Anda di halaman 1dari 8

1.

ISU KETAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN Pada perutusan Tahun Baru 2006, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein menyatakan: merapatkan jurang pendidikan yang merangkumi jurang antara bandar dan luar bandar, jurang antara yang miskin dan kaya, jurang digital dan jurang antara mereka yang berkeperluan khas agar tidak ada sebarang golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara. Daripada kenyataan ini, dapat dirumuskan bahawa ketidaksamaan peluang pendidikan dapat dibahagikan kepada kelas sosial, jantina, kumpulan minoriti dan murid berkeperluan khas. Di Malaysia, ciri-ciri kelas sosial dalam masyarakat semakin ketara dan bukan satu isu yang baru. Hal ini telah timbul sejak zaman sebelum merdeka lagi yang mana rakyat bawahan, golongan pembesar dan golongan istana menerima sistem pendidikan yang berbeza. Majoriti masyarakat kita memandang seseorang individu tersebut berdasarkan kedudukan dan statusnya seperti melalui pencapaian pendidikan, kemahiran, pendapatan, harta yang dipunyai, keturunan, kedudukan politik, kuasa dan autoriti yang dimiliki, atau darjat kebesaran yang dimiliki dan lain-lain yang berkaitan. Individu yang memiliki ciri-ciri seperti ini lebih dipandang tinggi dalam masyarakat berbanding individu yang bekerja di ladang getah atau bekerja secara makan gaji. Di Tanah Melayu, semasa zaman penjajahan, kelas sosial di kalangan orang Melayu lebih merupakan perbezaan antara golongan bangsawan dan rakyat jelata dan golongan ini mendapat pendidikan khusus di bawah pengajar yang terlatih di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Senario ini tidak dapat dikecapi oleh rakyat biasa yang mana kelas rakyat yang lebih rendah menekankan mata pelajaran seperti bertukang, berkebun dan anyaman.

Ketidakseimbangan dalam pelajaran ini menyebabkan timbul konflik di antara golongan bangsawan yang terus dilimpahi dengan kesenangan dan pendidikan yang sempurna sedangkan golongan rakyat pula meneruskan kehidupan tanpa mendapat keistimewaan khususnya dalam aspek pendidikan dan mata pencarian.
(sumber: http://www.scribd.com/doc/4787134/pengelasan-sosial-)

2. FAKTOR KETAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN DARI ASPEK KELAS SOSIAL Kelas sosial yang berbeza ini sedikit sebanyak memberi impak kepada prestasi akademik pelajar samada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah atau pun di institut pengajian tinggi. Saifuddin Hj Masduki (1977), dalam kajiannya mendapati bahawa terdapat hubungan antara pencapaian akademik dengan pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan ibu bapa. Dapatan beliau menunjukkan arah kedua-dua hubungan adalah positif. Ini bermakna semakin tinggi pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan mereka, maka semakin tinggi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka.
(sumber: http://amaljaya.com/guru/2009/12/30/ ketaksamaan-peluang-pendidikan/)

