Anda di halaman 1dari 94

Analisis novel Salju Sakinah

Analisis novel Salju Sakinah

Keperibadian manusia dibentuk oleh sekeping hati. Sifat seseorang yang memiliki hati yang tulus, bersih, dan murni. Sifat terpancar pada wajah dan perlakuannya. Begitulah sebaliknya. Menurut A. Talib Naiem al-Haj as-Saufi, hati merupakan roh yang berperanan agen pengawal kepada komponen tubuh manusia. Lidah misalnya petah menuturkan sesuatu ialah kerana gerak rasa yang terbit dari hati. Justeru itu Rasulullah S.A.W menyatakan, dalam diri manusia ada seketul daging. Manakala daging itu baik maka baiklah seluruh anggota lahir manusia itu. Jika seketul daging itu rosak, maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak. Itulah ia hati (kalbu)

Melihat kepada hakikatnya, maka hati akan disorotkan sebagai wahana yang memberikan sifat pada perlakuan dan keperibadian kepada beberapa watak yang digarap oleh pengarang muda Zaid Akhtar dalam novel Salju Sakinah. Berdasarkan teori psikologi analisis novel ini merujuk kepada konsep hati yang digariskan oleh islam untuk membentuk personaliti. Struktur personaliti yang diterajui oleh tiga kompenen penting iaitu id, ego dan superego akan diterjemahkan dari sudut sosial, budaya, agama, ekonomi, dan politik. Hal ini diketengahkan kerana hati merupakan suatu persoalan yang universal. Disamping itu juga dalam membentuk personaliti seseorang, setiap bangsa dan agama mengajar penganutnya melakukan hal yang sama iaitu memelihara hati.

Nilai sosial Sumayyah merupakan fokus utama di dalam karya tersebut diadun dengan personaliti yang utuh sebagai seorang beliawanis, wanita muslim,mahasiswi dan anak solehah oleh pengarang menjadi tunggak yang wajar ditauladani. Dalam menggambarkan peribadi Sumayyah, pengarang meletakkannya sebagai seorang pendakwah yang gigih di tengah-tengah masyarakat yang semakin hilang jatidiri, longgar ikatan ukuwwah, tercela sahsiah diri dan mudah terpesong akidahnya. Kegigihan sumayyah bertindak mengawal personaliti berdasarkan pemikiran yang rasional dan waras mengangkat martabat pendakwah di sisi masyarakat. Peranan sebagai penyeru ke arah kebaikan bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi untuk mengajak masyarakat yang semakin hanyut dengan sifat mazmumah seperti dengki, iri hati, benci, dan dendam. Pengarang memartabatkan watak Sumayyah dengan

tenaga eksekutif superego untuk berhadapan dengan masyarakat dalam menyampaikan dakwah kepada umum. Justeru itu, Sumayyah dilihat berjaya ditonjolkan oleh pengarang sebagai idola masyarakat, pembimbing rakan sebaya, pendakwah dan anak solehan. Sumayyah mampu mengawal emosinya dan bertindak dengan rasional apabila diserang dengan cemuhan dan fitnah yang dilemparkan oleh Zaleha yang telah hilang pertimbangan akal dan didorong oleh komponen biologi id. Berikut adalah situasi, Sumayyah telah dimaki dan diherdik oleh jirannya yang bernama Zaleha, kerana terlalu cemburu dan benci terhadap Sumayyah yang disangka cuba memikat suaminya. Pengarang telah membiarkan watak Zaleha dikuasai oleh nafsu amarah dan benci sehingga bertindak diluar kawalan kewarasan yang sewajarnya. Tak payah! Tak payah berpura-pura nak buat baik dengan aku. Err, kenapa ni, kak? Kalau ya pun jemputlah masuk dulu.Dia cuba berselamba biaurpun dalam hati tertanya-tanya apa kesalahannya. Tak usah berlagak baik depan aku. Tak padan dengan mengaji agama tinggitinggi. Gatal merenyam! Kau ingat aku tak tahu niat kau?Darah Sumayyah menyirap.Mulut celupar itu layak ditampar. Namun emosinya masih dalam kawalan. Halaman 325

Kesabaran dan ketabahan Sumayyah menghadapi maki hamun jirannya yang cemburu buta menunjukkan semangat kejiranan dan menghormati antara satu sama lain masih utuh di tengah-tengah masyarakat yang mengalami masalah sosial yang meruncing. Dalam kehidupan masyarakat dewasa ini masih tersisa minoriti yang mengalami penyakit hati atau dengan kata lain jiwa yang kering dan jauh dari hidayah . Hakikatnya amat sukar untuk mengikis dan mendidik hati yang telah dikuasai oleh nafsu amarah, dendam, dan benci. Fitnah dan mengumpat masih menjadi tradisi masyarakat yang rendah tahap pendidikan,bertindak berdasarkan emosi untuk kepuasan diri. Begitu juga moral masyarakat yang kian terhakis dengan keruntuhan akhlak sehingga mengaibkan agama, bangsa dan masyarakat itu sendiri. Pengarang juga telah mendedahkan siapa sebenarnya Mansor suami kesayangan Zaleha, yang dikatakan cuba dipikat oleh Sumayyah. Peristiwa ini masih berlaku pada masyarakat hari ini, berjaya diterokai oleh pengarang muda dengan plot yang sangat menarik dan memberi pengajaran yang amat bermakna kepada pembaca. Mansor khabarnya didapati berzina dengan seorang perempuan India dalam taman bunga. Mungkin mereka tidak terus balik lepas tengok konsert artis sempena bulan merdeka tengah

malam tadi. Fuad menghela nafas. Masa kena cekup tu, orang kata, masih bertindihan lagi dan tak pakai apa-apa. Yang malunya, kedua-duanya melekat, tak boleh nak tanggal dan terpaksa dkejarkan ke hospital untuk dipisahkan. Halaman 462.

Kemelut sosial yang berlaku di dalam masyarakat digarap dengan berkesan sehingga pembaca tidak terkejut dengan peristiwa ikhtibar yang memalukan. Keinginan atau hasrat yang negatif sering muncul di bawah sedar manusia, menggodanya dan menyebabkan manusia putus daripada akar rasionalnya. Mansor sebagai pendukong watak hitam dibina oleh pengarang dibiarkan mendak di dalam takungan akal bawah sedar, yang kemudian kembali bertindak diluar kawalan kewarasan akal. Keadaan ini dikuasai oleh kedudukan id, ego dan superego. Dalam konteks binaan personaliti muslim, hal ini diterjemahkan sebagai nafsu amarah, nafsu lawamah dan nafsu mutmainah yang turut mempengaruhi qald,nafs dan jiwa. Justeru itu pengarang berjaya membina watak hitam dengan memenuhi kehendak id atau pleasure principle, berseronok demi memenuhi kehendak naluri dan id yang dikatakan full of devil. Kepincangan sosial masyarakat yang melanda, menarik perhatian Sumayyah sebagai pendakwah, berusaha mengajak masyarakat dan lingkungannya dengan mengadakan ceramah, kuliah agama, bacaan yassin serta majlis-majlis ilmu. Situasi ini meninggalkan impak yang baik untuk mengembalikan keharmonian masyarakat, mengeratkan ukhwah dan sikap sayang-menyayangi antara sesama makhluk.

Nilai budaya Sekali lagi, pengarang membina watak Sumayyah sebagai idola yang menjunjung budaya bangsa, agama serta memelihara peradaban dan tatasusila. Sebagai seorang mahasiswi yang menuntut di Timur Tengah dalam pengajian syariah, walaupun terpisah jauh dari keluarga Sumayyah tetap berpegang teguh dengan adat ketimuran, baik dalam pergaulan, berpakaian, tutur bicara dan kesantuan masih menjadi jati diri. Berpaksikan hukum dan pegangan, Sumayyah sentiasa mengenakan busana yang melambangkan muslimah sejati, menjaga tutur bicara dan mengawal pergaulan agar tidak tercela dengan tipu daya syaitan di samping tidak melanggar adat dan norma ketimuran. Tuntutan ini di ketengahkan oleh pengarang pada setiap gerak dan bicara sumayyah. Malahan, pengarang turut mewarnai watak Asmawiyah dan Aziyan sebagai gadis melayu yang berpegang teguh dengan budaya dan nilai ketimuran. Kesantunan dan kesopanan masih menjadi tunjang dan tonggak kehidupan masyarakat walaupun arus kemodenan semakin mengikis dan menjajah minda.Di samping kehalusan

budi watak utamanya, kita juga diperlihatkan dengan keindahan budi dan lemah lembut gadis melayu seperti situasi berikut : ketara, Asmawiyah dan Aziyan masih lagi patuh dengan nilai kemelayuan. Baju kurung yang dipakai oleh kedua-dua gadis itu buktinya. Tegal kini semakin jarang anak gadis melayu mengenakan baju kurung ke mana-mana. Halaman 322-323 Sementara itu pengarang juga memaparkan tatasusila dan perilaku dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan demi menjaga martabat bangsa dan agama. Begitu juga pengarang menterjemahkan percintaan berpaut kepada akidah dan syariah. Percintaan terlihat bagaikan metafora , yang berfungsi dalam wahana keagamaan, yang menolak keghairahan dan berahi, sebaliknya berpaksikan pada mahabbah cintakan ilahi. Cinta yang berpaksikan nafsu sematamata, pastinya bukan saja menodai adat dan budaya malah mengundang bala dan kemurkaan Allah Taala. Hal ini diperjelaskan oleh pengarang melalui watak Yusra yang telah membelakangi adat resam serta menodai kesucian agama. Kini jiran baik mereka itu hanya tinggal berdua setelah Yusra terpaksa menangguhkan pengajiannya untuk melahirkan anak yang tidak pernah diminta. Sumayyah masih ingat, dialah orang yang mula-mula diberitahu oleh Yusra tentang kehamilannya dalam pertemuan di Masjid Hussein dulu. Tetapi kala itu segalanya telah terlewat. Yusra terpaksa menerima padah kedegilannya dan keterlanjuran perbuatannya yang ditegah agama dan adat. Halaman 492

Pengarang membina watak Yusra yang gagal bertindak dengan berpandukan akal yang waras dan prinsip moral superego, sehingga menodai budaya ketimuran, adat,dan hukum tuhan semata-mata menuruti kehendak id dan naluri. Inilah penyakit umat akhir zaman, Mai. Yang terbaru, jangan terkejut, program realiti TV berbentuk pencarian suami ada pertukaran isteri pun mendapat tempat Halaman 267

Nilai agama atau moral.

Pengarang Salju Sakinah memaparkan kemuliaan agama dan kesantunan moral kepada

pembaca sebagai ikhtibar dan pedoman. Sumayyah yang menjadi fokus utama di dalam novel tersebut diangkat sebagai wanita pendakwah, sebagai contoh muslimah yang menjunjung keimanan, berpaksikan al-quran dan hadis, namun diuji dengan permainan yang cukup menyentuh jiwa dan iman. Dalam kecanggihan dunia global tanpa had sempadan masih terdapat insan yang terpesong akidahnya, percaya kepada perkara khurafat dan bertuhankan makhluk lain. Bagai duri dalam daging, itulah hakikat yang harus ditempuhi oleh Sumayyah yang gigih mengajak manusia kearah kebaikan, malangnya saudara kandungnya Safiah dan abang iparnya terpesong jauh dari jalan kebenaran. Suatu jihad yang perlu dipikul oleh Sumayyah untuk mengembalikan saudaranya ke jalan yang benar. Bukan mudah untuk menzahirkan kebenaran kepada manusia yang telah jauh tersesat dari hidayah Allah. Manusia yang mengagungkan sesuatu yang lain selain daripada Allah Taala adalah sesuatu yang sangat hina dan merupakan dosa yang tidak akan mendapat pengampunan dari Nya. Pengarang telah menghukum watak-watak seperti Jasman, Tok Ayah dan Tahir yang bertuhankan syaitan dan nafsu dengan kematian yang sungguh azab. Situasi berikut diutarakan oleh pengarang untuk menggambarkan musibbah yang menimpa watak-watak hitam yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Tiba-tiba kilat memancar di belakang kami. Saya terperanjat dan hampir terlompat, spontan saya menoleh ke belakang. Saya nampak petir merah menyala menyambar mereka bertiga dan dua batang pokok kayu diikuti dentuman yang sangat kuat. Ia berlaku dalam tiga empat saat tapi saya nampak Tok Ayah menggelupur macam terkena karan, menjerit-jerit sebelum terpelanting ke dalam semak. Jasman dan Tahir rebah di situ juga. Saya tertiarap kerana terlalu takut dan terkejut. Mahat memeluk saya. Kami berdua terkencing di dalam seluar, tambahnya lagi membalas segala pertanyaan dia dan salbiah. Halaman 430.

Di samping itu juga pengarang mewarnai watak Sumayyah dengan nilai-nilai keislaman yang sejati, muslimah yang sentiasa bersyukur, insaf, sentiasa muhasabah dan menerima qada dan qadar dengan ikhlas hati. Kehilangan orang yang tersayang , kegagalan dalam ujian akhir yang sangat penting dan cintanya dikhianati, diterima dengan penuh keinsafan dan redha malah keimanan dan ketaqwaan menyemai dalam jiwanya. Situasi ini, menunjukkan intektualisasi Sumayyah menghadapi saat-saat yang menyedihkan.Yakin dan percaya pasti terselindung seribu rahmat dan rahsia disebalik musibah tersebut. Di samping itu, watak-

watak seperti Fatihah, Hakimah, Marianis, Izzati, Nazura, ustazah Samihah dan lain-lain lagi diangkat oleh pengarang sebagai wanita muslim berperibadi unggul dengan impak yang sungguh baik. Rentetan dari itu, pengarang juga mengasuh jiwa pembaca dengan mengutarakan ayat-ayat al-Quran, doa, hadis nabawi, kata-kata pujangga dan kata-kata hikmah sebagai santapan rohani.

Nilai ekonomi Sumayyah bukan saja diwarnai sebagai muslimah , pendakwah atau mahasiswi tetapi pengarang bijak mengadunkan watak tersebut menjadi seorang usahawan yang berani menyambung perjuangan ayahnya. Sembilan persepuluh sumber rezeki adalah datangnya daripada amalan muamalat. Justeru itu pengarang bertindak mengabadikan tradisi dan sunnah tersebut pada watak Sumayyah. Mana boleh tak fikir lagi, mesti fikir. Bagi saya , tak ada salahnya Sumayyah teruskan usaha arwah Haji tu. Berniaga ni sunnah nabi juga, kan hajah? Halaman 220

Berdasarkan teori psikologi, pengarang mencipta imej Sumayyah yang tidak berpengetahuan langsung tentang selok belok perniagaan, namun naluri ingin tahu, yang dikuasai oleh prinsip ego, mendorongnya belajar dan menimba pengalaman daripada pembantunya. Hasratnya untuk belajar mengendalikan Desa Wali dan dia mesti cepat belajar. Namun siapa lagi yang berupaya mengajarnya selain lelaki berjanggut pandak itu. Hanya Muazam satusatunya pekerja yang tahu hampir semua perkara. Halaman227

Naluri ingin tahu atau kemahuan yang menebal dalam diri Sumayyah menonjolkan personaliti sebenar Sumayyah yang tidak rasa malu dan tidak pernah jemu menuntut ilmu walaupun dia berada dalam golongan orang yang berpendidikan tinggi, di samping sikap cintakan ilmu samada ilmu ukhrawi ataupun duniawi demi kepentinga bangsa dan agama. Justeru itu tidak hairanlah pengarang mampu menghidupkan jiwa seorang Sumayyah sebagai usahawan yang gigih menghadapi cabaran dan saingan di dalam industri yang penuh cabaran itu.

Nilai politik Merujuk kepada nilai politik pengarang sering kali, menyajikan beberapa permasalahan dunia

global yang sering berlaku seperti perkembangan perang di Timar Tengah, kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin, krisis politik di Iraq. Secara tidak langsung Sumayyah yang menuntut di bumi isra,terdedah dengan lebih dekat lagi situasi politik yang sentiasa bergelora. Malahan, terdapat rakan kuliahnya yang menerima musibbah dan menderita kerana krisis politik yang melanda bumi isra. Wafa seorang gadis Arab berkulit cerah, berketurunan palestin tidak terkecuali menjadi mangsa pergolakan politik. Kerisauan sentiasa menerjah jiwanya, sukar dilontar jauh kerana ancaman kekejaman sentiasa bermain di hadapan mata,kerisauan realiti ini jelas digambarkan oleh pengarang dalam mencipta watak Wafa. Begitu juga dengan watak seperti Hayya pelajar sarjana yang berasal dari Iraq mengalami trauma. Dari sudut psikologi, mangsa peperangan akan mengalami trauma dan tekan yang kritikal dan kadang kala,sebagai manusia yang libidonya sering diruntun, sekali-sekala terdapat virus hipokondriakal, penyakit kemurungan dan tertekan. Meskipun menerima pelbagai tekanan dan tindakan kekejaman, penduduk Palestin tidak jemu-jemu berjuang dan berharap suatu hari nanti bumi mereka bebas dari penjajahan. Hal ini dapat dilihat melalui teknik imbas kembali yang menceritakan mangsa persengketaan dan pergolakan bumi Palestin. Ingatannya juga mengimbas wajah Wafa gadis berbangsa Palestin yang bertandang ke rumahnya petang tadi.Parasnya yang sering berseri ceria tampak murum sungguh. Senyumannya yang selalunya bersaring madu bagai tidak bergula. Halaman 62.

Rumusan Karyawan sastera adalah cerminan kepada masyarakat. Pengarang tidak menghasilkan sesebuah karya dalam ruang yang kosong. Hippolyte Taine, pernah menegaskan bahawa sastera adalah cerminan tiga unsure penting iaitu masa, masyarakat dan alam sekeliling. Apaapa yang tercerna dalam sesebuah karya sastera tercetsu daripada pengalaman dan pengetahuan , yang diadun pula dengan kreativiti, imagimasi dan wawasan seseorang pengarang. Fenomena yang berlaku di persekitaran pengarang akan membekalkan bahan untuk dikarya dalam bentuk realiti kreatif. Manakala, menurut Hamzah Hamdani (1988:83) sasterawan ialah manusia biasa yang hidup dan menjadi anggota dalam masyarakatnya. Berikutan dari itu, sastera pada alaf baruini tidak lagi berfungsi sebagai hiburan, pendidikan dan kritikan sosial semata-mata, sebaliknya karya sastera juga mengandungi sensitiviti,emosi, wawasan dan harapan pengarang. Dengan kata lain karya sastera menjadi wadah seseorang

pengarang melaksanakan jihad mereka seperti yang diketengahkan dalam novel Salju Sakinah garapan karyawan muda Zaid Akhtar, sarat dengan pergolakan jiwa manusia yang meniti kelangsungan kehidupan. Walaupun seribu permasaalah yang melanda namun ditangani dengan waras dan pertimbangan yang sewajarnya. Salju Sakinah novel islami yang disulami dengan nilai-nilai murni digarap dengan lenggok yang indah mampu memberi impak yang berkesan kepada pembaca dalam mengatur tindakan dan membina peribadi unggul sebagai khalifah di bumi fana. Setiap peristiwa yang dibangunkan ada makna-makna siratannya, ditambah lagi dengan bahasa yang sederhana,bersih dan juga jernih, pengkaji berpendapat pengarang adalah seorang yang pintar menguasai sistem-sistem tanda karya. Seusai meneroka Salju Sakinah, pengkaji mendapati novel ini berupaya menjadi cerminan peribadi untuk mencari nilai diri dan mencari keredhaan Illahi

Bibliografi

Eagletton, Terry, (terjemahan Muhammad Haji Salleh), 1988. Teori Kesusasteraan Satu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hamdani(Penyelenggaraan).1988. Konsep dan Pendekatan sastera. Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ilias haji Zaidi, 1986, Kesusasteraan Melayu Moden Jilid 1: Novel, Selangor. Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Malik b. Badri,1989. Konflik Ahli Psikologi Islam (Terjemahan oleh Fadlullah Wilmot) Petaling Jaya: IBS Buku Sdn.Bhd.

Mana Sikana,2008,Teori Sastera Kontemporari :Edisi III, Bdr Baru bangi, Pustaka Karya.

Rahman Shaari,1988, Kritikan Sastera Melayu, Pendekatan dan pemikiran:Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raman Selden,1989, Teori Kesusasteraan Sezaman (terjemahan Umar Junus ).Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roger Webster, 2004,Mengkaji Teori Sastera Suatu Pengenalan Edisi :II( terjemahan Shamsuddin Jaafar ) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaid Akhtar,2008. Salju Sakinah.Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Hashim Ismail.Tragedi,Peristiwa dan Hikmah. Analisis Dalam Majalah Dewan Sastera, halaman 70 73. Kuala Lumpur.

Rahman Shaari. Penekanan keinginan dalam Karya.Analisis dalam Majalah Dewan sastera, halaman 72-75 April, 2003.Kuala Lumpur.

Che Abdullah Che Ya,Suara Kemanusiaan .Analisis dalam Majalah Dewan Sastera , Halaman 71-74 Julai , 200
Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Ogos 2012.

Contoh Ulasan Novel Andai Itu Takdirnya


Berikut adalah satu lagi contoh Ulasan Novel pernah dihasilkan oleh kumpulan pelajar yang mengikuti kursus Bentuk-bentuk penulisan. Jadikan sebagai panduan. Sila teliti setiap komen dan saranan yang saya nyatakan. Pastikan kesilapan yang pernah dilakukan dalam tugasan ini tidak diulangi lagi. Hasilkan ulasan novel yang anda siapkan lebih baik dari contoh ulasan novel di blog ini.

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

SEMESTER 2 SESI 2007/2008

PENSYARAH: CIK MAHARAM MAMAT

KUMPULAN MUTIARA NAMA AHLI MATRIK HASLIZA HASSAN ROSMAINI ZAKARIA NORHAFIZAH ISMAIL NABIHAHT BT RADZAI SITI NORSHEILA BT AZMI

1.0 PENGENALAN Dalam konteks penulisan novel, persoalan yang paling ketara ialah aspek perhubungan manusia. Konflik dalaman dan luaran yang ditempuhi manusia adalah tercetus daripada perhubungan di antara manusia dalam pergaulan seharian. Penulis biasanya menekankan

psikologi dan permasalahan dalaman watak dan perwatakan. Konflik jiwa seseorang watak diperkukuhkan dengan penggunaan teknik yang berkait rapat dengan ilmu psikologi dan ilmu kemanusiaan.

Selain itu, watak yang sesuai dan tepat dapat menyalurkan idealisme dan falsafah kemanusiaan. Watak ialah manusia atau pelaku yang dicipta oleh pengarang untuk mendukung tema dan persoalan serta mengembangkan tema sehingga mencapai matlamat pengarang . (sila nyatakan sumber rujukan) Namun begitu, tidak semestinya watak-watak terdiri daripada manusia sahaja. Adakalanya, ditampilkan binatang, tumbuh-tumbuhan, makhluk asing dan objek tertentu. Perwatakan ialah sifat-sifat fizikal dan mental, tabiat, perilaku, sifat keperibadian watak seperti bercita-cita tinggi, benci dan sebagainya.

2.0 SINOPIS NOVEL Andai itu Takdirnya, hasil tulisan Maharam Mamat mengisahkan tentang kehidupan watak utama iaitu Najwa dalam mengharungi kehidupan pada zaman kanak-kanaknya. Kenangan (pada zaman) kanak-kanak yang dialaminya menjadi pengalaman yang mematangkan kehidupannya. (penggunaan kata nya dua kali dalam satu ayat: ayat tak gramatis) Pada pemulaan novel, penulis menceritakan watak utama iaitu Najwa baru balik belajar dari luar negara dan abangnya, Hisyam mengambil dan membawanya pulang ke rumah disambut oleh Mak Nik (orang gaji) [banyak perkara dinyatakan dalam satu ayat]. Kemudiannya, berlaku imbasan kembali watak utama ke alam persekolahan Najwa. Di sekolah, Najwa bermusuhan dengan seorang budak gemuk bernama Ruhani. Ruhani selalu menyebabkan Najwa didenda oleh Cikgu Ramli yang garang di atas kesalahan yang tidak dilakukan. [dua perkara dikemukakan dalam satu ayat iaitu: cikgu ramli seorang yang garang dan Ruhani selalu menyebabkan najwa didenda walaupun dengan kesalahan yang tidak dilakukannya] Ada satu kejadian di mana Ruhani mengamuk kerana pipinya ditampar oleh Najwa kerana memutuskan tali beg pemberian mamanya kerana mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan akhir tahun. (berapa banyak kerana daaaa. Banyak perkara dinyatakan dalam satu ayat!) Di dalam kejadian ini, Ruhani terpukul kepala Najwa dengan penyapu dan menyebabkan kejadian Najwa dimasukkan ke dalam hospital. Selepas peristiwa itu, Najwa mengalami penurunan dari segi pembelajaran dan sering sakit kepala manakala Ruhani didenda oleh ibunya dan meminta maaf dengan Najwa. Ruhani menyesal dan ingin berkawan dengan Najwa tetapi Najwa tidak mempercayai Ruhani kerana setiap kali Ruhani berjanji

tidak akan berkelakuan jahat kepada Najwa dia akan mungkiri. [terlalu banyak perkara yang ingin dinyatakan dalam satu ayat] Pada kemuncak cerita, berlaku konflik dalam keluarga Najwa di mana mama dan abahnya sering bergaduh. Mereka bergaduh kerana abahnya takut dan cemburu melihat hubungan baik Najwa dengan Cikgu Ramli kerana merasakan Cikgu Ramli cuba merampas Najwa daripadanya. Pada suatu hari Cikgu Ramli mengalami kecelakaan jalan raya kerana ingin membeli hadiah harijadi kepada Najwa. Ekoran daripada kejadian ini Najwa diberitahu bahawa cikgu Ramli adalah ayah kandungnya dan kerana kejadian ini juga Cikgu Ramli lumpuh. (cikgu Ramli telah lumpuh apabila Najwa diberitahu tentang siapa ayahnya sebenar?) Perenggan ini boleh ditulis seperti berikut: [Kemuncak novel ini adalah konflik yang timbul dalam keluarga Najwa apabila abah dan mama Najwa sering bergaduh. Pergaduhan ini berlaku akibat rasa cemburu dan takut abah yang melihat hubungan baik antara Najwa dengan Cikgu Ramli kerana merasakan Cikgu Ramli. Abah Najwa khuatir Cikgu Ramli akan merampas Najwa daripadanya.

Cikgu Ramli telah mengalami kecelakaan jalan raya semasa ingin membeli hadiah harijadi kepada Najwa. Kemalangan berkenaan telah menyebabkan Cikgu Ramli lumpuh. Ekoran kemalangan berkenaan juga, Najwa akhirnya mengetahui bahawa Cikgu Ramli adalah ayah kandungnya. Di pengakhiran, majlis meraikan kepulangan Najwa diadakan. Di dalam majlis ini, Najwa dikejutan dengan pemberitahuan bahawa Ruhani iaitu musuh ketatnya di sekolah sebagai tunang abangnya dan dia berasa sedih melihat keadaan ayah kandungnya, Cikgu Ramli lumpuh serta berharap agar ayahnya dapat berjalan kembali. Dan Najwa menerima ini semua sebagai takdir bersesuaian dengan tajuk novel, Andai itu Takdirnya.

3.0 TUJUAN KAJIAN Novel Andai itu Takdirnya hasil tulisan Muharam Mamat dipilih untuk dikaji dengan tujuan untuk memenuhi kehendak subjek kursus Bentuk-bentuk Penulisan (ZZZT 2213). (tujuan seumpama ini tidak ilmiah sifatnya. Sama seperti menyatakan tujuan kajian untuk lulus dan dapat ijazah bila menulis latihan ilmiah. Sila rujuk nota untuk kuliah pertama kursus ini) Tujuan utama kajian adalah untuk melihat kesinambungan novel ini bagi mengetahui jalan cerita dan bagaimana pengakhiran novel ini berlaku. Selain itu, kajian novel ini dilakukan

untuk mengetahui sejauhmana kefahaman pembaca terhadap bacaan yang dilakukan dari aspek gaya bahasa, teknik penulisan dan sebagainya terutama sekali dari segi watak perwatakan. Malahan, secara tidak langsung pembaca dapat memperolehi maklumat, pengetahuan dan pendedahan yang meluas tentang penulisan novel.

4.0 SKOP KAJIAN Skop utama kajian novel ini, adalah untuk melihat kelebihan dan kelemahan watak utama dari segi psikologi. Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, bercakap, rupa paras, kepercayaannya dan ideologi serta gambaran perasaan seseorang. Watak utama memainkan peranan utama dalam sesebuah cerita dan menggerakkan atau mengembangkan cerita. Melalui penghayatan ke atas aspek perwatakan dapat dilihat bahawa unsur latar dan jalinan plot merupakan aspek yang penting dalam analisis sebuah novel serta membantu individu memahami konflik manusia yang dipaparkan dalam novel ini.

5.0 KAEDAH KAJIAN Dalam kajian novel ini, kaedah kajian digunakan ialah kaeadah penyelidikan perpustakaan. Kaedah ini melihat kepada pendekatan psikologi. Pendekatan ini digunakan dalam aspek kejiwaan dan konflik dalaman kemanusian yang melanda watak utama dalam novel ini. Selain itu, pendekatan sosiologi juga turut digunakan kerana alam persekitaran banyak menentukan penonjolan watak yang dibincangkan. Penelitian daripada aspek kejiwaan watak perwatakan membolehkan manusia memahami rahsia jiwa manusia dan keinginan yang mendoromg sikap dan kelakuan sesuatu watak.

6.0 WATAK YANG DIKAJI Watak utama yang dikaji ialah Najwa. Ibu Najwa mempunyai perniagaan batik sendiri. Abahnya pula bekerja dengan sebuah syarikat manakala ayah kandungnya iaitu Cikgu Ramli, cikgu yang mengajarnya di sekolah. Najwa mempunyai seorang abang bernama Hisyam dan seorang adik bernama Anis Sofea serta Najwa banyak menghabiskan masa di rumah bersama-sama dengan orang gajinya, Mak Nik dan Chah, seekor kucing. (isu berbeza. Sila

buat ayat yang berasingan)

Di sekolah, Najwa merupakan seorang murid yang pandai. Najwa selalu mendapat tempat pertama di dalam kelasnya. Najwa berkawan baik dengan Rozita, Yana, Mastura dan Siti Hajar dan bermusuhan dengan seorang budak gemuk yang bernama Ruhani. Ruhani suka mengenakan Najwa sehingga Najwa didenda beberapa kali oleh Cikgu Ramli di atas kesalahan yang tidak dilakukan.

Watak Najwa digambarkan sebagai seorang yang kanak-kanak yang manja, degil, suka merajuk dan kurang bertolak-ansur tetapi pandai berjimat atau suka menabung. Semua kemahuan Najwa harus diikuti dan jika tidak dia akan merajuk. Najwa kebosanan tinggal di rumah kerana kedua ibu bapanya sibuk bekerja dan abangnya banyak menghabiskan masa untuk menelaah pelajaran kerana bakal menghadapi peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR). Biasanya, dia hanya ditemani oleh Mak Nik dan seekor kucing yang bernama Chah.

7.0 MENILAI WATAK UTAMA DARI SEGI KEKUATAN DAN KELEMAHAN Setiap watak mempunyai kekuatan dan kelemahan sendiri yang ditonjolkan; begitu juga dengan watak Najwa. Kekuatan dan kelemahan watak Najwa boleh dilihat dari sudut psikologi. Psikologi sosial melihat kepada kehidupan seharian yang dipengaruhi dan mempengaruhi persekitaran (sosial dan fizikal) di mana seseorang individu berada.

Mengikut tokoh psikologi terkenal, Gordon Allport (rujuk cara tulis rujukan dalam teks. Tiada bibliografi untuk tokoh ini. Lengkapkan rujukan ini) menyatakan psikologi sosial merupakan bidang ilmu yang cuba memahami dan menerangkan bagaimana fikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang dipengaruhi kehadiran individu-individu lain, dikhayalkan, diingati atau hanya dijangkakan. Di dalam novel ini, watak utama Najwa berkhayal kembali ke zaman kanak-kanaknya. Watak Najwa dilihat secara mendalam dari segi psikologi sosial. (hubungkan penerangan ini dengan petikan di bawah, contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Aku raba seutas rantai emas yang terlindung di sebalik baju kurung yang aku pakai. Loketnya yang tertulis huruf EN aku usap pelahan. Bertimbun kenangan lampau menerjah ingatanku. Dan bersama kenangan itulah aku menjadi dewasa. Dewasa di dalam membuat keputusan dan dewasa di dalam takdir Tuhan. ( hlm. 7)

Najwa, kenapa ni? satu suara lain menyapa. Aku tersentak. Katil nombor sembilan di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Kota Bharu hilang dari mata. Di hadapan, hanya potret wajahku separuh siap yang tergantung di dinding bilik. Aku berpaling. Abang Hisyam berdiri di sisi dengan wajah penuh tanda tanya. (hlm. 225)

Justifykan petikan ini dalam kertas kerja penuh. (tidak dapat ditunjukkan formatnya dalam blog). Beri ulasan lanjut tentang petikan agar pembaca mampu fahami perkaitan yang wujud antara teori dan karya. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)

7.1 KELEBIHAN WATAK Kelebihan utama pada watak Najwa ialah yakin pada diri sendiri. Sikap Najwa yang yakin pada diri sendiri boleh dikaitkan dengan teori perkembangan psikososial. Menurut Erikson, (cara tulis rujukan dalam teks! Tidak disenaraikan dalam rujukan) perkembangan personaliti manusia berlaku secara berterusan di sepanjang hayat. Setiap tahap mempunyai perkembangan individu secara positif dan negatif. Teori ini mempunyai 8 tahap utama iaitu kepercayaan lawan ketidakpercayaan, Autonomi lawan bersalah, Insiatif lawan rasa bersalah, Ketekunan lawan rendah diri, Identiti lawan kekeliruan peranan, Kemesraan lawan pengasingan, Generatif lawan pengasingan, Generatif lawan pasif dan kesempurnaan lawan putus asa. Watak Najwa boleh dikaitkan dengan peringkat keempat iaitu ketekunan lawan rendah diri yang berlaku dari umur 6 hingga 11 tahun. Pada peringkat ini, kemahiran akademik serta sosial akan membina identiti diri yang kukuh pada diri Najwa. Sebaliknya, kekurangan kemahiran boleh menyebabkan kanak-kanak merasa kurang yakin pada diri sendiri dan kegagalan yang dialami boleh menghantaui diri. Kejayaan yang diperolehi Najwa menjadikan dia yakin dalam melakukan semua perkara.

Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Hanya dia seorang sahaja yang bagus. Sebab itu dia marah sangat kepadaku. Dia dengki sebab aku dapat ramai kawan. Semua orang hendak berkawan denganku. Kalau ada apa-apa rancangan, aku akan dilantik sebagai ketua. Semua cadangan aku diterima. Lagi dia marah apabila Cikgu Suhaimi memujiku dalam kelas.Cikgu Suhaimi sering jadikan aku sebagai murid contoh di dalam kelas. (Hlmn. 13).Justifykan

petikan ini.

Keyakinan diri ini juga dikaitkan dengan wujudnya konsep kendiri yang positif di mana Najwa tahu perasaan identiti peribadi yang dilihat pada dirinya sendiri. Najwa mengenali

dirinya sendiri di mana dia tahu kelebihan dan kelemahan diri. Mengikut Willian James, dalam buku Principles of Psychology (Maarof Redzuan, 2001) terdapat tiga aspek kendiri iaitu kendiri material terdiri daripada benda-benda yang dimiliki oleh seseorang seperti tubuh badan, keluarga, rumah dan sebagainya, kendiri sosial iaitu sebanyak mana orang lain mengiktiraf imej diri kita, dan ketiga kendiri rohaniah terdiri daripada keupayaan-keupayaan diri untuk mengalami dan merasai asal-usul alam, kesedaran dan keinsafan manusia.

Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)

Justifykan petikan ini.


Cikgu tahu Najwa dah pandai, tapi Najwa akan lebih pandai kalau rajin ba ca buku. Bila tahun enam macam Abang Syam, Najwa akan ambil UPSR. Kalau Najwa, Pandai, mesti dapat empat A. Najwa boleh masuk sekolah Asrama, nasihat Cikgu Rashidah. (Hlmn. 35)

Watak Najwa turut digambarkan sebagai individu yang suka dipuji. Pujian yang diterima oleh Najwa akan menjadikannya bersemangat untuk dia terus berusaha dan bersaing dengan orang lain secara positif. Pujian merupakan salah satu peneguhan positif. Selain pujian, setiap kali mencapai kejayaan Najwa akan diberikan hadiah. Hal ini boleh dikaitkan dengan Teori Pembelajaran. Ahli Behaviouris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan kenapa sesetengah tingkah laku ditunjukkan. Selain itu, tingkah laku juga dipengaruhi oleh trait-trait, bakat, nilai, kepercayaan, aspirasi dan sebagainya. (nyatakan sumber maklumat diperolehi) Menurut B.F. Skinner (tiada rujukan ini dalam bibliografi) melalui teorinya Pelaziman Klasik, proses pembelajaran melibatkan tingkah laku yang sengaja diulang pada masa hadapan bergantung kepada pengalaman dalam menghadapi sesuatu situasi. Peneguhan positif dan negatif diberikan bertujuan untuk menambah sesuatu tingkah laku yang diingini berulang. Peneguhan positif atau pujian yang diberikan oleh guru dan ayahnya mendorong Najwa mengubah tingkah laku atau sikapnya yang malas melakukan kerja sekolah dan membaca buku. Ini menunjukkan teori pelaziman yang operan mempengaruhi personaliti watak Najwa.

Justifykan petikan ini.

Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Abah tahu Najwa pandai. Tapi kalau Najwa baca lebih banyak buku, nanti Najwakan lebih pandai, kata abah lembut. (hlmn. 62) Aku buat kerja sungguh-sungguh. Aku mahu mama kata aku rajin. Aku mahu mama puji keran aku rajin. Lain kali aku boleh datang lagi. (hlmn. 149)

Malah, Najwa juga belajar sesuatu tingkah laku atau sikap melalui pemerhatian atau role model seperti teori Albert Bandura (pembelajaran melalui pemerhatian). Pemerhatian atau pembelajaran melalui orang lain merupakan satu kelebihan Najwa di mana Najwa pandai memilih apa yang betul dan apa yang salah. Bagi kanak-kanak seperti Najwa banyak perkara dipelajari melalui pemerhatian terhadap individu yang rapat dengannya. Kadang-kala individu itu dijadikan idola dan ingin dicontohi.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
suatu hari, aku mesti bantu pak long sekeluarga. Sekarang pun, abah sering bantu pak long. Abah beri duit, abah serahkan tanah pusaka arwah datuk untuk pak long kerjakan tanpa kenakan sewa. Abah juga pelihara Abang Hisyam.......(Hlmn. 148).

Mengikut Maimum Aqsha Lubis (2008), epistemologi Realisme berdasarkan falsafah pendidikan barat berpendapat bahawa semasa manusia lahir fikiran manusia adalah kosong dan manusia dikatakan belajar melalui pengalaman menggunakan deria mereka. Pengalaman itu kemudiaannya disimpan di dalam otak. Ini menunjukkan tingkah laku bukan sahaja boleh dipelajari melalui peneguhan, pemerhatian tetapi juga melalui pengalaman yang dialami.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Kenangan lama memang pahit untuk diharungi, Najwa. Tapi, manis untuk dikenang, tutur Abang Hisyam kemudiannya. Aku hanya mampu tersenyum kepadanya. Aku tahu, Abang Hisyam juga terlalu banyak menyimpan memori lama yang menyakitkan. (Hlmn. 256).

Najwa juga boleh digolongkan dalam kumpulan individu yang bijak pandai dan mempunyai

pelbagai kecerdasan. Di mana (tanpa kata "di mana" ini, tulisan lebih gramatis) Najwa bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga dalam kemahiran lain seperti menulis karangan, melukis dan sebagainya. Banyak hasil tulisan Najwa diterbitkan di dalam Dewan Pelajar.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Abah akan poskan panduan mewarna itu apabila pulang dari pejabat. Peti pos banyak di tepi jalan, abah hanya perlu hentikan kereta dan masukkan surat tersebut ke dalam peti pos sahaja. Setemnya sudah aku tampal siangsiang lagi. Abah selalu galakkan aku sertai pelbagai peraduan. Karangan juga abah suruh tulis. Sudah dua karanganku tersiar dalam majalah ini. ....(Hlmn 154).

Mengikut Teori Kepelbagaian Kecerdasan, Howard Gardner (cara tulis rujukan dalam teks, rujukan ini tiada dalam senarai bibliografi) menyatakan setiap individu mempunyai kecerdasan tersendiri. Kecerdasan merupakan kekuatan intelektual yang istimewa bagi seseorang individu. Mengikut Gardner lagi, terdapat lapan jenis kecerdasan iaitu bahasa, logikal-matematik, muzik, ruang, kinestetik interpersonal, intrapersonal dan semulajadi. Watak Najwa boleh dikatakan memiliki kecerdasan pelbagai. Di mana Najwa bukan sahaja bijak pandai dalam akademik atau logik matematik tetapi juga dalam bidang seni atau pandai melukis (ruang).

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Bila dapat guru yang baik, tentulah senang belajar. Cepat ingat. Balik rumah, aku tidak perlu lagi buat banyak latihan. Teknik melukis dan mewarna aku sudah faham dan ingat semasa di sekolah lagi. Setiap kali melukis, aku sering mendapat markah tertinggi. Tidak ada siapa boleh melawan kehebatanku melukis. Dalam peperiksaan, aku selalu dapat A. Tentulah aku sering dipuji di hadapan kelas..... (Hlmn. 19). Walau

bagaimanapun, kepandaian Najwa juga dikaitkan dengan faktor genetik atau biologikal. Kepandaian Najwa dalam melukis diwarisi daripada ayah kandungnya, Cikgu Ramli. Mengikut Rushon (1989), (tiada dalam bibliografi) menyatakan melalui teori kesamaan gen di mana kesamaan gen boleh menyebabkan individu atau mewarisi kemahiran yang sama. Gen boleh diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)Jom, mari
Cikgu lukis wajah Najwa, ajak Cikgu Ramli sambil bangun. (Hlmn. 227).Akhir sekali,

Najwa

digambarkan sebagai seorang yang berjimat cermat. Duit belanja yang diberikan oleh mamanya setiap hari ke sekolah di simpan di dalam bank. Malahan Najwa juga membawa bekalan nasi ke sekolah. Dia dan Siti Hajar bersaing untuk menambah jumlah simpanan di dalam bank.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Duitku dalam buku simpanan sudah banyak. Semenjak tadika lagi aku mula menabung. Sekarang jumlahnya sudah melebihi lima ribu ringgit. Duit yang mama beri setiap hari aku simpan. Apabila hari raya pula, aku dapat menyimpan lebih banyak. (Hlmn. 14).

7.2 KELEMAHAN WATAKManakala kelemahan watak Najwa ialah dia kurang mendapat kasih sayang daripada ahli keluarganya semasa di rumah. Ibu bapanya sibuk bekerja sehingga mengabaikan kehendak Najwa yang memerlukan perhatian yang lebih. Najwa banyak menghabiskan masanya bersama orang gaji berbanding ahli keluarga sendiri. Pada usia semuda Najwa perhatian daripada kedua ibu bapa adalah penting. Mengikut Bee. H & Boyd. D (2006), risiko berlakunya konflik antara ibu bapa dan anak yang meningkat remaja adalah tinggi. Ini kerana berlaku kesukaran untuk ibu bapa mengekalkan perhatian kepada anak yang meningkat remaja.

Selain itu, kekurangan perhatian juga dibuktikan melalui teori Hierarki Keperluan Maslow. Di mana keperluan manusia disusun mengikut keperluan. Terdapat lima peringkat keperluan Maslow iaitu keperluan fisiologi, keselamatan, sosial, harga kendiri dan keperluan penyempurnaan kendiri. Watak Najwa boleh dikatakan kurang dari segi keperluan sosial iaitu keperluan untuk mempunyai dan dipunyai, mengasihi dan dikasihi, memberi dan menerima serta bersama dengan orang lain.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Aku mendongak memandang muka abah memohon simpati. Aku mahu abah tahu aku rasa sunyi di rumah. Aku cepat bosan bila belajar sendirian. Aku tidak suka suasana begitu. Aku mahu kawan untuk berbual. Aku mahu kawan untuk bergurau dan ketawa. Aku juga perlukan kawan untuk bermain. (Hlmn. 63).Kelemahan

Najwa

yang paling utama ialah degil atau suka bertindak tanpa memikirkan kesan yang akan diterima. Setiap kali permintaan Najwa tidak ditunaikan atau ayahnya memungkiri janji Najwa akan memberontak. Mengikut Teori Psikoanalisis Sigmund Frued (1856-1939), (tiada dalam bibliografi. Tahun karya terbit yang ditulis, bukannya tahun hidup seseorang tokoh. Rujuk cara tulis rujukan dalam teks) perkembangan personaliti kanak-kanak terbahagi kepada tiga tahap utama iaitu id, ego dan superego. Watak Najwa boleh dikategorikan dalam tahap id. Id ialah desakan naluri yang mendorong manusia agar bertindak dan mendapatkan kepuasan tanpa mengambil kira risikonya, punca pada segala kehendak dan dorongan biologikal seseorang. Berbeza dengan perspektif Islam, M. Khalib Taib (tiada dalam bibliografi) menyatakan bahawa dalam pemikiran Islam manusia dipengaruhi oleh aql (akal atau akal-budi), qalb (kalbu), ruh dan nafs. Akal budi membolehkan manusia berfikir secara rasional dan nafs mendorong manusia berkelakuan baik. Psikologi Islam menjelaskan bahawa manusia perlu mengimbangi akal tetapi psikologi barat membenarkan manusia mengeksperasi dorongan seksual. Sikap Najwa yang suka memberontak dan mahu kehendaknya dituruti tidak kira apa cara yang digunakan tanpa memikirkan kesan pada dirinya.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Aku pergi juga ke sekolah sekalipun badan terasa lesu dan tidak bermaya. Semalam aku tidak makan. Pagi tadi juga tidak sarapan. Bekal yang Mak Nik siapkan aku tinggal atas meja makan. Duit yang abah beri juga aku biarkan atas meja makan, tanpa pengetahuan sesiapa. (Hlmn. 121).

Sikap degil Najwa juga mungkin boleh dikaitkan dengan persekitarannya. Najwa dibesarkan

dalam keadaan di mana semua kemahuannya akan dituruti. Dia belajar bahawa sekiranya dia melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh orang lain dia akan mendapat perhatian. Dia mungkin memberontak kerana inginkan perhatian kedua ibu bapanya.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)Sekarang
pun, mama tak sayangkan Najwa, aduku. Mana Najwa tahu? tanya Abang Hisyam. Mama asyik marah aja.. keluhku. Najwa selalu buat jahat. Kalau abang pun, abang marah juga. Tangan Najwa tak boleh diam. Kalau abang jadi mama, dah lama Najwa kena, marah Abang Hisyam. (Hlm. 47).

Selain itu, Najwa juga bersikap berdendam semasa kecil. Di mana setiap kali Ruhani membulinya Najwa akan membalasnya kembali. Ini kerana sikap egosentrik yang ada dalam diri kanak-kanak semasa kecil. Sikap egosentrik yang mementingkan diri sendiri yang menyatakan bahawa apa yang dikatakan sahaja betul dan orang lain salah. Menurut Maarof Redzuan & Haslinda Abdullah (2004), berdasarkan Teori Perkembangan Kognitif Piaget pada tahap pra-operasi kanak-kanak sukar untuk memahami pendapat serta pandangan orang lain, pemikiran mereka lebih berorientasikan konsep me, mine dan i.

Justifykan petikan ini. Wujudkan hubungan antara perenggan sebelumnya dengan petikan yang dibuat contohnya: Hal ini dipaparkan pengarang ini seperti yang dapat dilihat dalam petikan di bawah)
Sesekali, dia memang perlu diajar. Dia tu hanya tahu adu itu, adu ini pada Ckgu Ramli. Tentulah Cikgu Ramli dengar katanya sebab emak Si Gemuk tu kawan Cikgu Ramli, sahut Yana pula. Berselera dia makan mi gorengnya. (Hlmn. 14).

8.0 KESIMPULAN

Pada kesimpulannya, watak Najwa bergerak seiring dengan perkembangan usianya. Watak Najwa disesuaikan dengan perjalanan plot novel bagi menarik minat pembaca. Keadaan persekitaran, budaya dan nilai yang dipegang sedikit sebanyak mempengaruhi watak Najwa.

Watak Najwa banyak dihidupkan dengan bantuan watak-watak lain seperti Ruhani, Abang Hisyam, Cikgu Ramli, Rizal, Mak Nik, mama, ayahnya dan sebagainya. Watak-watak sampingan ini membantu menguatkan dan menonjolkan lagi watak Najwa. Pada pandangan pengkaji, watak Najwa lebih menonjol sekiranya sikap atau penerimaan Najwa terhadap ayah kandungnya semasa kecil digambarkan atau diceritakan. Penerimaan ayah kandungnya dapat menunjukkan sikap atau didikan kedua ibu bapa.

BIBLIOGRAFI /RUJUKAN Bee. H & Boyn. D. 2007. The Developing Child: Eleventh Edition. United State: Pearson Education, Inc.

Forster. E. M. 1987. Aspek-aspek Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ooi, Eng Lye. 2005. Novel Terpilih Shahnon Ahmad : Satu Kajian Pendekatan Gender. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Maarof Redzuan. 2001. Psikologi Sosial. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia. Maarof Rezduan & Haslinda Abdullah. 2004. Psikologi: Edisi Kedua. Universiti Putra Malaysia: McGraw Hill (Malaysia) sdn. Bhd.

Maharam Mamat. 2003. Andai Itu Takdirnya. Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn. Bhd.

Maimun Aqsha Lubis. 2008. Perbandingan antara Falsafah Pendidikan Barat dengan Falsafah Pendidikan Islam. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Jamil Mukmin. 2004. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Rohani Adbullah. 2002. Perkembangan Kanak-kanak. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Syed Othman Kelantan. 1985. Teknik Mengkaji Novel (Dalaman dan Luaran). Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd.

Talib Samat. 2006. Teknik Naratif Cerpen-Cerpen Shahnon Ahmad. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. http://ms.wikipedia.org/wiki/Protagonis http://schools.moe.edu.sg/rjc/subjects/malay/unsur%20-%20unsur%20sastera.htm http://yik.itgo.com/text/sek_berkesan.html http://cikguhalimah.googlepages.com/koleksiartikel2 Ulasan Secara keseluruhan: Kekuatan tulisan: 1. isi yang kuat disokong hujah yang bernas. Tulisan mampu mengaplikasikan teori yang diguna dengan lancar, baik dan menyeluruh. Tahniah! 2. Gaya bahasa yang menari. Pada bahagian tertentu masih lagi perlu ditambah baikkan terutama pada bahagian awal tulisan. 3. bibliografi yang baik walaupun masih perlu tambah banyak perkara. Kelemahan: 1. bibliografi 2. rujukan dalam teks 3. bahasa, ayat, perenggan dan penggunaan perkataan yang tidak sesuai pada bahagian awal tulisan. Terdapat penggunaan ayat yang mengandungi terlalu banyak perkara yang ingin disampaikan. Ayat jadi berbelit-belit, sukar difahami dan ada masanya berlaku salah faham atau perubahan maksud apabila ditafsirkan.

Langkah-langkah Membuat Kertas Kerja dan Tugasan Bertulis


Perkara asas yang paling mudah dilaksanakan apabila menyiapkan tugasan adalah antara seperti berikut;

1. Faham dan dalami tajuk.


Berbincanglah dengan ahli kumpulan yang lain berkaitan tajuk dan kehendak tajuk berkenaan. Pada masa ini anda perlu tahu sekurang-kurangnya; i. Tujuan kajian: apakah tujuan kajian dilakukan? Apa yang nak dikaji dalam kertas kerja itu, bukannya sebab apa kertas kerja itu ditulis.

Jika tajuk: Pelajar Wanita Lebih Cemerlang Berbanding Pelajar Lelaki di IPT Contoh Tujuan kajian: 1. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk melihat sejauhmana kebenaran bahawa pelajar wanita lebih cemerlang berbanding pelajar lelaki. 2. Kajian ini dilakukan untuk mencari sebab mengapa bilangan pelajar wanita lebih cemerlang dan ramai jumlahnya berbanding pelajar lelaki di IPT.

ii. Skop @ batasan kajian: apa yang difokuskan dalam kajian. Fokus ini akan menentukan arah atau batasan dalam tulisan. Contoh: Kajian ini hanya akan menumpukan tentang faktor-faktor yang mendorong pelajar wanita menjadi lebih cemerlang berbanding pelajar lelaki di IPT, khususnya UKM. Bermakna, kajian hanya menumpukan kes tersebut di UKM sahaja. Jadinya, apa-apa keputusan, dapatan dan kesimpulan dari kajian ini hanya relevan di UKM sahaja. Fokus lain yang boleh dilihat umpamanya;

mengkaji hanya kaum Melayu di UKM sahaja kaum Melayu di semua IPTA pelajar Melayu tahun satu di UKM sahaja.

iii. Kaedah kajian: nyatakan kaedah digunakan. contohnya; 1. Resensi kepustakaan: melakukan penyelidikan, mencari bahan dan data sama ada primer atau sekunder di perpustakaan, pusat sumber. Bahan-bahan terdiri daripada buku, artikel, jurnal, mikrofilem, filem, video, sumber internet dan sebagainya. 2. Mengedar soalan kaji selidik: menghantar set soalan kaji selidik, mengutipnya semula setelah diisi respondan dan melakukan analisis dengan menggunakan pogram tertentu. 3. Kajian makmal: melakukan uji kaji di makmal. 4. Temubual dan wawancara: menemui tokoh tertentu yang berkaitan dan menemubualnya, dan sebagainya. kaedah kajian boleh digabungkan semuanya atau sebahagian sahaja yang berkaitan.

2. Buat kerangka
Pastikan anda tidak pernah tertinggal untuk merancang dan merangka bagaimana bentuk tugasan berkenaan. Pada masa ini, anda perlu tahu bahagian-bahagian kertas kerja anda. Secara asas, setiap kertas kerja perlu mengandungi; 1. 2. 3. 4. Pengenalan Isi Kesimpulan Rujukan

Berdasarkan rangka asas ini, anda akan bentuk kerangka untuk kertas kerja anda. Saya nyatakan satu kerangka Ulasan Novel sebagai contoh seperti di bawah: Tajuk: Tanggungjawab Seorang Muslim dalam Novel Ayat-ayat Cinta i. Pengenalan Sila tulis pengenalan yang bersesuaian Tujuan kajian: Kajian ini dilakukan untuk menganalisis novel Ayat-ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy Skop @ batasan kajian: Kajian ini hanya akan menumpukan tentang tanggungjawab seorang Islam yang terdapat dalam novel Ayat-ayat Cinta. Kaedah Kajian: kajian ini menggunakan teks novel Ayat-ayat Cinta sebagai sumber utama. Resensi kepustakaan dilakukan bagi mendapatkan maklumat tambahan melalui rujukan yang terdiri daripada buku, artikel, jurnal, filem dan sumber internet. ii. Pemikiran Islam dalam Novel Ayat-ayat Cinta Senaraikan isi utama yang akan menjadi kajian utama dalam tulisan ini. 1. 2. 3. 4. 5. Tanggungjawab muslim untuk menuntut ilmu Tanggungjawab muslim kepada ibu dan keluarga Tanggungjawab muslim kepada diri sendiri Tanggungjawab muslim kepada jiran tetangga Tanggungjawab muslim kepada saudara seagama

iii. Kesimpulan iv. Rujukan/Bibliografi: gunakan sekurang-kurangnya Gaya UKM. v. Lampiran

3. Cari bahan rujukan


Setelah ada tahu apa yang ingin ditulis, skop dan tujuan kajian, tajuk-tajuk kecil serta pelbagai keperluan yang ada dalam tugasan berkenaan, anda boleh mula mencari bahan rujukan.

Sekiranya anda tidak mengetahui langsung tentang isu yang akan ditulis dalam kertas kerja berkenaan, anda perlu mencari bahan rujukan terlebih dahulu untuk mengetahui secara kasar gambaran awal topik berkenaan. Setelah itu, buatkan kerangka dan teruskan mencari maklumat semula.

4. Menulis kertas kerja


Apabila semua bahan rujukan sudah ada, anda sudah boleh menulis berdasarkan kerangka yang telah disiapkan. Anda juga berkemungkinan perlu ubahsuai kerangka pada tahap ini mengikut kesesuaian topik atau bahan rujukan yang ada.

5. Melakukan editing
Setelah kertas kerja anda siap, pastikan anda tidak pernah lupa untuk melakukan proses editing. Sila semak nota kuliah untuk mendalami apa yang perlu dilakukan dalam proses ini.

6. Binding dengan kemas


Sila binding dengan kemas (supaya tidak tercerai) sebelum hantar tugasan. Sekiranya perlu, anda juga boleh hantar bersama salinan kertas kerja dalam bentuk elektronik dalam CD atau disket sebagai back up jika diperlukan. Simpan juga salinan kertas kerja anda hingga satu semester sebagai rujukan sekiranya berlaku apa-apa perkara yang berbangkit dalam tempoh tersebut. Posted by maharam detik 5:14 PM Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook Labels: cara menulis kertas kerja, editing, membuat tugasan bertulis, mencari rujukan 4 comments:

zuerra_82 said... salam, puan saya pelajar PBJJ UKM di kuching, utk kertas kerja ni, boleh gak berkaitan ngan novel ke..or same jer antara ulasan novel ngan kertas kerja.saya masih keliru lagi ngan penulisan kertas kerja ni. November 21, 2010 at 4:13 AM

maharam said... Zuerra: secara dasarnya, inilah kerangka untuk buat kertas kerja (bukannya proposal. Penulisan poposal ada cara yang tersendiri). Namun begitu, setiap bahagian perlu disesuaikan dengan tajuk.

January 4, 2011 at 9:45 PM Razif Azlan Shah said... Tumpang tanya, apa maksud "sekurang-kurangnya buat rujukan gaya UKM" ? Saya belajar di UTHM Johor. Jadi saya tetap kena tulis rujukan guna gaya UKM ke? atau macam mana? October 18, 2012 at 6:53 AM maharam said... Sdr Razif Azlan: "Gaya UKM' digunakan untuk pelajar UKM. UTHM mempunyai gaya penulisan yang tersendiri, jadi sila gunakan gaya UTHM bagi anda yang belajar di UTHM. Walau bagaimanapun, gaya lain seperti MLA atau APA digunakan di seluruh dunia. Sekiranya anda gunakan salah satu drpada gaya ini, artikel anda boleh diterima di mana-mana termasuk di UTHM.

PERSURATAN BARU MEROMBAK KAEDAH LAMA DALAM ANALISIS DAN PENILAIAN KARYA KREATIF
Gaya Persuratan Baru: Mengapa Panel Anugerah Sastera Negara Perlu Dikritik Kemunculan gagasan Persuratan Baru (PB) memungkinkan terjadinya beberapa perubahan dalam menilai karya kreatif dengan tumpuan kepada konsep wacana dan cerita dan konsepkonsep lain yang dikemukakan dalam PB. Dilihat dari perspektif PB, penilaian Panel Anugerah Sastera Negara kelihatan ketinggalan zaman, keliru, dan tidak tepat dalam membuat penilaian. Mereka terlalu terpengaruh dan bergantung kepada teori Barat dan konsep-konsep yang digunakan di Barat. Walaupun mereka telah meletakkan diri mereka sebagai ahli waris sastera Barat, mereka perlu ingat bahawa mereka adalah anggota sebuah tamadun yang mempunyai nilai-nilai tersendiri, oleh itu tidak wajar jika mereka dengan sewenang-wenangnya mengetepikan nilai-nilai itu hanya kerana terlalu terikat kepada nilainilai sastera Barat.

Bagaimana kita boleh gunakan konsep-konsep lama seperti perwatakan, latar, dialog, plot, gaya bahasa dan seterusnya dalam PB? Contoh-contoh penggunaan konsep-konsep tersebut yang didapati dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara menunjukkan konsep-konsep lama itu tidak berkesan untuk menilai kualiti sebenar sesebuah karya. Laporan 1985, Laporan 2009, Laporan 1991 dan lain-lain laporan menekankan beberapa ukuran yang aneh dan tidak masuk akal. Dalam Laporan 1985, karya A. Samad Said dikatakan tidak mempunyai tema tertentu, tidak ada mesej, tidak didaktik, tidak menekankan aspek moral

dalam karya, tidak mencerminkan nilai-nilai dalam masyarakat, hanya menonjolkan kisah dan persoalan masyarakat bawahan yang miskin dan tertindas. Tetapi ditekankan oleh Panel, karya-karya itu bercirikan realisme, yang menurut Rene Wellek realisme yang difahami dan dipraktikkan di Barat adalah didactic, moralistic, reformist (Concepts of Criticism, hal. 253). Jika Panel ingin mengubah makna dan konsep realisme sekali pun, kita perlu diberitahu mengapa perubahan itu perlu dilakukan untuk menilai karya Malaysia, terutama sekali karya A. Samad Said. Dalam keadaan yang ada, adalah lebih tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa Panel sebenarnya amat keliru tentang maksud realisme itu. Oleh itu ukuran yang mereka gunakan tidak masuk akal dan bertentangan dengan nilai-nilai maksiat yang ditonjolkan dalam karya-karya A. Samad Said, misalnya dalam Langit Petang yang didakwa oleh penulis sendiri bertujuan untuk mendedahkan bagaimana watak-watak yang ditonjolkan memberi erti kepada kehidupan mereka, dengan misalnya watak utama wanita dalam novel itu ingin membalas dendam dengan menyerahkan dirinya disetubuhi oleh tak kurang dari 18 orang lelaki. Tidakkah ini sejenis didaktisisme yang paling negatif dan paling ekstrem? Dalam Laporan 2009, kehadiran eksperimen yang dikaitkan dengan kelainan, simbolisme, eksistentialisme dijadikan ciri yang menentukan berjaya atau gagal sesebuah karya; dan di sini Anwar Ridhwan dikatakan menyerlahkan semua aspek itu, yang membuat karyanya bernilai tinggi dan menjadi jalur penting dalam perkembangan sastera Malaysia. Contoh yang ditonjolkan ialah cerita pendek Dunia Adalah Sebuah Apartmen, yang mengisahkan perzinaan manusia moden yang mempunyai gaya hidup bebas yang amoral. Dalam Laporan 1991, Panel tidak berjaya mengesan kepincangan idea dalam sajak Pulang Si Tenggang, yang diiktiraf sebagai sebuah sajak bermutu tinggi kerana penulisnya dengan berani mengaku dirinya seorang Si Tenggang moden yang sudah berubah daripada Si Tenggang dalam legenda yang menderhaka kepada ibunya. Panel tidak dapat mengesan bahawa sajak ini adalah sejenis penderhakaan kepada nilai-nilai tradisi Melayu yang meletakkan kesantunan dan ketaatan kepada ibu bapa di tempat tertinggi. Pensajak telah mengaku dengan lantang dan bangga bahawa dia kini sudah belajar jadi kurang ajar setelah mendapat pendidikan di Barat. Tidakkah ini tidak lain daripada sejenis penyelewengan moral? Bagi Panel, perubahan seperti inilah yang menjadi tanda terdapatnya peningkatan ilmu, pengalaman ilmiah, dan nilai-nilai baru masyarakat moden, yang semuanya mesti diterima dengan hati terbuka kerana nilai-nilai itu menggambarkan kemajuan berfikir manusia moden. Pandangan begini tetap salah, terang-terang salah, kerana ia meletakkan manusia setaraf dengan binatang, boleh melakukan apa saja seperti dalam cerita pendek Anwar Ridhwan; atau dalam novel Langit Petang yang begitu dangkal tetapi dianggap

bermutu oleh Panel kerana mereka tidak mementingkan salah atau benar sesuatu tindakan seperti yang dilakukan oleh watak perempuan Melayu dalam novel itu. Kita harus waspada tidak saja dengan sikap kritis membaca penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi harus lebih waspada lagi menilai pendirian mereka yang boleh dikatakan tidak bermoral apabila mereka menolak aspek moral dalam karya kreatif, dengan itu membela karya picisan A. Samad Said.

Persuratan Baru mempunyai cara yang berbeza untuk menentukan kejayaan sesebuah novel, misalnya dengan meneliti apakah novel itu mempunyai paksi naratif yang jelas atau tidak (tentang aspek ini rujuk tulisan Prof. Madya Dr. Zariat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, bab 8), penggunaan ruang naratif, penggunaan wacana dan cerita, stylization of ideas, dan sebagainya. Paksi naratif menentukan cara tema dan mesej dikonsepsikan dan dibina dalam cereka. Ruang naratif menentukan bagaimana wacana dan cerita digunakan dalam membangunkan struktur novel. Plot jika dilihat dalam konteks ini tidak lagi secara kronologi atau tidak, tetapi bagaimana diisi berasaskan kefahaman tentang wacana dan peranan cerita yang ditentukan oleh wacana. Penggunaan stylization of ideas pula memperhalus makna yang ingin disampaikan, dengan meletakkan konflik bukan dalam bentuk kasar (seperti pergaduhan dan sebagainya), tetapi dalam bentuk pemikiran dan tarbiah (lihat penjelasan Prof. Ungku Maimunah dalam Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, hal. 121-124). Eksperimen, kelainan, dan sebagainya yang dijadikan ukuran penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara, hanya bermakna jika semua itu dilihat dalam konteks menyampaikan ilmu yang benar melalui penggunaan wacana dan cerita. Kalau hanya sekadar bereskperimen hanya untuk mencari kelainan sebagai kelainan semata-mata, maka arahnya tidak terfokus, boleh apa saja. (Contoh: mengangkat perzinaan sebagai tema besar dalam karya A. Samad Said, Anwar Ridhwan dan lain-lain; menerima kepincangan idea dalam sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh seperti ditegaskan di atas).

Dalam konteks ini, cara lama yang dipungut dari teori atau kaedah Barat tidak saja tidak sesuai, tetapi tidak dapat digunakan dengan meyakinkan kerana tidak terdapat cara mengukur konsep-konsep itu dalam analisis. Sebagai contoh, bila dikatakan plotnya kemas, beraneka ragam, banyak sub-plot dan sebagainya, maka apakah maksud kemas, aneka ragam, banyak sub-plot itu? Mengapa semua itu dijadikan ukuran untuk menentukan kejayaan novel? Adakah ukuran itu tepat? Bila diuji dengan konsep-konsep yang dipakai dalam PB, ternyata ukuran lama itu sangat lemah. Sebagai bukti, analisis Dr. Zariat terhadap novel Melati Kota

Bharu dan Prof. Ungku Maimunah terhadap Salam Maria menunjukkan dengan meyakinkan bagaimana penilaian cara lama kedua-dua buku itu tidak dapat dibaca dengan betul, oleh itu Melati Kota Bharu dan Salam Maria diberi penilaian yang tidak tepat dan tidak meyakinkan, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Madya Dr. Zariat dan Prof. Ungku Maimunah dalam makalah mereka (dapat dibaca dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteran dan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).

Seterusnya: Apakah maksud perwatakan? Dalam PB, perwatakan dilihat daripada perspektif taklif, oleh itu manusia yang dijadikan watak terikat kepada konsep itu. Penulis yang menulis tentang seorang pelacur, atau perasuah, jika dilihat dalam konteks taklif, akan berbeza caranya jika hanya dilihat dalam realisme biasa atau realisme magis. Perbezaannya: pengarang yang menulis dari perspektif taklif, ketika menulis tentang kisah seorang pelacur, tidak meletakkan pelacuran sebagai tema besar (seperti yang dibuat oleh Samad Said), tetapi sebagai satu gejala masyarakat. Oleh itu, penulis akan menghuraikan masalah masyarakat dengan mendalam yang membawa kepada pelacuran. Misal: Malaysia membawa masuk ramai gadis-gadis luar untuk belajar, mereka gunakan kesempatan itu untuk menjadi pelacur. Adakah sistem pelajaran menggalakkan pelacuran? Adakah sistem kapitalis berasaskan sifat tamak untuk dapat keuntungan cepat menjadi sumber masalah? Adakah pentadbiran negara menjadi sumbernya? [Kerana tidak kemas dari segi penapisan pendatang, dan sebagainya]. Jadi: menjadi pelacur bukan kerana hidup susah, atau kerana hendak cari rezeki, tetapi kerana mencari kemewahan dengan cara mudah kerana banyaknya terdapat peluang membuat maksiat di Malaysia dengan bertambahnya rumah urut, hotel sederhana murah dan yang seumpamanya. Perempuan yang mudah dibawa masuk ke Malaysia kerana

berleluasanya rasuah dalam segenap sektor pentadbiran dan dalam sistem politik yang mendukung rasuah, menggunakan kesempatan itu untuk mendapat kemewahan dengan secara mudah. Seterusnya, mengapa seseorang jadi korup? Adakah sistem politik dan pentadbiran menggalakkan orang jadi korup? Dalam sistem politik demokrasi yang diamalkan di Malaysia, pihak berkuasa menggalakkan rakyat menerima rasuah dengan mengajar mereka bagaimana hendak melakukan rasuah dengan memberi mereka wang dan sebagainya waktu pilihan raya untuk mempengaruhi mereka supaya mengundi kerajaan sedia ada; sehingga orang tidak segan dan tidak takut untuk menerima rasuah kerana datang dari kerajaan sendiri dengan sokongan kerajaan secara terang-terangan. Dengan itu dalam masyarakat yang dikatakan maju itu, tidak ada lagi rasa jijik kepada kejahatan, malah digalakkan. Dan ini kita lihat setiap saat di kaca TV, mengajar penonton menjadi jahat

melalui filem, drama, program hiburan yang biadab dan sebagainya. Kita lihat fasal keruntuhan moral pula: Cara Shahnon Ahmad dalam TIVI terlampau dangkal dan didorong oleh kemahuan untuk melariskan jualan buku dan untuk memuaskan kegemaranya kepada unsur seks dalam penulisan novel (yang dilihatnya, menurut pengakuannya sendiri, sebagai umpan untuk menarik minat pembaca). Banyak contoh dari novel-novel dan cerita pendeknya mengarah kepada kesimpulan ini.

Jika perwatakan dilihat dari perspektif taklif ini, maka yang dipilih ialah watak yang kuat, yang boleh dijadikan contoh. Perkara buruk dan maksiat masih boleh diberi tempat, tetapi bukan menjadi tema utama, hanya sebagai bukti bagaimana watak yang liar dan tidak terikat kepada taklif akan bertindak. Dengan menggunakan konsep taklif, kita dapat membuat penilaian yang saksama dan tepat terhadap watak-watak dari drama Shakespeare sekali pun: Apakah dorongan yang membuat watak-watak itu bertindak seperti yang mereka lakukan? Dengan satu soalan yang mudah ini, kita dapat menilai, dari pandangan taklif, bagaimana watak-watak tadi dibina dan apakah nilai-nilai hidup mereka yang mendorong mereka melakukan sesuatu. Sama ada penilaian kita diterima atau dibantah oleh para sarjana Barat, tidak penting, kerana mereka mempunyai tujuan tertentu dalam membuat penilaian. Bagi kita yang penting ialah makna daripada perlakuan watak-watak itu dalam kehidupan berasaskan taklif; jika perkara ini difahami dengan mendalam, kita masih boleh menikmati karya berkenaan, tetapi dalam konteks taklif seperti yang cuba dijelaskan di sini. Kita tahu meletakkan diri kita dan kita pun dapat memberi tafsiran yang tepat dan adil kepada karya tersebut. Betapa pun hebatnya Shakespeare bagi orang Barat, dan betapa bersungguhsungguhnya mereka membenteng kehebatan Shakespeare daripada kritikan (ingat saja, misalnya, kata-kata William Hazlitt: If we want to know the force of human genius we should read Shakespeare. If we wish to see the insignificance of human learning we may study his commentators.), seorang yang mendalam fahaman taklifnya dan kenal pula sejarah tamadun agamanya, tidak saja tidak terpesona dengan the genius of Shakespeare (apatah lagi jika dia tahu komentar Annemarie Schimmel 1991 di ISTAC, yang berkata Shakespeare dan Goethe, adalah anak-anak bermain guli jika dibandingkan dengan gergasi sebenar Jalaluddin Rumi), malah dia akan lebih bersikap kritis menapis makna daripada drama-drama penulis besar Inggeris itu dengan penuh kesedaran akan sumber drama-drama itu dari mitos dan sejarah Roman yang betapa pun hebat, telah dikalahkan oleh Islam dengan hanya satu kalimah tauhid dan seruan Allahu Akbar. Tetapi anda hendaklah berilmu untuk sampai ke taraf seorang sarjana seperti Annemarie Schimmel itu.

Bagi kita yang melihat dari perspektif taklif, kita menghuraikan perilaku manusia dalam cerita drama sekali pun seperti yang dihuraikan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin. (Keterangan terperinci dalam Abul Quasem, The Ethics of Al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (Bangi 1975); Muhammad Umaruddin, The Ethical Philosophy of Al-Ghazzali (Lahore 1962). Dengan itu orang Islam mendapat manfaat daripada bacaannya, dan dapat melihat kepalsuan ilusi dalam karya sastera. Dalam teori dan analisis sastera Barat, ilusi memainkan peranan penting, kerana di situlah kejayaan pengarang diukur: sejauh mana pengarang telah dapat menipu pembaca/penonton melalui karyanya, sehingga melahirkan keinsafan dalam bentuk katharsis seperti yang disebut oleh Aristotle. Keinsafan itu jauh berbeza daripada kesedaran taklif yang dialami oleh pembaca/penonton Islam. Kesedaran tadi bersifat kerohanian; manakala keinsafan pula dikaitkan dengan penikmatan seni yang bersifat sementara yang berasaskan emosi yang terganggu sekejap. Sebaliknya, tidak ada gangguan emosi dalam kesedaran yang bersifat kerohanian berteraskan kesedaran taklif tadi: malah kesedaran itu akan membuatnya lebih mengerti makna kehidupannya sebagai manusia yang menjadi hamba Allah dan khalifah di dunia, dua tugas yang sentiasa berada dalam perhatiannya. Dilihat dari perspektif ini, seorang pembaca Islam yang faham aspek taklif dalam kehidupannya, boleh membaca apa jenis karya sekali pun: dia tetap mendapat faedah yang sewajarnya kerana dia telah betul-betul memahami tiga rahsia taklif seperti yang dijelaskan oleh Shah Wali Allah. Di sinilah pentingnya difahami mengapa karya kreatif perlu dibahagi dalam tiga kategori: karya persuratan, karya sastera; dan karya picisan/erotik. Ketiga-tiga jenis karya ini mempunyai tumpuan atau fokus yang berbeza: karya persuratan mengutamakan wacana yang bersifat ilmu (ilmu yang benar); karya sastera mengutamakan cerita yang bersifat sensasi; karya picisan/erotik pula tidak saja mengutamakan cerita yang bersifat sensasi, tetapi menumpukan perhatian yang berlebihan kepada aspek seksual untuk keseronokan hawa nafsu. Jika kita meneliti pandangan Panel Anugerah Sastera Negara dalam penilaian mereka, dua jenis karya terakhir itu setaraf, kerana kedua-duanya tidak mengutamakan moral, tidak didaktik dan sebagainya. Tetapi di sini pun terdapat kontradiksi: bagi Shahnon Ahmad, sesebuah karya erotik seperti TIVI boleh diangkat menjadi karya mithali (karya Islam) kerana terdapat pengajaran di akhir cerita erotik tadi. Caranya, kata beliau, dengan menggunakan al-Quran sebagai hujah, melalui apa yang disebutnya ayat azab. Tetapi semua ini hanya sejenis ilusi yang mengelirukan, digunakan untuk menghalalkan karya erotik yang jelas nyata bertentangan dengan cara Islam bercerita di dalam Al-Quran. Jika kita menggunakan analogi Plato, kita boleh berkata Shahnon Ahmad

berada di dalam gua menayangkan ceritanya, dan berkata itulah realiti pun (menggunakan pun begini adalah gaya khusus Shahnon Ahmad).

Prof. Rahman Shaari memberikan kepada kita penjelasan yang menarik tentang perkara ini dalam sebuah tulisan beliau, yang dilihat dari perspektif sastera Barat. Saya ingin mengutipnya kerana ia memberi gambaran sebenar tentang maksud dan makna kesusasteraan yang difahami dan dipraktikkan oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Kata Prof. Rahman Shaari: Karya kesusasteraan ialah karya yang memuatkan isi bud aya dan isi peribadi (kepercayaan, tingkah laku, fikiran dan perasaan), dicipta oleh orang yang berbakat dalam seni berbahasa, terhasil akibat dorongan dalaman. Aspek penting dalam definisi ini ialah ungkapan terhasil akibat dorongan dalaman. Inilah pandangan Sigmund Freud, yang memang disebut oleh Rahman Shaari. Inilah pandangan dan pendirian Barat, yang menerima psikologi Freud sebagai hujah yang berwibawa, meskipun apa yang dianjurkan oleh Freud dalam psikologinya masih bertaraf andaian, bukan lagi teori (hakikat ini diakui oleh ahliahkli psikologi Barat sendiri, terutama yang menentang pendapat Freud). Dalam penjelasan yang diberikan oleh Imam Ghazali, yang berasaskan ajaran Islam, apa yang disebut sebagai dorongan dalaman itu tidak lain daripada dorongan hawa nafsu rendah manusia. Dalam penjelasan Rahman Shaari, ditegaskan dorongan dalaman itu boleh apa saja, boleh jadi mimpi yang sering dialami, cerita yang dibaca dalam akhbar (Rahman Shaari berkata dia menulis sebuah cerita pendek tentang perempuan Islam yang bergelar ustazah berlaki dua setelah membacanya dalam akhbar), atau apa saja yang boleh menggoda dorongan dalaman untuk dijadikan karya kreatif. Seterusnya kata beliau: Karya kesusasteraan terhasil akibat daripada desakan atau dorongan psikologi sasterawan, tanpa meletakkan ilmu (atau hasrat untuk mendidik) di tempat utama. Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu secara yang ketara dianggap karya didaktik. Karya sastera absurd, psikologikal, eksistensialistik dan lain-lain, akan ditinjau mengikut kriteria dalam pelaksanaan kesenian karya itu sendiri, bukan berasaskan nilai murni, ilmu dan lain-lain yang diputuskan melalui pemikiran pendidikan. (Sinar Harian, 5 Jun 2011). Penjelasan Rahman Shaari adalah penejalasan yang kita temui dalam buku-buku kritikan sastera Barat. Karya sastera adalah autonomous, satu pendirian yang pada umumnya sudah ditolak di Barat sendiri, tetapi masih menjadi pegangan para sarjana dan penilai Malaysia. Kasihan pelajar universiti yang belajar sastera di bawah pensyarah dan profesor sastera yang masih berpegang kepada pendirian yang sudah ketinggalan zaman ini. Itulah sebab utama mereka tidak kritis, dan sangat tumpul hujahnya apabila membicarakan

sesuatu karya, termasuk pelajar tahun empat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Seterusnya Prof. Rahman Shaari menegaskan: Karya kesusasteraan bermula daripada idea dan hasrat berkarya yang tidak boleh ditahan-tahan. Perkara yang utama ialah kreativiti. Pendeknya, karya kesusasteraan bertujuan untuk bercerita, yang di dalam tradisi tradisional Melayu, dinamakan penglipur lara. Dilihat dalam konteks bercerita ini, karya kesusasteraan adalah sejenis penglipur lara yang sudah disesuaikan dengan kaedah dan teori Barat. Tetapi asasnya, dalam tradisi Melayu, masih tetap penglipur lara: hanya untuk bercerita, dan terhibur (bagi pembaca atau pendengar). Bagi pengarang/penulis pula, karya kesusasteraan adalah gambaran individualisme penulis yang menjeritkan aku ini binatang jalang; dari kumpulannya terbuang; atau laungan nyaring aku sudah belajar/ jadi kurang ajar setelah pulang dari perantauan mencari ilmu. Itulah dorongan bersifat kreativiti yang disebut oleh Prof. Rahman Shaari.

Prof. Rahman Shaari telah merumuskan pendirian Panel Anugerah Sastera Negara dengan baik sekali, dan ini dilakukannya tanpa meneliti dan merujuk kepada apa-apa laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Pengakuan beliau bahawa karya kesusasteraan tidak perlukan ilmu, tetapi perlukan cerita, adalah pengakuan penting yang menerima dan membenarkan penegasan Persuratan Baru bahawa karya sastera itu didorong oleh luahan perasaan atau emosi yang berkobar-kobar yang dialami oleh sang sasterawan. Di mana terletaknya pemikiran? Adakah emosi juga sejenis pemikiran? Inilah dua pertanyaan yang benar-benar membingungkan para sarjana sastera, pengkritik dan para sasterawan sendiri. Jawapan yang diberikan dengan mudah ialah cerita itu sendiri adalah pemikiran, oleh itu emosi dan pemikiran adalah sama dalam pengertian para sasterawan. Di sinilah pentingnya konsep wacana itu dibawa masuk ke dalam perbincangan, dengan membezakan peranan cerita dan wacana dalam analisis sesebuah karya kreatif. Penekanan kepada aspek wacana inilah yang melahirkan karya persuratan, yang membezakannya daripada karya sastera. Dengan itu pemikiran yang bersifat ilmu tidak sama dengan cerita yang bersifat emosi. Tidak pasti sama ada Rahman Shaari menerima hakikat ini. Tetapi inilah katanya: Karya persuratan yang dimaksudkan oleh Mohd. Affandi Hassan ialah karya yang meletakkan ilmu di tempat utama, dan cerita dikebelakangkan. Dengan definisi yang mengarah ke situ, karya kesusasteraan akan terlihat kurang murni (berada di bawah karya persuratan), kerana karya ksusasteraan terhasil akibat daripada desakan atau dorongan psikologi sasterawan, tanpa meletakkan ilmu (atau hasrat untuk mendidik) di tempat utama. Dalam tahun 2007, selepas mendengar syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Prof. Rahman Shaari menulis satu

komentar di Mingguan Malaysia (tarikh tak pasti) yang menyesali adanya perbezaan antara karya persuratan dan karya sastera, padahal adalah lebih baik dan tidak menimbulkan masalah, kata beliau, jika kedua-duanya diletak staraf!

Dalam konsep catharsis yang membingungkan seluruh pemikiran Barat tentang peranan sastera, luahan emosi itu lebih ditekankan kepada penonton yang menonton tragedi. Adakah konsep catharsis sama dengan konsep pengsan yang terdapat dalam estetika tradisional Melayu yang mengatakan sesuatu cerita itu begitu mempesona dan menggetarkan perasaan pendengar (penglipur lara) sehingga yang mendengar itu jatuh pengsan, tidak tertahan lagi menderita kesedihan atau kemarahan. Tetapi pengsan adalah kesan dari catharsis yang dialami oleh orang Melayu setelah mendengar cerita yang sedih-sedih yang terlalu memilukan hati yang sentiasa rusuh. Dalam konteks estetika Melayu lama, keadaan ini lebih dekat dengan pengaruh pemujaan ruh dalam ajaran Hindu, seperti yang terjadi dalam Main Puteri (dalam cerita Dewa Muda) dan Wayang Kulit (dalam cerita Sang Kaki Betara Kala). Cuma yang pengsan di sini ialah Tuk Minduk atau Dalang. Perkara ini dibawa dalam perbincangan ini untuk menyokong pendapat Prof. Rahman Shaari betapa pentingnya emosi dalam pembinaan cerita, dan inilah sifat utama karya sastera. Tetapi jika kita memakai pendekatan Kritikan Baru, semua ini adalah karut, tidak masuk akal, dan bertentangan dengan sifat sastera yang tidak bergantung pada pembaca untuk hidup, tetapi bergantung pada diri karya itu sendiri yang autonomous. Unsur-unsur intrinsik yang berada dalam karya itulah yang menghidupkannya; dan unsur-unsur inilah yang kekal abadi, yang membuat karya itu boleh difahami sepanjang masa; yang berbeza hanya tafsiran semata-mata, bukan hakikat karya itu yang utuh dan tidak boleh dipecah-pecah. Pandangan inilah yang mendorong cerdik pandai Barat mengatakan sastera itu lebih penting daripada agama, lebih penting daripada filsafat, malah lebih penting daripada kehidupan itu sendiri (kerana kehidupan manusia sentiasa berubah). Pandangan ini pun terdapat juga di kalangan sarjana atau sasterawan Malaysia yang mempertahankan keutuhan karya sastera sebagai simbol nilainilai kemanusiaan yang tidak terikat kepada pandangan agama atau tidak boleh ditundukkan kepada apa-apa ideologi. Inilah kekeliruan dalam konsep ilmu yang paling besar yang menjadi cabaran utama kepada Persuratan Baru. Kerana terdapatnya kepercayaan karut yang mirip kepada ideologi Jahiliah ini, maka orang-orang yang mempercayainya tidak boleh menerima Persuratan Baru kerana mereka sedar kedudukan mereka dalam gua ilusi yang diceritakan oleh Plato itu akan tergugat dan mungkin boleh dihanyutkan ke laut seperti orang

Melayu pernah menghanyutkan ancak ke laut ketika mereka masih dicengkam pengaruh Hindu.

Panel Anugerah Sastera Negara telah melaksanakan kerja mereka selama lebih dari 30 tahun dengan menggunakan kaedah dan teori Barat yang tidak difahami dengan mendalam, seperti yang ditunjukkan di atas. Kritikan ini kedengaran agak angkuh, seolah-olah semua yang dibuat oleh pakar yang menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara itu salah belaka. Tentu saja tidak semua usaha mereka sia-sia; sekurang-kurangnya mereka telah merasmikan penggunaan teori dan kaedah sastera Barat dalam menilai karya-karya Malaysia. Memang terdapat kelemahan dan kekeliruan, tetapi ini tidak bermakna mereka gagal sepenuhnya untuk menilai dengan saksama tokoh-tokoh sastera yang mereka pilih. Namun kita harus mengakui, kelemahan mereka yang paling ketara ialah mereka meninggalkan sepenuhnya nilai-nilai budaya Melayu yang berteraskan Islam, kerana terlalu ghairah (sering kali agak gelojoh) dengan teori sastera dan nilai-nilai sastera Barat. Wajarkah kita bersikap lunak dengan berkata, usaha mereka membawa masuk dan merasmikan teori dan nilai-nilai Barat dalam sastera Melayu moden itu telah memperkayakan teknik penulisan kreatif kita? Dari satu aspek, dari aspek teknik dan gaya, mungkin andaian ini betul. Tetapi dari aspek lain, terutamanya dari aspek perkembangan ilmu dan pemikiran, mereka nampaknya telah gagal secara total. Tindakan mereka telah melenyapkan sama sekali peranan persuratan dalam pembinaan tamadun Melayu, yang telah wujud sekian lama. Dan ini

mendatangkan mala petaka yang sangat besar, iaitu berleluasanya karya-karya sastera yang tidak lagi berteraskan pemikiran Islam seperti yang terdapat dalam persuratan Melayu, dengan itu masuklah ke dalam bilik-bilik darjah dan bilik-bilik kuliah di universiti novelnovel picisan atau paling baik novel-novel yang kering dari segi pemikiran dan nilai-nilai Islam. Yang berpesta riang riuh dalam bilik darjah dan bilik kuliah ini ialah suara lantang teori dan kaedah Barat yang menolak sama sekali apa pun juga aspek keagamaan (bukan hanya agama Islam) dalam pembinaan ilmu. Bolehkah nilai-nilai Islam dihuraikan melalui teori dan kaedah sastera Barat?

Apakah pendirian kita sekarang? Orang-orang yang menyokong Panel Anugerah Sastera Negara berkata, mereka telah menjalankan tugas mereka dengan berjaya, lalu menunjukkan bukti bagaimana tokoh-tokoh yang mereka lantik sebagai sasterawan negara terbukti sangat hebat dan tidak tertandingkan oleh sasterawan lain yang tidak terpilih. Sekali imbas kesimpulan itu menyeronokkan para penyokong dan sasterawan negara sendiri; tetapi rekod

yang ada, yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri melalui seminar tentang pemikiran para sasterawan negara, menunjukkan sebaliknya. Sukar sekali mencungkil nilainilai pemikiran bernas yang terserlah jelas dalam karya para sasterawan negara ini. Lebih banyak dipakai beberapa pendekatan Barat untuk hanya menunjukkan karya-karya itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai teori dan pendekatan sastera Barat; tetapi tidak pemikirannya walaupun tajuk seminar itu tentang pemikiran para sasterawan negara. Saya telah mengulas perkara ini dalam banyak tulisan saya, jadi tidak perlu diulang di sini. Saya hanya ingin berkata, dalam aspek ini, ternyata terdapat jurang yang amat luas antara penilaian Panel Anugerah Sastera Negara dengan realiti yang terdapat di dalam karya para sasterawan negara ini. Jurang ini tidak nampak dalam kedudukan mereka yang selesa di bawah payung sastera Barat; tetapi sebaik saja payung itu diambil dari tangan mereka, barulah mereka sedar bahawa terdapat payung yang lebih besar yang sepatutnya mereka gunakan untuk memayungi perkembangan persuratan Melayu. Payung itu ialah pendekatan tauhid, yang boleh menyambung kehidupan mereka dari yang fana kepada yang kekal abadi. Di bawah payung teori sastera Barat, hubungan dan kaitan ini tidak ada; oleh itu apabila persoalan ini dibawa kembali ke dalam persuratan Melayu moden, maka ramailah orang yang berasa asing, sehingga tidak boleh menerimanya. Hujah mereka yang paling lemah (kerana memang tidak ada hujah yang kuat) ialah sastera harus difahami dalam konteks sastera, bukan dalam konteks teologi. Sekarang barulah jelas kekeliruan mereka, yang meletakkan sastera begitu tinggi sehingga mengatasi faham agama mereka sendiri. Sejauh itu mereka bergantung pada teori dan kaedah sastera Barat, hanya untuk memastikan para sasterawan itu terdiri daripada tokoh-tokoh penting negara, meskipun dari segi pemikiran sumbangan mereka hampir tidak ada. Bagaimana kesimpulan ini boleh difahami? Saya selalu menggunakan Iqbal sebagai contoh, kerana tokoh besar ini memang dikenali di Malaysia sejak sekian lama. Melalui contoh ini, kita boleh faham dengan mudah maksud pemikiran dalam penulisan kreatif. Iqbal melalui karyanya jelas sekali teras pemikirannya, iaitu untuk membina peribadi Muslim yang kuat, sehingga (dalam ungkapan beliau sendiri) sanggup merenggut langit angkasa. Tidakkah itu ungkapan yang amat hebat yang hanya boleh lahir daripada seorang yang benarbenar faham maksud tauhid dan konsep taklif dalam kehidupan dan penulisan seorang Muslim? Apakah kuncinya? Cinta Ilahi; dan ini termasuk cinta kepada Muhammad Rasulullah s.a.w. Ertinya yang paling mudah: menghidupkan Islam dalam karya kreatif.

Selepas kita memahami masalah yang kita hadapi, maka kita perlu mencari cara mengubahnya. Itulah matlamat gagasan Persuratan Baru. Dan tugas gagasan Persuratan Baru

yang paling penting pada waktu ini ialah menilai semula sumbangan para sasterawan negara ini, bukan untuk menghumban mereka ke dalam gaung sejarah, tetapi untuk meletakkan mereka pada tempat yang layak diduduki mereka. Tetapi nampaknya inilah yang dibantah dan ditentang oleh kebanyakan sarjana, pengkritik dan sasterawan sendiri. Sementara mereka menerima dengan senang hati, malah dengan perasaan megah dan cukup terbuka, untuk dinilai dari mana-mana sudut mana-mana teori sastera dan pendekatan Barat, mereka tidak boleh terima pendekatan Persuratan Baru. Di sinilah terjadi kontradiksi, hasil dari kekeliruan mereka tentang konsep ilmu. Apabila ada di antara mereka, misalnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Tokoh Akademik Negara) dan Prof. Dr. Zawiah Yahya (pakar teori postcolonial), yang masing-masing berkata, kita telah lama melakukan kesalahan kerana menggunakan teori Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, atau yang menegaskan, we need to approach a text with our own cultural schema to interpret, maka mereka seolah -olah berhujah Persuratan Baru bukanlah teori sastera, tetapi teori persuratan, oleh itu tidak kena mengena dengan karya kesusasteran, lantas tidak boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya kesusasteraan. Adakah ini sejenis lawak jenaka, atau satu pandangan filsafat yang paling melucukan? Anda boleh membuat pilihan anda sendiri.

Mohd. Affandi Hassan, 16 Julai 2011.

Posted by Mohd Affandi Hassan at 11:44 PM No comments: Post

SARJANA DAN PENGKRITIK SASTERA BISU TANPA TEORI BARAT


Tokoh Sarjana Negara, yang juga seorang sasterawan negara, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah menegaskan seperti yang berikut: Walaupun betapa mengghairahkan teori sastera Barat dan Timur, sebagai kritikawan Malaysia kita harus memikirkan akar sastera kita, tapak, prinsip dan pemikiran seni bahasa ini. Saya berpendapat semua yang kita pelajari dari luar harus diteruskan, tetapi untuk situasi kita yang khusus semua pelajaran ini harus disaring supaya usaha pembinaan teori-teori yang berhubungan dengan sastera kita sendiri dapat dibantu. Pertamanya sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukasn kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam. Saya kira dalam hal ini sastera moden sudah menjadi subjek setia kepada perubahan dan sebuah teori untuknya harus disediakan. ... (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14, Dewan Bahasa dan Pustaka 2005; diselenggarakan oleh Hajijah Jais dan Muhammad Ikhram Fadhly Hussin, kumpulan kertas kerja Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II, 22-24 Mac 2005, Dewan Seminar, DBP, Kuala Lumpur.) Kutipan ini berupa sebahagian daripada ucap utama profesor ini dalam seminar tersebut, oleh itu tentulah satu ucapan penting dan diucapkan dengan penuh tanggungjawab ilmiah seorang profesor sastera yang pernah mendakwa mempunyai 4000-5000 orang murid seluruh negara. Adakah profesor ini berkata benar? Adakah beliau jujur dan percaya ucapannya itu lahir dari kesedaran ilmiah yang tidak boleh diragui? Memang benar beliau telah melakukan banyak kesalahan dalam penilaiannya, terutama sekali sewaktu menjadi salah seorang ahli Panel Anugerah Sastera Negara. Beliau dan teman-temannya terus menerus menggunakan teori dan pendekatan Barat, menggunakan ukuran dan istilah dalam teori dan pendekatan Barat ketika menilai karya para sasterawan negara seperti yang dimuat dalam laporan mereka. Dari segi itu beliau telah bercakap benar. Mengingat bahawa ucapan ini diutarakan dalam tahun 2005 dalam sebuah seminar penting, maka tentulah wajar jika kita dapat melihat sedikit perubahan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri duduk sebagai anggota. Tetapi ini tidak kelihatan dalam Laporan 2009, yang masih meneruskan kesalahan menggunakan teori dan pendekatan Barat seterusnya dan sepenuhnya. Oleh itu, apakah makna ucapan begini jika tidak mahu dilaksanakan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang begitu penting? Dilihat dari perspektif ini, dengan bukti-bukti yang ada, tidak salah jika kita membuat kesimpulan bahawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidaklah bercakap benar dan memang telah mengetepikan pandangannya sendiri dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang beliau menjadi salah seorang anggotanya. Adakah beliau memang tidak mempunyai taring ilmiah untuk mempengaruhi teman-temannya yang menjadi

anggota panel itu? Dilihat dari segi ini, jelaslah beliau tidak mempunyai hujah yang meyakinkan untuk melakukan perubahan; oleh itu apa yang diutarakannya itu hanyalah pandangan iseng-isengan semata, bukan sesuatu yang berteraskan komitmen ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan. Hal ini jelas dalam sikapnya yang negatif terhadap usaha sarjana yang mengutarakan beberapa teori (lebih tepat pendekatan) dalam kritikan sastera Melayu moden. Beliau tidak menyebut langsung beberapa teori atau pendekatan yang telah diusahakan oleh Hashim Awang, Shafie Abu Bakar dan lain-lain, malah dengan agak angkuh, tanpa sebarang hujah dan pembuktian yang diperlukan sebelum seseorang membuat apa-apa juga kesimpulan, beliau menegaskan, teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam. Ketika ucapan ini dilafazkan oleh tokoh ini, telah terbit buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992). Dalam tahun 2004, buku ini telah diterima sebagai sebuah buku utama dalam projek The Annotated Bibliography Project yang dianjurkan oleh Aga Khan University Institute for the Study of Muslim Civilisations. Tentang buku ini, Prof. Dr. Zawiah Yahya (dalam bukunya, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, Penerbit UKM 2010), menulis begini: Persuratan Baru (literal translation: New Letters) is an approach to literary production and criticism by Mohd. Affandi Hassan. Affadi prefers his approach to be translated as Genuine Lterature, a name given to a similar category of writing promoted by an Islamic scholar Abu Hassan [Ali] Nadwi. ... PB, as it is now popularly abbreviated by its practitioners, is both about literary production and literary criticism though they are often spoken in the same breath. This seamlessness does not pose any serious problem because most theories of literary production carry the seeds of literary criticism. In fact, PB goes a step further than other theories by offering a practical classroom approach for the teaching of literature as a way of demostrating its application. (hal. 53). Kecuali satu kesilapan, rumusan Prof. Dr. Zawiah Yahya agak tepat. Kesilapan yang dimaksudkan ialah ketika beliau menyebut Maulana Abu Hassan Ali Nadwi. Mengikut pendapat Maulana Abu Hassan Nadwi, sastera boleh dibahagi kepada dua ketegori: al-adab al-tabii (sastera tulen) dan al-adab al-sinai (sastera buatan). Saya terjemahkan PB sebagai genuine literature sebelum saya diberitahu tentang pembahagian ini. Nampaknya kami menemui perkara yang sama, dari segi istilah, kerana kami menggunakan sumber yang sama. Itulah kaitan saya dengan Maulana Abu Hassan Nadwi. Fakta ini perlu dijelaskan kerana sangat perlu diketahui supaya tertolak percubaan sarjana Malaysia yang mengatakan teori sastera Islam dicipta tanpa teks untuk menjadi rujukan, padahal karya yang bercorak Islam itu sudah wujud dalam tamadun Islam sejak Islam mula muncul di dunia lagi. Kami menggunakan sumber itu, maka itulah istilah yang saya pakai dan yang digunakan oleh Maulana Abu Hassan Ali Nadwi hampir sama dari segi sebutan; tetapi memang sama dari segi maksud. Genuine literature merujuk kepada sastera yang dicipta berasaskan konsep ilmu yang benar, yakni yang bersumber dari Quran dan Sunah dan pandangan ulama yang diakui. Tentang tidak adanya teks, jawapannya telah diberikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat yang menghuraikan dengan mendalam dan meyakinkan novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, yang mendapati novel itu cocok dengan gagasan Persuratan Baru. Kutipan dari rumusan yang dibuat oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya jelas sekali menolak pendapat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang mengatakan, teori sastera kita belum ditulis dengan menyeluruh dan cukup mendalam. Sangat wajar jika profesor ini boleh memberitahu kita semua, adakah kesimpulan beliau itu mengambil kira kewujudan gagasan Persuratan Baru? Pertanyaan ini penting kerana beliau adalah Tokoh Akademik Negara, yang

