Anda di halaman 1dari 9

1

PEMAKAIAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT (STARE DICISIS) DALAM MAHKAMAH DI MALAYSIA: SUATU PERBANDINGAN Oleh Noorhana Tukiran

Abstrak Mahkamah-mahkamah di Malaysia terbentuk kepada beberapa hierarki hasil daripada kesan penjajahan British. Kebanyakan sumber-sumber penghakiman di Malaysia mengikut konsep yang diperkenalkan oleh penjajah. Mengikut hierarki mahkamah di Malaysia, mahkamah syariah adalah mahkamah khas yang lebih kecil statusnya berbanding mahkamah sivil, namun mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa khusus di dalam perlembagaan yang menghalang dari campur tangan mahkamah sivil. Perbezaan yang wujud dalam sistem kehakiman telah menyebabkan berlaku perbezaan dalam pengendalian kes dan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah, sivil dan syariah. Oleh itu di dalam artikel ini akan membincangkan tentang persoalan berkenaan mahkamah-mahkamah dan sumber undang-undang di Malaysia. Selain itu, isu mengenai pengamalan doktrin duluan mengikat dalam mahkamah di malaysia turut dibincangkan dalam artikel ini. Seterusnya, artikel ini juga membincangkan mengenai justifikasi terhadap pemakaian dan penolakan doktrin duluan mengikat. Berikutan daripada itu, beberapa pandangan serta cadangan terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat diberikan bagi menangani masalah perbezaan pada sistem kehakiman di Malaysia. Artikel ini menggunakan metod kajian seperti analisa buku-buku perundangan, artikel, akta dan enakmen. Hasil daripada penulisan artikel ini mendapati bahawa kajian terhadap pembaikan sistem undang-undang terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat adalah perlu bagi memastikan hak pihak-pihak yang bertikai diadili dengan sebaik-baiknaya. Kata kunci : sumber penghakiman, doktrin duluan mengikat, mahkamah di malaysia.

PENGENALAN Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem kabinet berparlimen. Sistem kabinet berparlimen ini telah dibahagi kepada tiga iaitu badan perundangan (legislatif), badan kehakiman (judisiari), dan badan eksekutif. Badan-badan tersebut mempunyai bidangkuasa yang tersendiri yang telah ditetapkan oleh kabinet negara. Tujuan badan-badan ini diasingkan adalah untuk mengelak berlakunya pertindihan bidangkuasa. Badan kehakiman di Malaysia adalah badan yang mengawal badan eksekutif dan badan perundangan supaya tidak melampaui batas. Badan kehakiman di Malaysia terdiri daripada mahkamah-mahkamah yang menjalankan fungsifungsinya yang tersendiri. Mahkamah di Malaysia terpisah kepada dua bidangkuasa yang berasingan yang dijalankan di mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Pemisahan bidangkuasa ini telah menyebabkan berlaku beberapa perbezaan dalam pengendalian kes dan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah tersebut. Antara perbezaan yang dapat dilihat secara umumnya, seperti sumber penghakiman yang digunapakai dalam penghakiman dan secara khususnya

terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat yang berbeza antara kedua-dua mahkamah. Perbezaan ini telah menyebabkan kepada kepelbagaian dalam sistem undang-undang di Malaysia. Hal ini terjadi adalah berdasarkan kepada latar belakang bagaimana sesuatu undangundang itu ditubuhkan. Berdasarkan kepada situasi tersebut, pemakaian doktrin duluan mengikat merupakan salah satu perbezaan yang ketara yang dapat dilihat dalam sistem undang-undang yang dilaksana di mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Oleh itu untuk memahami perbezaan di dalam pemakaian doktrin duluan mengikat antara kedua-dua mahkamah tersebut maka rujukan dapat dibuat melalui pelbagai sumber seperti analisa buku-buku perundangan, artikel, akta dan enakmen. Artikel ini memfokuskan kepada perbincangan berkenaan mahkamah-mahkamah dan sumber undang-undang di Malaysia. Seterusnya, isu mengenai pengamalan doktrin duluan mengikat dalam mahkamah di Malaysia. Selain itu turut dibincangkan berkenaan justifikasi terhadap pemakaian dan penolakan doktrin duluan mengikat. Pandangan serta cadangan terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat juga diberikan bagi menangani masalah perbezaan pada sistem kehakiman di Malaysia, serta isu yang berbangkit mengenainya. Artikel ini penting ditulis kerana terdapat keperluan untuk menilai semula pandangan undang-undang Islam terhadap ketiadaan pemakaian doktrin duluan mengikat dalam sistem kehakiman syariah serta pandangan pakar perundangan Barat di atas penerimaan pemakaian doktrin duluan mengikat dalam sistem kehakimannya. Selain itu, perbezaan terhadap doktrin duluan mengikat penting bagi menyelesaikan pertikaian di mahkamah bagi tujuan memberi keadilan kepada semua pihak.

MAHKAMAH-MAHKAMAH DAN SUMBER UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA Seperti yang telah dijelaskan, mahkamah di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Kedua-dua mahkamah ini mempunyai hierarki yang sama iaitu mahkamah tinggi dan mahkamah rendah. Meskipun begitu, makamah-mahkamah yang berada dalam hierarki mahkamah tinggi dan rendah berbeza di antara kedua-duanya. Perbincangan tentang kedua-dua mahkamah ini telah dijelaskan dalam perlembagaan persekutuan. (ILBS 2009) Mahkamah sivil di Malaysia dibahagikan kepada dua iaitu mahkmah tinggi dan mahkamah rendah. Mahkamah yang berada dalam hierarki mahkamah tinggi ialah mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan manakala mahkamah-mahkamah yang berada dalam hierarki mahkamah rendah pula ialah mahkamah penghulu, mahkamah majistret dan mahkamah sesyen. Setiap mahkamah ini bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes-kes yang telah ditetapkan mengikut kadar pertikaian. Mahkamah Syariah di Malaysia adalah seperti mana mahkamah sivil juga, mahkamah syariah turut terbahagi kepada dua iaitu mahkamah tinggi dan mahkamah rendah. Meskipun begitu, tidak terdapat mahkamah-mahkamah lain yang berada di bawah mahkamah rendah manakala bagi mahkamah tinggi pula terdiri daripada mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah. Maka, dapat kita lihat bahawa mahkamah syariah terbahagi kepada tiga untuk membicarakan kes-kes yang berkaitan dengan orang Islam sahaja.

