Anda di halaman 1dari 4

REFLEKSI

Pada 23 Jun 2012 yang lalu, pelajar Program Pensiswazahan Guru Ambilan Jun 2011 telah diberi satu tugasan kerja kursus pendek Semester 3 oleh pensyarah bagi mata pelajaran Matematik. Kami diberi masa selama beberapa bulan untuk menyiapkan tugasan ini secara berpasangan. Dalam masa itu, kami telah dikehendaki untuk mengambil gambar bagi semua jenis sumber pengajaran matematik yang ada di sekolah saya dan membuat perbandingan dengan sumber pengajaran matematik dengan sekolah pasangan.

Sebaik sahaja mendapat tugasan daripada pensyarah, perasaan yang terdetik di dalam hati ialah sama ada mampu atau tidak untuk menyiapkan tugasan ini sebelum tibanya tarikh penghantaran. Persoalan-persoalan ini saya abaikan terlebih dahulu. Perkara pertama yang saya lakukan ialah membahagikan masa supaya tidak berlaku pelanggaran waktu untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang lain. Saya terpaksa berbuat begitu untuk menghadapi masalah kekangan masa.

Pada minggu berikutnya iaitu hari Isnin, saya telah mencari sumber-sumber pengajaran matematik yang ada di bilik guru dahulu kerana ia adalah tempat yang paling senang untuk mencari bahan memandangkan kekangan masa. Di dalam almari panitia terdapat beberapa sumber yang diperolehi. Antaranya ialah buku-buku rujukan guru untuk membuat latihan untuk murid. Buku-buku tersebut tidak disusun dengan rapi kerana terdapat terlalu banyak buku yang disimpan. Saya terpaksalah mencari buku-buku tersebut walaupun almari itu berhabuk. Di situ juga ada beberapa bahan bantu mengajar seperti cop, wang palsu, carta yang kecil-kecil dan lain-lain

lagi. Pada hari itu lebih kurang satu jam saya membelek-belek di dalam almari tersebut untuk mencari bahan yang dikehendaki.

Pada minggu berikutnya pula, hari yang sama iaitu Isnin saya telah pergi ke bilik PPSMI. Alangkah terkejut saya bilik saya masuk bilik tersebut, ianya berhabuk yang amat sangat kerana bilik tersebut telah lama tidak digunakan. Dalam keadaan terpaksa saya kena juga mencari bahan-bahan yang saya perlukan. Hampir dua jam saya beroperasi di bilik tersebut. Walaupun tidak berapa banyak bahan yang ada saya mengakuinya.

Selang dua hari saya mula mengambil gambar di sudut-sudut matematik yang ada di dalam setiap kelas. Selain itu, sekolah saya juga ada sudut matematik di bawah tangga. Di sudut itu, murid-murid boleh duduk membaca buku atau melakukan sebarang kerja semasa waktu rehat atau setelah tamat persekolahan sementara menunggu ibu bapa dating menjemput.

Di setiap tangga juga ada bahan-bahan matematik yang ditampal untuk bacaan murid-murid dan juga guru-guru seperti mathematical term, sifir dan ukuran matriks. Selain itu, di kantin juga ada bahan matematik iaitu sifir 2 hingga sifir 12. Murid-murid boleh membaca sifir tersebut pada bila-bila masa sahaja pada waktu rehat dan waktu tamat persekolahan.

Masih banyak kekurangan bahan bantu mengajar matematik di sekolah saya jika dibanding dengan sekolah rakan saya. Saya akan cuba untuk menyuarakannya

kepada Guru Besar untuk tindakan selanjutnya bagi membantu guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.

Bukan mudah menjadi seorang guru. Guru bukan sahaja perlu kreatif malah perlu lebih inovatif serta mampu berfikir secara analitik dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar dan sempurna. Tugasan yang diberi secara tidak langsung dapat memupuk minat yang tinggi dalam menghasilkan bahan p&p yang pelbagai walaupun memakan masa dan memerlukan pengorbanan dari segi wang ringgit.

Sepanjang menyelesaikan tugasan ini, jika ada masalah yang timbul, kaedah musyawarah dan rujukan pada rakan-rakan yang berpengalaman didapati menjadi penyelesaian yang amat berguna. Kerjasama dan perpaduan merupakan tunggak kejayaan sesuatu program itu. Bak kata pepatah, Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kami perlu bersatu-padu dan sentiasa berganding bahu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Namun, walaupun menghadapi pelbagai masalah, saya telah berjaya untuk menyiapkan tugasan ini dalam masa yang ditetapkan. Ini adalah berkat kerjasama dan muafakat antara semua pihak. Kemahiran membuat keputusan telah dapat dilatih secara tidak langsung. Malah pelbagai pengalaman baru telah dapat diraih dan dapat digunakan dalam menempuh arena perguruan yang semakin mencabar pada masa yang akan datang.

Dengan semangat berpasukan yang tinggi, akhirnya saya dan rakan sekumpulan berjaya siapkan walaupun berbagai halangan yang perlu kami tempuhi.