Anda di halaman 1dari 11

Bidang Kuasa Mahkamah Dalam Wakaf Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, perkara wakaf adalah perkara negeri

yang telah dimasukkan ke dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu, maka ia termasuk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukannya Mahkamah Sivil.

Dalam hubungan di atas, apabila Mahkamah dihadapkan satu-satu kes dihadapannya, maka pendekatan yang penting untuk diambil dalam memutuskan sama ada Mahkamah itu berbidang kuasa atau sebaliknya adalah dengan melihat kepada perkara asas (subject matter) bagi perkara yang dibawa, bukannya remedi yang dipohon (remedy prayed for). Justeru, kalaulah subject matternya adalah wakaf, maka Mahkamah Syariahlah yang berbidangkuasa walaupun ada remediremedi sivil yang dipohon oleh pihak-pihak yang terlibat dalam litigasi berkenaan. Pendekatan ini telah dibangkitkan dalam kes Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai v Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors. ([2003] 3 MLJ 705) di mana Mahkamah Persekutuan mengatakan bahawa pendekatan yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk mengeluarkan injunksi yang dipohon oleh respondenresponden dan tidak mempunyai kuasa untuk mengadili wasiat dan suratikatan penyelesaian tersebut adalah tidak betul kerana menggunakan pendekatan remedy prayed for dan bukannya pendekatan subject matter. Mengikut amalan yang berlaku sebelum ini, peruntukan dalam Senarai II, Senarai Negeri di atas tidak secara automatik menganugerahkan kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa eksklusif dalam membicarakan kes-kes berkaitan wakaf. Ini kerana, Mahkamah-mahkamah Sivil sebelum ini mempertikaikan bidang kuasa

mahkamah Syariah atas dasar kes yang dibentangkan di hadapan mereka membabitkan elemen-elemen atau remedi-remedi sivil yang dipohon dalam sesuatu litigasi wakaf seperti kaveat, estoppel dan injunksi. Ini termasuklah jika pertikaian itu membabitkan pihak bukan Islam.

Walaubagaimanapun, jika pertikaian sesuatu wakaf itu membabitkan pihak bukan Islam, maka sehingga kini Mahkamah Sivillah yang berkompeten untuk mendengar pertikaian berkenaan kerana peruntukan dalam Senarai II, Senarai Negeri hanya memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah dalam perkara yang membabitkan orang-orang Islam sahaja. Ternyata, keputusan Mahkamah Persekutuan oleh YAA Hakim Haidar dalam kes Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai v Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors ([2003] 3 MLJ 705) serta pindaan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak mampu mengatasi konflik bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam perkara wakaf secara keseluruhannya. Mahkamah Syariah masih belum dibenarkan untuk mempunyai bidang kuasa eksklusif di dalamnya.

Pembentang berpandangan bahawa konflik ini perlu diselesaikan segera. Apa yang berlaku sekarang ini adalah kes-kes wakaf banyak sekali dikendalikan oleh Mahkamah Sivil, bukannya Mahkamah Syariah. Dengan hormatnya dinyatakan bahawa para hakim di Mahkamah Sivil (termasuk peguam) selalunya tidak mempunyai latar belakang undang-undang Islam khususnya perkara wakaf (lihat Re Dato Bentara Luar Decd. Haji Yahya and Anor v. Hassan and Anor, [1982] 2 MLJ 264 dan Isa Abdul Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang Isa

Abdul Rahman and Anor[1995] 10 JH 222; (Mac 1996) 8(1) Kanun 123). Terdapat juga di kalangan hakim-hakim di Mahkamah Sivil ini yang mengaku bahawa mereka merasa bimbang untuk mengendalikan kes-kes wakaf kerana merasakan tidak kompeten (dari sudut pengetahuan dalam Hukum Syarak) untuk menghakiminya (kenyataan ini pernah dikemukakan oleh YA Datuk Saari b. Yusoff, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam satu temuramah bersamanya pada 10 April, 1999. YA Dato Abdul Hamid Mohamed, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (ketika itu) menyuarakan perkara yang sama semasa memutuskan kes Isa Abdul Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang [1995] 10 JH 222; (Mac 1996) 8(1) Kanun 123).

