Anda di halaman 1dari 5

LESEN SYARIKAT KERETA SEWA

Soalan Saudara Wahi, saya sudah semak syarat penubuhan syarikat kereta sewa. Syaratnya begitu ketat dan kosnya sangat tinggi. Untuk makluman, bagi menubuhkan sebuah syarikat kereta sewa kita perlu mempunyai sebuah syarikat Sdn Bhd, ada pejabat, mendapat permit dari kementerian pelancongan dan mempunyai modal pusingan RM150-250K. Jawapan Terdapat 4 jenis usahawan kereta sewa 1. Tiada Syarikat - Berniaga sendiri dan tidak mempunyai lesen 2. Syarikat Enterprise - Ada lesen pihak berkuasa tempatan tetapi tiada lesen dari kementerian pelancongan contohnya syarikat saya (Green Matrix Enterprise) 3. Syarikat Sdn Bhd - Ada lesen kementerian pelancongan tetapi tidak semua kenderaan mereka ada permit (macam kebanyakan pengusaha kereta sewa di airport) 4. Syarikat Sdn Bhd (GLC) - ada lesen kementerian pelancongan dan semua kenderaan mereka ada permit (plate putih). Secara peribadi, peraturan di atas dibuat adalah untuk melindungi syarikat no 4 bagi mengelakkan persaingan. Sekiranya kita berjaya memenuhi segala syarat yang ditetapkan, dari persaingan kita tetap kalah kerana syarikat no 4 mempunyai pelanggan "istimewa" yang terdiri daripada syarikat GLC. Berdasarkan pengalaman saya, pelanggan mahukan perkhidmatan kereta sewa yang murah dan servis terbaik. Jadi kita perlu reduce kos, di samping menyediakan kereta yang berkeadaan baik. Bagi yang hendak memulakan bisnes kereta sewa, seelok-eloknya buka saja syarikat enterprise dan boleh beroperasi dari rumah sahaja (jimat kos). Gunakan internet sepenuhnya untuk mempromosi perkhidmatan anda. Berdasarkan pengalaman, pelanggan syarikat no 3 banyak lari kepada syarikat no 2 kerana harga yang ditawarkan lebih murah.

BUAT SENDIRI VS BERKONGSI


Setiap risiko perniagaan dapat dikurangkan sekiranya kita tahu cara menanganinya. Begitu juga dengan bisnes kereta sewa. Semakin banyak yang kita tahu, maka semakin rendah risikonya. Untuk mengetahui selok-belok bisnes kereta sewa, kita mempunyai 3 cara iaitu: 1. 2. 3. Mulakan bisnes kereta sewa dan belajar sendiri, Belajar dari pengusaha kereta sewa yang sudah berpengalaman atau Jadi rakan kongsi pengusaha kereta sewa yang berpengalaman.

Berdasarkan pengalaman, ramai yang memilih cara pertama, iaitu memulakan bisnes kereta sewa secara kecil-kecilan. Memandangkan mereka tidak berpengalaman, maka 90% daripadanya akan kecundang, hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya. Cara kedua, agak sukar dan mungkin mustahil kerana tidak ramai pengusaha kereta sewa mahu berkongsi ilmu perniagaan mereka dengan anda. Mana tahu, silap haribulan anda menjadi pesaing mereka. Cara ketiga adalah cara paling bijak, tetapi ramai yang tidak mahu memilihnya (mungkin tidak mahu berkongsi keuntungan). Sebenarnya sekiranya anda memilih cara ketiga, anda dapat menggunakan sistem perniagaan yang terbukti berkesan memberi keuntungan. Lebih banyak modal dapat dilaburkan untuk menjana lebih banyak keuntungan.

PELANGGAN BERDUIT VS PELANGGAN BUDGET


Bisnes kereta sewa sukar hendak berkembang kalau kita fokus kepada pelanggan berbajet kecil. Pelanggan berbajet kecil suka meminta diskaun sehingga keuntungan kita menipis. Cara untuk kurang berurusan dengan pelanggan bajet kecil, ialah improve perkhidmatan kereta sewa dan naikkan sedikit harga sewa. Selalunya pelanggan berbajet kecil akan berlalu pergi kalau harga sewa

agak mahal. Sebaliknya pelanggan berduit tidak kisah tentang harga, asalkan perkhidmatan yang diberikan berkualiti.

KESESUAIAN LOKASI BISNES KERETA SEWA


Di dalam banyak-banyak soalan yang saya terima, saya tertarik untuk menjawab soalan yang ditanya oleh salah seorang rakan lama. Di dalam mesejnya, dia mengatakan bahawa sudah bosan dengan pekerjaannya. Dia mahu memulakan perniagaan yang dapat memberi kepuasan dan kebebasan kepada dirinya. Buat masa sekarang dia sedang melakukan bisnes sambilan sebagai jurugambar perkahwinan. Walau bagaimanapun, pendapatan bisnes berkenaan tidaklah besar kerana ianya bermusim. Justeru dia bercadang untuk menambah sumber pendapatan melalui bisnes kereta sewa. Masalahnya dia tidak pasti adakah bisnes kereta sewa sesuai dilakukan di tempatnya. Saya mengatakan kepadanya bahawa kejayaan dalam bisnes kereta sewa bergantung kepada berapa banyak pelanggan yang ada di kawasan itu. Pelanggan kereta sewa tidak sama seperti pelanggan kedai runcit. Pelanggan kedai runcit boleh ada di mana sahaja, kerana barang keperluan runcit diperlukan oleh semua orang. Jadi kita boleh membuka kedai runcit samada di kampung, bandar mahupun kem pembalakan. Berbeza dengan pelanggan kereta sewa, mereka wujud disebabkan tarikan untuk datang ke kawasan itu. Tarikan mungkin disebabkan oleh aktiviti pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan sebagainya. Disebabkan kesukaran untuk membawa kenderaan mereka sendiri ke tempat berkenaan, maka mereka lebih suka menyewa kereta kerana ia menjimatkan dari segi tenaga dan wang. Sebagai contoh, bisnes kereta sewa di Langkawi maju kerana terdapat jutaan pelancong berkunjung ke Pulau peranginan itu. Pelancong yang datang memerlukan kenderaan untuk bergerak Sementara itu kos untuk membawa kenderaan mereka sendiri mungkin lebih tinggi, membuang masa dan tenaga. Jadi penyelesaian terbaik adalah dengan menyewa kereta. Sementara itu, bagi kawasan saya beroperasi, pekerjaan dalam industri minyak dan gas asli menjadi tarikan utama mengapa ramai orang berpusu-pusu datang ke sini. Saya tambah beruntung kerana kawasan ini mempunyai antara empangan hidrolektrik terbesar di Asia iaitu Empangan Bakun. Banyak syarikat yang terlibat dalam pembinaan empangan ini yang memerlukan perkhidmatan kereta sewa. Selain itu, baru-baru ini terdapat syarikat dari luar negara melabur wang berbilion ringgit untuk membuka kilang penghasilan panel solar yang menempatkan ribuan orang pekerja. Mereka juga memerlukan perkhidmatan kereta sewa. Jadi sebelum memulakan bisnes kereta sewa, kenalpasti apakah tarikan yang membuatkan ramai orang ingin datang ke tempat anda. Adakah ia di sebabkan pelancongan, perindustrian, pekerjaan, pendidikan dan sebagainya. Semakin ramai orang ingin datang ke situ, maka semakin besarlah potensi bisnes kereta sewa. Tanda-Tanda Lokasi Yang Sesuai Seterusnya dia bertanya lagi, Minta maaf Wahi, aku ada satu lagi soalan, macamana aku nak tau tempat itu ramai orang datang dan berpotensi untuk buat bisnes kereta sewa. Hang ( hang adalah loghat orang utara yang bermaksud kau) tau-tau sajalah aku ni kerja makan gaji, hari-hari duduk terperuk dalam kilang, manalah aku tau apa yang berlaku kat luar sana. Pada saya, itu mudah sahaja, kita perlu melihat beberapa petanda yang berlaku di sekeliling kawasan berkenaan. Berikut merupakan tanda-tanda yang boleh membantu kita membuat keputusan untuk memilih lokasi bisnes kereta sewa. 1. Persaingan sekiranya ada pengusaha kereta sewa yang sudah beroperasi di tempat itu, bermakna bisnes berkenaan memang sah ada permintaan. Bak kata peribahasa

melayu kalau ada gula, mesti ada semut maknanya sekiranya di tempat itu ada pelanggan yang mahu menyewa kereta, maka mesti ada orang yang sudah mengusahakannya. 2. Lapangan Terbang Kalau kawasan itu, berdekatan dengan lapangan terbang, bermakna bisnes kereta sewa ada potensi. Semakin besar dan canggih lapangan terbang itu, maka potensinya juga besar. 3. Hotel sekiranya hotel-hotel di kawasan anda tumbuh macam cendawan, bermakna ada sesuatu yang menarik minat orang datang ke kawasan itu. Ia mungkin disebabkan tarikan pelancongan, pekerjaan atau menjadi tempat transit. 4. Pusat Pengajian Kewujudan pusat pengajian seperti kolej, maktab dan universiti menyediakan pelanggan yang terdiri daripada kakitangan dan juga pelajar di pusat pengajian tersebut. 5. Tarikan pelancongan Sekiranya tempat anda mempunyai keunikan yang menjadi tarikan pelancongan seperti air terjun, pantai, gua, flora dan fauna, suasana kampung, industri desa, aktiviti pertanian dan sebagainya. Itu bermakna tempat itu berpotensi untuk bisnes kereta sewa. Bisnes kereta sewa bukan setakat menyewakan kereta, ia dapat digabungkan dengan lain-lain perkhidmatan seperti homestay, sewa kenderaan lain seperti basikal, motosikal, Go Kart dan sebagainya bergantung kepada kreativiti anda.

CABANG BISNES KERETA SEWA


Cabang Bisnes Kereta Sewa Kebanyakan mesej-mesej yang saya terima daripada rakan-rakan yang berminat untuk memulakan bisnes kereta sewa tertumpu untuk memberikan perkhidmatan kereta sewa kepada pelajar universiti, kolej dan maktab. Sebenarnya bisnes kereta sewa mempunyai banyak cabang. Ia boleh dikembangkan dengan produk-produk lain yang boleh mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan. Berikut merupakan cabang-cabang perkhidmatan yang boleh dijalankan bersama-sama bisnes kereta sewa. Sewa Kereta Pandu Sendiri Ini merupakan produk utama dalam kebanyakan bisnes kereta sewa. Pelanggan diberi kebenaran untuk menyewa dan memandu sendiri kereta anda. Sebelum memberi sewa, pastikan anda manapis setiap pelanggan anda. Seboleh-bolehnya tanya ke mana mereka hendak pergi, tujuan menyewa kereta, tempat kerja mereka, siapa yang boleh dihubungi, alamat tempat tinggal dan sebagainya. Sekiranya pelanggan berkenaan teragak-agak untuk memberi maklumat yang diminta, maka lupakan sahaja pelanggan berkenaan. Mereka mungkin berniat tidak baik. Apabila bertemu dengan pelanggan berisiko, Biasanya saya akan menolak urusniaga ini dengan secara halus. Setiap kali berasa curiga saya akan berkata boleh tuan tunggu sebentar, saya perlu periksa kereta yang ada sekarang lima minit kemudian saya akan menghubungi pelanggan itu dan berkata minta maaf tuan buat masa ini semua kereta habis ditempah. Anda perlu ingat, bahawa anda tidak boleh memberi sewa kepada sebarangan pelanggan. Mereka mungkin perompak, atau berniat mahu mencuri alat ganti kereta anda. Jadi anda perlu bijak untuk memilih pelanggan yang bagus dan juga berniat jahat. Sekiranya pelanggan berkenaan lulus proses tapisan, kemudian pastikan pelanggan berkenaan mengisi borang sewa dan maklumat yang diberikan adalah sama seperti dalam dokumen peribadi mereka. Pastikan pelanggan berkenaan membayar sewa dan jika perlu minta mereka meletakkan deposit sebagai cagaran. Jumlah deposit bergantung kepada sejauh mana anda mengenali pelanggan berkenaan. Semakin banyak maklumat yang anda tahu tentang pelanggan berkenaan, maka jumlah deposit akan berkurang. Kebiasaannya, saya tidak mengenakan deposit kepada pelanggan tetap (sebab saya sangat mengenali mereka), tetapi bagi pelanggan baru jumlah deposit di antara RM400 hingga RM3500. Sekiranya pelanggan berkenaan cuba mengelak membayar deposit, maka lupakan sahaja pelanggan itu. Ini menunjukkan mereka lebih sayangkan wang mereka daripada kereta anda. Pada mereka, apa yang akan berlaku kepada kereta anda, bukan tanggungjawab mereka. Pada saya tidak berbaloi menyewa kereta kepada pelanggan sebegini.

