Anda di halaman 1dari 9

Menjadikan Medium Pembacaan Kanak-kanak Awal 'Keluarga Normal' Sebagai Medium Penerimaan OKU.

Oleh Faeizaratul Fazeila Isa Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, UPSI Abstrak Sehingga kini, tahap sensitiviti dan kesedaran akan kewujudan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masih berkurangan. Salah satu faktor adalah disebabkan tiadanya pendedahan dari peringkat awal tentang kewujudan mereka dan seterusnya membina persepsi positif terhadap OKU. Salah satu cara untuk melaksanakannya adalah dengan memberikan pendedahan dari peringkat awal kanak kanak. Pendedahan tentang isu yang berat ini boleh dilakukan dengan mudah melalui medium yang dekat di hati kanak kanak, iaitu buku cerita bergambar kanak kanak (BCBKK). Melalui penceritaan dan sedikit pemikiran kritis, kanak kanak awalan ini akan membina persepsi positif mengenai OKU. Persepsi positif ini dapat dibina dengan memberi fokus kepada kelebihan, kebolehan dan kesamarataan, bukan ketidaksempurnaan atau kecacatan sebagai fokus utama. Pengenalan Terdapat pelbagai usaha yang telah dilakukan kerajaan dalam membantu golongan OKU di Malaysia termasuklah memberikan insentif, inisiatif, kemudahan prasarana dan sebagainya. Namun, usaha ini masih lagi tidak mencukupi bagi menampung keperluan OKU apabila tiadanya usaha serius dalam memberikan kesedaran dan meningkatkan tahap sensitiviti rakyat Malaysia terhadap golongan ini. Pengetahuan dan Pendedahan Komuniti Terhadap OKU Di peringkat universiti, Hasnah Toran et al. (2010) mendapati 75.83% responden pelajar di sebuah IPTA Malaysia berasa kurang selesa dan sukar memberikan reaksi biasa apabila bertemu dengan pelajar OKU. Di dalam kajian yang berlainan, terdapat juga pelajar IPTA yang kurang memberikan kerjasama kepada pelajar OKU apabila melaksanakan kerja-kerja berkumpulan (Hasnah et al., 2009).

Diskriminasi ini dirasai secara berterusan oleh pelajar OKU apabila layanan dan komunikasi antara pensyarah dan staf sokongan di IPTA tersebut adalah pada tahap kurang memuaskan. Tindak balas negatif ini terjadi akibat daripada tahap pengetahuan dan pendedahan yang rendah mengenai golongan OKU di kalangan mereka. Ini mendorong mereka menjadi golongan yang kurang memahami dan berempati terhadap OKU. Tak Kenal Maka Tak Cinta Usaha untuk meningkatkan kefahaman dan rasa empati terhadap OKU dapat dilaksanakan melalui Pendidikan Kesedaran kepada setiap golongan masyarakat tidak kira peringkat umur. Ini adalah termasuk peringkat 6 tahun ke bawah atau dikenali sebagai peringkat kanak-kanak awal. Lindsay dan Edwards (2013) mendapati Pendidikan Kesedaran di peringkat awal telah berjaya meningkatkan pengetahuan kanak kanak tentang OKU dan memupuk sikap positif terhadap golongan OKU. Pendidikan Kesedaran di peringkat kanak-kanak awal adalah penting bagi memastikan mereka dapat menerima dan mudah bergaul dengan golongan OKU tanpa ada perasaan prejudis sejak kecil lagi. Salah satu cara perlaksanaan Pendidikan Kesedaran di peringkat kanak-kanak awal ini adalah melalui bercerita. Secara fitrahnya, kanak-kanak normal akan terus mendengar dan memberikan respon secara natural, tanpa perlu dipaksa paksa apabila mendengar sebuah kisah disampaikan kepada mereka (Columba, Kim & Moe, 2010). Bahkan, sejak dahulu kala lagi, kita banyak menyampaikan hikmah kehidupan dengan menggunakan teknik bercerita supaya ianya mudah diingati dan lebih menyeronokkan (Leicester, 2007). Kita boleh menjalankan aktiviti bercerita ini dengan menggunakan medium yang dekat di hati kanak-kanak iaitu, BCBKK. BCBKK, Kanak Kanak Awal dan OKU Kebanyakan orang dewasa mengalami kekangan idea bagaimana Pendidikan Kesedaran OKU dapat dijalankan ke atas kanak kanak awal. Oleh itu, kehadiran BCBKK yang mempunyai OKU sebagai watak utama akan dapat membantu mereka melakukannya dengan lancar (Saunders, 2000).

BCBKK adalah sebuah buku yang mempunyai cerita yang disampaikan melalui teks dan ilustrasi. Ilustrasi yang dipaparkan melengkapi jalan cerita yang disampaikan melalui teks (Jalongo, 2004). Ini bermakna, teks dan ilustrasi adalah saling melengkapi. Aktiviti bercerita menggunakan BCBKK tidak terhad kepada membacakannya secara kuat kepada kanak kanak awal. Aktiviti membaca menggunakan BCBKK juga melibatkan proses meneliti dan mengkaji ilustrasi bersama sama, membincangkan jalan cerita dan watak utama secara mendalam, dan sesi soal jawab secara kritikal. Ruangan perbincangan dan pengkajian ini amat penting kerana apabila kanak kanak awal ini sudah mahir membaca tanpa perlukan bimbingan, mereka akan cenderung untuk membaca sendiri. Ini mengakibatkan ruang untuk berbincang serta memberikan pendedahan secara mendalam tentang OKU adalah amat terhad (Saunders, 2000). Isu OKU sememangnya berat untuk difahami bagi kanak kanak awal. Namun, dengan BCBKK, ianya menjadi mudah. Ini kerana mesej dan hikmah yang ingin diketengahkan disampaikan melalui urutan jalan cerita bervisual dari ilustrasi (Fox & Schirrmacher, 2009). Sememangnya, pada peringkat ini, kanak-kanak awal banyak berfikir melalui visual. Apabila ibu bapa dan guru bercerita menggunakan BCBKK, kanak kanak ini akan melihat visual dari ilustrasi dan cuba mengait dan mengintepretasi cerita yang didengari (Fox & Schirrmacher, 2009). Pengukuhan perkaitan dan intepretasi yang dilakukan kanak-kanak awal ini dapat dilakukan melalui aktiviti lanjutan seperti perbincangan dan sebagainya. Model Cerita OKU Pendidikan melalui penceritaan, perbincangan dan kajian terhadap watak OKU di dalam BCBKK sebenarnya berpaksikan kepada model sosial ketidakupayaan (social model of disability). Kebiasaannya, fokus kita tertumpu kepada melihat masalah kecacatan, gangguan atau penyakit yang dialami oleh OKU. Masalah inilah yang menjadi punca ketidakupayaan mereka dan menyebabkan kita melihat mereka sebagai kelompok yang berbeza daripada kita.

Inilah yang ditekankan dalam model medikal (medical model), di mana fokusnya terletak pada ketidakupayaan (Leicester, 2007). Berbanding dengan model sosial ketidakupayaan, ketidakupayaan yang terjadi adalah disebabkan oleh persekitaran yang membataskan mereka. Keterbatasan ini berpunca daripada persepsi oleh masyarakat sekeliling (Scope, 2013, Leicester, 2007). Kurangnya interaksi sosial, pendedahan, pendidikan tentang OKU dan sebagainya menyebabkan terbinanya persepsi negatif. Persepsi inilah yang menjadi halangan kepada OKU untuk mendapat hak sama rata dan keupayaan memilih hala tuju untuk diri sendiri kerana persepsi masyarakat sekeliling tidak melihat golongan OKU sebagai golongan yang sama haknya dalam masyarakat. Secara mudahnya, perbezaan antara kedua dua model ini adalah fokus model medikal adalah melihat apa yang tidak kena dengan individu OKU manakala fokus model sosial ketidakupayaan adalah melihat apa yang diperlukan individu OKU (Scope, 2013). OKU Sebagai Watak Utama Melalui model sosial ketidakupayaan, ketidakupayaan OKU sebagai watak utama tidak ditonjolkan dalam BCBKK. Jika fokus watak utama dalam BCBKK adalah menyelesaikan masalah, maka watak OKU ini tidak akan melihat ketidakupayaannya sebagai masalah. Akan tetapi, watak utama OKU akan lebih ditonjolkan sebagai satu watak yang sama dengan watak normal yang mempunyai ciri ketidakupayaan yang menyebabkan dirinya unik, bukannya sesuatu yang menyusahkan. Malah watak OKU dalam BCBKK ditonjolkan sebagai watak yang mempunyai keistimewaan atau kelebihan, sama-sama dapat memberi sumbangan atau berjasa kepada yang lain, mampu berinteraksi dan bergaul dengan watak normal, berupaya melakukan aktiviti harian seperti watak normal yang lain. Hal ini dapat dilakukan dengan mengalihkan halangan daripada persekitaran melalui kemudahan fizikal, persefahaman dan empati, sokongan serta kerjasama daripada ahli masyarakat. Berikut adalah sebahagian kecil daripada BCBKK yang mempunyai OKU sebagai watak utama mahupun watak kedua.

Meskipun Nathan mempunyai Palsi Serebral, namun ini tidak menghalangnya berjasa kepada haiwan dan jirannya melalui cerita Nathans Wish: A Story About Cerebral Palsy (Lears & Schuett, 2005)

Contoh halaman Dont Call Me Special (Thomas & Harker, 2005) yang menunjukkan kanak-kanak OKU bermain bersama kanak-kanak normal.

Contoh ilustrasi daripada My Friend Isabelle (Woloson & Gough, 2003) yang memaparkan Charlie yang suka berkawan dengan Isabelle yang mempunyai Sindrom Down.

Contoh halaman Different Just Like Me (Mitchell, 2001) yang meraikan kepelbagaian dan konsep kesamaan. Ilustrasi memperlihatkan kanak-kanak sedang berkomunikasi dalam kod tangan.

Situasi Pendidikan Kesedaran OKU di Malaysia Sehingga kini, tiada silibus atau topik khas tentang OKU diperuntukkan bagi mendidik anak anak di taska dan tadika mahupun di peringkat sekolah. Secara tidak sedar, kita terlalu fokus dalam memastikan kanak kanak awal ini menguasai kemahiran akademik khususnya seperti membaca sebelum mencapai usia 6 tahun. Situasi ini sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan industri BCBKK di Malaysia terutamanya BCBKK dalam Bahasa Melayu. Tidak dapat dinafikan, kita kekurangan BCBKK berkualiti yang boleh dijadikan panduan utama oleh ibu bapa dan guru dalam menjalankan Pendidikan Kesedaran ini. Sehingga kini, tiada BCBKK yang benar benar menonjolkan OKU sebagai watak utama, seolah olah golongan ini tidak wujud dalam konteks masyarakat kita. Kebanyakan BCBKK yang terdapat di pasaran tempatan mempunyai fokus utama penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris di dalam buku buku mereka. Moral atau hikmah cerita menjadi fokus kedua dan kebiasaannya, moral atau hikmah yang ingin ditonjolkan tersebut adalah tidak cukup kuat untuk memberikan impak kepada kanak kanak awal ini. Kesimpulan Kesimpulannya, penerimaan masyarakat terhadap OKU sebenarnya dapat dipupuk bermula daripada peringkat kanak-kanak awal lagi. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan medium bacaan yang biasa terdapat di rumah mahupun taska dan tadika iaitu melalui BCBKK. Pendidikan Kesedaran tentang OKU melalui BCBKK sesungguhnya dapat dijalankan secara natural dan bersahaja. Namun, ketiadaan BCBKK dalam bahasa Melayu terutamanya yang menonjolkan OKU sebagai watak utama atau sebahagian daripada cerita sedikit sebanyak merencatkan proses ini. Oleh itu, pelan tindakan ke arah ini boleh bermula dengan penghasilan BCBKK seperti ini yang mesra ibu bapa dan guru taska dan tadika bagi mendidik kanakkanak awal ini tentang OKU.

Rujukan Columba, L., Kim, C.Y. & Moe, A.J. (2009). The power of picture books in teaching maths, science, and social studies. Scottsdale, AZ: Holcomb Hathway. Fox, J. E. & Schirrmacher, R. (2009). Art and creative development for young children (7th Ed). Belmort, CA: Wardswoth Cengage Learning. Hasnah Toran, Mohd Hanafi Mohd Yasin, Mohd Mokhtar Taha & Norasuzaini Sujak, (2009). Sokongan dan halangan yang dihadapi pelajar-pelajar kurang upaya di sebuah institusi pengajian di Malaysia. ASEAN Journal of Teaching and Learning in Higher Education,1(2), 18-29. Hasnah Toran, Tajul Arifin Muhamad, Mohd Hanafi Mohd Yasin, Mohd Mokhtar Tahar, and Nur Hazwani Hamzah, (2010). Pengetahuan dan sikap rakan sebaya terhadap pelajar kurang upaya di sebuah IPTA di Malaysia. ASEAN Journal of Teaching and Learning in Higher Education, 2 (2), 22-34. Jalongo, M.R. (2004). Picture book and young children (2nd Ed). Washington, DC: National Association for the Education of Young Children. Lears, L. & Stacey, S. (2005). Nathans wish: A story about Cerebral Palsy. Albert Witman and Company. Leicester, M. (2007). Special stories for disability awareness: Stories and activities for teachers, parents and professionals. London, UK: Jesicca Kingsley Publishers. Lindsay, S. & Edward A. (2013). A systemic review of disability awareness interventions for children and youth. Disability Rehabilitation, 35(8),623-646. Mitchell, L. (2001). Different just like me. Watertown, MA: Charlesbridge Publishing. Sanders, K. (2000). Happy ever afters: A storybook guide to teaching children about disability. Staffordshire, ENG: Trentham Books. Thomas, P. & Harker, L. (2005). Dont call me special: A first look at disability. Hauppauge, NY: Barrons Educational Series. Woloson, E. & Gough, B. (2003). My friend Isabelle. Bethesday, MD: Woodbine House.

Mengenai Pembentang

FAEIZARATUL FAZEILA BINTI ISA BSc. OT (UKM), MEd(GiftedEd) (Flinders University) Fazeila Isa, lulusan dari Flinders University, Adelaide, Australia. Pengkhususan dalam bidang Gifted Education dan berpengalaman bekerja dengan kanak kanak termasuk kanak kanak OKU. Minat yang mendalam terhadap bidang pendidikan kanak kanak bagi meningkatkan potensi dan pengalaman pembelajaran mereka. Terdedah kepada dunia penerbitan buku kanak-kanak di Australia ketika melanjutkan pengajian di Adelaide mendorong beliau memfokus kepada material pendidikan kanakkanak berasaskan buku cerita bergambar. Kini, beliau bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, UPSI. Beliau juga melatih guru guru tadika, penulis penulis buku dan ahli institusi pendidikan serta orang awam kaedah penulisan dan penggunaan buku cerita bergambar kanak kanak. Perhubungan melalui: Tel: 012-4837685 Emel: fazeila.isa@gmail.com FB: Fazeila Isa

Anda mungkin juga menyukai