Anda di halaman 1dari 15

Falsafah Pendidikan

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. "

PENGENALAN

Dewasa ini, sistem pendidikan di Malaysia berkembang dengan begitu pesat seiring perkembangan global seantero dunia dalam kalangan negara maju. Oleh itu, kerajaan menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai panduan utama dalam memajukan Sistem Pendidikan Malaysia.

Untuk menetukan haluan, asas dan inprisasi kepada usaha dan rancangan dalam memajukan bidang pendidikan maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal. Salah satu perkara yang ditekankan oleh kerajaan dalam membangunkan pendidikan ialah Pembangunan Modal Insan ini adalah kerana kerajaan memerlukan kepakaran hasil daripada sistem pendidikan untuk membawa negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Bagi menjana pembangunan modal insan yang seimbang, aspek jasmani, emosi, rohani dan interlek sangat diberikan penekanan seperti mana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Laporan Razak dan Penyataan Rahman Talib serta Akta Pelajaran 1961 dijadikan asas bagi pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu; Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan hormonis dari segi intelek, rohani, emosi dan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

(Kamarudin Hj Husin & Kamarul Azhar, 1994).

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi pengetahuan umum pada tahun 1988, telah menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan negara kita sejak sekian lama. Justeru itu, semua perancangan dan aktiviti pendidikan hendaklah merupakan hasil daripada nilainilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sememangnya kemunculan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan membawa impikasiimplikasi kepada sistem pendidikan. (Mohd Fathi Bin Adnan, Rohana Bt Hamzah & Amirmudin Bin Udin: Jurnal Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dalam Pendidikan Teknik Dan Vokasional Di Malaysia).

Menurut pengkaji, implikasi yang dapat dilihat daripada kemunculan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah implikasi terhadap kurikulum, implikasi terhadap guru dan implikasi terhadap institusi. Implikasi terhadap kurikulum adalah seperti perubahan pendidikan sekolah adalah selaras dengan cita-cita dengan tujuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu perubahan sukatan pelajaran, penyerapan nilai-nilai murni dalam semua mata pelajaran, orientasi pendidikan ke arah umum dan alam pekerjaan dan latihan yang sesuai bagi melahir pelajar berkemahiran dalam bidang masing-masing. Implikasi terhadap guru adalah seperti menjadikan perubahan strategi dan teknik pengajaran yang bersesuaian bagi melahirkan insan berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia. Guru yang berjaya memahami kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan dapat memartabatkan pendidikan sekolah masingmasing ke arah lebih tinggi dan berdaya saing.

Implikasi terhadap Institusi pula adalah perubahan organisasi sekolah ke arah mewujudkan situasi yang sesuai untuk melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita-cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti perubahan dari segi kemudahan-kemudahan bagi mengembang potensi pelajar secara menyeluruh dan aktiviti-aktiviti sekolah yang lebih memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar.

Seiring dengan kajian seperti ini para guru, pelajar dan ibu bapa harus memahami hasrat kerajaan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini akan membawa kepada ke arah pencapaian matlamat kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelek pelajar. Usaha ini juga perlu seiring dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi tujuan kemajuan negara pada masa

akan datang.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik.

Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara. FPK melihat individu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. Berikut merupakan perincian yang dihuraikan oleh pengkaji mengenai FPK.

a) Pendidikan Suatu Usaha Berterusan

Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai-nilai murni serta mendapatkan kemahiran. Proses ini berjalan secara berterusan dalam diri individu sejak lahir lagi. Pendidikan asas kanak-kanak bermula dari rumah dan dari rumah jugalah sahsiah mereka mula terbentuk dan berterusan. (Kamarudin Hj Husin & Kamarul Azhar, 1994)

Pendidikan adalah satu bentuk pencarian erti kehidupan yang sentiasa berterusan. Boleh kita pecahkan pendidikan kepada dua iaitu Pendidikan Tidak Formal dan Pedidikan Formal. Pendidikan tidak fomal bermula di rumah. Ini bermaksud seseorang kanak-kanak dari bayi sehingga memasuki alam persekolahan telah mempelajari pelbagai pelajaran melalui pengalaman dan pemerhatian mereka di persekitaran dalam dan luar rumah. Pendidikan ini tidak mempunyai sukatan pelajaran dan lebih banyak mengunakan psikomotor. Jelasnya disini ialah kanak-kanak telah cuba jaya dalam sesuatu pelajaran yang telah dilakukan olehnya. Sebagai contoh, belajar berjalan, makan, bercakap dan lain-lain lagi.

Sistem pendidikan formal pula adalah satu pendidikan yang mempunyai sukatan pelajaran, kelas atau sekolah, mempunyai ujian dan peperiksaan serta lain-lain lagi. Kebiasaannya pendidikan ini bermula seawal usia lima hingga tujuh belas tahun. Hal ini boleh kita lihat dari Tadika sehingga Tingkatan Lima nanti. Pembelajaran yang dinyatakan dalam FPK sebenarnya bukan berhenti di sekolah malahan ianya berterusan sehinggalah keperingkat yang lebih tinggi dan seterusnya sepanjang hayat. Terdapat banyak program-program yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi mewujudkan budaya belajar sepanjang hayat. Antaranya ialah mengalakan golongan guru untuk belajar ke peringkat yang tertinggi bagi memberi peluang kepada golongan ini belajar lagi. Program ini telah memberikan kesedaran kepada guru supaya mereka bukan setakat mempuyai diploma atau ijazah sahaja, malah mereka digalakan untuk belajar ke peringkat yang paling tinggi.

b) Memperkembangkan Potensi Individu

Setiap individu memiliki keupayaan dan bakat yang tersendiri. Keupayaan dan bakat itu pula dapat diperkembangkan menerusi aktiviti sosial. Namun begitu tidak semua kebolehan itu dapat dilihat dengan jelas kerana pendedahan untuk memperkembang dan mempertingkatkanya agak terhad. Oleh itu pendidikan memainkan peranan penting dalam memperkembangkan potensi individu dan ia perlu diracangkan terlebih dahulu dan dilaksanakan dengan teratur dan bersungguh-sungguh. ( Ee Ah Meng, 1988).

Di sekolah, terdapat banyak aktiviti kokurikulum yang telah diwujudkan bagi memberi keseimbangan dalam akedemik dan aktiviti luar. Kokurikulum ini biasanya dilaksanakan selepas proses pembelajaran. Penglibatan pelajar boleh kita perhatikan dalam kegiatan sukan,

kelab, persatuan dan pakaian seragam. Dalam aktiviti ini pelajar akan melakukan sesuatu aktiviti secara berkumpulan. Ada di kalangan mereka yang mempunyai bakat dalam menjadi pemimpin. Daripada mereka juga akan membentuk satu kumpulan yang menjadi pengikut kepada ketua mereka. Kesannya, ia akan mendedahkan pelajar tersebut supaya dapat menampilkan diri mereka yang sebenar suatu hari nanti.

Daripada kegiatan ini juga, seseorang pelajar akan dapat mengembangkan diri mereka dalam pelbagai bidang. Contohnya sukan, berpantun, bersajak, menyanyi, menari, mereka cipta sesuatu benda baru dan lain-lain lagi kebolehan yang dapat ditunjukan oleh pelajar dalam kegiatan luar. Bakat-bakat ini jika sesebuah sekolah mengunakan kelebihan pelajar ini sudah semestinya ia akan meningkatkan nama sesebuah sekolah. Kita ambil contoh sebuah sekolah yang berunsurkan kesenian iaitu Sekolah Seni Kuching. Di sekolah ini, aktiviti berbetuk kesenian sangat dititikberatkan. Pelajar-pelajar belajar seperti biasa pada sebelah pagi. Di sebelah petang pula, pelajar akan dibahagikan beberapa aktiviti yang telah mereka pilih mengikut minat mereka. Antaranya mereka akan masuk kelas teater, kelas tarian masyarakat, kelas muzik tradisonal, kelas syair dan puisi, kelas pantun dan lain-lain lagi. Semasa kegiatan ini dijalankan, mereka akan diasah mengikut kebolehan mereka dengan bimbingan beberapa guru nanti. Guru akan menjadi petunjuk dalam mencari dan memperkembangkan bakat pelajar ini (Omardin Ashaari, 1998). Kesannya, pelajar tadi akan menjadi semakin mahir dalam minat yang telah mereka pilih tadi. Ini akan memberikan satu impak yang sangat berguna kepada pelajar di sekolah ini apabila mereka tamat persekolahan nanti.

Jika kita imbas kembali, falsafah pendidikan yang menyentuh tentang memperkembangkan potensi individu adalah sangat diperlukan oleh pelajar dan haruslah diteruskan demi menjadikan pelajar negara kita sentiasa mencari kelebihan mereka dalam bidang yang mereka pilih. Setiap pelajar bijak dan lemah mempunyai kelebihan mereka masing-masing. Tidak semestinya pelajar yang lemah tidak mempunyai kebolehan tersendiri, mereka mungkin mempunyai kelebihan dalan sukan dan lain-lain lagi. Tegasnya di sini, falsafah ini sangat releven pada zaman sekarang.

c) Menyeluruh Dan Bersepadu

Potensi-potensi yang ada pada individu harus dikembangkan secara bersepadu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Sebagai contohnya potensi dari sudut intelek tidak boleh dipisahkan dengan potensi kerohanian. Pelajar yang bijak adalah tidak seimbang tanpa ada norma-norma kemanusiaan seperti kasih sayang sesama manusia dan menghormati orang lain. Begitu juga dengan potensi lain iaitu potensi rohani dan jasmani dalam satu-satu aktiviti tidak boleh dipisahkan dengan kemahiran bersosial semasa bermain secara berpasukan seperti sifat-sifat kerjasama dalam permainan. Semua potensi ini seharusnya berkembang secara menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk pelajar yang sempurna.

Usaha hendaklah dijalankan untuk menghubungkaitkan perkembangan semua potensi untuk memenuhi keperluan jasmani, intelek, rohani dan sosial. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah selain memberikan pendidikan keduniaan seperti ilmu akademik dan jasmani untuk mengembangkan semua potensi secara bersepadu adalah dengan menerapkan kepercayaan kepada tuhan. Ini akan melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi selain berilmu. Oleh itu, semua potensi hendaklah dikembangkan melalui berbagai-bagai aktiviti kehidupan manusia yang berlandaskan nilai-nilai murni dan juga norma-norma masyarakat yang baik seperti aktiviti ceramah agama dan gotong-royong selain proses pembelajar dan pengajaran dalam kelas.

Oleh itu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan kurikulum yang sesuai bagi mencapai hasrat ini. Antaranya adalah mewujudkan bidang mata pelajaran seperti matematik dan bahasa untuk tujuan komunikasi, bidang Pendidikan Agama Islam, moral, geografi dan sains untuk mengenali manusia dan alam sekeliling serta pencipta kita. Bidang Muzik, pendidikan Jasmani dan kesihatan, kokurukulum dan bidang kemahiran-kemahiran manipulatif untuk memperkembangkan potensi individu secara bersepadu.

d) Insan Yang Seimbang Dan Harmonis

Insan yang seimbang membawa maksud semua keperluan manusia mencukupi iaitu pertumbuhan akal, perkembangan rohani, emosi dan jasmani secara sihat dan bersepadu. Harmonis pula bermaksud unsur-unsur rohani, intelek, emosi dan jasmani dalam diri manusia adalah dalam keadaan serasi dan sesuai. Keadaan ini akan membawa hubungan baik antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam sekitar dan manusia dengan Maha Pencipta.

Insan yang seimbang dan harmonis memiliki dan menghayati ilmu pengatahuan, berakhlak mulia, mempunyai fikiran dan jiwa yang sihat, tubuh badan yang sihat dan cergas serta mampu bekerjasama dengan orang lain dan mempunyai keyakinan yang teguh kepada Tuhan. Ini bermaksud pelajar yang seimbang dan harmonis memiliki kefahaman tentang tugas dan tanggungjawab dalam pelajaran. Dalam alam pekerjaan mereka mampu melaksanakan tugas dengan amanah dan baik. Mereka juga begitu teguh dalam menjalani kehidupan seharian iaitu segala masalah dan cabaran yang dihadapi dapat di atasi secara profesional dan rasional.

Keseimbangan ini dapat dicapai melalui pendidikan sempurna di sekolah dan rumah. Di sekolah telah disediakan pendidikan yang sempurna untuk anak-anak. Hasrat ini tidak akan tercapai jika anak-anak tidak ke sekolah. Oleh itu ibu bapa dan guru harus bekerjasama bagi memastikan pendidikan ini sampai kepada golongan pelajar untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

e) Keseimbangan Dari Aspek JERI

Pendidikan di Malaysia suatu usaha berterusan ke arah melahirkan insan atau individu yang seimbang dari aspek Intelek, Rohani, Emosi dan Jasmani atau lebih dikenali sebagai JERI. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Keseimbangan dalam aspek JERI boleh dicapai dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Unsur Jasmani memberi tumpuan kepada perkembangan angota-angota tubuh badan dengan cekap dan sihat. Walaupun merujuk tubuh badan, kesihatannya bukan bergantung pada penjagaan tubuh badan semata-mata, ia juga perlu penjagaan emosi. Hal ini kerana emosi juga mempengaruhi kesihatan tubuh badan. Oleh itu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan subjek-subjek yang berkaitan dalam sistem pendidikan negara. Contohnya subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik serta aktiviti dalam Kelab dan Persatuan seperti Kelab Kebudayaan yang melibatkan gerakan dan kemahiran. Dengan unsur jasmani pelajar seharusnya dapat memperkembangkan bakat dan kemahiran teknikal, memanipulatif dan bersosial. Jasmani yang sihat secara dasarnya bermaksud memiliki tubuh badan yang sihat. Dengan tubuh badan yang sihat pelajar tentu

sekali dapat menyumbang tenaga dengan baik dan berkesan.

Dengan melahirkan insan atau individu yang sihat sahaja tidak cukup dalam sistem pendidikan negara. Ia juga perlu melahirkan insan atau individu yang stabil emosi. Unsur emosi ini diselit bagi menjamin perasaan yang sihat dan matang serta memiliki kasih sayang untuk mencintai perpaduan serta keamanan dan perasaan positif yang lain yang dapat menjamin kestabilan individu yang membawa kepada keatabilan negara. Contohnya, seseorang yang sihat tubuh badan tetapi bila menghadapi cabaran cepat panas baran, putus asa atau pun bunuh diri. Keadaan ini berlaku kerana tidak ada emosi yang stabil. Emosi merupakan faktor yang penting dalam kehidupan. Bagi pelajar yang mempunyai masalah emosi guru kaunseling bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan panduan supaya konflik emosi dalam diri pelajar dapat diselesaikan dengan baik. Contohnya, Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) juga ditubuhkan di setiap sekolah di mana ahlinya dipilih di kalangan pelajar-pelajar untuk membantu pelajar-pelajar yang mempunyai konflik emosi dalam diri mereka. Ahli PRS ini diberi pendedahan yang khas untuk membantu rakan-rakan mereka. Satu buku panduan yang mencadangkan cara-cara menangani masalah emosi harus diterbitkan dan diberi secara percuma kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah agar ianya dapat dijadikan panduan oleh mereka apabila mempunyai konflik emosi kerana sesetengah pelajar malu untuk meluahkan konflik emosi mereka. Penjagaan emosi adalah penting kerana masalah emosi bukan sahaja boleh menjejaskan mental malah juga fizikal.

Seimbang daripada aspek jasmani iaitu sihat tubuh badan, emosi yang stabil juga tidak cukup untuk melahirkan insan yang seimbang, jika tidak ada unsur rohani dalam diri. Rohani adalah merujuk kepada pembentukan dan pembinaan watak dan kejatidirian manusia. Sistem pendidikan melahirkan watak dan kejatidirian watak yang sesuai dengan agama, adat dan sosio-budaya Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara. Unsur rohani ini diselitkan agar setiap individu percaya kepada Tuhan, sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan serta berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada amalan-amalan yang baik. Jika rohani kosong atau penerapan nilai-nilai moral tidak ada maka kita tidak dapat melahirkan keperibadian yang mulia. Oleh itu kerajaan telah memantapkan matapelajaran agama Islam di sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan program Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (J-QAF). Bagi pelajar yang bukan Islam pendidikan moral sudah cukup tetapi amali haruslah diutamakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar ianya dapat

dipraktikan di luar.

Sihat, emosi stabil dan bermoral juga tidak dapat melahirkan insan yang seimbang tanpa intelek. Intelek bermaksud daya kemampuan berfikir dan memahami (menganalisis dan sebagainya). Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang seimbang dan harmonis dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan, hidup bermasyarakat dan cergas. Intelek merupakan unsur yang sangat diperlukan.

Keseimbangan dalam aspek intelek dapat diperkembangkan dalam pendidikan. Bagi rakyat Malaysia intelek diukur di atas kertas ujian. Kebanyakan rakyat Malaysia menganggap bahawa intelek merupakan lembing kejayaan individu. Perkara ini harus dihakis, persepsi rakyat Malaysia harus diubah. Aspek intelek sepatutnya dijelaskan dengan lebih menyeluruh di dalam pendidikan dengan menyatakan kepada individu bahawa kejayaan intelek bukan bermaksud cemerlang di dalam peperiksaan, malah kejayaan merangkumi intelek ialah kejayaan yang merangkumi keupayaan berfikir untuk hidup dan berdikari. Contohnya, apalah guna cemerlang didalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 18 A1 tetapi tidak mampu hidup berdikari dan berfikiran rasional untuk membuat keputusan yang bijak bagi menentukan masa hadapan. Guru-guru harus mengukuhkan keyakinan pelajar dalam setiap subjek yang diajar supaya murid yang lahir akan menjadi masyarakat Malaysia yang dapat membuat keputusan yang bernas dan bijak serta tidak mendatangkan masalah pada masa hadapan. Guru boleh memberi peluang kepada pelajar untuk menambahkan keyakinan pelajar dengan memberi mereka peluang untuk bercakap di khalayak ramai.

f) Kepercayaan Kepada Tuhan

Kepercayaan kepada Tuhan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam pembentukan identiti negara Malaysia. Pihak kerajaan telah membentuk rukun negara dengan meletakkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan pada tempat yang pertama. Ini menunjukkan betapa pentingnya prinsip ini kepada pembentukan sesebuah negara Malaysia yang harmoni di mana masyarakat di negara kita terdiri daripada pelbagai agama, kaum, budaya, bahasa, dan sebagainya. Dengan adanya kepercayaan kepada Tuhan oleh masyarakat di negara kita, ini akan mewujudkan satu masyarakat yang seimbang. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), perkara yang sangat dititikberatkan adalah berkaitan dengan soal keagamaan iaitu

kepercayaan kepada Tuhan.

Kepercayaan kepada Tuhan adalah elemen yang ketujuh dalam Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dimana kalau kita lihat kepentingannya, semua pelajar Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam dalam peperiksaan awam. Sementara itu, pelajar bukan Islam hendaklah diberikan pelajaran Pendidikan Moral. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pelajar-pelajar dapat mengamalkan konsep kepercayaan kepada Tuhan kerana mereka telah diajar perkara tersebut di dalam kelas.

Dalam melihat kepada kerelevan kepercayaan kepada Tuhan dalam kalangan pelajar-pelajar di negara kita berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pengkaji bersetuju dan berpendapat bahawa ianya begitu relevan dan sesuai mengikut peredaran zaman dan masa. Hal ini kalau kita lihat secara rasionalnya, individu-individu pelajar telah mengakui tentang wujudnya Pencipta. Pelajar-pelajar telah mengamalkan kepercayaan keagamaan masingmasing seperti dalam agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Mereka mengakui bahawa manusia dan alam semesta dijadikan oleh Pencipta yang disebut sebagai Tuhan. Malah mereka juga mengetahui hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Pencipta. Pelajar-pelajar juga boleh berfikir dan menyedari bahawa manusia dijadikan adalah untuk memakmurkan alam dan bertanggungjawab di atas perbuatan yang dilakukan seperti percaya adanya syurga dan neraka, dosa dan pahala, hukuman dan tindakan dan lain-lain.

Malah, pelajar-pelajar berusaha untuk meningkatkan kepercayaan kepada Tuhan di mana mereka akan hadir ke tempat-tempat beribadat mengikut kepercayaan dan amalan agama masing-masing. Bagi mengukuhkan amalan, mereka berusaha mencari ilmu dan mengamalkan ajaran agama. Sebagai contoh, pendidikan tentang agama bermula dari sekolah rendah dan ramai pelajar memasuki sekolah aliran agama bagi mendapatkan ilmu pengetahuan agama, mengamalkannya dan menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.

Secara realiti dunia pada hari ini, peredaran zaman telah mengubah pelbagai aspek dalam kehidupan manusia di dunia ini. Tidak terkecuali dalam aspek pendidikan dan sahsiah pelajar. Di sini kita melihat konteks di negara kita, pegangan agama dalam kalangan pelajar sejak akhir-akhirnya ini amat membimbangkan. Ramai pelajar pada peringkat rendah mahupun

atasan kurang memahami dan menghayati isi kandungan apa yang diajar kepada mereka berkaitan aspek keagamaan. Ramai pelajar tidak tahu membaca al-quran dan tidak menjawab soalan Pendidikan Islam dan moral dalam peperiksaan.

Pelajar-pelajar yang berjaya dan lulus dalam peperiksaan Pendidikan Islam dan moral hanyalah sekadar untuk memenuhi syarat mereka untuk memasuki institusi pengajian tinggi ataupun untuk mencari pekerjaan apabila tamat persekolahan nanti. Kita juga amat sedih kerana kurangnya dari segi pengamalan keagamaan pelajar-pelajar dan mempraktikkannya dalam kehidupan harian semasa ilmu-ilmu pengetahuan agama yang diajar oleh guru-guru di sekolah. Pelajar-pelajar lebih suka pergi ke tempat-tempat lain seperti pusat beli belah, melepak dijalanan, ke taman-taman rekreasi, tempat perkelahan dan sebagainya. Mereka jarang untuk pergi ke tempat-tempat beribadat dan ada sekalipun hanya apabila perlu sahaja. Keadaan ini boleh menimbulkan gejala-gejala yang tidak sihat dalam kalangan pelajar yang akhirnya mereka boleh terjebak ke lembah maksiat dan meninggalkan amalan keagamaan seperti kepercayaan kepada tuhan.

