Anda di halaman 1dari 4

Takrifan Baru Planet: Pluto Bukan Lagi Planet?

Tanggal 14 Ogos 2006, International Astronomical Union (IAU) atau Kesatuan


Astronomi Antarabangsa telah sekali lagi mengadakan Perhimpunan Agung tiga
tahun sekalinya yang kali ini bertempat di Prague, Republik Czech. Perhimpunan
Agung kali ke 25 ini telah dihadiri oleh 2411 orang saintis, ahli astronomi dan cerdik
pandai mengenai astronomi dari seluruh dunia. Perhimpunan kali ini mendapat
liputan yang agak meluas dari media barat disebabkan oleh persoalan yang cuba
dirungkaikan pada persidangan kali ini iaitu mengenai apa sebenarnya takrifan yang
tepat bagi sebuah planet.

Berlangsungnya perhimpunan selama 12 hari ini bermula dari 14 Ogos 2006


hingga 25 Ogos 2006, telah merumuskan satu takrifan serta ciri-ciri baru bagi objek
angkasa lepas yang boleh dinamakan atau dianggap sebagai planet. Persoalan
mengenai takrifan planet ini mula ditimbulkan oleh ahli kaji bintang pada lewat 2000
berikutan penemuan beberapa objek di angkasalepas dalam sistem suria kita. Antara
objek-objek yang dikenalpasti ialah Quaoar, Sedna dan Eris. Ketiga-tiga objek
angkasalepas ini mempunyai ciri-ciri yang seakan-akan sama dengan Planet Pluto
baik dari segi saiz atau orbitnya. Ini menimbulkan banyak persoalan berikutan
penemuan lebih banyak lagi objek-objek yang mempunyai ciri-ciri yang serupa.
Desakan untuk memberi takrifan rasmi baru bagi planet ini sampai ke kemuncaknya
apabila saintis dan ahli kajibintang menemui kebuntuan dalam mengkelaskan objek
yang dijumpai selepas orbit Planet Neptune.

Sebelum itu, sedikit pengenalan mengenai International Astronomical Union


(IAU). IAU ditubuhkan pada 1919 hasil dari gabungan beberapa pertubuhan
kajibintang antarabangsa yang antaranya termasuk Carte Du Ciel, The Solar Union
dan International Time Bureau. Presiden IAU yang pertama ialah Benjamin Baillaud,
seorang ahli kajibintang dari Perancis dan merupakan Presiden bagi Carte Du Ciel.
Pada ketika ini, jumlah keahlian individu bagi IAU ialah sebanyak 9040 orang yang
kesemuanya terdiri daripada Ahli Kajibintang Professional dan saintis yang
mempunyai kelayakan PhD. Selain dari itu, terdapat 63 orang wakil dari negara-
negara yang menjadi anggota rasmi badan kajibintang ini. Badan tertinggi dalam
pertubuhan tersebut ialah Perhimpunan Agung Kesatuan yang mana ianya
melibatkan kehadiran semua ahli. Perhimpunan Agung inilah yang membuat
keputusan mengenai polisi kesatuan serta meluluskan undang-undang kesatuan.
Pada Perhimpunan Agung ini jugalah keputusan serta proses menamakan sesuatu
planet, asteroid, bintang, objek serta fenomena-fenomena angkasa lepas dibuat dan
diluluskan. Tahun 1922 menyaksikan Rome, Italy menjadi tuan rumah Perhimpunan
Agung yang pertama bagi IAU.