Sewa Kereta Bersama Pemandu Perkhidmatan seterusnya adalah kereta sewa bersama pemandu. Kebiasaannya pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini perlu menghadiri mesyuarat, majlis perkahwinan, seminar, pameran dan rombongan. Mereka memilih untuk menyewa kereta bersama pemandu mungkin kerana tidak mahir selok-belok jalan di tempat tersebut. Justeru, daripada membuang masa akibat tersesat jalan, lebih baik mereka menyewa kereta bersama pemandu. Kadangkala pelanggan-pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini boleh jadi orang yang berpangkat dalam organasasi tertentu. Mereka mahukan kenderaan yang bersih dan selesa setaraf dengan status mereka. Selalunya sebelum mereka tiba ke sesuatu tempat, setiausaha mereka akan menghubungi pengusaha kereta sewa dan meminta menghantar bos mereka ke lokasi yang telah ditetapkan. Dengan adanya perkhidmatan ini, bos mereka tidak lagi perlu pening kepala memandu kereta atau mencari teksi untuk menghadiri mesyuarat atau lawatan tapak. Cabaran Off-Road Ada pelanggan sanggup membayar ribuan ringgit sekiranya anda sanggup membawa mereka menjelajah hutan belantara, ladang kelapa sawit dan getah menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau pun motosikal tahan lasak. Sekiranya tempat anda mempunyai trek yang sesuai, anda boleh mencuba perniagaan ini. Walau bagaimanapun pastikan anda mempunyai kemahiran membaiki kenderaan. Penggunaan kenderaan secara lasak meningkatkan risikonya untuk rosak. Anda mungkin tidak dapat menjana banyak keuntungan sekiranya bergantung kepada bengkel membaiki kenderaan sepenuhnya. Seperti sedia maklum, kos untuk membaiki kenderaan di bengkel adalah tinggi berbanding membaikinya sendiri. Sekiranya anda tidak mempunyai kemahiran membaiki kenderaan, saya mencadangkan anda mencari rakan kongsi yang mahir tentang selok-belok membaiki kenderaan. Untuk makluman anda, saya juga tidak mahir tentang aspek pembaikan kenderaan. Walau bagaimanapun, saya mempunyai rakan kongsi yang mahir tentang hal-hal berkaitan kenderaan. Setiap kali kenderaan saya mengalami kerosakan serius, saya akan merujuk kepadanya dahulu. Dia akan memberikan nasihat secara percuma dan jujur kepada saya. Khidmat nasihatnya dapat menyelamatkan saya daripada ditipu oleh bengkel kenderaan yang mengenakan caj yang tidak sepatutnya. Homestay Di samping memberi kemudahan kepada pelanggan menyewa kereta, anda boleh menawarkan pakej penginapan kepada mereka. Seorang rakan pernah menceritakan bagaimana keluarganya berkongsi membeli lot-lot tanah dan mencagarkan kepada bank. Wang pinjaman digunakan untuk membina bilik-bilik sewa. Hasil sewaan digunakan untuk membayar, ansuran pinjaman berkenaan. Kini apabila kesemua pinjaman telah dilunaskan keluarganya boleh bersenang-hati menerima duit sewa setiap bulan. Dalam masa yang sama keluarganya juga menyediakan perkhidmatan kereta sewa. Sekiranya anda tidak mempunyai bilik kosong yang sesuai, anda boleh berunding dengan saudaramara, jiran-jiran atau rakan-rakan terdekat yang mempunyai bilik kosong di rumah mereka. Setiap kali, anda mendapat pelanggan yang menyewa kereta, pelawa mereka untuk menginap di homestay mereka pada harga istimewa. Anda bukan sahaja mendapat keuntungan hasil sewa kereta, dalam masa yang sama anda membantu orang lain menjana pendapatan tambahan. Tren terkini menunjukkan bahawa kebanyakan pelancong tempatan dan luar negara lebih suka menginap di homestay berbanding hotel. Kebiasaannya tinggal di homestay bukan sahaja menjimatkan, mereka juga dapat merasai suasana kehidupan kampung dan pinggir bandar. Pengangkutan Ulang-Alik Anda boleh berunding dengan pihak hotel di tempat anda dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik dari hotel ke bandar, lapangan terbang dan tempat-tempat menarik. Perkhidmatan ini memudahkan penghuni hotel berkenaan untuk pergi membeli-belah ataupun ke lapangan terbang pada kadar tambang yang lebih murah berbanding menggunakan teksi. Pengangkutan Anak Kapal Kebiasaannya syarikat-syarikat carigali minyak dan perkapalan memerlukan syarikat kereta sewa memberikan perkhidmatan seperti mengambil dan menghantar pekerja, bekalan makanan, barangan runcit, surat khabar dan majalah ke pelabuhan. Wakil Agensi Pelancongan Luar

