Anda di halaman 1dari 4

SEKOLAH KEBANGSAAN BATANG MARO, SARATOK PERTANDINGAN BERCERITA DALAM BAHASA MALAYSIA TAHAP 2 PEMUDA YANG JUJUR Assalamualaikum

dan salam sejahtera. Hai, kawan-kawan! Pernahkah kawan-kawan mendengar kisah Pemuda Yang Jujur Ha...Begini kisahnya. Syukur, seorang pemuda yang jujur. Dia tinggal seorang diri di pondok buruk peninggalan orang tuanya. Dia mempunyai sebidang tanah. Walaupun tanahnya cuma sekangkang kera, tetapi di situlah dia menanam sayur sawi, kacang panjang dan labu manis untuk menyara hidupnya. Syukur tinggal berjiran dengan lelaki kaya. Namanya Yazid. Yazid mempunyai banyak kebun dan banyak binatang ternakan. Dia menternak ayam, kambing, kerbau dan lembu. Wah, Yazid memang kaya! Walaupun kaya, tetapi Yazid kedekut dan sombong. Dia selalu menghina Syukur. Lebih-lebih lagi apabila melihat matahari sebagai penunjuk waktu. Kemiskinan Syukur menyebabkan dia tidak mampu membeli walaupun seutas jam tangan. Walaupun dihina, tetapi Syukur tidak pernah berkecil hati. Dia sabar dan tekun mengusahakan kebunnya. Berkat kerajinannya, sayur-sayuran yang ditanam Syukur hidup dengan subur. Kini sayur-sayuran itu mula mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan labu manisnya mula berbuah. Pada suatu hari, Syukur pergi ke kebun untuk memetik labu manis. Tiba-tiba mulutnya terlopong dan matanya terbeliak. Apakah yang berlaku kawan-kawan? Emm... Rupa-rupanya Syukur terlihat labu manis sebesar tempatan. Belum pernah dia melihat labu manis sebesar itu.

Berita tentang labu manis itu didengar oleh saudagar buah-buahan. Dia ingin sekali membelinya untuk dijadikan benih. Dia menawarkan sekeping, dua keping, tiga keping sehingga sepuluh keping wang emas. Wah, lumayan betul tawaran itu ! Tetapi Syukur menolaknya. Dia bercadang untuk memberi labu manis itu kepada sultan. Dia gembira dan berterima kasih kerana sultan seorang yang adil dan saksama. Lagipun itulah hadiah terbaik yang mampu diberikannya kepada sultan. Kepada saudagar dia berjanji akan memberi biji labu manis itu nanti. Saudagar pulang dengan kehampaan. Pada keesokan harinya, Syukur mengadap Sultan. Dia memberitahu tujuan kedatangannya. Sultan Syamsir terharu melihat keikhlasan Syukur. Walaupun hadiah itu cuma sebiji labu manis, namun baginda tetap menghargainya. Baginda mengambil sepuluh keeping wang emas lalu diberikan kepada Syukur. Tetapi kawan-kawan, Syukur enggan menerima wang itu. Dia tidak mengharapkan apa-apa balasan. Dia cuma meminta sedikit biji labu manis itu untuk diberikan kepada saudagar, kerana itulah janjinya. Baginda tersenyum mendengar permintaan Syukur. Baginda berjanji akan menunaikan permintaan Syukur dengan syarat Syukur menerima wang emas pemberian baginda. Syukur terpaksa menerima syarat itu. Sultan Syamsir tersenyum riang. Berita Syukur menerima wang emas menjadi buah mulut penduduk kampung. Yazid berasa sangat cemburu. Duduk salah, berdiri salah, ke depan salah, ke belakangpun salah. Dia bercadang untuk mengadap sultan, tetapi apakah hadiah yang hendak dibawanya? Yazid kebingungan. Kalau diberinya lembu, rugilah dia nanti, sebab susu lembu semakin mahal.

Kerbau pula membantunya di sawah. Ha...lebih baik dia memberi ayam yang paling kurus! Lagipun ayam itu selalu sakit. Tetapi kalau diberi ayam yang kurus, takut pula dibalas sultan dengan sekeping wang emas sahaja. Tentu penduduk kampung akan mentertawakannya. Susah betul orang kedekut membuat pilihan, kawan-kawan. Akhirnya dia terlihat kambing yang sederhana besar. Dia pun menangkap kambing itu lalu dibawanya mengadap sultan. Sultan Syamsir juga melayan Yazid dengan baik. Dengan bangga Yazid menceritakan kekayaannya. Dia juga merendah-rendahkan Syukur. Ya, kawan-kawan, Sultan Syamsir dapat menilai keperibadian Yazid. Baginda juga tahu tujuan sebenar kedatangan Yazid. Ketika Yazid minta diri, baginda menghulurkan sebuah karung yang besar. Yazid cepat-cepat meninggalkan istana. Wah, berat sungguh karung yang dipikul oleh Yazid. Sudah tentu dia akan bertambah kaya dengan wang emas sebanyak itu, detik hatinya. Dia terus pergi ke rumah Syukur untuk menunjukkan pemberian sultan kepadanya. Dengan sombong Yazid membuka ikatan karung itu. Dia tidak sabar untuk melihat isinya. Kawan-kawan nak tahu apakah isi karung itu? Em... Rupa-rupanya Yazid mendapat sebahagian labu manis. Syukur geli hati melihat hadiah Yazid. Yazid berasa malu. Yazid juga terjumpa secebis kertas daripada sultan. Dia diamanahkan supaya memberi biji labu manis itu kepada Syukur. Syukur berasa gembira lalu pergi ke rumah saudagar untuk menunaikan janjinya. Saudagar juga sangat gembira lalu menghadiahkan Syukur sepuluh keping wang emas kerana kejujurannya.

Syukur berasa sangat gembira kerana tanah sekangkang kera yang diusahakannya telah membawa tuah. Semenjak hari itu, Yazid berubah. Dia tidak lagi menghina Syukur. Hadiah daripada sultan itu benar-benar menyedarkan Yazid. Syukur gembira melihat perubahan Yazid. Kini, mereka telah menjadi sahabat baik. Demikianlah kisah Pemuda Yang Jujur. Ya, kawan-kawan. Kita haruslah jujur dan ikhlas dalam pekerjaan. Janganlah kita sentiasa mengharapkan balasan. Sikap sombong, kedekut dan suka menghina orang haruslah kita jauhi. Sekian sahaja cerita saya. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai