Asas utama Islam terbentuk daripada tiga aspek yang terdiri daripada akidah, ibadat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini memainkan peranan utama dalam pelaksanaan Islam sebagai al-Din. Ini jelas apabila akidah sebagai keimanan dan kepercayaan yang diiltizam kepada Allah disempurnakan melalui syariah melalui pelaksanaan ibadat secara umum dan khusus. Gabungan kedua-duanya melahirkan akhlak Islam. Dengan kata lain, akhlak ialah asas dalam akidah dan syariah. Tanpanya laksana satu badan yang tidak ada roh. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud, Kesempurnaan seseorang itu terbentuk apabila dia memiliki akhlak.
DEFINISI AKHLAK Akhlak adalah istilah yang diperkenalkan oleh orang-orang Islam, berasal dari Bahasa Arab, jamak kepada perkataan khuluq, dan khuluq itu sendiri adalah term al-Quran. Dari sudut bahasanya, kita dapati Qamus Al Murjid, Lisan Al Arab, dan Al Mujam Al Falsafi rata-rata memberi pengertian yang serupa. Khuluq termasuklah sifat semulajadi, tabiat, maruah, agama, atau ringkasnya gambaran batin seseorang. Berdasarkan pengertian literal inilah Dr. Miqdad Yal Jin meringkaskan definisi akhlak kepada 3 aspek, iaitu: 1) Sifat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang melalui latihan atau sebagainya yang akhirnya diterima sebagai adat atau tabiat; 2) Sifat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang secara fitrah; dan 3) Akhlak meliputi 3 dimensi, iaitu zahir dan batin. Zahir iaitu kelakuan manakala batin kejiwaan.
Dari segi pemakaian istilahnya pula, akhlak bermaksud keadaan kejiwaan yang darinya akan terbit tingkah laku dan perbuatan manusia.
Ibn Athir dan Al Ghazali sama-sama menganggap bahawa perkataan khuluq merupakan gambaran batin seseorang (termasuklah jiwa, inspirasi, kehendak dan sebagainya). Sementara perkataan khalqu pula merupakan sifat lahiriah atau bentuk luaran seseorang. Oleh itu, apabila seseorang itu dikatakan baik khulqu dan khalqunya maka ianya bermaksud orang tersebut baik sifat lahiriah dan batiniahnya.
Moralis Islam yang terkenal Ibn Miskawayh telah mendefinisikan akhlaq sebagai: Keadaan jiwa yang menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa pertimbangan fikiran (terlebih dahulu).
Menurut Ibn Miskawayh lagi, keadaan jiwa seseorang itu pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu;
1) natural(tabii);dan 2) keadaan jiwa yang dibentuk melalui latihan dan kebiasaan. Keadaan jiwa yang tabii berpusat di sifat semulajadi seseorang (temperament), umpamanya perasaan cepat marah terhadap perkara yang kecil-kecil, cepat terkejut dengan berita yang didengar, cepat ketawa, cepat berputus asa dan sebagainya. Keadaan jiwa yang dibentuk melalui latihan dan kebiasaan pula perlu melalui dua peringkat. Peringkat pertama ialah peringkat pertimbangan dan pemikiran yang teliti (deliberation/rawiyyah) manakala peringkat kedua ialah peringkat mempraktiskan satu-satu kebaikan sehingga menjadi kebiasaan dalam amalan hidup seseorang.
Konsep dan definisi akhlak oleh Ibn Miskawayh ini secara kronologinya silih berganti diterima oleh moralis-moralis Islam selepas beliau, umpamanya oleh Nasir al-Din al-Dawwani melalui bukunya Akhlaq al-Jalali, bahkan sebagaimana yang akan kita lihat berikutnya oleh al-Ghazali sendiri.
Kepada al-Ghazali akhlak adalah: Akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinyalah terbentuknya perbuatan dengan mudah, dengan tidak berkehendakkan pertimbangan fikiran terlebih dahulu.
Menurut al-Ghazali lagi, jika keadaan jiwa ini melahirkan perbuatan yang baik, seperti perbuatan yang diterima baik oleh akal dan syarak, ia dinamakan akhlak yang baik, dan sebaliknya jika ia melahirkan perbuatan yang jahat maka ia dinamakan akhlak yang buruk. Oleh itu, akhlak menurut al-Ghazali bukan pengetahuan atau kebolehan untuk melakukan sesuatu perbuatan, bukan juga baik atau buruk itu sendiri, tetapi akhlak sebenarnya keadaan kejiwaan yang merupakan punca kepada wujudnya tingkah laku.
Ahli-ahli fikir selepas al-Ghazali, terutamanya ahli-ahli tasawuf nampaknya tidak begitu berminat untuk mencari definisi sebenar perkataan akhlak. Keadaan ini dapat difahami apabila al-Ghazali sendiri mengkritik setengah daripada mereka kerana lebih mengutamakan result atau konsikwensi akhlak daripada menyelidiki esensi dan maknanya yang sebenar. Walau bagaimanapun, setakat yang kita dapat ketahui, tidak kurang juga ahli-ahli ilmu dan berbagai disiplin selepas al-Ghazali dan hinggalah ke zaman moden menyentuh soal-soal akhlak, namun kedua-dua dimensinya, batiniah dan zahiriah iaitu luaran dan dalaman, jiwa atau kelakuan, selalunya tidak dipisahkan malah dikombinasikan serentak. Ahmad Amin, seorang ahli fikir terkenal dewasa ini contohnya telah mentakrifkan akhlak kepada:
Akhlak adalah sifat batiniah (kejiwaan) bukan lahiriah (luaran). Adapun perbuatan lahiriah dinamakan kelakuan atau muamalt, dimana merupakan gambaran dan bukti adanya sifat kejiwaan atau akhlak.
1. Aspek batin atau keadaan jiwa seseorang yang merupakan tenaga penggerak kepada pembentukan tingkah laku. 2. Aspek luaran atau tingkah laku itu sendiri, yang dilakukan bukan kerana tekanan emosi atau desakan-desakan dari luar seperti paksaan dan sebaginya. 3. Perbuatan-perbuatan itu pula hendaklah dilakukan secara berterusan hingga menjadi kebiasaan dan darah daging kepada seseorang.