Anda di halaman 1dari 2

Pesta Buku Antarabangsa KL sambutan luar biasa

KHALILAH GUSTI HASSAN

27 April 2013

KUALA LUMPUR Luar biasa! Demikianlah suasana hari pertama sambutan Pesta Buku Antarabangsa 2013 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam, apabila ruang pameran Kumpulan Media Karangkraf menerima ribuan pengunjung sejak dibuka jam 9 pagi.

Meskipun ramai sibuk dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pesta buku tetap punya daya tarikan sendiri, lebih-lebih lagi di Dewan Tun Dr Ismail iaitu lokasi pameran syarikat penerbitan terbesar Malaysia ini.

Pengurus Kanan Pemasaran Jenama Karangkraf, Raja Shahfaizal Raja Khairudin berkata, sejak dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam semalam, Karangkraf menerima kunjungan lebih 10,000 peminat buku setia.

Rata-rata mereka mencari novel keluaran lama yang diulang cetak serta buku dan novel baru yang mendapat potongan sehingga 20 peratus.

Selain buku-buku, majalah dan produk lain keluaran Karangkraf, kami juga menawarkan kad MyKarangkraf yang berharga RM10 yang membolehkan pengunjung berpeluang mendapat 25 peratus diskaun bagi setiap buku dan novel," katanya.

Raja Shahfaizal berkata, bagi mereka yang membuat pembelian melebihi RM200 dalam satu resit secara automatik layak menerima MyKad Karangkraf secara percuma. Menurutnya, Karangkraf menerusi Buku Prima, Alaf21, Karya Bestari dan portal penulisan komuniti

ilham.karangkraf.com menjanjikan pulangan terbaik dari segi mutu penghasilan karya dan harga pada Pesta Buku tahun ini.

Dari petang menjengah malam, Dewan Tun Dr Ismail tidak henti dikerumuni peminat memandangkan tawaran hari pertama adalah paling istimewa. Semalam, pengunjung terawal menerima diskaun hebat maksimum 70 peratus bagi buku-buku yang terpilih selain berpeluang mendekati penulis.

Editor Pengurusan Grup Majalah Impiana, Emma Masri berkata, Majalah Impiana, Laman, Dapur dan Apartmen mengadakan tawaran istimewa kepada pembeli mana-mana satu daripada majalah terbabit edisi Mei. Program dinamakan Happy Hour ini dibuka sejam sahaja, iaitu dari jam 3 hingga 4 pada Jumaat dan 11 hingga 12 pada Sabtu serta Ahad.

Beli satu majalah dan menang hadiah. Antara hadiah yang boleh dimenangi adalah set pinggan mangkuk, sudu garpu, pewangi ruang tamu, mug dan sabun pencuci, katanya.

Majlis perasmian pesta buku berlangsung hari ini (Sabtu, 27 April 2013) jam 3 petang di pentas utama PWTC. Penganjur PBAKL 2013 ialah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Orang ramai dijemput hadir ke Dewan Tun Dr Ismail kerana Karangkraf menjanjikan tawaran menarik setiap hari untuk pengunjung-pengunjung yang dihargai.