Pada Perhimpunan Agung ke 26 Kesatuan baru-baru ini, cadangan untuk


memberikan satu takrifan rasmi bagi planet telah dikemukakan. Mengikut cadangan
asal kepada perhimpunan tersebut, takrifan rasmi bagi planet sebagai yang bakal
dipersetujui akan menghasilkan satu keputusan yang mana jumlah planet-planet
dalam sistem suria kita akan bertambah menjadi 12 buah. Ini mungkin bakal terjadi
apabila 3 buah objek angkasa lepas iaitu Ceres, yang sebelum ini dianggap sebagai
sebuah asteroid; Charon, yang dianggap bulan kepada Pluto; dan Eris akan
ditakrifkan sebagai sebuah planet jika undian yang dilakukan di Perhimpunan Agung
IAU menyokong draf tersebut. IAU telah membuat keputusan untuk mengembalikan
hak untuk ahli-ahli mengundi bagi perkara-perkara dan perihal saintifik, yang mana
hak ini telah dimansuhkan serta ditarik balik pada perhimpunan agung ke 25
sebelum ini yang bertempat di Sydney, Australia pada 2003.
Walaubagaimanapun cadangan awal mengenai takrifan baru bagi planet
tersebut telah ditolak. Pada tanggal 24 Ogos 2006, satu sesi penting pengundian
telah dibuat dan pada hari pengundian tersebut 2411 orang ahli IAU telah
mendaftarkan diri, tetapi cuma 424 orang ahli sahaja yang hadir pada ketika sesi
pengundian tersebut dibuat. Tidak semua pula ahli dari sejumlah 424 orang yang
hadir mengundi. Hasil dari pengundian tersebut, IAU telah meluluskan tiga ciri
penting yang perlu ada pada sesebuah objek di angkasalepas untuk ditakrifkan
sebagai sebuah planet.

IAU telah memutuskan takrifan baru bagi planet dalam sistem suria kita yang
mana takrifan tersebut adalah seperti yang tersebut dibawah:

Objek angkasa lepas boleh ditakrifkan sebagai planet dalam sistem suria kita
apabila :

a) Objek tersebut berada di dalam orbit yang mengelilingi matahari;

b) Mempunyai jisim yang mencukupi supaya objek tersebut mempunyai


graviti yang cukup bagi membolehkan ia mengatasi tekanan dalamannya
bagi mencapai dan mengekalkan bentuk Keseimbangan Hidrostatik
(berbentuk hampir bulat).

c) Mempunyai kawasan orbit yang jelas dan bebas dari sebarang halangan
dan perkongsian dengan objek-objek angkasalepas yang lain.

Menurut kepada ciri yang pertama, sesuatu objek angkasa lepas itu mestilah
barada dalam lingkungan orbit yang mengelilingi sistem suria iaitu matahari. Takrifan
ini hanya terpakai kepada objek yang berada dalam sistem matahari. Bagi planet
yang berada diluar sistem matahari takrifan yang dibuat bagi planet oleh kumpulan
19 ahli panel yang dilantik dikalangan ahli IAU pada 2005 adalah terpakai. Takrifan
tersebut berbunyi;

‘Sesebuah objek diangkasalepas boleh ditakrifkan sebagai planet apabila:

a) Mempunyai jisim yang mencukupi supaya objek tersebut mempunyai


graviti yang mencukupi bagi membolehkan ia mengatasi tekanan
dalamannya bagi mencapai dan mengekalkan bentuk Keseimbangan
Hidrostatik (iaitu berbentuk hampir bulat).

b) Objek tersebut berada dalam orbit yang mengelilingi sesebuah bintang,


yang mana objek tersebut bukan sebuah bintang ataupun sebuah satelit
bagi mana-mana planet.

Keseimbangan Hidrostatik adalah keadaan di mana wujud keseimbangan


di antara tekanan terma (tekanan ke arah luar) dari dalam sebuah bahan dan berat
bahan itu sendiri yang menghasilkan tekanan ke bawah (Tekanan ke arah dalam).
Keseimbangan inilah yang dinamakan keseimbangan hidrostatik. Sebagai contoh,
sebuah planet boleh diumpamakan sebagai sebuah belon. Di dalam sebuah belon,
udara dan gas yang terkumpul didalamnya menghasilkan satu tekanan yang menolak
keluar dan bahan elastik belon tersebut diluar pula memberikan tekanan ke dalam
yang mencukupi untuk menyeimbangkan tekanan keluar gas tadi. Maka belon
tersebut kekal dalam bentuk bulat apabila mencapai keseimbangan ini.
Dalam ciri yang ketiga, sebuah objek boleh ditakrifkan sebagai planet.jika
orbit yang dilalui objek tersebut bebas dari sebarang objek lain yang menghalang
pergerakannya. Mengikut takrifan ini, orbit bagi sesebuah planet mestilah bebas dari
berkongsi orbit dengan apa-apa objek angkasa lepas seperti planet lain, asteroid dan
apa-apa bentuk objek diangkasa lepas.

Setelah persetujuan sebulat suara dengan takrifan baru bagi planet dibuat,
Pluto menjadi mangsa dan telah dilucutkan statusnya sebagai planet dan telah
ditakrifkan pula sebagai Planet Kerdil (Dwarf Planet).

Sejarah penemuan Pluto bermula apabila ia ditemui oleh Clyde Tombaugh


pada tahun 1930. Ia sebelum ini telah diklasifikasikan dan diterima sebagai planet
kesembilan dalam sistem suria kita. Pluto terbentuk daripada batu-batuan dan ais
dan orbitnya terletak diantara 29 ke 49 AU dari Matahari. AU merupakan Unit
Astronomi (Astrnomical Unit) berkenaan dengan ukuran jarak/panjang. Ukurannya
hampir bersamaan dengan jarak purata diantara Planet Bumi dan Matahari. Ukuran
yang diterima pakai bagi AU pada ketika ini ialah bersamaan dengan 149 597 870
691 ± 30 meter (hampir 150 juta kilometer atau 93 juta batu).

Pluto mempunyai berat yang kecil jika dibandingkan dengan bumi iaitu
bersamaan dengan 1/5 berat bumi. Isipadu Pluto merupakan 0.583 % daripada
isipadu bumi. Ia mempunyai orbit yang agak unik, pelik dan berbentuk bujur jika
dibandingkan dengan semua orbit lapan planet dalam sistem suria. Disebabkan oleh
orbitnya yang pelik ini, Perihilion (Kedudukan objek angkasalepas dalam orbitnya
yang paling dekat dengan matahari) Pluto berada dalam jarak yang lebih dekat
kepada matahari berbanding planet Neptune semasa ia melalui perjalanan orbitnya.
Pluto juga mempunyai tiga buah satelit semulajadi atau bulan-bulan yang dinamakan
sebagai Charon, Nix dan Hydra. Charon ditemui oleh James Christy pada tahun 1978
manakala Nix dan Hydra pula ditemui pada tahun 2005.

Charon yang merupakan satelit semulajadi Pluto yang terbesar juga dianggap
oleh sesetengah ahli kajibintang sebagai kembar kepada Pluto disebabkan saiznya
yang hampir sama dengan planet Pluto itu sendiri. Ini menimbulkan sedikit kekeliruan
kepada para ahli kajibintang.

Sesetengahnya menganggap Pluto dan Charon merupakan sistem DwiPlanet.


IAU buat masa yang terdekat ini masih belum memuktamadkan takrifan bagi sistem
DwiPlanet, dan Charon secara rasmi masih lagi dianggap sebagai bulan kepada Pluto.

Sedikit yang diketahui berkenaan dengan bulan-bulan Pluto yang lain iaitu Nix
dan Hydra. Kesemua objek dalam sistem planet Pluto tergolong dalam kumpulan
objek-objek yang terdapat dalam Lingkaran Kuiper yang wujud selepas dari orbit
Planet Neptun dan objek-objek ini dikenali dengan nama Objek-Objek Trans
Neptun(Trans Neptunian Objects). Terdapat banyak lagi objek dalam Lingkaran Kuiper
yang mempunyai ciri-ciri yang seakan-akan Pluto dan inilah yang sebenarnya
menimbulkan persoalan berkenaan dengan takrifan yang sepatutnya diberi kepada
planet. Kebanyakan daripada objek ini mempunyai saiz yang lebih kecil jika
dibandingkan dengan bulan planet Bumi.

