Anda di halaman 1dari 8

1

PERENGGAN DAN PEMERENGGANAN


CONTOH 1 1.1 PENGENALAN

Matlamat pendidikan sains di Malaysia menekankan ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan. Menurut Robiah Sidin (2003), Pembangunan sains dan teknologi ke arah membolehkan negara menjadi maju sepenuhnya di mana semua warga negara hidup dalam keadaaan aman, selesa, bersih dan moden merupakan wawasan hidup masyarakat abad ke-21. Jika diperhatikan senario pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains, termasuk Fizik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seolah-olah ianya menggambarkan bahawa hasrat untuk melihat lebih ramai pelajar menceburi bidang Sains adalah agak sukar untuk dicapai. Pencapaian pelajar sebenarnya dipengaruhi oleh sikap pelajar itu sendiri. Malangnya, usaha-usaha untuk mengembangkan sikap positif pelajar kurang diberi perhatian yang sewajarnya (Azman Jusof 2001). Untuk mencapai matlamat pendidikan sains yang melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan saintifik, seseorang itu bukan sahaja perlu mempunyai sikap positif terhadap sains agar dapat menguasai pengetahuan sains dengan baik, bahkan perlu memahirkan diri dengan kemahiran saintifik dan membudayakan diri dengan nilai-nilai sains dalam setiap demensi kehidupan. Menurut Kamisah Osman et al. (2007), amalan dalam sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan tidak menyediakan persekitaran yang konduksif ke arah pembudayaan serta literasi sains seperti mana yang diharapkan. Seperti mana kita ketahui, kebanyakan sesi pengajaran dan pembelajaran sains ditekankan kepada menjawab soalan peperiksaan. Sehingga guru turut tertekan kerana perlu menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian pendidikan dalam masa persekolahan. Ini menyebabkan guru mengutamakan penguasaan pengetahuan serta konsep-konsep sains dan mengurangkan penekanan pembentukan ke atas aspek-aspek pembelajaran sains yang lain seperti penguasaan kemahiran saintifik.

CONTOH 2 3.4 ICT SEBAGAI ALAT PEMUDAH KOMUNIKASI

ICT juga dapat dijadikan sebagai alat pemudah komunikasi. Walaupun berada dalam lokasi yang berbeza, pelajar dan pensyarah masih boleh menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang pelbagai mod sama ada teks, grafik, audio, video atau kombinasi pelbagai mod. Sejajar dengan perkembangan ICT, kini penggunaan e-Pembelajaran semakin digunakan secara meluas. E-Pembelajaran (pembelajaran elektronik) merujuk kepada penggunaan teknologi internet dalam membuat penyelesaian mengakses maklumat ke arah meningkatkan pengetahuan dan prestasi. E-Pembelajaran dapat mewujudkan pembelajaran yang lebih efisien dari segi pelbagai aspek iaitu keluwesan penggunaan, kos yang efektif, kandungan yang terkini, perkongsian maklumat dan penyebaran serentak. Laman Portal Pendidikan (Educational Web Portals) dan Portal Pengurusan Pengetahuan (Knowledge Managemen Portals) merupakan dua jenis e-Pembelajaran yang boleh diakses. Laman Portal Pendidikan menyediakan pelbagai bentuk kandungan di alam maya seperti mesej, forum dan e-mel. Manakala Portal Pengurusan Pengetahuan pula ialah portal yang menyusun strategi ke arah memberi kemudahan kepada pengguna mendapatkan maklumat seperti enjin pencari maklumat iaitu Yahoo, MSN, Excite dan sebagainya (Ismail Zain, 2002). Berdasarkan dua jenis portal ini, Laman Portal Pendidikan lebih menjurus kepada kebolehan pelajar untuk berkomunikasi sama ada dengan pelajar lain ataupun pensyarah.

CONTOH 3 5.2.1 Perbincangan Strategi Pembelajaran di dalam Kelas, di Luar Kelas dan ketika Menghadapi Peperiksaan dengan Pencapaian Dapatan kajian ini mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara strategi pembelajaran KM dengan pencapaian KM. Didapati pelajar cemerlang menggunakan lebih banyak strategi pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori iaitu, ketika DDK, DLK, dan ketika menghadapi PEP berbanding pelajar sederhana dan lemah. Dapatan ini selaras dengan hasil dapatan Suzanawati (2000) yang mendapati bahawa adanya hubungan yang signifikan antara strategi pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori utama kajiannya.Dapatan kajian ini juga turut disokong dengan dapatan kajian Mohamed Amin Embi et al. (2001) yang mendapati bahawa pelajar cemerlang menggunakan pelbagai strategi pembelajaran bahasa berbanding pelajar tahap sederhana dan rendah. Che Suriyati (2000) dan Azlin Mazniwati (2000) juga telah menjalankan kajian berkaitan dengan strategi pembelajaran Bahasa Inggeris. Pelajar cemerlang memperoleh pencapaian akademik yang lebih baik kerana menggunakan pelbagai strategi pembelajaran bahasa berbanding pelajar lemah yang tidak mengamalkan strategi pembelajaran bahasa ketika belajar Bahasa Inggeris. Hasil dapatan ini selari dengan kajian di mana skor min pelajar cemerlang lebih tinggi berbanding pelajar sederhana dan lemah. Selain itu, hasil dapatan ini juga turut disokong oleh kajian Kalaivani (1999) yang mengkaji gaya dan strategi pembelajaran yang digunakan oleh pelajar-pelajar dalam mata pelajaran Geografi di peringkat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Hasil kajian mendapati pelajar yang menggunakan gaya dan strategi pembelajaran cetek hanya mendapat gred D dan E dalam Geografi dan keputusan lulus dalam Kerja Kursus Geografi (KKG). Manakala pelajar yang mengamalkan gaya dan strategi pembelajaran dalaman mendapat gred B dan C dalam Geografi dan keputusan baik atau cemerlang dalam KKG. Abu Talib (1998) dalam kajiannya ke atas 135 pelajar Tingkatan 4 di lima buah Sekolah Menengah di Daerah Johor Baharu bertujuan mengenal pasti gaya dan strategi pembelajaran Bahasa Melayu sama ada di dalam kelas atau di luar kelas.

CONTOH 4 1.2 WAWASAN 2020: TERAS PEMBINAAN MALAYSIA

Tidak dapat dinafikan bahawa teras pembinaan negara Malaysia pada awal abad ke-21 ialah Wawasan 2020. Usaha ini telah dimulakan sejak dekad 90-an lagi, pada tempo yang amat pesat. Wawasan 2020 berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri berasaskan kemajuan sains dan teknologi. Selaras dengan gejala globalisasi, usaha pembangunan di Malaysia dikaitkan dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Dengan kadar yang amat cepat, kita digesa melengkapkan diri dalam bidang teknologi maklumat agar taraf pencapaian dapat diperoleh dengan segera. Dunia siber diharap dapat dialami apabila sahaja kita memasuki abad ke-21. Dalam semua aspek kehidupan, kita dikehendaki menyesuaikan diri dengan suasana kemajuan bidang teknologi maklumat. Dalam bidang pendidikan, permulaan secara besar-besaran dibuat melalui sistem sekolah bestari. Sebelum itu, kempen celik komputer sudah bermula, dan generasi muda telah dijinak-jinakkan dengan internet dan e-mel serta pelbagai rangkaian jaringan. Pusat-pusat komputer dan kafe siber telah muncul seperti cendawan selepas hujan, dan para remaja (serta yang sudah berumur juga) menghabiskan jam demi jam melayari pelbagai jenis laman web serta bermain pelbagai jenis pernainan komputer.

ABSTRAK
CONTOH ABSTRAK 1 TESIS & KERTAS PROJEK Sikap dan Motivasi Pembelajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Hubungannya dengan Pencapaian Matematik Abstrak Kajian ini bertujuan mengkaji hubungan di antara sikap dengan motivasi serta hubungan di antara motivasi dengan pencapaian pelajar dalam pembelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris. Di samping itu, kajian ini juga mengkaji hubungan di antara sikap dan motivasi dengan faktor lokasi tempat tinggal dan etnik. Teknik persampelan kluster multistage sampling digunakan untuk mendapatkan 234 orang pelajar tingkatan dua dari empat buah sekolah menengah harian dari bandar Port Dickson sebagai responden kajian. Instrumen kajian diubahsuai daripada soal selidik yang digunakan oleh Chithra (2003) dan Mohd Firdaus (2003) yang mempunyai skop kajian yang hampir sama. Sumber tambahan diperoleh daripada The Attitude/Motivation Test Battery yang digunapakai oleh pengkaji-pengkaji sikap dan motivasi. Soal selidik yang dihasilkan digunakan untuk menentukan tahap min markat bagi komponenkomponen sikap dan motivasi. Analisis inferensi ujian-t, ANOVA, analisis korelasi Pearson dan Spearman digunakan untuk menguji enam hipotesis nul pada aras kesignifikanan 0.05. Hasil kajian menunjukkan bahawa (1) tidak terdapat perbezaan signifikan dalam tahap sikap dan tahap motivasi antara pelajar bandar dan luar bandar terhadap pembelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris; (2) terdapat perbezaan signifikan dalam tahap sikap pelajar daripada berbagai kumpulan etnik; (3) tidak terdapat perbezaan signifikan dalam tahap motivasi pelajar daripada berbagai kumpulan etnik; (4) wujud hubungan yang positif pada tahap sederhana di antara sikap dengan motivasi pelajar dalam pembelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris; dan (5) wujud hubungan yang positif pada tahap rendah di antara motivasi dengan pencapaian pelajar dalam Matematik.

CONTOH ABSTRAK 2 JURNAL PENDIDIKAN Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu Pelajar Pelbagai Etnik di Luar Kelas Abstrak Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti strategi pembelajaran bahasa Melayu yang digunakan oleh pelajar pelbagai etnik di Malaysia ketika belajar bahasa di luar kelas. Secara khusus, kajian dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat atau tidak perbezaan dari segi jantina, etnik, negeri dan pencapaian pelajar pelbagai etnik ketika belajar bahasa Melayu di luar kelas berdasarkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Seramai 858 orang pelajar cemerlang pelbagai etnik di Selangor, Sarawak dan Sabah yang dipilih secara stratified random sampling dijadikan responden kajian. Bagi mendapatkan data, soal selidik digunakan. Soal selidik yang digunakan mengandungi 144 item yang perlu dijawab dalam keempat-empat kemahiran bahasa tersebut. Soal selidik dianalisis dengan menggunakan SPSS versi 11.5. Data dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif bagi mencari kekerapan, peratusan dan min, manakala statistik inferensi digunakan untuk menguji beberapa hipotesis. Untuk itu, analisis ANOVA satu hala, korelasi dan ujian-t digunakan bagi menjawab hipotesis kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa dari segi jantina, pelajar perempuan pelbagai etnik di ketiga-tiga negeri lebih banyak menggunakan strategi belajar bahasa Melayu berbanding pelajar lelaki. Pelajar etnik Melayu di Selangor, Iban di Sarawak dan Kadazan di Sabah lebih banyak menggunakan strategi belajar bahasa Melayu berbanding etnik yang lain. Dari segi kemahiran bahasa, pelajar pelbagai etnik banyak menggunakan strategi bertutur, membaca dan menulis, manakala strategi mendengar kurang digunakan ketika belajar bahasa Melayu di luar kelas. Dapatan kajian juga menunjukkan bahasa Melayu masih menjadi bahasa pertuturan utama di luar kelas dalam kalangan pelajar pelbagai etnik di Malaysia.

CONTOH ABSTRAK 3 SEMINAR (Kajian) Tanggapan Guru Sains Terhadap PEKA di Sekolah Menengah Abstrak Kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap penilaian kerja amali sains atau PEKA sebagai satu kaedah penilaian alternatif bagi menilai pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains di peringkat sekolah menengah. Aspek kajian termasuklah (i) tahap kemahiran guru dalam membuat penaksiran, (ii) persepsi guru terhadap kursus pentaksiran PEKA yang dihadiri, (iii) persepsi guru terhadap buku panduan guru dalam PEKA dan (iv) persepsi guru terhadap PEKA itu sendiri. Seramai 128 guru dari 14 buah sekolah menengah di Kelantan dipilih menjadi sampel kajian. Statistik deskriptif seperti min, sisihan piawai, varian dan peratusan telah digunakan untuk menjawab semua soalan kajian yang dikemukakan. Statistik inferensi seperti ujian-t dan ANOVA juga digunakan untuk menguatkan lagi hasil dapatan yang diperoleh. Kajian ini mendapati terdapat perbezaan yang signifikan statistik terhadap kemahiran guru membuat penaksiran berdasarkan pengalaman. Persepsi guru juga menunjukkan perbezaan yang signifikan statistik berdasarkan lokasi sekolah. Kajian ini akhirnya mencadangkan agar pendedahan yang lebih luas harus diberikan kepada guru Sains tentang bentuk-bentuk penaksiran PEKA supaya guru lebih yakin dalam penaksiran mereka terhadap beberapa projek amali sains. Ini akan meningkatkan lagi mutu penaksiran PEKA ke satu aras yang lebih terjamin dan bermutu tinggi.

CONTOH ABSTRAK 4 SEMINAR (Kertas Konsep) Memperkasakan Kemahiran Mengajar Guru Pendidikan Islam Abstrak Bahasa Melayu merentas kurikulum telah diperkenalkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) sejak tahun 1992 lagi. Melalui Bahasa Melayu merentas kurikulum, semua guru diminta menggunakan laras Bahasa Melayu yang tepat dan berkesan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak didiknya. Namun demikian, penekanan kepada aspek ini kurang diberikan perhatian oleh guru-guru termasuk guru Pendidikan Islam. Faktor pengabaian kesalahan dan kesilapan bahasa menjadi satu kebiasaan kepada guru-guru Pendidikan Islam. Faktor Bahasa Melayu tidak diambil kira dalam penyampaikan ilmu sama ada secara lisan mahupun tulisan. Bagi guru-guru Pendidikan Islam, apa yang lebih penting ialah pelajar dapat memahami apa yang guru ajarkan, manakala kepentingan dan penguasaan bukan menjadi keutamaan. Akibatnya, berlakulah pengabaian terhadap bahasa kebangsaan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Kertas konsep ini mencadangkan beberapa strategi atau cara bagaimana hendak membantu guruguru Pendidikan Islam mengajar dengan menggunakan wahana/medium Bahasa Melayu yang baik dan berkesan. Strategi yang dicadangkan sedikit sebanyak dapat membantu guru terutamanya guru novis Pendidikan Islam menyampaikan ilmu Pendidikan Islam dengan laras Bahasa Melayu yang betul dan berkesan.