun mengikut acuannya sendiri sesuai dengan aspirasi, latar sejarah dan budaya rakyatnya. Bahasa asing lain tidak mungkin dapat mengambil alih fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengungkap dan perakam peradaban bangsa dan jati diri sesuatu masyarakat itu. Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Ilmu Bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 960 sehingga dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian diperkukuh dalam Akta Pendidikan 1996. Bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi pula ditandai dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 dengan penglibatan rakyat (melalui pungutan derma ke segenap negeri oleh jawatankuasa penaja yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail). Asas penubuhan UKM adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu di pusat pengajian tinggi, 13 tahun lebih awal daripada perancangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa pengajian tinggi pada tahun 1983. Penglibatan ratusan ilmuwan dalam pelbagai bidang (sains tabii dan sains kemanusiaan), sejumlah lebih sejuta istilah ilmu dan bidang teknikal dalam kira-kira 300 bidang dan

subbidang telah digubal terutamanya melalui mekanisme yang diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1956 dan secara lebih aktif sejak tahun 1972. Wacana ilmiah dalam bentuk buku dan jurnal ilmiah dalam bahasa Melayu telah diterbitkan oleh DBP, penerbit universiti serta penerbit swasta. Penyampaian pelbagai mata pelajaran di sekolah dan pelbagai kuliah di institusi pengajian tinggi dapat disampaikan dalam bahasa kebangsaan oleh guru dan pensyarah dengan baik. Lulusan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi penggerak pembangunan dalam pelbagai sektor. Prasyarat utama pembentukan bangsa dan tamadun yang luhur ialah keutuhan ilmu yang dimiliki oleh bangsa itu; dan prasyarat keutuhan ilmu bangsa sebahagian besar ditentukan oleh keberkesanan penyampaian ilmu itu kepada masyarakat, iaitu dengan menggunakan bahasanya sendiri, sekalipun bahasa-bahasa asing tetap diperlukan sebagai bahasa sumber ilmu. Sebagai bahasa ilmu dan bahasa utama sistem pendidikan negara, bahasa kebangsaan tentu sahaja berperanan membentuk jati diri bangsa Malaysia dengan berkesan melalui kesatuan sistem nilai, pemikiran dan sikap suatu bangsa Malaysia. Lambang Kehalusan Dan Kesantunan Bahasa Bahasa yang bertamadun harus mengungkapkan bahasa yang berbentuk halus atau dikenali sebagai eufemia. Dalam hal ini, tanpa diragukan bahawa Bahasa Melayu melambangkan kehalusan kesopanan dan tingkah laku penuturnya. Seseorang yang menjiwai bahasanya sering menuturkan bahasa dengan sopan agar dianggap berbudi bahasa dan tidak dianggap biadab . Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu dapat dilihat daripada pelbagai ungkapan dalam persuratan Melayu lama seperti pantun, syair, peribahasa dan kiasan. Kiasan Melayu merupakan bahasa sindiran yang halus dan sarat dengan pengajarannya. Oleh hal yang demikian, kiasan Melayu berfungsi sebagai lambang kesopanan dan kehalusan budi pekerti masyarakat yang mendukungnya. Ketajaman kiasan Melayu menjadi faktor penting dalam komunikasi orang Melayu, malah kiasan itu dilihat mampu memberikan kesan atau mesej yang kekal dalam diri individu. Kehalusan dan kesantunan bahasa melambangkan kandungan pemikiran, sikap dan tingkah laku penutur yang dipengaruhi masa dan ruang. Meminjam puisi Usman Awang (1988), antara lainnya mengungkap, Melayu itu maknanya bijaksana; Jika menipu pun bersopan; Kurang ajarnya tetap santun; Dajalnya cukup selamba; Budi bahasa jangan dikira; Beraninya cukup benar; Tunduk bila bersalah; Lembutnya cukup jantan; Berkelahi cara Melayu; Menikam dengan pantun; Menyanggah dengan senyum; Marahnya dalam tertawa; Merendah bukan menyembah; Meninggi bukan melonjak. Begitu unik dan istimewa bangsa Melayu, sekalipun bertarung mereka masih boleh berpantun walaupun dalam bentuk yang sungguh sinikal. Menghayati bahasa sebagai jati diri bangsa bermakna kita menghayati setiap aspek bahasa yang dapat mencerminkan identiti atau jati diri bangsa itu sendiri. Penggunaan bahasa Melayu tinggi seperti kiasan dan bidalan menyerlahkan betapa luasnya renungan dan pemikiran bangsa Melayu dulu ketika menyusun peraturan hidup sehingga sebahagian besar daripada hasil renungan dan fikiran mereka itu masih dapat digunakan hingga sekarang. Selain daripada itu, kehalusan bahasa Melayu itu dapat dilihat melalui penggunaan kata sapaan dan kata panggilan, kata gelaran dan rujukan hormat serta kata ganti nama yang disesuaikan dengan konteks dan situasi. Contohnya melalui penggunaan kata panggilan dalam keluarga, akan terpancar kesantunan yang diamalkan oleh keluarga Melayu sejak dahulu lagi. Kata kekeluargaan turut diwakili oleh perkataan seperti Long, Ngah, Anjang, Cik, Busu yang memperlihatkan urutan mengikut kelahiran. Demikian dengan kata panggilan dalam bentuk formal juga perlu diketahui supaya penuturnya tahu menggunakannya dalam konteks yang sesuai. Antara contoh penggunaan kata panggilan adalah seperti tuan, puan, saudara dan saudari. Penggunaan kata rujuk hormat perlulah sesuai dengan sasarannya dan mengikut taraf sosial seseorang. Antara padanan rujukan hormat termasuklah Yang Mulia, Yang Berhormat Mulia, Yang Amat Mulia dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, kata sapaan digunakan berdasarkan kedudukan, usia, pangkat dan keakraban lawan bicara agar komunikasi dapat berlangsung dengan tertib dalam pemilihan dan penggunaan kata yang sesuai berdasarkan situasi dan konteks.

Justeru terbuktilah bahawa bahasa ialah nadi atau nyawa masyarakat yang menggunakan bahasa itu. Bertitik tolak dari sini, lahirlah ungkapan Bahasa Sebagai Jati Diri Bangsa. Bahasa Sebagai Alat Komunikasi Sosial dan Wadah Perpaduan Dari segi sosiobudaya, bahasa Melayu telah mampu memainkan peranannya yang lebih bererti dalam konteks fungsi interaksional untuk menjalin dan mengukuhkan hubungan sosial pelbagai kelompok dan kaum di negara ini. Inilah bahasa yang menjadi rantai emas pengikat jiwa dan raga, emosi dan fikiran rakyat pelbagai kaum. Bahasa Melayu memiliki ciri sebagai alat komunikasi sosial bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia perlu sedar bahawa tanpa bahasa tersebut, sukar bagi mereka mencapai kesejahteraan sosial dan ekonomi. Jadi setiap rakyat yang mengaku dirinya sebagai rakyat Malaysia sewajarnya cinta, hormat dan bangga akan bahasa Melayu. Sebagai alat untuk memungkinkan penyatuan pelbagai kaum dengan latar belakang sosiobudaya dan bahasa masing-masing, bahasa Melayu memungkinkan pelbagai suku kaum dari pelbagai wilayah dan daerah di Malaysia mencapai keserasian hidup sebagai bangsa yang bersatu padu dengan tidak perlu meninggalkan identiti dan bahasa sukuan masing-masing. Dengan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kesatuan dan pemersatuan, rakyat menyedari betapa pentingnya meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan kaum dan kelompok yang sempit. Bahasa Melayu telah terbukti keberkesanannya sebagai alat perhubungan antara daerah, wilayah dan budaya hingga kesalahfahaman dapat dihindarkan. Bahasa Melayu tetap akan berperanan sebagai wahana komunikasi yang mutlak untuk masyarakat pelbagai kaum, tanpa mengira taraf sosial dan latar belakang. Bahasa Melayu sebagai bahasa watan telah mampu merapatkan dan menimbus pelbagai jurang. Bahasa itu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wahana pengikat sosial, merentas dinding kaum, geografi dan status penduduk. Bahasa lain tidak mungkin akan dapat mengambil alih peranan tersebut. Bahasa Melayu telah mengelakkan salah faham, prejudis dan persepsi negatif dalam masyarakat majmuk apabila menjadi alat perhubungan antara penduduk dari pelbagai daerah, negeri dan wilayah. Pergaulan yang berkesan memerlukan bahasa yang mudah dikuasai oleh kebanyakan rakyat, praktis dan mampu mengungkap fikiran dan emosi dengan berkesan. Bahasa Melayu telah dan akan terus berperanan sebagai watak utama di pentas kehidupan sosial, rasmi dan tidak rasmi rakyat Malaysia. Itulah watak yang dapat menjiwai dan menentukan kemantapan dan kekukuhan hubungan sosial dalam rangka integrasi nasional yang tulen di Malaysia dan lambang kepada jati diri bangsa Malaysia. Beberapa Langkah Memperkasa Bahasa Kebangsaan Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas ranah utama kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri. Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran telah dilaksanakan untuk memenuhi konsep bahasa rasmi dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, namun peratusan penggunaan dan mutunya dalam sesetengah bidang urusan rasmi (seperti surat, laporan, perjanjian dan minit mesyuarat) masih belum cukup memuaskan. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang undangundang pun memperlihatkan pasang surutnya walaupun ada kesungguhan badan kehakiman dan Majlis peguam melaksanakan bahasa Melayu dalam dokumen dan perbicaraan di mahkamah. Kesan penjajahan Inggeris dan Belanda yang memfaraidkan alam Melayu kepada batas geopolitik milik mereka dan kemudian merdeka atas nama dan bentuk entiti-entiti politik yang berlainan telah memberikan kesan yang buruk kepada taraf supra bagi bahasa Melayu. Hasil kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) dan kemudian Majlis Bahasa Brunei Darussalam-IndonesiaMalaysia(MABBIM) sejak tahun 1972, secara beransur-ansur telah berhasil merapatkan jurang komunikasi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan variannya di Indonesia. Kemudian melalui Majlis Antarabangsa bahasa Melayu (MABM) yang sempat beroperasi dalam tempoh 2000-2004, telah wujud persefahaman untuk menerima konsep bahasa Melayu/ Indonesia sebagai bahasa yang dikaji, diajarkan dan dikembangkan di luar dunia Melayu (di Eropah, Amerika, Oceania, Timur Jauh dan wilayah lain) Sekalipun tidak menegaskan satu ragam yang meleburkan mana-mana varian itu, pendedahan padanan

