Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN PEGAWAI DAERAH SEMPENA HARI ANUGERAH CEMERLANG SEKOLAH KEBANGSAAN PENGHULU AHMAD 2007 Assalamualaikum warahmatullahi

wabarakatuh dan selamat pagi. Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis. Yang Berusaha Tn. Hj. Aziz b. Hj. Ahmad Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi Yang Berusaha Pn. Hjh Jauyah bt Ayup Guru Besar Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad Yang Dihormati En. Mohd Adzahar bin Yusuff YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad Yang Dihormati En. Noor Azman b. Yunus Pengurus Operasi Lafarge Malayan Cement Yang Berusaha Tuan tuan Pengetua dan Guru Besar, guru guru penolong kanan, guru guru, AJK PIBG, para jemputan serta sidang hadirin yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu saya memanjatkan syukur kehadrat ALLAH SWT kerana memberi kelapangan kepada saya untuk hadir ke majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad 2007. Sidang hadirin sekalian. Saya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk sama sama meraikan kejayaan anak anak tuan tuan dan puan puan. Persekitaran bukan penghalang untuk para pelajar mencapai kejayaan. Namun usaha gigih tanpa mengenal jemu dan didikan guru guru serta dorongan ibu bapa pasti akan membuahkan hasil yang membanggakan. Ini bakal diterjemahkan sebentar lagi dengan penganugerahan

kepada pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum.

Dewasa ini, kerajaan Malaysia melancarkan pelbagai program untuk membentuk jiwa pelajar kearah pembentukan diri bagi melahirkan modal insan yang syumul. Program pembangunan modal insan menerusi pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia amat penting untuk digapai oleh para pelajar bagi melahirkan rakyat berjiwa cemerlang dalam meningkatkan dan mengekalkan kemajuan negara. Justeru, pihak kerajaan menyediakan tenaga pengajar yang terbaik untuk memimpin pelajar bagi mencapai kematangan emosi dan mampu berfikir secara saintifik. Hasilnya, dapat disaksikan oleh tuan tuan dan puan puan produk yang cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum telah dihimpunkan untuk menerima anugerah pada hari ini. Sidang hadirin sekalian. Walaupun Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad tidak berada di dalam bandar namun ini bukanlah faktor yang menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya, dengan jaringan teknologi maklumat tanpa mengenal desa atau bandar seperti internet akan membantu merealisasikan impian kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama bertaraf dunia. Saya di Pejabat Daerah akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk melaksanakan segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan sebagainya. Tuan tuan dan puan puan sekalian. Pendidikan amat penting untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. Usaha ini perlu digembleng oleh semua pihak termasuklah guru guru, para pelajar, ibu bapa dan komuniti. Justeru, kombinasi yang mesra perlu wujud untuk menjana modal insan yang bebas daripada gejala negatif seperti lumba haram, penyalahgunaan dadah, buli dan

sebagainya. Jika gejala gejala ini dapat diatasi, Insyaallah usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan yang bertaraf dunia akan tercapai. Selain itu, pembabitan para pelajar dalam kegiatan kokurikulum akan dapat menambah ilmu malah dapat mengasah kemahiran sosial dan kepemimpinan, seterusnya akan memperkukuhkan semangat kerjasama, toleransi, perpaduan dan jati diri. Tuan tuan dan puan puan sekalian. Kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad pada hari ini adalah hasil usaha dan komitmen guru - guru yang tidak pernah mengenal erti jemu mengajar dan mendidik anak anak tuan tuan dan puan puan. Pengorbanan guru guru dalam dunia pendidikan global hari ini yang penuh dengan cabaran dan dugaan wajar dihargai oleh kita semua. Penghargaan ini bukan sahaja diukur dengan nilaian wang ringgit atau kebendaan tetapi cukuplah dengan ungkapan dua patah perkataan yang begitu sinonim dengan nilai ketimuran iaitu terima kasih cikgu . Mudah dan senang tetapi itulah yang amat sukar untuk dilafazkan oleh masyarakat kita. Saya menyeru kepada tuan tuan dan puan puan agar ungkapan terima kasih itu menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita. Sidang hadirin sekalian. Anak anak kita sekarang berada di zaman ICT yang menuntut mereka untuk mempelajari pelbagai kemahiran untuk mendapat maklumat yang terkini. Namun dalam keghairahan mereka menggunakan teknologi terkini kita sebagai ibu bapa haruslah memantau setiap pergerakan anak anak agar mereka sentiasa berada dilandasan yang betul untuk mendapatkan maklumat. ICT sangat penting dalam pembelajaran sekarang ini. Namun jika disalah guna pelbagai gejala negatif pasti akan muncul. Ini jelas dilihat dan dibaca melalui paparan media elektronik dan media cetak, umpamanya melayari laman web lucah. Di sini pentingnya kepekaan ibu bapa terhadap segala tindak

tanduk anak anak dalam kegiatan hariannya. Jika gejala negatif ini dapat dibendung maka hasrat dan impian pemimpin negara untuk melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang Insyaallah akan tercapai. Akhir kata, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad bagi tahun 2007. Sekian. Wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai