Anda di halaman 1dari 20

Tugasan 2 a.

Takrifan Kanak Kanak Pintar Cerdas Kanak-kanak yang pintar cerdas kebanyakannya mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan seseorang yang normal. Pintar cerdas seringkali dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai Intellectual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas. Kamus Dewan edisi keempat telah mengistilahkan pintar sebagai cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin serta mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan. Cerdas pula membawa bermaksud sempurna akal, cerdik, pandai serta pintar. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, berbakat bermaksud mempunyai kebolehan semulajadi. Ini bermaksud kanak-kanak yang mempunyai bakat merupakan seseorang yang mempunyai kebolehan yang ada secara semulajadi.

Maryland telah mendefinisikan pelajar kreatif dan berbakat sebagai pelajar pertengahan atau pelajar sekolah menengah yang telah dikenalpasti secara sah mempunyai bakat dalam bidang seperti kebolehan intelektual umum, bakat spesifik dalam akademik ataupun kreatif, seni visual dan seni tari (Bob Algonzine dan Jim Ysseldyke, 2006). Dalam Kamus Dewan edisi keempat , kreatif pula bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru atau idea asli. Ini bermakna kanak-kanak yang kreatif mampu menjana sesuatu idea yang baru berdasarkan kepada aplikasi ilmu yang mereka pelajari.

Sternberg dan Kaufman mendifinisikan pintar cerdas sebagai satu kepintaran yang lebih berfokus kepada kebolehan mengadaptasi, membentuk dan memilih keadaan yang menjurus kepada sesuatu maklumat. Individu yang pintar cerdas boleh mengenalpasti kelemahan dan kelebihan mereka sendiri malah mereka menentukan cara yang sesuai menggunakan kelebihan mereka serta meminimumkan kelemahan mereka.

Howard Gardner pula mendifinisikan kecerdasan sebagai satu cara memproses maklumat dan juga cara berfikir. Beliau juga berpendapat bahawa kecerdasan merupakan hasil atau produk daripada interaksi antara genetik dan persekitaran yang perlu berada bersama bagi memberi hasil sebenar kepada kecerdasan. Beliau menakrif seseorang itu sebagai seorang yang pintar cerdas apabila mematuhi lapan kriteria khusus berikut. 1. Potensi pengasingan oleh kerosakan otak 2. Kewujudan golongan individu luar biasa 3. Operasi teras yang boleh dikenalpasti 4. Sejarah perkembangan yang khusus bersama dengan prestasi yang menggalakan 5. Sejarah evolusi dan evolusi yang boleh diterima akal 6. Disokong dari kajian psikologi 7. Disokong oleh penemuan psikometrik 8. Kerentanan untuk mengekod sistem symbol

Beliau turut berpendapat bahawa kecerdasan seseorang itu tidak sama seperti cara berfikir yang cenderung untuk kekal konsisten dan tidak berkaitan dengan jenis maklumat yang akan diproses ( Sousa D.A. , 2003).

Jika mengikut pandangan kajian Jane Piirto (1999), ramai orang yang telah ditanya sebagai responden setuju bahawa terdapat tiga aspek berkaitan pintar cerdas. Aspek yang pertama ialah kebolehan menyelesaikan masalah yang praktikal yang mana mereka akan melihat masalah itu dari pelbagai sudut, memberi sebab-sebab yang logik dan dengan fikiran yang terbuka. Aspek yang kedua pula ialah kebolehan lisan (boleh menangani sesuatu topik perbualan dengan baik, membaca dengan kerap dan baik). Pintar cerdas juga boleh dilihat dari aspek sosial (memahami konsep sosial, mengakui kesalahan yang telah dilakukan, mempunyai minat yang umum kepada dunia). Walau bagaimanapun, di dalam penulisan Margaret Sutherland (2008) ada mengulas bahawa pelabelan seseorang kanak-kanak sebagai pintar cerdas sememangnya sesuatu yang baik. Walaupun begitu, menjadi kanak-kanak yang pintar cerdas yang memiliki kecerdasan bermaksud kanak-kanak itu perlu mahir dalam sesuatu perkara yang juga membawa maksud mereka itu sentiasa berkebolehan melakukan semua perkara yang dilakukannya. Menurut Moira Thomson (2006) pula, di New Zealand mendefinisikan pintar cerdas dalam terma bersifat pembelajaran yang menunjukan kebolehan yang luar biasa dalam mencapai prestasi yang menyerlah. Tiada definisi yang spesifik dan khusus yang dapat dinyatakan terhadap kecerdasan tetapi banyak buku panduan telah diterbitkan, dan kebanyakan sekolah membina definisi mereka sendiri berdasarkan kepada prinsip yang dinyatakan di kebanyakan buku yang diterbitkan. Kebanyakan guru juga bersetuju bahawa kanak-kanak yang pintar cerdas adalah individu yang memerlukan perancangan aktiviti yang memerlukan tahap penguasaan pembelajaran yang tinggi dan diberi peluang yang luas dalam kokurikulum bagi mengembangkan lagi kebolehan mereka. Selain itu, terdapat juga definisi berdasrkan sekolah berkaitan dengan pintar cerdas. menurut Jane Piirto (1999), terdapat dua definisi pintar cerdas berdasarkan sekolah iaitu definisi kecerdasan berdasarkan sekolah yang lama dan juga definisi kecerdasan berdasarkan sekolah yang baru.

