Anda di halaman 1dari 7

Mahkota Berduri

Nama Saintifik: Euphorbia elegans Asal: Madagascar Ciri-ciri luaran: Dahannya berduri dan mengeluarkan bunga berwarna merah, merah jambu, kuning serta jingga. Ketinggian mempu mencapai sehingga 1 hingga 1.5 meter.

Landak Laut
Nama Saintifik: Diadema setosum Penerangan: Juga dipanggil Sea Urchin. Sea Urchin adalah herbivor paling banyak dan penting pada terumbu karang. Panjang diameter badan Sea Urchin adalah 810cm. Ini mempunyai duri primer sangat tajam dan berukuran sehingga 30cm, diantara celahan duri primer Sea Urchin ini terdapat banyak duri-duri yang lebih pendek. Sea Urchin ini dengan cepat akan menunjukkan durinya jika ia terasa diancam.Duri-duri ini biasanya berwarna hitam. Spesies ini biasanya hidup di kedalaman 1-10 meter pada terumbu karang. Sea Urchin biasanya akan duduk berdekatan celahan batu atau terumbu karang. Individu Sea Urchin ini akan berkeliaran dalam lingkungan 1 meter dari jarak ia duduk pada waktu malam untuk mencari makan. Kebanyakan Sea Urchin jenis ini akan memakan alga dan rumpai laut. Sea Urchin boleh menjadi karnivor jika ia didalam kelaparan.

MAHKOTA berduri atau `Crown of Thorns' (Acanthaster Planci) sering kali dianggap musuh serta sesuatu yang seolah-olah dilihat sebagai pengancam kepada kehidupan marin lain menyebabkan kehadiran hidupan laut itu tidak disenangi. Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa mahkota berduri atau lebih dikenali sebagai Tapak Sulaiman di kalangan penduduk tempatan itu adalah pelengkap kepada kitaran hidupan marin dan kestabilan alam sekitar terutamanya kepada hidupan laut. Mahkota berduri meskipun mempunyai rupa bentuk yang menarik, namun tidak siapa dapat menafikan haiwan itu mampu mendatangkan musibah tertentu kepada manusia. Durinya yang tajam itu mempunyai sejenis bisa yang mampu mendatangkan kesakitan selain menyebabkan mangsanya mengalami muntah-muntah dan bengkak. Haiwan itu ditemui di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika termasuk Laut Merah, Lautan Hindi dan Lautan Pasifik tetapi ia tidak pernah ditemui di perairan Atlantik. Anak mahkota berduri bersaiz kira-kira 10 milimeter hidup dengan memakan alga dan lumut serta mula mengubah pemakanannya kepada karang apabila mencapai saiz 10 hingga 16 sentimeter. Mahkota berduri terbesar pernah dicatatkan bersaiz 80 sentimeter dan saiz biasa hidupan berkenaan ialah sekitar 25 hingga 40 sentimeter. Ia juga mempunyai pelbagai warna seperti biru keunguan (di perairan Malaysia dan Thailand), merah dan kelabu (Great Barrier Reef) dan hijau dan merah (Hawaii). Induk mahkota berduri dikatakan mampu mengeluarkan benih berjutajuta setiap tahun dan bayangkan benih yang dihasilkan induk hidupan berkenaan sepanjang enam tahun hayatnya. Mahkota berduri dewasa seberat 500 hingga 4,000 gram mampu menghasilkan empat hingga 45 juta telur setiap kali musim mengawan. Sepintas lalu, mahkota berduri adalah ancaman terbesar kepada sejenis lagi hidupan laut iaitu batu karang dan seekor mahkota berduri dewasa mampu memusnahkan lima hingga 13 meter persegi batu karang setahun. Justeru, kehadiran mahkota berduri pada sesuatu lokasi yang dijadikan taman laut tidak disenangi serta dilihat sebagai pemusnah menyebabkan pihak-pihak tertentu mengadakan pelbagai operasi untuk menghapuskan hidupan berkenaan. Mahkota berduri hidup dengan memakan batu karang dan tidak hairanlah ia dilihat sebagai ancaman kepada pelbagai spesies batu karang sama ada

lembut atau keras. Meskipun mahkota berduri tidak mampu berenang, namun kehadirannya dalam jumlah yang banyak dikhuatiri merosakkan struktur kitaran hidupan marin lain. Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Razali Lajis, berkata pihaknya bertanggungjawab memastikan marin dan kehidupannya berada dalam keadaan terbaik sekali gus dapat dinikmati generasi akan datang. "Alam dijadikan Tuhan sebegini rupa dan manusia yang bertindak selaku khalifah di bumi ini diamanahkan untuk menjaganya. Kita mempunyai matlamat memastikan alam dan hidupan marin terus terjaga dengan baik. "Kita juga mahu ia akan terus dinikmati generasi akan datang dan kekal pada tahapnya sejak dulu, kini dan akan datang. Ini bermakna, apa yang kita buat hari ini, hasilnya akan dapat dirasai dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya. Beliau berkata, sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan, pihaknya perlu memastikan 11 pulau di Terengganu terus terpulihara dan sekali gus memastikan ia terus seimbang. Pengawalan ke atas mahkota berduri perlu dilakukan apabila jumlah hidupan itu melebihi kuantiti yang dibenarkan. Sehubungan itu, pelbagai strategi digunakan jabatan terbabit bagi memastikan pembiakan mahkota berduri terkawal. Antaranya ialah memantau jumlah hidupan itu, mengenal pasti tempoh pemakanan serta menjalankan analisis di lokasi yang menjadi tumpuan mahkota berduri. Bagaimanapun, katanya, ada beberapa faktor yang sering kali menggagalkan usaha memantau hidupan itu iaitu kos yang tinggi, kelewatan kawalan, tiada iltizam jangka panjang dan ketiadaan kaedah kawalan yang terbaik. Sebagai contoh, di Great Barrier Reef, Australia, kerajaan negara itu membelanjakan AU$0.50 hingga AU$40.00 untuk setiap seekor mahkota berduri dan jumlah itu mencecah AU$20,000 hingga AU$200,000 untuk tiga tahun di kawasan seluas di antara dua dan empat hektar. Perbelanjaan itu membabitkan upah yang perlu dibayar kepada penyelam profesional manakala penyelam sukarela sering kali kurang mencapai tahap yang diperlukan. Sehubungan itu, pelbagai kaedah diperkenalkan termasuk mengenakan suntikan Sodium Bisulphate terhadap hidupan itu yang dikatakan boleh membunuh 120 mahkota berduri sejam. Selain itu, kaedah mengalih dan menanam hidupan itu di tepi pantai juga dilakukan meskipun penyelam terbabit terdedah dengan sedikit bahaya. Pemasangan pagar di sekeliling lokasi tertentu pula dikatakan amat berkesan tetapi ia memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Razali berkata, kehendak manusia yang semakin rumit dan kompleks dari semasa ke semasa adakalanya menyumbang kepada pelbagai gejala yang merosakkan hidupan marin. "Kalau dulu manusia hanya memerlukan tempat tinggal, makanan dan pakaian tetapi manusia zaman ini memerlukan lebih daripada itu. Manusia sekarang memerlukan keselesaan dan berbagai lagi bentuk kehidupan yang mereka inginkan. "Sehubungan itu, banyak rumah rehat, chalet dan hotel dibina di sepanjang pantai atau pulau di negeri ini, maka sisa kumbahan daripada tempat itu disalirkan ke laut dan ia meningkatkan taburan algae yang menjadi makanan anak-anak mahkota berduri," katanya. Beliau berkata, sisa kumbahan yang mengandungi nutrien yang tinggi boleh menggalakkan pertumbuhan rumpair yang menjadi makanan untuk anak-anak mahkota berduri. Sekiranya sisa kumbahan itu tidak disalirkan ke laut, pertumbuhan dan pembiakan mahkota berduri akan dapat dikawal kerana kadar `survive' anakanak hidupan berkenaan menjadi semakin rendah. Apabila dewasa, mahkota berduri gemar memakan staghorn coral, sejenis karang keras yang paling cepat membesar di antara kumpulan karang keras. Sekali gus, ia bertindak untuk memberi peluang kepada karang keras yang lain untuk hidup. Tanpa mahkota berduri ada kemungkinan hanya staghorn coral yang menjadi dominan dan kepelbagaian spesies karang akan menjadi rendah. Razali berkata, hanya satu hingga lima belas ekor mahkota berduri saja yang dibenarkan hidup untuk setiap hektar taman laut kerana jumlah yang berlebihan akan memusnahkan sama sekali taman berkenaan. "Sekiranya tanpa mahkota berduri, masalah lain akan timbul iaitu hanya sejenis karang yang dipanggil staghorn coral memenuhi kawasan taman laut," katanya. Selain karang, mahkota berduri turut menjadikan pelbagai spesies anak ikan terutamanya ikan yang mendiami kawasan karang sebagai makanannya dan ketika itulah ia dilihat sebagai ancaman kepada kehidupan manusia. "Kita menumpukan kawasan taman laut di Redang dan Perhentian kerana dua lokasi itu sering menjadi tumpuan pelancong untuk menikmati keindahan taman laut di mana Terengganu pernah dinobatkan sebagai antara 10 kawasan selaman terbaik di dunia. "Kita tak berhasrat membunuh semua mahkota berduri tetapi kita cuma mengawal jumlahnya kerana ia memainkan peranan tertentu dalam kehidupan

marin," katanya. Sehubungan itu, katanya, jabatan merancang memberikan kursus dan penerangan kepada pemandu pelancong mengenai mahkota berduri bagi memberi pemahaman lebih terhadap hidupan itu. Di samping pengetahuan yang dapat meningkatkan tahap profesionalisme pemandu pelancong berkenaan, ia dijangka dapat mengubah persepsi salah yang sering membabitkan hidupan itu. Berdasarkan perangkaan di Pulau Redang, sebanyak 17,811 ekor mahkota berduri dimusnahkan dari 1991 hingga 2003, manakala 7,973 lagi di Pulau Perhentian bagi tempoh 1992 hingga 2003.