Terdapat syarikat pelancongan dari luar yang memerlukan perkhidmatan pangangkutan untuk membawa pelanggan-pelanggan mereka ke destinasi yang telah ditetapkan. Memandangkan mereka tidak mempunyai cawangan di tempat tersebut, maka mereka memerlukan syarikat kereta sewa yang boleh menjadi wakil kepada syarikat mereka. Kebiasaanya usahawan kereta sewa kategori 3 sahaja yang mendapat projek ini. Sewa Motosikal Terdapat pelanggan mahu berjimat-cermat atau tidak mahu terperangkap dengan kesesakan lalu lintas. Justeru mereka lebih suka memilih untuk menyewa motosikal sahaja. Selain menjimatkan, mereka dapat bergerak dengan mudah. Sewa Basikal Mungkin ada pelanggan yang mementingkan aspek alam sekitar, mereka lebih suka bersiar-siar menggunakan basikal untuk ke tempat-tempat berdekatan. Pakej Pelancongan Khas Anda boleh menyediakan pakej pelancongan seperti berkelah di air terjun, membeli-belah di bandar, pergi ke tempat-tempat menarik dan sebagainya. Van Pekerja Anda juga boleh mengambil kontrak, membawa pekerja di kilang-kilang, hospital swasta dan hotel. Tempahan Hotel Anda boleh menulis surat kepada hotel-hotel di sekitar anda dan meminta mereka memberikan kadar sewa bilik istimewa kepada syarikat anda. Sekiranya anda mempunyai pelanggan yang mahu menyewa kereta dan hotel, anda boleh membantu mereka membuat tempahan terus melalui anda. Selain mendapat keuntungan dari hasil sewa kereta, anda juga mendapat komisen melalui tempahan bilik hotel.

Anda mungkin juga menyukai