Anda di halaman 1dari 5

Soalan 9 : Guru mempunyai peranan dan tanggungjawab murni untuk membantu memupuk nilai patriotik di kalangan rakyat dalam

membina bangsa Malaysia yang cintakan tanahair. Jelaskan dengan terperinci bagaimanakah seseorang guru dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Menurut Kamus Dewan, patriotik bermaksud perasaan yang bersemangat, jati diri serta nilai yang tinggi terhadap negaranya serta sanggup mempertahankan kedaulatannya. Bangsa Malaysia pula merujuk kepada masyarakat majmuk di Malaysia yang diwakili oleh bangsa Melayu, Cina dan India namun identiti mereka berteraskan Negara Malaysia. Pendidikan di Malaysia mempunyai matlamat dalam memperkukuhkan hubungan dan perpaduan yang sedia ada di kalangan pelajar yang berbilang bangsa. Disamping itu juga pendidikan dijadikan platform utama dalam memupuk semangat dan amalan perpaduan. Sikap bertolak ansur, saling faham memahami, tolong menolong, dan hormat menghormati antara satu sama lain adalah antara amalan-amalan murni yang positif diamalkan di sekolah. Sukatan kurikulum yang berteraskan unsur murni, ikhlas dan sahsiah yang luhur adalah elemen dalam membentuk nilai-nilai cintakan tanahair.

Usaha mewujudkan budaya penyayang di sekolah adalah cabaran yang perlu ditangani oleh guru-guru dengan sempurna dan berdasarkan pekeliling yang ditetapkan. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1994 yang bertajuk Usaha Menanam Semangat Patriotisme Di Kalangan Pelajar menyatakan, setiap pentadbir sekolah iaitu pengetua dan guru besar, guru-guru serta pelajar hendaklah bersama-sama mengambil tindakan serius berkenaan soal taat setia dan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Negara. Dengan kata lain, semangat patriotisme adalah perasaan taat setia individu kepada bangsa, agama dan Negara. Jelas di sini, budaya penyayang di sekolah dapat diwujudkan dengan menerapkan semangat patriotisme di kalangan pelajar. Guru memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat ini. Contohnya di dalam bilik darjah, guru-guru boleh meminta para pelajar menyanyikan Lagu Kebangsaan ataupun melafazkan ikrar

yang dijalankan dengan penuh penghayatan dan rasa hormat. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan semangat perpaduan antara guru-guru dengan pelajar. Ia seterusnya memupuk budaya penyayang antara pelajar dengan pelajar lain dan guru-guru kerana individu dididik supaya mempunyai sikap bermasyarakat dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Selain itu, budaya penyayang juga dapat diwujudkan melalui semangat patriotisme. Ia dapat dilakukan dengan mengalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum dan badan beruniform seperti Kadet Remaja dan Pertahanan Awam. Contoh aktiviti yang dapat dilakukan ialah menaikkan bendera kebangsaan, menyanyikan lagu kebangsaan dan melafazkan ikrar. Penyertaan aktiviti-aktiviti luar dapat membantu pelajar berdikari, mengambil berat berkenaan sesuatu perkara ataupun rakan-rakan mereka dan menanam sifat menghargai orang lain. Secara tidak langsung, ia memupuk budaya penyayang di dalam diri pelajar. Justeru, guru perlu memainkan peranan penting bagi mengendalikan setiap aktiviti bersama-sama pelajar ini dengan teratur mengikut perancangan yang ditetapkan. Matlamat setiap aktiviti yang bakal dijalankan perlu berpandukan hasrat bagi mewujudkan budaya penyayang di sekolah antara guru dengan guru, guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar dan seluruh warga sekolah.

Guru-guru perlu mengetahui bahawa pelajar diibaratkan seperti kain putih. Menjadi tanggungjawab guru-guru mencorakkan mereka sama ada dengan warna yang berwarna-warni seindah pelangi ataupun dengan warna hitam, sekelam masa hadapan yang menyedihkan. Kerjasama ibu bapa juga penting kerana mereka adalah agen sosialisasi terdekat yang memainkan peranan awal bagi membentuk budaya penyayang. Semangat patriotisme yang diterapkan di dalam diri pelajar berperanan penting kearah membentuk budaya penyayang di sekolah. Ini kerana, melalui semangat perpaduan, para pelajar mudah berinteraksi atau berkomunikasi antara satu sama lain dalam proses pengajaran-pembelajaran di bilik darjah serta semasa menjalankan aktiviti ko-kurikulum di luar bilik darjah. Situasi ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang

cemerlang daripada segi akademik, malah cemerlang daripada segi sahsiah dan sifat kepimpinan yang penuh dedikasi. Dengan ini, hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dapat dicapai bagi melahirkan insan seimbang daripada aspek fizikal, rohani, mental, emosi dan intelek.

Guru sebagai ahli profesional perlu menunjukkan sikap profesionalisme dan budaya kerja yang bermutu tinggi. Guru juga perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan betul dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Situasi ini jelas menggambarkan perwatakan guru yang berdedikasi dan wajar diteladani oleh para pelajar. Ini kerana dalam era globalisasi, tugas guru menjadi bertambah berat. Guru tidak lagi berperanan sebagai pengajar sahaja, malah tugas guru mencakupi bidang mendidik, mengasuh, merancang dan membentuk generasi yang diingini serta seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu, penerapan nilai-nilai murni di dalam diri pelajar penting kerana ia dapat memupuk kearah budaya penyayang di sekolah seperti hormat menghormati, kasih sayang, adil, jujur, kerjasama, sederhana, syukur, semangat bermasyarakat dan sebagainya. Melalui penerapan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru-guru dapat memupuk budaya penyayang di kalangan pelajar. Nilai-nilai murni ini disisipkan melalui mata pelajaran dan diperkukuhkan lagi dengan kegiatan kokuriklum serta mewujudkan budaya sekolah yang positif. Tegasnya, penerapan nilai-nilai murni bagi memupuk budaya penyayang di sekolah berlaku secara formal dan tidak formal. Ia perlu dirancang dengan teliti supaya membuahkan hasil yang berkesan.Justeru, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan nilai murni berjalan dalam suasana harmoni, guru perlu mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai murni. Ini kerana guru adalah role model dan rujukan pelajar. Oleh itu, guru-guru perlu menghayati nilai-nilai murni sebelum dapat dihayati dan diamalkan oleh pelajar. Dengan ini,

sebaik-baiknya guru tidak bersikap seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus, sedangkan ia sendiri berjalan melintang.

Guru merupakan pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu bersikap tenang dan sabar, sesuai dengan etika perguruan. Hal ini disebabkan pelbagai kemungkinan dapat berlaku semasa guru berhadapan dengan pelajar dalam proses mengajar dan belajar, sama ada di dalam ataupun di luar bilik darjah. Malah, guru juga berkewajipan menyelesaikan pelbagai masalah pelajar yang terlibat dengan kes-kes disiplin yang semakin rumit. Keadaan ini menuntut sikap guru yang baik hati dan rasional dalam mengatasi masalah. Guru juga perlu sentiasa menghargai pelajar. Guru perlu memberikan kata-kata semangat, dorongan dan pujian kepada pelajar. Strategi menerapkan nilai-nilai murni dalam sistem pendidikan yang diamalkan menjadi tema utama dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral. Sejajar dengan konsep sekolah penyayang yang menekankan konsep kognitif dan perasaan bagi memupuk budaya penyayang, melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral, guruguru dapat membentuk sifat penyayang di dalam diri pelajar. Ia dilakukan dengan menekankan bidang kerohanian, nilai dan sikap kemanusiaan yang mulia seperti baik hati, bekerjasama, hormat menghormati dan kebersihan mental dan fizikal.

Selain itu, penerapan nilai murni yang membantu kearah sekolah penyayang juga memerlukan guru-guru mata pelajaran memupuk nilai murni seperti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini kerana dalam pengajaran-pembelajaran Bahasa Melayu, penerapan nilai-nilai murni dapat dilihat apabila pelajar-pelajar menghargai dan berbangga Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara dan alat perpaduan masyarakat Malaysia yang sesuai dengan semangat serta prinsip-prinsip Rukun Negara. Ini disokong melalui Surat Pekeliling Pendidikan Bil.2/1971 yang bertajuk Rukun Negara, dalam Perkara 2 menekankan bahawa setiap sekolah perlu menanamkan cita-cita unggul Rukun Negara ke dalam jiwa pelajar. Ia bertujuan memupuk semangat perpaduan antara pelajar dan seterusnya mengeratkan hubungan antara satu sama lain bagi mewujudkan budaya penyayang di sekolah.Disamping itu, unsur-unsur budaya penyayang melalui kurikulum sekolah seperti mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral memberikan natijah yang

menekankan konsep perpaduan dan penerapan nilai-nilai murni. Seterusnya, melalui kegiatan persatuan seperti Pembimbing Rakan Sebaya, dan Unit Bimbingan Dan Kaunseling juga dapat melatih pelajar-pelajar menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain. Secara tidak langsung, usaha ini dapat melahirkan generasi penyayang dan produktif.

Anda mungkin juga menyukai