Anda di halaman 1dari 11

BAHAGIAN B Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran.

Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni. Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara. Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi RajaRaja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Zaba) ditubuhkan. Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. Penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu. Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang,

Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan. Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya. Salah satu pemimpin tempatan iaitu Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu. Selain memimpin gerakan yang dikenali sebagai "Pemberontakan Tani Terengganu", Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih. Beliau juga pernah tampil untuk membela sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka raja. Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke Mekah.

Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu. Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama "Telaga Limbong" kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.

Pembabitan Tok Limbong dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921. Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya. Selain itu, Dol Said atau nama sebenar Abdul Said lahir dalam tahun 1773, dari suku Semelenggang dan menjadi Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak serta dilantik sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang ke-sembilan yang membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British. Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan yang telah mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan. Peperangan Naning, yang berlaku pada tahn 1834 telah menjadikan Dol Said seorang wira yang berani yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka.

Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut,

Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832. Dato' Maharaja Lela Pandak Lam adalah salah seorang pembesar delapan Perak. Pandak Lam adalah keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Daeng Salili dating ke Perak ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Beliau dilantik sebgaai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato' Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Beliau terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak dan merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan tersebut. Beliau bersama-sama dengan pemimpin lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Dato' Sagor) dan Ngah Kandin telah merancang dan membuat pakatan menentang penglibatan British di Perak dengan membunuh Residen British iaitu James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch). Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah. Penglibatan Dato Maharaja Lela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W Birch adalah melaksanakan keputusan mesyuarat Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar atau wakilnya. Namun, perjuangan beliau didapati bersalah oleh mahkamah yang bersidang dari 14-22 Disember 1876. Beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877. Disini dapat disimpulkan bahawa Dato Maharaja Lela adalah pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri. Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal. Kelebihan yang

dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman. Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang, terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya. Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya . Apabila Hugh Clifford (Pemangku Residen British Pahang ketika itu) mengetahui hal tersebut, beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh . Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan. Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British

mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung. Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai takbir British yang berasal daripada luar Kelantan, menggantikan Engku Besar. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai yang terlalu lambat membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib menemui Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan mengganggap Tuk Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah dibunuh. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa dalam satu hari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan. Antara tokoh terkenal masyarakat Iban pada masa dahulu termasuklah seorang panglima yang bernama Rentap. Seperti juga di daerah-daerah lain di negeri Sarawak, Betong juga mempunyai latar belakang sejarah perjuangan menentang penjajah. Antaranya kisah perjuangan Panglima Rentap yang menentang "White Colonial Regime" yang diketuai oleh Rajah Brooke pada sekitar tahun 1840 dan 60-an di Layar dan Sungai Skrang. Untuk menangani masalah pemberontakan ini, Regime Brooke telah membina sebuah kubu yang dinamakan sebagai 'Fort Lily' bagi tujuan pertahanan yang seterusnya telah dijadikan pusat pentadbiran pada tahun 1858. Pemberontakan kaum Iban yang diketuai oleh

Rentap ini berakhir apabila Regim Brooke membuat serangan besar-besaran sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1857, 1858 dan 1861. Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaannya. Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat India Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Syarikat India Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong. Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut. Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh. Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Syarikat India Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa. Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu atau Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai Dikir Pahang. Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau. Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College. Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Zaba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti

Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.

Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1 Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.

Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.

Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah.

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.

Kesimpulan Tanah Melayu akhirnya berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah dijajah oleh kuasa-kuasa asing selama 446 tahun. Kemerdekaan bererti tamatnya tempoh penjajahan di Tanah Melayu dan rakyat boleh memerintah mengikut corak kehidupan mereka sendiri tanpa terikat lagi kepada kuasa asing. Dari tempoh 31 Ogos 1957 sehingga 31 Ogos 1958 kaum-kaum bukan Melayu telah diberikan pengecualian perlunya mengetahui bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Ini merupakan satu kelonggaran yang istimewa untuk tempoh satu tahun. Ia bolehlah dianggap sebagai satu hadiah atau pengecualian yang istimewa kepada kaum bukan Melayu. Dalam tempoh setahun ini jugalah MCA telah menjalankan kempen berhabis-habisan hingga lebih daripada 800,000 orang bukan Melayu telah menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu secara automatik.

Masyarakat majmuk di malaysia terjadi secara tidak sengaja. Pada awal abad ke-19, lebih 90% penduduk di tanah melayu adalah melayu. Namun padapertengahan abad ke-19, penghijrahan masuk kaum cina dan india secara beramai-ramai ekoran dasar liberal Inggeris telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu. Masyarakat majmuk di Malaysia terdiri dari pelbagai etnik yang dikategorikan mengikut cara hidup, pola penempatan,pekerjaan dan pendidikan. Kaum utama di Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik yang lain.

Anda mungkin juga menyukai