secara logiknya memang diharapkan memberi pendapat berasaskan fakta, bukan hanya sangkaan yang tidak berasas. Jikalau beliau menolak gagasan Persuratan Baru sebagai satu teori yang tidak memenuhi selera beliau, maka beliau mempunyai tanggungjawab ilmiah untuk menjelaskannya dari segi apa gagasan Persuratan Baru tidak boleh diterima. Jika beliau tidak sanggup melakukan ini, maka kesimpulan beliau tidak boleh dipakai sama sekali. Tetapi sebenarnya beliau sangat beruntung, kerana beliau pernah mendakwa mempunyai 4000-5000 pelajar yang pintar-pintar seperti beliau sendiri, yang dalam sebuah tulisannya beliau mengatakan, pelajar tahun empat saya memahami konsep sastera dengan lebih wajar lagi dari konsep sasteranya [merujuk kepada Mohd. Affandi Hassan] yang jikalau saya dapat gunakan perkataan beliau sendiri agak kacau malah konsep ini tidak be rtanggungjawab dan agak negatif (Berita Minggu, 1 Januari 1984). Mereka seharusnya boleh membantu beliau untuk menjelaskan kesimpulan beliau yang tidak berasas tadi. Prof. Dr. Zawiah Yahya melakukan kesilapan besar apabila beliau berkata, Like a few of his contemporaries who watch with horror at the rate with which western theories have been allowed to dominate Malay critical practice, Affandi joins the band of shakers and movers in Malay literature to offer his own alternative to literary criticism. ... (hal. 53). Sama ada Prof. Dr. Zawiah Yahya benar-benar jujur dan percaya itulah dorongan yang mencetuskan gagasan Persuratan Baru, atau memang beliau dengan sedar dan sengaja mahu meletakkan Mohd. Affandi Hassan dalam kumpulan yang beliau tidak termasuk di dalamnya, untuk memberi gambaran bahawa gagasan Persuratan Baru muncul sebagai usaha ikut-ikutan semata-mata, sekadar ingin mencari publisiti murahan dengan menjana sebuah teori. Sebenarnya Mohd. Affandi Hassan cukup sedar tentang perkara ini, maka itulah dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (hal. 150), beliau mengemukakan karya awal beliau ketika masih remaja, yang disiarkan dalam akhbar Pedoman, 5 Januari 1957, lama sebelum merdeka. Dalam cerita pendek itu beliau telah pun menunjukkan sikap beliau tentang persuratan, yang terus tidak berubah sehinggallah tercetusnya gagasan Persuratan Baru. Jadi beliau tidak pernah watch with horror kemasukan teori Barat, kerana sejak mula beliau menulis, sejak zaman remaja lagi, beliau telah memikirkan perkara yang kemudiannya pada zaman matangnya dirumuskannya dalam gagasan Persuratan Baru. Jika bukti lain diperlukan, sajak beliau yang pertama disiarkan dalam Utusan Kanak-kanak dengan nama samaran Mabhu, bertajuk Budi Pekerti Yang Mulia (Utusan Kanak-kanak, 3 Julai 1955) jadi sama dari segi maknanya dengan cerita pendek tahun 1957 itu. Sesiapa juga yang membaca karya kreatif beliau akan menemui jalan lurus yang tidak pernah menyimpang dari cita-cita asal beliau. Kesedaran tentang pentingnya nilai-nilai Islam dalam persuratan Melayu telah beliau tunjukkan sejak awal, dan ini diakui oleh Dr. Othman Puteh ketika membicarakan cerita pendek yang tersiar dalam Dewan Mayarakat. Kata Dr. Othman Puteh: Mohd. Affandi Hassan melalui cerpennya Hukum Tuhan (DM, Julai 1967) dan Dendam (November 1967) cuba mendedahkan konflik yang berlaku di kalangan masyarakat petani desa yang tergadai tanah mereka kerana memberi pendidikan kepada anakanak. Kedua-dua cerpen ini meletakkan nilai moral dan kemanusiaan di tahap paling atas dengan menekankan Islam sebagai suatu cara hidup yang mulia lagi terpuji. Sesungguhnya cerpen ini memperlihatkan unsur pengajarannya akan tetapi unsur itu tidak ketara hasil dari ketelitian dan kebijaksanaan pengarang menguasai persoalan dan teknik penceritaannya (Dewan Masyarakat, September 1983, hal. 16). Sekiranya sesiapa juga yang ingin mengaitkan kesedaran Mohd. Affandi Hassan tentang peranan Islam dalam persuratan Melayu dengan sesiapa juga yang lantang berbicara tentang sastera Islam, maka beliau tidak teruja sedikit pun dengan kebisingan itu, kerana yang mempengaruhi beliau bukanlah para sasterawan yang bising itu, tetapi para ulama dan ahli ilmu Islam. Beliau telah diperkenalkan kepada ajaran Shah Wali Allah sejak budak-budak di sekolah Melayu lagi,

oleh Ustaz Wan Ismail Wan Nawang (yang menulis Khulasah al-Quran berdasarkan ajaran Shah Wali Allah), seorang pakar dalam ajaran Shah Wali Allah yang dipelajarinya selama 40 tahun. Beliaulah yang memperkenalkan kepada Mohd. Affandi Hassan konsep taklif yang dihuraikan dengan mendalam oleh Shah Wali Allah. Antara guru Ustaz Wan Ismail yang terkenal ialah Maulana Abdullah Nuh, dari Pasir Puteh, Kelantan, pengarang sebuah kitab penting berjudul Semangat Perajurit-perajurit Muslim (terbit sekitar 1940; tertulis di bawah tajuk itu tujuan buku itu ditulis, buat melihat keamanan dunia dan kemakmuran alam yang berdasarkan di atas dasaran kitab Allah Quran dan Sunah Rasulullah dan sunah khulafa alrasyidin dan beberapa perkataan rabbaniyyin, haqqaniyyin, ulama al-khair). Dengan pembetulan ini, diharap tidak timbul lagi kesilapan yang terjadi kerana tidak cukup maklumat. Mohd. Affandi Hassan melahirkan azam perjuangannya untuk mencerdikkan bangsa Melayu dalam sebuah sajak zaman remajanya, yang disiarkan dalam Utusan Kanak-kanak, 13 Mei 1956. Inilah sajak itu disalin sepenuhnya, memakai nama samaran MABHAS: Di Padang Pengembaraan Di mana kulangkahkan kaki Duri bercerancam kerikil tajam, Di mana aku mulai berlari Pasir di sana hangat sekali. Panas menimpa kepala Menyucuk badan membawa dahaga, Kaki bisa Dicucuk duri ditikam batu. Biar panas menghangus badan Biar duri menikam kaki Aku tetap mara ke muka Pasir panas kukorek juga Walau lapar mengamuk Dan mayat terkapar merata Mutiara kucari juga. Berbekalkan keazaman itu, Mohd. Affandi Hassan meneroka alam ilmu untuk mencari sejenis rumusan yang boleh membantu para penulis mencipta karya mereka dengan lebih sempurna dan betul-betul bernilai, diukur dari segi ilmu yang benar. Kuncinya terdapat dalam peristiwa Balqis mengadap Nabi Sulaiman a.s., kunci yang telah tersedia tetapi belum ditemui kerana belum cukup persediaan untuk memahaminya. Dari situlah timbulnya perbezaan antara realiti hakiki dan realiti semu yang telah menipu pandangan Balqis. Sebaik saja rahsia ini difahami, semuanya menjadi jelas. Untuk memahaminya dengan mendalam, sila rujuk Kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, yang telah menghuraikan aspek ini dengan mendalam. Prof. Dr. Zawiah Yahya telah menggambarkan secara ringkas, tapi agak tepat, perjalanan mencari rumusan itu dalam katakata beliau: Persuratan Baru (henceforth PB) itself has gone through its own process of evolution. It was first called Pendekatan Tauhid (Islam-based approach) in 1992, then Sistem Persuratan Melayu (System of Malay Letters) in 1994 and, since 1999, Persuratan Baru. (hal. 53). Sebenarnya sebelum pendekatan tauhid, telah dicadangkan terlebih dahulu

pendekatan estetis-intelektual (disebut oleh Prof. Rahman Shaari dalam salah sebuah bukunya). Pendekatan tauhid itu masih kekal sebagai asas Persuratan Baru. Nama Persuratan Baru itu dipilih untuk menekankan pentingnya persuratan Melayu dikembalikan dalam arus perdana seni penulisan Melayu yang berteraskan Islam, berasaskan konsep ilmu yang benar; tidak lagi berasaskan konsep sastera yang lebih cenderung kepada kebebasan hawa nafsu sasterawan untuk bercerita semata-mata tentang perkara-perkara yang merosakkan moral dan mencederakan akal sihat bangsa Melayu. Mutiara yang dicari sejak 1955 itu telah ditemui dalam gagasan Persuratan Baru. Oleh itu tidaklah benar kesimpulan Prof. Dr. Zawiah Yahya yang menganggap Mohd. Affandi Hassan joins the band of shakers and movers in Malay literature, apa pun maksud beliau. Kesimpulan beliau tidak berasas sama sekali. Sementara menunggu lahirnya sebuah teori sastera Melayu moden yang sempurna, seperti yang diharapkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang akan ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Salleh dengan bantuan pelajarnya yang berjumlah 4000-5000 orang itu, nampaknya beliau dan pelajarnya yang pintar-pintar seperti beliau, yang diakui gurunya mempunyai konsep sastera yang betul dan bertanggungjawab, harus menerima kehadiran gagasan Persuratan Baru dan menggunakannya jikalau beliau dan murid-muridnya benar-benar jujur telah melakukan kesalahan sejak berpuluh tahun ini. Tidak ada alasan dan tidak ada sebab untuk terus berada dalam kesalahan yang memang sudah diakui itu. Tidak timbul soal gagasan Persuratan Baru tidak boleh difahami, mengingat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan para muridnya 4000-5000 orang itu sangat alim tentang sastera dan sangat bertanggungjawab dari segi ilmiah dan dari segi akademik. Sebaik saja teori Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menyeluruh dan sempurna itu lahir, maka bolehlah gagasan Persuratan Baru diketepikan atau dihapuskan terus. Tetapi sebelum itu, terima dulu yang sudah ada supaya tidak terlalu lama membuang masa duduk menimbangnimbang satu teori baru yang sempurna dan menyeluruh yang belum diketahui bilakah akan lahir itu. Pilihan ini lebih siuman daripada hanya bermimpi lahirnya suatu teori yang sempurna dan menyeluruh yang tidak pernah diusahakan. Mengapa penerimaan terhadap gagasan Persuratan Baru itu penting dan paling siuman? Jawapannya cukup mudah: sebaik saja teori dan pendekatan Barat diketepikan kerana menjadi punca kesilapan berpuluh tahun dalam penilaian sastera Melayu moden, seperti yang ditegaskan dengan jelas oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan peri ketakutan para sarjana Melayu yang digambarkan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya who watch with horror at the rate with which western theories have been allowed to dominate Malay critical practice, maka para sarjana dan pengkritik sastera akan menjadi bisu, tiada pegangan lagi untuk bercakap tentang kritikan sastera. Apa akan terjadi kepada beratus ribu pelajar sastera, jikalau guruguru dan profesor mereka sudah bisu, tidak boleh bercakap tentang kritikan sastera kerana telah menolak semua teori sastera Barat, dan menolak pula teori tempatan? Bagaimana pula akan dinilai karya para sasterawan negara tanpa teori Barat? Apa akan jadi kepada anggota Panel Anugerah Sastera Negara jika teori Barat ditolak? Kebuntuan begini tidak patut berlaku dalam dunia akademik kita, yang telah melahirkan beribu-ribu sarjana dan doktor kesusasteraan yang telah berjaya melahirkan beratus ribu pelajar sastera yang pintarpintar dan tajam pemikirannya itu. Oleh itu, supaya para pengkritik sastera dan para sarjana tidak terus bisu, maka warisan Barat itu perlu diteruskan dengan lebih gigih lagi, seperti yang ditunjukkan oleh para sarjana ketika membicarakan pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam seminar khusus untuk itu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang diterima dengan baik oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri walaupun beliau telah memberi amaran perihal kesalahan yang telah berpuluh tahun dilakukan itu. Itulah tindakan yang sebaik-baiknya; tetapi lebih baik lagi jika diselitkan juga gagasan Persuratan

Baru sebagai satu alternatif yang lebih mencabar pemikiran para sarjana dan murid-murid mereka. Sementara itu, kita tetap menunggu dengan sabar kelahiran sebuah teori sastera yang menyeluruh dan cukup mendalam yang akan dilahirkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan murid-muridnya. Wallahu alam

Konsep WACANA dalam Persuratan Baru


Wacana. Konsep wacana penting dalam PB kerana konsep ini dapat menyelesaikan tiga masalah besar yang dihadapi oleh para sarjana pada waktu ini: (1) kabur dan keliru tentang makna dan maksud pemikiran ketika membicarakan aspek pemikiran seorang sasterawan; (2) tidak dapat memahami mengapa pentingnya konsep ilmu yang benar dijadikan asas penulisan kreatif dan juga di dalam analisis dan penilian sesebuah karya kreatif; (3) tidak jelas tentang maksud dan matlamat yang ingin dicapai dalam penulisan kreatif, hal ini menjadi masalah yang amat mengusutkan apabila para sasterawan berkata mereka harus diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja dan dalam bentuk yang bagaimana sekali pun, kerana mereka adalah pejuang kemanusiaan (?) yang mencintai nilai-nilai kemanusiaan sejagat (rujuk kenyataan empat orang sasterawan negara bertarikh 8 Mac 2011 tentang aspek ini; kenyataan mereka dibincangkan dalam posting bertarikh 24 Mac 2011; juga laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menekankan peri pentingnya kebebasan dan kemanusiaan itu). Amat jelas terdapat kekeliruan dan kekacauan kognitif di kalangan pengkritik sastera, sarjana dan ahli akademik, dan lebih-lebih lagi di kalangan para sasterawan apabila mereka berbicara tentang aspek pemikiran ini. Malah sebuah institusi besar dan berpengaruh seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menjadi penaung dan pelindung kesusasteraan Melayu, juga berada dalam kekeliruan dan kekacauan yang dimaksudkan itu, seperti yang dapat dilihat dalam program mereka yang memakai istilah pemikiran. (Perkara ini telah dibahaskan dengan panjang lebar dalam posting bertarikh 6 Disember 2010; lihat juga posting 18 November 2010; posting bertarikh 4 Disember 2010). Oleh itu, adalah jelas masalah definisi dan huraian tentang makna dan maksud pemikiran itu dijelaskan dengan teratur supaya setiap kali orang berbicara tentang pemikiran, dia menggunakan istilah itu dalam konteks suatu istilah, bukan dalam konteks common sense dan retorik kosong sahaja, seperti yang terjadi sekarang. Dalam laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kekusutan dan kekacauan ini amat jelas, tetapi tidak disedari oleh mereka. Misalnya, apabila mereka berkata, Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu. (Laporan 1985, hal. 13). Tetapi dalam kesimpulan berikutnya, mereka berkata: A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme, ... dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka (hal. 13). Tetapi jika anda membaca Salina dengan kritis dan berhati-hati, anda akan dapati semua kesimpulan ini tidak tepat, bertentangan dengan fakta yang ada di dalam novel itu. Malah A. Samad Said sendiri mengaku beliau ingin menulis tentang seorang pelacur yang laris, dengan itu memberi keistimewaan kepada watak utamanya; dan ini memang dapat dikesan dengan mudah dalam novel itu. Tetapi yang paling mengaibkan ialah

kesimpulan Panel dalam laporannya bertentangan dengan maksud realisme dan naturalisme yang difahami di Barat. Pengarang Theory of Literature, Rene Wellek, yang menjadi ikutan dan sandaran para pengkritik dan sarjana sastera di Malaysia, dijadikan teks dalam kritikan sastera di universiti di Malaysia, yang memang dikenali oleh semua anggota Panel, membuat kesimpulan yang bertentangan dengan yang dibuat oleh Panel tentang makna dan maksud realisme yang ditiru oleh A. Samad Said. Kata Rene Wellek: Realism is didactic, moralistic, reformist (Concepts of Criticism, hal. 253). Seterusnya kata Rene Wellek, I do not consider realism the only and ultimate method of art. It is, I should emphasize, only one method, one great stream which has its marked limitations, shortcomings, and conventions. In spite of its claim to penetrate directly to life and reality, realism, in practice, has its set of conventions, devices, and exclusions. ... The theory of realism is ultimately bad aesthetics because all art is making and is a world in itself of illusion and symbolic forms (hal. 254-255. Ayat akhir itu ialah kesimpulan beliau tentang realisme.) Dilihat dalam konteks ini, pujian Panel lebih mengarah kepada pandangan common sense yang keliru. Katakanlah mereka tidak tahu pandangan Rene Wellek, mereka pasti dapat mengagak, jika mereka menggunakan common sense yang betul, bahawa realisme dan naturalisme secara tabii bersifat didaktik kerana yang diangkat menjadi tema karya adalah kejadian sebenar dalam masyarakat, khususnya tentang penindasan manusia. Oleh itu, apabila Panel berkata karya yang realistik itu tidak sepatutnya mempunyai unsur didaktik, maka mereka membuat kesimpulan itu kerana tidak memahami konsep dan maksud realisme yang mereka sanjung itu. Tetapi jika anda anggap Panel lebih berwibawa daripada Rene Wellek, anda perlu menghujahkannya untuk dimanfaatkan oleh para sarjana dan pengkritik sastera, juga para sasterawan yang mabuk realisme. Penegasan Rene Wellek memperlihatkan betapa kacaunya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, hingga tidak saja tidak dapat menilai karya A. Samad Said dengan wajar, malah tidak pula memperlihatkan mereka faham konsep-konsep yang mereka gunakan sebagai hujah, seperti konsep realisme tadi. Sebenarnya keadaan ini sudah menjadi standard dalam penilaian sastera di Malaysia. Saya telah menunjukkan kepincangan penilaian yang bermasalah dan tidak tepat ini dalam kertas kerja yang dibentang dalam Seminar Jenaka Melayu Nusantara (anjuran DBP dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 21-23 Ogos 2003). Kertas kerja bertajuk, Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-Kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan, membincangkan secara kritis penilaian yang dibuat oleh panel dan nilai sebenar novel itu sendiri. Dalam penelitian saya, panel telah gagal menilai karya ini dengan saksama dan wajar. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., yang menganjurkan peraduan menulis novel Hadiah Sako II, tentulah mempunyai alasan tersendiri untuk memilih sebuah novel picisan untuk memenangi hadiah itu. Lebih menghairankan lagi ialah bagaimana para penilai yang terpilih, yang bertaraf profesional dalam bidang mereka, boleh tertarik kepada karya picisan ini dengan memberinya kemenangan.

Kegagalan panel membuat penilaian yang tepat dan bagaimana kegagalan ini membuktikan betapa keliru dan kacaunya ukuran yang dipakai oleh para penilai perlu

dibincangkan, kerana kesilapan yang mereka lakukan mempunyai kesan buruk kepada perkembangan sastera Malaysia. Kegagalan ini akhirnya menjadi Skandal Sastera Abad 21, sebagai bukti betapa meragukan citarasa para penilai sastera di negara ini, dan betapa longgarnya hujah-hujah mereka untuk mempertahankan citarasa yang meragukan tadi. Kesannya kepada perkembangan sastera sudah jelas: karya-karya yang disanjung selama ini sebenarnya bukanlah karya terbaik, tidak mencerminkan kecerdikan dan ketajaman analisis, sekadar menyerlahkan keupayaan sasterawan yang sebenarnya amat sederhana (mediocre), di samping menonjolkan kegopohan dan kekeliruan para penilai. Jarang orang bersedia mengaku bahawa kesilapan dalam penilaian jauh lebih merosakkan daripada kehadiran karya tidak bermutu. Kita akan melakukan dua kesilapan besar apabila berlaku kesilapan dalam membuat pilihan dengan meletakkan karya yang tidak bermutu, yang picisan, sebagai karya besar dan bermutu tinggi. Perkara seumpama ini perlu dibetulkan, dan dihindarkan daripada berlaku lagi. Penilai dan sarjana sastera tidak harus terlampau ghairah memuji karya-karya yang amat sederhana mutunya (mediocre), atau memberi hadiah dan kedudukan tinggi kepada karya-karya demikian. Kita tidak harus menggalakkan mediocrity dalam kegiatan intelektual kita. Kawin-kawin adalah sebuah novel cemuhan yang ditulis berasaskan kebencian dan rasa meluat penulisnya terhadap seteru politiknya. Kesimpulan ini tidak dapat dielak kerana Azizi Hj. Abdullah tidak sedikit pun berusaha menganalisis persoalan yang ingin dikemukakannya secara objektif, sehingga boleh membuat seseorang memahami persoalannya dan dapat melihat mengapa persoalan itu timbul dan bagaimana penulisnya menganalisis persoalan tadi dalam konteksnya. Kita diberitahu bahawa terdapat seorang perempuan kaya bernama Mas Umm, yang suka berlaki, dan menjadi rebutan para lelaki. Sekali imbas Mas Umm itu seolah-olah Semenanjung Tanah Melayu, yang dijajah oleh Inggeris, oleh itu kata penulisnya suami Mas Umm yang pertama ialah Bani Putih, yakni orang Inggeris. Menurut penulis, perkahwinan itu lebih tepat dipanggil perogolan, kerana tidak ada kerelaan di pihak Mas Umm. Dia dipaksa berkahwin dengan Bani Putih. Jelas di sini Azizi merujuk kepada penjajahan Tanah Melayu oleh Inggeris. Tetapi kemudiannya Mas Umm menjadi tokoh lain samasekali, apabila kita diberitahu bahawa selepas Bani Putih meninggal, dia berkahwin mutah dengan beberapa orang tokoh.

Sekali imbas ideanya kelihatan seolah-olah bagus untuk dijadikan bahan novel yang menarik, tetapi kerana Azizi Hj. Abdullah tidak berminat meneroka dengan mendalam konflik politik ini, maka dia hanya berjaya menghasilkan sebuah karya picisan yang di dalamnya penuh dengan watak-watak yang gemar mencabut bulu ketiak, mencabut bulu

hidung, suka mengorek tahi telinga kemudian menciumnya. Semua ini dianggapnya perlakuan jenaka, lalu diulang-ulang untuk mendapatkan kesan humor. Tetapi sangat jelas betapa kampungan humor yang cuba diselit Azizi dalam bukunya. Den gan itu Azizi masih terus kekal sebagai sasterawan kampungan, yang berasa nikmat dan bangga menggambarkan para wataknya mencabut bulu hidung dan sebagainya itu. Semua ini mencerminkan hanya satu perkara, iaitu sifat picisan karya ini dan sifat picisan pemikiran penulisnya.

Seperti biasa dalam novel-novel Melayu, yang digambarkan ialah kebodohan dan kepandiran orang Melayu, termasuk para pemimpin yang memerintah negara dan negeri. Oleh kerana novel ini ditulis untuk mengkritik sifat munafik para pemimpin politik nasionalis oleh seorang penulis yang cenderung kepada politik agama (bukan seorang intelektual), maka di dalamnya penuh dengan sumpah-seranah, maki-hamun, cacian dan laknatan, ungkapan lucah dalam bahasa yang kasar dan kesat, yang nyatalah lahir daripada kebencian yang mendalam, dendam yang membara, kemarahan yang meluap-luap, dan perasaan meluat yang dicurahkan semahu-mahunya membanjiri setiap muka surat novel ini. Dengan mengutuk watak-wataknya, tanpa memberi sebarang hujah dan analisis yang munasabah terhadap setiap peristiwa dan persoalan yang ingin diketengahkan, maka Azizi sebenarnya tidak mempunyai persoalan yang jelas, kecuali untuk mengutuk, menyeranah, dan memaki-hamun sewenangwenangnya.

Oleh itu dia bukan menulis sebuah karya seni yang cermat dan penuh kebijaksanaan, kerana tumpuannya kepada soal-soal picisan, dengan meninggalkan sama sekali persoalan politik yang saya kira menjadi dasar novelnya. Demikianlah novel yang malang ini, yakni malang kerana dinobatkan sebagai novel terbaik sekarang, adalah sebuah novel picisan. Ideanya picisan, tekniknya picisan, analisisnya picisan, wataknya picisan, dan sedikit humor yang cuba dimasukkan sasterawan ini adalah humor picisan.

Andainya novel ini diambil sebagai adanya, tanpa mengaitkannya dengan tokohtokoh politik tertentu dari parti-parti yang mereka wakili, seperti kita mengambil cerita Pak Pandir sebagai adanya, maka sifat picisannya akan kelihatan lebih jelas, lebih ketara, lebih menonjol, dan mutunya sebagai karya kreatif akan lebih rendah lagi. Cerita jenaka Pak Pandir ternyata lebih baik dan lebih bernilai. Di sinilah kesilapan para penilai dalam membuat pemilihan untuk memberi kemenangan kepada novel picisan ini.

Adalah amat ironis bahawa selepas melahirkan beberapa orang Sasterawan Negara, sastera Melayu moden akhirnya memasuki era picisan. Saya telah membicarakan persoalan ini dalam tulisan saya, Era Picisan Dalam Sastera Melayu (Dewan Sastera, Julai 2002). Dalam tulisan itu, saya menegaskan bahawa istilah picisan tidak boleh difahami secara picisan, dengan hanya membataskannya kepada aspek kelucahan semata-mata. Istilah picisan haruslah difahami secara menyeluruh, meliputi idea, tema, bahasa, gaya, watak dan perwatakan, lambang, dialog, paksi naratif, kriteria penilaian, dan lain-lain aspek yang berhubungan dengan penciptaan karya kreatif dan penilaiannya. Semua aspek itu menjadi picisan apabila diolah secara mudah, cetek, dangkal, menyeleweng daripada nilai-nilai tamadun manusia yang beradab, yakni melihat semua perkara daripada kemahuan hawa nafsu manusia yang ingin bebas lepas daripada tanggungjawab taklif. Sebuah karya akan menjadi karya picisan apabila karya tersebut menjadikan kejahatan sebagai nilai utama dalam penciptaan karya tadi, misalnya apabila perzinaan diperindahkan begitu rupa untuk kononnya menyerlahkan tragedi manusia yang tertindas, teraniaya, tertipu dan sebagainya, dengan memaparkan dengan terang perlakuan perzinaan tadi sehingga menjadi lambang tertentu dalam karya tersebut. Misalnya, apabila perkahwinan mutah yang haram dalam Sunni Islam, dijadikan paksi naratif dalam sebuah karya dan para watak digambarkan ingin melaksanakan perkahwinan mutah tadi untuk mencapai matlamat dan kemahuan hawa nafsu mereka, seperti yang terjadi dalam Kawin-kawin. Dalam Salina, sebuah novel picisan yang disanjung tinggi, perzinaan diperindah begitu rupa dengan diberi aspek cinta suci, apabila Salina sang pelacur bersekudukan dengan seorang lelaki yang dianggapnya mempunyai iras yang sama dengan bekas kekasihnya. Penilaian terhadap novel Salina menjadi picisan apabila aspek ini dijadikan salah satu kriteria, digandingkan dengan kriteria yang lain seperti sifat

kemanusiaan dan belas kasihan Salina, penderitaan yang dialaminya, dan kezaliman masyarakat yang memaksanya menjadi pelacur. Semua kriteria ini dikatakan menyumbang kepada kehebatan perwatakan Salina, sehingga dia dijadikan seorang wanita unggul untuk dicontohi oleh wanita Melayu yang beragama Islam. Ukuran dan penilaian begini menjadi picisan kerana melonjakkan kejahatan setinggi-tingginya untuk dijadikan hujah bagi menentukan mutu sesebuah karya, padahal kejahatan itu tidak mungkin menjadi baik jika diukur daripada perspektif hawa nafsu manusia semata-mata, jauh menyimpang daripada hakikat taklif yang menjadi asas kejadian manusia. Dalam novel Kawin-kawin ini, Azizi Hj. Abdullah menjadikan perkahwinan mutah sebagai permainan politik para wataknya, yang menunggu giliran untuk mengahwini Mas

Umm. Mengingat bahawa kahwin mutah ditolak oleh Sunni Islam, dan barangsiapa yang melakukannya adalah melakukan zina, adakah Azizi Hj. Abdullah ingin memberitahu kita bahawa terjadi perzinaan politik di Malaysia sejak tertubuhnya UMNO dan berkuasanya parti itu hingga sekarang? Jika itu maksudnya, mengapa dia menjadikan perkahwinan mutah sebagai paksi naratif, padahal dia tahu dia sebenarnya menjadikan perzinaan sebagai kegiatan terhormat dan mulia dalam masyarakat? Dia sebenarnya tidak bermaksud hendak menghina para pemimpin UMNO semata-mata, malah dikenakannya juga kepada para pemimpin politik agama seperti Tuan Guru Lebai Yazan. Halaman 159, dua baris akhir, memberitahu kita persetujuan Tuan Guru Lebai Yazan yang menerima perkahwinan mutah sebagai sah di sisi Sunni Islam, dan boleh dipraktikkan dengan meluas oleh ahli politik nasionalis dan agama. Pendeknya, semua ahli politik pada pandangan Azizi Hj. Abdullah mengamalkan kahwin mutah dalam keghairahan mencari kuasa dan kepuasan nafsu. Golongan nasionalis dan agama, menurut Azizi Hj. Abdullah, melakukan perzinaan politik di Malaysia. Yang menghairankan ialah mengapa Azizi menjadikan perkahwinan mutah dan perzinaan sebagai paksi naratifnya, seolah-olah beliau tidak sedar bahawa perbuatan itu menghina Islam dan institusi perkahwinan dalam Islam.

Lebih menghairankan lagi ialah bagaimana panel pemilih tidak melihat bahawa Azizi mempersendakan Islam, menghina dan mempermainkan hukum perkahwinan dalam Islam. Semudah itukah seorang sasterawan boleh menjadikan institusi perkahwinan sebagai metafor kepada perlakuan politik haram menurut pandangannya? Dan senaif itu pulakah para penilainya melihat novel ini sebagai membawa persoalan yang segar yang dapat menyumbang kepada usaha mempelbagaikan tema novel berbahasa Melayu, sebuah karya yang mempunyai kekuatan tersendiri dari segi kemungkinan untuk pembacaan pelbagai lapis atau multidimensi? Mungkin mereka akan berkata bacaan saya adalah salah satu bacaan pelbagai lapis atau multidimensi itu! Tetapi saya tidak fikir begitu, kerana novel ini mempunyai hanya satu dimensi, yakni dimensi picisan, yang tidak mungkin diberi tafsiran yang lebih mendalam, kerana memang tidak terdapat apa-apa yang boleh membuat kita pergi lebih jauh daripada dimensi picisan tadi. Oleh itu, tafsiran saya adalah tepat, sahih, dan paling wajar dengan sifat picisan novel ini, satu-satunya tafsiran yang berlaku adil kepada novel ini dan kepada Azizi Hj. Abdullah sendiri. Seperti anggota panel yang membaca novel ini secara harfiah, secara tersurat, oleh itu tidak boleh membaca makna tersirat novel ini yang menghina institusi perkahwinan dalam Islam, maka demikianlah juga penulisnya sendiri pun tidak sedar bahawa

dia sedang mempermainkan hukum Islam dan menghina Islam sebagai satu agama yang memandang tinggi perkahwinan, sebagai asas kehidupan bermasyarakat. Mungkin kerana kebencian Azizi begitu meluap-luap, maka dia secara tidak sedar telah terdorong untuk mencaci agamanya sendiri ketika dia sedang mempersendakan para pemimpin nasionalis ini. Azizi Hj. Abdullah bukanlah seorang yang jahil, kerana beliau adalah seorang ustaz, yang belajar di sekolah agama yang didirikan oleh almarhum ayahanda Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia sengaja menjadikan perkahwinan dalam Islam sebagai lambang dalam karya yang dipanggil alegori-komedi oleh Shahnon Ahmad, adakah beliau sedar implikasinya dalam Islam? Sebagai seorang ustaz, yang tentu saja tahu selok belok Islam, beliau jelas tidak sensitif kepada agamanya dan mempersetankan begitu saja perasaan orang lain yang menganut Islam. Inilah kehairanan yang amat besar yang perlu dijelaskan oleh beliau. Adalah mustahil beliau tidak membaca kitab yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Mastika Hadith (Jilid I, edisi Jawi, hal. 260-266), yang di dalamnya jelas memberitahu kita, barangsiapa mempersendakan ajaran Islam atau hukum-hukumnya atau institusinya (seperti perkahwinan), jika dilakukan dengan sengaja, boleh membuat seseorang jadi murtad. Tidakkah ini satu perkara yang amat serius? Oleh itu amatlah aneh apabila Shahnon Ahmad membuat kesimpulan, bahawa pembaca akan ketawa besar membaca kelucuan novel ini. Kesimpulan begini sungguh ajaib, kerana tidak mungkin seorang sasterawan yang melaungkan slogan Sastera Kerana Allah boleh tertawa ketika agama Islam sedang dipersendakan begitu rupa seperti dalam novel ini.

Kemunculan novel Kawin-kawin sebagai pemenang peraduan menulis novel, membuktikan kegagalan penilaian karya kerana terdapat kekeliruan nilai dan kelonggaran ukuran yang dipakai, sehingga terpilihnya karya picisan ini. Kemunculan novel ini juga membuktikan bagaimana kelirunya konsep sastera seorang sasterawan berpengalaman seperti Azizi Hj. Abdullah. Dari segi nilai dan ukuran yang dipakai, jelaslah bahawa penggunaan apa yang boleh disebut sebagai nilai sastera menurut acuan Barat tidak boleh dipakai lagi untuk menilai karya sastera Melayu, tanpa risiko terbabas landasan untuk kemudiannya menerima sebuah karya yang nyata bertentangan dengan nilai-nilai agama dan budaya Melayu. Ukuran panel penilai yang menjadikan tema baru sebagai asas penilaian mereka ternyata tidak tepat, lebih-lebih lagi dari segi konsepnya tema baru itu tidak diberi takrif yang jelas. Apakah yang baru dalam novel ini? Panel ternyata silap dengan menganggap kawin-kawin sebagai tema baru, padahal ungkapan itu sudah lama dipakai oleh anak-anak dalam permainan mereka. Jika para watak dalam novel ini memang menjadikan kawin-kawin

sebagai permainan mereka, yakni sebagai permainan politik, maka jelaslah perbuatan itu bertentangan dengan semangat perkahwinan dalam Islam.

Watak-watak dalam novel ini adalah penganut Islam dan terdiri daripada orang Melayu. Di sinilah timbul masalah yang disebut dalam tulisan ini, iaitu apabila penulisnya dengan begitu sewenang-wenang mempersendakan institusi perkahwinan dalam Islam sebagai paksi naratif untuk mengutuk/mengkritik musuh-musuh politiknya. Azizi Hj. Abdullah menghadapi masalah pengolahan tema yang berat, yang tidak dapat ditanganinya oleh kerana beliau tidak mencuba menganalisis persoalannya dengan mendalam. Akibatnya, dia hanya berjaya membina sebuah naratif biasa, sejenis omongan sastera yang di dalamnya terdapat humor kampungan yang biasa kita dengar di kedai-kedai kopi kampung. Dengan menjadikan Malang begitu bodoh, Azizi tidak menghadapi masalah pengolahan dalam pembinaan watak dan penerokaan naratif yang boleh dipakai untuk menghuraikan perlakuan aneh para wataknya. Dengan menulis dalam bentuk yang dihidangkannya kepada kita, maka dia tidak memberi kesempatan kepada wataknya untuk mentakrifkan masalah yang mereka hadapi, dan pembaca pula tidak dihadapkan dengan konflik dan pemikiran yang canggih. Persoalan atau tema yang dikemukakan adalah terlalu dibuat-buat, diada-adakan, penuh dengan fantasi murahan yang bukan berlandaskan renungan dan pemikiran yang mendalam.

