Anda di halaman 1dari 7

10 PRINSIP ISLAM HADHARI 1.

KEIMANAN DAN KETAQWAAN KEPADA ALLAH Bagi orang Islam pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sebagai teras utamanya. al-quran dan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai teras pegangan dan rujukannya. Gabungan kemantapan akidah (kepercayaan), syariah (perundangan), akhlak, moral dan nilai-nilai murni adalah teras perancangan dan pelaksanaan pembangunan diri dan pengurusan sistem untuk mencapai umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT. dalam surah al-Araaf :96,

Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi . Tetapi mereka mendustakan(rasul kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Pada prinsipnya penentuan pegangan agama atau akidah bagi mereka yang berada di luar Islam terbahagi kepada dua iaitu tiada paksaan dalam agama dan kebebasan dalam menganut agama masingmasing seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah : 256

Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan dalam surah al-Kaafiruun: 6, Allah SWT berfirman,

Maksudnya : Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku

2. KERAJAAN ADIL DAN BERAMANAH Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nahl : 90

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan , serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. Pelaksanaan keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang diletakkan ke atasnya. Ini bersumberkan dari al-quran dan hadis Nabi SAW. Dalam al-quran Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa :58 Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah SWT dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat. Dan hadis nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Ahmad Maksudnya : Dan tidak beriman bagi seseorang yang tidak amanah. Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus yang baik (good governance) dan adil serta amanah kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan negara yang cekap, adil, amanah (tidak boros dan perbelanjaan berhemah) melahirkan negara yang baik, maju, dan dirahmati Allah SWT . 3. RAKYAT BERJIWA MERDEKA Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-quran surah al-Isra: 70 Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhlukmakhluk yang telah kami ciptakan. Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu. Masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan undangundang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat dan negara yang teguh dan utuh. Setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin sehingga mampu memartabatkan jatidiri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Makna jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan atau pernyataan luaran semata-mata tetapi lebih daripada itu menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara. 4. PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara intergratif boleh menjadikan kita memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara kita. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-quran surah al-Mujaadalah: 11 Maksudnya: Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat . Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. Dalam mana-mana sejarah masyarakat yang maju dan bertamadun ianya tidak akan berlaku tanpa menjadikan ilmu sebagai sumbernya. Tamadun Baghdad dan Tamadun Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang integratif mampu menyumbang ke arah pembangunan tamadun Barat dan Timur. Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan cabaran semasa, faktor ilmu intergratif, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi fokus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat. Melalui pengukuhan ilmu fardu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardu kifayah, hasrat untuk mencapai kecemerlangan terbuka luas. Melalui system pendidikan yang melengkapi dwi pengkhususan dan double Major, kita boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menerajui program pembangunan negara dan ummah. Usaha penggalian dan penerokaan serta penemuan ilmu sains dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi Islam. Amat disedari umat Islam ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah a-li Imraan : 190 Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda(kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; 5. PEMBANGUNAN EKONOMI SEIMBANG DAN KOMPREHENSIF Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh Islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai dengan perkembangan ekonomi di dalam negara dan diperingkat antarabangsa. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Jumuah : 10 Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu dimuka bumi(untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa-apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak(dalam segala keadaan) , supaya kamu berjaya(di dunia dan akhirat).

Untuk menjayakan pendekatan tersebut, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu sama-sama berperanan secara bersepadu. Ini sudah pun diberi penekanan dalam konsep pensyarikatan Malaysia. Islam Hadhari menuntut setiap masyarakat merebut peluang untuk memaju pencapaian ekonomi mereka. Usaha-usaha untuk memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan terus diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kestabilan paras harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan strategi tersebut menepati aspirasi Islam Hadhari. Melalui strategi tersebut negara mampu mengembeling kesemua tenaga rakyat semoga mereka dapat berprestasi di peringkat optimum. Dalam rangka yang sama pendekatan Islam Hadhari akan terus berusaha untuk meningkat kecekapan sistem penyampaian sektor awam dan prestasi sektor swasta. Justeru itu mutu sistem pendidikan dan Institusi Latihan Negara perlu sentiasa dipertingkatkan semoga kesemua aspek keperluan tersebut dapat dibekalkan kepada rakyat. Dalam suasana ekonomi dunia yang sangat mencabar dan tidak menentu, perancangan dan dasar ekonomi yang digubal perlu sensitif kepada perkembangan tersebut. Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan ekonomi negara, demi keselamatan negara, sektor pertanian akan turut diberi perhatian yang sewajarnya. Pembekalan kepada makanan asasi rakyat, adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Melalui kemajuan bidang sains bioteknologi, negara akan berusaha untuk memaju sektor pertanian dengan teknologi tersebut. Jelas sekali bahawa pendekatan Islam Hadhari adalah suatu pendekatan yang komprehensif di mana pencapaian pembangunan ekonomi negara mampu menjana kepada wujudnya sebuah masyarakat yang bertamadun dan progresif. 6. KEHIDUPAN BERKUALITI Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam al-quran surah al-Qasas : 77 Bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmat-nikmatnya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan dimuka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang. Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam tidak bersifat statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari masa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.

Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada insitusi keluarga. Keluarga yang sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan gejala sosial masyarakat dapat diminimakan jika setiap institusi keluarga dapat berfungsi dengan berkesan. Dalam konteks mencapai kehidupan yang berkualiti, kemudahan persekitaran turut serta diberi perhatian. Tempat rekreasi dan kemudahan beriadah turut sama difikir perlu dalam membina masyarakat yang sihat dan bertenaga. Dari pendekatan Islam Hadhari, kita dapati bahawa kualiti hidup masyarakat dari kesemua aspek akan dibangunkan secara bersepadu. 7. PEMBELAAN HAK KUMPULAN MINORITI DAN WANITA Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoriti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pesyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-quran surah al-Hujuraat : 13. Wahai Umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan( dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu,(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi mendalam pengetahuanNya(akan keadaan dan amalan kamu). Jaminan ke atas hak-hak tersebut terkandung dalam Pelembagaan Persekutuan. Ia terdapat dalam Bahagian Kedua Perlembagaan yang membuat peruntukan mengenai kebebasan asasi (Fundemental Liberties). Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar Wanita Negara. Rasulullah S.A.W telah juga menyebut dengan jelas tentang wanita sejak mula hingga keakhir hayat baginda dengan peringatan khusus semasa mengerjakan Haji Wida(Haji perpisahan) dengan sabdanya yang telah diriwayatkan oleh muslim,maksudnya : Maka bertaqwalah kamu kepada Allah terhadap wanita kerana sesungguhnya kamu mengambil mereka adalah kerana Allah dan Allah menghalalkan kepada kamu mencampuri mereka dengan ijab Kabul yang sah sesuai dengan aturan Allah dan hak suami terhadap isterinya ialah agar mereka tidak membiarkan orang luar yang dibenci oleh suaminya berkunjung kerumahnya. Sekiranya mereka melakukan sedemikian, ajarlah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Manakala bagi mereka(wanita) keatas kamu(lelaki)pula ialah memberikan mereka rezeki (makanan) dan perhiasan/pakaian dengan cara yang baik. Dan telah aku tinggalkan kepada kamu suatu yang tidak akan menyesatkan kamu selepasnya sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah(al-quran). Realiti yang berlaku di negara kita sejak negara mencapai kemerdekaan sampai ke hari ini menunjukkan setiap kaum dan bangsa tidak dinafikan hak-hak mereka, bahkan dalam beberapa perkara diberikan perlindungan dan jaminan melalui undang-undang negara.

Di negara kita seperti juga di kebanyakan negara-negara lain bagi menjamin hak-hak seseorang dan kumpulan itu tidak dinafikan, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Kerajaan juga telah menerima deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDHR), beberapa teriti dan kemanusiaan lain, termasuk mengenai wanita. Bahkan dalam beberapa aspek kedudukan wanita di negara ini jauh lebih baik berbanding di sesetengah negara Islam. Ada undangundang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya. Mereka boleh terlibat dalam semua sektor pekerjaan dan perkhidmatan yang tidak menyalahi undang-undang negara dan penyertaan dalam pembangunan negara. Bagi menjamin hak-hak tersebut dihormati dan tidak dicabuli, terdapat badan-badan yang mengawasi termasuk mahkamah-mahkamah diberi kuasa dan bebas untuk membicarakan isu menyalahi hak-hak apabila berlaku pertikaian. Dalam beberapa penulisan barat menimbulkan isu bahawa Islam tidak memberi perhatian dan kedudukan wajar kepada bukan Islam dan wanita. Sebenarnya hak-hak asasi sepatutnya diperjelaskan meliputi golongan bukan Islam dan semua kaum serta jantina. Dalam sejarah pemerintahan Islam orang bukan Islam diberi kedudukan dalam pemerintahan, hak-hak mereka tidak dinafikan. Kebebasan beragama diberikan bagi menjamin penghayatan dalam pembangunan negara dan perkhidmatan. Mereka diberikan hak sehingga menjawat jawatan menteri dan pegawai kanan kerajaan. Sejarah membuktikan orang bukan Islam begitu senang berada di bawah pemerintahan Islam kerana hak-hak mereka terjamin dan kerajaan berlaku adil ke atas mereka. Keadaan yang sama dapat disaksikan berlaku di negara kita. Islam ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jitu serta adil, saksama, amanah dan bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, keturunan dan fahaman agama, tidak memandang rendah mana-mana golongan. Hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang dan apabila timbul pertikaian ia boleh diselesaikan oleh mahkamah atau badan seumpamanya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa: 58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya(yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hokum diantara manusia, (Allah menyuruh)maku menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. 8. KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL Satu daripada perinsip ketamadunan sesuatu bangsa dan negara ialah wujudnya keutuhan budaya dan ketinggian moral sebagai identiti negara tersebut. Dalam rangka meningkatkan kemajuan negara Malaysia, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai dan akhlak yang kukuh, murni dan luhur. Penghayatan nilai-nilai akhlak yang mutlak dan tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga akan menjadikan bangsa itu terhormat dan disegani. Dengan demikian kemajuan ekonomi dan teknologi Malaysia akan berjalan selari dengan keluhuran budaya dan ketinggian akhlak masyarakat berbilang kaum. Namun, gejala keruntuhan akhlak, kelemahan budaya integriti dan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia semasa, merupakan suatu cabaran besar kepada pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari. Dari perspektif tamadun dan agama Islam, kemajuan ekonomi dan ilmu sesuatu bangsa harus dijiwai oleh budaya moral dan etika yang luhur. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai selagi kemajuan kebendaan diasingkan daripada nilai-nilai moral, etika dan kerohanian yang luhur. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun dan Empayar Romawi yang begitu hebat telah runtuh dan ditelan zaman akibat daripada kepincangan moral yang parah dalam masyarakat dan negara.

Aspek kesenian dalam memperkasakan budaya harus seiring dengan nilai-nilai murni yang berasaskan keluhuran dan kreativiti yang menyumbang ke arah kebudayaan tinggi (high culture). 9. PEMELIHARAAN ALAM SEMULAJADI Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera antara sesama manusia dengan alam tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai dan mengekploitasi alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi. Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, ribut taufan, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat, kepupusan tanaman, habitat dan sebagainya semuanya menyumbang kepada ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti manusia. Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun dilaksanakan oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara dua deklarasi di mana Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri telah mengadakan Deklarasi Langkawi untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni agama, bertanggungjawab dengan alam, membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh. Pembangunan sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat. Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat. Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam sekitar dan persekitarannya disamping berusaha untuk terus maju. 10. KEKUATAN PERTAHANAN Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spritual. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-quran surah al-Anfal: 60 Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui nya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasanya kepada kamu,dan kamu tidak akan dianiayai. Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari dicerobohi. Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk menyerang dan menguasai bangsa dan negara lain. Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan. Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan dan keupayaan mempertahankan diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha memperkasakan umat supaya mereka berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

Anda mungkin juga menyukai