Anda di halaman 1dari 4

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,salam pertemuan dan salam 1 Malaysia.

Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudara peneraju acara,kombinasi intelektual kehakiman yang berpaksikan keadilan,semestinya saudari penjaga masa yang sentiasa peka dengan randiknya,seterusnya hadirin hadirat pencetus revolusi yg dimuliakan sekalian yang sentiasa dekat di hati ini. Berdirinya saya di sini pada pagi yang penuh barakah ini bukanlah untuk membuang masa hadirin sekalian,bukan pula membuat tarian agogo dan bukan juga mengalunkan irama dangdut,akan tetapi menyampaikan sebuah pidato yang bermanfaat bagi semua iaitu "SAYANGI ALAM SEKITAR".. Hadirin hadirat yang dihormati sekalian, Mutakhir ini,pembangunan giat dijalankan hari berganti hari,bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun.Saban waktu kita melihat alam sekitar kita sering dimusnahkan sedikit demi sedikit demi membangunkan deretan bangunan pencakar langit.Demi apa?Demi mengejar seribu impian yang terkandung dalam istilah kemajuan? Persoalannya, "untuk mengejar sesuatu kemajuan haruskah alam menjadi taruhan?" Sebelum kaki mengorak langkah sebelum lidah mengalun bicara,izinkan saya terlebih dahulu memberikan pendefinisian berkaitan tema saya pada hari ini iaitu "SAYANGI ALAM SEKITAR".Merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu,sayang boleh didefinisikan sebagai suatu sikap saling menghormati dan mengasihi semua ciptaan Tuhan baik mahluk hidup mahupun benda mati seperti menyayangi diri sendiri berlandaskan hati nurani yang luhur.Manakala,alam sekitar pula boleh ditakrifkan sebagai keadaan semula jadi di sekeliling manusia,haiwan dan juga tumbuhan.Secara saintifik,alam sekitar juga dikenali sebagai biosfera yang terdiri daripada atmosfera, hidrosfera, dan litosfera yang merangkumi segala hidupan di bumi ini. Saya akan pecahkan tajuk saya ini kepada 3 elemen utama.Yang pertamanya akan saya huraikan mengenai punca-punca kemusnahan alam sekitar.Keduanya kesankesan kemusnahan alam sekitar dan seterusnya mencari jalan alternatif dalam melestarikan alam sekitar.Semuanya tidak lain dan tidak tidak bukan bertunjangkan pada tema "SAYANGI ALAM SEKITAR" Sidang pendengar yang penuh setia, Elemen saya yang pertama adalah punca-punca kemusnahan alam sekitar.Kemusnahan terhadap alam sekitar terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak mematuhi rang undang-undang dalam aktiviti kehidupan seharian.Golongan ini sebenarnya sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar cuma mereka alpa dalam melaksanakan tugas mereka sebagai khalifah di muka bumi ini.Pemimpin tersohor India, Mahatma Gandhi pernah berpesan bahawa dunia hari ini hanya mencukupi untuk orang biasa tetapi tidak kepada orang yang tamak dan haloba. Kata-kata yang terlalu besar ertinya ini membuatkan saya cukup terpanggil mengajak saudara dan saudari sama-sama memikirkan alam sekitar kita.

Terdapat segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang merobek keindahan alam sekitar seperti membuang sampah, sisa toksik dan agen pencemar alam secara tidak mematuhi piawaian yang ditetap pihak kerajaan.Jika dteliti,memang benar pencemaran banyak dicetuskan

oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata,nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan.Yang menyedihkan,semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia.Hal ini umpama jari-jari liar yang rakus menerkam mangsanya. Batu
dilontar ke depan, tangan disorok ke belakang.Manusiaoh, manusia.oh, manusia!

