Anda di halaman 1dari 2

RENCANA

Kempen gaya hidup sihat bantu hadapi cabaran ke arah negara maju
2010/12/24 - 03:29:01 AMCetakEmel Kawan

SABAN hari sejak kebelakangan ini, iklan Kementerian Kesihatan tersiar dalam hampir semua media utama mengenai kempen mengurangkan pengambilan gula untuk menjaga kesihatan. Sekali imbas iklan bertema Cegah Sebelum Terlambat: Amalkan Gaya Hidup Sihat dan Less Sugar Better Health itu memakan belanja besar kerana kekerapan penyiaran dalam media swasta menggunakan dana awam. Namun demikian, pada hemat saya, iklan sedemikian diperlukan dan relevan kerana rakyat Malaysia semakin terdedah kepada gaya hidup tidak sihat, khususnya pengambilan gula secara berlebihan. Tidak ramai mengetahui gula jika diambil secara berlebihan adalah racun sangat berbisa! Pengambilan gula berlebihan juga adalah penyebab pelbagai penyakit kronik. Ketika ini bukan suatu rahsia lagi bahawa lebih 20 peratus rakyat Malaysia dikategorikan sebagai gemuk. Hampir 15 peratus menghidap kencing manis. Selain itu semua petunjuk mengenai kesihatan semakin membimbangkan seperti tahap kegemukan, serangan jantung, strok, barah, kencing manis, darah tinggi dan pelbagai penyakit kronik lain. Laporan terkini menunjukkan 38,000 kes baru serangan jantung di Malaysia setiap tahun. Ini berkait langsung dengan sebab kematian, iaitu lebih 16 peratus akibat serangan jantung.

Menurut Dr Zainah Moktar menerusi buku, Awet Muda: Tujuh Rahsia Kesihatan Holistik (UTM Press, 2011) ada dua sebab utama sehingga berleluasa masalah kesihatan di Malaysia. Pertama, pemakanan yang tidak selari dengan gaya hidup sihat. Hal ini dipersulitkan lagi dengan pengambilan makanan secara berlebihan atau tidak seimbang. Kedua, corak pembangunan ketika ini menyebabkan kita kurang melakukan aktiviti lasak ketika bekerja. Pekerjaan sedemikian diambil alih pekerja warga asing. Selain itu, kita juga kurang bersukan. Malah, ramai tidak menyediakan ruang masa dalam seminggu untuk bersenam sekurang-kurangnya untuk mengeluarkan peluh. Kenyataannya, dalam kesibukan harian, kita masih punya kesempatan meluangkan masa berjam-jam di hadapan televisyen atau window shopping. Justeru, iklan Kementerian Kesihatan itu memang relevan, sah dan kena pada masanya. Selain bersifat pencegahan, sekali gus mengurangkan kos perubatan, langkah tersebut juga selari dengan keperluan mempersiapkan rakyat Malaysia supaya berperwatakan cergas, minda mantap serta lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran. Kita sedia maklum selain mempunyai sistem pemerintahan, urus tadbir dan kewangan cekap dan telus, sesebuah negara maju juga ditunjangi penduduk yang sihat dan berpendidikan tinggi. Dengan kesihatan yang baik, mudahlah kita melakukan pelbagai tugasan besar dan mencabar untuk memajukan institusi serta negara. Dengan tubuh badan sihat juga kita dapat mengawal

tekanan (stres) dengan lebih baik dan meningkatkan produktiviti kerja. Penjagaan kesihatan juga adalah tuntutan agama. Itulah sebabnya, selain makanan halal dan tidak berlebihan, kita dianjurkan berdoa seperti amalan harian Rasulullah SAW setiap pagi dan petang: Ya Allah sihatkan badanku, sihatkan pendengaranku, sihatkan penglihatanku. Namun persoalannya, kenapa sebahagian besar warga Malaysia masih mengamalkan gaya hidup dan pemakanan tidak sihat? Apakah iklan, pengamal perubatan dan statistik menakutkan itu masih belum mencukupi? Inilah persoalan besar yang masih belum terungkai dalam konteks pembangunan minda lestari dan gaya hidup sihat di Malaysia. Biasanya kebanyakan warga Malaysia hanya mengawal makanan atau melakukan senaman secara berterusan selepas menghidap penyakit. Kita juga beranggapan mereka yang tidak lagi boleh menjamu selera adalah kalangan yang telah habis nikmat dunia! Dalam hal ini, kita perlu lebih prihatin dan proaktif. Tidak cukup sekadar kempen dan iklan Kementerian Kesihatan saja. Semua pihak, termasuk majikan, pertubuhan sukarela dan institusi pendidikan perlu berganding bahu memainkan peranan menyemarakkan minda lestari dan gaya hidup sihat. Singapura misalnya memberi perhatian serius kepada pelajar sekolah supaya mengamalkan pemakanan sihat dengan kawalan ketat terhadap juadah dihidangkan di sekolah, dan mewajibkan pendidikan jasmani. Murid-murid gemuk dikenal pasti dan diwajibkan menghadiri program khas gaya hidup sihat. Hal sama turut dilakukan majikan awam dan swasta. Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu memantau iklan dan produk kesihatan yang mendakwa mempunyai ramuan ajaib yang menguruskan badan dan menyihatkan dalam tempuh singkat. Kenyataannya tidak ada jalan pintas untuk sihat kecuali menghayati gaya hidup sihat. Dengan pembabitan semua pihak, peningkatan kefahaman mengenai tabiat pemakanan, senaman berterusan dan pengawalan tekanan maka barulah gaya hidup sihat menjadi budaya warga Malaysia. Prof Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Anda mungkin juga menyukai