Kelemahan paling menonjol dalam novel picisan ini ialah temanya tidak pernah ditakrifkan dengan jelas, kerana itu tidak mungkin dapat diolah dengan memuaskan. Akibatnya, perwatakan dalam novel ini menimbulkan kontradiksi yang aneh: Malang tibatiba menjadi gila, Siti Menurra yang berbudi pekerti mulia itu akhirnya muncul sebagai seorang perempuan yang penuh tipu muslihat, kejam dan jahat; tetapi yang lebih mengejutkan ialah Tuan Guru Lebai Yazan muncul sebagai seorang munafik yang tidak boleh dipercayaai, yang seolah-olah pandai bercakap tentang agama, tetapi tidak kelihatan sama sekali ketinggian akhlak dan sifat ihsannya. Dalam bahagian akhir novel (hal. 241-266), sifat munafik Lebai Yazan dan Siti Menurra terserlah lebih jelas apabila mereka menghadapi Malang yang kini gila. Kedua-duanya cukup berpuas hati kerana akhirnya musuh mereka dikalahkan, dan bangga kerana dapat menghina musuh politik mereka di hadapan para jemaah mereka sendiri. Lebai Yazan, seperti kucing jantan yang garang, dan Siti Menurra, seperti kucing betina yang galak, seronok mempermainkan Malang, tikus bodoh yang tidak putus asa ingin berbaik-baik dengan kucing yang sejak awal-awal lagi memandang rendah kepadanya. Demikianlah kisah picisan ini berakhir, dengan kemenangan mutlak golongan

pemimpin agama yang sudah dapat membalas dendam mereka dan berpuas hati dengan kemenangan itu. Yang agak mengejutkan pembaca yang naif dan kurang kritis ialah akhir cerita berupa kemenangan munafik agama ke atas munafik nasionalis. Barangkali inilah kejayaan sebenar Azizi Hj. Abdullah yang mungkin tidak disangka-sangkanya.

Tetapi yang paling menghairankan, yang juga memeranjatkan kita, ialah bagaimana tokoh-tokoh pemimpin nasionalis yang jahat itu tidak muncul sebagai orang jahat yang sepatutnya jika dibandingkan dengan kemunculan tokoh-tokoh pemimpin agama tadi. Sesuatu yang ajaib telah berlaku kepada struktur naratif Azizi, yang telah membuat tokohtokoh yang dibenci hilang begitu saja. Apabila Malang dijadikan gila, dari segi struktur naratifnya tokoh-tokoh pemimpin agama didedahkan sifat sebenar mereka, dan Malang menjadi bukti akan kepalsuan mereka. Kesimpulan ini agak sukar difahami jika seseorang tidak pernah mencuba membina naratif dalam karya kreatif, tetapi sebenarnya boleh difahami oleh sesiapa juga yang tajam pemerhatiannya dan cerdas akalnya untuk melihat kontradiksi yang disebutkan itu. Andainya Malang muncul sebagai watak yang benar-benar insaf, jujur, berani menghadapi kebenaran, dan terdidik dengan nilai-nilai Islam, maka perubahan ini akan membuatnya menjadi watak yang kuat, dan Lebai Yazan sendiri akan benar-benar muncul sebagai tokoh agama yang bijaksana. Ketika itulah sifat picisan novel ini akan terhapus, atau setidak-tidaknya dikurangkan. Tetapi kerana unsur jenaka murahan itulah yang menjadi tumpuan Azizi, maka kesempatan yang ada untuk membuat novel ini bermutu hilang begitu saja. Beliau tidak belajar daripada kisah Rabiatul Adawiyyah, atau daripada kisah Fudail bin Iyad, yang kedua-duanya sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai orang-orang yang tidak berapa beruntung awalnya, tetapi menjadi ahli sufi terkenal dan disanjung umat Islam kerana keinsafan mereka kemudiannya. Kedua-duanya hidup sezaman, dengan Rabiah meninggal dua tahun awal daripada Fudail. Mengapa Azizi tidak mahu menjadikan Malang berubah menjadi baik berasaskan teladan dua orang tokoh ini, yang salah satunya disebut olehnya? Barangsiapa yang tahu kisah hidup Fudail bin Iyad tentu akan berasa terkilan apabila Azizi melemparkan begitu saja berlian yang ada di dalam tangannya, mungkin kerana dia tidak kenal, dan jika kenal tidak ada kemahiran untuk mengukirnya menjadi kalung yang indah.

Oleh itu, tidak seorang pun di antara watak-watak dalam novel ini yang muncul sebagai orang baik-baik, yang bermoral dan yang kuat perwatakannya. Seperti yang saya tegaskan, mereka tidak lebih daripada sejenis hantu sahaja, mempunyai nama, tetapi tidak ada peribadi sebagai manusia yang hidup dan berfikir. Inilah hasil kegelojohan bercerita dan

kerakusan berjenaka yang tidak didasarkan kepada pemikiran yang mendalam. Azizi dengan sewenang-wenangnya mempermain-mainkan agama Islam, menjadikannya bahan jenaka murahan. Hasilnya amat mengecewakan, dan sungguh mengejutkan, baik sebagai hasil sastera maupun sebagai hasil analisis politik (?). Oleh itu, novel ini tetaplah berada di peringkat picisan dari segi tema, perwatakan, bahasa, struktur, dan pengolahan. Novel ini hanya mencerminkan kemunduran dan kedangkalan para sasterawan, bukan kecerdikan dan kepintaran mereka mengolah watak dan persoalan. Barangkali Kawin-kawin adalah novel picisan terbaik selepas Salina dan Shit.

Kepincangan penilaian ini berlaku sekali lagi dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. Sekali lagi Azizi Hj. Abdullah diberi kemenangan, dengan mendapat tempat kedua dengan hadiah RM50,000.00. Novel yang diberi kemenangan itu berjudul Harga Sebuah Maruah. Prof. Ungku Maimunah telah menulis satu analisis yang mendalam tentang novel ini dalam sebuah kertas kerja, yang akan dibincangkan dalam satu seminar. Oleh itu saya tidak akan membicarakan novel ini di sini; kita tunggu saja kertas kerja Prof. Ungku Maimunah itu dibentang oleh beliau nanti. Dalam sebuah tulisan lain, Wanita Sebagai Objek Seks: Persepsi dan Pengungkapannya Dalam Novel Bila Hujan Malam oleh Azizi Hj. Abdullah (dibentangkan dalam Seminar SEBUMI 3 2010, 12-13 Oktober 2010 di UKM), Prof. Ungku Maimunah mengutip kesimpulan A. Rahim Abdullah tentang semangat keislaman Azizi, dalam kata-kata berikut: minatnya [Azizi] terhadap kesucian agama Islam menjadi titik tolak pengarang ini menghasilkan novel dan fiksyennya yang bercorak Islam. Tetapi huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah terhadap novelnya Bila Hujan Malam (1976) dan analisis saya tentang Kawin-Kawin (2002) menunjukkan sebaliknya, dengan itu kesimpulan A. Rahim Abdullah tidak saja amat disangsikan kewajarannya, malah membuktikan betapa naifnya penilaian para peneliti sastera, atau pengkritik sastera, seperti A. Rahim Abdullah. Ini menjadi lebih menarik apabila Prof. Ungku Maimunah dalam kertasnya membuat kesimpulan berikut: Penelitian tentang Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, iaitu penilaian karya sastera tertinggi di negara kita, jelas menunjukkan keyakinan yang serupa mendasari penilaian anugerah berprestij tersebut. Prof. Ungku Maimunah merujuk pandangan dan pengakuan Azizi Hj. Abdullah yang menjelaskan mengapa beliau cukup selesa menulis karya picisan yang berunsur seks, mendukung fahaman perlunya kekotoran diutamakan sebagai paksi cerita seperti yang disimpulkan oleh Prof. Ungku Maimunash. Inilah bukti yang diberikan oleh beliau, dalam kata-kata Azizi sendiri: Ini bukan salah saya. Yang salah ialah karya dan penulisan penulis

lain yang mendedahkan dan menelanjangkan semua ini sehingga memberi keyakinan bahawa jika hendak menjadi penulis, dunia seperti inilah yang perlu dikecimpung (hal. 9 dalam buku beliau, Kuras-kuras Kreatif, DBP 2007). Terdahulu dari itu, Prof. Ungku Maimunah mengutip pengakuan Azizi Hj. Abdullah yang memeranjatkan ini: Pada masa itu [1960-an] karya kreatif berunsur lucah sering tersiar ... Saya cuma nampak dunia kejahatan sahaja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis. ... Bagi saya ketika itu, dunia penulisan ialah dunia yang penuh dengan kekotoran yang perlu dibongkar dan diceritakan kepada umum. Bagi saya ilham hanyalah boleh diangkat dari tempat kotor termasuk di dalam tandas (hal. 8-9). Dengan sikap yang begitu naif, yang menyerlahkan aspek pandirisme seorang sasterawan yang hanya suka bercerita (yang bersifat erotik yang mengutamakan kehangatan unsur seks dalam novel), maka tidak hairanlah jika beliau tidak mahu menjadi seorang pemikir, cukup hanya menjadi seorang peniru seperti yang diakuinya. Dalam konteks inilah Azizi Hj. Abdullah mensensasikan hampir semua novelnya, dan ini amat dikagumi oleh pengkritik seperti A. Rahim Abdullah, atau seorang sarjana seperti Prof. Mohd. Mokhtar Hassan yang memberi pujian tinggi terhadap novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang menggunakan ciri sensasi dalam perilaku watak untuk membina cerita yang tidaklah lebih baik daripada sebuah novel picisan biasa. (Lihat tulisan profesor ini, Seorang Tua di Kaki Gunung: Dari Teks ke Teks, untuk Wacana Karya Abad 20, anjuran DBP, Langkawi 19 -21 Disember 2005).

Barangkali contoh terbaik tentang kekeliruan penilaian ini diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Ketika menilai novel-novel A. Samad Said, Panel memberikan pendapat ini untuk novel Langit Petang (DBP 1980; dicetak semula 1988): Yang benarbenar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. Di sinilah terletaknya keistimewaan A. Samad Said sebagai penulis sehingga tiga buah cerpen dapat diadun menjadi sebuah novel yang berkesan. ... Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja. Tetapi selain tekniknya yang merupakan hallmark karangan-karangan A. Samad Said yang mementingkan pengamatan yang terperinci, novel itu mendedahkan kepelbagaian ragam dan tindakan manusia. ... Jadi sebenarnya ada persoalan atau perutusan dalam novel Langit Petang, yang mestilah dicari melalui teknik-teknik yang secara sedar diolah oleh A. Samad Said supaya apa-apa yang digambarkannya dapat mencabar daya fikir kita sebagai pembaca (Laporan 1985, hal. 16-17). Bagaimana kesimpulan yang saling bertentangan ini muncul boleh dilihat kekacauannya apabila dibaca bersama kenyataan ini: Bagi A. Samad Said ...

sastera adalah seni, walaupun sastera tetap membawa falsafah dan pandangan hidup. Mungkin daripada segi inilah A. Samad Said merupakan seorang peneroka dalam alam penulisan novel Melayu ... (hal. 15); diikuti dengan kesimpulan yang menarik ini: Jelas bahawa novel memberi A. Samad Said kesentosaan dan kepuasan bermain di atas kanvas yang besar menjelajah dengan idea-idea tentang erti hidup satu hal yang sering mengacau fikiran dan selalu pula diperkatakan dalam tulisan-tulisannya (hal. 18). Jika kita melihat kesimpulan ini dalam konteks Langit Petang, kita akan berasa amat kecewa kerana karya yang dipuji oleh Panel itu, yang diterbitkan kira-kira 20 tahun selepas Salina, satu jangka waktu yang lama untuk berfikir dan menjadi matang, kita tidak menemui apa yang disebut penjelajahan pemikiran dan idea-idea tentang erti hidup terserlah dalam Langit Petang. Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya, Gender Relations in A. Samad Saids Langit Petang (Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, ATMA 2008; hal. 274-287), menyebut pandangan Rosnah Baharuddin yang menganggap Langit Petang sebagai a novel of ideas, dengan memberi kesimpulan ini: To take Langit Petang on Rosnahs terms, which is to scrutinise opinions and thoughts expressed by the fictitious characters, one is similarly hard-pressed to credit Langit Petang as a novel of ideas (hal. 285). Jika kesimpulan ini, yang dicapai dengan analisis yang teliti, dibandingkan dengan kesimpulan longgar yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati penerokaan dan penjelajahan pemikiran dan idea-idea tentang erti hidup itu tidak terdapat dalam novel yang mendapat pujian tinggi Panel ini, malah yang terjadi adalah sebaliknya. Inilah kesimpulan akhir Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya: ... critical reception that touts Langit Petang as a novel of ideas is faulty at best and harmful at worst. It also points to the need for a fuller understanding of the importance of privileging knowledge and ideas in creative works, and how this may be realised (hal. 287). Barangkali kesimpulan ini sukar difahami oleh anggota Panel dan Rosnah Baharuddin kerana mereka tidak menerima peranan ilmu (yang benar) dalam karya kreatif, walaupun mereka menyebut tentang falsafah, idea, pemikiran dan sebagainya, tetapi semua itu tidak diterima sebagai ciri penting, malah ciri utama, dalam karya kreatif yang berbobot. Dalam konteks inilah kefahaman tentang konsep wacana boleh membantu mereka memahami di mana duduknya ilmu dan pemikiran dalam karya kreatif.

Tema Novel Konserto Terakhir


Definisi Tema Tema ialah idea atau persoalan pokok yang merupakan gagasan pemikiran yang menjadi dasar kepada sesebuah karya sastera. Sesebuah karya biasanya mempunyai satu tema yang biasanya diungkap dalam satu perkataan sahaja. Tema yang dicipta untuk sesebuah novel mestilah berkaitan dengan keseluruhan novelnya. Semua aksi, cerita dan pengalaman dalam novel juga adalah sub kepada tema utama sesebuah novel. Sebenarnya, selepas membaca keseluruhan jalan cerita novel ini, pembaca yang kritis pasti boleh memberikan satu tema yang ringkas, padat dan kukuh berdasarkan novel yang telah dibaca. Ada juga tema yang dinyatakan secara terang-terang dalam novel. Hal ini akan lebih menyenangkan para pembaca mengetahuinya dengan lebih senang. Pada pendapat saya, novel Konserto Terakhir mungkin adalah sebuah novel yang menyampaikan temanya secara terang-terang. Tema untuk novel Konserto Terakhir ialah perjuangan hidup seorang anak muda yang berasal dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara. Berikut ialah bukti-bukti yang dapat dikaitkan dengan kewujudan tema novel Konserto Terakhir. 1. Melalui novel ini, pengarang mengetengahkan liku-liku yang dilalui oleh Hilmi yang sebelum ini tidak mengetahui langsung bahawa dia mempunyai bakat sebagai seorang pemuzik. Bakat itu lahir secara tidak sengaja apabila dia mendengar alunan muzik yang dimainkan oleh Hayati. 2. Hilmi telah bekerja sebagai tukang kebun di rumah bapa saudaranya, Datuk Johari. Setiap kali Hayati bermain piano, Hilmi sengaja mencari kerja yang dekat dengan suara alunan piano itu. 3. Minat Hilmi terhadap muzik semakin memuncak. Dia telah mengusik piano Hayati dan memainkan beberapa buah lagu seperti lagu anak ikan. Pengarang melukiskan bakat yang ada pada Hilmi itu yang membolehkan nalurinya menggerakkan jari-jarinya bermain piano walaupun sebelum ini dia tidak ada asas muzik dan tidak pernah mengenal piano. Peristiwa itu menyebabkan piano itu rosak dan Datin Salmah memarahi Hilmi. 4. Keazaman untuk menjadi pemuzik menyebabkan Hilmi belajar muzik daripada Encik Bakar, seorang pemimpin quartet yang terkenal. Dengan bimbingan Encik Bakar, Hilmi boleh bermain biola, trompet, seksofon, dan klarinet. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu seperti Sebuah Intermeso dan banyak lagunya yang menjadi pujaan ramai. 5. Dunia muzik yang ada jatuh dan bangunnya juga dirasai oleh Hilmi. Hilmi memulakan kariernya dalam dunia muzik apabila bermain dalam quartet di bawah pimpinan Encik Bakar dan akhir-nya digelar sebagai Pemain Biola Hikmat Malaysia.

6. Dia juga telah menubuhkan sebuah kurigan yang diberi nama Kurigan Dahlia mengikut perkembangan muzik di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi ketika itu. Pengaruh muzik itu mula hilang dan Hilmi kembali menyertai orkestra dan telah memimpin orkestranya dan menjadi johan tiga kali berturut-turut dalam pertandingan yang dianjurkan oleh RTM. 7. Kejayaannya itu menyebabkan dia telah ditawarkan untuk memimpin pertunjukan Orkes Perdana yang sama tarafnya dengan Royal Performance di England dan membuat arrangement semua lagu ciptaannya dan arrangement itu diberi nama Hilmi Potpouri. 8. Walaupun terlalu banyak rintangan yang perlu dilaluinya untuk menjadi seorang pemuzik profesional, namun bagi Hilmi yang tabah, dia telah melalui setiap cabaran hidupnya dengan nilai-nilai murni. Posted by CIKGU TAN CL at 8:30 PM 1 comment: Dalam makalah ini istilah pensajak digunakan untuk menggantikan istilah penyair yang tidak sesuai digunakan kerana sajak bukannya syair, tetapi hanya satu bentuk karangan berangkap (istilah Pendeta Zaba) yang ringan dari segi isi dan mudah dari segi bahasa, walaupun sajak kadang-kadang terlalu tepu dengan penggunaan bahasa yang dibuat-buat, misalnya penggunaan retorik yang keterlaluan seperti metafora, perbandingan, pengulangan, dan lain-lain jenis retorik yang biasa digunakan dalam sajaksajak Inggeris/Barat. Pendeta Zaba menegur keterlaluan bahasa kiasan ini dalam kitabnya, Ilmu Mengarang Melayu (versi Jawi, 1956). Kata beliau, Jangan memakai bahasa kiasan yang terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya. ... Jauhi memakai kiasan yang tiada bererti kepada pembaca atau pendengar kerana perbandingannya tiada pernah dilihat atau diketahui mereka. Begitu juga kiasan yang terpaksa dihuraikan terang-terang baharu orang mengerti. Tiap-tiap bahasa kiasan itu hendaklah kena tentang memakainya, bukannya boleh bila suka dan di mana suka saja. ... Jangan bersengaja-sengaja hendak memakai bahasa kiasan. Biar ia datang sendiri jikalau alun tujuan yang dikarangkan itu membayangkan kepada hati kita sesuatu yang munasabah. Pakailah itu; tetapi jika tidak demikian nescaya kiasan itu kelak kelihatan mengaga-ada saja. (hal. 230). Apa yang disebut oleh Pendeta Zaba menjadi kebiasaan dalam sajak-sajak moden. Pensajak berlumba-lumba

menggunakan bahasa kiasan sesuka hati mereka, dan akan marah jika ditegur. Sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh melanggar semua teguran Pendeta Zaba, oleh itu sajak-sajak beliau penuh tepu dengan metafora yang dibuat-buat dan diada-adakan, yang membuat sajaksajak beliau kering kontang daripada percikan kebijaksanaan yang boleh kita dapati dengan mudah dan banyak dalam syair-syair Iqbal misalnya, atau dalam sanjak-sanjak (istilah ini dipakai oleh Amir Hamzah) renungan Amir Hamzah. Misalnya, sanjak Amir Hamzah Berdiri Aku adalah contoh yang jelas tentang aspek ini.

Istilah pensajak adalah tepat menggambarkan kemunculan para penulis sajak yang begitu ramai. Tetapi hanya sedikit sahaja daripada mereka yang benar-benar berbakat dan berupaya menyerlahkan ketinggian kreatif dan ilmu dalam sajak-sajak mereka. Kira-kira 90% daripada pensajak ini tidak berbakat dan tidak berilmu, tetapi mereka boleh menulis sajak dengan meniru pensajak lain. Sajak mudah ditulis kerana tidak terikat kepada apa-apa bentuk khusus, dan tidak semestinya mengandungi isi yang tinggi, fikiran yang tinggi seperti yang terdapat pada syair, menurut penjelasan Pendeta Zaba dalam kitabnya, Ilmu Mengarang Melayu. Mereka ini pandai menulis kerana sajak tidak sukar ditulis oleh sesiapa saja; tetapi mereka tidak pandai mengarang kerana mengarang memerlukan pemikiran dan bakat yang besar di samping penguasaan ilmu yang luas. Pensajak Melayu biasanya cetek dari segi penguasaan ilmu dengan pengalaman keilmuan yang terbatas, dengan itu mereka tidak berupaya melontarkan pemikiran yang tinggi-tinggi yang perlu diungkap dalam bentuk sajak. Kekurangan ini mencerminkan keterbatasan sajak sebagai karangan berangkap, yang lebih mudah digunakan untuk menulis tentang perkaraperkara biasa yang mudah, seperti peristiwa yang berlaku, pengalaman mengembara di luar negeri, lintasan perasaan yang melimpah dengan perasaan marah, benci, kecewa, cinta nafsu, protes dan yang seumpama itu. Kelahiran sajak-sajak protes yang begitu banyak tidak

semestinya didorong oleh kesedaran yang mendalam tentang sesuatu persoalan masyarakat, yang mesti diluahkan dalam sajak yang mantap (menurut istilah Prof. Rahman Shaari); sebaliknya lebih merupakan luahan perasaan yang tidak disaring dengan pemikiran dan analisis yang biasanya kita dapati dalam puisi-puisi agung yang ditulis oleh penyairpenyair besar seperti Iqbal, Rumi, Hamzah Fansuri, Amir Hamzah dan penyair-penyair China seperti Tu Fu, atau penyair-penyair Barat seperti Goethe, Shakespeare dan lain-lain. Untuk mendapat contoh yang mudah, sila lihat syair-syair Iqbal dalam Asrar-i Khudi.

Sajak adalah satu tajuk yang paling sukar dibicarakan dengan tepat dan objektif, kerana sehingga ini, selepas lebih dari 80 tahun muncul di Tanah Melayu, sajak masih lagi seperti air, menampilkan bentuknya dalam bekas yang dipilih oleh pengguna air. Menurut Prof. Rahman Shaari, seorang tokoh penganalisis sajak yang paling terkemuka di Malaysia sekarang, dalam syarahan perdananya (2004) yang membicarakan kemantapan puisi Melayu moden (yakni sajak), berpendapat sajak adalah puisi bebas dari segi bentuk dan isi, ditiru dari Barat (berasal dari Barat) (hal. 8). Namun peniruan itu disesuaikan dengan keperluan tempatan, tegas Prof. Rahman Shaari. Oleh itu puisi bebas itu masih berakar dalam tradisi Melayu yang mengemukakan puisi bebas dalam mantra. Adakah ini bermakna sajak adalah sejenis mantra moden? Saya cenderung untuk bersetuju dengan pandangan Prof. Rahman Shaari, kerana dari segi penampilannya, sajak pada dasarnya mempunyai tiga matlamat: sebagai mantra peribadi, untuk memuja individualisme, seperti sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, seorang sasterawan negara; sajak juga digunakan sebagai mantra peribadi untuk menceritakan kehidupan penulis sajak sendiri, seperti yang ditunjukkan oleh Leo A.W.S. dalam sajak-sajaknya; atau sajak juga menjadi mantra masyarakat, untuk mengkritik perkara-perkara tertentu dalam masyarakat, seperti yang ditunjukkan oleh T. Alias Taib dalam sajak-sajaknya. Termasuk dalam kategori ini ialah

sajak-sajak protes, yang amat banyak ditulis oleh penulis sajak Malaysia. Berasaskan tiga contoh daripada tiga orang pensajak itu, maka kedudukan sajak sebagai mantra mempunyai asas yang kukuh, boleh dihujahkan dengan mengemukakan bukti yang sangat mudah didapati. Dengan menerima sajak sebagai mantra moden, maka jelaslah bahawa para pensajak bukanlah pemikir seperti yang sering didakwa oleh para pensajak sendiri, dengan sokongan para pengkritik, terutamanya jika dia sendiri menulis sajak. Dalam kehidupan Melayu lama, mantra digunakan oleh para bomoh untuk keperluan tertentu, tetapi mantra hanya sebahagian daripada alat bomoh, bukan satu-satunya. Sebaliknya, sajak sebagai mantra Melayu moden, berubah fungsi seperti yang diterangkan di atas. Tetapi perubahan fungsi ini tidak seluruhnya menghapuskan fungsi lama, kerana para pensajak atau pembaca sajak, ketika membacakan sajak-sajak mereka, masih berlagak seperti bomoh yang membaca mantra mereka. Ini boleh dilihat dengan mudah dalam pertandingan membaca sajak atau apaapa juga majlis baca sajak. Dalam kata-kata seorang pensajak ketika berbicara tentang sajak (sebuah sajak panjang):

sajak adalah sajak sajak adalah sajak sesajak mana pun tetap sajak kerana sajak sesuatu yang yang tak boleh tak bersajak yang tak pandai berbohong yang tak pandai mengampu-ampu yang tak pandai berpelawak yang tak pandai memutarbelit yang tak tahu memberitahu yang tak tahu, sama ada yang bersajak atau tidak ... ... ... ... tetapi seboleh mana pun sajak adalah masih sajak, tetap sajak kerana sajak adalah sajak tak siapa pun boleh mempertidakkan apabila sajak adalah sajak. sajak.

(Nawawi Mohammad, Nota Orang Bersajak (1987, hal. 39-40.)

Jika diperhatikan betul-betul, inilah bentuk mantra moden yang dinamakan sajak itu. Bentukbentuk begini banyak sekali terdapat dalam dua kumpulan sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang akan dibicarakan nanti. Oleh sebab pensajak ini telah dipilih menjadi sasterawan negara, maka mantra moden yang dinamakan sajak itu telah diterima sebagai janru baru sastera Melayu moden.

Jikalau kita membaca dengan kritis syarahan perdana Prof. Rahman Shaari tentang kemantapan sajak-sajak Melayu, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana mantra itu menjadi dasar kepada sajak-sajak Melayu dalam tiga konteks yang saya kemukakan di atas. Prof. Rahman Shaari menunjukkan bagaimana Usman Awang menulis sajak dalam tiga kategori mantra yang disebut di atas (baca huraiannya pada halaman 17-27). Baha Zain pula menulis mantra berbentuk moden yang berunsur erotik dalam bentuk sajaksajak konfesi (menurut istilah Prof. Rahman Shaari; hal. 41-46). Sajak-sajak konfesi Baha Zain adalah sajak-sajak erotik bersifat protes yang menggunakan pelacuran sebagai asas protes itu. Kini timbul sejenis mantra baru, yang dipanggil sajak-sajak sufi, (kategori ini tidak disenarai oleh Prof. Rahman Shaari) yang ditulis oleh penulis yang bukan sufi dari segi amal, cara hidup, akhlak dan ilmu. Sajak-sajak sufi ini sama saja dari segi mutu dengan sajak-sajak konfesi yang disebut oleh Prof. Rahman Shaari. Paling menarik ialah sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang dimitoskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, Prof. Rahman Shaari dan lain-lain sahabat profesor ini, terutama sekali Baha Zain, sebagai seorang penulis sajak yang bercorak intelektual. Seperti biasa, tidak ada contoh yang konkrit, yang tidak boleh disangsikan dan tidak boleh diragui yang menunjukkan pensajak ini menulis sajak-sajak intelektual. Prof. Rahman Shaari

memberi dua contoh untuk membuktikan pensajak ini menulis sajak-sajak intelektual. Pertama, sajak yang tidak diterima oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri (hal. 11, sajak Aku Datang Padamu, tersiar dalam Dewan Masyarakat, Ogos 1969); dan kedua, sajak Pulang Si Tenggang. Sesiapa juga yang mengatakan sajak kedua itu sajak intelektual adalah keliru besar. Tidak ada nilai intelektual yang jelas dalam sajak itu, kecuali hanya pernyataan bersifat ghurur dan biadab. Misalnya: aku sudah belajar/ jadi kurang ajar. Dalam terjemahan Inggeris yang dibuat sendiri oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, kedua-dua baris ini diterjemah seperti berikut: Ive learnt/ the ways of the rude. Dalam bahasa Melayu, kedua-dua baris itu menyerlahkan keangkuhan pensajak yang kini dengan lantang mengaku dia sudah jadi kurang ajar, oleh itu boleh berbuat apa saja untuk membuktikan sifat kurang ajarnya itu. Maka sebab itulah dia yang sudah belajar jadi kurang itu menjadikan Si Tenggang sebagai wira bagi dirinya. Dalam versi Inggeris, maknanya sudah berpindah dari sifat kurang ajar menjadi sejenis pengalaman dalam memahami kekurang-ajaran orang lain. Oleh itu, kedua-dua versi ini tidak sama, dengan itu Prof. Dr. Muhammad telah membuat pembetulan; dan pembetulan itu mencerminkan perubahannya setelah dikritik. Sayang sekali Prof. Rahman Shaari tidak menerima pembetulan ini, oleh itu tidak disebutnya dalam syarahannya. Sajak pertama Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah diulas oleh Alis Murni dalam isu yang sama majalah berkenaan (DM, Ogos 1969). Menurut beliau, itulah sajak Prof. Dr. Muhammad yang pertama dalam bahasa Melayu; dan dari segi mutu sajak-sajak beliau dalam bahasa Inggeris jauh lebih baik. Menarik juga apabila Alis Murni membuat kesimpulan sajak itu berisi dengan pemikiran. Setelah membaca sajak itu tiga empat kali, saya kira sajak itu biasa saja, sajak remaja seorang penulis yang baru belajar menulis dalam bahasa Melayu. Agak saya itulah sebabnya sajak itu ditinggalkan oleh Prof. Dr. Muhammad, tidak dimasukkan ke dalam dua kumpulan sajak-sajak pilihan beliau. Jika betul sajak itu sajak intelektual, tentulah aneh

mengapa Prof. Dr. Muhammad tidak berminat! Kita akan cuba menjawab teka-teki ini dalam analisis berikutnya. Sebelum itu saya akan berbicara sedikit tentang pensajak Leo A.W.S.

Leo AWS dan sajak-sajak autobiografi

Satu keistimewaan Leo AWS yang tidak ada pada pensajak lain ialah usahanya yang berterusan, dan seolah-olah sengaja dan terancang, ialah kaitan sajak-sajaknya dengan kehidupannya. Baliau adalah pensajak yang menulis sajak-sajak autobiografi yang bercerita tentang kehidupannya sejak kecil hingga terkini , boleh dikatakan dalam hampir semua sajaknya. Kita akan menemui tokoh-tokoh kampung yang bercerita tentang ayahnya, tentang peristiwa di kampungnya, dan tentang peristiwa-peristiwa lain yang dengan pandai dikaitkan dengan kehidupannya. Bacalah cerita-cerita menarik tentang pengalamannya mengajar di pedalaman Sarawak; atau cerita-cerita masa kecilnya bermain di sungai; tentang kematian kaum kerabat dan jiran sekampung; dan lain-lain peristiwa yang menarik minatnya. Paling istimewa ialah perihal pekahwinannya dan kelahiran anak-anaknya. Tentulah isterinya berasa bangga dan bersyukur kerana melalui sajak-sajak istimewa untuk isterinya ini kita dapat melihat kehidupan sederhana keluarganya. Leo AWS banyak bercerita tentang keluarga sebelah bapanya, misalnya tentang datuknya yang mempunyai syarikat bas tahun 1930-an, tentang kekayaan datuknya, dan tentang kaum keluarga sebelah ayahnya, dengan cerita-cerita yang mengharukan tentang kegigihan ayahnya memelihara anak-anaknya. Dia jarang bercerita tentang keluarga sebelah ibunya, mungkin kerana tidak mngenali dengan dekat keluarga Tok Ayah Tok Guru Hj. Taib, seorang alim dan pendekar yang sangat terkenal, seorang tokoh yang sangat berpengaruh tidak saja di kampung, tetapi juga di istana dan di kalangan pembesar negeri Kelantan. Tok Guru Hj. Taib bersahabat baik dengan Datuk Perdana, Menteri Besar Kelantan, bapa kepada Tan Sri Nik Ahmad Kamil. Kependekarannya

menjadi lagenda yang hingga kini masih disebut di kalangan orang kampungnya. Antaranya yang masyhur ialah dia mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga dapat melancar lembing dari rumahnya di tepi Sungai Kelantan ke seberang sungai. Tatkala bertamu di rumah sahabatnya Datuk Perdana, Tok Guru Hj. Taib akan menunggu sahabatnya di luar bilik air dan menyerangnya sebaik saja sahabatnya keluar; demikiran sebaliknya. Mereka tertawa kerana setiap serangan ditepis dengan mudah. Gurauan yang berbahaya, kerana mereka menggunakan keris untuk menyerang. Anak Tok Ayah yang paling terkenal ialah Hj. Zakaria, datuk Leo AWS sebelah ibu. Hj. Zakaria, yang menggunakan nama samaran Muhammad bin Taib dan lain-lain nama samaran, banyak menulis dalam majalah Pengasuh (telah dikumpul oleh Drs. Abdul Rahman Ahmadi). Beliau adalah guru pertama yang mengajar di Sekolah Majlis Agama Islam di Pasir Mas. Selain itu, sebuah tulisannya dimuat dalam buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul Pelopor Esei Melayu.(Judul ini saya sebut dari ingatan, mungkin tidak tepat.) Tetapi Hj. Zakaria lebih terkenal sebagai seorang qari (di Kelantan dipanggil tukang lagu), yang setiap bulan puasa akan membaca Quran, bersama qari-qari terkenal yang lain, di Istana Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Dua orang muridnya, Hj. Ahmad Masum Pergau dan Hj. Yusuf Kedondong (Pasir Mas) adalah pemenang bacaan Quran peringkat antarabangsa, dengan Hj. Ahmad Masum Pergau menjadi johan pertama peringkat antarabangsa. Hj. Zakaria adalah ayah kepada Tan Sri Ahmad Noordin. Untuk Tan Sri Ahmad Noordin, Leo AWS menulis sebuah sajak berjudul, Nazam Arwah Pak Su Mat Noordin (Gelombang Cenkerama dan Tsunami, DBP 2010, hal. 208-210). Adik Hj. Zakaria, iaitu Hj. Hamzah, seorang guru, adalah juga seorang penulis yang menulis dalam Pengasuh, Hiburan dan lain-lain majalah di zamannya. Beliau menulis tentang bahasa dan tajuk-tajuk umum tentang agama dan kebudayaan Melayu. Beliau pernah berpolemik dengan Al-Adib Muhammad Adnan Ariffin (Mashfa) dalam majalah Hiburan. Tokoh-tokoh ini, kecuali Tan Sri Ahmad

Noordin, tidak pernah muncul dalam sajak-sajak Leo AWS kerana beliau tidak mengetahuinya. Berbanding dengan keluarga sebelah ayahnya yang terdiri daripada golongan berada, mempunyai banyak tanah, yang digelar saudagar di kampung kelahirannya, maka keluarga sebelah ibunya adalah golongan terpelajar yang tidak berharta, tetapi mereka terdiri daripada ulama, penulis, guru, pegawai tinggi kerajaan dan lain-lain. Sama ada hakikat ini menguntungkan Leo AWS atau tidak, bolehlah diperiksa dalam sajak-sajaknya.

Mungkin Leo AWS tidak mempunyai bakat besar sebagai pensajak, tetapi beliau mempunyai kedegilan seorang yang bercita-cita besar untuk menjadi pensajak terkenal. Usaha itu tidak sia-sia. Dengan terbitnya kumpulan sajak pilihan beliau berjudul Gelombang Cengkerama dan Tsunami (DBP, 2010), Leo AWS telah membuktikan kemampuannya bertahan selama lebih tiga dekad bercengkerama dengan sajak-sajaknya, sehingga mendapat perhatian yang selayaknya daripada organisasi sebesar Dewan Bahasa dan Pustaka. Leo AWS adalah seorang yang pemurah dan sentiasa menyokong teman-teman pensajaknya, tidak saja dengan memuji mereka (dan sebaliknya), malah turut membantu mereka menerbitkan karya-karya mereka melalui Dewan Pustaka Puisi, satu penerbit kecil yang besar jasanya menerbitkan karya-karya pensajak yang sukar mendapat tempat di penerbitan lain. Sesuai dengan sikap pemurahnya kepada teman-teman pensajak, maka mereka juga bermurah hati mempromosi sajak-sajak Leo AWS dengan memberi komentar yang bagus-bagus dan sokongan moral yang jujur untuk melihat teman mereka bersinar dalam bidang persajakan Melayu. Leo AWS adalah pensajak rakyat, yang saling membantu satu sama lain. Dari segi itu mereka tidak berbeza dengan tokoh-tokoh besar dalam persajakan Melayu, dengan satu perbezaan yang sangat ketara: tokoh-tokoh besar ini seolah-olah bersatu membantu satu sama lain untuk mendapat faedah terbaik daripada kesempatan terbaik yang disediakan oleh kerajaan dan lain-lain badan yang berminat.

Dengan itu kita lihat mereka inilah yang mendapat anugerah dan lain-lain hadiah yang disediakan. Itulah sebenarnya yang terjadi pada institusi Anugerah Sastera Negara. Anda perlu mendapat sokongan teman-teman anda yang berpengaruh untuk mendapat gelaran Sasterawan Negara. Ketika dipilih sebagai sasterawan negara 1985, A. Samad Said pernah memberitahu saya beliau pernah menolak ketika namanya naik pertama kali; tetapi kali ini beliau perlu menerimanya untuk tidak menyinggung teman-teman yang berusaha mengangkat beliau. Anda tidak perlu ragu-ragu tentang kesimpulan ini, cukup sekadar anda memeriksa siapakah para sasterawan negara itu dan siapa pula di belakang mereka. Hakikat ini pernah disuarakan oleh A. Samad Ismail dalam suratnya kepada Leo AWS (disiarkan sepenuhnya dalam buku beliau Langit Dusunku (Pustaka Dewan Puisi, 2003, hal. 68-70). Kata A. Samad Ismail: Saya menekankan bahawa bidang sastera sekarang dikuasai oleh MAFIA sastera dan semacam cronyism yang kesannysa memudaratkan perkembangan sastera yang sihat. (Surat bertarikh 30 November 1998). Saya tidak sampai mengatakan adanya MAFIA sastera; tetapi saya mengatakan betapa pandirisme dijadikan arus perdana dalam sastera Melayu moden, mungkin oleh orang-orang yang menjadi anggota MAFIA sastera seperti yang dimaksudkan oleh A. Samad Ismail.

Dalam dunia yang penuh muslihat ini, seorang pensajak yang jauh lebih berkualiti sajak-sajaknya seperti T. Alias Taib daripada pensajak seperti sasterawan negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, tidak dijeling pun untuk diberi anugerah itu. Beliau tidak mempunyai teman-teman berpengaruh, oleh itu sajak-sajak beliau tidak bermutu. Tetapi sajak-sajak beliau jauh lebih bermutu daripada sajak-sajak sasterawan negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.

T. Alias Taib sebagai pensajak rakyat

T. Alias Taib mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak dimiliki oleh sasterawan negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Beliau seorang pensajak rakyat yang dengan jujur mengangkat kehidupan rakyat jembel sebagai tema penting dalam sajaksajaknya. Dalam tangannya, rakyat jembel ini seolah-olah mendapat pembelaan yang jujur daripada seorang pensajak yang tidak saja menerima kewujudan mereka dengan penuh simpati, tetapi dengan penuh simpati meletakkan mereka sebagai tokoh-tokoh yang dihormati di dalam sajak-sajaknya. Dia berbicara tentang kehidupan seorang tukang gunting (dalam Puisi Baharu Melayu 1961-1986, DBP 1990, hal. 312), yang secara khusus dilukiskannya dalam sajak Tukang Gunting (Gurindam Alam, 1994) dalam bahasa yang sederhana, tetapi menyentuh kalbu: Dengan sebilah gunting Sebuah cermin sompek Sebuah sisir rongak Dan bangku kaki tiga Ia ukir nafkah keluarganya. Tidak saja tukang gunting itu sudah tua, tetapi alat-alatnya juga sudah tua, tetapi dari alat yang tua itu dia mengukir nafkah keluarganya. Ungkapan ia ukir nafkah keluarganya tidak saja cantik, tetapi begitulah kehidupan rakyat jembel, begitu bersungguhsungguh mencari rezeki, seperti seorang pengukir yang tekun dengan ukirannya. Tetapi hasilnya belum tentu boleh dijual dengan harga mahal, seperti rakyat jembel yang begitu tekun mencari rezeki, belum tentu mendapat pendapatan yang cukup untuk keluarganya. T. Alias Taib ternyata mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak dapat diragui lagi dalam mengukir kehidupan rakyat jembel ini. Tepat sekali dia menggambarkan dirinya sebagai pensajak dalam rangkap berikut: Aku pembeli masalah orang Menyusunnya menjadi kata-kata Dan menjualnya kepada pemikir. Aku juga kadang-kadang pembeli

Masalah dan masa sudah sendiri. Tidak seperti ikan dan sayuran Masa sudahku lebih mahal Sesudah senja dan murah Di sebelah pagi. (Pembeli Masa Sudah, Utusan Zaman, 28 November 1993)

Sindiran dan ejekan yang tajam dalam ungkapan dan menjualnya kepada pemikir adalah cabaran pensajak ini kepada para sarjana, pengkritik dan para sasterawan sepertinya. Siapakah yang telah membeli sajak-sajak beliau dengan menerima cabarannya? Nampaknya tidak seorang pun menyahut cabarannya itu, dengan itu T. Alias Taib sebagai seorang pengukir kata-kata dalam sajak-sajaknya yang mesra pembaca, tidak muncul dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari sebagai seorang pengukir sajak yang handalan. Sebaliknya T. Alias Taib dibicarakan sebagai seorang pensajak yang menulis sajak-sajak konfesi (hal. 44-45), sama seperti Baha Zain dan lain-lain, padahal sebagai pensajak yang begitu serius dan tekun mengukir sajak-sajakya, beliau jauh lebih maju dan lebih berbakat daripada Baha Zain atau Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Hanya silapnya, T. Alias Taib tidak termasuk ke dalam kumpulan yang disebut oleh A. Samad Ismail, dengan itu beliau tidak muncul sebagai seorang pensajak yang hebat. Jadi bukan tukang guntingnya saja yang menerima nasib malang, malah beliau sendiri menghadapi nasib yang sama.

Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pensajak catatan perjalanan

Perkara yang menarik tentang pensajak ini ialah mitos yang dibina di sekitar dirinya, yang dipercayai pula oleh diri yang dimitoskan. Kata Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1991 (hal. 30): Muhammad adalah antara penyair kita, yang puisipuisinya akan bertapak lama kerana mutunya yang tinggi serta persoalannya yang menarik. Beliau mempunyai bakat, berilmu dalam bidangnya dan mempunyai sikap

pilihannya terhadap seni dan kehidupan. Beliau sendiri sering mencari tema penting dan usaha mencipta puisi yang baik, seperti yang pernah diungkapkannya sendiri: Teks puisi haruslah persoalan penting, bukan gambaran sementara, untuk dibaca dan dilupakan dalam waktu yang singkat, tetapi lebih membuat seseorang pembaca atau pendengar itu terus memikirkan tentangnya. (Pengalaman Puisi, hal. 10). Itulah kesimpulan Panel tentang sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.

Tetapi sekiranya kita membaca dengan kritis dua kumpulan sajak beliau yang beliau pilih sendiri, Sebuah Unggun Di Tepi Danau (1996), dan Aksara Usia (1998), keduaduanya edisi khas (dan istimewa) sasterawan negara, kita tidak menemui apa yang disebut mutu yang tinggi, persoalan yang menarik, atau tema penting. Semua itu menjadi ujian penting kepada pensajak yang mengaku (dalam kutipan yang dipilih oleh Panel) bahawa teks puisi haruslah persoalan penting, bukan gambaran sementara. Jika anda membaca kedua-dua kumpulan sajak itu, anda akan bertemu banyak sekali catatan perjalanan yang coraknya seimbas lalu, bukan pemerhatian yang tajam dan mendalam seperti yang diperlihatkan oleh Iqbal yang menulis tentang Masjid Cordoba misalnya (dalam Baharum Rangkuti, Asrar-i Khudi: Rahsia-Rahsia Peribadi, Bulan Bintang, 1976 (cetakan ketiga), hal. 181-186). Jika anda berkata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kelihatan sangat lekeh untuk disebut bersama Iqbal, maka anda harus menerima hakikat bahawa pensajak ini dibanding sejajar, setaraf, dengan penulis seperti William Butler Yeats, Robert Frost dan lain-lain. Sajak Pulang Si Tenggang yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh pensajak sendiri, diletak setaraf dengan sajak-sajak Inggeris yang original (lihat misalnya Selected Poems and Short Stories, Form 4). Dalam Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh (DBP,2003, diselenggarakan oleh Prof. Zawiah Yahya), Bab 15, pensajak ini dibandingkan dengan W. B. Yeats (hal. 244-277). Dengan itu tidak ada sebab atau alasan

langsung untuk berkata Iqbal terlalu besar sebagai pemikir dan penyair Islam yang ulung, sedangkan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh hanya seorang pensajak biasa yang amat sederhana kemampuan intelektualnya dan kemampuan kreatifnya. Di sinilah kita boleh melihat dengan jelas dan terang betapa palsunya pemitosan (maaf menggunakan perkataan yang tidak terdapat dalam Kamus Dewan, padahal DBP sangat aktif dalam pemitosan itu) yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara terhadap tokoh ini. Iqbal saya sebut dalam konteks perbincangan Maulana Abu Hassan Ali Nadwi yang dalam menghuraikan ciriciri sastera Islam, berkata bahawa sastera itu bersifat tabii (al-adab al-tabii, menurut terjemahan Dr. Adli Hj. Yaccob, sastera tulen/asli); sedangkan sastera sekular pula adalah aladab al-sinai, sastera buatan, karya yang artifisial). Sifat buatan atau dibuat-buat ini menjadi ciri utama sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam dua kumpulan sajak pilihannya. Saya tidak perlu menurunkan apa-apa contoh untuk membuktikan kebenaran kesimpulan saya, kerana contoh-contoh itu berserabut, berselirat dalam sajak-sajak beliau yang dimuat dalam dua kumpulan sajak itu. Tetapi untuk tidak terlalu menghampakan pembaca, saya gagahkan juga mengemukakan contoh-contoh pendek ini yang sangat jelas ciri mantranya. Inilah contoh-contoh mantra yang dimaksudkan:

sajak ini ditulis di atas deru teksi yang mengalir di pintu hotel murah di landen yang mahal dariku landen memeras darah bangsa dan bahasa dan mengembalikan marks and spencer, bbc beatles dan drama kaya hias-pentas (Sajak senyum kesejukan, Aksara Usia, hal. 117) setitik air ludah sebutir buih kata yang terlepas

dan pecah jadi udara setimbun kata ingatan yang kulonggok di depan diri itulah persembahanku untuk zaman tuli (Aksara Usia, hal. 46). yang kami perlukan kata benar, bukan cerita besar, ditambah rempah kisah, kerana dalam alir hikayat sudah cukup makna dan kias yang dapat mengalir ke sungai kecil diri. jadi, tamanlah pohon cerita yang berakar pada akal, supaya dapat kami percaya dan menjadi ahli kekal. (Sajak Yang kami perlukan, ditulis di Makkah. Aksara Usia, hal. 29) Contoh lain dalam kumpulan Sebuah Unggun di Tepi Danau DBP 1996): kau juga milik kami, goethe, yang melalui baris-barismu dengan keasingan atau akrab pelat penterjemah, di semenanjung, benua, atau pulau, di benang khatulistiwa, buku air batu artik. ....... ....... sepertimu aku terlantar pada sungai takdir, sekali murung sebagai sarjana tetapi sering bercermin kaca lusuh dan memihak pada pintar mephistopheles. (Dari baris-baris dari muzium goethe, Sebuah Danau, hal. 5). Apakah maksud beliau dengan baris: dan memihak pada pintar miphistopheles. Tidak mungkin Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak tahu yang dikaguminya itu Raja Iblis dalam

puisi naratif Faust. Jika anda membaca mantra Melayu lama, hal-hal begini memang lumrah ditemui.

Penjelasan dan jawapannya mungkin kita dapat dalam sajak berikut:

kiasan kiasan itu kuasa di negeri bahasa atau ceruk wacana, kata yang dipulas maknanya mungkin menjadi jerejak penjara untuk penyair termadat ibarat. Adakah beliau sendirilah penyair termadat ibarat itu? Nampaknya begitulah, seperti yang dapat kita lihat dalam dua kumpulan sajak pilihannya. Terdapat banyak sekali kata-kata yang dipulas maknanya, hasil dari tabiat termadat ibarat itu.

Supaya perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas, saya salin puisi Mohd. Affandi Hassan berjudul, Al-Andalus yang terdapat dalam novel beliau, Pujangga Melayu (hal. 106-108).

Al-Andalus Aku berdiri di Wadi al-Kabir Cordoba Namamu tetap indah dalam sejarah Di sini memancar pena Ibn Rushd Menyinar seluruh Eropah, hiduplah Aristotle Dibangkitkan oleh Hayy bin Yaqzan, yang tetap jaga Ibn Tufayl dalam hatiku, Ibn Hazm dalam akalku Di sini Ibn Bajjah mengajar Galileo yang bakal lahir Cordoba Kamu tidak runtuh kerana kini terbina tamadun Di atas timbunan syuhada dan dakwat ulama.

Cordoba Masjid agungmu bilakah berkumandang Azan masa lampau yang mengalun di Wadi al-Kabir? Cordoba Aku bukanlah musafir yang dikalahkan Engkau yang melahirkan Ibn Arabi Bisa lagi melahirkan seorang Ibn Yusufi Engkau yang telah melahirkan Ibn Hazm Bisa sekali lagi melahirkan tokoh agung Kerana yang bakal lahir mendapat ilham darimu Cordoba Jembatanmu masih kuat, menjadi bererti Kerana masjidmu yang megah masih lagi melaungkan azan kemenangan: Muslim seluruh dunia, bina kembali Cordoba Dalam hati dan akalmu Engkau yang melahirkan Ibn Rushd Mengapa kau benamkan semangatmu di Wadi al-Kabir? II Al-Hambra Di depanmu aku berdiri, merenung masa silam yang terus hidup pada keindahanmu Di bawah bumbungmu aku rasa keagungan Allah Di cakerawala langit-langitmu aku rasa kekecilan diriku Di dindingmu terpahat keagunganmu: Kemenangan hakiki kepunyaan Allah semata! Itulah amaranmu, rahsia yang minta dibaca Itulah cabaranmu, keberanian yang minta dibela Itulah makna perjuangan, kemusnahan bukanlah kekalahan Benang ukiranmu yang halus itulah kekuatan Kini telah putus dalam hati kami al-Hambra Kami kini terikat tali besi kebaculan rohani Kini kami terpenjara dalam ketamakan kuasa Kami tidak punya apa-apa, engkau punya segala Kami papa dalam kaya, engkau kaya dalam makna Kami penonton hanya, engkau pembina al-Hambra Bayu lembut tamanmu terus bertiup Lena teruskah hati yang kini tertutup? III al-Andalus Siapa yang mengenalmu pasti terus kagum Meski kini sejarahmu hanya tercatat di kertas Siapakah bisa menandingi tamadunmu Yang menemukan Ibn Rushd, Maimonides, Alfonso? Wadi al-Kabir

Engkau mengalirkan ilmu ke seluruh dunia Meski airmu hanya melimpah di al-Andalus Wadi al-Kabir Bilakah airmu akan membanjiri dunia lagi? Pertanyaan di akhir puisi sekali gus berupa cabaran, harapan, dan seruan jihad untuk disambut oleh para ilmuan Islam dan pejuang Islam seluruh dunia. Jika puisi ini dibaca dengan teliti dan dinilai dengan objektif, berasaskan ilmu yang benar, kita akan dapati dari segi makna dan stylization of ideas yang terkandung di dalamnya tidak dapat ditandingi oleh dua kumpulan sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berselirat dengan madat ibarat tetapi kering dari segi makna yang mendalam. Jika anda baca sajak-sajak Nahmar Jamil dalam Duka Mukmin (2005), anda akan bertemu dengan puisi-puisi pendek yang dari segi mutu dan maknanya jauh mengatasi mana-mana sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam dua antologi beliau. Sajak-sajak pendek Nahmar Jamil ini kaya dengan percikan kerohanian yang tulus, yang tidak mungkin terdapat dalam sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, hatta yang ditulisnya di Madinah dan Makkah sekali pun. Bandingkan ini dengan kuasa magis mantra Melayu lama yang boleh menakutkan hantu-hantu.

Seterusnya saya akan membicarakan dengan kritis sebuah buku yang mengandungi puji-pujian tinggi terhadap sumbangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.

ULASAN KRITIS BUKU CRITICAL PERSPECTIVES ON MUHAMMAD HJ. SALLEH, ED. PROF. ZAWIAH YAHYA (DBP, 2003)

Pengenalan Buku yang diselenggarakan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya mengenai Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan judul Critical Perspectives on Muhammad Hj. Salleh (2003). Buku ini membicarakan sumbangan Sasterawan Negara ini dalam sajak dan kajian sastera lama, ditulis oleh 14 orang sarjana (senarai di hal. 323-325), memuat 17 makalah dalam 17 bab. Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian: Part I Introducing Muhammad Hj. Salleh; Part II Reading Muhammad Hj. Salleh as a poet; Part III Reading Muhammad Hj. Salleh as a critic; Part IV Comparing Muhammad Hj. Salleh; dan

Part V Teaching Muhammad Hj. Salleh. Semuanya terdapat x+342 halaman, sebuah buku yang agak tebal dan pembicaraannya dapatlah dikatakan menyeluruh serta terperinci. Buku ini penting kerana percubaan membicarakan sumbangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dilakukan oleh para sarjana yang sebahagian besarnya bergelar doktor, satu jaminan bahawa tulisan mereka tentulah terjamin dari segi kualiti ilmiah, ketelitian, dan ketepatan faktanya. Oleh kerana mereka menulis tentang critical perspectives seorang tokoh sastera yang dianggap mereka istimewa dan terserlah sifat intelektualnya dan terjamin kualiti akademiknya, maka ulasan ini akan mencuba memberikan pandangan lain yang agak kritis, sesuai dengan kedudukan tokoh ini yang perlu dinilai secara kritis. Tulisan ini disusun begitu rupa untuk menyerlahkan beberapa persoalan penting dari pelbagai sudut, supaya dengan itu pembaca yang tidak bersetuju dengan hujah dan pembuktian yang dibentangkan di sini mempunyai ruang yang lebih luas untuk membahaskan pandangan mereka pula. Dengan itu diharap penilaian yang lebih sempurna, dan lebih kritis, dapat dilakukan, berasaskan kefahaman yang jelas dan pengetahuan yang luas. Seperti yang ditegaskan oleh Syed Hussein Nasr, sebarang penilaian haruslah berdasarkan ilmu, bukan kejahilan. Para sarjana dan ahli akademik Malaysia beruntung kerana mereka telah diberi standard yang tinggi dalam kerja-kerja akademik oleh Prof. Syed Muhammad Naquib alAttas seperti yang diperlihatkannya dalam tesis Ph.D.nya tentang Hamzah Fansuri, dalam syarahan pengukuhannya tentang Islam dalam kebudayaan Melayu, dan dalam buku-bukunya serta kepemimpinan akademiknya, terutama sekali di ISTAC (International Institute of Islamic Thought). Standard akademik ini seharusnya dijadikan ukuran apabila kita ingin berbicara tentang pencapaian akademik seseorang sarjana di Malaysia. Tokoh Paling Kontroversial Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah seorang tokoh sastera yang paling kontroversial di Malaysia sekarang, yang bukan timbul daripada kegiatan kreatif dan akademiknya yang istimewa, tetapi timbul daripada penilaian yang bertentangan di kalangan sarjana. Kumpulan sajaknya Sajak-sajak Sejarah Melayu tidak diberi Hadiah Sastera oleh panel penilai hadiah berkenaan, tetapi dijadikan sumbangan terpenting sasterawan ini untuk melayakkannya diberi gelar Sasterawan Negara oleh panel Anugerah Sastera Negara. Bagi seorang yang karyanya jarang-jarang diberi Hadiah Sastera, malah tidak sebuah pun antologinya terpilih, maka penobatannya menimbulkan banyak persoalan di kalangan para sasterawan. Itulah maksud kontroversial yang disebutkan: Mengapa terjadi pertentangan antara dua panel ini? Adakah salah satunya silap, atau kedua-duanya silap membuat pilihan? Soalan ini penting kerana makalah dalam buku Critical Perspectives ini menyerlahkan sekali lagi sifat kontroversial terhadap tokoh ini, yang tidak dapat tidak perlu diselesaikan. Terlalu banyak kemusykilan ilmiah dan kesangsian tentang kewajaran dalam penilaian terhadap beliau, yang perlu dijelaskan, supaya tokoh besar sajak-sajak Melayu popular ini tidak disalah tafsir dan kedudukannya sebagai tokoh besar popular tidak dipersoalkan dengan mudah. Kontroversi ini menjadi lebih kalut apabila disedari bahawa beliau terlalu disanjung (overrated), padahal kemampuan intelektualnya sederhana saja dan terbatas pula; manakala bakatnya sebagai sasterawan hanya mampu melonjakkannya sebagai pencatat peristiwa perjalanannya, bukan mengemukakan gagasan besar yang boleh dibahaskan dari berbagai sudut. Barangkali kontroversi begini tidak dapat dielakkan, kerana penilaian sastera di Malaysia terlalu subjektif, tanpa sebarang ukuran yang boleh diuji secara objektif. Kerana sifatnya yang amat subjektif itulah maka penilaian karya bergantung sepenuhnya kepada citarasa (taste) yang bersifat peribadi para penilai itu sendiri. Tetapi Tan Sri A. Samad Ismail mempunyai pandangan tersendiri dalam masalah ini. Menurut beliau, yang disampaikannya

kepada seorang sasterawan, kegiatan sastera di Malaysia sekarang dikuasai oleh golongan Mafia sastera. Merekalah yang menentukan siapa yang akan diberi anugerah atau hadiah, dan siapa pula yang akan diketepikan. Merekalah yang menentukan kelompok mana yang layak menduduki panel-panel penilai yang banyak ditubuhkan itu. Keadaan ini nampaknya tidak menjejaskan kegiatan sastera, kerana di Malaysia terdapat kecenderungan umum yang sudah dibudayakan di kalangan para penilai (pengkritik) sastera untuk memuji dan menyanjung tokoh-tokoh yang bergelar, yang telah diberi anugerah, atau yang mendapat hadiah, atau yang diberi pujian oleh orang-orang tertentu yang telah menerima anugerah atau hadiah sastera. Perubahan sikap ini terjadi secara automatis, dengan itu karya-karya terdahulu yang mungkin tidak dipedulikan atau tidak dianggap bermutu, kini menjadi sebaliknya, dan bertali-talilah pujian diterima sang tokoh yang beruntung itu. Mungkin inilah mentaliti bercorak Dravidian yang diwarisi budaya Melayu daripada pengaruh Hindu-Buddha. Dalam buku Critical Perspectives ini pun kelihatan dan terdapat juga kecenderungan itu, misalnya apabila sajak tentang Si Tanggang diberi sanjungan tinggi, diberi jubah Islam setelah diisytiharkan sebagai hasil sastera bercorak Islam, atau sekurang-kurangnya memancarkan nilai-nilai Islam yang terdapat dalam al-Quran (hal. 205-206, akan diulas nanti). Prof. Zawiah Yahya sendiri bersetuju dengan kesimpulan ini (hal. 10): Muhammads poetry, it seems, does operate within Islamic value system but is done unintrusively without making a song and dance about it. Di tempat lain (hal. 82) beliau berkata, perjalanan Si Tanggang yang dilalui Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah a journey of the soul, seperti yang didakwa oleh sasterawan itu sendiri. Bandingkan ini dengan Goethe (1749-1832) yang menulis tentang Faust dan Mephistopheles, ahli sihir dan Iblis yang menjadi gurunya, yang juga menggambarkan a journey of the soul. Kesimpulan begini sangat menarik, kerana bertolak dari pandangan seperti inilah penilaian terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dibuat oleh para sarjana di dalam buku ini. Dalam sajaknya barisbaris dari muzium goethe (Sebuah Unggun Ditepi Danau, hal. 5-6), beliau dengan bangga mengaku: kau juga milik kami, goethe, oleh itu kami juga berhak terhadap kebijaksanaanmu, jadi [kami juga] memihak pada pintar mephistopheles. Ucapan begini adalah bukti sifat schizophrenic sasterawan ini, yang tidak akan diucapkan oleh sesiapa pun yang normal akalnya. Bagaimana kita boleh menerima dan memihak kepada kepintaran Iblis yang bernama Mephistopheles itu? Adakah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sedar makna dan matlamat ucapannya itu? Mungkin beliau tidak kenal siapa Mephistohpeles, tetapi tentulah andaian ini sangat aneh bagi seorang pengembara yang melihat sendiri dan menjadikan kebudayaan Barat itu my lifeblood seperti yang diakuinya sendiri. Saya fikir Prof. Zawiah Yahya dan teman-temannya tidak membaca dengan teliti karya sasterawan ini; kerana jika mereka membacanya tentulah akan gementar seluruh anggota mereka untuk meletakkan sesiapa juga yang mengagumi Iblis menulis sajak-sajak yang berunsur nilai-nilai Islam dan berfikir dalam kerangka sistem nilai Islam. Bagaimana kesimpulan ini boleh timbul, padahal teksnya menafikan wujudnya perkara ini? Siapakah kami yang memihak kepada kepintaran Mephistopheles itu? Tentulah mereka ini terdiri daripada para sarjana yang menyenangi sifat schizophrenic sasterawan ini. Penilaian kontroversial begini, dalam makna yang negatif, mungkin dapat dielakkan jika pembicara sasterawan ini membaca karya-karya beliau dengan lebih berhati-hati sebelum memberikan penilaian mereka. Para penyumbang dalam buku ini semuanya bersetuju bahawa kejayaan terbesar Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ialah memberi interpretasi kembali dongeng Si Tanggang (dalam buku dieja Si Tenggang) dan cerita-cerita dalam Sejarah Melayu, dengan kemuncaknya ialah penerbitan apa yang disebut sebagai teori Puitika Sastera Melayu. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dikatakan telah re-vision sastera Melayu, dengan menjadikannya lebih dinamik, bersifat global (istilah ini sangat popular sekarang), sehingga sastera Melayu akhirnya tercatat di peta dunia. Apakah bukti kebenaran dakwaan ini?