antara dua varian bahasa Melayu itu cukup banyak membantu pemahaman pelajar asing terhadap bahasa Melayu supra yang tersebar di alam Melayu dan di wilayah lain di dunia. Tahap supra yang turut dititik beratkan ialah usaha membina kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa yang bersifat antar terjemah dengan bahasa-bahasa moden lain, khusus melalui kegiatan terjemahan karya ilmu dan teknikal selain karya sastera. Dengan banyaknya karya ilmu dan teknikal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, secara langsung bahasa Melayu kian kukuh dalam daya pengungkapan dan hal ehwal ilmu dan teknikal yang sejagat sifatnya. Demikian juga bahasa Melayu perlu berperanan dengan lebih luas dalam bidang diplomasi yang memerlukan perancangan yang rapi dan berani demi kegemilangan bahasa Melayu pada masa hadapan. Protokol negara tertentu seperti Jepun, Republik Rakyat China dan Korea mewajibkan pemimpin berucap dalam bahasa Kebangsaan di majlis rasmi antarabangsa, dengan menyediakan jurubahasa atau terjemahan selari. Hal ini perlu menjadi contoh negara kita sekiranya kita bercita-cita meningkatkan bahasa Melayu ke tahap supra. Oleh sebab itu kita mestilah mendisiplinkan diri dan mempunyai kesombongan berbahasa dengan mengutamakan bahas a kebangsaan dalam konteks rasmi dan keduanya, menggunakan bahasa dengan baik dan betul. Kita tidak mungkin dapat memindahkan maklumat dengan baik apabila menggunakan bahasa Melayu rendah. Menggunakan bahasa Melayu yang rosak menunjukkan jati diri yang rosak. Para pemimpin dan ketua-ketua kerajaan sering hilang kesombongan berbahasa dengan menggunakan bahasa Inggeris (yang kadang kala memalukan) dalam majlis rasmi tanpa keperluan. Tidak menggunakan bahasa Melayu menunjukkan tidak ada jati diri Melayu dalam diri. Disiplinkan diri dan gunakan bahasa Melayu tinggi, iaitu bahasa persuratan. Apabila kita tidak malu menggunakan bahasa Melayu dan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, barulah kita boleh mengaku memiliki jati diri yang tulen sebagai orang Melayu. KESIMPULAN Kita perlu merintis semula keagungan sendiri dengan meletakkan bahasa Melayu sebagai jurucakap dan jurubicara dalam semua urusan menjangkau sempadan urusan antarabangsa dan multinasional. Kita harus mempertingkat kemampuan sendiri dengan perbendaharaan ilmu. Buktikan kepada dunia bahawa bangsa Malaysia bukanlah calang-calang bangsa. Kita memiliki jati diri, tamadun dan kemajuan. Kita seharusnya bersama-sama membuka kembali lembar-lembar sejarah yang telah mengangkat kekuatan bangsa kita. Kita kembali ke permulaan yang betul. Justeru kita perlu terus mengangkat bahasa kita menjadi bahasa perantara dalam semua urusan. Sektor-sektor yang berprestij seperti bidang pengetahuan tinggi, teknologi, kebudayaan dan perhubungan antarabangsa haruslah dikendalikan dalam bahasa Melayu. Menelusuri bicara terakhir, diharapkan seluruh warga Malaysia meletakkan kedaulatan bahasa kebangsaan pada kedudukan paling utama. Semua peringkat sama ada pemimpin, ilmuwan, hartawan dan marhaen harus berasa bangga terhadap kegemilangan budaya kita dan berbicara sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan. Kekuatan imej bangsa, jati diri dan tamadun kita sebenarnya berada dalam genggaman kita sendiri. Nadi bangsa Melayu terletak pada bahasa dan kebudayaannya. Segala keistimewaan bangsa Melayu ada tersemat dalam falsafah, pemikiran, kebudayaan dan sebagainya kerana bahasa itu lambang jati diri bangsa. Bahasa Dijunjung, Bangsa Disanjung.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian. Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Memartabatkan Bahasa Melayu. Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman. Saudara saudari yang dihormati sekalian, Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anakanak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila. Hadirin sekalian, Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini. Rakan-rakan dan hadirin sekalian, Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk

mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita. Hadirin sekalian, Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undangundang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian. Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Karangan 6 (Minggu Bahasa): Langkah-langkah Memasyarakatkan Bahasa Malaysia.


'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat? Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan suratmenyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih Bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding Bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihakpihak ini haruslah menjaga martabat Bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman. Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan Bahasa Malaysia di peringkat lokal.Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini. Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1 Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik. Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencamangolongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan Bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat. Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan terhadap Bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa Bahasa Malaysia bukanlah sebuahwadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat kontemporariyang berpegang teguh

dengan bahasa ibunda. Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan darjat Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan Bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada disebut, 'yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa'. Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. 597 patah perkataan -oleh Amirul Rezza Sempena Minggu Bahasa Kebangsaan peringkat sekolah SINONIM 1. signifikan: kepentingan 2. diadaptasikan: diubah suai 3. relevan: rasional, benar 4. menggesa: mendesak, mengarahkan 5. diimplementasikan: dilaksanakan 6. nafsi: pentingkan diri 7. dominan: berpengaruh 8. ironinya: sebaliknya, yang bertentangan 9. mangkin yang efektif: usaha yang berkesan 10. proaktif: maju 11. membejat: mengekang, mengatasi 12. sementelahan pula: tambahan lagi 13. kemenjadian: perihal menjadi, perihal sesuatu 14. agen perpaduan: pengaruh kesepunyaan kaum 15. nafsi perkauman: sifat kesepunyaan kaum 16. holistik: menyeluruh 17. rencaman: pelbagai 18. wadah: alat 19. kontemporari: zaman kini, era baru 20. meledakkan: meninggikan

Karangan 5 (Pilihan): Punca Dan Langkah Menangani Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar.
Ponteng merupakan kekangan disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar diatasi di sekolah. Antara lain, ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras kelemahan sistem pendidikan Malaysia yang dilaksanakan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Perang media menerusi akhbar, majalah, blog dan sebagainya telahpun meletus bagi membincangkan pro serta kontra kegiatan tidak bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang bergiat cergas dengan mengobservasi punca dan ikhtiar bagimenekan kemajuan polemik ini. Punca bercambahnya masalah ini termasuklah kurangnya didikan duniawi serta ukhrawi daripada ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar kemewahan hinggakan sanggup mempedulikan asas kehidupan serta dasar keagamaan anak-anak mereka. Bahkan mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah yang bakal merosakkan anak bangsa kita. Persis slogan 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya mengatur strategi kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menonggak negara pada masa akan datang. Pemuda watan kita sering tersilap memilih jalan seperti peribahasa disebut 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini disebabkan, remaja marcapada lebih cenderung memilih rakan yang mengikut 'trend' walhal budaya yang disalurkan adalah negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat yang diisi dalam kotak pemikiran kita sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal. Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mengikut peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya, mudahlah baginya untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik dapat mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna. Di samping itu, peranan media juga menjadi tulang belakang kepada kegawatan ini. Media kini lebih gemar memaparkan program-program yang bertentangan dengan norma masyarakat lokal. Eksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai intiha, memesongkan iman para remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi untuk terjerumus ke lembah kehinaan. Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap masih longgar kerana wujud adegan-adegan separa lucah yang dapat meracun minda remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali terikut-ikut dengan paparan negatif yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P). Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini, masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng sekolah, kerana pepatah ghalib disebut 'sediakan payung sebelum hujan'. Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif. Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa gejala ponteng bukanlah aktiviti yang menjamin masa depan. Sepatutnya, masa yang terluang diisi dengan ilmu dan pengajaran sebagai bekalan untuk masa hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah menitik beratkan peraturan dan undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang sebelah mata akan peraturan sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan mereka. Apabila peraturan dan hukuman dilaksanakan, pelajarpelajar akan tergerak daripada mimpi dan sedar bahawa kebebasan yang dikecapi adalah terhad. Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara seterusnya bersaing dengan kuasa

besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik memperlekehkan kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaannegara seiring dengan gagasan 1 Malaysia. 551 patah perkataan -oleh Amirul Rezza Peperiksaan Akhir Tahun 2009

SINONIM 1. indikator: penunjuk, penanda aras 2. pro dan kontra: kebaikan dan keburukan 3. mengobservasi: memantau, melihat 4. ikhtiar: langkah-langkah, usaha 5. menekan kemajuan: memperlahankan 6. marcapada: kini 7. cenderung: lebih gemar 8. menggunung: banyak, membukit 9. kotak pemikiran: pemikiran 10. tulang belakang: tunjang, sendi utama 11. norma: adat, kebiasaan 12. eksploitasi: mengambil kesempatan 13. sebagai intiha: sebagai contoh 14. variasi: pelbagai, berbagai-bagai 15. polemik: isu 16. efektif: berkesan 17. memandang sebelah mata: melihat mudah, tidak serius 18. memacu: menyokong, mendorong 19. rumpun: negara 20. pentarbiahan: pendidikan 21. keterjelmaan: kejayaan, keterampilan
Posted by Amirul Rezza at 11:05 1 comment:

TUESDAY, 30 MARCH 2010

Karangan 4 (Rangsangan): Langkah-Langkah Menangani Jenayah Ragut di Malaysia.

google.com: ragut

Marcapada ini, pidana ragut di peringkat lokal semakin membimbangkan. Lebih ruwet lagi, kes-kes ragut acapkali berakhir dengan kematian. Hal ini berpotensi disebabkan oleh kurangnya kesedaran jasmani,emosi, rohani dan intelek (JERI) dalam diri peragut selain kedaifan perspektif mereka terhadap agama. Oleh yang demikian, semua pihak harus bersinergi agar jumlah kes ragut di Malaysia mampu dikurangkan. Namun begitu, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan demi membejat pertambahan kes tersebut? Inisiatif yang boleh dilakukan antara lain adalah menasihati umum terutamanya kaum hawa agar tidak membawa barang-barang berharga ketika keluar dari rumah. Hal ini kerana, kehausan wang adalah punca utama peragut sanggup menindas kaum yang lemah ini. Ironinya, wanita dewasa ini sering memperaga barang kemas segagai simbol kemewahan tetapi mereka kurang arif bahawa obsesi itu berkemungkinan memakan diri mereka.

Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus melakukan anjakan paradigma dengan memperkasakan hukuman terhadap pesalah ragut. Jika PBT terus berpeluk tubuh, sampai bilakah orang ramai akan terusalpa dengan persepsi bahawa hukuman jenayah ragut adalah ringan? Maka, apabila hukuman tersebut wujud dengan izhar, secara tidak langsung hal tersebut berjaya menimbulkan kegusaran di hati orang ramai yang cuba meragut.

Di samping itu, pihak yang dominan seperti PBT juga perlu menggerakkan kewujudan kempenkempen memerangi pidana ragut. Perkara ini berikutan, masyarakat lokal masih mengerling enteng tentang impak negatif jenayah ragut terhadap mangsanya. Penjanaan kempan-kempen kesedaran di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan mangkin yang efektif demi mengurangkan jumlah kes ragut di peringkat tempatan secara holistik.

Akhirulkalam, semua golongan harus mengamalkan usaha yang pragmatis agar imej negara tidak tercalar dari pandangan pelancong-pelancong asing yang datang melawat Malaysia. Lebih utama lagi, kita harus memikirkan trauma yang dialami oleh mangsa ragut yang berpotensi untuk menjejaskan kehidupannya. Janganlah kita mengambil sikap sambil lewa dan hanya akan sedar sekiranya berlaku kematian dalam kalangan mangsa ragut seperti kata pepatah 'sudah terhantuk baru terngadah'. 299 patah perkataan -oleh Amirul Rezza Peperiksaan Topikal 1 2010

SINONIM 1. marcapada: kini 2. jasmani: jasad, tubuh 3. emosi: perasaan 4. rohani: roh, semangat 5. intelek: ilmu 6. inisiatif: ikhtiar 7. ironinya: sebaliknya yang berlaku 8. obsesi: kegemaran 9. anjakan paradigma: lonjakan ke tahap yang lebih baik 10. alpa: lupa, leka 11. dominan: berpengaruh 12. mengerling: memandang 13. enteng: mudah 14. mengerling enteng: memandang sebelah mata, tidak ambil berat 15. mangkin yang efektif: usaha yang berkesan 16. holistik: menyeluruh 17. pragmatis: praktikal, mudah diamalkan tetapi masih berkesan 18. sudah terhantuk baru terngadah: timbul kekesalan selepas sesuatu berlaku
Posted by Amirul Rezza at 17:08 6 comments:

Karangan 3 (Bergambar): Aktiviti Badan Beruniform Serta Faedahnya.

google.com:pengakap

Kementerian Pelajaran Malaysia baru sahaja meningkatkan dominan kepentingan kokurikulum dalam sistem pendidikan nasional. Langkah ini secara eksplisit menerangkan kokurikulum sebagai simbolikkepada tiket kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berserta beberapa syarat kelayakan yang lain. Oleh yang demikian, institusi-institusi akademik di Malaysia mula mempromosikan badan-badan beruniform seperti Kadet Pertahanan Awam, Kadet Remaja Sekolah dan Persatuan Pengakap bagi menyusuri arus pendidikan negara.

Faedah-faedah yang boleh didapati apabila para pelajar menyertai badan beruniform antara lain adalah memapankan ketahanan mental dan fizikal diri. Hal ini sangat penting kerana meningkat usia remaja, banyak cabaran yang perlu ditongkah seraya mendambakan kekuatan luaran dan dalaman. Bahkan, formula ketahanan diri tersebut juga boleh diaplikasikan demi menghadapai rintangan pada masa hadapan. Oleh itu, aktiviti-aktiviti lasak yang sudah termaktub dalam silabus badan beruniform seperti 'flying-fox', 'night-walk' dan 'jungle-trekking' merupakan kaedah awal bagi membuka kotak penerimaan pelajar terhadap kepentingan hal ini kepada diri mereka.

Di samping itu, penyertaan pelajar dalam unit beruniform berpotensi memangkinkan semangat kerjasama dan pembentukan disiplin mereka. Hal ini dapat dibuktikan melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti yang mendesak ketepatan masa yang tinggi seperti kawad kaki. Aktiviti tersebut memerlukan gemblengantenaga yang maksimum daripada ahli-ahli pasukan bagi menghasilkan formasi yang sedap mata memandang. Jika semangat bersinergi tidak dipahat dalam diri pelajar, sikap bertanggungjawab dan prihatin juga tidak akan wujud. Oleh itu, para pelajar yang menyertai badan beruniform sering masyhur dengan ketepatan masa dan nilai disiplin yang tinggi.

Selain itu, para pelajar juga akan diasuh tentang ilmu asas kecemasan. Perkara ini sangat berfaedah kerana sekiranya berlaku sebarang kecederaan ketika bergiat lasak, para pelajar boleh tampil menghulurkan bantuan. Sebagai misalan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) merupakan unit utama di sekolah yang bertindak menyebarkan wadah kesihatan kepada ahli-ahlinya dan umum. Maka, tindakan ini dilihat sangat efektif demi memansuhkan kedaifan akal pelajar tentang ilmu kesihatan.

