Anda di halaman 1dari 4

Apa Itu Kajian Kes (Case Study)?

Kajian Kes adalah cerita yang digunakan sebagai bahan pengajaran yang menggarapkan pengaplikasian teori atau konsep terhadap situasi sebenar yang berlaku. Pelbagai displin ilmu telah menggunakan Kajian Kes termasuk bidang kemanusiaan, sains sosial, sains, kejuruteraan, undang-undang, perniagaan dan perubatan. Muhamad Muda (2003: 3) mendefinisikan Kajian Kes sebagai satu deskripsi tentang sesuatu situasi, dan semestinya yang telah/sedang berlaku serta boleh menjadi pengajaran. Ia adalah alat pembelajaran berkesan yang berupaya membentuk kemahiran membuat keputusan, berfikir, berinteraksi dan bekerja secara berpasukan. Surjit Singh dan Osman Md. Zain (t.th: 1) pula memberi takrifan, Kajian Kes ialah satu metode latihan yang menggunakan kes-kes sebagai bahan pengajaran. Metode kajian ini digunakan secara meluas dalam bidang perundangan dan perubatan. The University of Chicago Department of Sociology, di Amerika Syarikat, telah mempelopori Kajian Kes diawal abad 1900 sehingga 1935. Malangnya, terdapat segelintir cendekiawan mempersoalkan aspek kebolehpercayaan (reliability) metode ini berdasarkan penggunaan satu sampel sahaja atau sampel bersaiz kecil dan ketidakmampuan dapatan kajian untuk digeneralisasikan kepada umum. Selepas 1935, penggunaan Kajian Kes semakin berkurangan kerana peralihan dunia penyelidikan kepada kaedah kuantitatif. Namun demikian, kekangan yang terdapat pada metod kuantitatif, menukar pandangan dunia penyelidikan kepada bentuk Kajian Kes pada tahun 1965 (Tellis, 1997: 3). Sehingga hari ini, Harvard University adalah universiti tersohor dalam menggunakan kajian kes sebagai wadah utama pembelajaran. Terkini, pelajaran Sains, Pendidikan, ICT, Ekonomi, Perniagaan dan Pemasaran mempunyai banyak laman web yang menawarkan sampel-sampel kajian kes untuk dimuat-turun secara percuma bagi tujuan pedagogi dan andragogi.

Terdapat lima kategori kes yang terdiri daripada kes berbentuk: - Masalah/Keputusan (Problem/Decision). - Penilaian (Appraisal). - Sejarah (Case Histories). - Catatan Industri (Industry Notes). - Kes Bersiri/Berkelompok (Series Cases).

Setiap bentuk kajian kes mempunyai kelebihan tersendiri. Kes boleh ditulis berdasarkan kesesuaian bidang berkenaan dengan objektif pembelajaran. Kajian kes tidak lari dari skop dan metodologi kajian-kajian lain. Ia berbentuk deskriptif dan tertakluk kepada unsur-unsur kesahan dan kebolehpercayaan sebagaimana kesemua metode kajian yang lain. Kajian Kes sebagai wadah pembelajaran menghuraikan suatu teori dalam jangkamasa yang pendek, tetapi diolah dengan cara yang menarik dan tersendiri untuk menepati suasana kuliah yang lazimnya mengambil masa tidak lebih dari dua jam. Para pelajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencerakinkan kes yang diberi dan mencari pendekatan terbaik untuk mendapatkan penyelesaian win-win. Proses pembudayaan ilmu secara kajian kes akan memperkasakan pembentukan kognitif (pengetahuan), afektif (keperibadian) dan psikomotor (kemahiran) individu (Muhamad Muda, 2003: 3). Tujuan asas penggunaan metode kes sebagai strategi pengajaran ialah bertujuan untuk memindahkan tanggungjawab belajar daripada guru, kepada pelajar yang memainkan peranan dan hasilnya ia dapat menukar penyerapan pasif ke arah pembangunan aktif. Melalui perbincangan kes secara teliti, pelajar dapat mengenal pasti punca masalah, mengenali pembuat keputusan dan agendanya dan menjadi peka terhadap keadaan persekitaran yang menyumbang kearah keputusan yang diambil dalam kes tersebut. Pelajar juga didorong untuk membuat keputusan berdasarkan analisis mereka sendiri dan mengaplikasi pengetahuan mereka tentang teori-teori masalah tersebut. Di samping itu juga, pelajar mampu menyelesaikan masalah-masalah yang lebih rumit dengan cara mengenalpasti dan menganalisis faktor-faktor penting, mampu mencambahkan idea, menyelaraskan idea dengan fakta sebenar dan menggabungkan idea tersebut secara kreatif.

Perbincangan kes juga dapat membantu para pelajar untuk menghadapi masalah yang timbul dalam situasi dan krisis dunia yang sebenar dengan fakta kes yang digarap berdasarkan simulasi keadaan sebenar (contohnya situasi bilik kuliah, dewan, mahkamah atau hospital). Dengan demikian, melalui pendedahan terhadap kajian kes, para pelajar berpeluang untuk mengasah tahap profesionalisme mereka melalui cabaran, keperitan dan pengalaman sebenar dan liputan dari dapatan kajian orang lain. Kelebihan metode kajian kes adalah para pelajar didedahkan kepada realiti hidup yang benar-benar berlaku, yang mungkin tidak pernah dan tidak akan mereka alami di luar kuliah. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang tertarik untuk mengkaji kesan kemiskinan kepada pencapaian akademik pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya, dapat mengakses dan menganalisa maklumat daripada sekolahsekolah yang berbeza di Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak tanpa perlu meninggalkan bilik kuliah. Metode kajian kes juga menggabungkan idea individu dan idea ahli-ahli kumpulan di mana para pelajar saling bergantung dan belajar daripada satu sama lain. Idea-idea yang dicerna akan dikupas bersama melalui perdebatan dan pertikaian ahli-ahli kumpulan dan dilontarkan semula untuk dimurnikan bersama. Kesimpulannya, para pelajar mampu berdikari dan mempunyai kemahiran untuk merumus soalan sekaligus meningkatkan pemahaman proses pembelajaran mereka Kes yang baik mempunyai unsur pengajaran yang boleh dipelajari daripada masalah yang timbul, adanya masalah atau keputusan yang perlu diselesaikan, terdapat pembuat keputusan, fakta kes lengkap dan jelas dan diolah berdasarkan konvensyen penulisan kes serta menarik perhatian pelajar untuk melibatkan diri dalam perbincangan kes itu (Muhamad Muda 2003: 7). Kes-kes yang baik juga mempunyai ciri-ciri berikut; cerita yang baik, terkini, ada dialog, mewujudkan empati terhadap watak utama, relevan kepada pembaca, memenuhi fungsi pengajaran dan bersifat umum.

BIBLIOGRAFI

Muhamad Muda. 2003. Apa Itu Kajian Kes? Kertas Kerja. Dibentangkan di Bengkel Penyelidikan dan Penulisan Kes Siri I. Universiti Sains Islam Malaysia. 5-6 Mac.

Surjit Singh & Osman Md. Zain. t.th. The Case Method And Types Of Cases. Artikel.

Tellis, W. 1997. Introduction to case studies. The Qualitative Report [On-line serial], 3(2). Available: http://www.nova.edu/ssss/QR/QR3-2/tellis1.html

Yin, R. 1994. Case study research: Design and methods. ed.2. Beverly Hills, CA: Sage Publishing.

Fast Guide to Case Studies. 2003. http://whatis.techtarget.com/definition/0,,sid9_gci 546256,00. html.

Case Studies. 2003. http://www.vanderbilt.edu/cft/resources/gleanings/casestudies/. Vanderbilt University.

Case Studies. 2003. http://writing.colostate.edu/references/research/casestudy/com2a3. cfm.

Anda mungkin juga menyukai