Dunia teknologi maklumat dan globalisasi pada hari ini menyebabkan penyebaran budaya dan anasir-anasir jahat yang bertentangan dengan agama dan norma masyarakat. Proses globalisasi yang tiada sempadan memudahkan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dakyah negatif kepada remaja kita. Contohnya, amalan Black Metal, Punk, Skin Head, seks bebas, perkahwinan sejenis dan sebagainya. Perkara-perkara ini bukan sahaja telah disebarkan kepada remaja dan pelajar-pelajar, malah ada yang telah mengikut dan mengamalkannya. Hal ini amat membimbangkan semua pihak. Oleh itu, usaha dan langkahlangkah perlu diambil agar gejala ini tidak meresap ke dalam jiwa remaja dan pelajar-pelajar. Kepercayaan kepada tuhan yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu ditekannya kepada pelajar-pelajar agar masalah seperti ini dapat diatasi.

g) Berilmu Pengetahuan

Membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan adalah elemen yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Elemen ini menyarankan rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti mencintai ilmu pengetahuan iaitu gemar membaca, sentiasa

berusaha menambah ilmu pengetahuan dan berusaha meningkatkan serta menyebarkan ilmu pengetahuan di samping memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain serta berfikiran terbuka luas dan mendalam. Selain itu, dalam pembentukan FPK, ianya juga menekankan penyebaran ilmu pengetahuan dan memanfaatkan ilmu untuk kebajikan diri dan orang lain.

Secara realiti dalam konteks hari ini, wujud segelintir pelajar-pelajar baik peringkat rendah mahupun menengah tidak tahu membaca. Hal ini amat membimbangkan para pendidik kerana zaman moden kalau difikirkan kita memang tidak wujud golongan pelajar yang tidak pandai membaca. Ini boleh membantutkan perancangan negara dalam memcapai negara maju pada tahun 2020. Ramai pelajar hanya belajar sehingga peringkat ijazah dan berhenti setakat itu sahaja demi mencari pekerjaan yang bersesuaian. Situasi ini berlaku disebabkan terlalu ramai graduan universiti yang menganggur dan tidak mendapat pekerjaan yang sesuai. Bagi pandangan graduan, tidak guna belajar pada peringkat yang seterusnya sedangkan tiada peluang pekerjaan diwujudkan bersesuaian dengan bidang-bidang yang diambil semasa di univerisiti.

Selain itu, rakyat Malaysia kurang membaca buku-buku ilmiah berbanding buku-buku berbentuk hiburan seperti majalah mangga, komik kartun dan sebagainya. Ini juga amat merisaukan semua pihak. Untuk mencapai hasrat kerajaan dalam FPK, ilmu pengetahuan yang mendalam perlu ada dalam diri masyarakat. Rakyat Malaysia lebih mengetahui situasi dan perkembangan isu di negara luar berbanding dalam negara sendiri. Ini juga merisau pihak kerajaan dalam merealisasikan apa yang terkandung dalam FPK.

h) Rakyat Malaysia Yang Berketerampilan

Keterampilan membawa maksud bagaimana seseorang dapat berhubung dengan insan yang lain (Ee Ah Meng, 1990). Ia juga meliputi beberapa aspek seperti pemikiran , kepercayaan dan perasaan. Di sini hasrat yang ingin dicapai ialah melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam menjalankan sesuatu tugas atau amanah.

Melahirkan individu yang berketerampilan ini penting bagi memastikan keseimbangan pendidikan dari segi rohani, jasmani dan intelek. Antara ciri-ciri individu berketerampilan

yang ingin dilahirkan ialah yang berilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan sememangnya kunci bagi kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi. Dalam situasi perkembangan dunia hari dimana perkembangan teknologi adalah begitu pesat, ilmu pengetahuan sememangnya amat mudah didapati. Hasrat melahirkan individu yang berpengetahuan harus disertai dengan mempunyai kemahiran apabila mempraktikkan ilmu pengetahuan tersebut.

Selain itu, mereka juga harus memiliki kelayakan yang wajar bagi menjalankan sesuatu tugas. Mempunyai kelayakan membolehkan individu mempunyai keyakinan bagi menjalankan sesuatu tugas. Apabila mahir serta berkelayakan, maka individu mampu melaksanakan tugas dengan cekap, tangkas dan sempurna. Dengan ini juga individu tersebut mampu memberi dan menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada orang lain yang memerlukan. Dalam pendidikan, kompenan-kompenan yang harus di ambil kira ialah penampilan secara fizikal dimana seseorang pelajar harus memainkan peranan dalam penampilan mereka. Sebagai contoh, pakaian pelajar perlu kemas dan mengikut kod etika pakaian serta harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Seterusnya, ketrampilan juga melihat elemen bagaimana pandangan seseorang terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Ia berkaitan dengan aspek positif atau negatif pemikiran seseorang itu terhadap diri mereka dan orang lain. Akhirnya ia memberi penekanan yang tinggi terhadap perasaan harga diri dan keyakinan diri.

i) Rakyat Malaysia Yang Berakhlak Mulia

Sehubungan dengan itu, matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga ingin melahirkan masyarakat Malaysia yang berakhlak mulia. Masyarakat berakhlak mulia di sini bermaksud masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti bersopan santun, berbudi bahasa, jujur, amanah, berintergriti dan sebagainya. Unsur ini merupakan perkara utama yang dituntut agar rakyat Malaysia mampu untuk berfikir, bertindak dan menilai mana satu yang baik dan mana satu yangg buruk. Kebolehan berfikir jauh dalam menimbang kesan dan akibat sesuatu perkara dan yakin dalam perkara murni yang dilakukan merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia yang berakhlak mulia. Kesemua nilai-nilai murni ini sangat penting dan perlu diterapkan kepada rakyat Malaysia sejak dari peringkat sekolah lagi supaya ia sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia.

j) Rakyat Malaysia Yang Bertanggungjawab

Selain daripada itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menitikberatkan unsur dan nilai kebertanggungjawaban di dalam diri setiap rakyat Malaysia. Bertanggungjawab yang dimaksudkan disini bukanlah bererti bertanggungjawab ke atas tugasan pekerjaan sahaja malahan ianya meliputi pelbagai aspek tanggungjawab seperti tanggungjawab terhadap agama dan keluarga, tanggungjawab terhadap perlembagaan undang-undang, tanggungjawab terhadap keamanan sejagat dan sebagainya. Oleh sebab itu, nilai ini telah dipupuk dan disemai kepada rakyat Malaysia sejak berada di bangku sekolah lagi. Dengan mengetahui tugas dan tanggungjawab ini diharapkan agar rakyat Malaysia mampu untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara yang berwibawa, disegani dan dihormati disamping memelihara perpaduan kaum untuk menjamin keamanan negara diteruskan.

k) Rakyat Malaysia Yang Berkeupayaan Mencapai Kesejahteraan Diri

Seterusnya hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu dan berkeupayaan untuk menikmati kesejahteraan diri. Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri di sini bermaksud seseorang individu yang berupaya menangani apa-apa sahaja masalah di dalam hidupnya sebagai contoh. Mereka juga mampu untuk berfikir secara waras apabila menghadapi sebarang situasi seperti menilai kesan dan akibat baik dan buruk sesuatu pertimbangan. Di samping itu juga, keseimbangan mencapai kesejahteraan hidup ini juga meliputi keupayaan seseorang individu untuk mempunyai tubuh badan sihat dan mempunyai kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain.

l) Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

Unsur yang terakhir yang diterapkan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu rakyat Malaysia yang dapat memberikan banyak sumbangan kepada masyarakat, agama, dan negara. Dengan wujudnya rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan kepada negara, ia sebenarnya telah membantu proses pembangunan negara ke arah sebuah negara maju. Bukan itu sahaja, harapan untuk melihat ramai rakyat Malaysia berjaya di dalam memberikan sumbangan terutama sekali sumbangan kepada keluarga akan menambahkan lagi keharmonian dan kemakmuran di dalam sesebuah keluarga bahkan juga kepada masyarakat.

Tuntasnya disini adalah untuk melahirkan masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa.

Kesimpulannya, bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis, pencapaian dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani perlulah dititikberatkan dahulu kerana elemen-elemen inilah yang menjadi pemangkin sebenar dalam pembangunan modal insan selaras kehendak negara kita bagi mencapai Wawasan 2020.