Anda di halaman 1dari 14

DASAR PANDANG KE TIMUR Latarbelakang Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Y.A.B.

Perdana Menteri Dato`Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat. Rasional Seperti yang kita sedia maklum, negara Jepun dan Korea adalah merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun, di beberapa bidang, mereka adalah lebih maju dari beberapa negara Barat sendiri. Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta. Objektif Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meninggikan kemajuan negara. Perkara-perkara yang harus ditumpukan melalui dasar ini ialah 'kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran (productivity) dan mutu yang tinggi (quality), peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita'.* Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, nilai-nilai dan etika kerja di atas perlu diamalkan kerana ianya dapat membantu menjayakan usaha-usaha pembangunan yang dijalankan. Dasar Pandang Ke Timur ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan dagangannya dengan rakan-rakan yang ada sekarang. Sebaliknya Kerajaan akan terus memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan hubungan dengan rakan-rakan bukan tradisional di samping terus mengekalkan dan memajukan hubungan perdagangan yang setia selaras dengan kepentingan negara. Strategi Pelaksanaan T.Y.T. Perdana Menteri Jepun, Encik Nakasone, semasa dalam kenyataan akhbar bersama dengan Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Jepun pada 23hb. hingga 29hb. Januari, 1983 dan kenyataan bersama Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir dan T.Y.T. Presiden Republik Korea, Encik Chun Doo Hwan semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Korea Selatan dari 8hb. hingga 14hb. Ogos, 1983 telah menaruh harapan yang tinggi bahawa Dasar Pandang Ke Timur ini akan

mewujudkan kerjasama yang lebih rapat di antara Malaysia dengan kedua-dua negara itu terutamanya dalam bidang ekonomi, perindustrian, latihan-latihan teknikal dan akademik, program kemajuan eksekutif, penyelidikan dan pengurusan. Selaras dengan dasar ini, Kerajaan telah menyusun strategi dan program bagi meningkatkan kecekapan, kekesanan dan penghasilan kerja yang lebih baik di kalangan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai dan pelajar Malaysia telah dihantar ke Jepun dan Korea untuk mempelajari selok belok teknikal dan aspek pengurusan di kedua-dua negara tersebut. Di antara program yang telah dijalankan adalah seperti berikut:-

a) Perubahan Struktur b) Perubahan Sikap c) Latihan dan Kursus a) Perubahan Struktur

i) Kad Perakam Waktu Kerja (Punch Card) ii) Penggunaan Tanda Nama (Name Tag) iii) Penubuhan Pasukan Meningkat Mutu Kerja (QCC) iv) Konsep Pejabat Terbuka v) Perkhidmatan Kaunter/Perkhidmatan Pembayaran Bil Setempat vi) Fail Meja dan Manual Prosedur Kerja

b) Perubahan Sikap i) Perkhidmatan Cemerlang ii) Konsep Bersih, Cekap dan Amanah (BCA) iii)Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)

c)Latihan dan Kursus Latihan dan kursus yang dijalankan di bawah Dasar Pandang ke Timur ini adalah seperti berikut:i) Latihan Perindustrian dan Teknikal Tujuan program ini adalah untuk melatih pekerja di bidang teknikal dalam usaha meninggikan kecekapan dan menerap nilai kerja yang positif dari Jepun dan Korea dalam meninggikan penghasilan kerja.

ii) Program Pengajian Akademik Tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu sains dan teknikal di Jepun dan Republik Korea.

iii) Program Pengajian Teknikal Program ini adalah menyediakan peluang latihan teknikal lanjutan pada pelajar-pelajar lepasan SPVM dan

Politeknik.

iv) Program Kemajuan Eksekutif Objektif program ini adalah untuk menyediakan latihan kepada eksekutif-eksekutif dalam mempelajari kaedah pengurusan dan pentadbiran kerajaan dan swasta di Jepun dan Korea. Mereka akan ditempatkan di beberapa firma dan agensi Kerajaan di Jepun dan Korea. Penekanan-penekanan yang di berikan dalam program ini ialah latihan-latihan dalam bidang pengurusan Sogoshosha, Perjawatan, Q.C.C dan pengurusan am.

v) Hubungan di antara Institusi-institusi Program ini bertujuan untuk menyalurkan permohonan latihan yang diperlukan oleh Malaysia kepada institusi pengajian tinggi di Jepun dan Korea.

vi) Skim Latihan Pembangunan Usahawan Program yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri memberi peluang dan pendedahan, usahawan-usahawan bumiputra terhadap idea baru dan teknologi luar pengetahuan-pengetahuan ini untuk memajukan urusniaga mereka. Program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan peluang 'business contacts' dengan rakan-rakan perniagaan di sana. Penutup Sebagai kesimpulannya, Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha baik dan positif dari pihak Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini. Melalui kajian yang telah dibuat oleh pihak INTAN, Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usahausaha di atas dan seterusnya Dasar ini dapat membantu usaha Kerajaan untuk meninggikan prestasi dan daya pengeluaran negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas pengwujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan Latar belakang Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan. Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifatsifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara. Rasional Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia. Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, pewujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu: i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia,Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan

asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan. (ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya. (iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Objektif Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatu padu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu: (i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan; (ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan (iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yangseimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:

(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya; (ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendukung dan mengerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan; (iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia; (iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan (v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian. Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, penglibatan pihak lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhanpertubuhan kebudayaan. Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urus setia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa. Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan. Penutup Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian

pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN Latarbelakang Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979. Rasional Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri. Objektif Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi. Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih. Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama; (b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah; (c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua; (d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan; (e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu; (f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun; (g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman; (h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;

(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan

(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain. Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya

termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum. Penutup Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

DASAR PENSWASTAAN Latar Belakang Penswastaan mula mendapat perhatian yang wajar di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983 apabila Y.A.B. Perdana Menteri melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara.

Penswastaan adalah bertentangan dengan pemiliknegaraan (nationalization), iaitu satu proses yang menambahkan pemilikan dan penguasaan Kerajaan dalam ekonomi. Pada dasarnya, pengswastaan melibatkan beberapa kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Rasional

Y.A.B. Perdana Menteri dalam ucapan perasmian conference The Securities Industri in Malaysia pada 28hb April, 1984 menyatakan.... Goverment the world over are notorious for inefficiency when running enterprises, even aided by monopoly and the authority of Government. On the other hand, the private sector is better motivated and generally more efficient. It is hoped that privatisation will improve the economic and general performance of the services, resulting in a more rapid growth of the nation as a whole'. Sektor Awam bukan sahaja terlibat dalam menyediakan dasar utama dan menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan tetapi telah juga terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia. Saiz sektor awam telah berkembang dengan begitu pesat sekali dalam 10 tahun yang lalu. Perbelanjaan sektor awam telah meningkat dengan begitu besar sekali dari 28% pada tahun 1975 kepada 36% pada tahun 1982 dan ini merupakan satu beban kewangan yang besar untuk ditanggung oleh Kerajaan. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi faktor-faktor utama yang membawa kepada Dasar Pengswastaan ini diperkenalkan. Objektif Dasar Pengswastaan diperkenalkan dengan mempunyai objektif seperti berikut: (i) Mengurangkan Bebanan Kewangan Kerajaan Pada masa yang lepas, pihak Kerajaan telah membelanjakan ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, jalan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, dan perbelanjaan tersebut terus meningkat dari masa ke semasa dan kadar pulangan balik kepada Kerajaan adalah lambat dan sangat rendah. Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini dan sekarang telah menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus. (ii) Meninggikan Kecekapan Dan Penghasilan Kerja Pencapaian kebanyakan daripada perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian masih tidak memuaskan walaupun mereka mempunyai kedudukan monopolistik dan

menikmati berbagai sokongan Kerajaan. Dengan mengswastakan beberapa perkhidmatan Kerajaan yang tertentu, serta dengan kepakaran dan peluang yang lebih baik yang boleh di beri oleh pihak swasta, adalah dijangka perkhidmatan tersebut dapat di tingkatkan dengan lebih baik lagi. (iii) Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Dan Kekesanan Negara Harta-harta atau kekayaan yang dimiliki oleh negara masih belum diusahakan sepenuhnya. Halanganhalangan yang terdapat dalam sektor awam tidak menggalakkan penggunaan sumber-sumber kekayaan negara ini dengan cekap dan sepenuhnya. Lebih banyak syarikat swasta yang dapat di wujudkan yang dengan secara tidak langsung dapat meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak Kerajaan pula dapat mengecap nikmat bersama dengan mengutip cukai pendapatan dari syarikat-syarikat yang berkenaan. (iv) Pembahagian Sumber Serta Kecekapan Lebih banyak penglihatan Kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak penguasaan Kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan pula biasanya dibuat berasaskan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar daripada barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kerajaan mencerminkan nilai pasaran. Harga barangan tersebut adalah berasaskan subsidi dan sumber yang diuntukkan itu untuk pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap. Subsidi dan pengekalan sikap yang berkehendakkan kebajikan, akan menggalakkan rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan. Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang perseorangan dan negara keseluruhannya. (v) Mempercepatkan Pencapaian Matlamat dasar Ekonomi Baru Dengan memberi lebih banyak peluang kepada pihak swasta, Kerajaan dapat mengwujudkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta Bumiputera atau bilangan pengurus-pengurus Bumiputera bagi memenuhi kehendak-kehendak Dasar Ekonomi Baru itu.

Strategi Pelaksanaan Beberapa isu penting perlu diselidiki, dikaji dalam menimbangkan cadangan-cadangan pengswastaan sesuatu perkhidmatan itu. Kabinet telah mengarahkan satu Jawantankuasa ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan dianggotai oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Jabatan Awam (PSD) dengan dipengurusikan oleh Unit Perancang Ekonomi bagi menyediakan satu garis panduan yang lengkap untuk memudahkan Kementerian/Jabatan mengswastakan beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian/Jabatan masing-masing. Antara isu-isu yang perlu di pertimbangkan ialah: (a) Pemecahan sesuatu khidmat (fragmentation); (b) Soal keselamatan; (c) Perundingan; (d) Implikasi kewangan; (e) Penentuan harga; (f) Implikasi kepada kakitangan; (g) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru; Berdasarkan kepada angka perbelanjaan dan peruntukan-peruntukan pembangunan awam, sektor swasta pula mengkaji keupayaan mereka dalam mengurus dan mengambilalih harta-harta yang akan diswastakan. Pengawasan dan penilaian yang rapi terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan juga merupakan sebahagian dari program pengswastaan. Tingkat kecekapan daya

pengeluaran, daya persaingan yang sihat serta tingkat harga yang dikenakan terhadap perkhidmatanperkhidmatan berkenaan perlu diawasi untuk menilai kos dan faedah dari perkhidmatan yang diswastakan. Penutup Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik 'national monopoly' yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut. Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Anda mungkin juga menyukai