Sidang pendengar yang setia, Kita terus meneroka dengan elemen kedua saya iaitu kesan-kesan kemusnahan alam sekitar. Dipetik dari Malaysia Today, para akademik mendapati bahawa dua pertiga daripada ekosistem yang seimbang yang telah dikaji, telah mengalami kerosakan di tangan manusia sepanjang setengah abad yang lalu.Sepanjang 50 tahun yang lalu, manusia telah mengubah ekosistem dengan pantas kebanyakannya bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk makanan,air bersih,kayu balak serta keperluan yang lain. Seluruh akibatnya, hanya kini, kian nampak jelas. Lebih kurang 15 dari 24 ekosistem yang utama bagi kehidupan atas bumi telah mengalami kerosakan yang serius. Dipetik pula dari rencana Utusan Online,hutan di Kedah merintih dan menangis disebabkan kerakusan Kerajaan Negeri Kedah yang berterusan menggondolkan hutan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.Pembalakan hutan berhampiran dengan Tasik Pedu dan penerokaan hutan di Gunung Inas, Baling membuktikan bahawa kita semakin rakus memusnahkan khazanah hutan disebabkan ingin mengaut keuntungan dengan cepat.Kita mungkin beranggapan bahawa Malaysia ini dilindungi daripada malapetaka besar dan kejadian serta tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Filipina sehingga mengakibatkan 1,400 penduduk kampung hilang di Pulau Leyte.Kita jangan lupa kejadian ribut Greg yang melanda Sabah pada 26 Disember 1996. Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam. Sidang saksi yang bermisi, Sudah banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah pencemaran. Isu pencemaran alam merupakan masalah peringkat global yang turut melanda negara seluruh dunia.Kesan yang amat dirasai

sekarang akibat pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia.Ribut taufan misalnya berlaku dengan amat kerap. Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid . Sementara itu, pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh

terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya dalam kalangan kanakkanak.
Namun, apakah tindakan kita? Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan tanda tanya.Kita teruskan dengan elemen ketiga saya iaitu jalan untuk melestarikan alam sekitar. Sebenarnya,ini bukannya bertujuan menyusahkan hadirin sekalian tetapi bertujuan mencari penyelesaian dalam meminimumkan kesan daripada aktiviti tersebut.Antara perkara yang boleh dilakukan untuk kembali memulihkan alam sekitar ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini. Selain itu,media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain. Ramai yang beranggapan bahawa pencemaran secara besar-besaran sahaja boleh mencemarkan alam sekitar. Namun, hakikatnya memang berbeza seperti yang difikirkan. Saya bawakan contoh membuang puntung rokok dan kertas pembalut gula-gula juga perbuatan mencemarkan alam sekitar. Biarpun kecil, tetapi sekiranya jumlahnya berlipat kali ganda tetap mencemarkan alam sekitar. Acapkali kita lihat tempat-tempat seperti perhentian bas, tandas awam dan sebagainya kelihatan agak kotor disebabkan benda-benda kecil ini. Sebenarnya, setiap antara kita mempunyai peranan untuk melestarikan alam sekitar biarpun perkara itu dianggap remeh. Jangan disebabkan benda remeh ini, kelak membawa binasa kepada seluruh komuniti masyarakat. Hadirin sekalin, sidang penonton penuh santun, Dari emas biarlah permata,

Dalamnya digali berbatu-batu, Alam ternoda didepan mata, Masihkan sahaja debar begitu? Jika kita kaji antara flora dan fauna memang tidak boleh dipisahkan sama sekali. Asimilasi ini boleh diumpamakan bagai isi dengan kuku, bagai irama dengan lagu, bak aur dengan tebing. Oleh itu, hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan diterokai untuk pembangunan sudah pastilah haiwan-haiwan akan pupus. Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajah-gajah ingin berumah bersama kita. Bukankah ini yang kita mahukan selama ini? Oleh itu,hadirin yang dihormati sekalian,bukalah mata dan minda kita sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan menanamkan sikap sayangi alam sekitar.Kita tidak boleh lagi menunggu sehingga keadaan alam sekitar menjadi benar-benar kritikal kerana segala-galanya mungkin akan terlambat untuk diselamatkan lagi. Ingat alam gemilang hidup pasti cemerlang.Kesimpulannya manusia yang mengancam manusia sendirilah turut terancam.Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh. Pemidato bestari, mohon permisi!

Anda mungkin juga menyukai