Anda di halaman 1dari 22

PERANAN INSTITUSI SYARIAH DALAM MENGHADAPI

CABARAN ERA GLOBALISASI

OLEH : Y.A.A. DATUK SHEIKH GHAZALI BIN HJ. ABDUL RAHMAN


KETUA PENGARAH/ KETUA HAKIM SYARIE
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALYSIA

1. PENDAHULUAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala puji bagi

Allah Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar

Nabi Muhamad SAW, para ahli keluarga baginda, para sahabat dan

pengikut baginda sekelian.

Saya diminta untuk mengemukakan atau membentang satu kertas

di dalam Majlis Perasmian Komuniti Syariah pada hari ini. Setelah saya

memikir dan berbincang dengan pihak penganjur, saya bersetuju untuk

menganalisa dan berbincang bersama berkaitan dengan peranan Institusi

Syariah di dalam menghadapi cabaran era globalisasi. Saya merasakan

tajuk ini memang sesuai untuk diperbincangkan memandangkan masa

kini masyarakat sering memperkatakan keberkesanan Institusi-Institusi

Syariah atau Institusi Agama Islam di dalam memberi khidmat kepada

masyarakat terutamanya Mahkamah Syariah, Jabatan-Jabatan Agama

Islam dan sebagainya . Apatah lagi di dalam dunia era globalisasi yang

tidak mengenal sempadan dan banyak isu-isu baru diketengahkan.

1
Persoalan sering dilontarkan apakah Institusi-Institusi ini mampu

bersaing dan berhadapan dengan situasi-situasi moden dan terkini

tersebut. Institusi Syariah terutamanya Mahkamah Syariah atau Jabatan

Agama Islam Negeri kini sedang melalui transformasi daripada institusi

tradisional peninggalan penjajah kepada sebuah institusi Islam yang

moden dan dinamik serta bersedia untuk menghadapi masa depan. 1

Proses transformasi ini bukan sahaja memerlukan perubahan

fizikal yang bersifat zahiriah tetapi juga perubahan dalam sikap, budaya

kerja dan paradigma minda warga dan pendukung institusi itu sendiri.

Perubahan ini adalah bersesuaian dengan aspirasi pimpinan negara masa

kini yang ingin memperlihatkan Malaysia sebagai negara Islam contoh

pada mata dunia dengan konsep Islam Hadari.

2. APAKAH DIA INSTITUSI SYARIAH DAN PERANANNYA DI


DALAM MASYARAKAT ?

Insitusi Syariah yang saya maksudkan di dalam kertas ini ialah

institusi yang menguruskan hal yang berhubung dengan hukum hakam

di negara kita . Institusi-Institusi Agama di negara kita begitu banyak

yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri atau

oleh pihak-pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kesemua institusi

ini mempunyai misi, visi dan objektif penubuhannya yang tersendiri.


1
Abdul Monir Yaakob, “Shariah Courts in Malaysia: Past, Present and Future”, dalam Ahmad Ibrahim dan
Abdul Monir Yaakob (eds), The Administration of Islamic Laws, Kuala Lumpur: IKIM, 1997, hlm. 21-27.

2
Walaupun begitu tidak semua institusi-institusi ini menguruskan hal

ehwal yang berkaitan dengan hukum hakam atau Syariah secara langsung

dan ada juga yang tidak secara langsung.

Antara institusi-institusi tersebut ialah Jabatan Kehakiman Syariah

Malaysia (JKSM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institusi

Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Urusan Haji

(JAWAZ), Jabatan Kehakiman/Mahkamah Syariah Negeri-Negeri,

Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan Mufti Negeri-Negeri,

Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara, Biro Bantuan Guaman Bahagian

Hal Ehwal Undang-Undang, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Fakulti

Syariah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(UM), Jabatan Syariah

Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Fakulti Syariah dan Undang-

undang Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Fakulti Syariah Kolej

Universiti Islam Selangor(KUIS), Kulliyyah Undang-Undang Ahmad

Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Yayasan

Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi

Islam Malaysia (YAPEIM), Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM), Tabung

Haji( TH) dan sebagainya.

Dapat saya simpulkan bahawa hanya terdapat beberapa institusi

sahaja yang membincang, menyelidik dan menguruskan perkara yang

berkaitan dengan hukum hakam atau Syariah. Bolehlah saya katakan

institusi tersebut ialah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),

3
Jabatan Kehakiman/Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Jabatan

Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri ,

Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara, Fakulti Syariah Akademi

Pengajian Islam Universiti Malaya(UM), Jabatan Syariah Universiti

Kebangsaan Malaysia(UKM), Fakulti Syariah dan Undang-Undang Kolej

Universiti Islam Malaysia (KUIM), Fakulti Syariah Kolej Universiti Islam

Selangor(KUIS) dan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Institusi-institusi Syariah yang datang daripada Institusi Pengajian

Tinggi Awam kebanyakannya membuat penyelidikan dalam bidang

tersebut secara ilmiah di samping mengeluarkan graduan-graduan di

dalam bidang tersebut. Graduan-graduan ini akan masuk ke dalam

pasaran kerja dan berkecimpung di dalam masyarakat baik di dalam

kerajaan atau pihak swasta dan tidak kurang juga yang berkecimpung di

dalam badan-badan sosial bukan kerajaan. Ada juga di antara mereka

yang terlibat di dalam bidang politik sehingga menjadi menteri, exco

kerajaan negeri, ahli yang berhormat parlimen dan dewan undangan

negeri. Mereka inilah yang akan mencorakkan pemikiran masyarakat di

dalam bidang Syariah pada masa hadapan. Manakala institusi-institusi

Syariah seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan

Kehakiman/Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Jabatan Kemajuan Islam

Malaysia , Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Biro Bantuan Guaman

4
adalah institusi-institusi yang menjalankan tugas secara praktikal dan

melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan hukum hakam yang

telah diputuskan di dalam sesuatu undang-undang.

Terdapat juga institusi Syariah yang hanya membuat penyelidikan

dan berperanan di dalam memberi nasihat dalam hal ehwal berkaitan

dengan hukum hakam Syariah dan kaitannya dengan undang-undang

negara kepada kerajaan seperti Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara.

Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara ini ditubuhkan bagi

memudahkan pihak Kabinet Persekutuan untuk mendapatkan nasihat

berkaitan hal ehwal Syariah apabila ia timbul di dalam masyarakat yang

memerlukan kepada penyelesaian yang tepat dan segera. Selain daripada

Seksyen Syariah ini, kabinet mendapatkan juga pandangan berkaitan

dengan hukum syarak melalui Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bertitik tolak daripada itulah pada pendapat saya maka Komuniti

Syariah yang dicadang dan dirasmikan penubuhannya pada hari ini

diwujudkan bagi menjalinkan hubungan kerjasama antara para anggota,

bagi mendapatkan pandangan yang positif dalam memajukan sistem

perundangan Syariah negara sehingga mencapai ke tahap cemerlang,

gemilang dan terbilang. Ia juga bagi menyelaras kegiatan penyelidikan

perundangan Syariah dan perlaksanaannya yang dijalankan oleh pelbagai

institusi Syariah supaya dapat dimanfaatkan untuk semua lapisan

5
masyarakat. Hasil atau input hasil kajian tersebut akan digunakan di

dalam pengharmonian dan penyeragaman undang-undang.

Institusi-institusi Syariah yang ada di negara kita ini seharusnya

menangani isu-isu berkaitan pelaksanaan Syariah secara efisien, efektif

dan kolektif , tanpa membiarkan masyarakat dipengaruhi oleh pandangan

yang negatif dan tidak tepat mengenai Syariah. Buat masa ini tidak ada

satu badan yang menyatukan institusi-institusi Syariah di dalam

tindakannya baik samada dalam membuat sesuatu keputusan muktamad

di dalam sesuatu isu. Kadang-kadang sesuatu isu Syariah diperbincang

dan diperkatakan secara meluas oleh badan atau orang yang bukan pakar

di dalam bidang tersebut. Hal ini menyebabkan masyarakat mendapat

satu gambaran yang tidak baik mengenai Islam.

Berkaitan dengan perundangan Syariah yang sedang digunakan di

negara kita ini, telah banyak perubahan dan pembangunan yang telah

dilakukan oleh Institusi Syariah yang dipertanggungjawabkan seperti

JKSM dan JAKIM. Contohnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM)

melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil

Kebangsaan adalah satu Jawatankuasa peringkat nasional yang

dipertanggungjawabkan menderaf undang-undang substantif yang

seragam untuk digunapakai oleh negeri-negeri seperti Undang-Undang

Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah

Syariah, Undang-Undang Acara Jenayah Syariah, Undang-Undang

6
Keterangan Mahkamah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam,

Undang-Undang Wakaf, Undang-Undang Wasiat dan sebagainya. Usaha

ini telah pun berjaya dilaksanakan. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

(JKSM) pula bertanggungjawab mengeluarkan Arahan-Arahan Amalan

yang digunapakai di Mahkamah-Mahkamah Syariah yang lebih menjurus

menerangkan prosedur-prosedur pentadbiran yang tidak terdapat di

dalam undang-undang substantif dan juga mengeluarkan Kaedah-Kaedah

Mahkamah di dalam usaha mempercepatkan penyelesaian kes di

Mahkamah-Mahkamah Syariah. Antara kaedah-kaedah yang telah siap

dan akan digunakan pada tahun hadapan ialah Kaedah Hakam, Kaedah

Sumpah Syarie, Kaedah Cerai Taklik, Kaedah Khuluk, Kaedah

Pengesahan Perkahwinan Luar Negara, Kaedah Fasakh dan Kaedah

Sabitan Lafaz Talaq.

Selain daripada itu, satu lagi badan yang banyak memainkan

peranannya di dalam masyarakat di dalam mengeluarkan fatwa-fatwa

berkaitan dengan hukum hakam ialah Majlis Fatwa Kebangsaan yang

diurusetiakan oleh JAKIM. Majlis ini selalunya akan diminta

mengeluarkan apa-apa fatwa berkaitan sesuatu perkara baru yang tidak

terdapat di dalam nas Syarak secara langsung atas permintaan

masyarakat ataupun kerajaan. Fatwa ini juga timbul dari terbitnya hal

keadaan semasa. Antara contohnya fatwa ialah mengenai hukum wang

simpanan KWSP apakah ia boleh dikira sebagai harta sepencarian, di

7
mana Majlis Fatwa telah memutuskan ia bukan harta sepencarian, tetapi

harta yang perlu dibahagikan mengikut faraid apabila berlaku kematian

salah seorang suami atau isteri.

3. CABARAN-CABARAN YANG SEDANG DAN AKAN DIHADAPI


DAN PERSEDIAN MENGHADAPINYA.

Institusi-Institusi Syariah sekarang sedang menghadapi pelbagai

cabaran yang begitu hebat dan mencabar disebabkan pelbagai persoalan

yang baru dan mengelirukan timbul di dalam era dunia yang semakin

tidak mengenal sempadan. Mahkamah Syariah contohnya sedang

menghadapi masalah pengendalian kes-kes berkaitan dengan murtad.

Murtad merupakan satu kes yang sensitif untuk diperbahaskan.

Mahkamah Syariah telah diberikan bidangkuasa untuk membicarakan

kes-kes murtad iaitu pengisytiharan samada seseorang itu telah keluar

Islam atau tidak. 2 Mengikut keputusan Mahkamah Rayuan yang terbaru

di dalam kes Lina Joy 3 Mahkamah yang berbidangkuasa untuk

memutuskan seseorang itu Islam atau tidak ialah Mahkamah Syariah. Di

dalam kes ini Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Ketua

Pengarah JPN telah bertindak betul apabila menolak permohonan perayu

2
Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Tidal semua Enakmen Negeri
membuat peruntukan seperti ini. Peruntukan seragam yang telah digubal dan dideraf oleh Jawatankuasa
Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Kebangsaan telah diubah oleh kebanyakan negeri dengan tidak
memasukkan peruntukan ini.
3
Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah & Anor (2004) 2 MLJ 119.

8
untuk mengugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Sebelumnya JPN telah menolak permohonan perayu dengan alasan

pengisytiharan murtad perayu tidak mendapat pengesahan Mahkamah

Syariah atau pihak berkuasa agama Islam. Sekiranya Ketua Pengarah JPN

membenarkan pengguguran perkataan Islam itu, beliau seolah-olah

mengisytiharkan perayu seorang murtad sedangkan pengisytiharan

murtad adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Persoalannya, bagaimanakah perlaksanaannya di Mahkamah

Syariah? Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk membicarakan kes-kes

murtad mengikut Hukum Syarak. Dalam hal ini Mahkamah Syariah

memerlukan prosedur dan tatacara bagaimana seharusnya

mengendalikan kes-kes murtad sehingga seseorang itu boleh dikatakan

telah murtad. Seseorang yang telah murtad tidak boleh terus dihukum

murtad, sebaliknya ia hendaklah diminta bertaubat dipastikan sebab-

sebab mengapa ia menjadi murtad, sekiranya perbuatan itu berpunca

daripada salah faham terhadap Islam, maka ia perlu diberi penjelasan

supaya ia sedar dan kembali ke pangkal jalan..

Setelah Mahkamah Syariah mencatatkan seseorang itu telah

murtad, sepatutnya suatu hukuman mengikut Hukum Syarak

diperuntukkan. Oleh itu saya berpendapat, Komuniti Syariah ini dan lain-

lainnya, haruslah memberikan pandangan bagaimana prosedur harus

digubal dan apakah bentuk hukuman yang perlu diperuntukkan.

9
Bidangkuasa hukuman di Mahkamah Syariah dihadkan hanya

kepada denda RM5000 atau penjara 3 tahun atau sebat 6 kali 4 .

Bidangkuasa ini telahpun diperuntukkan sejak tahun 1965 dan dipinda

pada tahun 1984. Pada pandangan saya sewajarnya peruntukan ini

dipinda sekali lagi sesuai dengan perkembangan terkini dan

perkembangan undang-undang keluarga Islam, undang-undang jenayah

Syariah, undang-undang muamalat, perbankan Islam, takaful, sekuriti

dan kewangan Islam yang lain.

Saya bersetuju dengan pendapat Prof. Dr. Abdul Aziz Bari 5

walaupun hak kebebasan beragama dijamin, ia tidak dihuraikan oleh

Perlembagaan Persekutuan. Ia cuma menyatakan bahawa meskipun Islam

diiktiraf sebagai agama rasmi Persekutuan, agama-agama lain dibenarkan

diamalkan dengan aman. Ini dinyatakan oleh peruntukan yang

menyatakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan juga peruntukan

yang menjamin kebebasan beragama sebagai salah satu aspek kebebasan

asasi dalam perlembagaan itu. Seperti yang termaklum dalam

Perlembagaan, sama halnya dengan aspek-aspek kebebasan asasi lainnya,

tidak memberi kebebasan mutlak dalam soal kebebasan beragama. Ia

tertakluk kepada beberapa perkara seperti ketenteraman awam,

4
Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1965 Pindaan 1984.
5
Abdul Aziz Bari, Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur, Intel Multimedia Publication,
2005, hlm. 117-118.

10
kesihatan awam dan akhlak. 6 Dalam pada itu agama-agama lain tidak

dibenarkan menyebarkan ajaran mereka kepada orang Islam, 7 yang

secara langsung menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada Islam

berbanding dengan agama-agama lain. Ini juga menunjukkan satu

persefahaman di antara rakyat berbilang kaum semasa mencapai

kemerdekaan. Dengan persefahaman ini, maka rakyat Malaysia yang

berbilang kaum saling hormat menghormati tanpa menyentuh perkara

yang berkaitan dengan agama demi menjaga keharmonian dan

perpaduan. Penganut-penganut agama lain juga dibenarkan

menguruskan institusi-institusi agama mereka. 8 Setakat ini mahkamah

kita menghukum bahawa hak kebebasan beragama merangkumi hak

untuk memilih agama 9 tetapi tidak menganggap perbuatan murtad

sebagai sebahagian daripada hak itu. 10 Dalam kes Daud Mamat,

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa murtad bukan sejenis agama dan

dengan itu murtad tidak dilindungi oleh Perkara 11 Perlembagaan

Persekutuan.

Oleh itu, semua Institusi Syariah seharusnya bersedia menghadapi

gejala ini dan memperlengkapkan diri untuk mengatasinya. Hakim-

Hakim Syarie pula hendaklah bersedia dari segi mental dan persiapan

6
Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan
7
Ibid 11(4)
8
Ibid 11(3) dan 12(2)
9
Lihat kes re Susie Teo (1986) 2 MLJ 229.
10
Lihat kes Daut Mamat & Ors v Majlis Agama Islam Kelantan (2001) 2 CLJ 161 MT

11
ilmu untuk membicarakan kes-kes di hadapan Mahkamah Syariah

termasuk kes-kes murtad tersebut..

Cabaran seterusnya yang sedang dihadapi oleh Institusi Syariah

ialah di dalam bidang perbankan Islam, takaful, sekuriti Islam, bon dan

sistem kewangan Islam yang lain. Tidak ramai pengamal Syariah yang

pakar dan mahir di dalam operasi perbankan , takaful, sekuriti, saham,

bon dan sebagainya. Ini adalah kerana soal dalam operasi perbankan ,

takaful, sekuriti, saham, bon dan sebagainya adalah memerlukan kepada

ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang yang berkaitan. Buat masa

ini, pakar-pakar Syariah tidak mendalami bidang-bidang tersebut. Begitu

juga sebaliknya pakar-pakar ekonomi , perbankan dan takaful pula tidak

mendalami bidang Syariah. Walaupun begitu, kita bernasib baik kerana

kedua golongan pakar yang berbeza kepakaran masih boleh bekerjasama

dalam menentukan produk dan operasi perbankan Islam, takaful dan

sistem kewangan Islam yang lain sesuai dan selaras dengan kehendak

Syarak. Tetapi selama mana keadaan ini boleh bertahan dan apakah

langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.?

Buat masa ini Majlis Penasihat Syariah Bank Negara

dipertanggungjawabkan untuk memastikan setiap produk dan operasi

perbankan Islam, takaful dan sistem kewangan Islam yang lain berjalan

selaras dengan kehendak Hukum Syarak. Jika sekiranya terdapat

perbalahan dan pertikaian antara pihak-pihak sehingga ke Mahkamah

12
Tinggi, persoalan Syariah dan Hukum Syarak hendaklah dirujuk kepada

Majlis Penasihat Syariah tersebut. 11 Majlis Penasihat Syariah ini juga

adalah lebih tinggi berbanding dengan Jawatankuasa Syariah bank-bank

perdagangan yang lain di mana jika terdapat perbezaan keputusan antara

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dengan Jawatankuasa Syariah bank

lain, maka keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara adalah

terpakai. Majlis Penasihat Syariah Bank Negara ini secara umumnya

berfungsi di dalam memberi fatwa berkaitan dengan perbankan dan

takaful Islam, membuat pengawasan dan pengauditan.

Buat masa sekarang semua kes yang berkaitan dengan bank adalah

di dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil. Maka dengan sebab itu, semua

kes perbankan samada yang ada hubungkait dengan perbankan dan

takaful Islam atau tidak, semuanya akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Syariah masih belum diberi kuasa untuk membicarakan kes-

kes perbankan dan takaful Islam. InsyaAllah lima atau sepuluh tahun ke

hadapan Mahkamah Syariah akan diberi tanggungjawab membicarakan

kes-kes perbankan dan takaful Islam. Maka oleh itu cabaran ini

seharusnya dihadapi dengan sewajarnya dan persiapan yang cukup oleh

Hakim-Hakim Syarie Mahkamah Syariah. Mereka hendaklah

mempersiapkan diri di dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya.

11
Akta Bank Negara, pindaan 2003

13
Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta seharusnya

menyediakan kurikulum pengajian intergrasi dalam bidang Syariah,

undang-undang, muamalat dan ekonomi yang menekan aspek teori dan

praktikal. Mereka juga seharusnya memainkan peranan yang lebih aktif

di dalam membuat penyelidikan dan menyediakan kemudahan pengajian

dan penyelidikan di dalam bidang tersebut dengan harapan graduan-

graduan yang dihasilkan mampu memainkan peranannya di dalam

masyarakat dengan lebih aktif dan berkesan. Bengkel-bengkel atau

seminar-seminar yang berkaitan dengannya seharusnya diperbanyakkan

dan diperluaskan perbincangannya.

Seterusnya, saya ingin menyentuh perkara berkaitan dengan

tempat hukuman pesalah-pesalah agama yang telah diputuskan oleh

Mahkamah Syariah di dalam pelbagai kesalahan. Buat masa ini, ia

ditempatkan di penjara-penjara di seluruh negara bersama dengan

pesalah-pesalah lain di dalam pelbagai jenis kesalahan baik yang berat

sehinggalah kepada yang ringan. Di dalam penjara yang ada sekarang ini,

pada pendapat saya adalah tidak sesuai pesalah agama ditempatkan

bersama mereka kerana mereka akan terpengaruh dengan pelbagai

masalah sosial yang ada di dalam penjara tersebut. Pihak berkuasa agama

atau lebih tepat lagi kerajaan , telah tiba masanya untuk memikirkan satu

penjara khusus bagi pesalah-pesalah agama. Di sini mereka akan dapat

14
dibimbing dan dilatih supaya menjadi manusia yang berakhlak baik dan

terpuji. Kurikulum latihan di dalam penjara ini boleh dirangka untuk

menjurus ke arah pemulihan dan bukannya untuk penderaan.

Peruntukan ke arah menyediakan penjara khusus yang saya maksudkan

itu haruslah datangnya dari kerajaan persekutuan, bukannya dari

kerajaan negeri yang kita sedia maklum sentiasa mengalami kekurangan

bajet. Dari sini, kita akan dapat memberi contoh kepada dunia

keseluruhannya bagaimana kita mentadbir penjara orang Islam yang telah

disabitkan dengan kesalahan jenayah Syariah dengan baik dan teratur

tanpa melanggar hak-hak asasi manusia. Kita mahukan penjara itu

menjadi satu tempat bukan sahaja untuk menghukum pesalah, malah

membimbing pesalah ke jalan yang benar. Pewujudan penjara seperti ini

akan merealisasikan wawasan Islam Hadari yang diketengahkan oleh

kerajaan kita.

Cabaran dan masalah yang dihadapi oleh Institusi Syariah

seterusnya ialah berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan

perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Di dalam hal ini,

banyak insititusi yang terlibat bagi memastikan perintah tersebut berjaya

dikuatkuasakan bermula daripada Mahkamah Syariah, jabatan-jabatan

kerajaan yang terlibat dengan menjadi majikan kepada mereka yang

dikenakan perintah, pihak polis di dalam membantu penguatkuasa

agama menyampaikan perintah dan saman dan juga Pendakwa Syarie

15
Jabatan Agama Islam di dalam mendakwa mereka yang telah dituduh

menghina Mahkamah kerana tidak menunaikan perintah tersebut.

Masalah penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah adalah merupakan

masalah global di mana-mana mahkamah di serata dunia.

Berbagai-bagai cara telah diutarakan untuk mengatasi masalah ini.

Yang terbaru, ada cadangan supaya mereka yang tidak membayar nafkah

atau mengikut perintah mahkamah disenarai hitamkan supaya tidak

dapat memperbaharui lesen memandu atau menghidupkan cukai

kenderaan. Pasport mereka juga dicadangkan ditahan daripada

dibenarkan keluar negara seperti mana pesalah tidak membayar cukai

pendapatan. Apakah ini dapat menyelesaikan masalah tersebut? Terdapat

pro dan kontra dari cadangan tersebut dan ia masih menjadi tanda tanya.

Di Mahkamah Syariah, ada di antara pelanggan Mahkamah

Syariah yang telah mendapat perintah tidak memfailkan perlaksanaan

dan penguatkuasaan perintah apabila perintah tersebut tidak

dilaksanakan oleh mereka yang telah diperintahkan. Pelanggan tersebut

beranggapan dengan adanya perintah mereka boleh merasa senang dan

hanya menunggu sahaja perintah terebut dilaksanakan. Apabila ia tidak

dilaksanakan, mereka akan menyalahkan pihak Mahkamah. Bantuan

peguam di dalam hal ini amat penting bagi memberi kefahaman kepada

pelanggan apa tindakan yang seharusnya mereka lakukan.

16
Seterusnya, Mahkamah Syariah menghadapi masalah untuk

menyerahkan perintah yang telah dikeluarkan kepada pihak-pihak yang

terlibat. Ada di antara mereka yang sememangnya sejak dari mula kes

dijalankan tidak dapat dikesan langsung, ada juga yang sengaja

menghilangkan diri dengan bertukar-tukar tempat tinggal dan juga

tempat bertugas. Apatah lagi bagi mereka yang tinggal di luar negara.

Proses penyerahan akan melibatkan antara negara. Lebih menyukarkan

lagi apabila pertukaran agama telah berlaku.

Masalah tidaklah timbul apabila pihak yang diperintahkan

tersebut adalah daripada pegawai kerajaan kerana proses tahanan

pendapat bulanan mudah dilakukan, tetapi ia amat sukar jika mereka

berkerja sendiri. Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang orang yang

dikenakan perintah contohnya seperti untuk membayar nafkah anak-anak

setiap bulan, adalah seorang yang sememangnya tidak mampu seperti

buruh kasar atau penganggur atau penghisap dadah atau seorang yang

papa kedana atau muflis dan sebagainya. Sedangkan anak-anak tetap

memerlukan wang untuk makan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan

dan perubatan. Begitu juga dengan masalah anak tak sah taraf yang mana

bebanan saraannya ditanggung oleh si ibu. Bagaimanakah jalan

penyelesaian dalam hal ini. Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga

17
Islam menjelaskan bahawa kewajipan menyara nafkah anak-anak adalah

tanggungjawab bapa kepada kanak-kanak tersebut.12

Di dalam Kitab Fiqh Islami Wa Adillatuh ada menyebutkan beberapa

syarat kewajipan memberi nafkah kepada anak-anak, 13 antaranya ialah

bapa berkemampuan memberi nafkah disebabkan dia senang atau boleh

berusaha dan mengikut Jumhur jika dia enggan, Hakim boleh

memerintahkan dia dipenjara. Manakala anak-anak disyaratkan pula

orang yang susah, fakir dan tidak mempunyai apa-apa harta dan tidak

mampu untuk berusaha samada disebabkan dia masih kecil atau telah

dewasa tetapi gila, sakit dan sebagainya. Jika sekiranya dia tidak mampu

dan lemah untuk berusaha dan seorang yang fakir, maka tidak wajib

nafkah ke atasnya, tetapi wajib ke atas yang lain seperti datuk atau

saudara-saudara yang hampir kepada kanak-kanak itu. Bagaimana pula

jika semua ahli waris tidak berkemampuan menyara kanak-kanak

tersebut ?

Saya ingin mengulangi sekali lagi apa yang telah saya cadangkan

di dalam kertas saya semasa dibentangkan di dalam Konvensyen

Kehakiman dan Guaman Syarie Kebangsaan Anjuran Kolej Universiti

Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

pada 13-14 September 2005 di Hotel Pan Pacific, KLIA. Satu mekanisma

12
Seksyen 74 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri
13
Dr.Wahbah al-Zuhaily, Fiqh Islami Wa Adillatuh, Beirut, Dar al-Fikr, j.10, cet.ke-4 tahun 1997, ms.7412.

18
baru perlu difikirkan sekarang ini dalam usaha menjaga kebajikan ibu-ibu

tunggal dan kanak-kanak tersebut. Oleh itu saya mencadangkan

diwujudkan satu Skim Perlindungan Keluarga Islam . Melalui skim ini,

semua pasangan Islam yang baru berkahwin diwajibkan membuat

sumbangan dengan satu kadar yang munasabah untuk satu Skim

Perlindungan Takaful Berkelompok. Bagi mereka yang telah berkahwin

dan yang telah bercerai juga sepatutnya memasuki skim tersebut.

Untuk memudahkan perlaksanaan dan pengurusannya, maka satu

peruntukan baru dalam Undang-Undang keluarga Islam patut

diwujudkan mengenai skim perlindungan takaful tersebut. Cara

pelaksanaannya boleh dibincangkan dengan lebih terperinci apabila ia

telah diwujudkan.

Hasil atau impak daripada pewujudan skim ini ialah ibu tunggal

dan kanak-kanak akan mendapat jaminan perlindungan yang sewajarnya.

Dengan sendirinya dapat mengelakkan ibu-ibu tunggal terjebak ke dalam

kancah maksiat demi untuk mendapatkan wang menyara hidup mereka

dan anak-anak. Skim ini juga dapat mengelakkan kanak-kanak daripada

tercicir di dalam bidang pendidikan. Kesihatan kanak-kanak akan dapat

dijamin sepenuhnya. Kegiatan sosial mereka dapat dipelihara dengan

baik daripada terjebak ke dalam kancah maksiat. Selain daripada itu,

ekonomi umat Islam akan berkembang maju melalui syarikat-syarikat

takaful dan dengan sendirinya menjamin masa depan umat Islam.

19
Antara cara perlaksanaan yang difikirkan ialah skim perlindungan

ini hanya akan berkuatkuasa apabila mendapat perintah mahkamah

tentang kadar nafkah yang diwajibkan. Syarikat Takaful akan

mengeluarkan bayaran perlindungan hanya apabila mendapat perintah

mahkamah samada secara sekali gus atau bayaran bulanan.

Dengan wujudnya skim seperti ini, Mahkamah Syariah akan

menjadi Mahkamah Syariah Mesra Ummah sesuai dengan apa yang kita

perjuangkan sekarang bahawa Mahkamah Syariah sebagai Mahkamah

Keluarga Orang Islam.

Dalam hal ini Institusi Syariah yang berkaitan seperti syarikat-

syarikat takaful seharusnya berlumba-lumba menyahut cadangan ini dan

mengambil jalan proaktif mewujudkan skim seperti ini bagi mengatasi

masalah yang saya sebutkan itu.

Cabaran seterusnya yang sedang dihadapi oleh Institusi-Institusi

Syariah ialah cabaran di dalam penggunaan alat-alat komputer dan

perhubungan yang tinggi teknologinya. Dunia sekarang dihubungi

dengan peralatan yang saya sebutkan tadi yang menjadikan dunia

semakin dekat dan tanpa sempadan. Apakah kita bersedia menggunakan

peralatan tersebut di dalam kajian dan penyelidikan Syariah dan apakah

peralatan moden tadi boleh digunakan sebagai keterangan dan bukti di

Mahkamah dan di dalam menetapkan hukum. Kegagalan kita mengikuti

arus perkembangan sains dan teknologi menyebabkan kita ketinggalan di

20
belakang. Sistem penyampaian perkhidmatan di kalangan Institusi

Syariah kepada masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya

seharusnya dapat dipertingkatkan dan disegerakan dengan

memanfaatkan penggunaan sistem teknologi dan perhubungan moden

yang terkini.

Di dalam hal ini, ingin saya memaklumkan bahawa Jabatan

Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama MAMPU Jabatan

Perdana Menteri telah memulakan satu langkah proaktif untuk

mewujudkan ”Islamic Data Dictionary” yang boleh digunapakai oleh

seluruh umat Islam untuk membangunkan apa-apa sistem

perkomputeran. Data ini akan diselaraskan kod serta standard

penggunaannya bagi agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana

Menteri. Bukan setakat itu sahaja, jika sekiranya kod seragam tersebut

masih belum wujud di dalam dunia Islam, kita akan mengetuai negara

Islam di dalam penyelarasan hal ini dan ia akan boleh digunakan di

seluruh dunia pada masa hadapan.

Selain daripada itu, penguasaan bahasa ilmu juga amat penting di

dalam membuat penyelidikan dan kajian. Bahasa ilmu yang terkenal dan

utama sekarang ini ialah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Dua bahasa

ini menyimpan gedung ilmu yang terlalu banyak. Oleh itu pendukung-

pendukung Institusi Syariah semestinya dapat mengusai kedua bahasa

tersebut untuk berjaya di dalam penyelidikan dan kajian ilmiah bidang

21
Syariah. Apatah lagi di dalam menghadapi era global masa kini.

Perbincangan dan kajian bukan sahaja di dalam ruang lingkup sesama

kita di negara ini, malah ia mencakupi ruang lingkup yang lebih luas

serata dunia dengan berbagai bangsa dan agama.

4. PENUTUP

Sekian, semoga perbincangan ini dapat dimanfaatkan bersama dan

saya mengucapkan syabas kepada Jabatan Peguam Negara di atas

penubuhan dan pelancaran Komuniti Syariah yang menjadi platform

peneraju-peneraju dan pengkaji-pengkaji syariah untuk bersama-sama

menyumbangkan idea dan tenaga demi kemajuan perundangan Syariah

dan umat Islam. Wassalam.

PUTRAJAYA

30 NOVEMBER 2005

22

Anda mungkin juga menyukai