Dari sudut sumber undang-undang di Malaysia ketika menjalankan sesuatu penghakiman, seorang hakim perlu meneliti beberapa perkara yang menjadi asas keadilan. Hal ini bertujuan supaya kes-kes yang diputuskan dapat dihakimi dengan adil dan saksama. Memandangkan mahkamanah di Malaysia terbahagi kepada mahkamah sivil dan mahkamah syariah, maka sumber undang-undang bagi kedua-dua mahkamah terdapat perbezaan disamping adanya beberapa persamaan. Secara am, sumber undang-undang yang diguna pakai di mahkamahmahkamah di Malaysia boleh dikatogerikan kepada tiga iaitu undang-undang bertulis, undangundang tidak bertulis dan undang-undang Islam. Undang-undang bertulis terbahagi kepada empat iaitu, perlembagaan persekutuan, perlembagaan negeri, statut dan perundangan. Perlembagaan persekutuan merupakan undangundang utama persekutuan. Hal ini bermaksud semua undang-undang yang digubal yang bertentangan dengan perlembagaan akan terbatal setakat mana yang bertentangan itu. Perlembagaan negeri seperti yang telah disenaraikan dalam jadual kelapan mesti mengandungi peruntukan perlu, sekiranya tidak berlaku, parlimen persekutuan boleh membuat undangundang yang member negeri itu kuasa untuk mengadakan peruntukan perlu atau mengenetepikan apa-apa peruntukan yang bercanggah dengannya. Selain itu, statut merupakan salah satu dari undang-undang bertulis yang terdapat di Malaysia. Statut mempunyai sumber-sumbernya yang tersendiri seperti akta dari zaman penjajahan British, perintah dalam majlis (Order in council), akta-akta India, ordinan negeri-negeri selat, ordinan dan akta singapura, enakmen Pulau Pinang dan Melaka serta lain-lain. Seterusnya sumber undang-undang bertulis termasuk perundangan. Pelembagaan persekutuan memberi kuasa perundangan kepada parlimen dan dewan undangan negeri. Walaubagaimanapun hanya sebahagian kecil perundangan yang dibuat secara langsung oleh perundangan. Sebahagian besar perundangan kini dibuat oleh pihak eksekutif. Pihak eksekutif membuat perundangan-perundangan tersebut melalui kuasa yang diberikan kepada mereka oleh badan perundangan. (Noor Aziah 2005) Bagi sumber undang-undang tidak bertulis di Malaysia adalah terdiri dari common law, prinsip-prinsip ekuiti, keputusan kehakiman dan adat.common law adalah undang-undang inggeris yang dibawa ke semenanjung tanah Melayu untuk pertama kali melalui piagam pertama pada tahun 1807. Common law adalah satu sistem undang-undang buatan manusia yang berasal dari adat istiadat lama yang seterusnya dijelaskan, dikembangkan dan disejagatkan oleh para hakim. Sementara ekuiti wujud kerana rasa tidak puas hati orang ramai dengan sistem common law. Oleh yang demikian mereka yang tidak puas hati akan membuat pengaduan kepada majlis raja yang mendengar kes mereka. Lama kelamaan majlis raja mewakilkan kuasanya kepada canselor untuk mendengar aduan-aduan ini dan akhirnya semua petisyen dialamatkan kepada canselor. Antara lain, keputusan kehakiman juga merupakan salah satu undang-undang tidak bertulis. Doktrin ini disebut doktrin duluan mengikat. Ia membawa maksud keputusan mahkamah yang lebih tinggi dirujuk oleh keputusan mahkamah yang lebih rendanh dalam memutuskan kes. Seterusnya, sumber undang-undang tidak bertulis adalah adat. Undang-undang adat ini terdiri daripada adat dan tradisi bangsa melayu yang memperolehi sifat undang-undang secara beransur-ansur. Adat boleh dikuatkuasakan oleh ketua-ketua daerah. Sebagai undangundang yang hidup dalam satu masa dan pada suatu tempat. Undang-undang adat boleh dipinda atau diubahsuai dengan kehendak masyarakat. Dalam hal ini undang-undang adat itu menyerupai common law inggeris yang juga berdasarkan kepada keputusan undang-undang kes. (Noor Aziah 2005)

Sebelum kedatangan British, undang-undang Islam merupakan undang-undang negara di tanah melayu. Mazhab yang diikuti adalah mazhab Syafie, akan tetapi, selepas kedatangan British beberapa undang-undang yang diambil dari india telah digubal dengan mengambil prinsip-prinsip undang-undang inggeris. Hal ini memberi kesan terhadap undang-undang Islam yang telah mengubahsuai adat melayu. Akhirnya, undang-undang Islam ini hanya terpakai dalam undang-undang keluarga, warisan dan beberapa aspek undang-undang jenayah. Dari segi amalan pentadbiran, perkara-perkara tersebut juga telah menerima campurtangan oleh British. Hal ini mengakibatkan kuasa-kuasa mahkamah syariah dihadkan dan tarafnya menjadi lebih rendah berbanding mahkamah sivil. Sejak tahun 1952, iaitu tarikh penguatkuasaan enakmen pentadbiran undang-undang Selangor yang merupakan enakmen yang pertama diluluskan untuk mengatur pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia telah menghadkan pemakaian undang-undang kepada orang Islam sahaja dan dalam tiga bidang sahaja iaitu, kekeluargaan, warisan dan beberapa kesalahan matrimoni dan kesalahan takzir. (Noor Aziah 2005)

PENGAMALAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT DALAM MAHKAMAH DI MALAYSIA Doktrin duluan mengikat merupakan salah satu daripada sumber penghakiman yang diguna pakai. Doktrin ini juga turut diaplikasikan dalam mahkamah di Malaysia. Doktrin duluan mengikat diterjemahkah sebagai satu doktrin yang menuntut para hakim untuk menggunakan kaedah yang sama dalam suatu tuntutan undang-undang seperti yang telah digunakan dalam kes-kes yang sama sebelum ini. Selain dari itu, duluan mengikat ditakrifkan sebagai suatu kaedah yang menggunakan prinsip keputusan sesuatu mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikut oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan tersebut itu betul atau tidak. (Oxford fajar 1995) . Stare decisis (duluan mengikat) adalah berasal dari istilah latin yang secara harfiahnya bermakna mematuhi atau mematuhi kepada kes-kes yang telah diputuskan. Mahkamah secara amnya mematuhi stare decisis apabila mahkamah telah meletak prinsip undang-undang yang terpakai dalam satu fakta bagi suatu set tertentu.oleh itu keputusan akan mengikut prinsip itu dan diguna pakai kepada semua kes-kes pada masa akan datang yang mana sama fakta dan hal keadaannya. Amalan kehakiman stare decisis ini membawa kepada duluan kehakiman yang bermaksud bahawa keputusan mahkamah mempunyai nilai sebagai duluan bagi kes-kes akan datang dan juga bergantung kepada hal keadaan tertentu. Istilah ini juga sering digunakan secara berganti kerana mereka berbeza hanya sedikit sahaja dalam makna. Prinsip stare decisis ini memastikan kebolehramalan keputusan yang akan dikeluarkan oleh mahkamah, di mana kehakiman terdahulu berkemungkinan juga dibuat melalui stare decisis.( V.Rolando 2010) Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa doktrin duluan mengikat adalah satu doktrin dalam tradisi undang-undang inggeris yang dikembangkan untuk menerangkan amalan yang mahkamah-mahkamah ikuti berhubung dengan duluan mengikat. Doktrin ini memerlukan seorang hakim itu menghormati duluan malah hakim juga dalam keadaan tertentu terikat untuk mengikut duluan dalam kes-kes yang telah diputuskan semasa memutuskan isu yang sama atau yang berkaitan. Hakim dekehendaki menerima dan mengikut prinsip dalam duluan yang berkenaan walaupun beliau tidak bersetuju dengan prinsip tersebut (Ahmad Ibrahim 2007)

Selanjutnya pengamalan doktrin duluan mengikat dalam mahkamah sivil di Malaysia secara amnya boleh dikatakan berfungsi dengan dua cara. Cara-cara itu adalah meliputi cara menegak dan cara melintang. berfungsi secara menegak iaitu bermaksud mahkamah atasan mengikat semua mahkamah-mahkamah di bawahnya. Secara umumnya, satu sistem common law mempunyai mahkamah perbicaraan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi. Mahkamahmahkmah rendah mentadbirkan keadilan seharian. Mahkamah-mahkamah ini juga dikehendaki mengikut duluan yang diputuskan mahkamah rayuan sebagai bidang kuasa mereka begitu juga hal keadaannya dalam mahkamah tinggi. Namun mahkmah rayuan hanya dikehendaki mengikut keputusan mahkamah tinggi. Maka hal yang demikian ini yang disebut sebagai duluan mengikat secara menegak. Manakala fungsi secara melintang berpandukan sistem kehakiman persekutuan Amerika Syarikat. Di mana mahkamah rayuan sebagai peantaraan yang dibahagikan mengikut litar. Setiap panel hakim mesti mengikut capaian keputusan dalam kes rayuan yang terdahulu. Duluan mahkamah rayuan Amerika Syarikat hanya boleh ditolak oleh mahkamah en banc, iaitu satu persidangan bagi kesemua hakim rayuan yang aktif litar berkenaan atau mahkamah agung Amerika Syarikat. Apabila satu mahkamah mengikat dirinya, aplikasi doktrin duluan ini kadangkala dipanggil stare decisis secara mendatar. Negeri New York mempunyai struktur rayuan yang serupa kerana ia terbahagi dalam empat jabatan rayuan yang diselia oleh mahkamah rayuan tertinggi negeri New York. Keputusan satu jabatan rayuan tidak mengikat jabatan lain dan dalam sebahagian kes jabatan-jabatan berkenaan mempunyai perbezaan secara signifikasi dalam perkara-perkara asas undang-undang. Bagi Malaysia, hal ini bermaksud, mahkmah rayuan terikat dengan keputusan dirinya sendiri, mahkamah yang digantinya dan mahkamah yang mempunyai bidangkuasa koordinasi. Hakikatnya, pemakaian doktrin duluan mengikat di mahkamah-mahkamah di Malaysia menyerupai pemakaian di mahkamah-mahkamah di England. Oleh itu, kes-kes di Malaysia yang membincangkan pemakaian doktrin ini telah membuat rujukan luas kepada kes-kes inggeris. (R. Jonathan 2004) Mahkamah di Malaysia tidak menolak pemakaian doktrin duluan mengikat ini. Malah dalam beberapa keadaan mahkamah-mahkamah di Malaysia berdasarkan kepada prinsip-prinsip undang-undang yang ditetapkan oleh Privy Council dalam rayuan dari negara-negara lain meskipun keputusan-keputusan tersebut adalah melibatkan tafsiran tentang undang-undang yang tidak sama dengan undang-undang di Malaysia. Hal ini dapat dilihat di dalam kes Tengku Mariam lwn Commissioner for religious Affair, Terengganu & Ors, Mahkamah persekutuan merasa terikat dengan keputusan Privy Council dari India dalam kes Abdul Fatah Mohamed Ishak lw. Rasamaya Dhur Chowdhri dan Afrika Timur dalam kes Fatuma lwn Mohammed Bin Salim. Kes ini membincangkan tentang kesalahan sebuah wakaf khas walaupun dalam undangundang Islam seperti yang ditadbir di Malaysia (Ahmad Ibrahim 2007). Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat tiga juga kes yang diputuskan oleh para hakim tanpa mengikut keputusan mahkamah yang terdahulu atau diputuskan oleh para hakim tanpa mengikut keputusan mahkamah yang terdahulu atau mahkamah yang lebih tinggi, hal ini dapat dilihat dalam kes di depan mahkamah rayuan iaitu rayuan dua beradik, Au Meng Nam dan Ming Kong yang kehilangan tanah mereka selepas dokumen pemilikannya dipalsukan oleh dua lelaki dan menjualnya kepada seorang yang dikenali sebagai Ung Yak Chew 11 tahun lalu. Mahkamah Tinggi Johor Bharu menolak kes dua beradik itu dengan alas an Ung adalah pembeli Bona fide, walaupun diketahui pemindahan dibuat secara palsu kerana terikat dengan prinsip duluan mengikat (Stare decisis) iaitu semua mahkamah terikat dengan keputusan mahkamah yang lebih tinggi daripadanya. Dalam kes ini dapat dilihat dengan jelas bahawa Hakim Sri Ram yang

bersidang bersama Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Hasan Lah tidak menjatuhkan hukuman berdasarkan kes Andorna Properties Sdn Bhd v Boonyanit (Zainul Rijal 2007) Manakala Mahkamah Syariah di Malaysia doktrin duluan mengikat tidak diaplikasikan dan tidak diterima pakai. Namun hal ini bukanlah bermaksud seorang hakim tidak boleh merujuk kes-kes terdahulu. Selain itu juga, seorang hakim syarie mahkamah yang lebih rendah perlu menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, keputusan tersebut tidak mencapai tahap mewajibkan mahkamah yang lebih rendah untuk mengikutinya. Keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah yang lebih tinggi itu sebagai rujukan bagi mahkamah yang lebih rendah. Konsep penghormatan ini dapat dilihat dalam surat oleh Saidina Umar al-Khattab kepada Abu Musa as-Syari iaitu berbunyi seperti Dan sesiapa yang mendakwakan sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, tau suatu bukti maka berilah tempoh kepadanya sampai dia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian jika dia dapat membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi jika dia tidak mampu membuktikannya maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi. Dan jangan sesekali menghalangi kepadamu sesuatu keputusan yang sudah engkau putuskan hari ini, kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk supaya engkau kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus di dahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada terus berada dalam kebatilan. Justeru itu kandungan surat berikut menjelaskan bahawa keputusan salah yang dibuat oleh seorang hakim tidak harus diikuti oleh hakim yang lain walaupun hakim yang memutuskan keputusan tersebut berada di mahkamah yang lebih tinggi. Hal ini kerana kehakiman syarie memartabatkan tujuannya untuk mementingkan keadilan. (Zainul Rijal 2007)

JUSTIFIKASI PEMAKAIAN DAN PENOLAKAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT DALAM MAHKAMAH DI MALAYSIA Doktrin duluan mengikat (Stare decisis) amat penting kegunaannya bagi sistem perundangan inggeris begitu juga ia penting dan menjadi sumber perundangan di dalam mahkamah sivil di Malaysia. Satu duluan merupakan kenyataan yang dibuat oleh seorang hakim dalam membuat sesuatu keputusan. Doktrin ini menyatakan bahawa satu keputusan yang dibuat oleh satu mahkamah atasan akan mengikat mahkamah-mahkamah bawahan. Ini bermakna apabila para hakim membicarakan satu kes mereka akan cuba mencari sama ada satu kes yang mempunyai fakta yang sama telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi atau sama statusnya terlebih dahulu dan sekiranya ada maka hakim berkenaan harus mengikuti kata putus dalam kes itu sebagai duluan dalam mahkamah yang lebih rendah, hakim berkenaan tidak perlu mengikutinya akan tetapi mungkin menimbangkannya. House of Lords di England tidak perlu mengikut daluannya sendiri dan begitulah juga keadaannya dengan mahkamah persekutuan di Malaysia, yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia. Pada masa kini, stare decisis tidak lazim digunakan dalam sistem perundangan sivil kerana dianggap melanggar prinsip yang hanya legislatif sahaja boleh membuat undang-undang. Dalam teori, mahkamah rendah tidak terikat dengan duluan yang ditetapkan mahkamah tinggi. Walau bagaimanapun dalam realiti keperluan untuk kesinambungan dalam undang-undang memerlukan pengaplikasian duluan oleh mahkamah-mahkamah rendah dan dalam bidang kuasa undang-undang sivil mahkamah tingginya sebagai contoh Cour de Cassation dan Conseil dEtat di Prancis diiktiraf sebagai

badan-badan kuasa legislatif. Doktrin Stare decisis juga mempengaruhi bagaimana keputusan mahkamah disusun. Secara amnya, keputusan mahkamah dalam bidang kuasa common law amat panjang dan menerangkan secara terperinci bagaimana satu keputusan dicapai. Ini berlaku untuk menjustifikasikan satu keputusan berdasarkan undang-undang kes terdahulu di samping menyenangkan penggunaannya sebagai duluan dalam kes-kes masa depan. Selain itu juga, pemakaian doktrin duluan kehakiman ini adalah bertujuan untuk memberi keseragaman dalam sesuatu majlis penghakiman. Antara lain, doktrin ini juga bertujuan bagi memastikan mahkamah yang lebih rendah mengikut keputusan mahkamah yang lebih tinggi. (Thomas, Clarence 1991) Di mahkamah syariah di Malaysia melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ada menetapkan Arahan Amalan No 1 Tahun 2002. Hal ini bertujuan untuk memastikan kelangsungan keadilan bagi sesuatu kes itu. Arahan Amalan tersebut adalah seperti mesyuarat telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada persamaan yang sudah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah yang lebih rendah. Pada masa yang sama, Arahan Amalan ini turut tidak menafikan kebolehan hakim untuk mengeluarkan penghakiman tanpa mengikut keputusan mahkamah yang lebih tinggi. Selain itu juga, perbezaan dari segi penghakiman bukanlah sesuatu yang negatif. Hal ini perlu dilihat dari sudut yang positif. Keputusan yang dikeluarkan oleh seorang hakim syarie mestilah melihat kepada maslahahmaslahah ammah bagi sesuatu kes tersebut. Meskipun keputusan yang dikeluarkan oleh hakim tersebut bertentangan dengan keputusan mahkamah yang lebih tinggi. Oleh itu dapat disimpulkan di sini bahawa antara peranan hakim adalah untuk berijtihad dalam sesuatu kes tersebut. Seseorang hakim itu tidak boleh terikat dengan keputusan hakim yang lain. Dengan cara itu, hakim dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan kes yang dibicarakan di hadapan mereka. Dalam hal ini kita perlu mengakui bahawa tiada satu kes pun fakta dan persoalannya sama dengan kes yang lain. Dalam hal demikian, memang wajarlah ada sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu. Perbezaan seperti itu perlu dilihat daripada sudut yang positif. Ia membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping menyesuaikan sesuatu penghakiman dengan fakta kes dan sebagainya. Meskipun begitu, keputusan hakim di mahkamah yang lebih tinggi boleh dijadikan rujukan bagi sesuatu kes. Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan dan perubahan masa dan tempat. Tidak salah berbeza pandangan dalam hal cabangan tetapi perbezaan itu mestilah ditangani dengan cara penuh hikmah. Dalam Islam terdapat adab yang digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab itu atau apa yang dipanggil sebagai adab alikhtilaf mestilah dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan. (Zainul Rijal 2007)

PANDANGAN SERTA CADANGAN MENGENAI PEMAKAIAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT DALAM SISTEM KEHAKIMAN DI MALAYSIA. Doktrin duluan mengikat merupakan sumber undang-undang dalam sistem perundangan di Malaysia. Oleh yang demikian hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah tidak mempunyai kuasa yang luas dalam mengeluar keputusan kerana mengikut keputusan dari kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah yang lebih tinggi walaupun situsinya mungkin ada sedikit berbeza. Ini menyebabkan keadilan sedikit demi sedikit semakin tidak dapat dicapai dengan sebaiknya. Apa

yang dinyatakan sebelum ini bukanlah bermakna menolak penggunaan duluan mengikat secara total. Doktrin duluan mengikat perlu dipertimbangkan penggunaannya melalui satu usaha menyediakan tafsiran yang menjelaskan justifikasi mengapa perlu kepada penggunaan doktrin duluan mengikat ini. Walaubagaimanapun doktrin duluan mengikat perlulah dihormati kerana status keputusan tersebut dikeluarkan oleh mahkamah yang lebih tinggi namun tidaklah sehingga menafikan hak seorang hakim lain untuk membuat keputusan yang adil. Dengan itu, hakim tidak akan mengambil jalan mudah dengan berkata beliau terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi. Hakim sebagai seorang yang arif dalam hal berkaitan undang-undang dan kehakiman perlulah membuat penghakiman yang beliau yakin tentang keputusannya, dengan alasan penghakiman yang tepat dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain. Dengan cara itu, hakim dapat meluaskan ilmu mengenai cara menilai sesuatu kes seterusnya membuat keputusan yang setimpal malah hakim akan menjadi lebih kreatif dalam mengeluarkan sesuatu hukuman.

KESIMPULAN Doktrin duluan mengikat merupakan salah satu daripada sumber undang-undang yang digunapakai dalam sistem kehakiman Malaysia. Melalui persoalan yang pertama mengenai mahkamah-mahkamah dan sumber undang-undang di Malaysia maka jika kembali kepada tajuk perbincangan mengenai doktrin duluan mengikat, maka huraian mengenainya dapat membantu kita mengenalpasti cara pengaplikasian doktrin duluan mengikat di mahkamah-mahkamah serta dapat mengetahui autoritinya dalam sumber undang-undang di Malaysia. Seterusnya mengenai isu kedua membincangkan berkenaan pengertian, perkembangan dan fungsi dari pengamalan doktrin duluan mengikat yang terbentuk dalam mahkamah di Malaysia. Hasil yang dapat dilihat dalam huraian mengenai isu kedua ini dapat mengenalpasti bahawa doktrin duluan mengikat sebenarnya berasal dari tradisi undang-undang Inggeris yang dikembangkan untuk menerangkan amalan yang mahkamah-mahkamah ikuti berhubung dengan duluan mengikat. Doktrin ini memerlukan seorang hakim menghormati duluan malah hakim juga dalam keadaan tertentu terikat untuk mengikut duluan dalam kes-kes yang telah diputuskan semasa memutuskan isu yang sama atau yang berkaitan. Persoalan ketiga berkenaan justifikasi terhadap pemakaian dan penolakan doktrin duluan mengikat. Huraian isu tersebut telah memberikan pengetahuan tentang apakah alasan-alasan terhadap penerimaan dan penolakan kepada doktrin duluan mengikat ini yang mana mereka berusaha memperkuatkan pendapat tersebut secara munasabah dengan memberikan contoh-contoh yang releven. Manakala dalam isu yang keempat adalah berkenaan cadangan terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat yang mana cadangan tersebut dinyatakan adalah untuk penambahbaikan dalam sistem kehakiman di Malaysia. Oleh itu penulis berpendapat bahawa doktrin ini boleh dijadikan dalam rujukan undang-undang namun tidaklah mengikat mahkamah yang lebih rendah secara pengertian yang menyeluruh. Hal ini bermaksud para hakim boleh merujuk kes-kes terdahulu. Namun pada yang sama para hakim tidak terikat dengan keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam kes-kes yang terdahulu. Kedudukan sebagai hakim sebenarnya memegang tanggungjawab yang besar terutamanya dalam memastikan keputusan yang diputuskan adalah bersifat saksama. Meskipun kadangkala hakim tersilap membuat perhitungan tetapi usaha beliau untuk mencari kebenaran dalam sesuatu kes itu adalah lebih utama.

RUJUKAN Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned. 2007. Sistem Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor). 2009. Petaling Jaya: International Law Book Service. Kamus Undang-undang bahasa Inggeris- bahasa Melayu. 1995. Kuala Lumpur: Oxford Fajar. Noor Aziah Mohd Awal. 2003. Pengenalan Kepada Sistem Undang-undang di Malaysia. Petaling Jaya: International Law Book Service. Perlembagaan Persekutuan. 2009. Petaling Jaya: International Law Book Service. Ringel, Jonathan.2004.The Bombshell in the Clarence Thomas Biography. USA: Fulton Country Daily. Rolando v. Del Carmen. 2010. Criminal Procedure: Law and Practice. Edisi ke-8. USA: Wadsworth Cengage learning. Thomas Clarence. 1991. Senate Confirmation Hearings. USA: Crawford Greenburg. Zainul Rijal. 2007. Mahkamah Syariah Tidak Menggunakan Stare Decisis. Berita Harian. [2 Mac 2011]