Pemilihan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh untuk menjadikan Si Tanggang sebagai wiranya dan wira bangsa Melayu, seorang usahawan berjaya yang akhirnya memikat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Si Tanggang model kepada murid-murid sekolah, barangkali yang paling kontroversial yang lahir daripada sasterawan ini. Budaya Melayu tidak pernah mengenal Si Tanggang, budak Sakai itu, sebagai wira, tetapi sebagai anak derhaka. Dongeng ini dituturkan untuk memberi pendidikan moral kepada anak-anak Melayu supaya tidak menderhaka kepada ibu mereka (bukan Ibu Pertiwi), untuk memberi peringatan kepada mereka bahawa kekayaan dan kedudukan tinggi bukanlah matlamat terakhir dan yang paling tinggi dalam budaya Melayu. Yang paling tinggi itu adab, kesopanan, taat kepada ibu bapa, dan tidak sombong. Itulah manusia yang berperibadi tinggi dalam sistem nilai Melayu. Adakah sistem nilai itu telah diubah sekarang? Nampaknya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan para penyumbang buku ini bersetuju nilai-nilai itu tidak perlu dikekalkan, mesti dilakukan re-vision, dinilai kembali sesuai dengan perkembangan sekarang, sesuai dengan apa yang dinamakan kehidupan moden. Mereka pergi lebih jauh, dengan mengatakan bahawa re-vision itu sesuai dengan nilai-nilai Islam, disebut di dalam Quran, dan sajak Pulang Si Tenggang adalah sebuah hasil sastera Islam (hal. 205). Bolehkah diterima penilaian ini? Mereka berhujah dengan mengambil ayat 2:185 sebagai bukti. Ayat itu mengenai puasa di bulan Ramadhan: (terjemahan daripada al-Quran dan Terjemahnya, hal. 45): (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Menurut sarjana ini, Si Tanggang yang pulang itu membawa ilmu dan pengalaman dari Barat yang telah membuatnya belajar melihat, berfikir/ dan memilih di antara kenyataan/ yang selalu berubah. Kata mereka, Si Tanggang yang melihat, berfi kir dan memilih itu sama maksudnya dengan huda, bayyinat (bukan baiyyinat seperti tertulis dalam makalah mereka) dan furqan. Kata mereka: Si Tenggang negotiates strangers knowledge using this triangulated strategy, which is found in Malay wisdom as well as in the Holy Quran (hal. 206). Hujah ini sangat aneh, kerana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh terang-terang menjelaskan bahawa dia belajar berfikir dan sebagainya itu dari Barat, bukan dari Quran. Bagi sasterawan ini, kenyataan (diterjemahkan sebagai realities) selalu berubah, oleh itu dia harus membuat pilihan yang teliti berasaskan pemerhatian dan pemikirannya. Tidak ada langsung kaitan dengan huda, bayyinat, dan furqan. Bagaimanakah penulis makalah ini boleh sampai kepada kesimpulan yang aneh ini? Sesungguhnya tidak masuk akal sama sekali dongeng Si Tanggang itu boleh memberi petunjuk (huda), penjelasan dan bukti yang nyata (bayyinat) kepada petunjuk itu, dan pembeza antara yang hak dan batil (furqan). Apakah asas yang dipakai oleh penulis makalah ini untuk begitu berani mencemarkan konsep-konsep al-Quran sedemikian rupa, dengan hanya mengambil sesuatu ayat yang ditemui mereka lalu dipadankan dengan kesimpulan yang terlintas di dalam kepala mereka, lantas membuat kesimpulan yang tidak masuk akal sama sekali. Demikian murahnya harga ilmu dan rendahnya kedudukan al-Quran sebagai wahyu bagi penulis makalah ini, sehingga sebuah dongeng Melayu diangkat begitu tinggi kononnya boleh memberi petunjuk, bukti, dan pembeza kebenaran. Penulis yang membuat kesimpulan ini telah menyalahgunakan kaedah perbandingan yang dipakai mereka (abused the comparative method), dengan meletakkan pemikiran Si Tanggang/Muhammad Hj. Salleh setaraf dengan al Quran. Jika mereka masih mahu memakai tiga istilah al-Quran itu untuk menilai sajak ini, kesimpulannya yang tepat ialah sajak ini menjadi contoh terbaik perbuatan fasad (merujuk

kepada korupsi secara total, meliputi nilai, intelektual, aqidah, dan sebagainya yang dibayangkan oleh istilah itu). Bagaimana kesimpulan ini boleh difahami dengan mudah? Abu Lahab dan Si Tanggang Bayangkan seorang sasterawan Melayu/Islam yang sangat berbakat dan luas ilmunya telah muncul, lalu menulis sebuah sajak atau novel tentang Abu Lahab yang dikutuk oleh al-Quran, yang isterinya sendiri membawa kayu bakar untuk membakarnya di neraka. Karya itu sangat indah bahasanya, sangat teliti pengolahannya, dan begitu hidup perwatakannya, sehingga tiada cacat celanya sebagai sebuah hasil seni yang tinggi mutunya. Karya itu membicarakan kepemimpinan Abu Lahab sebagai ketua kabilahnya, yang gigih mempertahankan keutuhan kabilahnya, tentang bagaimana dia berusaha mempertahankan ekonomi terbuka kota Makkah, serta kecintaannya kepada berhala yang disembah oleh kaumnya. Pendeknya Abu Lahab, dalam konteks nilai-nilai murni yang difahamkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, menyerlahkan nilai-nilai murni itu dalam kecintaannya kepada patung-patung berhala Jahiliah, kepada keselamatan gerakan syiriknya, kepada kegigihannya menentang Rasulullah S.A.W. Bolehkah kita terima karya itu sebagai sebuah karya agung berasaskan kesempurnaan teknik penulisannya? Bagi orang yang tidak keliru sistem nilainya, jawapannya jelas. Bagi yang melihat karya itu dari kacamata apa yang dipanggil nilai-nilai sejagat sastera, karya itu tentulah sebuah karya agung, sam a tarafnya dengan The Satanic Verses yang dianggap sebagai karya agung pascamodern. Bagi golongan pertama tadi, Si Tanggang akan dilihat dalam konteks penderhakaan anak terhadap ibunya, seperti yang diceritakan dengan panjang lebar dalam Surah Lukman. Mengucapkan Ah!... pun sudah menjadi dosa besar, apatah lagi menghalau ibu sendiri. Dari segi mana berbezanya penilaian kita terhadap Abu Lahab dalam karya tadi dan Si Tanggang yang telah diwirakan, jika kita mahu menggunakan nas al-Quran? Seperti yang disebut, al-Quran menggunakan istilah furqan, dan menamakan sebuah surah dengannya, untuk menyatakan betapa tegasnya ajaran Quran tentang yang hak, yang benar, dengan yang batil. Orang Melayu sejak dahulu tahu apakah yang hak dan batil itu, mereka tidak ragu membuat pilihan, sehingglah timbul para sasterawan membawa nilai-nilai Barat yang batil itu dipamerkan sebagai yang hak, yang benar. Sepanjang mengenai pemilihan sajak Pulang Si Tenggang ini, Kementerian Pendidikan Malaysia menerima ajaran para sasterawan tentang konsep nilai-nilai murni ini, walaupun bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Ajaran Islam yang terbuka, yang boleh menerima apa saja yang sesuai dengan konsep tauhid, tidak bererti para sasterawan dan sarjana sastera yang beragama Islam boleh dengan sewenang-wenangnya membawa nilainilai palsu (yang batil) sebagai nilai-nilai baru yang perlu diterima dalam konteks re-vision yang mereka anjurkan. Konsep itu adalah konsep Barat seratus-peratus, tidak ada kaitannya dengan nilai-nilai Islam. Malah, jika orang-orang ini tahu sedikit sebanyak strategi musuh Islam dalam bidang ilmu, politik dan budaya dan juga pendidikan, mereka akan berasa jijik dengan konsep re-vision ini. Konsep ini memaksa umat Islam menerima perubahan yang dipaksakan oleh musuh-musuh Islam ini ke atas orang Islam supaya mengubah isi kandungan al-Quran, supaya tidak lagi terdapat ayat-ayat yang mendedahkan penipuan orang-orang Yahudi dan Nasrani, dan tidak lagi dipakai undang-undang hudud dalam perundangan Islam, dan dihalalkan semua yang diharamkan Islam, seperti seks di luar tabii (homosexuality dan lesbianism). Di Indonesia soal-soal ini telah didebat, dan telah ada ulama yang megah digelar sebagai ulama liberal yang menyokong gerakan merusakkan Islam ini. (Lihat antara lain perbincangan popular tentang ini dalam buku Pengaruh Kristen-Orientalis Terhadap Islam Liberal, 2003). Budaya Barat memang mengalu-alukan perubahan begini, sesuai dengan falsafah moden yang sekular, yang menolak wayhu, dan menjadikan manusia sebagai ukuran dalam

menentukan nilai-nilai masyarakat dan sebagainya. Bagi Barat, Faust dan Mephistopheles, tukang sihir yang jahat dan Iblis yang menjadi gurunya, adalah simbol perjuangan manusia mencari makna hidupnya. Goethe mengambil masa 60 tahun (1771-1831) untuk menulis epik ini, yang diterima sebagai mahakarya di Eropah. Thomas Mann, juga dari Jerman, pemenang Hadiah Nobel Sastera, menulis cerita pendeknya yang paling sempurna teknik dan strukturnya (menurut pengkritik Barat), berjudul Death in Venice, untuk menceritakan kecenderungan homoseksnya pada hari tuanya. Barat memberi nilai tinggi kepada semua perkara yang dikutuk Islam. Dalam konteks inilah penilaian terhadap Si Tanggang dilakukan, oleh para sarjana yang sangat mesra dengan sastera dan nilai Barat. Jika mereka faham, dan laksanakan konsep furqan yang diajarkan al-Quran, tidak akan berlaku panilaian songsang terhadap Si Tanggang ini. Oleh kerana nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dipakai untuk menilai peranan Si Tanggang, maka Kementerian Pendidikan telah menegaskan bahawa dalam kisah Si Tanggang itu terdapat nilai-nilai murni, seperti nilai-nilai usahawan, nilai-nilai keberanian dan sanggup menerima risiko untuk mendapat kejayaan dan sebagainya; oleh itu murid-murid sekolah diajar supaya meniru kegigihan Si Tanggang. Yang jahat daripada perbuatannya, yang dikutuk oleh Islam, ditenggelamkan kerana kejayaannya yang palsu. Tetapi di Sumatra, di negeri Minangkabau, kesesatan ini tidak terjadi. Dongeng Malin Kundang, yang sama dengan dongeng Si Tanggang (walaupun ada sarjana mengatakan tidak sama dari segi detail, tetapi sama dari segi menderhakai ibu), masih dikekalkan maknanya yang asal dalam masyarakat Minangkabau, dijadikan lagu Malin Kundang Anak Durhako yang masih popular hingga kini, dengan watak derhaka Malin Kundang itu masih menjadi kutukan masyarakat. Hanya di Malaysia saja, mungkin kerana Malaysia lebih maju, maka Si Tanggang telah berubah menjadi usahawan, dan diberi sanjungan tinggi, mungkin akan diberi gelaran Tan Sri atau Tun satu masa nanti! Jika menurut logik ini, suatu hari nanti Si Tanggang akan diisytiharkan sebagai seorang wali pula! Dalam konteks ini, sejauh mana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh terpengaruh, atau meniru, Goenawan Mohamad yang menulis buku Potret Seorang Penjair Muda Sebagai Si Malin Kundang (Pustaka Jaya, 1972). Perkara ini tidak pernah disebut oleh sesiapa pun di Malaysia hingga kini. Adakah Karya Muhammad Hj. Salleh Bercorak Islam? Adalah tidak adil kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh untuk dianggap sebagai sasterawan yang menulis karya-karya bercorak Islam. Beliau tidak mahu dikaitkan dengan sastera Islam, seperti jelas dalam kumpulan sajaknya Aksara Usia dan Sebuah Unggun di Tepi Danau. Dalam kumpulan sajak itu tidak kelihatan sama sekali minatnya kepada sastera Islam atau unsur Islam dalam sastera, malah ketika melawat Sepanyol dia tidak langsung menyebut al-Andalus, yang mungkin dianggapnya sebagai simbol kekalahan Islam di Eropah, oleh itu tidak perlu diberi catatan dalam sajak-sajaknya. Dia lebih senang menulis sajak tentang pemain bola di Maghribi (Unggun, hal. 26-27). Catatannya di Makkah dan Madinah adalah catatan biasa seorang pelancong, bukan pemikiran dan pemerhatian bersifat keruhanian mendalam seperti yang ditunjukkan oleh Iqbal ketika menulis tentang Cordoba. Malah ketika melukiskan azan di Kaherah (Aksara Usia, hal. 13-14), beliau menulis tentang azan yang merayau di Kota Kaherah (yang menurutnya lebih meriah daripada Firaun dan pantai Iskandariah), semata-mata kerana beliau tidak mahu menggunakan perkataan bergema yang selalu dipakai, atau perkataan dikumandangkan yang juga baginya sudah menjadi klise. Dengan membuat azan merayau, beliau telah menurunkan darjat azan kepada kucing atau anjing, unta atau kaldai, yang merayau-rayau di Kota Kaherah. Perkataan merayau sama sekali tidak sesuai untuk dipakaikan kepada suara, apatah lagi kepada azan, yang secara tabii digemakan oleh tukang azan. Yang hebat pada azan bukan sifat merayaunya, tetapi sebutan dan lagunya. Bagaimana suara azan yang meriah boleh

dibandingkan dengan kebisingan atau sorakan manusia di kubur Firaun dan jeritan manusia di pantai Iskandariah? Sekali lagi perkataan meriah tidak sesuai untuk azan, tetapi tepat untuk pesta. Sewaktu membaca gambaran ini, kita tidak merasa apa-apa sentuhan keruhanian di dalamnya, malah kita merasa sejenis ejekan dan sindiran kerana azan seolah-olah membisingkan seperti suara pesta di kubur Firaun dan di pantai Iskandariah, dua tempat yang memang sangat terkenal di Mesir sebagai tempat pelancong. Adakah azan di Kaherah begitu buruk, atau pencatatnya tidak merasa apa-apa yang menyentuh kalbu mukminnya? Jika yang mendengar azan itu orang bukan Islam, mengapa sasterawan ini harus menyibukkan dirinya untuk melukiskan perasaan orang bukan Islam itu? Tetapi yang bercakap di sini ialah pensajak (yakni, [pen]ulis sajak) sendiri, bukan orang lain. Jika anda pernah mendengar azan dalam lagu Hijaz yang dikumandangkan di Madinah, bulu roma anda akan terpacak kerana setiap patah yang diucapkan dalam lagu Hijaz itu menaikkan semangat jihad dalam dada anda. Tetapi anda perlu tahu dahulu lagu Hijaz, dan dapat membezakannya dengan lagu Hindustan yang meleret-leret yang dipakai oleh tukang bang di Tanah Melayu. Dari Mesir terkenal lagu Masri, yang diazankan oleh Sheikh Khalil al-Husri, qari yang masyhur yang selalu datang ke Malaysia semasa hayatnya. Tidak terdengarkah alunan azan Sheikh Mahmud Khalil al-Husri itu oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh waktu beliau di Kaherah? Lagu itu kini dikumandangkan oleh seorang tukang bang Melayu setiap subuh di RTM. Anda tidak akan mengerti semua ini jika anda tidak dibudayakan dalam tamadun Islam, yang menjadikan azan seruan pahlawan dan seruan jihad. Orang yang jahil akan kehilangan yang indah-indah dalam kumandang azan sekali pun. Orang yang tahu dapat merasakan kepalsuan yang ditayangkan kepadanya, dan dia tidak harus dibenci dan dimarahi kerana tidak menghargai, malah menolak yang palsu itu. Mengapa Puitika Sastera Melayu Tidak Dijadikan Ukuran? Timbul pertanyaan: Bagaimana jadinya sajak tentang anak derhaka ini jika dinilai dari apa yang disebut teori puitika sastera Melayu? Tidak seorang pun penyumbang buku ini cuba menggunakan teori itu, padahal alangkah banyaknya perbincangan mereka tentang teori itu. Bahagian III buku ini keseluruhannya mengulas teori puitika sastera Melayu itu, tetapi apabila salah seorang dari mereka (dalam bab 7) membicarakan Aksara Usia, yang dipakai ialah apa yang didakwa sebagai teori penulis itu sendiri. Mengapa mereka enggan menggunakan teori puitika sastera Melayu itu, padahal mereka memujinya setinggi langit? Ada dua kemungkinan: pertama, mereka mungkin tidak faham; atau kedua, mereka mendapati teori itu tidak boleh dipakai untuk menilai karya sastera. Kemungkinan ketiga, merangkum kedua-duanya, tidak boleh diketepikan begitu saja. Apa yang disebut sebagai teori itu telah dirumus oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (dalam pengakuannya kepada penemubualnya) sejak lebih 20 tahun, suatu masa yang panjang. Dalam masa selama itu, tentulah beliau menulis karya-karyanya berasaskan teori puitika sastera Melayu yang ditelurkannya pada tahun 1989 dengan terbitnya syarahan perdananya berjudul Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan. Jika teori puitika sastera Melayu itu begitu tepat mencirikan sastera Melayu, tidakkah sesuai juga untuk menilai karya-karya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Tidakkah dengan menulis dalam kerangka teori itu karya beliau akan menjadi lebih Melayu dan lebih bermutu? Tidak dapatkah para sarjana kita mengesan unsur-unsur teori itu dalam karya beliau? Mereka mempunyai masa tidak kurang dari 12 tahun, atau lebih, untuk menelaah teori itu setelah diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Mengapa tidak ada usaha untuk menjadikan teori itu sebagai asas penilaian sastera? Sungguh cantik jika di dalam buku ini kita melihat penggunaan teori itu ke atas karya-karya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri, atau ke atas karya Keris Mas, Samad Said, Shahnon Ahmad, atau sesiapa saja. Jika

benarlah prinsip-prinsip estetika Melayu lama masih boleh dipakai, berapa orangkah nanti yang akan jatuh pengsan apabila karya-karya itu dinilai dari sudut puitika sastera Melayu? Tiada siapa pun tahu sampai bila teori ini hanya untuk diusap-usap saja, tetapi tidak diuji dalam penilaian karya. Adakah teori itu hanya sesuai untuk karya-karya lama, dan itu pun terbatas kepada Hikayat Isma Yatim, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah sahaja? Tidak sesuaikah untuk Hikayat Abdullah atau untuk karya-karya Raja Ali Haji? Bagaimana akan kelihatan karya-karya Abdul Rahim Kajai atau Ishak Hj. Muhammad jika dinilai daripada teori puitika sastera Melayu itu? Saya tidak mahu membuat kesimpulan bahawa sarjana kita telah gagal memanfaatkan teori yang mereka kata begitu baik, setelah diberi peluang begitu lama untuk memakainya. Tetapi itulah yang terjadi. Perhatikan bagaimana hebatnya teori puitika sastera Melayu ini pada pandangan mereka. Seorang sarjana dan sasterawan membuat kesimpulan, menegaskan betapa teori itu telah meletakkan puitika sastera Melayu di peta dunia, megah berganding dengan gergasi Barat, menjadi sebahagian daripada Poetics oleh Aristotle (hal. 172). Beliau menegaskan keistimewaan teori ini kerana dibina sepenuhnya berasaskan kajian teks, yang diambil daripada lebih 60 karya cereka dan 100 bukan cereka (hal. 173). Aristotle sendiri tidak menggunakan bahan sebanyak itu ketika merumuskan puitikanya dalam bukunya Poetics itu, jadi jelas betapa telitinya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam kerja-kerja akademiknya. Sarjana dan sasterawan ini memuji usaha yang begitu teliti: [T]his is the best method of forming a theory (hal. 173). Tidak lupa dia menyindir beberapa orang penulis yang membuat teori yang menurutnya tidak berasaskan teks, terutama yang membuat teori tentang sastera Islam. Katanya, cara ini sangat aneh, tidak berasas (hal. 173). Kesimpulan penulis ini sangat penting, oleh itu perlu diuji kebenarannya daripada teori puitika sastera Melayu sendiri. Orang yang sudah membaca Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, dan membacanya dengan mengerti, berasaskan pengetahuan yang agak mencukupi untuk memahami masalah ini, tidak akan menganggap buku itu mengemukakan satu teori. Tidak ada teori apa-apa di situ. Yang ada ialah satu laporan kajian yang tidak cukup ilmiah sebenarnya (seperti dibuktikan oleh Prof. Siti Hawa Salleh dalam rencananya yang termuat dalam Budi Kencana, hal. 241-258), yang tidak jelas maksudnya, berbelit-belit hujah dan pembuktiannya. Jika anda pernah membaca Poetics oleh Aristotle, dan membandingkannya dengan Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, anda akan terpegun dengan kejelasan Aristotle dan kekaburan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Walaupun kita ingin lahirnya seorang Aristotle Melayu, tetapi tidak wajar kita meremehkan beliau dengan meletakkannya setaraf dengan sesiapa saja yang menjadi muridnya pun tidak layak. Bagus jika kita bermimpi untuk mendapat seorang al-Farabi, yang diberi gelar Guru Yang Kedua selepas Aristotle, asal saja kepintaran seorang al-Farabi berada di dalam diri tokoh yang kita mimpikan itu. Kita perlu bincangkan perkara ini agak mendalam kerana dakwaan sasterawan dan sarjana ini penting diuji kebenarannya. Sebuah teori seharusnya dapat mengenal masalah yang dihadapi, menyediakan kerangka perbincangan dan penyelesaian (sebaik-baiknya jika dapat), dan menyediakan arah untuk perkembangan seterusnya dan mengelak dari kesilapan yang dilalui sebelum teori itu dikemukakan/dirumus. Semua aspek ini tidak terdapat dalam puitika sastera Melayu, kerana yang dibeberkannya hanyalah unsur-unsur yang ditemui pengkaji dalam penelitiannya terhadap teks sastera lama yang dibacanya (?). Tidak seorang pun penyumbang buku ini menjelaskan perkara ini, kecuali percubaan Prof. Zawiah Yahya (bab 9). Di samping mengaku teori ini belum pernah diuji kesahihannya kepada mana-mana teks, beliau juga menjelaskan sifat parokial atau kampungan teori ini, yang hanya terbatas kepada sastera Melayu saja. Sebenarnya aspek parokial ini dengan sendirinya membuktikan puitika sastera Melayu bukanlah sebuah teori, tetapi hanya satu laporan penyelidikan tentang beberapa

aspek sastera Melayu tradisional. Jika kita mahu menguji kesahihan teori ini dalam kritikan moden, kita boleh bertanya: Mengapa novel picisan seperti Salina diterima oleh masyarakat sebagai sebuah karya penting? Puitika sastera Melayu tidak dapat menjawab so alan ini, kerana konsep-konsep yang dipakai di dalam teori tidak dapat digunakan untuk memeriksa perubahan nilai dalam masyarakat, dan tidak juga dapat membezakan sesuatu yang benar dan murni dengan yang kotor dan batil. Dalam hal ini, apa yang disebut sebagai teori puitika sastera Melayu itu hanya memaparkan beberapa ciri sastera lama, bukan konsep-konsep penting yang boleh digunakan untuk menilai sesuatu karya. Malah salah satu konsep penting, iaitu konsep gharib, telah dibuang oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri, digantikan dengan konsep ghaib yang tidak kena-mengena dengan karya kreatif. Yang anehnya, sementara konsepnya dibuang, ciri-ciri yang terkandung dalam konsep itu seperti ajaib, hairan, dan sebaginya diterima, tetapi ibunya dibuang. Ke mana anak itu akan mengadu nasibnya? Inilah jenis kekeliruan yang tidak disedari, yang membuktikan puitika sastera Melayu itu bukan sebuah teori, hanya laporan mengenai ciri-ciri sastera Melayu tradisional saja, yang tidak tepat pula digambarkan. Pandangan Serong Terhadap Teori Sastera Islam Penulis bab 11 dengan angkuh mendakwa bahawa kini terdapat kecenderungan membina teori sastera tanpa rujukan kepada teks, seperti yang dilihatnya berlaku dalam beberapa teori sastera Islam. Perbuatan ini katanya sangat aneh (hal. 173). Adakah pemerhatian beliau tepat, berasaskan teks atau hanya anggapan semata-mata, tanpa merujuk kepada teks yang tidak dibacanya? Mari kita bahaskan kesimpulan ini dengan rasional, berasaskan teks yang tidak dibacanya. Pertama, tentang tuduhan bahawa pengemuka teori sastera Islam tidak berasaskan teks, kita boleh lontarkan pertanyaan: Apakah maksud teks di situ? Orang-orang yang menulis tentang sastera Islam membaca Jalaluddin Rumi, Iqbal, Sadi, Amir Hamzah, Hamzah Fansuri dan lain-lain. Tidakkah itu pun teks juga? Adakah hanya Hikayat Isma Yatim, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah saja yang dianggap teks? Bukan Asrari Khudi? Bukan Mathnawi? Bukan syair-syair Hamzah Fansuri? Bukan sanjak-sanjak Amir Hamzah? [Sanjak tidak sama dengan sajak]. Bukan Gulistan Sadi? Bukan kitab-kitab Shah Wali Allah? Bukan kitab Abdul Qahir al-Jurjani Asrar al-Balaghah? Bukan karangan Pendita Zaba? Shah Wali Allah dalam kitabnya Hujjah Allah al-Balighah menyebut antara lain manusia itu secara tabii inginkan keindahan dan kesempurnaan (alzarafah dan takammul), tetapi diperoleh dalam konteks taklif, bukan mengikut hawa nafsu. Prinsip-prinsip ini sangat berguna dalam membicarakan aspek seni dan keindahan, kerana alQuran sendiri menunjukkan kepada kita bagaimana Nabi Daud a.s. dan anakanda baginda Nabi Sulaiman a.s. digambarkan antara lain sebagai manusia pilihan Allah yang gemarkan keindahan dan kecantikan, tetapi dikawal oleh taklif. Abdul Qahir al-Jurjani pula memang dikenali oleh masyarakat Melayu yang terpelajar, seperti yang dibuktikan dalam penyelidikan Dr. Tatiana Denissova tentang kosa kata bahasa Melayu klasik berkaitan dengan ilmu dan falsafah dalam teks-teks Johor. Beliau menyebut kitab al-Jurjani al-Awamil al-Mia (juga dikenal dengan judul Miat Amil) digunakan dalam pengajian ilmu bahasa. Analisis alJurjani tentang bahasa kiasan, tamsil dan ibarat sangat mendalam, dan jauh lebih baik daripada penjelasan yang diberikan oleh Aristotle sendiri. Semua ini diketahui oleh penulis yang membicarakan sastera Islam dan kritikan sastera Islam. Jadi bagaimana mereka dituduh tidak mengasaskan teori mereka kepada teks? Jelas terdapat suatu fahaman yang songsang terhadap konsep teks itu sendiri. Tetapi yang lebih penting ialah konsep teks itu tidak digemari oleh mereka, kerana konsep dan istilah itu korup, tidak mementingkan makna, malah tidak mengakui adanya makna dalam karya sastera (periksalah tulisan-tulisan Derrida, misalnya). Mereka lebih selesa

menggunakan istilah sumber, kerana dengan itu mereka boleh menggunakan al-Quran, Hadith, karangan para ulama dan sarjana, selain karya-karya kreatif. Jangan terlalu mudah, dan sombong, memperkecilkan usaha mereka, semata-mata kerana kaedah yang mereka pakai berbeza daripada yang dipakai oleh para sarjana yang hanya tahu sedikit sebanyak tentang kaedah Barat, yang apabila dipakai tidak pula menampakkan kecanggihan berfikir dan ketelitian dalam menggunakan bahan kajian. Saya akan jelaskan hal ini nanti. Para peneroka teori sastera Islam bergerak dalam sejarah pemikiran Islam, yang diwariskan oleh para ulama. Istilah yang mereka pakai untuk menghuraikan seni kreatif mereka ambil daripada para ulama, yang disaring daripada al-Quran dan Hadith. Sumber mereka lebih mantap, lebih meyakinkan, dan lebih cerdik dari segi pemikirannya jika dibandingkan dengan segala macam hikayat yang sering disenaraikan itu. Ini tidak bererti mereka memperkecilkan sumber-sumber bangsa mereka sendiri, tetapi mereka tahu meletakkannya pada tempatnya yang wajar. Mereka kenal merak, dan tidak menyamakannya dengan murai. Kedua-dua makhluk Allah ini mempunyai keistimewaan tersendiri, tetapi kedua-duanya tidak setaraf. Dalam ilmu Islam, antara perkara pokok yang diajarkan dan diutamakan ialah mengenal mana yang patut diutamakan dan tahu pula menilai tiap sesuatu mengikut taraf masing-masing. Itulah maksud dan matlamat kritikan sastera yang mereka usahakan, dan mereka huraikan dalam teori mereka. Tidak seperti sarjana yang kebaratan, mereka ini membuka diri mereka sendiri untuk dinilai oleh teori mereka sendiri. Mereka tidak takut dinilai kerana mereka tidak mengharapkan pujian daripada manusia atas usaha pemikiran mereka. Itulah perbezaan besar yang tidak dapat dilihat oleh sarjana yang mengecilkan usaha menjana teori kritikan dan teori sastera Islam itu. Jika teori puitika sastera Melayu bersifat kampungan dan parokial, maka teori sastera Islam bersifat sejagat, boleh dipakai untuk menilai segala jenis karya sastera dari seluruh dunia. Sebagai contoh, Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir memakai gagasan Persuratan Baru untuk membincangkan novel Naguib Mahfuz Lorong Midaq (Majlis Diskusi Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka, 26 April 2003). Jika andaian sarjana dan sasterawan ini betul, kita akan mendapat mutiara yang sangat berharga daripada penelitian terhadap teks yang didakwanya dilakukan dengan teliti oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu. Adakah ini telah terjadi? Adakah ini telah dibuktikan? Kedua-duanya tidak. Soalan kedua telah saya jawab di atas; sekarang saya akan jawab soalan pertama. Dalam apa yang dipanggil teori puitika sastera Melayu, terdapat banyak sekali kekacauan dan kekeliruan yang belum terjawab dan belum dijelaskan. Sebagai permulaan, ambil saja contoh dari segi penggunaan sumber. Dalam edisi kedua (1992) Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan (hal. 21), terdapat bacaan menyuruh untuk menyurat. Adakah ini salah cetak, lalai, salah baca, atau bagaimana? Dalam edisi pertama (1989, hal. 20), kesilapan itu ketara jelas. Jika salah cetak, sepatutnya sudah dibetulkan dalam edisi kedua; jika lalai, setelah ditegur sepatutnya dibetulkan; jika salah baca, pengarang sepatutnya meminta maaf kepada pembaca dan para sarjana di atas kesilapannya dan dengan rendah diri membetulkannya. Semua ini tidak dilakukan, sedangkan teksnya terbentang di depan mata menjerit supaya dibaca menyurat, bukan menyuruh. Mengapa ini penting? Perkara ini berhubung dengan sikap akademik penulis dan kepercayaan kita kepada hasil kerja akademik sarjana ini. Jika perkara kecil (yang dari segi akademik sangat besar) ini diabaikan, kita akan menjadi sangat ragu tentang kemampuan sarjana ini menggunakan teks dengan tepat, yang begitu banyak diperiksanya. Dalam kerja-kerja akademik yang penting begini, hasil yang selekeh (sloppy), betapa pun kecilnya, tidak boleh diterima atau didiamkan begitu saja, kerana akibatnya kepada ilmu sangat serius. Kesalahan yang tidak dibetulkan akan kekal di situ, menjadi rujukan orang lain yang mungkin kurang teliti pula. Tentulah sifat sloppy begini menjadi lebih parah dari segi etika akademik apabila terjadi kesilapan dalam penggunaan sumber yang begitu jelas, yang tidak harus berlaku kesilapan sama sekali. Saya

maksudkan tentang kutipan panjang daripada Winstedt dan Bausani (hal. 51) dalam monografnya yang berjudul Unsur-unsur Teori Dalam Kesusasteraan Melayu dan Nusantara (1988). Mengapa nama mereka tidak disebut? Padahal nama Winstedt disebut di tempat lain. Ini menimbulkan masalah etika kesarjanaan, yang menuntut supaya diberi kredit kepada apa juga kutipan yang diambil, kerana mereka memang diketahui. Mengapa nama mereka dilenyapkan, padahal kutipan itu menyokong pendapat sang penyelidik. Persoalan moral dan etika kesarjanaan ini menjadi lebih penting apabila kesilapan itu dilakukan oleh orang yang kerjanya menjadi pensyarah dan pendidik. Beliau dituntut mengajar murid-muridnya menghormati pendapat orang lain, walaupun daripada musuh mereka sendiri! Sebuah dokumen yang begitu penting, yang didakwa mencatat sejarah dalam peta dunia, seharusnya terhindar dari sebarang keselekehan ilmiah. Bukan suatu dosa, tidak juga suatu kesalahan besar, untuk menghasilkan yang terbaik dalam bidang keilmuan. Dan tidaklah satu perbuatan biadab jika pembaca dan pengguna ilmu mengharapkan yang demikian. Benarkah Puitika Sastera Melayu Sebuah Teori Kritikan Yang Istimewa? Tetapi masalah yang lebih asasi, yang lebih penting, ialah kekeliruan dalam membezakan istilah. Sebuah teori hanya boleh hidup dan berguna jika istilah yang dipakai dan konsep yang dikemukakan boleh membantu penggunanya menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Apakah ciri penting dalam estetika sastera Melayu lama? Yang paling penting ialah konsep gharib, kerana ini ada hubungannya dengan kesan daripada sesebuah hasil seni. Unsur gharib ini menimbulkan ilusi, yang telah memukau Ratu Balqis ketika memasuki istana Nabi Sulaiman a.s. Teks Melayu menyatakan, apabila sesuatu ciptaan itu begitu tinggi nilai seninya, begitu halus buatannya, penuh dengan unsur yang gharib-gharib, maka sesiapa juga yang membaca karya itu, melihatnya, atau mendengarnya, akan pengsan. Apakah yang membuat mereka pengsan? Ialah sifat karya itu yang begitu asli, begitu halus, dan begitu asing daripada yang biasa dilihat, sehingga jiwa manusia tidak dapat menanggung emosi yang berbuak-buak, lalu jatuh pengsan! Sebagai peneliti yang teliti, yang telah melihat dan membaca begitu banyak teks, kita yakin tentulah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bertemu dengan aspek ini. Kata beliau: Konsep indah membawa konotasi hairan, ajaib, ghaib dan sebagainya (hal. 34) Apakah maksud ghaib di situ? Adakah sama dengan gharib? Apakah unsur-unsur lain yang terangkum dalam ungkapan dan sebagainya itu? Mengapa beliau tidak huraikan? Inilah yang menjadi tanda-tanya dan kehairanan kita. Adakah konsep gharib (bukan ghaib) ini tidak penting dalam estetika Melayu? Mengapa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membuang konsep ini, lalu menggantikannya dengan konsep ghaib? Dari mana beliau dapat konsep itu? Teks apa yang dipakainya? Kajian teks menunjukkan konsep gharib ini sangat penting, tetapi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menggantikannya dengan konsep lain yang amat asing, yang dipanggilnya ghaib. Ciri-ciri hairan dan ajaib yang disebutnya itu adalah unsur-unsur gharib dalam estetika Melayu lama. Bagaimana pula tiba-tiba konsep ghaib boleh berada di situ? Inilah keanehan yang sangat gharib, yang mungkin boleh membuat orang pengsan. Oleh kerana perkara ini bertentangan dengan kenyataan sebenar yang terdapat dalam teks, beliau seharusnya menjelaskan dengan terperinci konsep ini supaya difahami. Apakah alasan beliau untuk menggantikan gharib dengan ghaib itu? Yang diketahui umum, gharib adalah konsep yang dipakai oleh penulis dan sarjana Arab/Islam, Parsi, Turki dan sebagainya, yang masuk ke Tanah Melayu melalui pengaruh Arab atau Parsi. Hikayat Seribu Satu Malam penuh dengan peristiwa, kejadian, keajaiban yang gharib-gharib ini. Apabila orang Melayu berkata, karya yang kaya dengan aspek yang gharib-gharib ini membuat orang pengsan, adakah ini terjadi kerana pengaruh Hindu-Buddha, atau kerana pengaruh sufi? Ini mesti dijelaskan, kerana sangat penting dari segi makna dan kesan psikologi sesebuah karya. Semua kemusykilan itu belum berjawab hingga kini, malah tidak