Sehingga akhir tahun 2005, tiada misi angkasalepas dari mana-mana negara
cuba meneroka Pluto. Bagaimanapun pada 19 Januari 2006, satu misi angkasalepas
dilancarkan oleh pihak NASA untuk membuat kajian tentang Pluto. Misi ini dinamakan
New Horizons dan kapal angkasa jelajah tanpa pemandu tersebut dijangka bakal
mendekati Pluto pada 14 Julai 2015. Kapal angkasa tersebut juga dijadualkan untuk
meneliti dan menghantar kembali maklumat berkenaan Charon iaitu bulan kepada
Pluto ke Pusat Kajian di Bumi.

Sehingga tarikh tersebut kebanyakan dari maklumat dan imej bagi Pluto
diperolehi oleh para ahli kajibintang dari Teleskop Hubble kepunyaan Amerika
Syarikat yang terletak di ruang angkasa bumi.

Walaupun pihak IAU telah membuat keputusan berkenaan takrifan rasmi bagi
planet, namun masih ada segolongan ahli kajibintang yang menentang bahagian-
bahagian takrifan tersebut. Salah seorang daripadanya ialah Alen Stern, penyelidik
utama yang bertanggungjawab dalam misi NASA New Horizon ke Pluto, secara umum
beliau telah menentang takrifan yang dipersetujui IAU. Beliau menidakkan secara
terbuka mengenai ciri terakhir yang perlu ada bagi sesebuah objek angkasalepas
yang boleh dinamakan sebagai planet iaitu objek tersebut perlulah mempunyai orbit
yang bebas dari sebarang halangan, perkongsian dan kewujudan objek angkasalepas
yang lain dalam orbitnya. Beliau juga menyatakan jika ciri tersebut diambilkira, maka
planet Bumi, Marikh, Musytari dan Neptun juga akan hilang kelayakan untuk
diklasifikasikan sebagai planet. Ini kerana Bumi, Marikh, Musytari dan Neptune
sendiri berkongsi orbit mereka dengan beberapa asteroid.

Bantahan yang dibuat oleh Alen Stern ini agak bercanggah dengan kertas
kerjanya yang diterbitkan bersama Harold F. Levison yang dibentangkan di dalam
Perhimpunan Agung IAU ke 23 pada tahun 2000 yang berlangsung di Manchester ,
UK bermula 7 hingga 18 Ogos 2000.

Di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Regarding The Criteria For


Planethood And Proposed Planetary Classification Schemes”. (Berkenaan Ciri Bagi
Sesebuah Planet Dan Cadangan Skima Klasifikasi Bagi Planet) beliau telah
menyatakan dan menjelaskan bahawa ke lapan-lapan planet dalam sistem suria
adalah bebas dari sebarang halangan dan perkongsian dengan objek angkasalepas
lain dalam sistem orbit mereka sendiri.

Terdapat juga segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dengan takrifan
yang di buat IAU telah melancarkan petisyen secara dalam talian internet bagi
membolehkan takrifan sebelum ini digunapakai dan meletakkan kembali Pluto ke
dalam senarai Sembilan buah Planet dalam sistem suria kita.

Setakat ini IAU masih lagi berpegang kepada takrifan yang telah diundi dan
dipersetujui dalam Perhimpunan Agung ke 26 nya dan Pluto secara rasmi terkeluar
dari senarai Planet dalam sistem suria kita. Senarai mutakhir bagi planet-planet
dalam sistem suria kita adalah seperti berikut Utarid (Mercury), Zurah (Venus), Bumi,
Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Satun) dan Neptune.

Kemajuan sains dan teknologi masa hadapan bakal memberikan kita lebih
jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul pada masa sekarang sebagaimana
yang dikatakan oleh ahli kajibintang yang menemui Eris, Mike Brown, sains akan
memperbetulkan konsep dan penemuannya sendiri di akhir nanti.

-musafirkalam-

Anda mungkin juga menyukai