Malah, dengan hormatnya dinyatakan di sini bahawa terdapat juga kes yang diputuskan tidak menepati undang-undang wakaf Islam. Misalnya, dalam kes Tengku Nik Maimunah & Anor V Majlis Ugama Dan Adat Melayu Negeri Trengganu & Ors[1979] 1 MLJ 257, Hakim Harun telah memutuskan bahawa berdasarkan seksyen 61, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam, 1955 (Terengganu) (mengenai sekatan takat perwakafan), wakaf yang dibuat oleh plaintif untuk keluarganya dan peruntukan kepada beberapa tujuan keagamaan dan kebajikan hanya sah setakat satu pertiga sahaja. Keputusan dan penemuan hakim ini tidak bertepatan dengan undang-undang wakaf Islam yang membenarkan sesuatu wakaf dibuat keseluruhan harta waqif, kecuali jika ianya dibuat menerusi jalan wasiat ataupun semasa marad al-mawt di mana hanya dalam kedua-dua situasi ini wakaf tidak boleh dibuat melebihi takat satu pertiga kecuali dibenarkan oleh ahli waris sebagaimana hukum wasiat. Penghakiman yang salah ini telah diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Haji Embong bin Ibrahim and

Ors v. Tengku Nik Maimunah bt. Al-Marhum Sultan Zainal Abidin & Anor [1980] 1 MLJ 286 di mana YAA Salleh Abbas (ketika itu) telah memutuskan bahawa wakaf tersebut hendaklah berkuatkuasa keseluruhannya. Begitu kes yang diputuskan dalam Commissioner for Religious Affairs Terengganu lwn. Tengku Mariam [1970] 1 MLJ 222) di mana YAA Hakim Suffian di Mahkamah Persekutuan telah bersetuju dengan penghakiman yang dibuat oleh YA Hakim Wan Suleiman di Mahkamah Tinggi [1969] 1 MLJ 110) bahawa wakaf yang dibuat itu adalah untuk faedah keluarga selama-lamanya dan pemberian terakhir untuk kebajikan dianggap sebagai khayalan semata-mata (illusory). Oleh itu, wakaf berkenaan adalah batal sejak dari mula lagi (void ab initio). Fatwa mengenai keesahan wakaf yang dibuat oleh Tengku Chik ini telahpun dibuat oleh Mufti Terengganu ketika itu, iaitu, Sahibul Fadilah Mufti Syed Yusoff bin Ali al-Zawawi.

Hakim Wan Suleiman berpendapat fatwa tersebut tidak mengikatnya. Lebih daripada itu, Mahkamah bebas sama ada untuk menerima ataupun menolak fatwa yang dibuat. Sebaliknya Mahkamah ini telah merujuk kepada dua kes yang telah diputuskan oleh Privy Council, iaitu kes Abul Fata Mohamed Ishak lwn. Rusomoy Dhur Chowdry [1894] 22 Indian Appeals 76; Indian Law Reports 22 Cal. 619: lihat juga Privy Councils Judgements from India [23 November, 1894] 572) dan kes Fatuma bt. Mohamed b. Salim Bakhshuwen & Anor lwn. Mohamed b. Salim Bakhshuwen( [1952] Appeal Cases

1). Kedua-dua kes ini dianggap mengikat keputusan Mahkamah Tinggi. Keadaan menjadi lebih tidak menyenangkan jika ianya diputuskan oleh hakim yang bukan beragama Islam (lihat misalnya kes Barkath Ali bin Abu Backer v Anwar Kabir Bin Abu Backer & Ors [1997] 4 MLJ 389 and Shaik Zolkaffily Bin Shaik Natar & Ors V Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai [1997] 3 MLJ 281 di mana kedua-duanya diputuskan oleh Hakim Jeffrey Tan. Hakim ini

telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam kedua-dua kes berkenaan untuk mengeluarkan perisytiharan yang dipohon). Pihak Hakim yang bukan beragama Islam juga didapati menghadapi masalah tidak memahami Hukum Syarak yang boleh menyebabkan tangguhan kes yang dibicarakan. Ini dapat dibuktikan dalam kes mengenai pentadbiran pusaka orang Islam, iaitu In The Estate of Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid [1998] 4 MLJ 623. Meskipun YA Hakim Low Hop Bing memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara probet dan pentadbiran, namun YA Hakim tidak menafikan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam persoalan keesahan perkahwinan dan keesahan anak-anak dalam perkahwinan yang berlaku yang melibatkan orangorang menganut agama Islam. Justeru, para peguam bagi pihak-pihak yang bertikai telah bersetuju supaya perbicaraan digantung untuk dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

Setakat inipun, belum ada lagi satu peraturan yang mengkehendaki supaya keskes yang membabitkan Hukum Syarak dikendalikan oleh hakim yang beragama Islam. Terdapat kebimbangan bahawa keputusan yang dikeluarkan oleh Hakimhakim Mahkamah Sivil ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini. Meskipun pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan boleh memanggil saksi yang pakar (expert witness) dalam Hukum Syarak mengenai wakaf, namun ianya bukanlah suatu yang wajib (compulsory). Selain daripada itu, mengikut statut Pentadbiran Agama Islam Negeri di Malaysia, Mahkamah Sivil boleh merujuk perkara Hukum Syarak kepada Jawatankuasa Fatwa negeri di mana pihak Mufti akan mengesahkan pandangan yang

dikemukakan kepada mahkamah berkenaan (lihat misalnya seksyen 53, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, No. 1 tahun 2003)). Namun, pandangan ini tidak mengikat mahkamah. Mahkamah ini bebas samada untuk menerima ataupun menolaknya (lihat kes Commissioner for Religious Affairs Terengganu lwn. Tengku Mariam [1970] 1 MLJ 222). Ini kerana sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu hanyalah mengikat orang-orang yang beragama Islam di negeri berkenaan sahaja (lihat misalnya seksyen 49(1), Enakmen Selangor 2003).

bukannya mahkamah yang meminta pandangan tersebut (lihat kes Isa Abdul Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang ([1995] 10 JH 222, (Mac 1996) 8(1) Kanun 123; Commissioner for Religious Affairs, Terengganu and Ors v. Tengku Mariam, [1969] 1 MLJ 110 dan Re Dato Bentara Luar Decd. Haji Yahya and Anor v. Hassan and Anor, [1982) 2 M.L.J. 264. Isu yang sama dibangkitkan oleh Hakim Abdul Hamid b. Hj. Mohamed dalam kes Isa Abdul Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang ([1995] 10 JH 222, (Mac 1996) 8(1) Kanun 123).

Justeru, melihatkan realiti yang diketengahkan ini, pembentang ingin membangkitkan satu persoalan, iaitu apakah Mahkamah Syariah sepatutnya diberikan bidang kuasa eksklusif dalam perkara wakaf ini meskipun membabitkan pihak bukan beragama Islam? Jika ini yang dipilih maka pindaan kepada Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat untuk memasukkan perkara membabitkan pihak bukan Islam ini untuk diadili di Mahkamah Syariah. Statut berkaitan agama Islam negeri juga hendaklah

dipinda sama. Pendekatan subject matter yang digunapakai sekarang pun telah menyokong usul ini bahawa kes-kes yang membabitkan subject matter di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah hendaklah dibicarakan di mahkamah ini.

Mahkamah Syariah pula telah dianggap sebagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam perkara membabitkan undang-undang Islam (ianya telah banyak diakui oleh kes-kes yang diputuskan oleh hakim-hakim sivil yang membabitkan Hukum Syarak; lihat misalnya kes yang diputuskan oleh YAA Hakim Faiza Tamby Chik dalam Shamala Sathiyaseelan v. Dr Jeyaganesh C Mogarajah & Anor [2004] 2 MLJ 648), termasuk wakaf sehinggakan sejak kebelakangan ini Mahkamah Sivil telah dikatakan agak keberatan mengadili kes-kes membabitkan Hukum Syarak berasaskan alasan yang telah dikemukakan ini (lihat misalnya pandangan YAA Dato Abdul Hamid Mohamad dalam kes mengenai murtad, Kamariah Bte Ali dan Lain-Lain Lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan Satu Lagi [2002] 3 MLJ 657. Dalam kes ini, YAA hakim telah menyatakan bahawa Biar apa pun hakikatnya ialah mahkamah sivil di kebelakangan ini keberatan untuk memutuskan persoalan Hukum Syarak, termasuk murtad dan berpendapat bahawa Mahkamah Syariah adalah lebih sesuai untuk memutuskan persoalan-persoalan itu).

Pembentang berpandangan bahawa untuk memberikan bidang kuasa secara eksklusif kepada Mahkamah Syariah yang dikira dapat memenuhi kehendak pindaan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan ini, ianya memerlukan persediaan dan pelaksanaan berbentuk jangka panjang. Menerusinya juga, selain daripada memasukkan pihak bukan beragama Islam ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, usaha boleh dibuat untuk menjadikan perkara-perkara yang

membabitkan pihak beragama Islam termasuk mengenai pentadbiran harta seperti dalam perkara probet dan pentadbiran dimasukkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun, ianya memerlukan masa di mana pindaan yang besar perlu dilakukan khususnya membabitkan Perlembagaan Persekutuan dan lainlain statut yang berkaitan sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Para hakim dan peguam Mahkamah Syariah pula perlu memperlengkapkan diri dengan bidang-bidang yang belum mereka biasa sebelum ini. Kesemua ini bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan masa untuk merealisasikannya.

Pembentang berpandangan agar langkah terbaik untuk diimplementasikan dalam senario konflik perundangan ini yang dapat menyeimbangkan konflik yang berlaku adalah dengan menyatukan kedua-dua hakim bicara daripada Mahkamah Syariah dan Sivil dengan mewujudkan satu Syariah Bench dalam sesuatu perbicaraan wakaf di Mahkamah Sivil. Hakim Mahkamah Syariah akan memutuskan persoalan Hukum Syarak dalam kes yang dibicarakan di mana ianya hendaklah mengikat keputusan yang akan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sivil. Hakim di Mahkamah Sivil pula akan menentukan perkara-perkara lain dan memutuskan kes yang dibicarakan.

Cadangan di atas juga telah ditimbulkan oleh Ketua Hakim Negara, YAA Tun Ahmad Fairuz bin Dato Sheikh Abdul Halim sebelum ini semasa beliau menyampaikan ucaptamanya di Majlis Perasmian Syarahan Umum Syariah dan Undang-Undang Tuanku Najihah Yang Pertama oleh Fakulti Syariah dan UndangUndang KUIM pada 11 Ogos 2005 yang lalu dalam kertas bertajuk The

Relationships Between Syariah & Civil Law in the Malaysian Legal System: Developments & Future Posibilities. Pandangan yang sama turut dikemukakan oleh YAA Dato Abdul Hamid bin Haji Mohamad, Hakim Mahkamah Rayuan (ketika itu) dalam artikelnya bertajuk Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdictions (lihat *2002+ 1 MLJA 130; *2002+ 1 MLJ cxxx).

Terdapat satu lagi pandangan daripada YAA Dato Abdul Hamid dalam persoalan konflik bidang kuasa ini, iaitu melalui pendekatan menyatukan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil pada semua peringkat. Cadangan YAA ini dapat dilihat sebagaiamna berikut (YAA Dato Abdul Hamid bin Haji Mohamad, ibid.).:

.. People qualified in civil law as well as people qualified in Islamic law are appointed judges of the same court at all levels. Islamic law cases, civil or criminal, are heard by judges qualified in Islamic law. Non-Islamic law cases are heard by judges qualified in civil law. If, in a case there are issues involving both laws, two judges should sit, one from each discipline. The judge with Islamic law qualification decides issues of Islamic law. The judge with civil law qualification decides the other issues. The final judgment, the judgment of the court, is given by both of them, jointly.

Menurut beliau cadangan di atas akan dapat menyelesaikan masalah-masalah lain yang berlaku sebelum ini yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah berkaitan kakitangan, pentadbiran dan penguatkuasaan. Cadangan kedua daripada YAA di atas nampaknya juga boleh dimasukkan di

bawah pertimbangan jangka panjang. Nampaknya pengwujudan Syariah Bench tadi lebih sesuai dibuat dalam konteks masakini dan ianya tidaklah serumit cadangan-cadangan yang lain. Pembentang berpandangan bahawa pendekatan sebegini juga dapat mengurangkan tangguhan kes yang dibicarakan.

Dalam konteks pendidikan tinggi di Malaysia, pembentang berpandangan bahawa kurikulum yang ditawarkan di IPTA boleh memberi impak kepada persoalan yang dibangkitkan di sini. Justeru, adalah dicadangkan agar Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menetapkan bahawa mana-mana IPT di bawah Fakulti/Jabatan yang hendak menawarkan program pengijazahan Syariah dan undang-undang hendaklah melaksanakanya dalam bentuk double degree yang akan menghasilkan misalnya LLB and LLB (Sha) sebagaimana yang telah dibuat oleh UIAM. KUIM juga turut menawarkan program double degree ini. Menerusinya, graduan yang dihasilkan akan dapat dilengkapi oleh dua bidang undang-undang, iaitu Syariah dan sivil sekaligus dalam tempoh masa antara 5-6 tahun. Justeru, graduan ini yang terlibat sebagai peguam ataupun hakim dalam kerjaya mereka tidak lagi menghadapi masalah yang rumit dalam memahami keperluan undangundang prosedur dan substantif serta melaksanakannya dalam satu-satu kes wakaf ataupun lainnya (seperti kes pentadbiran pusaka, wasiat dan lain-lainnya).

Apa pun, yang penting di dalam bahagian ini adalah untuk mempastikan penghakiman yang diberikan adalah adil kepada pihak-pihak yang bertikai dan selaras dengan undang-undang terbabit, khususnya undang-undang Islam itu sendiri. Bukanlah tujuan perbincangan ini untuk menimbulkan suasana perebutan

bidang kuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Selama ini pun, Mahkamah Sivil ada juga dikatakan berkongsi bidang kuasa dengan Mahkamah Syariah dalam perkara yang dibincangkan ini, bukannya semata-mata merebut bidang kuasa. 4. KESIMPULAN Perundangan wakaf di Malaysia mempunyai pelbagai isu berbangkit dan boleh dibangkitkan. Segala masalah-masalah ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diselesaikan. Pembentang amat mengharapkan agar segala perkara yang dibangkitkan di sini termasuklah cadangan pindaan dan pendekatan yang disarankan ini diambil perhatian oleh pihak MAIN serta dimajukan kepada pihak berautoriti negara untuk diambil tindakan sewajarnya. Kesemua ini akan dapat mempastikan pelaksanaan wakaf di negara ini dapat direalisasikan dengan jayanya serta dapat meningkatkan kredibiliti MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf. Apa yang penting juga adalah keperluan mempastikan secara optimum wakaf dapat dilaksanakan sejajar dengan prinsip dan dasar Hukum Syarak dalam realiti perundangan di negara yang tercinta ini.

Anda mungkin juga menyukai