disebutkan pun oleh para penyumbang buku ini. Adakah ini bermakna mereka semua bersetuju dengan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Jika dilihat keghairahan mereka memuji re-vision Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ketika memberi interpretasi baru kepada dongeng Si Tanggang dan cerita-cerita Sejarah Melayu, nampaknya mereka juga bersetuju dengan pilihan beliau untuk melemparkan konsep estetika gharib untuk digantikan dengan konsep teologi ghaib. Adakah ini sejenis realisme magis dalam kegiatan akademik? Pengalaman orang biasa mengatakan bahawa yang gharib-gharib itu khayalan semata-mata, tidak wujud; ini sesuai dengan sifat cerita rekaan yang timbul dari khayalan manusia. Tetapi yang ghaib itu mempunyai realiti tersendiri, yang diketahui oleh akal, walaupun tidak boleh dilihat oleh mata atau dialami oleh indera luaran yang lain-lain. Yang ghaib itu menjadi salah satu rukun iman dalam Islam. Adakah dengan memakai istilah ghaib ini teori puitika sastera Melayu telah diberi wajah Islam? Kita perlu penjelasan, dan kita menunggu penjelasan daripada para sarjana yang menulis dalam buku ini, dan daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri. Oleh kerana teori sastera Islam telah diremehkan (seperti dibincang di atas), maka kekeliruan begini tidak dimengerti sama sekali oleh ahli-ahli akademik yang membicarakan sastera dan estetika. Keadaan yang dihuraikan di atas terjadi kerana hasil seni yang tinggi, halus dan sempurna buatannya, akan menimbulkan sejenis ilusi kepada sesiapa yang tidak memahami hakikat sebenarnya. Inilah yang terjadi kepada Ratu Balqis, sewaktu memasuki istana Nabi Allah Sulaiman a.s. (Rujuk al-Quran, 27:44: Dikatakan kepadanya (Balqis), Masuklah ke dalam istana. Maka tatkala dia (Balqis) melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan diangkatkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca. Berkatalah Balqis, Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam. Terjemahan oleh al-Quran dan Terjemahnya.) Dia mengangkat kainnya, kerana disangkanya lantai marmar itu air. Setelah diberitahu hakikat sebenarnya oleh Nabi Sulaiman a.s., Balqis segera tersedar dari ilusinya, mengaku kesilapannya, dan terus memeluk agama Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman a.s. Kisah ini terdapat dalam teks lama, dalam cerita nabi-nabi, tetapi kerana yang membacanya hanya melihat ceritanya, bukan hakikat atau maknanya yang mendalam, maka terlepaslah dari akal yang keliru satu prinsip seni yang sangat penting, yakni aspek ilusinya. Jika anda membaca karya-karya sastera dunia yang sudah dianggap klasik, yang menjadi ukuran kepada tamadun atau masyarakat yang melahirkannya, anda akan dapat melihat bagaimana ilusi seni ini mengkhayalkan manusia, sehingga tidak lagi dapat melihat hakikat sebenarnya. Untuk mengenal hakikat itu diperlukan ilmu yang benar, yang memang tidak terdapat dalam faham seni yang keliru dan dalam sistem nilai yang menolak peranan wahyu dalam kehidupan manusia. Faham begini sebenarnya dianuti juga oleh para sarjana Islam sendiri, yang sudah jauh meninggalkan agamanya, atau yang meremehkan apa juga usaha untuk membawa mereka kembali mengenal hakikat sebenarnya. Lebih cepat kekeliruan ini disedari dan dibetulkan, lebih baik bagi kesihatan mental sastera dan para sasterawan, termasuk para sarjana dan pengkritik sastera. Huraian ini membuktikan betapa penggunaan teks yang begitu banyak tidak menjamin hasil yang baik, kemas, tepat dan dihujahkan dengan analisis yang mendalam. Jelas sekali berlaku keadaan kelam-kabut dalam menggunakan teks, yang nampaknya tidak terkawal lagi. Semua ini terjadi kerana tidak ada penyaringan dan pemilihan bahan yang benar-benar diperlukan. Longgokan teks yang begitu berselerak boleh melenyapkan konsepkonsep penting yang sepatutnya muncul terserlah dengan jelas, tetapi sebaliknya hilang entah ke mana, lesap dalam kekaburan takrif dan kefahaman yang kurang sempurna. Dalam contoh lain, yang diberikan oleh Prof. Dr. Abdul Wahab Ali ketika membicarakan buku Sasterawan Negara Prof. Madya Dr. Syed Othman Syed Omar berjudul Pemikiran Satira Dalam Novel Melayu (DBP, 1997), kita menghadapi masalah yang sama

dari segi kaedah penelitian. Menurut Prof. Wahab Ali, pengertian satira dalam buku itu dihuraikan ala tok guru surau mengajar ilmu fiqah dan tasauf daripada kitab-kitab kuning abad-abad yang lalu. Keseluruhannya, dengan amat diplomatik, Prof. Wahab Ali memberi gambaran betapa lemahnya kaedah yang dipakai, dan betapa kaburnya hasil yang didapat dari kaedah yang kacau itu, kerana yang dilakukan pengkaji ialah mentafsirkan lambanglambang, tanda-tanda dan seumpamanya secara reader-response sewenang-wenang mungkin pada setiap novel pilihan itu, lalu secara deductive dan inductive membuatkan kesimpulannya sendiri tentang pemikiran satira novel berkenaan. (Lihat ulasan beliau dalam Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 9, 1999; hal. 209-217). Sesiapa yang telah membaca huraian sasterawan ini dalam makalah panjangnya Kritikan Melayu (Dewan Sastera, September dan Oktober, 1998) akan memahami maksud Prof. Wahab Ali. Beliau juga menyebut sikap sasterawan ini yang tidak memberi kredit kepada rujukannya, persis seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh terhadap kajian Prof. Syed Naquib al-Attas yang tidak disebutnya langsung dalam kajiannya, padahal dia berbicara tentang syair, yang menurut analisis Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dicipta oleh Hamzah Fansuri. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mendiamkan dirinya, tidak memberikan apa-apa pandangan terhadap kesimpulan inl. Adakah ini bermakna beliau bersetuju, atau beliau sebenarnya tidak ada pendirian sendiri tentang asal-usul syair yang penting ini?. Buku Critical Perspectives ini memberi gambaran seolah-olah pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak dibantah dan dikritik oleh sesiapa pun, diterima tanpa kritikan. Tidak terdapat pandangan kritis terhadap sarjana ini disebut oleh mana-mana penyumbang pun. Mungkin hal ini terjadi kerana pandangan kritis orang-orang yang tidak bersetuju dengan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dianggap remeh-temeh, tidak akademik dan lain-lain sebab yang diadakan. Tetapi sukar untuk meremehkan kritikan Prof. Siti Hawa Salleh, yang menegaskan bahawa penulis Puitika Sastera Melayu itu seorang tunanetra dalam sastera Melayu tradisional, sehingga apa yang dibicarakannya dalam Puitika itu tidak lebih daripada mengujar sesuatu yang sudah jelas dan diketahui oleh pakar-pakar dalam bidang itu. Keadaannya samalah dengan sikap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri yang meremehkan kajian dan pandangan Prof. Syed Naquib al-Attas, walaupun beliau bersetuju dengan hampir keseluruhan kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas, kerana beliau tidak diketahui menolak secara ilmiah kesimpulan-kesimpulan itu. Tabiat akademik seperti ini terlalu jelas memperlihatkan sikap permusuhan dan sikap memandang rendah pandangan orang lain yang tidak berupaya dibantah secara ilmiah. Ahli akademik seharusnya bersikap lebih positif dan lebih rasional daripada penyanyi pop atau pelakon yang meremehkan satu sama lain dalam gosip liar dan ocehan kosong. Persoalan ini menjadi lebih menarik, dari segi kepura-puraan akademiknya, jika dikaitkan dengan cerita Hang Nadim (hal. 207). Saya suka mengutip terjemahan Inggeris sebahagian daripada sajak Hang Nadim ini (hal. 208): your voice has fallen on ears that have not heard of truth they are not accustomed to intelligence. Yang menarik ialah, siapakah sebenarnya yang belum mendengar kebenaran itu? Siapakah pula mereka yang tidak biasa dengan kepintaran itu? Soalan ini menarik kerana dalam konteks ini Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Siti Hawa Salleh, dan mungkin juga orang lain yang saya tidak tahu, menjadi Hang Nadim dalam dunia akademik Malaysia, yang suaranya tidak mahu didengar penguasa yang kejam dan zalim yang bukan lagi bermukim di istana, tetapi kini berada di universiti. Bagaimana keadaan aneh (yang sebenarnya tidak aneh) ini boleh difahami dengan mudah? Kita kembali kepada al-Quran, tatkala para sasterawan palsu dan sesat dikutuk sekeras-kerasnya dalam Surah al-Syuara, dalam empat ayat terakhir: Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.

Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah, dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? Kecuali orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. (26:224-227) [al-Quran dan Terjemahnya. Tentang ayat mengembara di tiap-tiap lembah, diberi tafsir begini: Yang dimaksud dengan ayat ini ialah bahawa sebahagian penyair-penyair itu suka mempermainkan kata-kata dan tidak mempunyai tujuan yang baik yang tertentu dan tidak punya pendirian.] I was a linguistic and cultural schizophrenic Paling menarik ialah semua perubahan ini berlaku dengan kehendak dan kesedaran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri. Kata beliau: I was a linguistic and cultural schizophrenic. English colonized me, yet it was my lifeblood . (hal. 21). Adakah ini jawapan yang kita cari, yang menegaskan bahawa kita sekarang berdepan dengan seorang tokoh yang sebenarnya mengaku menghadapi masalah psikologi yang disebut schizophrenia? Penggunaan istilah itu secara kiasan, merujuk kepada penguasaan bahasa dan budaya, tidak mengurangkan makna negatif yang terkandung di dalam maksud psikologinya. Kamus The American Heritage High School Dictionary menjelaskan maksud istilah schizophrenia itu begini: Any of a group of psychotic disorders usually characterized by withdrawal from reality, illogical patterns of thinking, delusions, and hallucinations and accompanied in varying degrees by other emotional, bahavioral, or intellectual disturbances. [Italics ditambah]. Kamus Dewan, Inggeris/Melayu tidak berani memberikan istilah Melayunya. Mungkin kerana orang Melayu yang beragama Islam tidak menghadapi masalah ini, atau kerana makna yang terkandung di dalam istilah itu diberikan tahap-tahap tertentu oleh bangsa Melayu, mengikut ketenatan yang dihadapi. Adakah istilah Melayunya sasau? Gila bahasa? Mereng? Keliru? Nanar? Sasar? Lemah akal? Orang yang normal tentulah tidak akan berbangga berada dalam keadaan begini, seperti yang disebutkan oleh kamus The American Heritage, walaupun secara kiasan. Lebih dari itu, bolehkah kita berkata bahawa inilah juga yang dimaksudkan oleh Peter Burger dengan istilahnya the homeless mind? Tetapi dalam konteks yang lain, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh harus dipuji kerana kejujurannya mengaku kelemahannya. Pengakuan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu penting kerana dari situ kita boleh memahami dengan lebih jelas bagaimana tokoh ini bertindak dalam keadaan tertentu, yang menyerlahkan ciri-ciri yang disebutkan oleh kamus itu. Prof. Dr. Zawiah bersetuju dengan pandangan ini. Menurut beliau: Muhammads linguistic and cultural schizophrenia is the product of a complex and often a rigorous process of identity formation experienced by many ethnic peoples confronting conflicting cultures (hal. 3-4). Hakikat ini penting kerana faktor inilah yang mendorong Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh memilih Si Tanggang sebagai wiranya; dan hakikat ini menjadi lebih penting kerana pemilihan itu dibuat berasaskan pemikiran yang terjajah, yang ingin memberontak daripada penjajahan pemikiran itu, lalu terjerumus ke dalam gaung kekeliruan budaya yang amat teruk. Sebenarnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sangat bangga dengan keadaan schizophrenicnya itu. Prof. Siti Hawa Salleh pernah melaporkan betapa sasterawan dan sarjana ini dengan bangga mendakwa beliau memasuki dunia sastera lama dengan melompat melalui jendela, tanpa menyedarinya bahawa dalam budaya Melayu yang melompat ikut jendela itu bukan sarjana, tetapi pencuri. Kini beliau dengan bangga pula mengaku dia seorang yang sechizophrenic dari segi bahasa dan budaya, dengan itu beliau mengaku setulus-tulusnya akan kelemahan berbahasa Melayu dan kecetekan pengetahuannya tentang budaya Melayu. Kelemahan berbahasa Melayu itu terserlah dalam sajak-sajaknya yang rimbun dengan kiasan yang liar dan terlalu dicari-cari,

yang tidak saja mengaburkan maksud, malah menutup sama sekali kemungkinan wujudnya makna dan kebijaksanaan seorang pemikir. Di tempat lain, saya telah membicarakan agak terperinci kumpulan sajaknya Sebuah Unggun Ditepi Danau (majlis bicara buku anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Timur, 21 September 2003). Beliau adalah individualis par excellence, yang memaksa pedapatnya diterima tanpa soal, dengan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang jika beliau dikritik, dan kesalahannya didedahkan, walaupun kesalahan itu tercokol angkuh dalam tulisannya. Walaupun beliau mengaku telah kembali ke akar Melayu (?), tetapi yang kembali itu hanya jasadnya, sedangkan jiwanya masih kebaratan, masih terjajah. Bukti paling jelas tentang sifat kebaratan ini ialah kemegahannya dikenal sebagai Si Tanggang II. Seperti Freud yang mengasaskan psikologinya kepada mitos Yunani, maka demikianlah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mendapat kembali dirinya yang hilang itu dalam watak Si Tanggang, satu watak dongeng yang dikutuk oleh budaya Melayu dan Nusantara. Hanya orang yang berjiwa kebaratan dan individualis saja yang sanggup digandingkan dengan watak seperti Si Tanggang. Inilah bukti yang paling jelas dan tepat tentang sifat schizophrenic sasterawan ini, seperti yang diakuinya sendiri. Beliau mendapat sokongan dan galakan daripada rakan sejenis dengannya, seperti yang terlihat dalam buku Critical Perspectives ini. Keinginannya untuk kembali ke akar Melayu, seperti dakwaannya, membuatnya pergi jauh ke zaman primitif, dengan kepercayaan bahawa semakin tua dan lama unsur-unsur peribumi yang ditemuinya, semakin asli dan utuh Melayunya. Kerana itulah dia tidak memberi perhatian sewajarnya kepada unsur-unsur Islam yang dominan dalam budaya Melayu itu, kerana unsur-unsur itu baginya tidak asli dan tidak Melayu, tetapi dari jenis Arab atau Farsi. Sikap ini terserlah dalam Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, yang dengan bangga mengaku menggali unsur yang asli itu dari ceritacerita penglipur lara, bomoh dan pawang, dalang dan selampit. Semua ini telah ditinggalkan oleh Islam, tetapi dibangkitkan kembali dalam mentera puitika Melayu. Katanya: Seperti kita harus melihat pengaruh luar, kita juga harus melihat unsur-unsur asli dalam konsep keindahan bangsa Melayu. Oleh itu kita harus kembali kepada cerita-cerita penglipur lara, pantun, mentera, jampi dan sebagainya yang wujud sebelum pengaruh-pengaruh luar ini (hal. 34). Jikalau dengan kedatangan Islam unsur-unsur Jahiliah ditolak atau mana-mana yang makruf disaring berasaskan konsep tauhid dan taklif, maka unsur-unsur yang asli Melayu itu tidak mempunyai alat penyaringan, oleh itulah Si Tanggang dan Hang Jebat dijadikan wira oleh para sasterawan, disokong oleh para sarjana, dan akhirnya dijadikan sebagai kanun dalam sistem nilai Melayu apabila hasil-hasil karya yang berkenaan dijadikan bahan pendidikan di sekolah dan universiti. Dalam konteks inilah seruan untuk kembali kepada Islam ditentang hebat oleh tokoh-tokoh yang menganggap pemikiran sastera Islam bukan asli, tetapi tidak lebih daripada paksaan dari atas tanpa sokongan teks. Ketakutan kepada pemikiran kritis ini berasaskan kepercayaan bahawa karya-karya yang bermodelkan puitika sastera Melayu akan runtuh berselerak sekiranya dinilai berasaskan ilmu yang difaham dalam Islam. Oleh itu secara diam-diam tertanam sikap anti Islam yang sangat tebal, yang berselindung di sebalik kelir kesarjanaan yang di luarnya kelihatan seolah-olah Melayu, tetapi jiwanya pekat dengan ketaksuban kepada nilai-nilai hidup barat. Untuk memahami persoalan ini dengan jelas dan mudah, kerangka analisis yang disediakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kitabnya Islam and Secularism (1978) boleh dijadikan panduan. Menurut beliau, umat Islam (dan umat Melayu kecara khusus di Malaysia) sedang menghadapi krisis ilmu yang teruk. Konsep ilmu mereka keliru, kabur dan hampir sepenuhnya bersifat sekular. Akibat dari kekeliruan ini terjadilah kehilangan adab, apabila orang tidak dapat membezakan yang benar daripada yang batil, dan tidak tahu lagi kedudukan sebenar segala sesuatu. Mereka hilang kepekaan kepada tingkattingkat kemuliaan dalam kehidupan, lantas menyamaratakan semuanya. Merak disamakan

dengan murai; kuda disamakan dengan kaldai; helang disamakan dengan puyuh. Akibatnya, lahirlah pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan, dan mereka inilah yang diberi sanjungan dan penghormatan yang bukan hak mereka. Dalam putaran suasana kehilangan adab inilah karya-karya yang berasaskan tokoh dongeng seperti Si Tanggang ditulis, dan diberi kedudukan tinggi oleh para peneliti yang keliru konsep ilmunya dan tidak dapat lagi melihat tingkat-tingkat kemuliaan insan, kerana alat untuk mengenalnya tidak diketahui mereka. Dalam kesimpulan nanti saya akan berikan pandangan Annemarie Schimmel yang sangat penting direnung oleh para sasterawan dan sarjana. Kesimpulan Dalam ulasan ini saya dengan sengaja tidak menyebut nama-nama penyumbang, sesuai dengan tradisi Melayu yang tidak memberikan nama pengarang, seperti dalam hikayathikayat Melayu. Dalam zaman moden pun Roland Barthes telah mengisytiharkan pengarang telah mati (dalam rencananya The death of the author). Tetapi Insya Allah saya akan menyebut nama-nama mereka pada kesempatan lain, jika nanti saya akan menulis lebih terperinci tentang beberapa persoalan lain yang perlu dibahaskan. Perlu ditegaskan bahawa saya menulis sebagai seorang pengguna ilmu dan seorang pengarang Melayu yang melihat peranan Islam itu definitif dalam budaya Melayu, malah yang menjadi asas tamadun di Malaysia. Jika saya agak keras di sana sini dalam ulasan ini, maka hal ini berlaku kerana kita semua harus menolak apa juga hasil pemikiran yang tidak berkualiti, yang selekeh ( sloppy), memperagakan sifatnya yang palsu dan mengada-ada (phoney). Dalam konteks ini saya ingin melaporkan satu peristiwa yang terjadi dalam tahun 1991, ketika diadakan seminar antarabangsa sempena perasmian ISTAC (International Institute of Islamic Thought). Dalam pertemuan itu hadir Annemarie Schimmel dari Jerman. Pada suatu peringkat perbincangan, timbullah soal siapakah gergasi sastera dunia yang sebenarnya. Annemarie Schimmel tanpa ragu-ragu menamakan Jalaluddin Rumi, Jami, Sadi yang menulis dalam bahasa Farsi. Kata beliau, jika Rumi dibandingkan dengan Goethe dan Shakespeare, maka jelaslah kedua-dua yang kemudian itu hanya budak-budak bermain guli jika dibandingkan dengan Rumi. Penilaian ini sangat penting diketahui oleh para sasterawan dan sarjana sastera, kerana diberikan oleh seorang sarjana yang membaca ketiga-tiga tokoh besar itu dalam bahasa asal masing-masing, jadi penilaiannya terjamin tepat kerana kepakaran beliau dalam bidang ini dan kerana kesimpulan itu berasaskan teks dalam bahasa asalnya. Apakah yang dapat dipelajari daripada kesimpulan Annemarie Schimmel ini? Jawapannya diberikan oleh Iqbal dalam bait-bait syairnya: Orang berwatak kuat, yang menguasai diri sendiri Akan menimati setiap nasib yang datang kepadanya Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya Dia akan berusaha menggempur langit angkasa. (Terjemahan Bahrum Rangkuti) Manusia berwatak kuat itu tidak mungkin lahir daripada ajaran berasaskan watak Si Tanggang, atau daripada teori puitika sastera Melayu. Manusia yang berani menggempur langit angkasa adalah yang lahir daripada ajaran taklif, yang menjadi teras sastera Islam dan kritikan sasteranya. Makna hakiki kembali kepada yang asal ialah kembali kepada ajaran taklif, kepada perjanjian asal para ruh dengan Allah Taala di alam alastu: Tidakkah Aku Tuhan kamu? Jawab mereka semuanya, Benarlah, kami bersaksi. (7:172). Apa juga karya yang dicipta untuk memungkiri perjanjian ini hanyalah buih-buih terapung belaka, tetapi masih berguna untuk dijadikan sempadan, bukan ikutan atau panduan. Itulah maksud ucapan Annemarie Schimmel tadi. Sebuah teori sastera yang tidak menuju ke arah membina peribadi yang kuat tadi bukanlah teori sastera yang sah, oleh itu tidak perlu diberi sanjungan,

apalagi dijadikan panduan. Demikian juga sebuah teori kritikan sastera yang tidak dapat mengenal peribadi yang kuat, bukanlah teori yang berguna. Sebarang huraian dan analisis yang tidak berupaya mengenal watak yang kuat tadi adalah analisis yang sia-sia. Seorang pengarang Melayu dan sarjana sastera Melayu haruslah berani berdiri di pentas ilmu untuk mendedahkan kepalsuan yang dibungkus dalam kotak akademik, sekiranya isinya sampah saja. Kata Penyudah T. Alias Taib telah menjadi korban sistem pemberian anugerah yang berasaskan kronisme dan pilih kawan, maka pensajak ini telah terlepas daripada gelaran Sasterawan Negara yang beliau layak menerimanya. Kini yang masih menunggu ialah seorang pensajak yang cukup hebat sajak-sajak mantranya, iaitu Suhaimi Hj.

Muhammad. Adakah beliau juga akan dikorbankan seperti T. Alias Taib? Sudah wajar sekali pensajak ini diberi penghormatan negara itu, ketika beliau masih hidup. Seperti yang saya pernah tegaskan dalam tulisan lain, Panel Anugerah Sastera Negara adalah juru cakap sastera Barat di Malaysia, memilih hanya para penulis yang pekat jiwa Baratnya, dan berusaha sungguh-sungguh untuk mengekalkan nilai-nilai Barat itu dalam sastera Melayu moden. Jadi sasterawan negara pilihan mereka tidaklah sasterawan yang terbaik, tetapi memang terbaik dalam kelompok mereka. Oleh itu, gelaran yang mereka berikan tidaklah setinggi yang mereka sangka darjatnya. Semua mereka adalah sasterawan yang menghasilkan karya buatan, bukan karya asli seperti yang dimaksudkan oleh Maulana Abu Hassan Ali Nadwi. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri pernah beberapa kali menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini. Siapakah yang dijeling oleh beliau dan rakan-rakannya? Nampaknya Leo AWS akan terheret sama dikesampingkan seperti T. Alias Taib dan Suhaimi Hj. Muhammad. Mengapa Leo AWS tidak layak diberi anugerah dan gelaran Sasterawan Negara? Dalam sistem pemberian markah yang digunakan pada waktu ini, hanya sekumpulan sasterawan yang berlegar di sekitar Panel Anugerah Sastera Negara saja yang akan diberi pertimbangan, dengan itu sasterawan tulen, seperti yang disebut oleh Maulana Abu Hassan Ali Nadwi, akan terus tertolak, kerana yang diutamakan dalam sistem nilai Barat itu ialah kumpulan penulis

yang menghasilkan karya-karya buatan, yang artifisial. Oleh sebab para sasterawan sendiri selesa berada dalam sistem itu, maka yang asli di antara mereka akan terus terpinggir, dengan itu pandirisme terus menjadi arus perdana dalam kegiatan sastera Melayu. Dilihat dalam konteks ini, apakah maksud kata-kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berikut: Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14.) (Huruf tebal ditambah). Wallahu alam

Panduan Menganalisa Aspek Cereka Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur


Pendahuluan. Pengkaji cuba mengupas sejauh mana Penulis iatu Maimunah Hj. Omar dalam membicarakan membicarakan beberapa panduan dalam menganalisis sebuah cereka. Penulis telah membahagikan perbincangan kepada tiga bab. Bab 1, membicarakan tentang panduan umum dalam menganalisa sesebuah novel cereka berdasarkan tema , plot , watak dan perwatakan , sudut pandangan , latar , gaya bahasa , nada dan pemikiran yang terdapat dalam sesebuah novel. Bab 2, Pembicaraan dikhususkan terhadap penganalisaan kesemua aspek cereka novel berdasarkan aspek yang dibincangkan di Bab 1 dengan menumpukan analisa terhadap novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Manakala Bab 3 pula mengisahkan pengkajian dan penelitian beberapa persoalan yang terdapat dalam cereka Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur Sinopsis Bab 1 membicarakan tentang beberapa aspek penganalisaan cereka berdasarkan tema dan ciri- cirinya , pendedahan tentang plot atau jalan cerita sebuah karya yang berfungsi menggerakan jalan cerita dari satu tahap ke tahap berdasarkan aksi watak. Watak pula adalah mengisahkan tentang aksi pelaku yang mengerakan plot dalam mengembangkan tema yang mahu disampaikan oleh penulis. Pengunaan bahasa dan gaya bahasa adalah merupakan satu cara pengarang menyampaikan karya kreatif dan berunsur dramatik dengan gaya bahasa tersendiri. Perbincangan mengenai latar dalam sesebuah karya merujuk perihal tempat dan masa yang terdapat dalam cereka dan membantu pembaca memahami cerita , peristiwa terjadi dan dimana berlaku.Bagi memastikan apa yang disajikan kepada khalayak dapat dirasai , pemilihan kata yang bersesuaian yang mengambarkan sikap dan perasaan pengarang

melalui penggunaan bahasa. Aspek penganalisaan terakhir berdasarkan aspek pemikiran yang merujuk keseluruhan makna tersirat yang ingin disampaikan oleh pengarang . Pada Bab 2 pengarang membicarakan tentang penganalisaan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur berdasarkan ciri ciri yang dibincangkan sebelum ini iaitu; a. Sinopsis Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mengisahkan tentang liku liku kehidupan Encik Muhammad dalam menjalankan perniagaannya. En.Muhammad merupakan salah seorang dari pengarah sebuah firma perdagangan yang terkenal di Kuala Lumpur dan berkongsi dengan En. Tan serta Tan Sri Syed Aris. Encik Muhammad seorang yang bercita- cita besar dan telah membuka sebuah Ladang Orkid yang diuruskan oleh isterinya Cik Tipah dan merancang untuk membuka sebuah kawasan perlombongan di Lembah Tualang. Antara kampung terlibat ialah kampungnya sendiri iaitu Kampung Pulai. Encik Muhammad menghadapi masalah dan rintangan dalam memajukan Lembah Tualang sebagai kawasan perlombongan. Beliau terpaksa membeli tanah orang kampung dan memindahkan mereka ke kawasan tanah rancangan felda. Pada masa yang sama masyarakat memandang serong terhadapnya setelah tersebar khabar angin mengatakan rancangannya memajukan Jeram Medang sebagai pusat maksiat. Rahim, anak Encik Muhammad yang belajar di luar negara turut menentang cadangan bapanya dan menganggap sebagai seorang pemeras , tamak dan zalim. Bagi mendapatkan sokongan anaknya , En. Muhamamad cuba merapatkan Mahani anak Tan Sri Syed Aris dan akhirnya mereka berkahwin. En. Muhammad Yusof, Wakil rakyat Lembah Tualang telah membantu Encik Muhammad menyelesaikan masalah penempatan penduduk Kampung Pulau ke Tanah Rancangan Felda. Masalah Encik Muhamad masih belum selesai apabila rancangannya turut diganggu oleh Lebai Maarup salah seorang penduduk di Kampung Pulai. Lebai Maarup merupakan seorang anak muda yang mempunyai tanah di situ dan tidak mahu menjualkan tanahnya, sebaliknya ingin mewakafkanya. Rahim anaknya berjaya memujuk ayahnya supaya bersetuju dengan cadangan Lebai Maarup dan sebagai pertukaran, Rahim bersetuju menjadi pengurus syarikat perlombongan bapanya. Tema yang cuba dibangkitkan dalam novel ini berkaitan dengan kebangkitan bangsa Melayu di dalam bidang perniagaan . Pada masa yang sama wujud kebangkitan pergerakan dakwah Islamiah dikalangan generasi muda dari dalam dan luar negeri. Plot novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mempunyai lebih dari satu cerita yang ingin disampaikan oleh pengarang. Ceritanya mengenai cadangan En. Muhammad mengembangkan perniagaannya. Cerita kedua berkaitan perkembangan dan penerapan nilai nilai islam yang dibawa Lebai Maarup , Imam Sahak dan lain- lain. Kepelbagaian plot yang digunakan pengarang menyebabkan ia tidak kronologi dan berlapis lapis dan bercampur aduk dengan peristiwa lain . Struktur plot dalam novel ini bersifat moden yang terdiri dari lima tahap iaitu eksposisi , aksi menaik , klimaks , aksi menurun dan penyelesaian. Bagi memastikan cerita lebih menarik, Keris Mas telah memaparkan unsur konflik dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Konflik yang wujud dalam novel ini iaitu; Konflik dalam diri watak yang diwakili oleh En. Muhammad dengan penduduk Kampung Pulai dan Konflik di antara Mahani dengan Rahim. Konflik antara manusia dengan manusia contohnya Sudin dengan Mat Akil , Encik

Muhammmad dengan Tauke Chan , Lebai Maarup dengan Mat Akil dan bebarapa watak lain. Konflik antara manusia dengan Tuhan contohnya Ketaatan Encik Muhammad pada ajaran islam tetapi tidak mahu menerima cadangan Lebai Maarup mewakafkan tanahnya ke jalan Allah. Berdasarkan analisa ke atas novel saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, pengarang telah berjaya mengambarkan watak Encik Muhammmad sebagai seorang yang berani , berpandangan jauh , berpendidikan tinggi dan berjaya dalam hidup. Watak Encik Muhammmad ini cuba digambarkan oleh Kris Mas mewakili satu golongan ahli perniagaan yang berjaya dilahirkan oleh Dasar Ekonomi Baru. Selain dari watak Encik Muhammad ia turut memaparkan watak lain seperti Jahid , Mahani , Rahim ,Lebai Maarup , Imam Sahak dan lain lain. Penggunaan bahasa dari aspek pengkajian terhadap novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur menggunakan sesuatu perkatan dengan lengkap, tepat, lancar dan berkesan. Penggunaan dan pemilihan perkataan yang sesuai berjaya mengambarkan watak yang terlibat.Penggunaan perkataan Inggeris seperti air con, supermarket dan sebagainya berjaya mengambarkan kehidupan masyarakat kota. Latar yang digunakan dalam novel berjaya mengambarkan keadaan sebenar sesuatu tempat seperti Pekan Tualang , Kedai Bunga Flora , Jeram Medang , Rumah Besar Tepi Bukit dan sebagainya. Latar masa yang digunakan dalam novel ini berlatarbelakangkan tahun tahun 70an dan 80an berdasarkan graduan yang senang mendapat kerja sebelum tamat pengajian. Kepelbagaian latar yang digunakan oleh Keris Mas menjadikan perkembangan cerita lebih menarik , tidak statik , mengambarkan sosial masyarakat pada masa itu disamping pembaca berupaya menyelami peristiwa yang berlaku seolah olah dialami sendiri . Keris Mas menggunakan pelbagai sudut pandangan dalam mengembangkan dan mengambarkan perwatakan dalam sesebuah karya. Penggunaan sudut pandangan orang ketiga, sudut pandangan serba tahu, sudut pandangan objektif, sudut pandangan neutral dan sudut pandangan terhad. Umpamanya Keris Mas menggunakan sudut pandangan orang pertama bagi tujuan pengkisahan manakala pada bahagian bahagian tertentu menggunakan sudut pandangan yang lain bagi menimbulan kesan kesan tertentu. Pada bab ke tiga pengarang lebih menumpukan kepada pengkajian beberapa persoalan yang dikemukakan dalam sesebuah cereka. Contohnya persoalan yang berkaitan dengan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur seperti asas keagaman , adat resam , kemajuan , kekayaan dan sebagainya. Kelebihan dan Kekurangan Berdasarkan buku yang ditulis oleh Maimunah Haji Omar , ia akan dapat membantu seseorang dalam menganalisa sebuah cereka berdasarkan , 1. Tema dan persoalan yang yang ingin diutarakan dalam sesebuah cereka. 2. Mengenalpasti penggunaan plot yang yang terdapat dalam sesebuah karya. 3. Dapat mengenalpasti latar masa , tempat , masyarakat , budaya dan lain lain. 4. Penggunaan gaya bahasa dan pemilihan bahasa yang digunakan oleh pengarang samada bahasa asing, pemilihan perkataan yang sesuai , penggunaan ayat yang tepat berdasarkan frasa ayat , semantik dan penggunaaan unsur unsur bahasa . Penggunaan unsur bahasa ini akan dapat menimbulkan kesan emosi ke atas pembaca. 5. Pengambaran watak dan perwatakan .

6. Pemikiran yang ingin diutarakan .

Faedah kepada pengkaji. 1. Dapat memahami dasar- dasar kerajaan dalam membangunkan ekonomi orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru yang diwakili oleh watak Encik Muhammad. ( Noor Azam , 1975 ) 2. Melalui buku ini ia akan dapat membantu pengkaji memahami aspek aspek utama dalam menganalisa sesebuah cereka. 3. Membantu pengkaji mengenalpasti mutu sesebuah cereka berdasarkan ciri ciri yang harus ada pada sesebuah cereka. 4. Memudahkan pengkaji membuat analisa mengenai teks yang berkaitan cereka dan genre lain . 5. Pendedahan kepada pengkaji aspek cereka jika digunakan dengan baik akan melahirkan sebuah karya yang bermutu . Penutup. Pengarang telah mendedahkan beberapa aspek dalam menilai sesebuah cereka.Bagi menghayati sebuah karya kesusasteraan, pengetahuan tentang kaedah dan penulisan sebuah karya adalah amat berguna kepada pembaca. Pengetahuan tentang teori dapat membantu pembaca memahami isi tersurat dan tersirat. Pembicaran setiap komponen yang berhubungkait antara satu dengan yang lain telah membantu pengkaji dalam memahami garis panduan penilaian sebuah karya cereka. Bibliografi. Noor Azam , Persfektif , DBP , Kuala Lumpur ,1975 Keris Mas , Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur , 2003. Sahnon Ahmad ,Konsep wira melayu moden dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Di dalam Siti Aishah Murad ( selenggaraan) ,Konsep Wira Dalam Sastera Melayu,Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur , 1993 Sohaimi Abdul Aziz , Novel dalam kritikan ,Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang, 2004
http://wardahmunirah.blogspot.com/2009/11/watak-dan-perwatakan.html