Akhirulkalam, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum bagi menjamin kemenjadian masa depan. Elakkan daripada tertumpu kepada aset kurikulum sahaja. Para pelajar perlu sedar bahawa roda zaman sedang berputar justeru mereka harus mengikuti perkembangan sistem pendidikan untuk faedah diri sendiri. 333 patah perkataan -oleh Amirul Rezza

SINONIM 1. dominan: pengaruh/kuasa 2. eksplisit: dinyatakan secara terang-terangan 3. simbolik: sebagai simbol/perlambangan 4. ditongkah: ditempuhi 5. silabus: sukatan pendidikan 6. memangkinkan: menyemarakkan/meningkatkan 7. gemblengan: paduan/kerjasama 8. masyhur: terkenal 9. wadah: medium/medan 10. Akhirulkalam: kesimpulannya, konklusinya 11. kemenjadian: hasil yang positif

Posted by Amirul Rezza at 15:56 1 comment:

Karangan 2 (Bergambar): Punca-punca Merebaknya Wabak H1N1 Di Malaysia.

Influenza A (H1N1) ialah sejenis virus yang dibawa oleh babi dan kian menular ke sebahagian pelosok dunia.Dasawarsa ini, pandemik tersebut kian meluaskan penularannya di peringkat lokal. Kebimbangan rakyat Malaysia memuncak apabila kes terbaru mencatatkan mangsa ke-75 sejak virus ini mula merebak pada Jun 2009. Malahan, wabak ini lebih terkesan lagi apabila beberapa buah sekolah terpaksa menangguhkan sesipentarbiahan mereka bagi memberi peluang kepada badan kesihatan membasmi virus tersebut. Sifat nafsi yang membukit dalam diri suspek H1N1 merupakan punca utama penyebaran virus tersebut. Sebagai misalan, segelintir individu masih ingkar dengan arahan pihak kesihatan untuk dikuarantinkan. Mereka masih boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa menyedari impak yang bakal dialami oleh persekitaran sekeliling. Hal ini kerana, virus tersebut akan kekal selama enam jam pada tempatnya jika individu tidak mengamalkan praktikal yang sewajarnya seperti menutup mulut dengan tisu ketika bersin. Di samping itu, gelombang H1N1 juga akan terus merebak sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mengawasi tempat-tempat pemuliharaan babi bagi mengawal kebersihannya. Hal yang demikian berpotensi menjejaskan aset kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran khususnya. Rentetan itu, perkara ini tidak harus dikerling enteng oleh PBT bagi menjamin penularan virus negatif itu tidak dimartabatkan lagi. Baik rakyat sendiri mahupun PBT khasnya haruslah bersinergi dengan kukuh demi memastikan kepentingan negara akan terus terkawal. Tambahan lagi, terjahan virus H1N1 tersebut bakal bermaharajalela akibat kelonggaran sistem pemeriksaan di pintu import dan eksport, terutamanya di lapangan terbang. PBT harus memperketat pengesanan virus H1N1 agar virus tersebut tidak dibawa masuk oleh pelancong asing yang melawat Malaysia. Janganlah berpeluk tubuh dan mengabaikan kepentingan bahaya H1N1 kepada umum.

Tuntasnya, semua pihak haruslah mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan walau di manamana kita berada. Fahami langkah membasuh tangan yang betul dan elakkan diri pergi ke tempattempat yang sesak. "Sudah terhantuk baru terngadah", itulah rangkai kata yang paling sesuai bagi menggambarkan polemikyang dihadapi jika hal ini tidak dibanteras dari akar umbi. 307 patah perkataan -oleh Amirul Rezza SINONIM 1.pandemik- penyakit berjangkit yang merebak ke serata dunia 2.terkesan- memberikan impak 3.pentarbiahan- pendidikan, pelajaran 4.nafsi- pentingkan diri 5.membukit- tinggi, menggunung 6.gelombang- wabak 7.bermaharajalela- berkuasa, terus berlaku 8.import- masuk 9.eksport- keluar 10.Tuntasnya- kesimpulannya, akhirulkalam 11.polemik- isu, perdebatan 12.Dasawarsa ini- dewasa ini, kini
Posted by Amirul Rezza at 15:55 6 comments:

Karangan 1 (Pilihan): Faktor Pencemaran Alam Sekitar dan Langkah Mengatasinya.


"Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Mendepani arus globalisasi, setiap kita pasti mahukan kondisi alam sekitar yang terbaik dan indah mahupun aset pembangunan melampaui kesedaran kita terhadap kepentingan alam sekitar. Oleh yang demikian, anjakan paradigma harus dilakukan agar punca-punca berlakunya alam sekitar dapat dibejat.

Pencemaran alam sekitar boleh diruncingkan kepada tiga perkara iaitu pencemaran udara, pencemaran air dan pencemaran bunyi. Pencemaran udara nyata memberikan heterogen impak kepada manusia sekiranya sampah sarap dan sisa toksik terus dihumban ke dalam punca utama aliran air iaitu sungai dan laut. Sampah sarap yang terkumpul ghalibnya akan menyekat aliran air lantas menyumbang kepada takungan air. Hal ini berpotensi menyebabkan banjir kilat. Selain itu, sisa toksik dan minyak daripada kilang menyebabkan ekosistem organisma marin terganggu apabila disalurkan ke sungai atau laut. Lebih ruwet lagi, pencemaran air memberikan kesan yang eksplisit terhadap kesihatan manusia kerana hal ini seolah-olah menjadi medium penyebar penyakit-penyakit seperti taun dan juga denggi. Ironinya, semua golongan harus mengenepikan sifat nafsi dan mulalah menjaga alam sekitar.

Tambahan lagi, minda manusia berjiwa rakus seperti golongan pemaju perumahan masih dangkal kerana asyik memikirkan keuntungan. Jadi, kealpaan ini menyebabkan pencemaran udara. Hal ini kerana, semakin banyak pokok-pokok ditebang bagi memberikan medan kepada kemajuan sektor

pembangunan. Pencemaran udara berlaku apabila gas karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia tidak dapat diserap oleh sang flora dek kerana populasinya kian merudum. Proses perumahan di kawasan lereng bukit juga harus dihentikan kerana menyoroti peristiwa lampau, tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 menjadi indikator yang jelas bahawa hal ini tidak harus dimanifestasikan.

Di samping itu, masalah pencemaran alam sekitar diperkasakan lagi dengan pencemaran bunyi. Hal ini lebih tertumpu kepada rumah-rumah di kawasan perindustrian. Banyak aduan yang disiarkan di media apabila ketenteraman penduduk diakui terganggu dengan bunyi bising yang terhasil daripada pengilangan berskala besar seperti kilang kelapa sawit dan sebagainya. Rentetan daripada itu, asap yang dibebaskan tanpa tapisan menyebabkan pencemaran pencemaran udara yang izhar. Oleh yang demikian, pengusaha kilang harus bersifat inovatif dan pragmatis agar pencemaran tersebut dapat dikekang.

Namun begitu, sekiranya pencemaran-pencemaran tersebut terus menggugat keindahan alam sekitar, kita haruslah memikirkan mangkin yang efektif agar pidana ini tidak bermaharajalela. Langkah yang boleh diambil adalah proses pemeliharaan dan pemuliharaan yang berterusan. Cara ini dapat meningkatkan kandungan gas oksigen dalam udara selain kelebihan menahan tanah daripada runtuh sekiranya penanaman di lereng-lereng bukit dilakukan secara progresif. Di samping itu, pemaju perumahan yang masih tegar menjalankan projek di kawasan yang tidak diluluskan harus menjalani hukuman berat. Hal ini bagi memartabatkan kesedaran mereka bahawa alam sekitar amat penting. Bagi memastikan langkah ini menjadi, pihak berkuasa tempatan harus melakukan observasi dengan kerap. Sekiranya pihak berkuasa tempatanlah yang menjadi petualang dengan menerima suapan, maka benarlah pepatah, "harapkan pagar, pagar makan padi". Mereka harus dihukum.

Oleh itu, semua pihak haruslah bersinergi agar alam sekitar dapat dikekalkan keindahannya. Janganlah kita menjadikan modenisasi sebagai alasan yang konkrit untuk tegar menjadi evasif. Seharusnya, kita hendaklah mengetahui bahawa jika alam sekitar terus dicemari, generasi akan datang akan kehausansignifikan alam sekitar terhadap masyarakat di dunia. 535 patah perkataan -oleh Amirul Rezza. SINONIM 1.heterogen- pelbagai, berbagai-bagai 2.ghalibnya- lazimnya, biasanya 3.ruwet- sukar, susah 4.eksplisit- dinyatakan secara jelas, tiada selindung 5.nafsi- pentingkan diri 6.izhar- jelas 7.pragmatis- praktikal 8.mangkin yang efektif- usaha yang berkesan 9.evasif- mengelak, menghindarkan 10.signifikan- kepentingan 11.pidana- jenayah, kesalahan

saha-usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum di Malaysia

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat. Usaha pertama untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah denganmengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni. Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaumkaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan akibat kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum diMalaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa. Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema

sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysiaagar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020. Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi.Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Kepentingan Hutan Kepada Manusia

Hutan di seluruh dunia adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkayakan kehidupan manusia. Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks yang melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuhan dan fauna. Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh dan sebagainya. Di Malaysia, kira-kira 77.2% daripada luas keseluruhan Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai jenis hutan. Hutan ini banyak terdapat di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan hutan dapat dijumpai di Pahang (37.6%), Kelantan (15%), Perak (14.4%) dan Terengganu (37.6%). Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia adalah hutan hujan tropika.

Habitat flora dan fauna Hutan merupakan habitat flora dan fauna. Terdapat pelbagai jenis hidupan liar dan burung-burung serta spesis tumbuhan yang berharga di hutan. Contohnya, hutan hujan tropika Malaysia mempunyai 14 500 spesis dimana 6 000 spesis berpotensi menjadi sumber perhutanan. Hutan juga menjadi habitat kepada 600 spesis burung, 800 spesis tumbuh-tumbuhanan, 200 spesis binatang liar, 210 spesis mamalia, 150 spesis katak, 140 spesis ular, 80 spesis cicak dan sejumlah besar spesis serangga serta hidupan liar. Pembekal makanan Hutan juga berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun. Di hutan hujan tropika sentiasa terdapat berbagai-bagai jenis bunga, buah, daun dan kacang untuk dimakan oleh pelbagai fauna yang terdapat di dalamnya. Penerokaan hutan secara tidak terkawal akan menimbulkan implikasi kepada fauna kerana akan menimbulkan kesukaran kepada mereka untuk mendapatkan punca makanan dan secara tidak langsung akan menjejaskan kehidupan mereka. Pembekal ubat-ubatan Hutan juga membekalkan herba-herba ubat yang berguna kepada manusia dalam mengatasi pelbagai penyakit. Hutan bakau memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan herba-herba ubat. Kulit dari pokok Rhizophora boleh digunakan untuk merawat keretakan tulang, mengubati ceret-beret dan boleh juga memberhentikan pendarahan. Sementara itu pula, kulit pokok Tumu / Berus (Bruguiera sp.) biasanya dihancurkan untuk mendemah bahagian luka dan cecair dari buah pokok Perapat (Sonneratia sp.) juga boleh digunakan pendarahan akibat dari buasir. Pembekal bahan mentah Hutan juga membekalkan pelbagai bahan mentah bagi kegunaan beberapa industri desa. Contohnya,

rotan digunakan dalam industri perabot dan mengkuang pula digunakan untuk menghasilkan tikar, bakul .Sementara itu, kayu bakau digunakan sebagai arang batu dan tiang sebagai bahan cerucuk dalam pembinaan. Hasil hutan bakau seperti daun- daun nipah yang bersaiz besar dan mudah dilentur digunakan dalam penganyaman tikar, atap dan bakul. Pneumatofor pokok Perapat (Sonnerotia sp.) yang telap air dan lembut digunakan dalam pembuatan dan hasil ukiran kayu. Tempat Rekreasi Hutan juga bertindak sebagai tempat rekreasi. Kebanyakan kawasan hutan kini mula dijadikan sebagai kawasan-kawasan rekreasi yang terpelihara dan memperolehi keuntungan yang besar. Di Malaysia, misalnya terdapat beberapa buah taman negara yang menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semulajadi. Sumber penyelidikan Hutan juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai. Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan di dalam hutan bagi mendapatkan input yang baru yang boleh digunakan dalam kehidupan manusia. Sumber Pendapatan Hutan juga memberi sumber pendapatan kepada negara. Melalui aktiviti pembalakan. Kayu-kayan yang terdapat di hutan adalah amat bernilai dan digunakan dalam beberapa bidang yang menguntungan. Di Malaysia, hasil pendapatan dari aktiviti pembalakan telah meningkat dalam jangka masa 10 tahun. Ini dapat dibuktikan oleh jadual berikut : Tahun Hasil (m3) Pendapatan (RMJuta) 1980 27.9 2500.0 1990 40.0 4200.0 Jadual : Pendapatan dari hasil pembalakan di Malaysia pada tahun 1980 dan 1990. Mengurangkan pencemaran udara dan mengawal edaran gas Hutan juga penting sebagai unsur yang boleh mengurangkan pencemaran udara dan mengawal edaran gas oksigen dan karbon dioksida. Bagi tumbuhan, gas karbon dioksida adalah diperlukan sebagai alat untuk memproses makanannya. Dalam proses membuat makanan ini tumbuhan hijau akan menyerap gas karbon dioksida dan melepaskan gas oksigen sebagai hasil sampingan daripada proses itu. Dengan adanya tumbuhan hijau maka keseimbangan kedua-kedua gas dalam udara akan dapat dikekalkan. Mengawal banjir, hakisan tanah dan tanah runtuh Hutan juga penting sebagai unsur yang boleh mengawal banjir, hakisan tanah dan tanah runtuh. Daundaun pokok akan mengurangkan kesan titisan air ke permukaan tanah dan akan mengurangkan kesan hakisan tanah. Akar-akar pokok di dalam hutan yang terdapat di tanah-tanah tinggi tersebut juga akan mengikat dan menahan sebahagian daripada air hujan itu daripada mengalir deras turun ke tanah rendah dan ini boleh menghalang daripada tanah runtuh. Memerangkap nutrien, sedimen dan bahan-bahan toksik Hutan juga berfungsi dalam memerangkap nutrien, sedimen dan bahan-bahan toksik. Bahan-bahan organik yang kompleks sama ada dalam bentuk daun atau kayu menjadi sumber makanan penting bagi serangga dan haiwan-haiwan yang hidup di hutan bakau. Pokok bakau juga boleh memerangkap sedimen dan bahan-bahan toksik. Disamping itu juga bahan-bahan toksik seperti racun perosak dan sisa

buangan domestik serta perindustrian yang kebanyakannya terlekat kepada sedimen yang mendap, turut terperangkap. Pengawal iklim Hutan juga bertindak sebagai pengawal iklim. Ketebalan hutan yang terdapat di sesuatu kawasan mempengaruhi ciri-ciri iklim kawasan berkenaan. Kawasan tropika misalnya mempunyai hutan tebal serta terdiri daripada beberapa lapisan yang berlainan kepentingannya. Lapisan yang berlainan ini dapat mengawal jumlah kehilangan air dari permukaan hutan melalui proses sejatan seterusnya menstabilkan kelembapan. Daripada huraian di atas, ternyatalah bahawa hutan sangat penting kepada manusia. Pelbagai usaha secara konsisten dan sistematik harus dilakukan agar penerokaan hutan dan pencerobohan secara haram dapat dibanteras. Tindakan undang-undang yang lebih berat harus dikenakan kepada mereka yang cuba memusnahkan hutan. Kita tidak mahu, dalam usaha kita mengejar pembangunan, kita terpaksa memusnahkan alam semulajadi secara rakus. Telah terbukti, kemusnahan hutan boleh menimbulkan bencana kepada kita.

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG / KUALITI

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini. Soekarno pernah mengungkap, Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia. Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Kecemerlangan dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat, negara maju dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu, remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalihRemaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan. Remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Selain itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinah dan madani pada suatu hari nanti.

Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baru akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak. Intihanya, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai