Anda di halaman 1dari 19

PENILAIAN KEMAHIRAN MEMBACA

Aktiviti membaca bukan sekadar memindahkan tulisan kepada suara sahaja malah turut memerlukan murid mengenal pasti makna dan memahami isi penting yang terdapat dalam bahan bacaan. Guru bukan sahaja berperanan untuk mengajar dan melatih kemahiran membaca, malah turut perlu menguasai teknik menilai dan menguji kemahiran membaca dalam kalangan murid. Penilaian yang dijalankan oleh guru terhadap kemahiran membaca murid secara tidak langsung mampu menunjukkan bukti tentang kejayaan atau kelemahan murid-muridnya. Guru juga akan dapat mengenal pasti tentang keberkesanan pengajarannya. Guru boleh menggunakan maklumat daripada penilaian yang dijalankan untuk memberi penekanan terutama kepada aspek kelemahan murid dalam penguasaan kemahiran membaca.

Penilaian ialah proses mengumpulkan maklumat secara sistematik untuk mempastikan perubahan perlakuan dalam kalangan murid sebagaimana yang dinyatakan dalam matlamat sukatan pelajaran. Guru perlu mempastikan bahawa sekiranya perubahan berlaku, setakat manakah keberkesanannya serta jika perubahan tidak berlaku, apakah puncanya dan cara untuk mengatasinya. Secara khususnya, penilaian terhadap kemahiran membaca memerlukan kemahiran guru menjalankan tiga aktiviti, iaitu (i) mengenal pasti idea keseluruhan, (ii) mengesan idea utama dan idea sokongan dan (iii) membuat ramalan atau kesimpulan. Guru perlu mempunyai pengetahuan tentang peringkat pemahaman yang bersesuaian dengan ketiga-tiga aktiviti tersebut. Peringkat pemahaman yang bersesuaian adalah seperti yang dikemukakan oleh Frank Smith (1969), iaitu pemahaman literal, pemahaman interpretasi, pemahaman inferens dan pemahaman menilai.

Aktiviti untuk mengenal pasti idea keseluruhan yang terdapat dalam bahan bacaan adalah berkaitan dengan pemahaman literal seperti yang dikemukakan oleh Frank Smith (1969). Pemahaman literal adalah tahap kefahaman yang paling rendah dan termudah. Murid-murid berupaya mencari dan mengingat kembali maklumat yang terkandung dalam teks. Tahap pemahaman literal ini hanya membolehkan murid-murid memahami perkara yang tersurat dalam teks sahaja, iaitu idea keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Sebaliknya, murid-murid tidak dapat mengenal pasti idea yang tersirat dalam sesuatu teks atau bahan bacaan. Penilaian untuk mengenal pasti idea keseluruhan bahan bacaan, boleh dikendalikan oleh guru melalui tiga cara, iaitu (a) soalan aneka pilihan, (b) soalan pilihan benar atau tidak benar (c) soalan padanan dan (d) soalan dengan perkataan khusus.

Merupakan jenis penilaian yang mudah ditadbir dan mempunyai tahap keobjektifannya daripada segi pemarkahan dan pengukuran. Soalan aneka pilihan ini tidak menggalakkan daya luahan dan kreativiti penggunaan bahasa dalam kalangan muridmurid. Murid-murid hanya memilih jawapan yang tepat berdasarkan teks atau bahan bacaan. Jawapan yang diberi oleh murid untuk soalan aneka pilihan ini, membolehkan guru mengukur tahap pemahaman literal murid-murid untuk mengenal pasti idea keseluruhan dalam sesuatu teks atau bahan bacaan.

Soalan pilihan benar atau tidak benar terdiri daripada tiga bahagian, iaitu, (i) stimulus atau rangsangan berupa petikan daripada bahan bacaan (ii) pernyataan dan (iii) jawapan pilihan. Murid-murid perlu membaca arahan soalan dan ketigatiga bahagian tersebut dengan teliti sebelum menanda ( / ) atau (X) Soalan pilihan benar atau tidak benar ini juga amat sesuai untuk menilai pemahaman murid dalam mengenal pasti idea keseluruhan yang terdapat dalam bahan bacaan. Soalan jenis ini juga sesuai untuk menguji fakta yang dibaca oleh murid-murid. Murid-murid juga dapat menentukan sama ada pernyataan yang dikemukakan itu betul atau salah.

Soalan padanan terdiri daripada dua set maklumat yang perlu dipadankan oleh murid-murid. Padanan tersebut mungkin terdiri daripada perkataan, konsep, prinsip atau pernyataan yang terdapat berdasarkan petikan atau bahan bacaan. Terdapat perkaitan maklumat antara set 1 dan set 2 dalam soalan ini. Padanan yang mengandungi dua set maklumat ini menjadikan soalan padanan mempunyai banyak maklumat dalam satu soalan. Soalan padanan membolehkan guru menilai pemahaman murid untuk mengenal pasti idea keseluruhan yang terdapat dalam sesuatu teks atau bahan bacaan.

Soalan yang dikemukakan oleh guru sebagai penilaian untuk mengenal pasti kemahiran mengesan idea keseluruhan dalam kalangan murid-murid, perlu dimulakan dengan perkataan khusus. Perkataan khusus tersebut adalah seperti apakah, siapakah, bilakah, di manakah dan sebagainya.

Aktiviti untuk mengesan idea utama dan idea sokongan adalah berkaitan dengan tahap pemahaman interpretasi. Pemahaman interpretasi memerlukan murid-murid memahami dan menulis semula maklumat yang terdapat dalam bahan bacaan. Murid-murid juga berupaya menghuraikan makna perkataan, frasa atau ayat berdasarkan konteks. Murid-murid juga berupaya menghuraikan fakta penting dan mentafsir maksud tersurat dan tersirat yang terdapat dalam bahan bacaan. Kemahiran mentafsir maksud tersurat dan tersirat adalah kebolehan murid-murid untuk mengesan idea utama dan idea sokongan. Terdapat tiga jenis penilaian yang boleh dijalankan oleh guru untuk mengesan idea utama dan idea sokongan, iaitu (a) penyoalan secara terbuka, (b) teknik kloz, (c) merumuskan karangan dan (d) soalan dengan perkataan khusus.

Penyoalan secara terbuka adalah teknik penyoalan kefahaman bacaan yang paling lama pernah digunakan oleh guru terutamanya untuk menilai kemahiran murid mengesan idea utama dan idea sokongan. Perkara ini disebabkan oleh, ketika menjawab soalan guru, murid perlu menggubal ayat menggunakan bahasa sendiri berdasarkan pemahaman terhadap isi tersurat dan isi tersirat yang terdapat dalam bahan bacaan. Contoh soalan ialah, Berdasarkan petikan, huraikan mengapa Ali terlewat datang ke sekolah?.

Teknik Kloz yang turut dikenali sebagai Prosedur Kloz, mula digunakan pada tahun 1950-an di Amerika Syarikat. Teknik ini diperkenalkan oleh Wilson Taylor (1953). Teknik Kloz memerlukan murid-murid memahami petikan atau bahan bacaan secara tersurat terlebih dahulu sebelum memahaminya secara tersirat. Penilaian boleh dijalankan oleh guru dengan meminta murid mengisi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai berdasarkan isi tersurat dan tersirat yang terdapat dalam petikan atau bahan bacaan. Soalan yang dibina oleh guru perlu mempunyai arahan yang jelas, padat dan tidak berbunga-bunga. Guru juga perlu mempastikan bahawa aras kesukaran setiap soalan adalah setara dan perkataan yang dikosongkan itu terdiri daripada perkataan penting sahaja. Guru juga perlu mengelakkan daripada meninggalkan terlalu banyak ruang kosong dalam sesuatu pernyataan. Ruang kosong juga perlu ditempatkan di bahagian hujung pernyataan.

Aktiviti merumuskan karangan adalah penilaian yang boleh dijalankan oleh guru untuk mengenal pasti kemahiran murid mengemukakan idea utama dan idea sokongan. Ketika aktiviti ini dijalankan, guru akan mengedarkan petikan atau teks kepada murid-murid. Murid diminta membaca teks atau petikan tersebut dan mencatatkan isi-isi tersuratnya. Seterusnya, guru meminta murid mengenal pasti isi-isi tersirat yang terkandung dalam petikan atau teks tersebut. Akhirnya, murid diminta menulis rumusan karangan dalam satu perenggan dengan jumlah patah perkataan yang tidak lebih daripada 80 patah perkataan (sekolah rendah) dan 120 patah perkataan (sekolah menengah). Aktiviti merumuskan karangan perlu mengikut tiga langkah khusus, iaitu (i) memahami petikan, (ii) menentukan kehendak soalan dan (iii) menulis rumusan (http://cforum1.cari.com.my/).

Penilaian terhadap kemahiran murid-murid untuk mengesan idea utama dan idea sampingan boleh dijalankan oleh guru dengan mengemukakan soalansoalan tertentu yang mempunyai perkataan khusus. Oleh sebab kemahiran mengenal pasti idea utama dan idea sokongan ini mempunyai perkaitan dengan pemahaman interpretasi, maka guru perlu mengemukakan soalan yang menggunakan perkataan khusus seperti analisiskan, kenapa, kenal pasti, rumuskan, tentukan, buktikan, sintesiskan dan selesaikan.

Kemahiran membuat ramalan dan kesimpulan secara umumnya melibatkan tahap pemahaman inferens. Pemahaman inferens mempunyai tiga ciri, iaitu pertama, kemampuan murid menggunakan minda untuk membuat kesimpulan atau ramalan berdasarkan maklumat, bukti, petanda-petanda dan pola-pola tertentu sama ada yang tersurat atau tersirat. Kedua, ialah kemampuan murid untuk membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian kelakuan seseorang atau sesuatu fenomena, manakala ketiga ialah kemampuan membuat generalisasi berdasarkan pemerhatian atau maklumat yang diperoleh.

Terdapat empat belas kemahiran dalam tahap pemahaman inferensi yang boleh dijadikan fokus untuk menilai kemahiran murid-murid membuat ramalan atau kesimpulan. Kemahiran itu ialah (a) mengintegrasikan maksud pengarang, (b) mengintegrasikan penerangan baharu dengan yang lama, (c) membuat kesimpulan, (d) mendapatkan makna daripada bahasa yang berbunga atau bahasa puisi, (e) menjalinkan idea-idea daripada isi kandungan bahan yang dibaca, (f) mencari maksud, sikap, nada atau perasaan pengarang, (g) mengenal pasti gaya atau teknik penulisan pengarang, (h) membuat ramalan terhadap bahagian akhir sesuatu cerita atau petikan yang dibaca, (i) membuat ringkasan, (j) menganalisis perwatakan, (k) membuat perhubungan antara kejadian, perwatakan dan idea-idea dalam bahan bacaan, (l) membezakan antara benar atau tidak benar atau relevan atau tidak relevan, (m) merumuskan idea keseluruhan dan (n) menganalisis rumusan pengarang

Sehubungan itu, guru boleh menjalankan tiga jenis penilaian untuk mengenal pasti kemahiran murid-murid membuat ramalan atau kesimpulan, iaitu (i) menjawab soalan-soalan khususnya untuk kemahiran (d), (h), (i), (j) dan (k), berdasarkan lirik lagu popular, (ii) membuat inferens berdasarkan petikan akhbar dan (iii) membina soalan berdasarkan petikan dengan teknik ASiBiDiBaM. Guru boleh memberi lirik lagu atau puisi kepada murid sebagai bahan bacaan dan mengemukakan soalan-soalan.

Seterusnya, jenis penilaian kedua pula memerlukan murid-murid membuat inferens untuk setiap perenggan dengan memadankan andaian yang paling sesuai. Guru memberi satu petikan daripada petikan akhbar kepada murid-murid dan meminta mereka membuat inferens. Jenis penilaian ketiga dan terakhir pula ialah membina soalan berdasarkan petikan dengan teknik ASiBiDiBaM. ASiBiDiBaM adalah singkatan untuk perkataan Apa (A), Siapa (Si), Bila (Bi), Di mana (Di), Bagaimana (B) dan Mengapa (M). Guru boleh mengedarkan petikan atau bahan bacaan kepada murid-murid dan meminta mereka melakukan aktiviti .

Setiap kumpulan perlu menyediakan satu set soalan seperti berikut:

Kumpulan 1 - soalan aneka pilihan, - soalan pilihan benar atau tidak benar Kumpulan 2 - soalan padanan - soalan dengan perkataan khusus Kumpulan 3 - penyoalan secara terbuka - teknik kloz Kumpulan 4 - merumuskan karangan - soalan dengan perkataan khusus

Anda mungkin juga menyukai