Di Amerika Syarikat menggunakan definisi Marland bagi mendefinisikan kanak-kanak pintar cerdas berdasarkan sekolah yang lama yang menyatakan bahawa kecerdasan seseorang yang pintar cerdas terbahagi kepada enam jenis kecerdasan iaitu (1) intelektual, (2) akademik spesifik, (3) kreatif, (4) seni pertari dan visual, (5) kepimpinan dan (6) psikomotor. Dalam definisi Marland, Public Law 91-230 telah mendefisikan seorang yang pintar cerdas dan berbakat adalah golongan yang dikenali sebagai seseorang yang layak secara professional yang secara kebajikannya mempunyai kebolehan yang terserlah. Golongan seperti ini memerlukan program pembelajaran yang berbeza dengan/atau perkhidmatan yang bertahap lebih tinggi berbanding dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah untuk pelajar-pelajar normal yang biasa. Program yang khusus adalah perlu bagi menyedari sumbangan mereka terhadap diri sendiri dan negara. Kanak-kanak yang mempunyai pencapaian yang cemerlang termasuk individu yang berpotensi serta berkebolehan dalam mana-mana enam bidang kecerdasan yang dinyatakan. Bagi definisi kecerdasan berdasarkan sekolah yang baru pula mencadangkan kecerdasan seorang kanak-kanak pintar cerdas berlaku dalam kalangan seluruh masyarakat dalam pelbagai budaya dan tidak semestinya berpandukan keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi secara dilihat dalam kebolehan individu tersebut yang tinggi dalam intelektual, kreatif dan artistik alam. Kecerdasan seseorang yang pintar cerdas juga diberi maksud tambahan iaitu lebih kepada satu kebolehan yang matang jika dibandingkan dengan kebolehan perkembangan (Jane Piirto, 1999). Definisi berdasarkan sekolah mengikut kepada Moira Thomson (2006) manyatakan bahawa pembelajaran seorang yang pintar cerdas dalam sekolah seharusnya dalam keadaan yang sistematik untuk membentuk satu corak intervensi untuk membantu perkembangan proses perkembanan bakat individu tersebut. Intervensi seperti ini tidak hanya bergantung kepada arahan guru sahaja untuk mana-mana definisi yang tertentu trhadap pintar cerdas tetapi memberi langkah berjaga-jaga yang mana sesetengah individu itu adalah sememangnya pintar cerdas dan di situlah guru memainkan peranan untuk membantu perkembangan mereka. sekolah seharusnya membina definisi kecerdasan yang; membenarkan pengenalpastian kedua-dua potensi dan prestasi, dapat mengenalpasti bahawa individu tersebut berkemungkinan pintar cerdas dalam satu atau lebih kecerdasan, memberi makna pendekatan kepada kecerdasan pelbagai yang merangkumi kadar kebolehan yng luar biasa, mengakui bahawa pintar cerdas dan berbakat

menunjukan pengecualian dalam hubungan dengan rakan sebaya yang berlatar belakang sama dan menyediakan peluang pembelajaran yang berbeza untuk individu pintar cerdas, berbakat dan kreatif termasuklah untuk sokongan sosial dan emosional.

b. Kepelbagaian kecerdasan mengikut Horward Gardner Menurut Piaget (1950), kecerdasan merupakan kebolehan individu berfikir atau menaakul dalam usaha individu tersebut untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Weschler (1975) pula berpendapat bahawa kecerdasan adalah kebolehan individu memahami alam sekitarnya, dirinya dan kepakaran yang dimilikinya untuk membantu dirinya menghadapi sebarang masalah dan cabaran. Maka dapat disimpulkan bahawa kecerdasan merupakan kebolehan seseorang untuk menyesuaikan dirinya dan kebolehan menyelesaikan masalah yang dihadapinya dalam hidup. Kepelbagaian kecerdasan yang diperkenalkan oleh Horward Gardner merupakan kesinambungan kepada pendapat Piaget dan Weschler di atas. Menurut Horward Gardner, manusia mempunyai pelbagai kebolehan dalam menyelesaikan masalah dalam hidup mereka dan jenis kebolehan ini adalah bergantung kepada individu tersebut. Pelbagai kebolehan membawa maksud yang sama dengan pelbagai kecerdasan dalam diri setiap individu. Setiap individu mempunyai kecerdasan yang berbeza dan bersifat dinamik.

Horward Garder juga telah mengemukakan lapan jenis kecerdasan yang berlainan dalam usaha mengukur potensi kecerdasan manusia. Antara kelapan-lapan jenis kecerdasan adalah logikal matematik, visual ruang, linguistik, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Sebenarnya setiap individu mempunyai semua jenis kecerdasan ini tetapi berlainan kadar dan darjah. Setiap kecerdasan berinteraksi dan berkait dengan satu sama lain. Sebagai contoh, individu A mempunyai darjah kecerdasan interpersonal yang lebih tinggi atau kuat berbanding jenis kecerdasan yang lain. Maka individu A lebih cenderung menggunakan ciri-ciri interpersonal dalam proses menyelesaikan masalah berbanding menggunakan kecerdasan yang lain. Kecerdasan boleh dikembangkan menerusi pendidikan, persekitaran dan pengalaman.

Di bawah merupakan keterangan ringkas bagi setiap jenis kecerdasan yang diperkenalkan oleh Howard Gardner. Kecerdasan pertama iaitu kecerdasan logikal matematik merujuk kepada seseorang yang mempunyai kebolehan menggunakan nombor, mengenalpasti pola, menaakul dan membuat perkaitan antara sebab dan akibat. Individu yang mempunyai kecerdasan ini mahir dalam bidang matematik dan sains. Kecerdasan muzikal pula merujuk kepada individu yang cenderung meluahkan perasaan melalui muzik dan peka terhadap melodi, ritma atau kelangsingan muzik. Kecerdasan intrapersonal adalah kebolehan untuk menilai diri sendiri dan mempunyai kesedaran terhadap mood dalaman dan motivasi untuk mendisplinkan diri dan jati diri.

Kecerdasan interpersonal adalah kebolehan seseorang dalam berkomunikasi dengan orang lain dan suka kerja yang melibatkan individu lain. Manakala kecerdasan naturalis pula merujuk kepada individu yang suka kepada alam semula jadi. Kecerdasan visual ruang merujuk kepada kebolehan seseorang dalam mencipta mental dan mengamati dunia visual. Individu ini peka terhadap warna, garis, bentuk dan ruang. Manakala individu yang mempunyai kecerdasan ini lebih sesuai mengikut sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan tayangan video, gambar dan sebagainya.

c. Ciri-ciri pintar cerdas, kreatif dan berbakat

Walaupun seseorang kanak-kanak itu dikenali sebagai pintar cerdas, kreatif dan berbakat, tetapi mereka tidaklah sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan. Kecerdasan serta bakat yang mereka miliki adalah terhad kepada beberapa bidang yang khusus sahaja. Kanak-kanak yang dilabelkan sebagai seorang yang pintar cerdas, kreatif dan berbakat mempunyai ciri-ciri tertentu.

Ciri-ciri mereka sebagai golongan pintar cerdas jelas dapat dilihat dari aspek kognitif, akademik, fizikal, tingkah laku dan komunikasi. Kognitif (1) Ingatan yang kuat (2) Tahap pemikiran tinggi (3) Berminat kepada sesuatu yang kompleks dan mencabar minda (4) Memproses maklumat dengan cepat Akademik (1) Berprestasi tinggi dalam pencapaian (2) Memahami dan mempelajari sesuatu yang kompleks dengan mudah (3) Berkebolehan dalam penyelesaikan masalah. (4) Berkebolehan dalam menguasai banyak isi kandungan pelajaran

Fizikal (1) Kebolehan fizikal dan mental yang berbeza Tingkah laku (1) Bersifat gigih serta berorientasikan matlamat (2) Pengamatan yang luar biasa (3) Rasa humor yang tinggi (4) Sensitiviti yang tinggi daripada orang biasa Komunikasi (1) Perbendaharaan kata yang betul digunakan semasa bertutur (2) Penguasaan bahasa yang tinggi

d. Masalah yang sering dialami kanak-kanak pintar cerdas

Ramai golongan masyarakat berpandangan bahawa seorang yang pintar cerdas merupakan seorang yang sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan tanpa ada sebarang masalah. Tetapi, hakikatnya golongan pintar cerdas ini mempunyai masalah mereka sendiri. Masalah yang mereka hadapi boleh dilihat dari aspek kognitif. Kanak-kanak yang pintar cerdas mudah berasa bosan dengan arahan yang mudah serta berulang kerana mereka jemu dengan sesuatu yang mudah bagi mereka. Ini adalah kerana golongan pintar cerdas ini sukakan perkara yang kompleks yang mencabar kebolehan mereka. Rakan-rakan sebaya Mereka juga tidak mempunyai nilai kesabaran yang tinggi serta suka bertindak dengan terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara.

Dalam akademik pula, mereka sememangnya sering mendapat keputusan yang cemerlang. Kanak-kanak yang pintar cerdas cenderung untuk menyoal guru sewaktu di dalam kelas sehingga keluar dari topik pengajaran malah menyebabkan rakan yang lain menjadi keliru disamping menggangu proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dijalankan. Oleh itu, kanak-kanak pintar cerdas seharusnya menjalani kurikulum yang berlainan daripada kanak-kanak normal yang lain bagi mengelakan proses pembelajaran kanak-kanak yang lain terganggu. Potensi yang tinggi yang ditunjukan mereka dalam akademik sudah semestinya membuatkan para ibu bapa kanakkanak tersebut berasa gembira dan bangga dan menganggap mereka mampu menguasai semua matapelajaran yang kemudiannya akan memberi tekanan kepada mereka. Kebolehan kanakkanak yang pintar cerdas yang mampu menyiapkan tugas lebih awal daripada rakan yang lain akan menyebabkan mereka berasa bosan dan kemudiannya akan mengganggu rakan-rakan yang lain di dalam kelas. Walaupun mereka sentiasa cemerlang dalam akademik tetapi kebanyakkan rakan-rakan disekeliling selalunya akan menganggap golongan pintar cerdas ini menunjuknunjuk dengan kehebatan mereka.

Kanak-kanak yang pintar kebanyakannya berkebolehan dalam bidang yang terhad sahaja. Sebagai contoh, kebanyakkan kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai kecerdasan dalam bidang matematik tidak dapat menguasai subjek yang lain dengan baik. Ini menunjukan bahawa kebolehan yang mereka miliki selalunya hanya berfokus kepada satu bidang sahaja. Dari segi tingkah laku pula, golongan ini sangat sensitif dan mudah tersinggung apabila dikritik atau ditegur. Mereka amat mementingkan kesempurnaan dan sentiasa ingin berjaya tetapi dari pandangan orang lain mereka ini dilihat sebagai seorang yang degil. (Bob Algonzine dan Jim Ysseldyke, 2006).

e. Perkembangan Fizikal, Emosi Dan Sosial Kanak-Kanak Cerdas Perkembangan kanak-kanak normal dan kanak-kanak pintar cerdas adalah hampir sama tetapi masih berbeza. Perkembangan kanak-kanak pintar cerdas boleh diukur dari segi fizikal, emosi dan sosial. Dari segi perkembangan fizikal, kanak-kanak pintar cerdas tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan kanak-kanak biasa. Mereka mempunyai perkembangan tubuh badan yang sama dan normal seperti kanak-kanak biasa. Dari segi emosi pula, kanak-kanak yang pintar cerdas mudah merasa tertekan. Keadaan sosial dan emosi kanak-kanak yang pintar cerdas sangat berkait rapat dengan satu sama lain. f. Masalah sosial dan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak pintar cerdas. Perkembangan kanak-kanak pintar cerdas boleh diukur dari segi aspek fizikal, emosi dan sosial. Kanak-kanak pintar cerdas menghadapi masalah perkembangan asynchronous. Perkembangan asynchronous merupakan perkembangan yang melibatkan fizikal, intelek, sosial dan emosi yang tidak sekata. Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai perkembangan intelek yang jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa yang sama usia tetapi mempunyai perkembangan fizikal, emosi dan sosial yang sama dengan kanak-kanak lain yang sama umur. Ini juga bermaksud kanak-kanak pintar cerdas mempunyai keupayaan intelek yang sangat tinggi tetapi tidak matang dan tidak mampu untuk menghadapi masalah sosial dan masalah emosi yang dihadapi pada usia yang masih muda. Tambahan pula perkembangan fizikal kanak-kanak pintar cerdas juga menjadi halangan kepada mereka untuk beraksi atau bekerja ikut tahap intelek mereka.

Maka kanak-kanak pintar cerdas menghadapi masalah sosial dan masalah emosi yang besar dalam tumbesaran mereka. Kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai perkembangan intelek yang jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa akan menyebabkan mereka menghadapi masalah sosial. Di mana mereka susah untuk bergaul dan berkawan dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai hobi atau pemikiran yang jauh berbeza daripada kanak-kanak biasa di mana kanakkanak pintar cerdas sangat sensitivif tentang isu-isu semasa seperti pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Isu-isu ini tidak pernah terlintas dalam pemikiran kanak-kanak biasa yang sama umur dengan kanak-kanak pintar cerdas. Maka mereka tidak mempunyai topik perbualan dan minat yang sama. Ini menyebabkan kanak-kanak pintar cerdas sukar untuk bergaul dan bersosial dengan kanak-kanak lain.

Kanak-kanak lain juga tidak suka bergaul dengan kanak-kanak pintar cerdas memandangkan mereka tiada hobi dan minat yang sama. Manakala kanak-kanak lain cepat rasa cemburu dengan bakat dan kepandaian yang dimiliki oleh kanak-kanak pintar cerdas tambah lagi dengan sikap mementingkan kesempurnaan yang ada pada kanak-kanak pintar cerdas menyebabkan mereka sukar untuk bekerjasama atau sekumpulan dengan kanak-kanak biasa yang tidak dapat mencapai permintaaan mereka. Keadaan ini lagi menambahkan masalah sosial kanak-kanak pintar cerdas dengan kanak-kanak yang sama umur dengan mereka.

LeDoux mengatakan bahawa emosi muncul dalam perasaan manusia yang tidak sedar dan dilahirkan daripada perlakuan dan pengkhususan-pengkhususan fisiologi. Pengkhususan fisiologi merupakan tindak balas badaniah yang dikawal oleh otak untuk membolehkan manusia tidak terancam oleh ancaman persekitaran.

Perkataan emosi membawa maksud semangat yang menggerakkan kita (Cooper dan Sawaf, 1997). Emosi bersifat implisit dan setiap emosi membawa tindak balas melalui tubuh badan manusia. Sebagai contoh, apabila kita berasa cemas, dengupan jantung kita akan meningkat dan peredaran darah dalam badan bertambah.

Menurut Teori Overexcitability oleh Kazimierz Dabrowski, kanak-kanak pintar cerdas mengalami perkembangan emosi yang luas, sangat empati dan mudah rasa hiba serta sedih. Perkembangan emosi ini menyebabkan kanak-kanak pintar cerdas sukar untuk mengawal diri sendiri apatah lagi jika berlaku gangguan emosional. Selain itu, kanak-kanak pintar cerdas mudah berasa tertekan dan sangat sensitif berbanding kanak-kanak biasa. Mereka mudah menangis, merajuk dan marah jika mereka menghadapi masalah. Ini menunjukkan emosi kanakkanak pintar cerdas cepat dan mudah terganggu jika mereka menghadapi masalah.

Masalah emosi kanak-kanak pintar cerdas bertambah serius dengan perasaan dan sikap sensitive mereka yang selalu memikirkan masalah-masalah seperti peperangan, pencemaran, kebuluran, ketidakadilan dan keganasan. Kanak-kanak pintar cerdas mengalami masalah introvert akibat mereka terlalu memikirkan masalah-masalah tersebut. Lama kelamaan mereka akan mengalami masalah emosi yang lebih teruk iaitu kemurungan dan cepat marah serta suka menangis.

Sifat mementingkan kesempurnaan yang ada pada kanak-kanak pintar cerdas juga menyebabkan mereka mengalami masalah emosi. Kanak-kanak pintar cerdas yang terlalu mementingkan kesempurnaan menyebabkan mereka takut dan tidak dapat menghadapi kegagalan. Jika mereka gagal dalam sesuatu perkara, mereka akan terus rasa sedih, kecewa, merajuk, marah, malu dan tertekan kerana bagi mereka, tiada kegagalan dalam hidup mereka. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak pintar cerdas mengalami masalah emosi yang sangat teruk dan sukar untuk mereka berasa bersemangat semula. Maka kanak-kanak pintar cerdas mudah menghadapi masalah emosi jika mereka tidak dijaga dengan baik apatah lagi kanak-kanak pintar cerdas yang masih kecil

lagi. Bimbingan dan pendidikan yang sesuai amat diperlukan untuk menolong golongan kanakkanak pintar cerdas agar kepintaran yang mereka miliki tidak disia-siakan.

g. Golongan pintar cerdas dan mencari persahabatan Kanak-kanak pintar cerdas tidak memilih kawan berdasarkan kepada umur kronoligi tetapi berdasarkan kepada minat yang sama. Kebanyakkan golongan ini lebih selesa untuk bergaul dengan golongan yang lebih tua daripada mereka. Adalah penting juga bagi golongan pintar cerdas ini mendapat seorang rakan yang mementingkan persahabatan tetapi bukan untuk populariti semata-mata seperti mana yang sering dilakukan oleh golongan biasa yang lain. Ini menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan kualiti daripada kuantiti rakan mereka. Hubungan persahabatan yang rapat memberi peluang untuk mereka meluahkan perasaan, pendapat dan keyakinan mereka. Bagi mereka, hubungan persahabatan memberi sokongan,keselesaan, kepercayaan, kenikmatan dan kebaikan malah bagi mereka sahabat yang sebenar hanya akan mencari kebaikan antara satu sama lain tanpa menyalahkan perbuatan sahabat mereka sendiri. Persepsi serta pendirian mereka inilah yang sedikit sebanyak menyebabkan mereka tidak mempunyai ramai rakan. Konsep persahabatan kanak-kanak telah membentuk satu hierarki yang merangkumi perkaitan peringkat umur, harapan dan kepercayaan mereka terhadap persahabatan menjadi semakin komplek apabila umur semakin meningkat (Gross, 2002). Terdapat lima peringkat persahabatan ,mengikut tahap umur. Tahap pertama merupakan tahap awal sesebuah persahabatan itu berlaku. Pada tahap ini teman bermain adalah penting yang mana mereka memerlukan kawan dan saling membenarkan sesama sendiri berkongsi barang mainan. Tahap yang kedua pula akan kelihatan antara umur 7-9, satu peringkat yang memerlukan seseorang untuk mereka berkongsi minat yang sama. Pada peringkat ini mereka tidak lagi mementingkan teman bermain tetapi seseorang yang boleh dibawa mendengar luahan mereka. Selepas itu, tahap yang ketiga pula adalah satu tahap yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada orang lain. pada tahap ini, seorang rakan adalah seseorang yang boleh membantu, menyokong dan menggalakkan. Tahap ketiga ini merupakan ciri-ciri yang boleh dilihat pada

seseorang yang berumur antara 9 hingga 11 tahun. Tahap keempat ialah empati yang mana pada masa inilah kanak-kanak itu menyedari bahawa sesebuah persahabatan memerlukan seseorang untuk memberi keselesaaan dan sokongan antara satu sama lain. Tahap ini juga merupakan satu tahap yang mana mereka akan berkongsi masalah serta akan membina hubungan rapat dengan orang lain. tahap inis erring berlaku pada kanak-kanak yang berumur antara 11 atau 12 tahun. Tahap yang terakhir ialah satu tahap yang memerlukan satu tempat yang boleh memberi mereka tempat berlindung dan merasa selamat. Pada masa ini juga mereka akan menyedari bahawa persahabatan itu merupakan satu hubungan yang mendalam dan berpanjangan yang melibatkan kepercayaan, kesetiaan dan penerimaan yang tidak bersyarat. Seseorang yang pintar cerdas sememangkan memandang hubungan persahabatan dengan serius dan tidak mmemandang remeh sesuatu hubungan yang telah mereka bina. h. SIKAP-SIKAP KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN PERANAN IBU BAPA Mementingkan kesempurnaan Kanak-kanak yang pintar cerdas kebanyakkan mereka amat mementingkan kesempurnaan dan tidak suka akan kegagalan. Menurut Patricia Schuler (2002), seorang kaunselor dan konsultan pendidikan di New York, telah merumuskan kajiannya berkaitan kanak-kanak pintar cerdas yang mementingkan kesempurnaan dalam semua perkara yang mereka lakukan. Apabila berada di dalam satu kumpulan kanak-kanak pintar cerdas sentiasa menekankan kesempurnaan. Mereka lebih suka untuk menjadi seseorang yang teliti dari pelajar yang sederhana. Sifat mereka yang sangat mementingkan kesempurnaan ini menjadi satu tekanan yang berkesan kearah pencapaian yang cemerlang. Schuler juga menekankan bahawa sikap mementingkan kesempurnaan ini boleh dilihat sebagai teliti secara sihat ataupun neurotik. Seseorang yang mementingkan kesempurnaan secara sihat adalah seseorang yang puas hati dengan hasil kerja mereka sendiri. Seseorang yang mementingkan kesempurnaan neurotik pula adalah seseorang yang sentiasa berasa tidak puas hati kerana mereka berpandangan bahawa diri mereka tidak pernah melakukan sesuatu yang mencukupi untuk merasa puas hati.

Seseorang itu boleh dikatakan mementingkan kesempurnaan apabila mereka mempunyai tandatanda seperti berikut: 1. Rasa ingin tahu yang sangat tinggi 2. Sentiasa mengkritik kesalahan diri sendiri 3. Cenderung untuk memperbesarkan kesalahan diri mereka sendiri: saya tidak bagus dalam semua benda 4. Sentiasa merendah-rendahkan orang lain 5. Takut untuk mencuba sesuatu perkara baru 6. Tidak suka berkongsi tanggungjawab dengan orang lain untuk mengelakkan hasil yang tidak sempurna: saya lebih suka buat ini sendiri 7. Merasa sangat rendah diri dengan orang lain 8. Cenderung untuk berasa tertekan dan akan merasa hilang yakin semula walaupun telah berjaya mendapat kejayaan dalam suatu perkara yang mereka lakukan. Walaupun begitu, sikap mementingkan kesempurnaan dalam kalangan kanak-kanak pingtar cerdas boleh dibendung dengan beberapa langkah. Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat penting dalam membendung perkara ini. Ibu bapa seharusnya memberi rasa sayang yang tidak berbelah bagi terhadap mereka. Ibu bapa perlu cuba untuk memisahkan tingkahlaku anak-anak mereka terhadap perkara yang boleh dianggap satu kritikan atau pujian dari diri mereka sendiri. Sentiasa guna perkataan Itu adalah perkara yang tidak baik untuk dilakukan daripada menggunakan Kamu tidak baik.

Kebanyakkan ibu bapa masa sekarang sering memuji anak-anak mereka contohnya paling cantik, paling bijak, paling pandai atau paling berjaya yang secara tidak langsung akan menimbulkan jangkaan yang tidak realistik dan menyebabkan mereka akan meninggi diri apabila bersamasama dengan rakan mereka. Setiap perkara dan dorongan daripada ibu bapa sering memberi kesan yang baik kepada kanak-kanak yang pintar cerdas ini. Ibu bapa perlu sentiasa menasihati mereka untuk membuat yang terbaik supaya mereka menggunakan usaha dalam melakukan sesuatu perkara selain daripada memberitahu mereka bahawa sesuatu kejayaan itu hasil daripada usaha yang gigih. Ibu bapa juga menunjukkan kepada mereka bahawa mereka seharusnya mengambil berat dengan pandangan orang lain.

Walaupun begitu, ibu bapa tidak boleh menjadi terlalu melindungi anak-anak mereka supaya mereka. Adalah menjadi satu kepentingan ibu bapa kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk terus menjalankan tanggungjawab untuk membimbing, melindungi dan mengawasi anak-anak walaupun mereka merupakan seorang kanak-kanak yang cerdas tetapi mereka tetap seorang kanak-kanak yang belum matang tahap pemikiran dan pengalaman dalam membuat sesuatu keputusan. Dalam akademik. kanak-kanak pintar cerdas yang dimasukkan ke dalam kelas kumpulan kanakkanak pintar cerdas akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada penilaian-penilaian yang akan dijalankan daripada belajar bersama-sama kanak-kanak pintar biasa. Terdapat dalam kalangan guru yang tidak memberi perhatian kepada kanak-kanak pintar cerdas bagi mengelakkan mereka sombong tetapi memberi kesan yang buruk kepada kanak-kanak pintar cerdas tersebut. Keadaan ini akan mempengaruhi konsep kendiri kanak-kanak itu. Dalam konsep kendiri, kanak-kanak pintar cerdas akan mendapat kesan positif atau negatif bergantung kepada konsep mereka terhadap diri mereka sendiri. Konsep kendiri boleh memberi kesan kepada akademik, sosial dan fizikal mereka.

Dalam akademik, kanak-kanak itu akan berpandangan bahawa keputusan mereka dalam sesuatu matapelajaran tidak akan bagus dan akan mendapat keputusan yang kurang baik. Dari segi sosial pula, kanak-kanak pintar cerdas akan menjadi sedikit sentitif dengan keadaan dan perasaan orang yang berada di sekeliling mereka. Mereka akan cepat mudah terasa dengan perkara-perkara yang berlaku disekeliling mereka. Selain itu, mereka juga sensitif dari konsep kendiri fizikal. Kanakkanak pintar cerdas dan berbakat ini sangat mementingkan penampilan mereka contohnya pakaian yang cantik atau keadaan tubuh badan yang langsing dan sebagainya.

i. Fokus Peranan Ibu Bapa Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membantu kanak-kanak pintar cerdas. Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dan menghabiskan masa yang paling lama bersama kanak-kanak mereka. Maka ibu bapa sangat penting untuk menolong kanak-kanak pintar cerdas. Ibu bapa harus memainkan peranan sebagai seorang pendidik. Pendidik yang mempunyai kemahiran mendidik kanak-kanak pintar cerdas dan keyakinan diri yang tinggi. Ibu bapa perlu belajar dan menguasai semua kemahiran mendidik kanak-kanak pintar cerdas agar dapat mendidik anak mereka di rumah. Maka kanak-kanak pintar cerdas boleh mendapat didikan bukan sahaja di sekolah tetapi di rumah juga. Selain itu, ibu bapa juga harus mempunyai kemahiran mengawal dan menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak pintar cerdas seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan sebagainya.

Ibu bapa juga harus memainkan peranan sebagai orang yang menghulurkan kasih sayang terhadap kanak-kanak pintar cerdas. Ibu bapa tidak berasa anak-anak mereka menyusahkan hidup mereka tetapi bangga mempunyai anak pintar cerdas serta lebih menyayangi mereka. Kanak-kanak pintar cerdas mudah tersinggung dan harap sentiasa mendapat perhatian daripada orang lain. Maka ibu bapa seharusnya lebih menjaga keperluan dan kehendak kanak-kanak pintar cerdas dengan penuh kasih sayang. Kanak-kanak akan rasa dihargai dan disayangi dengan adanya kasih sayang daripada ibu bapa. Kasih sayang ini dapat melembutkan hati kanak-kanak pintar cerdas agar mereka tidak salah gunakan kebijaksaan mereka.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan dalam memilih jenis pendidikan dan kurikulum yang sesuai dengan anak mereka yang pintar cerdas. Kanak-kanak pintar cerdas berlainan dengan kanak-kanak lain maka permintaan mereka dalam pendidikan pun berbeza. Kanak-kanak pintar cerdas cepat belajar berbanding kanak-kanak lain. Mereka cepat berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar jika apa yang mereka belajar tidak sama dengan tahap kognitif mereka. Maka di sini sebagai ibu bapa, harus bijak memilih jenis kurikulum dan sekolah yang selaras dengan permintaan kanak-kanak pintar cerdas. Sebagai contoh, menghantar kanak-kanak pintar cerdas ke universiti dalam atau luar Negara.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, ibu bapa berperanan sebagai pengasuh yang baik kepada kanak-kanak pintar cerdas. Ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak tetapi juga perlu mendidik anak dengan nilai-nilai murni serta ajaran agama agar dapat melahirkan anak yang pintar dalam akademik dan juga dapat mengimplimentasikan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa harus mengajar kanak-kanak pintar cerdas nilai-nilai murni dan ajaran agama sejak kecil lagi. Nilai murni dan ajaran agama dapat dijadikan sebagai benteng yang menghalang kanak-kanak pintar cerdas menceburi dalam kegiatan yang berunsur negatif. Kanak-kanak pintar cerdas juga tidak akan berlagak, lupa diri dan sombong dengan kepintaran yang mereka ada.

j. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilaksanakan terhadap kanak-kanak pintar cerdas. Edward M. Anthony (1963) mengatakan bahawa pendekatan merupakan cara yang digunakan untuk mengajar sesuatu mata pelajaran dengan berdasarkn kepada objektifnya. Maka pendekatan pengajaran dan pembelajaran pula bermaksud cara yang digunakan dalam proses guru mengajar sesuatu matapelajaran dan juga proses murid belajar daripada ajaran guru.

Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai tahap kognitif yang berbeza dari kanak-kanak biasa maka guru juga perlu menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berlainan untuk mendidik kanak-kanak pintar cerdas. Pendekatan yang digunakan seharusnya selaras dengan tahap kognitif kanak-kanak pintar cerdas agar kanak-kanak tidak cepat berasa bosan dan dapat mengukuhkan lagi prestasi mereka. Antara pendekatan yang sesuai adalah pendekatan yang berunsurkan pecutan, pendekatan yang berpusatkan murid dan masalah.

Pendekatan yang berusurkan pecutan merupakan sejenis cara mendidik kanak-kanak pintar cerdas yang memendekkan masa belajar. Kanak-kanak pintar cerdas dapat menghabiskan kurikulum dalam masa yang singkat. Antara kaedah dalam pendekatan ini adalah kanak-kanak pintar cerdas akan diberi sesuatu tugasan yang biasa diberikan kepada murid gred lebih tinggi. Kanak-kanak pintar cerdas dikehendaki menyelesaikan tugasan tersebut. Selain menggunakan kurikulum yang sama dengan kanak-kanak biasa, guru juga boleh menambahkan lagi bahan pengajaran yang selaras dengan tahap kognitif kanak-kanak pintar cerdas agar mereka tidak cepat rasa bosan dan kurang berminat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, pendekatan berpusatkan murid juga sangat berguna. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, cara pemikiran dan pendapat kanak-kanak pintar cerdas harus diutamakan agar mereka rasa dihargai dan guru pula dapat tahu lebih banyak mengenai kanak-kanak pintar cerdas agar dapat menyediakan aktiviti yang lebih sesuai dengan mereka. Kanak-kanak pintar cerdas perlu diberi peluang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti dengan kebolehan mereka sendiri. Cara ini dapat lagi mencabar pemikiran dan kemahiran kanak-kanak pintar cerdas agar mereka dapat mengukuh dan mengaplikasikan pengetahuan mereka. Pengajaran secara langsung dan berpusatkan guru tidak sesuai untuk mengajar kanak-kanak pintar cerdas kerana mereka cepat berasa bosan. Guru harus berperanan sebagai fasilitator dengan menggalakkan murid menyelesaikan masalah dan hanya membimbing apabila murid menghadapi masalah.

Pendekatan berpusatkan bahan pengajaran dan masalah juga dapat digunakan sebagai salah satu pendekatan untuk mengajar kanak-kanak pintar cerdas. Guru banyak menggunakan bahan maujud dalam sesi pengajaran dan pembelajaran agar dapat lagi menarik minat kanak-kanak pintar cerdas. Selain itu, guru perlu selalu memberikan masalah dan kanak-kanak pintar cerdas dikehendaki menyelesaikan masalah tersebut. Masalah membolehkan kanak-kanak berfikir dan melibatkan kemahiran berfikir tahap yang lebih tinggi. Ini dapat memuaskan tahap rasa ingin tahu dan tahap kognitif kanak-kanak pintar cerdas yang tinggi. Antara contoh aktiviti adalah seperti projek, tugasan berasaskan masalah, eksperimen dan sebagainya.

RUMUSAN Sebagai ibu bapa mahupun pendidik, kita harus bijak memainkan peranan masing masing dalam membantu kanak kanak pintar cerdas ini untuk berkembang dengan baik. Dengan pendekatan dan tindakan yang betul, sudah pasti kanak kanak ini mampu untuk menjadi seorang insan yang boleh memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan harian kita.

SENARAI RUJUKAN Piirto J.(1999) 2nd ed. Talented Children And Adult Their Development And

Education.United States of America: Prentice-Hall. Inc Schuler P. (2002). Perfectionism in gifted children and adolescents. In M.Neithart, S.M. Reis, N. M. Robinson & S. M. Moon (Eds.). The Sosial and emotional development of gifted children:What do we know? (pp.71-79). Waco, TX:Prufrock Press. Sousa D. A. (2003). How the gifted Brain Learns. California: Corwin Press.Inc.

Sutherland M. (2008). Developing the gifted and talented young learner. London: SAGE Publications Ltd.. Thomsom N. (2006).Supporting Gifted And Talented Pupils In The Secondary School. London: Paul ChairmanPublishing.

Anda mungkin juga menyukai