Daripada kajian yang telah dijalankan, kita boleh simpulkan bahawa pelajar yang lahir dalam kelas atasan dan pertengahan tidak menghadapi banyak cabaran untuk mengikuti aktiviti pembelajaran berbanding dengan pelajar yang berasal daripada golongan bawahan. Hal ini kerana golongan kelas atasan ini mampu untuk memenuhi segala keperluan dan kehendak pembelajaran yang berkaitan. Sebagai contoh, untuk kelas tambahan, ibu bapa pelajar berkemampuan untuk menggajikan guru untuk mengajar anak mereka di rumah atau menghantar anak mereka ke kelas tambahan. Selain itu, mereka juga mampu membeli komputer yang dapat membantu mereka dari aspek pencarian maklumat dan penerokaan ilmu baru. Dari sudut pemakanan pula, golongan pelajar kelas atasan ini dapat makan makanan seimbang dan berzat, selain mendapat makanan tambahan untuk kecerdasan mental mereka. Kemudahan-kemudahan ini tidak mungkin dapat dinikmati oleh pelajar golongan bawahan disebabkan faktor kemiskinan. Mereka daripada golongan ini tidak mampu memiliki segala peralatan persekolahan seperti alat tulis, buku rujukan, buku latihan dan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, perbelanjaan harian dan kasut. Sehubungan ini, timbul rasa rendah diri yang menyebabkan mereka terasing daripada pelajar lain. Bebanan yang dipikul dan kekangan daripada keluarga akibat faktor kewangan yang mendesak menyebabkan ada di kalangan pelajar menjadi putus asa dan tercicir daripada persekolahan walaupun mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Seterusnya, kita lihat pula daripada sudut tempat tinggal yang turut mempengaruhi prestasi akademik pelajar. Kita sudah sedia maklum bahawa suasana yang kondusif memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Namun, bagi pelajar yang berstatus sosial golongan bawahan, mereka kebanyakannya tinggal di ruang yang sempit dan tidak selesa berbanding dengan pelajar kelas atasan dan pertengahan. Ada di antara mereka juga yang menghuni rumah tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan pelajar golongan bawahan ini tidak dapat belajar dengan selesa dan tidak dapat menumpukan perhatian untuk mengulangkaji pelajaran. Winston Churcill, seorang negarawan Inggeris yang menyatakan bahawa manusia membina bangunan, tetapi kemudiannya bangunan itu pula membentuk tingkah laku manusia. Kenyataan itu disokong oleh pelbagai kajian yang telah dijalankan di Malaysia antara kajian yang dilakukan oleh Nurizan, Jualiana, Nur Faizura, 1997, Kuala Lumpur terhadap penghuni rumah pangsa. Hasil daripada kajian didapati masalah utama penghuni adalah bilangan bilik yang terhad, ruang yang sempit, tiada ruang dalam rumah untuk mengulangkaji, kebisingan jiran tetangga diikuti dengan masalah perbelanjaan keluarga dan terdedah kepada gegala sosial dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Akibatnya pelajar tidak dapat menumpukan perhatian dan mengulangkaji pelajaram mereka yang menyebabkan kepada kegagalan di dalam pendidikan mereka. (sumber: http://www.scribd.com/doc/4787134/pengelasansosial-)

3. LANGKAH KERAJAAN MENANGANI MASALAH KETAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN Sudah menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membenteras jurang pendidikan antara jenis sekolah, kaum, jantina, taraf sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Jurang ini menyebabkan perbezaan prestasi dan pencapaian pelajar, penyediaan kemudahan fizikal dan bukan fizikal serta keciciran pelajar. Impak jurang pendidikan telah menyumbang kepada keadaan tidak seimbang yang ketara daripada sosioekonomi penduduk bandar dan luar bandar. Bagi memberikan pendidikan yang terbaik kepada warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, etnik dan kelas sosial, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi memantapkan sistem pendidikan negara. Bagi meringankan beban keluarga daripada golongan bawahan, KPM telah

memperkenalkan Skim Bantuan Buku Teks pada tahun 1975. Hal ini juga bagi memastikan setiap pelajar berkenaan dapat mengikuti proses pembelajaran yang sempurna. Skim-skim bantuan seperti ini bukanlah suatu yang baru kerana sekitar tahun 1969 sehingga awal 1970an, kerajaan menerusi MARA telah memberi bantuan basikal kepada pelajar luar bandar untuk ke sekolah serta bantuan makanan berkhasiat ketika waktu rehat bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Dalam usaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Antaranya ialah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah yang telah dilaksanakan pada tahun 1979 bagi keluarga berpendapatan kurang RM400 atau perkapita M80 dan ke bawah. Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin juga disediakan bagi membantu pelajar miskin membayar yuran dan membeli pakaian seragam dan KPM juga telah menyediakan Elaun Bulanan kepada Pelajar Kurang Upaya sebanyak RM25 sebulan. Selain itu, KPM turut membantu dengan mewujudkan Kumpulan Wang simpanan Pelajar Miskin (KWAPM) pada tahun 2003 untuk membantu pelajar supaya tidak tercicir daripada alam persekolahan akibat kemiskinan. Kemudahan asrama turut disediakan bagi golongan pelajar berpendapatan rendah yang tinggal jauh dari sekolah.

4. IMPLIKASI ASPEK KELAS SOSIAL TERHADAP P&P Dengan wujudnya kelas sosial ini, peluang pendidikan yang diperoleh pelajar adalah berbeza. Yang sering menjadi mangsa ialah pelajar daripada golongan bawahan kerana mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan pendidikan mereka dan hanya

mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata. Ada di antara mereka yang tidak memiliki alat tulis serta buku untuk belajar. Hal ini mengakibatkan mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan berkesan malah mereka akan berasa rendah diri apabila melihat rakan-rakan mereka yang lain mampu untuk memiliki keperluan untuk belajar. Akibatnya, mereka akan hilang minat untuk belajar dan akan sentiasa ketinggalan dalam pelajaran. Lebih menyedihkan lagi apabila golongan pelajar ini bertindak untuk membuat bising kerana minat mereka untuk belajar telah hilang dan mereka kebosanan ketika berada di dalam kelas. Apabila berlakunya masalah ini, turut sama terjejas ialah kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam kelas. Ini kerana seseorang guru itu tidak dapat meneruskan P&P apabila ada segelintir daripada pelajarnya yang tidak bersedia untuk belajar kerana tidak mempunyai kelengkapan seperti buku latihan atau alat tulis. Guru terpaksa mengambil inisiatif dan mencari jalan penyelesaian untuk membantu pelajar-pelajar ini. Malah guru juga terpaksa mengawal segelintir pelajar yang sudah hilang minat untuk belajar serta membuat bising ketika P&P berlangsung. Hal ini sekaligus menggangu proses P&P dan akibatnya P&P tidak berjalan lancar malah fokus pelajar-pelajar lain terhadap pembelajaran turut terjejas. Selain itu, terdapat juga pelajar yang berasal daripada golongan bawahan ini yang tinggal dalam keadaan yang tidak selesa dan serba kekurangan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mendapat rehat yang cukup, tidur yang tak lena, malah sering terganggu akibat daripada ketidakselesaan seperti keadaan yang panas, gangguan nyamuk dan atap rumah yang bocor ketika musim hujan. Akibatnya, apabila P&P sedang berlangsung, pelajar ini akan keletihan dan mengantuk serta tidak bersedia untuk menerima pembelajaran yang baru. Tumpuan guru untuk mengajar turut terjejas apabila berlaku masalah ini di dalam kelas. Secara automatik

guru akan mengalih perhatian terhadap pelajar yang bermasalah ini menyebabkan P&P tergendala untuk seketika. Masalah pembelajaran tidak hanya tertumpu pada golongan bawahan sahaja malah turut ditunjukkan oleh sesetengah pelajar daripada golongan berada. Sebagai contoh, pelajar daripada golongan berada ini mampu untuk menghadiri kelas-kelas tuisyen dan di sana, mereka belajar lebih ke hadapan berbanding pelajaran di sekolah. Hal ini mengakibatkan mereka akan berasa bosan dan kurang berminat untuk mengikuti pelajaran yang sama ketika proses P&P dijalankan di dalam kelas. Mereka cenderung untuk melakukan aktiviti sendiri dan hal ini akan menjejaskan penumpuan guru untuk meneruskan P&P. Konklusinya, aspek sosial ini amat ketara pengaruhnya terhadap pendidikan yang diperoleh para pelajar. Namun ia tidak menjadi satu faktor untuk pelajar yang kurang berkemampuan untuk tidak berjaya. Ini kerana telah dibuktikan bahawa dalam keputusan SPM 2007, dimana empat pelajar cemerlang itu ialah Siti Fatimah Hamzah (anak yatim), Muhammad Shariff Mat Yusoff (anak pemandu teksi), Mohamad Firdaus Zulkifli (anak warden penjara), dan Nik Ahmad Naimudin Nik Othman (anak penggawa di daerah Machang), telah memperolehi 8A dalam matapelajaran yang diambil. Kejayaan ini semuanya bergantung kepada diri pelajar itu sendiri dan sejauh mana keazamannya untuk berjaya. Kita sebagai warga pendidik pula haruslah memberi bantuan dan bimbingan kepada mereka supaya kebajikan mereka terjaga dan agar mereka juga mampu untuk berjaya.

BIBLIOGRAFI http://zahirzainudin.blogspot.com/2010/03/implikasi-ketidaksamaan-peluang.html (diakses pada 19 Februari 2011) http://amaljaya.com/guru/2009/12/30/ketaksamaan-peluang-pendidikan/ (diakses pada 19 Februari 2011) http://eprints.usm.my/10323/1/PELUANG_DAN_CABARAN_PENDIDIKAN_DALAM_KALANG AN_MASYARAKAT_LUAR_BANDAR.pdf (diakses pada 20 Februari 2011)

LAMPIRAN

Anda mungkin juga menyukai